Jumaat, 27 November 2009

Biro Tata Negara Alat UMNO

Saya pernah diceritakan oleh seorang saudara yang pernah menyertai kursus Biro Tata Negara (BTN). Menurut beliau kebanyakan isi kandungan ceramah dari kursus tersebut bertujuan untuk menaikan semangat peserta nasionlisme Melayu khasnya. Sekali pintas, kedengaran memang elok. Tetapi dalam ghairah menaikan semangat memajukan bangsa Melayu, unsur-unsur politik dan perkauman yang jelas turut diperasapkan.

Dalam salah satu ceramah dalam kursus tersebut, penceramah menceritakan bagaimana pembunuhan kaum beramai-ramai di dalam sebuah panggung wayang di negara kita semasa kejadian rusuhan kaum 13 Mei. Saya tidak dapat pastikan pula samada kejadian tersebut benar-benar pernah berlaku. Kalaulah pun kejadian itu memang pernah berlaku, seharusnya kejadian tersebut tidak perlu diceritakan lagi dari satu generasi ke satu generasi.

Kejadian rusuhan 13 Mei tersebut adalah satu titik hitam sejarah negara. Jangat terus diperhangatkan lagi. Jangan terus diperasapkan. Perbuatan memperhangatkan kembali isu itu hanya membuatkan luka lama akan terus berdarah. Selagi ia berterusan disebut-sebut, ia akan menjadi duri dalam daging dan selagi itulah matlamat menjadikan bangsa Malaysia bersatu tidak akan tercapai. Jika kejadian itu tidak benar, anda fikirkanlah apa motif mereka mengada-ngadakan cerita seperti itu dan untuk kepentingan siapa?

Selain itu, dalam ceramah kursus BTN turut dinyatakan negara ini akan menjadi huru-hara segala aspek jika ditadbir oleh parti selain BN. Sekarang semakin jelas, untuk apa sebenarnya kursus BTN diadakan dan untuk kepentingan siapa.

Rabu, 25 November 2009

Perjuangan Dan Pengorbanan

Perjuangan para nabi dan rasul, perjuangan ibu dan bapa, perjuangan seorang pendidik, perjuangan seorang pejuang kemerdekaan, perjuangan para mujahid, perjuangan seorang soldadu, perjuangan kemerdekaan era moden, perjuangan seorang penulis dan banyak lagi perjuangan yang akan terus berdenyut nadi di seluruh pelusuk dunia. Pejuang akan mati apabila sampai masanya, namun perjuangan tidak akan mati. Perjuangan akan terus hidup berkesinambungan dari satu generasi ke generasi dan selagi itulah tidak akan putus-putus menuntut PENGORBANAN.

Jasad pejuang boleh dipenjarakan, namun roh perjuangan tetap melangkaui tembok setinggi mana pun, tetap merentasi sempadan, tetap merentasi perbedaan warna kulit. Di mana pun pejuang itu, apa pun warna kulitnya, tidak dapat lari dari PENGORBANAN. Lari dari PENGORBANAN erti lari dari perjuangan.

Manusia mampu menipu. Hakikatnya sejarah tidak menipu. Sejarah adalah kejadian yang telah terjadi masa lalu dan tidak boleh diubah. Dokumen sejarah atau buku sejarah ditulis oleh manusia, boleh diolah-olah, disesuaikan, menerangkan atau menggelapkan mana-mana bahagian sejarah.

Malangnya setelah 52 tahun merdeka, apabila banyak nama-nama pejuang kemerdekaan telah digelapkan. Khususnya pejuang kemerdekaan berhaluan kiri. PENGORBANAN mereka ini bukan sedikit. Dokumen sejarah menjadi alat propaganda mengaibkan. Bahkan Dokumen sejarah melabel mereka ini sebagai pelampau. Hakikatnya PENGORBANAN mereka jauh lebih sengsara berbanding pejuang-pejuang arus perdana. Perjuangan dan PENGORBANAN mereka tidak perah diiktiraf dan berterusan dinafikan.

Teman-teman, dalam hidup kalian tentunya ada yang kalian perjuangkan. Teruskanlah perjuangan yang kalian yakini benar dijalanNya meskipun tiada nama dicatat dalam mana-mana dokumen sejarah. Semakin besar perjuangan kalian, semakin besarlah PENGORBANAN yang dituntut. Jangan undur!

Akhir kata... kepada teman-teman, SELAMAT HARI RAYA QURBAN.

Sabtu, 21 November 2009

Pemuda Mati Ditembak Polis Dengan Tangan Bergari?

Laporan Berita Minggu, Ahad, 15 November kejadian di Arau, dengan tajuk ‘pemuda mengamuk ditembak’ amatlah memeranjatkan. Pemuda tersebut, Mohamad Taufik 21 tahun ditembak mati setelah mengamuk dengan bersenjatakan hanya pisau pemotong sayur dan mencuba menyerang anggota polis seramai lapan orang yang datang untuk menenangkan beliau.

Sebelum itu, beliau telah pergi ke balai polis terlebih dahulu dan memaklumkan niatnya untuk bergaduh dengan rakannya atas alasan telah dianiaya. Ekoran rasa tidak puas hati terhadap rakannya beliau turut menyerang rakannya itu dan mengakibatkan beberapa kecederaan di bahagian kepala, muka dan tangan.

Sejurus ibu dan bapanya dimaklumkan tentang kejadian amuk anaknya itu, mereka terus menuju ke tempat tersebut. Bagaimanapun sebelum sempat mereka tiba ke tempat kejadian, mereka telah terdengar bunyi tembakan dilepaskan dan melihat anaknya terbaring berlumuran darah dengan tangan bergari di belakang. Ibu dan bapa Mohamad Taufik menyifatkan tindakan pihak polis itu sebagai tindakan kejam dan tidak wajar.

Memang ini satu kejadian yang pelik. Persoalannya bagaimana ibu dan bapa Mohamad Taufik mendapati anaknya yang telah ditembak di bahagian dada dengan tangan bergari di belakang? Adakah pihak polis telah berjaya mengari tangan beliau terlebih dahulu dan kemudian ‘terpaksa’ melepaskan tembakan? Sejauh mana dia mampu meneruskan amuknya dengan tangan bergari di belakang dengan kawalan seramai lapan anggota polis?

Ataukah kemungkinan kedua, setelah beliau ditembak, barulah dia digari? Wajarkah tindakan polis mengarinya dalam keadaan beliau yang pada masa itu sedang menghadapi saat sakaratul maut atau mungkin juga telah menghembuskan nafas terakhirnya. Perlukah tindakan mengari tersebut? Di manakah nilai kemanusiaan anggota keselamatan kita?

Tidak dapat dinafikan lagi, masyarakat kita hari ini meletakan imej polis sinonim dengan wang kopi ditambah pula dengan kes kematian misteri tahanan lokap dan bermacam-macam lagi yang pernah disiarkan di media. Kini, satu lagi kes yang menghairankan yang menuntut penjelasan telus dari pihak atasan PDRM mahupun pihak Kementerian Dalam Negeri. Pihak kementerian dan PDRM perlu proaktif menangani gegala ini sekali gus mengubah persepsi negatif masyarakat. Hentikan retorik kosong dan sikap membela anggota sendiri.

Rabu, 11 November 2009

Menyerap Idealogi Muda Dalam Perjuangan PAS

Kira-kira lima tahun dahulu, ketika itu Epul masih lagi bersekolah menengah. Seperti kebanyakan remaja-remaja lain, memakai topi dan t-shirt yang mempunyai gambar band thrash pujaan mereka. Saya tidak nampak apa-apa pun perbezaan antara dia dan remaja lain ketika itu.

Namun setelah lama tidak berjumpa, pada suatu petang saya bertemu semula dengan Epul secara tidak sengaja. Rambutnya agak panjang, masih mengenakan baju berwarna hitam, warna kegemarannya. Sekaligus menunjukan minatnya pada band trash masih kekal. Kami berbual agak panjang petang itu. Menurut Epul dia baru sahaja tamat belajar di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan dalam jurusan penulisan dan jikalau tiada apa aral melintang akan menyambung pelajarannya tahun hadapan ke peringkat yang lebih tinggi. Setelah agak lama berbual, saya menyedari perbezaan yang amat ketara antara dia dan kebanyakan anak muda lain.

Mengkagumkan! Ya, itulah perkataan yang tepat yang boleh saya ungkapkan. Sebabnya, memang amat jarang saya berjumpa seorang anak muda seusianya sekitar awal dua puluhan yang mampu berfikiran cukup kritis, banyak membaca, mengkaji dan mampu melontarkan pandangan dari sudut pandangan yang mewakili kebanyakan anak-anak muda khasnya. Di sebalik gayanya yang ranggi, dia mampu berhujah, berserta huraian secara ilmiah dengan baik sekali.

Dalam perbualan kami, banyak berkisar tentang masyarakat kita hari ini. Dari politik hinggalah ke masalah sosial lain. Walaupun menurutnya dia tidak berpartisan, saya dapati dia mampu memerhati dan membaca apa yang tersurat dan tersirat dalam politik negara kita dengan baik. Mungkin disebabkan usia kami yang agak jauh bezanya, maka tidaklah semua pendapat kami sama. Masing-masing melontarkan hujah masing-masing dalam perbualan yang harmoni. Cuma satu, kami mempunyai tujuan dan matlamat yang sama. Untuk menggempur kebobrokan yang melitupi kita.

Ekoran pertemuan semula kami itu, beberapa hari kemudiannya saya diperkenalkan pula dengan beberapa rakannya. Rupa-rupanya rakannya yang lain turut mendukung gaya pemikiran yang sama. Seperti mana Epul, rakan-rakannya yang lain juga petah berhujah dengan berpandukan rujukan ilmiah seperti sejarah dalam dan luar negara dan sebagainya. Mereka ini tidak bergantung kepada sejarah buku teks semata-mata, malahan mereka ini berusaha mengkaji dari sumber-sumber lain yang mereka yakini antaranya, tentunya sumber dari internet dan juga buku-buku tulisan kajian sarjana sains sosial yang memperincikan lebih mendalam tentang politik negara dan luar negara semenjak sebelum merdeka.

Menurut Epul, generasinya yang idealis, mampu berfikiran kritis tidaklah ramai sebenarnya. Namun, mereka ini seperti mempunyai pengikut tersendiri dan semakin bertambah jumlahnya. Kalaulah apa yang dihujahkan oleh pemuda bernama Epul ini dalam perbualan isu politik antara kami dijadikan sandaran, maka benarlah Pas semakin hilang bisa dikalangan anak muda seperti mana yang terkandung di dalam kertas kerja yang dibentangkan oleh Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah. Apatah lagi kertas kerja yang dibentangkan oleh Dr Abu Hassan disertakan dengan statistik tinjauan pendapat. Menurut pandangan Epul, Pas masih lagi bersifat terlalu konservatif, enggan memahami idealogi anak muda dan kurang mendengar pekik mereka tetapi dalam masa yang sama mahukan anak muda ini mendengar mereka.

Seperti mana kenyataan naib presiden Pas, Salahuddin Ayub selepas Seminar Perkasa Parti baru-baru ini, Pas akan menubuhkan kumpulan pemikir. Bagi saya, amat wajar golongan pemuda seperti Epul ini dijemput sama menyertainya. Kumpulan pemikir yang bakal dibentuk itu akan hambar dan tidak tidak akan mencapai objektifnya jika tiada suara mereka. Tiada gunanya juga jika wakil pemuda yang dijemput ke dalam kumpulan tersebut hanyalah pemuda yang menyanyikan lagu senada dan seirama dengan yang menjemput mereka.

Pakatan Rakyat, khasnya dalam konteks ini Pas, tidak boleh lagi terus syok sendiri dengan mendakwa anak-anak muda menyebelahi mereka. Tindakan segera perlu dilaksanakan bagi mencapai objektif memenangi hati rakyat, golongan muda khasnya.


Selasa, 3 November 2009

Stamina Politik Anwar Ibrahim

Dalam saya memerhatikan pergolakan politik tanah air muktahir ini, saya amat tertarik dengan semangat juang yang ditunjukan oleh Dato Sri Anwar Ibrahim. Bukan sahaja semenjak PRU 12 tahun lalu. Malah perjuangan dan semangatnya telah tertonjol semenjak beliau memimpin gerakan pelajar ketika beliau muda lagi. Saya kira ramai yang juga tentu sedar akan kekentalan beliau memperjuangkan setiap apa yang beliau yakini.

Kalaulah ada senarai 50 atau 100 pemimpin politik seluruh dunia yang paling bersemangat kental, ‘berstamina politik’ di era moden ini, saya pasti akan menamakan Anwar Ibrahim di antaranya. Bukan mahu memuja insan bernama Anwar Ibrahim ini. Tetapi inilah hakikatnya. Baik kawan mahupun lawan, akan akur pendapat ini (bagi lawan yang ego, sekurang-kurangnya di dalam hati) Kenapa saya berpendapat demikian?

Semangat juang yang ada padanya tidak ubah seperti sistem antibodi manusia yang sihat. Sebagai contoh, katakanlah apabila seseorang yang normal kesihatannya tadi diserang demam. Semasa dia demam, sistem pertahanan badan akan melawan virus demam tersebut. Setelah demam tersebut kebah, sistem pertahanan badan yang terdapat di dalam tubuh badan manusia yang sihat tadi akan turut meningkat. Begitulah juga dengan manusia yang bernama Anwar Ibrahim ini. Setiap kali dia tersembam, terjatuh, dilontarkan dengan kecaman-kecaman hebat dan pelbagai nista terhadapnya, dia akan melawan dan setelah itu bangun semula dengan lebih gagah dan semangat yang lebih kental dari sebelumnya.

Ambil contoh lain yang mudah, mampukah seseorang ahli politik selain Anwar bangkit kembali setelah menghadapi pelbagai tuduhan di mahkamah termasuk meliwat? Lihat sahaja orang kuat Anwar pada masa itu, Zahid Hamidi. Baru dua bulan diasak di dalam ISA, keluar sahaja terus jadi ‘neutral.’ Saya percaya kebanyakan ahli politik lain kalaulah terpaksa melalui ranjau politik seperti Anwar, pasti selepas itu bagaikan harimau kehilangan taring. Malah bunyi ngauman sang belang akan bertukar menjadi ‘meow,’ lunak dan manja sahaja bunyinya minta nyawa, minta diusap, belai dan disuapkan makanan. Layak dijadikan harimau sarkas. Tetapi ini tidak berlaku terhadap Anwar. Bukan sekali beliau merengkok terpenjara.

Bahkan ramai percaya, Anwar pasti tidak perlu menghadapi semua itu sekiranya dia akur dengan kehendak bosnya ketika itu yang mahukan dia meletak jawatan. Tetapi demi prinsip dan percaya dengan apa yang diperjuangkannya, dia sanggup menghadapi risiko. Walaupun pada akhirnya beliau didapati tidak bersalah oleh mahkamah persekutuan atas tuduhan liwat, tetapi beliau telah merengkok di penjara selama enam tahun atas tuduhan salah guna kuasa. Itu bukanlah kali pertama beliau dipenjarakan. Semasa beliau memimpin pergerakan mahasiswa, beliau turut ditahan di bawah Akta ISA selama dua tahun. Tetapi tiada perkataan serik di dalam kamus insan seperti beliau.

Anwar mempunyai stamina berpolitik yang tinggi. Memang ramai ahli politik lain yang telah menceburi politik dalam jangka masa yang panjang. Namun tidaklah mereka terpaksa mengerah kederat yang banyak seperti Anwar. Tetapi mereka boleh diumpakan berkereta BMW melalui lebuh raya yang panjang tetapi selesa perjalanannya. Berlainan pula bagi Anwar. sudahlah berbasikal, jalan yang dilalui pula tidak ubah seperti trek mountain bike yang berbukit, berbatu tajam, meretasi sungai berarus deras, gaung-gaung curam di kiri kanan dan jauh pula perjalannya. Walaupun ketika melaluinya beberapa kali beliau tersembam, tetapi beliau tetap gagahkan diri untuk bangun semula. Bagi sesiapa yang tidak tertahan oleh ranjau rintangan tersebut, pastinya tidak akan terdaya menjejaki langkah beliau. Mereka inilah yang akhirnya pencen politik. Walaupun masih yakin akan perjuangan Anwar Ibrahim, mereka tidak mampu untuk meneruskan mengikuti jejak langkahnya. Atau ada juga yang akhirnya mengalah, dan memilih untuk melalui lebuh raya yang tentunya lebih mudah dan selesa. Pokoknya cuma sediakan kenderaan, duit petrol dan duit tol.

Selain faktor-faktor lain yang mendorong kemerosotan kerusi BN di parlimen selepas PRU 12, tidak dapat dinafikan ianya juga antara kesan impak pengaruh Anwar. Sememangnya Anwarlah yang berjaya menyatukan PR yang hakikatkannya berlainan ideologi. Walaupun para pemimpin Umno agak sinis dengan kenyataan ini, hakikatnya di dalam kem Umno akan kelam kabut setiap kali Anwar membuat sesuatu tindakan terbaru. Pendek kata apabila Anwar keluar rumah sahaja, mereka sudah mulai resah dan di dalam hati mereka, akan berfikir apa lagi yang akan dibuat oleh Anwar kali ini. Walaupun mungkin pada masa itu Awar sekadar keluar untuk membawa isteri tercintanya bersiar-siar! Begitulah fobia mereka.

Ingat tak, agenda 16 September Anwar? Saya rasa sungguh lucu sekali apabila buat julung-julung kalinya Kelab Penyokong BN mengadakan ‘lawatan sambil belajar’ ke Taiwan untuk ahli-ahli parlimen mereka. Mereka bermati-matian menyangkal dakwaan bahawa tujuan sebenar adalah untuk menjauhkan orang-orang mereka dari bertemu Anwar. Mungkin bagi mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik di kampung-kampung akan percaya (sekurang-kurangnya ada yang percaya!). Mereka ini, yang bahan bacaan mereka ialah akhbar milik Umno dan tontonan mereka juga stesen tv milik Umno tentunya percaya apa sahaja yang dilakukan oleh Umno tiada yang tidak baik melainkan yang baik-baik belaka. Manakala PR pula bagi mereka, tiada yang baik melainkan yang menjahanamkan belaka. Pendek kata apa yang dibuat Umno semuanya betul, apa yang dibuat oleh PR semuanya salah. Kiranya Umno itu semacam maksum!

Sekali lagi, pemimpin-pemimpin Umno akan berlagak seperti kenyataan ini cuma lawak kosong. Sebenarnya tidaklah susah mana untuk mengukur kerisauan hati pemimpin-pemimpin Umno terhadap pemimpin-pemimpin PR. Baca sahaja akhbar-akhbar atau media lain milik Umno terutama pada musim pilihan raya. Baik individu, mahupun parti yang sering diserang mereka, sebenarnya orang itulah yang paling ditakuti Umno. Selain Tok Guru Nik Aziz dan pemimpin-pemimpin PR yang lain, lihat bagaimana Anwar diserang oleh media-media ini. Dari semua arah, peluru-peluru menghujani beliau. Bukan dari media yang mereka kuasai sahaja, malahan jabatan-jabatan kerajaan turut menjadi mangsa. Misinya, melumpuhkan pergerakan lawan mereka.

Antara serangan terbaru terhadap beliau ialah ‘pengkhianat bangsa’ oleh TPM Muhyiddin Yassin. Sebenarnya di negara ini, tuduhan sebegini bukanlah perkara baru. Bukan sahaja bagi Anwar, sesiapa yang pernah menentang Umno atau pemimpin Umno akan merasainya. Tidak terkecuali Tun Musa Hitam. Dalam satu kenyataan beliau ketika Anwar baru dipecat dari jawatan TPM. Pada masa itu Anwar dilabel agen kuasa asing (boneka Amerika) oleh media arus perdana. Beliau berkata, pada masa beliau berada di dalam Team B yang menentang Team A pada tahun 1987, beliau juga dicap seperti itu. Ini menunjukan ayat agen asing atau pengkhianat bangsa memang ada tersenarai di dalam manual bertajuk ‘panduan cara-cara hendak menjatuhkan musuh politik.’ Sayangnya kebanyakan panduan di dalamnya kebanyakan adalah ‘idea basi’ belaka.

Tetapi seperti mana yang sudah-sudah, insan bernama Anwar Ibrahim ini menjadi semakin imun terhadap serangan seperti ini sekaligus menjadikan daya tahan beliau semakin meningkat. Saya yakin, sekiranya ada lagi seorang yang berpengaruh, secekal, setangkas dan berstamina berpolitik laksana harimau bertaring yang mengaum ini, pasti selepas PRU 13 nanti, harimau-harimau sarkas yang bunyinya “meow” akan bertempiaran lari masuk ke sangkar masing-masing!

Ahad, 1 November 2009

Aduhai Nasib Si Mak Janda...

JANDA. Itulah gelaran yang tidak diingini oleh setiap wanita. Tidak kira yang bersuami mahupun yang belum bersuami. Samada kematian suami ataupun bercerai hidup, tiada wanita yang berkahwin kerana kemarukkan title janda seperti mana sesetengah wanita yang kemaruk title mak datin. Kalau sudah memang setakat itu jodoh yang tertulis buat mereka, bak kata pepatah disangkakan hujan hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Apatah lagi bagi para isteri yang kematian suami. Sekelip mata kehilangan tempat bergantung, mengadu, bermanja dan lain-lain. Pendek kata seperti layang-layang yang terputus talinya.

Baru-baru ini, kira-kira dua minggu selepas kita merayakan Hari Raya Aidil Fitri, saya telah dikejutkan dengan berita kematian seorang sahabat akibat stroke. Kalau hendak dikirakan umur, Allahyarham masih muda lagi. Baru 40an dan isteri beliau juga sekitar awal 40an. Tetapi sudah kehendakNya. Ajal tiba tepat pada masanya, tidak kira tua atau muda.

Allahyarham adalah bekas pengawal keselamatan. Disebabkan keadaan kesihatannya yang semakin teruk, menyebabkan beliau berhenti kerja kira-kira setahun lalu. Anak-anak beliau tiga orang, masih bersekolah rendah. Isterinya pula seorang suri rumah sepenuh masa, menyebabkan saya terfikir bagaimana nanti isteri dan anak-anaknya menghadapi hari-hari mendatang tanpa suami dan bapa mereka. Sedih saya memikirkannya.

Mereka yang telah pergi, tetap pergi dan yang tinggal perlu meneruskan kehidupan. Sebelum ini saya sering berfikir tentang pandangan serong segelintir masyarakat terhadap wanita-wanita yang memegang gelaran janda, khususnya janda muda. Samada kita sedar atau tidak, golongan janda sering dijadikan kambing hitam. Kerana status janda, dengan mudah mereka dikaitkan dengan kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral.

Katakan seorang yang diketahui janda melalui di hadapan sekumpulan lelaki berhidung belang. Tidak kiralah bujang, duda atau suami orang. Tahu apa kata mereka? Antara ungkapan yang akan keluar ialah ‘ada chance!, boleh makan!, tu dah lama tak dapat, bergetah dan bermacam lagi yang seolah-olah asalkan janda sahaja, pasti tidak mempunyai pegangan dan mudah diratah. Katakan lagi, seorang janda yang baru berpindah di kawasan rumah kita. Segelintir para isteri akan pakat-pakat memantau pergerakan janda itu ataupun pulaukan janda tersebut kerana kesangsian yang tidak bertempat.

Bukan itu sahaja, ada juga yang mengeksplotsi gelaran janda untuk tujuan komersial. Kalau baik dan kena caranya bolehlah juga diterima (?). Tetapi kalau minuman untuk tenaga batin, kenapa harus dikaitkan dengan janda? Tidak ke pelik? Bukankah lagi bagus kalau minuman untuk tenaga batin dinamakan seperti ‘untuk isteriku’ atau ‘buat suamiku.’ Itukan lagi tepat.
Mungkin ada yang beranggapan pendapat yang saya lontarkan tadi buruk bunyinya. Tetapi begitulah hodohnya persepsi yang menunjukan kehodohan moral dan ‘mind set’ segelintir masyarakat kita sendiri. Bagi para lelaki termasuklah saya sendiri, cubalah renungkan sejenak. Seandainya ditakdirkan kita yang pergi dahulu. Bagaimana nanti isteri kita melalui senario seperti di atas? Atau bagi seorang wanita, jika ditakdirkan si suami pergi dahulu, mahukan anda melalui senario tadi? Ingat, dalam dunia ini, apa yang kita buat pada orang lain boleh jadi terkena pada batang hidung sendiri.

Persepsi-persepsi buruk seperti ini harus diubah. Ramai janda-janda di luar sana, yang meneruskan kehidupannya hanya fokus semata-mata kerana adanya anak-anak yang perlu dibela. Keluar pagi, balik petang demi memberikan kehidupan yang sempurna untuk anak-anak mereka. Bahkan memiliki akhlak yang lebih tinggi dari yang bukan janda. Memang benar terdapat segelintir janda yang tidak kuat pegangan dan yang terjerumus memberikan imej buruk buat gelaran janda. Bukan semua begitu. Hakikatnya, yang bukan janda pun baik suami orang, isteri orang mahupun yang masih bujang pun ramai yang turut bergelumang dengan onar.

Pandangan serong segelintir masyarakat terhadap golongan janda harus dihentikan. Para isteri, janganlah terlalu gusar tidak bertempat jika ada janda yang baru berpindah ke kawasan kejiranan anda. Kalaupun perlu anda awasi, mungkin juga suami anda sendiri. Sekelian yang sekaum Adam dengan saya juga, cuba bayangkan bagaimana pandangan masyarakat terhadap isteri anda setelah ketiadaan anda nanti. Janda harus dipandang sama rata dengan status-status lain. Tidak kiralah samada janda kerana kematian suami atau sebaliknya. Sama-sama kita renungkan…

Paparan Halaman