Khamis, 16 Ogos 2012

Guru Pondok Fatwa Haram Undi DAP Terima Sumbangan RM2 juta Dari Umno

Gambar Dari Anak Sungai Derhaka
 Oleh Nazli Ibrahim

SHAH ALAM 17 OGOS: Laporan dan foto pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa’amah sedang menerima sumbangan RM2 juta dari Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang semakin hangat diperkatakan di ruang siber mencetuskan pelbagai tanggapan negatif terhadap guru agama tersebut.

Malah, beliau turut menggelarkan parti itu sebagai kafir harbi.

Beliau yang sebelum ini mengeluarkan fatwa kontroversi, mengharamkan pengundi Islam mengundi DAP itu baru-baru ini didapati menerima sumbangan bagi membiayai perbelanjaan sekolah agama yang diasasnya itu.

Menurut laporan beberapa akhbar arus perdana semalam, majlis penyerahan sumbangan itu diadakan pada Selasa, 14 Ogos iaitu kira-kira hampir seminggu selepas beliau mengeluarkan fatwa kontroversi itu.

Menurut satu laporan Utusan Online semalam, peruntukan RM2 juta tersebut diluluskan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan berdasarkan kepada permintaan jawatankuasa pondok berkenaan.

Pondok berkenaan dikatakan hanya mempunyai seramai 25 orang pelajar sahaja pada masa ini.

Menurut pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yang turut dikenali sebagai Chegu Bard hari ini, fatwa yang dikeluarkan oleh Abdullah itu memberi imej buruk kepada agama Islam hari ini.

“Mula-mula dia keluarkan fatwa haram orang Islam sokong DAP, lepas tu umum mengetahui dia terima RM2 juta dari Umno sekali gus memberi tanggapan bahawa guru-guru agama ini boleh digunakan dengan wang,” kata beliau kepada TVS hari ini.

Menurut Chegu Bard, lebih memburukan keadaan apabila fatwa yang dikeluarkan ini didapati boleh mengancam keselamatan dan menghuru-harakan negara.

“Malah, keamanan yang ada boleh terancam kalau umat Islam di Malaysia mengambil serius fatwa yang dikeluarkan, seolah menggambarkan Islam menghalalkan darah ahli DAP.

“Kalau kita kaji era kejatuhan Islam di barat ketika zaman gelap di eropah, keadaan ini juga mampu melemahkan pengaruh Islam sendiri di negara ini,” kata Chegu Bard.

* Media Selangorku/TVSelangor

Selasa, 14 Ogos 2012

Samy Salahguna Kuasa Lantik Kroni Urus Projek RM35 Juta

Kredit: TVSelangor/Media Selangorku
Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA, 14 OGOS: Bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S.Samy Vellu didakwa menyalahgunakan kuasa untuk melantik syarikat milik rakannya sebagai perunding satu projek pembinaan Universiti AIMST.

PKR, dalam satu sidang medianya hari ini menjelaskan, syarikat tersebut adalah TMI Nusantara Consultans (M) Sdn Bhd yang dimilik oleh Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim.

“Syarikat ini dibayar RM35 juta untuk perkhidmatannya dengan bayaran bulanan sebanyak RM144, 497 dari mula kerja pembinaan sehinggalah tamat tempoh tanggungan kecacatan bangunan ini.

“Adakah ianya diberikan melalui tender terbuka?” kata Setiausaha Biro Startegi dan Polisi Kebangsaan, S. Gobi Krishnan dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Samy merupakan Pengerusi dan juga Kanselor Universiti AIMST.

Selain itu dalam sidang media sama, Gobi turut mempersoalkan penglibatan Samy dalam isu pemberian pinjaman tanpa faedah sebanyak RM9 juta kepada ahli perniagaan, Tan Sri Hari Narayanan oleh MIED (Maju Institute of Educational Development).

Sama seperti Universiti AIMST, MIED juga dipegerusikan oleh bekas Presiden MIC itu.

Pinjaman tersebut dikeluarkan kepada Hari yang diketahui rakan kepada Samy tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah MIED lain.

* TVSelangor/Media Selangorku

Sabtu, 11 Ogos 2012

Chegu Bard: KPN Perlu Tegur Regim Umno-BN Dahulu


Gambar: TVSelangor
SHAH ALAM 12 OGOS: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar disaran menegur kerajaan Umno-BN terlebih dahulu kerana menggunakan hari kemerdekaan untuk kepentingan politik mereka.

Saranan tersebut dibuat oleh pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dalam satu kenyataan balas terhadap gesaan Ismail agar tidak mengadakan ‘Himpunan Janji BERSIH’ di malam ambang merdeka 30 Ogos akan datang.

Beliau yang lebih popular dengan gelaran Chegu Bard mendakwa Umno-BN telah mengambil kesempatan sempena sambutan hari kemerdekaan di negara ini bermula pada tahun 1957 lagi, tetapi tidak pernah ditegur oleh mana-mana KPN.

“Sambutan ulang tahun kemerdekaan sudah lama ditunggang oleh Umno-BN demi kepentingan politik mereka, tetapi tahun ini terlalu melampau kerana tema hari kebangsaan itu sendiri terus disalin tampal dari tema yang digunakan dalam jelajah BN iaitu Janji Ditepati.

“Lagu yang digunakan pula jelas digunakan dalam program BN bagi menghentam seteru politiknya kemudian diubah sedikit sahaja liriknya.

“lebih parah lagi dengan kemunculan logo kemerdekaan yang ‘buruk’ dan kemudian ditarik balik oleh menteri dengan mengatakan kita tidak punya logo rasmi,” kata beliau.

Chegu Bard turut mempertikaikan tindakan kerajaan yang hanya menonjolkan beberapa tokoh sahaja termasuk bekas-bekas Presiden Umno sebagai pejuang kemerdekaan.

“Selama ini sambutan kemerdekaan hanya mengenengahkan 5-6 sahaja tokoh kemerdekaan negara iaitu terdiri dari Presiden Umno sahaja.

“Ya, Tunku Abdul Rahman terlibat dengan ulangtahun kemerdekaan negara, tetapi apa kena mengena usaha memerdekakan negara dengan baki Presiden Umno selepas itu? soal beliau.

Chegu Bard juga memberitahu, pengiraan detik 12.00 malam oleh ‘Himpunan Janji BERSIH’ yang dirancang di Dataran Merdeka itu bukanlah suatu acara berasingan, tetapi ia melibatkan pemimpin dan orang ramai yang berada di situ.

Terdahulu, Ismail, sambil menganggap tindakan 26 NGO menganjurkan Himpunan Janji BERSIH di malam ambang merdeka sebagai tindakan mempolitikkan sambutan Hari Kemerdekaan, beliau juga mahu himpunan itu dibatalkan.

PAS: DAP Tak Pernah Bawa Hudud Ke Mahkamah Seperti Umno



 
Gambar :  Malaysiakini
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tindakan pengerusi DAP Karpal Singh menolak pelaksanaan hukum hudud bukanlah satu perkara yang menghairankan. 

Akhbar Sinar Harian memetik Abdul Hadi sebagai berkata, Karpal dan pemimpin DAP juga berhak untuk tidak mempersetujui pelaksanaan itu memandangkan kalangan itu bukan beragama Islam.

Bagaimanapun, DAP tidak pernah membawa hukum hudud ke mahkamah, seperti yang dilakukan Umno ke atas kerajaan negeri Kelantan, kata Abdul Hadi.

"Kerajaan pusat pernah hantar surat kepada kerajaan Kelantan, jika Kelantan laksana hudud, kerajaan pusat akan bertindak.

"Selepas itu, kes (hudud) pernah dibawa ke mahkamah. DAP belum pernah bahawa hudud ke mahkamah.
"Umno tolak hudud sebelum PAS berpakat dengan DAP lagi," katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Isu tersebut timbul ekoran laporan Utusan secara berturut-turut minggu lalu yang mendakwa haram bagi orang Islam menyokong DAP.

Laporan itu antara lainnya menyatakan bahawa DAP  "secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud."

Laporan yang memetik kenyataan seorang guru pondok itu ditangkis pemimpin Pakatan, antaranya ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkannya sebagai satu bentuk kempen pelampau agama.

Anwar juga berkata, akhbar tersebut tidak melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mantan perdana menteri juga tidak menyokong hukum hudud.

Kenyataan itu disambut Mahathir yang berkata, pendiriannya tidak bersetuju dengan hudud yang dituntut PAS tidak boleh disamakan dengan DAP kerana Malaysia sudah diisytiharkan sebagai negara Islam ketika zaman pentadbirannya.

Justeru, bekas perdana menteri itu menafikan dakwaan beliau anti-Islam kerana tidak melaksanakan hukuman hudud semasa pemerintahannya.

Khamis, 9 Ogos 2012

PRU selepas penggal penuh, senarai calon BN masih disusun, kata sumber

Oleh Jahabar Sadiq
Editor

KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Barisan Nasional (BN) mungkin memanggil pilihan raya selewat-lewatnya tahun depan oleh kerana Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum menyelesaikan senarai calon-calon dan sedang berurusan dengan penyandang yang enggan memberi laluan kepada muka baru, kata sebuah sumber kepada The Malaysian Insider.

Minggu lalu, Perdana Menteri (PM) bertemu dengan pegawai-pegawai UMNO pada majlis berbuka puasa di seluruh negara, termasuk di Terengganu malam tadi, memberi taklimat mengenai persiapan pilihan raya dan berkata beliau yakin BN dapat kembali majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Isunya sekarang adalah senarai calon.

“Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih sedang menyelesaikannya.

“Pilihanraya tidak akan dipanggil selagi senarai calon belum selesai,” kata seorang ahli Umno yang menghadiri salah satu program berbuka puasa tersebut.

The Malaysian Insider sebelum ini telah melaporkan bahawa rancangan untuk membubarkan Parlimen pada bulan ini telah ditangguhkan selepas dua ahli parlimen Sabah keluar BN dan memberikan sokongan kepada musuh ketat, Pakatan Rakyat (PR).

Laporan penuh:

'Himpunan Janji Bersih' Sempena Kemerdekaan Di Dataran Merdeka


Oleh TV Selangor

KUALA LUMPUR – Lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan ‘Himpunan Janji Bersih’ sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 pada tahun ini.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A Samad Said berkata Himpunan Janji Bersih itu diadakan susulan kepada lapan tuntutan Bersih 2.0 yang lalu.

Katanya, perhimpunan yang diadakan pada jam 10 malam, 30 Ogos di Dataran Merdeka itu juga dianjurkan bagi membawa mesej orang ramai yang memerlukan sebuah Malaysia yang bersih dan adil.

“Kami mahu lapan tuntutan itu ditunaikan. Kami dengan terbuka hati menjemput semua rakyat Malaysia, anak semua bangsa untuk bersama-sama kami merayakan ketulenan Hari Kemerdekaan.

“Kita telah banyak mendengar janji-janji untuk perayaan sambutan merdeka tahun ini, kami tahu apa yang orang ramai mahu ialah Malaysia yang bersih dan adil sebagai sambutan Kemerdekaan yang ke-55,” katanya dalam sidang media di sini.

* Media Selangorku/TVSelangor

Selasa, 7 Ogos 2012

Al-Kisah Suatu Pagi Di Kamar Kak Ijat

Gambar Hiasan: Kredit wehadjoy.blogspot.com
Oleh Beduk Canang

Pagi itu seperti biasa, Abang Solleh masih berkain batik, bergumpal di bawah selimut hapaknya.  Kesejukan yang dibawa oleh angin dari penyejuk udara di bilik itu menggigit hingga ke tulang-temulangnya.  

Abang Solleh membuka sedikit matanya, kelihatan Kak Ijat masih lagi sedang menonyohkan lipstik merah pekat-mekat itu ke bibir mungilnya itu.  Abang Solleh sedikit geram tetapi ditahankannya.

Sedang asyik Abang Solleh memerhatikan bibir mungil Kak Ijat, tiba-tiba isteri kesayangannya itu berpaling cepat memerhatikannya.  Lalu cepat-cepat Abang Solleh memejamkan matanya  rapat-rapat.

"Bang, bang! bangunlah bang, ada banyak kerja di dapur tu, saya nak pergi kerja cepat ni sebab ada mesyuarat penting kat office hari ini," kata Ijat kepada suaminya itu sambil menepuk-nepuk punggung Abang Solleh.

Hari ini mesyuarat untuk membincangkan penganugerahan sebuah projek ternakan lembu kepada sebuah syarikat yang tidak pernah didengarinya akan diadakan. Dia perlu cepat sebelum 'big bos' sampai dahulu.

Abang Solleh masih buat endah tak endah sahaja, semakin mengerekot dalam selimut dan berterusan berpura-pura tidur.

Bosan dengan tindak balas sang suami, Kak Ijat bingkas meninggalkan Abang Solleh yang masih mengerekot dan bergumpal dalam selimut hapaknya di kamar tidur itu.

Tatkala terdengar sahaja deruman kereta Kak Ijat meninggalkan perkarangan rumah teres dua tingkat itu, umpama spring, Abang Solleh bingkas melompat dan menuju ke bilik mandi.

Selesai mandi, sepantas  kilat Abang  Solleh mengenakan pakaian lazimnya setiap kali keluar ke tempat rutin hariannya itu.

Selepas itu Abang Solleh berlari pula ke dapur dan bergegas menyiapkan tugasan yang diberikan Kak Ijat pagi tadi.

Dia perlu bertindak cepat dan cermat. Tugasan rumah perlu diselesaikan dan bukti harus dibersihkan  sebelum dia boleh meninggalkan rumah kalau tidak mahu kegiatannya dapat dihidu Kak Ijat.

Sudah lama Abang Solleh berjaya merahsiakan kegiatannya dari pengetahuan Kak Ijat. Abang Solleh perlu bertindak cepat dan lebih teliti dari biasa.

Kecuaian seperti semalam tidak boleh terjadi sekali lagi.  

Semalam seperti selalu Abang Solleh perlu tiba dahulu ke rumah sebelum Kak Ijat pulang.  Seperti biasa juga dia tergesa-gesa mengenakan semula kain batik lusuhnya bagi mengelakkan Kak Ijat mengesyaki kegiatannya  keluar rumah setiap hari.

Entah macamana semalam Kak Ijat pulang lebih awal dari biasa. Dia bernasib baik. Mujurlah anaknya terlebih dahulu mengetahui Kak Ijat akan pulang awal hari itu.  

Kelam kabut anak lelakinya itu menghubunginya.  Dalam keadaan tergesa-gesa itulah, tanpa disedarinya secalit tahi lembu telah terpalit di tangan kanannya.

Sepulangnya Kak Ijat, rumah mereka bertukar menjadi kecoh dengan pertanyaan bertalu-talu Kak Ijat.

"Mana datang bau tahi lembu ni?

"Baik abang beritahu saya betul-betul, apa yang abang buat masa saya tidak ada di rumah," bentak Kak Ijat.

Maka jenuhlah Abang Solleh meyakinkan Kak Ijat bau busuk yang dihidu Kak Ijat tatkala bersalam dan mencium tangannya tadi adalah bau tahi kucing peliharaan mereka, bukanlah tahi lembu.

Walaupun pada awalnya Kak Ijat tidak mempercayainya, akhirnya setelah diyakinkan dia mengalah juga.

Terbayang-bayang di kepala Abang Solleh, kemesraan dua lembu betinanya, Wan dan Menerung yang manja itu mengesel-geselkan tubuhnya ketika dia sibuk bercakap di telefon.

"Mungkin ketika itulah tahi lembu kesayangannya itu terpalit di tangan kanannya yang akhirnya melekat di batang hidung Kak Ijat.  Entahkan tahi milik Wan, entahkan milik Menerung," desis hati Abang Solleh sendiri.

Di pagi yang lain, di kamar Kak Ijat, seperti biasa Abang Solleh mengelupur bersiap untuk menemui lembu-lembunya.
 
"Biarlah rahsia ini kekal rahsia," bisik hati Abang Solleh taktkala sedang menyeka rambut ikal di atas kepala  yang hampir menyerupai landasan kapal terbang itu. 

Tiba-tiba Abang Solleh tersenyum lebar, semakin lebar dan akhirnya dia ketawa terkekeh-kekeh di hadapan  cermin di kamarnya itu.

"Sepandai-pandai Ijat mengelentong di luar sana, akhirnya bodoh-bodoh ajer kena kelentong dengan aku," kata hatinya lagi sambil tersenyum puas.


Isnin, 6 Ogos 2012

Anak Bekas Peneroka Sg Buaya Tuntut Baki Pampasan

Oleh Anak-anak Felda Sungai Buaya Rawang 
Gambar Dari EraPakatan.com
Pada tahun 1994 ada seramai 363 orang dan keluarga masing-masing Peneroka Felda Sungai Buaya di Hulu Selangor. Keluasan tanah ladang yang mereka miliki adalah 3100 ekar. Dan kini jumlah itu telah kehilangan seramai 290 orang peneroka yang sudah meninggal dunia.

Dan pada hari ini mereka tidak memiliki walaupun seinci tanah di bekas rancangan Felda Sg Buaya itu. Apa yang berlaku?


Pada tahun 1994 itu, peneroka-peneroka Sungai Buaya telah diajak berunding untuk membangunakan kawasan rancangan mereka dengan dijanjikan setiap daripada mereka akan menerima sejumlah wang sebanyak RM1 juta.


Pihak JKK Sungai Buaya dalam keghairahan mereka untuk menjadi jutawan, telah berjaya mendapatkan setiap daripada peneroka itu menandatangani Surat Perjanjian dengan sebuah Syarikat Pembangunan yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.  
Walaupun ada segelintir yang menentang usahasama ini, namun mereka tidak dapat melakukan apa-apa untuk menghalang usahasama dengan syarikat pembangunan berkenaan.

Pada tahun 2003, semua peneroka Felda Sg Buaya telah menyerahkan tanah hak milik masing-masing kepada Syarikat Murna Jaya Sdn Bhd dengan balasan untuk dibayar RM1 juta setiap orang.


Dengan itu hilanglah hak peneroka-peneroka keatas tanah mereka dan mereka dibayar RM185,000.00 setiap seorang, dan berbaki lagi RM815,000.00.


Syarikat Jaya Murni Sdn Bhd gagal melaksanakan pembangunan diatas tanah yang telah diserah kepada mereka, dan gagal menjelaskan baki bayaran kepada peneroka-peneroka tersebut.


Ini menyebabkan peneroka-peneroka itu bukan sahaja kehilangan tanah tetapi juga kehilangan mata pencarian.

Didalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor, pihak Barisan Nasional telah membayar sebanyak RM50,000.00 kepada peneroka-peneroka (bekas peneroka-peneroka) atau waris-waris mereka sebagai satu usaha menarik undi untuk mengundi Barisan Nasional, tetapi setelah bayaran itu dibuat, Barisan Nasional tidk melakukan apa-apa untuk membangunkan tanah tersebut dan kedudukan peneroka-peneroka masih tidak terbela.

Syarikat Murna Jaya Sdn Bhd telah mengambil kesempatan menjualkan sebahagian daripada tanah yang diserahkan kepada mereka oleh peneroka-peneroka kepada sebuah syarikat iaitu Dinamis Sdn Bhd seluas 600 ekar, tetapi hasil jualan itu tidak pula dibayar kepada peneroka-peneroka.

1000 ekar telah dibina rumah, dan daripada 1600 ekar yang dimiliki oleh Murna Jaya Sdn Bhd, 1000 ekar telah diambil-alih oleh Kerajaan Negeri Selangor kerana Murna Jaya Sdn Bhd gagal menjelaskan tunggakan cukai tanah sejumlah lebihkurang RM10 juta.

Murna Jaya kini masih memiliki 600 ekar.

Kegagalan pembangunan kawasan ini dan kegagalan menjelaskan pampasan kepada peneroka-peneroka Felda Sg Buaya ini berlaku semasa pentadbiran Tan Sri Muhammad Mohd Taib menjadi Menteri Besar dan terus gagal semasa pentadbiran Datuk Seri Khir Toyo.

Peneroka-peneroka Sg Buaya memandang kehadapan agar nasib mereka dapat dibela oleh Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor.

Di dalam lawatan YAB Menteri Besar Selangor itu ke Felda Sungai Buaya pada 1hb Julai 2011, persoalan ini telah ditimbulkan dan keadilan yang dipinta oleh peneroka-peneroka adalah agar wujud perbezaan di antara Kerajaan Negeri Selangor yang diperintah oleh Barisan Nasional dan yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. 
Harapan peneroka-peneroka itu digalas oleh Menteri Besar Pakatan Rakyat Selangor yang ada hari ini. 

Sabtu, 4 Ogos 2012

Tsunami Politik Sabah Bukti Misi 16 September Anwar 'Real'?

Gambar: Kredit kepada http://kerajaanrakyat.blogspot.com
Gelora politik di Sabah muktahir ini bukan sahaja menarik perhatian para penganalisis politik malah ada yang menganggapnya sebagai petanda satu lagi petanda tsunami politik melanda negara.
 
Bermula dari khabar-khabar yang awalnya cuma dianggap hanya khabar angin, akhirnya dua Ahli Parlimen Sabah, Datuk Seri Lajim Hj. Ukin dan Datuk Wilfred Boomboring mengambil keputusan meninggalkan BN.

Tidak berapa lama selepas itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan memberitahu akan ada lagi kejutan lain dari negeri di bawah bayu itu.

Terkini, satu senarai nama beberapa Ahli Parlimen dan Adun dari Sabah dikatakan akan menjejaki Lajim dan Wilfred.

Antara nama yang disebut adalah tiga Ahli Parlimen, Tan Sri Bernard Dompok, Siringan Gubat dan Datuk Dr. Marcus Mojinggoh.

Manakala di peringkat Adun pula seramai enam orang dijangka akan turut berbuat demikian ialah ADUN Moyog YB Donald Peter Mojuntin, ADUN Kuala Penyu YB John Teo Mau Sing, ADUN Kuamut YB Masiung Banah, ADUN Paginatan YB Datuk Ewon Ebin, ADUN Bingkor YB Justin Guka dan ADUN Nabawan YB Datuk Bobby Suan. Enam orang kesemunya.

Perkembangan terbaru ini membuatkan saya teringat misi 16 September Anwar untuk menumbangkan kerajaan melalui cara lompat parti oleh Ahli-ahli Parlimen termasuk dari Sabah sendiri.

Adakah individu yang terlibat dalam perkembangan terbaru ini merupakan serpihan pihak yang sama telah ditemui Anwar dalam melaksanakan misi 16 September itu?

Adakah perkembangan terbaru ini menandakan misi 16 September Anwar ketika itu memang sesuatu yang realiti tetapi berjaya dipatahkan oleh BN?

Saya masih ingat ketika itu, menurut beberapa sumber memberitahu dengan bantuan beberapa  rakan politik di Sabah dan Sarawak, Anwar memang giat menjayakan misinya itu.

Bagaimanapun usaha beliau itu berjaya dipatahkan oleh BN dengan pelbagai cara.

Adakah gambaran 'tiada apa-apa akan berlaku dan tiada apa yang patut dirisaukan' yang digambarkan oleh media arus perdana ketika itu hanyalah rekaan mengelabui mata masyarakat dan sekaligus menyedapkan hati sendiri?

Kalau tidak masakan Pak Lah tampak kelam kabut menghantar Ahli Parlimen BN ke luar negara kononnya   'lawatan sambil berlajar' ke Taiwan.

Mungkin sedikit sukar untuk memahami apa yang terjadi ketika itu.

Apa pun rentetan dari kronologi ini jelas menunjukkan komunikasi kedua-dua belah pihak antara Anwar dan pihak sebelah BN sudah lama terjalin, suatu petanda tidak baik untuk Najib dan Umno-BN.

Jumaat, 3 Ogos 2012

Rekod Yang Diingini dan Tak Diingini Najib

Di samping mengucapkan tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berharap pemain badminton nombor satu negara itu mencipta rekod pingat emas Sukan Olimpik pertama negara.

Saya kira bukan Najib sahaja, malah rata-rata rakyat Malaysia turut  berkongsi harapan yang sama agar pingat emas temasya suukan terbesar dunia itu berjaya dibawa pulang. 

Ironiknya, dalam arena politik negara pula, Najib sendiri sedang berusaha keras untuk mengelak dari terciptanya dua rekod negara iaitu Perdana Menteri yang tidak pernah memenangi pilihan rayanya sendiri dan Perdana Menteri tempoh perkhidmatan terpendek.

Kegagalan beliau itu juga sekaligus menjadikan beliau adalah Perdana Menteri terakhir Umno-BN yang menduduki Putra Jaya.

Bagaimanapun, sebelum ini Najib dilihat telah mencipta beberapa rekod yang tidak pernah digapai oleh lima Perdana Menteri sebelumnya.

Antaranya, Najib dikatakan Perdana Menteri pertama yang dikaitkan dengan satu kes pembunuhan.

Dalam kes tersebut, ianya turut melibatkan skandal pemberian komisyen pembelian aset pertahanan negara, walaupun bukan yang pertama tetapi yang ianya adalah yang pertama didedahkan secara besar-besaran.

Selain rekod Perdana Menteri Pertama dikaitkan dengan kes-kes berkaitan kematian warga Mongolia itu, adakah Najib mampu mengelak dari satu lagi rekod lain terpecah?

Kalau dalam soal rekod pingat emas pertama Olimpik, mungkin Najib berkongsi aspirasi dengan rakyat negara ini.

Namun dalam isu rekod Najib sebagai Perdana Menteri, saya percaya sejumlah besar rakyat negara ini menaruh harapan besar agar beliau menjadi pemecah rekod sekaligus menjadikan Malaysia negara lebih baik dari sekarang.

Beduk Canang

Khamis, 2 Ogos 2012

Parlimen Bubar Bulan Syawal, Buang Undi September?

Pelbagai ramalan timbul mengenai tarikh sebenar pembubaran parlimen. Dari hujung tahun lepas, awal tahun ini dan pelbagai spekulasi lagi.

Termasuklah penulis sendiri turut terjebak dalam cubaan meramalkan tarikh pilihan raya ini turut meleset dan bulan demi bulan berlalu, tetapi masih tiada tanda parlimen dibubarkan.

Semenjak itu, penulis enggan meramalkan sebarang tarikh sebaliknya lebih berminat menumpukan kepada isu-isu tertentu berkaitan dengan pilihan raya. 

Semenjak akhir-akhir ini, semakin ramai yang meramalkan tarikh PRU-13 tidak akan diadakan pada tahun ini sebaliknya akan diadakan pada awal tahun hadapan.

Bagaimanapun, tiba-tiba muncul pula dari satu sumber hari ini, parlimen akan dibubarkan dalam bulan Syawal nanti dan hari pembuangan undi akan diadakan sebelum menjelang penerbangan pertama haji.

Sumber dalaman dari sebuah kerajaan negeri itu juga menyatakan kemungkinan besar pembubaran dibuat setelah beberapa hari umat Islam merayakan Hari Raya Puasa yang dijangkakan jatuh pada 19 Ogos  akan datang.

Menurut sumber terbabit, perkara tersebut dinyatakan dalam sebuah mesyuarat yang melibatkan pentadbiran kerajaan.  


Sekiranya pembubaran parlimen dibuat pada minggu pertama raya, maka SPR masih mempunyai tempoh lebih sebulan untuk mengadakan pilihan raya sebelum bermulanya keberangkatan penerbangan pertama musim haji tahun ini

Penerbangan pertama haji ke Mekah tahun ini pula bermula pada 29 September sekaligus memberi tempoh yang mencukupi untuk persediaan SPR mengadakan pilihan raya sebelum tibanya musim haji.

Rekod pilihan raya terdahulu pernah mencatatkan tempoh terpendek hari pembubaran sehingga hari pembuangan undi hanya selama 15 hari sahaja.

Menurut sumber itu lagi, sekurang-kurang sebuah kerajaan negeri dipercayai tidak akan menyertai pilihan raya tersebut untuk mengadakan Pilihan Raya Dewan Negeri secara berasingan.

beduk canang

Paparan Halaman