ULASAN Sidang DUN kali ini melihatkan bukan sahaja lagi dedahan  tentang salahlaku Umno-BN tetapi usaha pentadbiran Pakatan Rakyat yang  baru untuk memperbaiki kelemahan dan ketirisan era sebelumnya.
Dua amalan yang menimbul banyak persoalan adalah amalan kerajaan  Umno-BN yang menganugerahkan projek kerajaan secara rundingan terus dan  penjualan tanah rizab Melayu.
Menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pentadbiran  Umno-BN telah membelanjakan RM759 juta dalam tempoh tiga tahun  (2005-2007) dalam kontrak-kontrak yang dianugerahkan terus kepada  syarikat tertentu.
Manakala kerajaan di bawah Pakatan Rakyat (PR) hari ini, hanya  membelanjakan RM116.2 juta sahaja dalam empat tahun (2008-2011), suatu  perbezaan yang amat ketara.
Tetapi ramai yang menyoal tentang kepentingan fakta tersebut dan apa makna dan kaitannya dengan kehidupan seharian orang ramai?
Ramai juga yang kurang faham dengan takrifan kontrak yang diberi  secara rundingan terus berbanding yang diberi mengikut tender terbuka.
Menurut Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad  Tajuddin, rundingan terus mengundang pelbagai risiko yang mampu  menyebabkan pihak pemberi projek mengalami kerugian.
“Rundingan terus akan menimbulkan risiko antaranya, ketirisan,  pembaziran, terlebih pembayaran dan terbagi kontrak kepada syarikat yang  tak layak atau tak berkemampuan.
“Semua risiko yang saya sebutkan tadi boleh berlaku berbanding tender terbuka.”
Di dalam proses tender terbuka, kerajaan akan menjemput syarikat untuk mengemukan cadangan bagi melaksana projek.
Setiap syarikat yang layak akan mengemukan permohonan yang lengkap  tentang bagaimana ia akan menyiapkan projek termasuk kos yang akan  ditanggung.
“Dalam cadangan itu juga kita dapat tahu jenis bahan dan berapa  banyak bahan mentah yang terlibat, kita tahu berapa banyak yang kita  kena belanja,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor pagi tadi.
Kata Azrul lagi, tender terbuka mengelakkan pembaziran dan amalan kroninisme.
“Kaedah terbaik yang boleh jamin ketelusan, akauntabiliti dan integriti hanyalah melalui tender terbuka.
“Kalau rundingan terus biasanya tentulah kroni atau pihak yang rapat  dengan orang yang membuat keputusan biasanya akan dapat projek.
Pokoknya, tender terbuka dapat memastikan yang duit rakyat dimanfaatkan dengan berkesan dalam perlaksanaan projek.
Isu hak milik tanah rizab Melayu muncul di dalam perbahasan apabila  ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali memberitahu sebanyak 76 ekar tanah  dikawasan Parlimen Gombak dirampas oleh Umno-BN.
Tanah tersebut diserahkan serta dipindah milik ke salah satu  syarikat, Triumph City Development Sdn Bhd tanpa sebarang gantian di  kawasan lain.
Selain Azmin, ADUN Sri Muda Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei dan ADUN  Sri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad turut mendedahkan salah laku berkaitan  rizab Melayu yang dilakukan pentadbiran Umno-BN.
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang lama bergelumang dengan  isu  tanah rizab Melayu berkata Umno tidak pernah menjaga tanah milik  komuniti itu.
“Semenjak bila Umno dah tak gadai tanah Melayu? Dari sebelum merdeka  lagi sampai sekarang tanah milik orang Melayu semakin terhakis tetapi  apa yang Umno buat. Jawabnya, tiada, sebabnya merekalah yang  menggadainya.
“Umno gunakan isu Melayu untuk perangkap pihak lain tetapi mereka tak  pernah pertahankan hak Melayu seperti tanah Melayu, tanah rizab Melayu  dan saham-saham Melayu,” beliau berkata ketika dihubungi.
Belia mendakwa selama 54 tahun parti nasionalis Melayu itu memerintah  Malaysia keluasan tanah rizab Melayu hanya tinggal 1.7 juta hektar  berbanding 300 hektar pada awal kemerdekaan.
Bagaimanapun setelah Pakatan mengambil alih pentadbiran Negeri Abdul  Khalid mengambil keputusan merampas kembali kesemua tanah rizab di  parlimen Gombak yang diberi ke syarikat Triumph City Development Sdn  Bhd.
Abdul Khalid juga menolak permohonan yang dibuat oleh Ketua Umno  Puchong Datuk Satim Diman untuk menjual tanah rizab Melayu kepada Lagi  Gemilang Sdn. Bhd yang 75 peratus ahlinya  terdiri dari bukan  bumiputera.
* Media Selangorku 

 
 
1 ulasan:
Tuan Beduk canang, biarlah fakta mengenai jumlah hektar tanah dibetulkan, takkan keluasan tanah rizab Melayu hanya tinggal 1.7 juta hektar, jumlah tersebut adalah besar jika dibanding dengan 300 hektar pada awal kemerdekaan, sila perbetulkan fakta ini, saya nih orang pro Pakatan, nanti kita diketawakan oleh beruk UMNO, tak perlu siarkan komen ini, salam.
Catat Ulasan