Sabtu, 27 November 2010

Saifuddin kata Umno terpaksa berubah kerana suara rakyat. PKR bagaimana?


Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini berkata dalam satu sidang medianya, Umno terpaksa berubah apabila rakyat bangkit bersuara.

"Najib takkan umumkan perubahan seperti akta gaji minima, tolak kenaikan tol...dan melakukan 'affirmative action based on needs not based on race," kata beliau.

Bagaimanapun kata-kata beliau itu turut menimbulkan persoalan adakah PKR tidak perlu berubah apabila ahli-ahlinya sendiri turut menyuarakan rasa tidak puas hati baik dalam isu pemilihan mahupun isu-isu lain dalam parti yang telah berusia 12 tahun itu.

Walaupun hingga ke saat ini, tidak dapat diukur sekuat mana kekuatan arus kebangkitan kelompok yang boleh dianggap sebagai haluan kiri dalam parti itu, namun ia tidak boleh dipandang ringan.

Para pemimpin parti dituntut supaya lebih peka terhadap apa yang mereka suarakan. Kelewatan bertindak akan menyebabkan kelompok kiri bertindak lebih jauh lagi bagi menyelamatkan parti daripada dipimpin oleh pemimpin yang tidak berjiwa besar.

Kelompok kiri ini dilihat semakin hari semakin mendapat tempat dalam PKR, khususnya selepas pemilihan yang berlangsung baru-baru ini. Hakikatnya mereka ini bukanlah musuh parti, tetapi musuh kepada mereka yang mempertahankan penyelewengan dalam parti.

Tindakkan sesetengah pemimpin haluan kanan parti ini yang mungkin melabelkan kelompok ini sebagai pengkhianat parti adalah amat tidak relevan sama sekali.

Selain itu, sikap tidak memperdulikan golongan kiri ini bakal menyebabkan ikon parti ini, Dato Sri Anwar Ibrahim menerima nasib yang sama dengan bekas bossnya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkuasa.

Ketika lima tahun terakhir Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, pengaruh beliau dalam partinya sendiri ketika itu mulai berkurangan akibat golongan menolak beliau dalam Umno sendiri semakin bertambah.

Golongan ini walaupun disifatkan sebagai kelompok kecil pada awalnya, ia disifatkan sebagai duri dalam daging kepada Umno apabila jumlah penolakan ini semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Rabu, 24 November 2010

Surat terbuka kepada SPR

24 November 2010

Kepada Tan Sri Abd Aziz Yusuf
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya
Malaysia

Perkara: Memohon maaf atas kritikan saya

Tuan, merujuk kepada di atas, saya seperti nama di atas merupakan seorang penulis politik di beberapa akhbar media cetak, akhbar portal dan blog ingin memohon maaf atas kesilapan beberapa kenyataan dalam artikel saya yang pernah diterbitkan.

Sebagai seorang penulis politik yang tidak bertuankan sesiapa dalam politik negara, saya agak bebas mengkritik mana-mana pihak yang saya fikirkan perlu termasuk pihak tuan sendiri.

Oleh kerana saya melihat terlalu banyak kepincangan apabila setiap kali pihak tuan mengendalikan perjalanan pilihan raya, maka pihak tuan sering menjadi sasaran mudah saya.

Kritikan dan kecaman saya terhadap pihak tuan tidak terbatas dari satu sudut sahaja, malah saya sentiasa menyerang dari segenap ruang yang ada.

Ketika itu, pada pendapat saya, SPR tidak ubah kalau bukan budak suruhan Umno-BN pun, sekurang-kurangnya sudah tentu menjadi alat kepada mereka.

Saya juga berpendapat, SPR adalah suruhanjaya yang paling tidak berwibawa dalam menjalankan mana-mana pilihan raya dalam negara ini.

Dalam erti kata lain, saya menganggap prestasi SPR adalah yang terburuk dalam mengendalikan mana-mana pilihan raya di negara ini.

Bagaimanapun baru-baru ini saya mula menyedari akan kesilapan saya meletakkan SPR di kedudukan paling terburuk, setelah menyaksikan satu lagi pilihan raya yang diadakan oleh sebuah parti politik baru-baru ini.

Saya dapati pilihan raya yang dikendalikan oleh parti tersebut mempunyai kepincangan dan penipuan yang berlipat kali ganda lebih buruk dari apa yang pihak tuan pernah lakukan untuk parti pemerintah.

Saya percaya, niat mereka juga sama dengan pihak tuan, iaitu untuk menjaga pihak yang memegang tampuk kuasa dengan apa cara sekalipun. Cuma saya percaya kaedah yang mereka gunakan adalah kaedah penipuan yang lansung tidak pernah terfikir oleh pihak tuan.

Salah satu contoh mudah, saya percaya pihak tuan tentu tidak pernah terfikir untuk melarikan peti undi, apatah lagi membawa peti undi balik ke rumah tuan.

Walaupun ianya kedengaran agak melucukan, tetapi hakikatnya ia memang berlaku dalam pilihan raya parti tersebut yang baru sahaja selesai minggu sudah.

Setelah saya menilai semula apa yang berlaku, saya mendapati pilihan raya yang dijalankan oleh pihak tuan tidaklah seburuk mana jika dibandingkan dengan pilihan raya yang dijalankan oleh parti politik itu.

Maka pada masa ini jelaslah, bahawa andaian saya sebelum ini yang menganggap kewibawaan pihak SPR adalah yang terburuk adalah salah kerana pilihan raya yang dijalankan oleh parti politik tersebut didapati jauh lebih buruk.

Bagaimanapun saya tidaklah bermaksud menarik kembali kenyataan yang pernah saya lemparkan kepada pihak tuan kecuali dari segi kedudukan terburuk sahaja yang berubah apabila ada lagi yang lebih buruk.

Saya juga ingin memaklumkan kepada pihak SPR, adalah amat wajar jika pihak SPR meneruskan usaha untuk memenangkan parti pemerintah dalam PRU 13 akan datang dan ia satu usaha yang perlu walau dengan apa cara sekali pun tanpa mengira sekotor mana sekali pun.

Pihak parti yang menjalankan pilihan raya tadi tentunya dengan mudah menerima dengan hati terbuka jika kekalahan mereka disebabkan penipuan yang SPR lakukan nanti.

Saya berpendapat sedemikian berasaskan hakikat mereka sendiri turut telah dapat menerima penipuan sebagai satu cara yang halal untuk mencapai matlamat mereka ketika pilihan raya.

Tambahan pula, saya turut berpendapat seandainya mereka ini memenangi PRU 13 nanti saya percaya kelak jawatan-jawatan tertinggi dalam SPR akan diisi oleh orang-orang yang sama dalam jawatan kuasa pilihan raya parti itu.

Jika ini terjadi, maka dalam PRU seterusnya (14) nanti akan jadi lebih haru biru. Mungkin pembangkang dalam parlimen ketika itu telah pun pupus disebabkan semua kerusi parlimen dan DUN dimenangi oleh mereka.

Akhir kata, sekali lagi saya memohon maaf kerana meletakkan pihak SPR di kedudukan terburuk sebelum ini walaupun sebenarnya pihak yang menjalankan pilihan raya parti itu lebih buruk.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,


Beduk Canang

Isnin, 22 November 2010

Pasca pemilihan: PKR catat sejarah

Pemilihan Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2010 telah pun melabuhkan tirainya semalam dengan mencatat pelbagai sejarahnya tersendiri.

Pindaan Perlembagaan yang dibuat oleh parti itu bagi membolehkan ahli akar umbinya terlibat secara langsung untuk memilih barisan kepemimpinan semua peringkat telah mencatatkan satu sejarah baru untuk PKR sendiri.

PKR catat sejarah, penanda aras baru berdemokarasi

Malah, sejarah yang dicipta ini bukan sahaja satu catatan rekod peribadi PKR, bahkan merupakan catatan sejarah politik tanah air yang wajar dikongsi oleh semua masyarakat negara ini.

Langkah berani PKR itu juga disifatkan sebagai meletakkan penanda aras baru dalam menyemarakkan demokrasi dalam negara ini ke tahap yang lebih tinggi.

Di sisi lain, satu lagi sejarah turut dicatatkan di sepanjang pemilihan parti ini yang melibatkan 400,000 ahlinya daripada 206 cabang di seluruh negara.

PKR catat sejarah proses pemilihan terburuk

Dalam sejarah politik moden tanah air, PKR telah mencatatkan nama sebagai satu-satunya parti politik yang menjalankan proses pemilihan pemimpin parti yang paling banyak dicemari isu penyelewengan.

Kelembapan JPP burukkan keadaan

Menambah burukkan keadaan apabila pemimpin-pemimpin dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) didakwa tidak cekap dalam menguruskan masalah-masalah berhubung penyelewengan yang didakwa oleh ahli dan calon bertanding.

Sebaliknya pemimpin parti dan JPP lebih gemar berterusan menafikan penipuan yang berlaku sekaligus lebih membakar kemarahan calon-calon dan ahli-ahli parti yang menganggap diri mereka tertipu.

Menyalahkan media

Selain itu, memang mudah bagi pemimpin-pemimpin ini mengkambing hitamkan sesetengah media khususnya media arus perdana dengan menuduh sebagai sengaja mengambil kesempatan memperbesarkan isu.

Perkara ini memang mudah untuk difahami apabila terdapat beberapa media arus perdana yang dikawal oleh Umno-BN memberikan laporan kepincangan parti ini secara besar-besaran semenjak hari pertama pemilihan berjalan lagi.

Umno-BN sebagai parti seteru PKR tentunya tidak mahu dilihat sebagai parti yang tidak bijak sekiranya tidak mengambil kesempatan ke atas kemelut yang melanda PKR ini.

Bagaimanapun serangan terhadap PKR dalam isu pemilihan ini turut berlaku di kalangan pengamal media alternatif yang lebih neutral termasuk kalangan blogger pro PKR sendiri.

Sekiranya media perdana yang pro Umno-BN memberi laporan negatif dianggap bertujuan untuk meruntuhkan PKR, sebaliknya bagi rata-rata media alternatif ini cuba bersikap adil.

Bagi kebanyakkan bloger-bloger pro PKR pula, hentaman mereka lebih bersifat untuk mendidik parti itu agar tidak dilabelkan sebagai parti yang korup seperti yang dilabelkan terhadap parti seteru mereka.

Malangnya apabila kritikan-kritikan awal yang dilontarkan dengan nada lebih lembut oleh media alternatif ini dibalas dengan kenyataan bongkak dan penuh dengan sindrom penafian oleh JPP mahupun oleh Setiausaha Agung parti.

Kenyataan JPP sendiri pada peringkat awalnya yang lebih gemar menafikan adanya penyelewengan berlaku dalam pemilihan akhirnya memberi padah kepada PKR sendiri.

Akhirnya apabila aduan-aduan ahli dan calon terhadap penipuan yang berlaku tidak mendapat reaksi yang sewajarnya, maka pilihan akhir yang ada hanyalah bertemu media bertujuan memberi tekanan kepada JPP.

PKR yang lantang mempertikaikan kerenah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dianggap sebagai alat BN, disarankan ada baiknya mengkaji sistem pemilihan dalaman partinya sendiri terlebih dahulu.

Bagi kebanyakkan pengkritik dari media alternatif, mereka tentunya dapat memahami sikap menyembunyikan pekung ini didorong oleh pemimpin yang tidak berjiwa besar untuk mengakui kesilapan dan juga demi menjaga imej parti.

Natijahnya, mungkinkah kerana sikap pemimpin yang beginilah, dengan sendirinya PKR terpaksa membayar harga yang mahal dalam PRU 13 nanti.

Kemelut yang memalukan ini tentunya mampu memberi kesan kepada pengundi di atas pagar yang dianggarkan mewakili lebih 40 peratus pengundi berdaftar dalam PRU 13 nanti.

Mahu mengadakan 'parti kesyukuran'? Tunggu dahulu

Kembali kepada isu pemilihan, mungkin ketika artikel ini ditulis, mungkin ada calon yang mula berkira-kira untuk mengadakan 'parti kesyukuran' tatkala berjaya memenangi jawatan yang ditandingi.

Sewajarnya ada baiknya niat tersebut ditangguhkan dahulu kerana tidak mustahil JPP yang bertindak 'telus' itu menangguhkan kemenangan anda.

Meskipun ia satu tindakkan yang terlewat, namun ia jauh lebih baik daripada tidak bertindak apa-apa langsung.

'Dinasti Azmin' bakal mendominasi PKR? (2)

Persaingan Ketua AMK

Bagi persaingan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), permulaan baik Badrul Hisham Shaharin dalam dua pusingan awal mula diburukkan dengan keputusan di Cabang Batu Sapi dan Kota Raja apabila ketinggalan 708 undi oleh Shamsul Iskandar Md Akin.

Sehingga kini Badrul Hisham berjaya memungut 3,273 undian berbanding Shamsul yang memperolehi 3,981 undi.

Berbanding keputusan di Selangor yang agak seimbang, keputusan di Sabah yang telah mencetuskan beberapa kontroversi dilihat lebih berpihak kepada Shamsul.

Selain daripada Batu Sapi dan Kota Raja, beberapa keputusan cabang lain turut menimbulkan pertikaian yang membabitkan kredibiliti Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dipandang serong.

Sebelum ini kertas undian yang dikeluarkan dari peti undi di Batu Sapi mencatatkan kejutan luar biasa apabila sejumlah 595 ahli AMK dikatakan telah keluar mengundi di sana.

Jika pola pusingan terakhir sama dengan pusingan sebelumnya, Shamsul, seorang lagi orang Azmin dengan kelebihan 708 undi, dijangka tidak berdepan masalah untuk mempertahankan jawatan Ketua AMK yang disandangnya.

Timbalan Ketua AMK

Bagi jawatan Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Zainuddin turut hampir pasti memenangi persaingan apabila sedang mendahalui dengan majoriti 688 undian.

Sehingga kini Khairul Anuar telah memungut sebanyak 3,825 undian berbanding pesaing tunggalnya YB Chang Lih Kang yang mengutip 3,137 undian.

Seperti persaingan ketuanya, persaingan untuk kerusi nombor dua AMK juga tidak sunyi dari dilanda kontroversi semenjak di awal saingan lagi.

Kempen dengan menggunakan isu perkauman oleh pihak yang tidak bertanggung jawab dalam pemilihan sedikit sebanyak telah mempengaruhi corak undian sekaligus memberi kesan terhadap undian YB Chang.

Sebelum ini, FMT pernah melaporkan kempen undi Melayu untuk Melayu digerakan bagi memenangkan Khairul Anuar sebagai Timbalan Ketua AMK Pusat.

Seperti mana Shamsul, Khairul turut dijangka akan memenangi jawatan Timbalan Ketua AMK.

Ketua Wanita PKR

Penyandang jawatan Ketua Wanita, YB Zuraida Kamaruddin yang ketika ini selesa mendahului pesaingnya, Suraya Sudin dan Animah Ferrar juga dianggap hampir pasti memenangi persaingan ini.

Jumlah undi yang diperolehi Zuraida sehingga kini 4,510 undi meninggalkan pesaing terdekatnya dengan majoriti 3,329 undi, meninggalkan jauh pesaing lain.

Hingga kini, Suraya telah memungut sejumlah 1,181 undi dan Animah hanya mampu meraih 967 undian.

Timbalan Ketua Wanita PKR

Manakala YB Rodziah Ismail turut dijangka memperolehi kemenangan selesa apabila sedang mendahului pesaingnya Asmah Abd Kadir dengan perbezaan 4,041 undian.

Keputusan semasa sehingga pusingan ketiga dilangsungkan, Rodziah telah memungut 5,167 undi berbanding pesaingnya Asmah yang hanya mengutip 1,126 undian.

'Dinasti Azmin' bakal dominasi PKR

Daripada barisan bayangan berdasarkan keputusan semasa yang ada setakat ini, boleh dirumuskan 'dinasti Azmin' bakal mendominasi PKR pada masa hadapan.

Di peringkat Naib Presiden, hanya Nurul Izzah dilihat terkecuali daripada label orang Azmin berbanding tiga 'Naib Presiden bayangan' lain.

Nurul Izzah juga diharapkan oleh sesetengah pihak dalam PKR untuk membantu Presiden untuk cuba mengimbangi kuasa 'dinasti Azmin' dalam PKR itu nanti.

Bagaimanapun, hubungan kekeluargaan antara tiga individu penting dalam PKR, Anwar, Wan Azizah dan Nurul Izzah boleh dianggap sebagai faktor penyelamat kepada 'dinasti Azmin' daripada menghadapi kritikan kuasa pengimbang ini.

Begitu juga dengan jawatan-jawatan utama di peringkat sayap parti turut didominasi oleh orang-orang kepercayaan Azmin.

Bagaimanapun, bagi perebutan Ketua AMK, Chegu Bard masih mampu melakukan kejutan di pusingan terakhir ini. Ia bergantung kepada kecekapan jentera beliau membawa keluar ahli-ahli AMK untuk keluar mengundi.

Hanya dengan kehadiran calon Ketua AMK, Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegu Bard dilihat mampu memainkan peranan penting memperkukuhkan kuasa pengimbang untuk berhadapanan 'dinasti Azmin'.

Faktor ini disokong dengan pendirian Chegu Bard sendiri yang dilihat neutral, berani menegur dan tokoh anak muda yang berani membawa pembaharuan dalam parti.

'Dinasti Azmin' bakal dominasi PKR? (bhg 1)

Pusingan terakhir pengundian Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berbaki 52 cabang bakal dilangsungkan hujung minggu ini dijangka tidak banyak mengubah kedudukan calon bertanding.

Dengan tinggal dua hari pengundian, jika peratusan yang keluar mengundi pusingan sebelumnya diambil kira, keputusan bayangan beberapa jawatan utama parti sudah dapat diduga.

Antara yang menarik perhatian apabila pemimpin yang dianggap sebagai orang Azmin dilihat mendominasi barisan pemimpin bayangan PKR sekaligus menandakan bermula era 'dinasti Azmin' dalam PKR.

Timbalan Presiden

Bagi jawatan Timbalan Presiden, hingga saat ini boleh dianggap 99 peratus Azmin Ali hampir pasti dinobatkan ke jawatan nombor dua parti itu.

Ditambah pula dengan penarikan diri pesaing terdekatnya sebelum ini, Dato Zaid Ibrahim hanya memudahkan lagi laluan beliau untuk menduduki kerusi yang dikosongkan oleh Senator Syed Husin Ali.

Bagi Mustaffa Kamil Ayub yang memungut 3,401 undi ketika ini, sudah agak mustahil untuk memotong Azmin Ali yang memperolehi 14,751 undi.

Naib Presiden

Pola yang sama turut berlaku dalam persaingan merebut empat tempat dalam Naib Presiden yang didahului oleh Nurul Izzah Anwar dengan 11,042 undian, Tian Chua (9,524), Fuziah Salleh (7,878) dan Mansor Othman (7,448).

Kecuali Nurul Izzah, sekurang-kurang tiga dari empat calon teratas tersebut didominasi oleh calon yang dianggap sebagai orang Azmin dalam PKR.

Berada pada kedudukan nombor lima, Gobalakrishnan dengan jumlah undi yang dikutip 5,288 kurang 2,160 daripada undi diperolehi Mansor, boleh dianggap kedudukan yang sukar untuk menempatkan diri dalam kelompok empat teratas.

Undian tinggi diperolehi oleh Nurul Izzah daripada peringkat ahli akar umbi ini sekaligus menolak dakwaan negatif sesetengah pihak bahawa beliau bergantung kepada populariti bapanya semata-mata.

Malah dalam dunia politik PKR, kedua-dua tokoh dalam generasi yang berbeza ini turut menampakan perbezaan segi sokongan dan pendekatan dalam berpolitik.

* Menyusul selepas ini: Barisan bayangan AMK, Wanita 'dinasti Azmin' dan rumusan.

Selasa, 16 November 2010

JPP: Bukan sahaja dilanda sindrom penafian, bisu malah sindrom pekak juga?

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bukan sahaja dilanda wabak sindrom penafian dan sindrom bisu, malah turut dilanda wabak sindrom pekak?

Mungkinkah kecamanan seperti ini yang diperlukan oleh JPP Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menggerakkan Jawatankuasa itu agar mula bertindak dengan tegas dan adil?

Kelembapan ini begitu ketara apabila sehingga kini tiada tindakan konkrit diambil oleh jawatankuasa terhadap senarai panjang aduan yang dibuat oleh ahli parti semenjak peringkat pencalonan dan kini pusingan keempat hampir tiba.

Kelembapan JPP bertindak akhirnya telah mendorong Ketua AMK Rasah, Zamri Vinoth dengan sengaja menonjolkan dirinya sebagai 'pengundi hantu di siang hari' bagi menarik perhatian JPP tersebut.

Sengaja mahu dipanggil JPP

"Sememangnya saya lakukan sendiri untuk ditahan dengan harapan dipanggil untuk siasatan dan ini peluang terbaik berdepan dengan JPP dan membangkitkan banyak kepincangan yang terancang," kata Zamri Vinoth dalam satu kenyataan medianya semalam.

Bagaimana pun beliau kecewa apabila tidak dipanggil mengadap JPP walaupun setelah dua minggu dari peristiwa 'tangkapan' tersebut berlaku.

JPP mahu pengakuan arahan Chegu Bard dan dibayar

Sebaliknya, beliau telah menerima panggilan telefon dari JPP yang cuba mendorong beliau membuat pengakuan palsu yang bertujuan memburukan imej calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin.

"Namun setelah dua minggu saya menanti tidak ada sebarang panggilan untuk saya mengadap JPP kecuali beberapa panggilan telefon dari JPP.

"Ada juga yang menelefon saya meminta pengakuan saya melakukan kerana diarah atau dibayar oleh chegu Bard," kata beliau.

Panggilan berbaur ugutan oleh JPP

Tidak menghairankan profesionalisme anggota-anggota JPP yang dilantik ini diragui oleh ahli partinya sendiri apabila salah seorang JPP yang menghubungi Zamri turut menghamburkan kenyataan berbaur ugutan.

"Dalam perbualan saya dengan salah seorang JPP dimana JPP itu tidak dapat menjawab beberapa persoalan yang saya bangkitkan, sebalik mengecam dan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan.

“Vinoth, you better watch out!” Selepas itu terus meletak telefon dan terus tidak menjawab panggilan dari saya lagi," menurut kenyataan Zamri itu lagi.

Beliau turut mempertikaikan kenyataan calon Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin yang mempertikaikan keputusan di Cabang Tampin yang menyebelahi Chegu Bard sebaliknya hanya mendiamkan diri terhadap keputusan cabang lain yang menyebelahinya dalam margin yang sama.

Untuk rekod, sehingga kini keputusan undian dengan margin meragukan di cabang-cabang lebih banyak memihak kepada Shamsul sendiri.

Malah, keputusan terbaru di beberapa cabang di Sabah, seperti Cabang Batu Sapi yang mencatatkan kemenangan bergaya Shamsul, 509 undian berbanding hanya 86 undian memihak kepada Chegu Bard.

Jumlah undian di Cabang Batu Sapi dianggap mengejutkan dan luar biasa jika dibandingkan kesukaran jentera pilihan raya PKR untuk mendapatkan PACA (agen pengundian, agen pengiraan) ketika PRK yang baru berlangsung baru-baru ini.

Dalam kenyataan akhbar tersebut, Zamri turut mendedahkan penyelewengan yang berlaku ketika pencalonan dan pengundian di Cabang Tampin, Kubang Pasu dan Kota Raja.

Paparan Halaman