Sabtu, 4 Ogos 2012

Tsunami Politik Sabah Bukti Misi 16 September Anwar 'Real'?

Gambar: Kredit kepada http://kerajaanrakyat.blogspot.com
Gelora politik di Sabah muktahir ini bukan sahaja menarik perhatian para penganalisis politik malah ada yang menganggapnya sebagai petanda satu lagi petanda tsunami politik melanda negara.
 
Bermula dari khabar-khabar yang awalnya cuma dianggap hanya khabar angin, akhirnya dua Ahli Parlimen Sabah, Datuk Seri Lajim Hj. Ukin dan Datuk Wilfred Boomboring mengambil keputusan meninggalkan BN.

Tidak berapa lama selepas itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan memberitahu akan ada lagi kejutan lain dari negeri di bawah bayu itu.

Terkini, satu senarai nama beberapa Ahli Parlimen dan Adun dari Sabah dikatakan akan menjejaki Lajim dan Wilfred.

Antara nama yang disebut adalah tiga Ahli Parlimen, Tan Sri Bernard Dompok, Siringan Gubat dan Datuk Dr. Marcus Mojinggoh.

Manakala di peringkat Adun pula seramai enam orang dijangka akan turut berbuat demikian ialah ADUN Moyog YB Donald Peter Mojuntin, ADUN Kuala Penyu YB John Teo Mau Sing, ADUN Kuamut YB Masiung Banah, ADUN Paginatan YB Datuk Ewon Ebin, ADUN Bingkor YB Justin Guka dan ADUN Nabawan YB Datuk Bobby Suan. Enam orang kesemunya.

Perkembangan terbaru ini membuatkan saya teringat misi 16 September Anwar untuk menumbangkan kerajaan melalui cara lompat parti oleh Ahli-ahli Parlimen termasuk dari Sabah sendiri.

Adakah individu yang terlibat dalam perkembangan terbaru ini merupakan serpihan pihak yang sama telah ditemui Anwar dalam melaksanakan misi 16 September itu?

Adakah perkembangan terbaru ini menandakan misi 16 September Anwar ketika itu memang sesuatu yang realiti tetapi berjaya dipatahkan oleh BN?

Saya masih ingat ketika itu, menurut beberapa sumber memberitahu dengan bantuan beberapa  rakan politik di Sabah dan Sarawak, Anwar memang giat menjayakan misinya itu.

Bagaimanapun usaha beliau itu berjaya dipatahkan oleh BN dengan pelbagai cara.

Adakah gambaran 'tiada apa-apa akan berlaku dan tiada apa yang patut dirisaukan' yang digambarkan oleh media arus perdana ketika itu hanyalah rekaan mengelabui mata masyarakat dan sekaligus menyedapkan hati sendiri?

Kalau tidak masakan Pak Lah tampak kelam kabut menghantar Ahli Parlimen BN ke luar negara kononnya   'lawatan sambil berlajar' ke Taiwan.

Mungkin sedikit sukar untuk memahami apa yang terjadi ketika itu.

Apa pun rentetan dari kronologi ini jelas menunjukkan komunikasi kedua-dua belah pihak antara Anwar dan pihak sebelah BN sudah lama terjalin, suatu petanda tidak baik untuk Najib dan Umno-BN.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman