Sabtu, 25 Februari 2012

Noh Hantar Wakil Rayu Henti Isu Jual Tanah

Oleh Nazli Ibrahim
 
TANJUNG KARANG, 25 FEB: Terdesak menutup pekung, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar bertindak menghantar Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Umno Bahagian Tanjung Karang bertemu Naib Ketua Pas Sungai Burung, Hj Misran Serman agar menarik kembali kenyataan beliau dalam laporan TVS sebelum ini.

Menurut Misran pertemuan yang diadakan di Pekan Tanjung Karang pada petang Isnin 20 Febuari baru-baru ini dibuat dalam keadaan terdesak berhubung laporan Umno Tanjung Karang menjual tanah milik kerajaan negeri sekaligus memperolehi keuntungan dari urusniaga tersebut.

"Hari itu saya pergi ke Kuala Lumpur dari pagi sehinggalah petang baru saya balik ke Tanjung Karang.

"Kerana terdesak, dia sanggup tunggu saya dari pagi hingga ke petang untuk berjumpa saya dan merayu menarik semula kenyataan saya dalam isu penjualan tanah milik kerajaan negeri itu.

"Dia beritahu saya bahawa Datuk Seri Noh yang menghantarnya bertemu saya untuk mennyelesaikan isu ini secepat mungkin untuk mengelakkan isu ini menjadi lebih besar lagi.

Bagaimanapun menurut Misran, beliau tidak dapat menuruti rayuan AJK Umno yang namanya tertera sebagai pemegang 60 peratus syer syarikat Bumi Utama Building Material Sdn Bhd dalam carian yang diperolehi dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Macamana saya nak tarik balik kenyataan saya itu, sedangkan laporan itu berdasarkan dokumen yang diperolehi dari SSM dan pejabat tanah bukanlah sesuatu yang keluar dari mulut saya tanpa asas kukuh.

"Memang dah ada nama dia pada dokumen SSM dengan jelas dan catatan carian pejabat tanah juga memang dah terang-terang tertulis nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) Bahagian Tanjung Karang," katanya lagi.

Misran juga berpendapat isu ini bukanlah sebuah isu yang remeh kerana ianya melibatkan kepentingan orang ramai khususnya masyarakat di Tanjung Karang.

* TVSelangor

Jumaat, 24 Februari 2012

Umno Tanjung Karang Jual Tanah Kerajaan Negeri

Oleh Nazli Ibrahim

TANJUNG KARANG, 17 FEB: Sebidang tanah berkeluasan 4370 meter persegi yang sebelum ini dimiliki Kerajaan Negeri Selangor dipercayai telah dijual oleh Umno Bahagian Tanjong Karang kepada dua buah syarikat berasingan.

Tanah tersebut dikatakan telah 'dianugerahkan' oleh kerajaan negeri terdahulu kepada Umno sebelum menjualkannya kembali kepada dua syarikat swasta untuk mendapatkan 'untung atas angin'. 

Tanah yang kini menempatkan bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Tanjong Karang tersebut telah didaftarkan atas nama Bumi Utama Building Material Sdn Bhd dan Bayacorp Sdn Bhd pada 1 Mac 2007, ketika BN masih menerajui pentadbiran negeri terbabit.

Demikian menurut Naib Yang DiPertua PAS Tanjung Karang, Hj Misran Serman ( gambar) ketika ditemubual TVS hari ini.

"Asalnya tanah kerajaan, tetapi sudah dipindah milik, dianugerahkan kepada Umno dan Umno pula jual pada syarikat bukan bumiputra.

"Kalau macam itu, senang-senanglah Umno dapat keuntungan atas penjualan tanah milik kerajaan negeri itu," kata Misran.

Beliau turut menyerahkan dokumen yang diperolehi dari Pejabat Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) dan Suruhan Jaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada TVS bagi membuktikan dakwaan tersebut.

Semakan TVS terhadap dokumen-dokumen terbabit menunjukkan tanah yang bernombor lot PT115 dan terletak di Bandar Tanjung Karang itu kini dimiliki dua buah syarikat seperti yang didakwa oleh Misran sebelumnya.

Hasil carian terhadap dokumen SSM pula mendapati pengarah-pengarah Syarikat Bumi Utama Building Sdn Bhd ialah Datin Chia Mee Sim, Lau Chuan Mei dan setiausahanya Gangngadeve a/p Narsaiah.

Manakala Ahli Jawatan Kuasa Umno Bahagian Tanjong Karang, Mohd Kifli Abu Samah pula merupakan pemegang 60 peratus syer syarikat terbabit.

Individu bernama Hamyzar Toha yang tidak diketahui indentitinya pula memegang sebanyak 40 peratus kepentingan syarikat terbabit.

Sementara itu, hasil carian yang sama terhadap Bayacorp Sdn Bhd pula mendapati tiga individu yang dilantik sebagai pengarah syarikat itu juga merupakan individu yang sama dalam syarikat Bumi Utama Building Material Sdn Bhd.

Misran yang juga merupakan anggota Ahli Majlis Tanjong Karang juga memberitahu satu permohonan untuk membina sebuah hotel telah dibuat di atas tanah tersebut.

"Selepas itu pihak terbabit ada membuat permohonan untuk membina sebuah hotel di tapak tanah itu, tetapi saya sebagai ahli majlis telah membuat bantahan dan permohonan itu tidak mendapat kelulusan majlis.

"Tak tahulah kalau mereka cuba buat rayuan kepada Menteri Besar pula selepas itu," kata beliau lagi.

Susulan itu TVS akan membuat susulan Isnin depan.


* TVSelangor

Paparan Halaman