Isnin, 28 Disember 2009

Tok Jib Dengan Telaga Keramatnya

“Parti Umno adalah sebuah parti keramat orang-orang Melayu!” Begitulah laungan bersemangat pemimpin-pemimpin Umno apabila berucap di Persidangan Tahunan Umno. Ungkapan yang sama juga turut sering dipaparkan di media-media arus perdana Pro Umno. Bagi saya sendiri pula, saya juga amat bersetuju apabila pemimpin-pemimpin Umno melabelkan parti mereka parti keramat. Bahkan saya berani berhujah dengan sesiapa yang mempertikaikan dakwaan pemimpin-pemimpin parti Umno tersebut bahawa parti mereka parti keramat.

Saya pernah menulis sebuah cerita mengisahkan sebuah telaga keramat di sebuah kampung. Saya ringkaskan, ceritanya lebih kurang begini, semasa kampung itu mula-mula diterokai oleh beberapa keluarga, salah seorang dari mereka termasuklah seorang tua yang agak berpengaruh di kalangan mereka, Pak Senik yang menyedari bahawa sungai terletak begitu jauh dari perkampungan mereka.

Kerana menyedari sumber air begitu penting untuk meneruskan kehidupan mereka, Pak Senik dan orang-orang kampung telah menggali beberapa telaga di dalam kawasan rumah masing-masing. Tetapi malangnya, semua telaga yang digali tidak mengeluarkan air kecuali satu-satunya telaga yang digali di dalam kawasan rumah Pak Senik oleh Pak Senik sendiri. Oleh kerana hanya itulah satu-satu telaga yang mengeluarkan air di kampung itu, maka orang-orang kampung turut menumpang kongsi air dari telaga Pak Senik untuk kegunaan harian mereka.

Kerana jasa Pak Senik yang telah mengali telaga tersebut dan telaga itu pula terletak di dalam kawasan rumah Pak Senik, maka orang-orang kampung bersepakat untuk melantik beliau sebagai ketua kampung yang pertama. Selepas dilantik menjadi ketua kampung Pak Senik telah mengisytiharkan barang siapa yang mewarisi telaga tersebut maka secara automatik hendaklah dilantik menjadi ketua kampung.

Oleh kerana telaga tersebut terletak di dalam kawasan tanah Pak Senik, apabila Pak Senik meninggal dunia, tentunya tanah Pak Senik diwarisi pula oleh anaknya dan secara automatik juga mewarisi telaga tersebut. Dengan itu, ketua-ketua kampung tersebut semuanya terdiri daripada keturunan Pak Senik belaka. Dari anak ke cucu, dari cucu ke cicit, dari cicit ke piut hinggalah seterusnya ke beberapa generasi lamanya, sehinggalah tiba giliran Tok Jib mewarisi telaga tersebut.

Walaupun pada ketika Tok Jib mewarisi telaga tersebut, penduduk kampung tidak lagi menggunakan air dari telaganya, dia masih lagi mewarisi jawatan ketua kampung daripada bapanya. Sebaliknya pada masa itu rumah orang-orang kampung tersebut telah menerima bekalan air bersih paip hingga ke rumah-rumah. Semenjak itu, telaga tersebut tidak lagi dikunjungi oleh orang-orang kampung menjadikan keadaan sekitar telaga Tok Jib semakin terbiar, menjadi sarang nyamuk dan airnya pula menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Keadaan ini amat mengusarkan hati Tok Jib kerana mengikut firasat penasihat Tok Jib, pengaruhnya akan menjadi semakin pudar dan pengaruh telaganya juga perlu dipulihkan untuk menjamin kedudukan Tok Jib sebagai ketua kampung tidak tergugat.

Sungguhpun begitu, setiap kali kampung tersebut mengalami gangguan bekalan air paip, kawasan telaga tersebut menjadi kembali meriah. Hinggalah pada suatu hari sekali lagi kampung tersebut telah mengalami gangguan bekalan air paip selama beberapa hari. Maka berpusu-pusulah orang kampung kembali ke telaga tersebut untuk mendapatkan air untuk keperluan seharian. Antaranya termasuklah pasangan Atan dan Timah yang masih lagi tidak mempunyai anak walaupun telah hampir 20 tahun berkahwin.

Dengan kuasa Allah S.W.T, selang dua bulan dari kejadian terputus bekalan air paip tadi, Timah didapati mengandung anak sulung mereka. Pasangan Atan dan Timah rasa amat bersyukur. Cerita Timah mengandung begitu cepat tersebar ke serata pelusok kampung. Tok Jib bingkas mendapat akal yang bernas dengan mendakwa Timah mengandung disebabkan kemujaraban air telaganya yang diminum oleh Timah semasa terputusnya bekalan air paip dua bulan bulan lepas.

Semenjak itu, cerita telaga Tok Jib mempunyai keramat tersebar ke serata mukim. Maka, ramailah orang-orang yang mempercayainya datang bernazar atau meminta hajat, mengubati penyakit, minta diterangkan hati, inginkan pelaris perniagaan, meminta nombor ramalan dan bermacam-macam lagi dari telaga yang dikatakan keramat itu. Lantaran itu, Tok Jib merasa amat lega kerana pengaruh telaganya telah dapat dipulihkan sekaligus menyelamatkan kedudukannya sebagai ketua kampung. Malahan Tok Jib juga memperolehi pendapatan lumayan apabila orang-orang yang mengunjungi telaganya sering menghulur sumbangan ikhlas kepadanya berupa beras dan wang. Kadang kala tokey-tokey besar dari bandar turut mengunjungi telaganya untuk memohon hajat supaya dianugerahkan tender atau projek dari keramat yang menunggu telaga itu. Wang yang dihulurkan oleh tokey-tokey ini pula bukanlah kecil-kecil anak, kadang kala mengjangkau ribuan ringgit.

Apabila Tok Imam kampung menyedari perbuatan khurafat Tok Jib dan orang-orang kampung, beliau berusaha menginsafkan orang-orang kampung. Pada masa yang sama juga, salah seorang anak kampung itu, Doktor Nuar kembali menetap di kampung tersebut untuk membuka sebuah klinik kecil di pekan berhampiran.

Semenjak Doktor Nuar membuka klinik di pekan, beliau dapati terdapat banyak kes wabak demam denggi yang semakin menular di kampungnya. Malah, beberapa orang kampung telah mati akibat demam denggi. Setelah disiasat, Doktor Nuar dapati telaga keramat Tok Jib menjadi tempat pembiakan utama nyamuk aedes di kampungnya dan airnya juga tidak lagi selamat untuk diminum. Kawasan sekitar telaga itu juga dipenuhi sampah sarap bertimbun dari pembuangan pengunjung-pengunjung telaga itu. Lalat-lalat turut membiak dengan banyaknya di timbunan sampah sarap itu yang mengakibatkan wabak penyakit taun. Apabila angin bertiup pula, bau hancing yang amat sangat menerjah ke liang rongga hidungnya. Air telaganya yang busuk itu juga telah tercemar dan tidak lagi selamat untuk diminum.

Lantaran itu, Doktor Nuar telah bermesyuarat dengan Tok Imam, jemaah surau dan orang-orang kampung yang telah insaf dari melakukan perbuatan syirik tersebut. Akhirnya mereka telah mencapai kata sepakat bahawa telaga Tok Jib tidaklah lagi berfungsi seperti mana pada awalnya di zaman nenek moyang mereka. Telaga itu tidak lagi membekalkan air keperluan penduduk malah membekalkan penyakit pula. Malahan Tok Jib dan telaganya itu telah merosakan akidah penduduk kampung. Mereka sepakat supaya telaga Tok Jib harus dikambus. Namun seperti yang telah dijangka, mereka mendapat tentangan yang hebat dari Tok Jib, orang-orang kanannya dan juga orang-orang kampung yang masih pekat percayanya kepada keramat yang ada pada telaga Tok Jib.

Begitulah kisahnya kisah Tok Jib yang meneruskan legasi pewaris telaga keramat. Kerana itulah saya amat memahami dan bersetuju apabila mana-mana pemimpin Umno atau akhbar pengampu Umno mengatakan Parti Umno adalah parti keramat orang Melayu. Parti keramat Umno bagi saya tidak ubah seperti mana telaga keramat Tok Jib yang saya ceritakan tadi.

Khamis, 17 Disember 2009

GST: 'Gagau Semua Tempat'

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dikenakan kepada seluruh rakyat dinegara ini didakwa berpunca dari kehabisan sumber pendapatan negara akibat berleluasanya amalan rasuah dan salah guna kuasa. Oleh itu ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar pagi tadi mendakwa GST tersebut lebih sesuai digelar 'Gagau Semua Tempat'.

"Kerajaan kehabisan wang disebabkan ketirisan, rasuah dan pembaziran, jadi fikir macam mana nak cari duit lalu perkenalkan GST, Gagau Semua Tempat," katanya di Lobi Parlimen. Beliau yang juga Naib Presiden PAS berpendapat GST sepatutnya dikenakan dulu kepada syarikat-syarikat telekomunikasi yang sebelum ini mendapat perlepasan cukai.

"Kerajaan masih beri perlepasan cukai pada beberapa syarikat komunikasi tempatan yang sudahpun berjaya sampai boleh tawar perkhidmatan di luar negara dan disenaraikan dalam Bursa Saham Malaysia sedangkan GST ini nak dikenakan pada rakyat." Jelasnya, perlepasan cukai itu menyebabkan beberapa syarikat telekomunikasi terbabit mendapat keuntungan perkhidmatan dan keuntungan hasil tidak membayar cukai.

Beliau turut menggesa kerajaan menyelesaikan masalah rasuah dan ketirisan yang merupakan punca perbelanjaan negara kian membengkak. Beliau turut mendesak kerajaan agar mencegah masalah penyeludupan demi memastikan kerajaan mendapat hasil cukai yang sewajarnya. Katanya, kerajaan dianggarkan kehilangan RM12.92 juta tahun ini disebabkan gagal membendung penyeludupan rokok dan pengenaan duti kastam.

Tambahnya lagi, dengan menangani beberapa masalah tersebut bukan sahaja membuatkan kerajaan tidak perlu gagau semua tempat, malah menyelamatkan rakyat dari terus terbeban. Semalam Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah buat pertama kalinya membacakan rang undang-undang mengenai GST, bagaimanapun mendapat tentangan dan bantahan hebat oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat.


-Berita di petik dari Harakah

Selamat Tahun Baru Hijrah 1431

Selamat menyambut Maal Hijrah 1431. Semuga dengan permulaan tahun baru ini, kita lebih menghayati hijrah Nabi Muhammad S.A.W untuk meneruskan perjuangan demi Agama Allah ini. Seperti yang semua maklum, perjuangan Islam untuk keadilan bukanlah tertumpu kepada umat Islam sahaja, malahan agama Islam memperjuangkan keadilan untuk manusia sejagat tanpa mengira warna kulit.

Di negara ini, walaupun Melayu Islam adalah majoriti, namun bukanlah bererti kita boleh menafikan hak warga negara yang lain. Melayu harus terima hakikat bahawa bumi bertuah ini turut dihuni bersama India, Cina, Kadazan, Iban, Murut, Orang Asli dan lain-lain. Bahkan mereka turut berperanan berjuang untuk menuntut kemerdekaan. Bahkan, andai di kawasan kejiranan kita terdapat 500 Melayu, 250 India dan 300 Cina, adalah munasabah untuk mereka turut berhak untuk mendirikan rumah ibadat mereka. Tiada mana-mana agama yang menganjurkan umatnya zalim, menindas dan sebagainya sesama manusia apatah lagi bagi agama Islam.

Bagi umat Islam sendiri, suatu hari nanti akan disoal apa ugama kamu. Malaikat tidak akan bertanya apa bangsa kamu atau adakah kamu bumiputera atau tidak!


Rabu, 16 Disember 2009

Doa Ibu Tanggang, Ibu Malin Kundang dan Doa Tok Guru

Tentu kalian pernah diceritakan akan kisah lagenda rakyat, Si Tanggang yang derhaka. Kisah yang sungguh menyayat hati itu, telah kita turunkan dari generasi ke generasi lamanya. Kisah tersebut juga memberi pengajaran kepada semua manusia agar menghormati kedua ibu bapa dan jangan sesekali menderhaka kepada mereka.


Di babak akhir kisah tersebut, diceritakan bagaimana ibu Si Tanggang yang begitu sedih dan kecewa dengan sikap anaknya yang tidak mengaku bahawa beliau adalah ibunya, telah menadahkan tangan dan doa kepada Allah S.W.T agar saudara seagama Islamnya itu, bahkan juga anaknya sendiri diberikan balasan atau bala. Di gambarkan di dalam kisah itu, setelah selesai sahaja doanya itu, tidak semena-mena turunlah hujan berserta ribut petir dan diikuti laut yang bergelora.


Apabila Si Tanggang menyedari ada sesuatu yang tidak kena (musibah) akan berlaku kepada dirinya, dia merasa amat menyesal dan memohon keampunan dari ibunya. Malang sekali, ketika itu telah terlewat untuknya. Diceritakan lagi, doa si ibu akhirnya telah dimakbulkannya dan, Si Tanggang, isterinya, anak-anak kapal dan seluruh kapalnya beransur-ansur bertukar menjadi batu.


Kebanyakan ahli sejarawan bersetuju bahawa cerita Si Tanggang yang derhaka ini adalah sekadar sebuah cerita rakyat untuk memberi pengajaran kepada masyarakat dan ianya tidak pernah berlaku. Walau bagaimana pun kisah yang hampir serupa iaitu kisah Si Malin Kundang yang dikatakan pernah berlaku di Indonesia mempunyai bukti fizikal iaitu sebuah batu menyerupai imej kapal, tali berselerakan, tong-tong kayu serta seorang lelaki yang sedang sujud seolah-olah sedang memohon keampunan dari ibunya.


Samada batu itu benar-benar berasal dari jasad Malin Kundang dan seisi kapal dagangnya atau mungkin sebenarnya diukir oleh seseorang mahir ukir di zaman dahulu kala tidaklah pula diketahui. Cuma yang perlu kita yakini, tiada apa yang dapat menghalang sekiranya Allah S.W.T dengan hanya menyeru “jadilah,” maka terjadilah sesuatu perkara itu seperti yang dikehendakiNya.


Saya tidaklah berhasrat untuk mengkaji samada kisah ini benar-benar berlaku atau sebaliknya. Cuma yang saya tertarik, ialah doa ibu Si Tanggang dan ibu Si Malin Kundang. Setelah kecewa dengan sikap anak yang derhaka, ibu-ibu teraniaya ini telah menadahkan tangan dan berdoa agar Allah S.W.T agar memberikan balasan atau bala kepada si anak.


Yang ibu-ibu ini doakan agar ditimpakan bala ini, bukan sekadar saudara Islam mereka, malah lebih lagi, iaitu anak kandung mereka sendiri. Bukankah doa orang yang dizalimi itu mustajab? Apatah lagi doa yang datang dari seorang ibu. Disebabkan mustajabnya, bukankah lebih baik kalau ketika itu si ibu terlebih dahulu mendoakan agar pintu hati anaknya terbuka dan diberikan hidayahnya dan sekiranya anak-anak ini masih berkeras, barulah didoakan pula agar mereka ditimpa bala. Bagi masyarakat dari dahulu hinggalah kini, Si Tanggang dan Si Malin Kundang memang patut menerima balasan begitu.


Cuma, semenjak akhir-akhir ini lain pula pandangan segelintir dari kita. Tiba-tiba doa orang yang dizalimi dijadikan polemik pula. Orang yang berdoa pula dikecam! Sedangkan isunya sama, iaitu penganiyaan. Persoalan mengapa mereka yang dizalimi tersebut berdoa demikian, tidak pula ditekankan. Walhal doa tersebut juga lebih lunak berbanding doa ibu Si Tanggang dan Ibu Si Malin Kundang dengan masih lagi memohon agar orang yang menzaliminya itu dibukakan pintu hati dan menerima hidayahNya dan jika masih enggan barulah ditimpakan balasan dariNya.


Manakala, doa ibu Si Tanggang dan ibu Si Malin Kundang tiada bertoleren lagi, apabila terus mendoakan bala untuk anaknya sendiri dan tentunya saudara seagama. Ingat, doa mereka adalah doa mustajab seorang ibu yang teraniaya. Dalam doa mereka, peluang terakhir tidak diberikan kepada Si Tanggang dan Si Malin Kundang iaitu dengan mendoakan agar dibukakan pintu hati anaknya terlebih dahulu agar mendapat hidayah.

Seperti mana yang telah saya nyatakan tadi, kisah ini telah kita turunkan dari generasi ke generasi hinggalah sekarang dan telah diterima baik sebagai bahan yang boleh dijadikan sempadan untuk generasi kita. Kita semua juga bersetuju bahawa Si Tanggang dan Malin Kundang memang patut menerima balasan begitu dan selama itu juga tidak pernah pula ada di antara kita yang mengatakan doa ibu-ibu tersebut melampau kerana mendoakan bala untuk saudara seagama bahkan anak sendiri. Kita hanya fokus terhadap sikap derhaka si anak dan betapa wajarnya balasan atau bala yang mereka terima.


Tetapi sebaliknya yang berlaku, apabila Tok Guru yang berdoa. Sepatutnya orang yang didoakan serta anak-anak kapalnya tidaklah perlu gusar kerana bukankah mereka berpendapat mereka tidak pernah menganiaya sesiapa pun? Jadi, mengapa perlu gusar dan gundah gulana?


Tingkah laku mereka yang semacam fobia dengan doa membuatkan saya terfikir, adakah mereka ini berasal dari keturunan Si Tanggang atau Si Malin Kundang yang saya fikir logiknya tentulah keturunan ini fobia dengan doa? Dan kadang-kadang ada juga fikiran nakal saya berkata, jangan-jangan patung tembaga seorang lelaki berpakaian pahlawan Melayu dahulu kala yang berdiri sambil meghunuskan kerisnya di muzium negara, mungkin juga dari keturunan mereka akibat doa orang yang dizaliminya kerana tindakan setia membuta tuli. Dan lagi, patung-patung perwira mat salih ‘mempertahankan’ negara di Tugu Peringatan Negara pun mungkin juga…

Shaziman, 'toyol kepala hitam' dan Laporan Bukit Antarabangsa

Melihat reaksi Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor berhubung Laporan Tanah Runtuh di Bukit Antarabangsa yang bocor di internet, menerusi kaca tv baru-baru ini mengundang seribu satu perasaan yang bercampur baur. Mungkin geli hati bercampur hairan agaknya. Cuma yang pasti, dari reaksinya itu menunjukan beliau cukup marah betul nampaknya apabila dokumen itu dibocorkan.


Kenyataan beliau dalam satu sidang akhbar mengenai adanya ‘toyol berkepala hitam’ di MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) yang membocorkan dokumen yang sebelum ini diklasfikasikan sebagai dokumen yang diletakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, memang jelas menampakan rasa ketidak puasan hatinya.


Dalam sidang akhbar itu, rasanya tidak kurang lima kali beliau menyebut ungkapan ‘toyol berkepala hitam.’ Menjadi lebih lawak lagi, apabila diselak akhbar-akhbar arus perdana keesokan harinya tiada langsung ungkapan ‘toyol berkepala hitam’ ditulis. Mungkin fenomena fobia Umno-BN masih lagi menghantui, seperti mana gambar payung BN di akhbar tidak berapa lama dahulu yang sekejap ada, sekejap tak ada setelah disunting. Dengar-dengar ceritanya, polis sedang membuat siasatan berhubung kebocoran ‘rahsia besar’ tersebut yang mungkin boleh menggugat ‘keselamatan negara.’


Menurut beliau, Laporan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa tersebut telah lama siap dan selama berada di dalam simpanan Jabatan Kerja Raya (JKR) laporan itu ‘selamat dari pengetahuan awam.’ Namun apabila sahaja diserahkan kepada MPAJ, laporan tersebut telah dibocorkan oleh ‘toyol berkepala hitam’ yang berada di MPAJ.


Nampaknya, ‘toyol berkepala hitam’ yang mendedahkan Laporan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa yang diriuhkan oleh Shaziman. Manakala ‘toyol berkepala hitam’ yang merompak duit rakyat berjuta, berbillion ringgit di siang hari tidak pula dikecohkan. Atau mungkin juga ia turut diklasfikasikan di bawah OSA untuk ‘keselamatan negara’.


Lazimnya, toyol sering dikaitkan dengan perbuatan mencuri duit apabila diarahkan tuannya. Berbeza pula dengan 'toyol berkepala hitam' yang disebut oleh Shaziman, toyol tersebut mencuri laporan tanah runtuh dan mungkin juga diarahkan oleh tuannya juga. Kalau benarlah begitu, ‘toyol berkepala hitam’ di MPAJ bukanlah toyol sembarangan. 'Toyol berkepala hitam' di MPAJ jauh lebih baik dari toyol berkepala hitam yang merompak wang rakyat di siang hari tetapi tidak diriuhkan oleh Shaziman tadi. Mungkin juga lebih baik dari Shaziman sendiri. Sebabnya, Shaziman marah kepada ‘toyol berkepala hitam’ yang mendedahkan laporan tersebut yang memang sepatutnya didedahkan kepada umum.


Kenapa harus disorok laporan tanah runtuh yang telah mengorbankan nyawa tersebut? Bukankah seperti mana yang dinyatakan oleh Shaziman sendiri, laporan tersebut hanyalah laporan teknikal dan bukanlah untuk mencari salah sesiapa. Kalau kata-kata Shaziman ini diambil kira, membayangkan tiada mana-mana pihak yang akan didakwa. Kesimpulannya, adakah alam semula jadi yang bersalah?


Kalaulah laporan tersebut tidak didedahkan oleh ‘toyol berkepala hitam’ MPAJ, nescaya kerajaan pusat memang tiada berniat langsung untuk mendedahkan laporan tersebut kepada pengetahuan awam dan akan terus kekal menjadi rahsia rasmi kerajaan demi ‘keselamatan negara.’


Kelulusan kabinet untuk mendedahkan Laporan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa tidak lain dan tidak bukan hanyalah terpaksa bagi mengelak mengundang persepsi buruk rakyat terhadap kerajaan pusat. Jadi, mahu tidak mahu, laporan tersebut terpaksa didedahkan juga. Apatah lagi, laporan tersebut telah terlebih dahulu dibocori dan disebarkan melalui internet.


Ketika Laporan Ketua Audit Negara yang bukan rahsia dibentangkan dan menyebut tentang penyelewengan 'toyol-toyol kepala hitam', tidak terdengar pula Datuk Menteri Kerjaraya kita ini melenting. Tidak kiralah samada projek itu dikendalikan oleh kementeriannya atau tidak, pokoknya ia tetap kepunyaan rakyat. Antaranya, mengenai kerajaan akan menanggung kerugian berjumlah RM1.4 bilion dalam Projek Landasan Berkembar Rawang – Ipoh dan tindakan pembekalan alatan kepada badan berkanun Persekutuan pada harga yang tidak masuk akal.


Contoh lain, seperti harga untuk dua unit komputer riba Acer Aspire 5052 yang mencecah harga RM80,000 dan harga komputer meja berharga hampir RM7,600 seunit. ‘Toyol kepala hitam’ seperti ini tidak pula diriuhkan oleh Shaziman dan rakan-rakannya dalam Umno-BN. Nampaknya Laporan Ketua Audit Negara akan terus menjadi sejuk dan dilupakan seperti mana laporan audit di tahun-tahun yang sudah.


Di atas hanyalah beberapa contoh rompakan di siang hari oleh ‘toyol-toyol berkepala hitam’ yang tidak diriuhkan oleh Shaziman. Sebenarnya banyak lagi rompakan oleh ‘toyol berkepala hitam’ samada telah diketahui umum tetapi masih lagi diperapkan atau terselamat dilindungi OSA.


Shaziman harus membuktikan betapa beliau perihatin terhadap masalah ‘toyol kepala hitam’ ini dengan membersihkan kementeriannya dari ‘toyol-toyol berkepala hitam’ yang merompak di siang hari dan seterusnya disumbat ke dalam balang atau botol kaca. Itu lebih baik dari beliau riuh tentang ‘toyol berkepala hitam’ di dalam MPAJ yang cuma mendedahkan Laporan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa kepada umum. Untuk menangkap ‘toyol kepala hitam’ mungkin Shaziman harus menggunakan khidmat bomoh (SPRM). Tetapi kalau bomoh yang ada pun cuma bomoh temberang, hendak buat macam mana? Pening juga kepala memikirkan…

Jumaat, 4 Disember 2009

SPRM, SPR, PDRM Tak Ubah Seperti Gundik-gundik Umno

Antara tiga parti utama komponen BN, Umno, MCA dan MIC, Umno adalah parti yang mewakili Melayu Islam. Sungguhpun begitu antara ketiga mereka ini, Umnolah yang dilihat paling banyak mengamalkan politik tidak bermoral berbanding MCA dan MIC. Ini bukanlah bermakna MCA danMIC bersih, cuma mereka tidaklah dilihat seteruk Umno.

Dari segi rasuah, Umno juga dilihat juara dalam isu ini. Berkokok siang malam, tetapi ekor bergelumang tahi sendiri. Baik politik wang hinggalah menggelapkan wang peruntukan, tiada siapa yang dapat menandingi kecekapan YB-YB Umno.

Umno juga yang merosakan agensi-agensi kerajaan yang lain. Gundik-gundik mereka SPRM, SPR dan PDRM bersedia menjalankan kerja-kerja tidak beretika untuk keuntungan jantan (Umno) mereka. Apabila pendayung (kuasa) berada di tangan, apalagi berdayunglah si jantan dan gundik-gundik ini semahunya. Gundik-gundik ini tidak ubah seperti pelacur. Di masa-masa senggang pula, si gundik-gundik ini akan mengurut-ngurut badan jantannya.

Umnolah yang bertanggungjawab menjadikan mereka begitu. Tanpa rasa sedikit pun perasaan malu, Umno dan gundik-gundiknya berterusan menggunakan kuasa untuk menekan YB-YB dari PR dan menyorokan perbuatan 'zina' mereka. Apabila siasatan yang melibatkan YB mereka, gundik-gundik ini akan terhegeh-hegeh, tergedik-gedik dan malu-malu kucing untuk membuat siasatan. Apbila kes yang berkaitan PR, kepantasan mereka hinggakan ada nyawa yang terkorban.


Kepada gundik-gundik ini, segeralah bertaubat. Jangan apabila sudah sampai masanya nanti taubat kalian tidak diterima lagi. Lambat laun kegiatan 'zina' kalian bersama Umno akan dibalas baik oleh rakyat mahupun akhirat nanti. Jauhkan diri kalian dari Umno. Berkawan dengan Umno akan menjadikan diri kalian sama seperti Umno.



Jumaat, 27 November 2009

Biro Tata Negara Alat UMNO

Saya pernah diceritakan oleh seorang saudara yang pernah menyertai kursus Biro Tata Negara (BTN). Menurut beliau kebanyakan isi kandungan ceramah dari kursus tersebut bertujuan untuk menaikan semangat peserta nasionlisme Melayu khasnya. Sekali pintas, kedengaran memang elok. Tetapi dalam ghairah menaikan semangat memajukan bangsa Melayu, unsur-unsur politik dan perkauman yang jelas turut diperasapkan.

Dalam salah satu ceramah dalam kursus tersebut, penceramah menceritakan bagaimana pembunuhan kaum beramai-ramai di dalam sebuah panggung wayang di negara kita semasa kejadian rusuhan kaum 13 Mei. Saya tidak dapat pastikan pula samada kejadian tersebut benar-benar pernah berlaku. Kalaulah pun kejadian itu memang pernah berlaku, seharusnya kejadian tersebut tidak perlu diceritakan lagi dari satu generasi ke satu generasi.

Kejadian rusuhan 13 Mei tersebut adalah satu titik hitam sejarah negara. Jangat terus diperhangatkan lagi. Jangan terus diperasapkan. Perbuatan memperhangatkan kembali isu itu hanya membuatkan luka lama akan terus berdarah. Selagi ia berterusan disebut-sebut, ia akan menjadi duri dalam daging dan selagi itulah matlamat menjadikan bangsa Malaysia bersatu tidak akan tercapai. Jika kejadian itu tidak benar, anda fikirkanlah apa motif mereka mengada-ngadakan cerita seperti itu dan untuk kepentingan siapa?

Selain itu, dalam ceramah kursus BTN turut dinyatakan negara ini akan menjadi huru-hara segala aspek jika ditadbir oleh parti selain BN. Sekarang semakin jelas, untuk apa sebenarnya kursus BTN diadakan dan untuk kepentingan siapa.

Rabu, 25 November 2009

Perjuangan Dan Pengorbanan

Perjuangan para nabi dan rasul, perjuangan ibu dan bapa, perjuangan seorang pendidik, perjuangan seorang pejuang kemerdekaan, perjuangan para mujahid, perjuangan seorang soldadu, perjuangan kemerdekaan era moden, perjuangan seorang penulis dan banyak lagi perjuangan yang akan terus berdenyut nadi di seluruh pelusuk dunia. Pejuang akan mati apabila sampai masanya, namun perjuangan tidak akan mati. Perjuangan akan terus hidup berkesinambungan dari satu generasi ke generasi dan selagi itulah tidak akan putus-putus menuntut PENGORBANAN.

Jasad pejuang boleh dipenjarakan, namun roh perjuangan tetap melangkaui tembok setinggi mana pun, tetap merentasi sempadan, tetap merentasi perbedaan warna kulit. Di mana pun pejuang itu, apa pun warna kulitnya, tidak dapat lari dari PENGORBANAN. Lari dari PENGORBANAN erti lari dari perjuangan.

Manusia mampu menipu. Hakikatnya sejarah tidak menipu. Sejarah adalah kejadian yang telah terjadi masa lalu dan tidak boleh diubah. Dokumen sejarah atau buku sejarah ditulis oleh manusia, boleh diolah-olah, disesuaikan, menerangkan atau menggelapkan mana-mana bahagian sejarah.

Malangnya setelah 52 tahun merdeka, apabila banyak nama-nama pejuang kemerdekaan telah digelapkan. Khususnya pejuang kemerdekaan berhaluan kiri. PENGORBANAN mereka ini bukan sedikit. Dokumen sejarah menjadi alat propaganda mengaibkan. Bahkan Dokumen sejarah melabel mereka ini sebagai pelampau. Hakikatnya PENGORBANAN mereka jauh lebih sengsara berbanding pejuang-pejuang arus perdana. Perjuangan dan PENGORBANAN mereka tidak perah diiktiraf dan berterusan dinafikan.

Teman-teman, dalam hidup kalian tentunya ada yang kalian perjuangkan. Teruskanlah perjuangan yang kalian yakini benar dijalanNya meskipun tiada nama dicatat dalam mana-mana dokumen sejarah. Semakin besar perjuangan kalian, semakin besarlah PENGORBANAN yang dituntut. Jangan undur!

Akhir kata... kepada teman-teman, SELAMAT HARI RAYA QURBAN.

Sabtu, 21 November 2009

Pemuda Mati Ditembak Polis Dengan Tangan Bergari?

Laporan Berita Minggu, Ahad, 15 November kejadian di Arau, dengan tajuk ‘pemuda mengamuk ditembak’ amatlah memeranjatkan. Pemuda tersebut, Mohamad Taufik 21 tahun ditembak mati setelah mengamuk dengan bersenjatakan hanya pisau pemotong sayur dan mencuba menyerang anggota polis seramai lapan orang yang datang untuk menenangkan beliau.

Sebelum itu, beliau telah pergi ke balai polis terlebih dahulu dan memaklumkan niatnya untuk bergaduh dengan rakannya atas alasan telah dianiaya. Ekoran rasa tidak puas hati terhadap rakannya beliau turut menyerang rakannya itu dan mengakibatkan beberapa kecederaan di bahagian kepala, muka dan tangan.

Sejurus ibu dan bapanya dimaklumkan tentang kejadian amuk anaknya itu, mereka terus menuju ke tempat tersebut. Bagaimanapun sebelum sempat mereka tiba ke tempat kejadian, mereka telah terdengar bunyi tembakan dilepaskan dan melihat anaknya terbaring berlumuran darah dengan tangan bergari di belakang. Ibu dan bapa Mohamad Taufik menyifatkan tindakan pihak polis itu sebagai tindakan kejam dan tidak wajar.

Memang ini satu kejadian yang pelik. Persoalannya bagaimana ibu dan bapa Mohamad Taufik mendapati anaknya yang telah ditembak di bahagian dada dengan tangan bergari di belakang? Adakah pihak polis telah berjaya mengari tangan beliau terlebih dahulu dan kemudian ‘terpaksa’ melepaskan tembakan? Sejauh mana dia mampu meneruskan amuknya dengan tangan bergari di belakang dengan kawalan seramai lapan anggota polis?

Ataukah kemungkinan kedua, setelah beliau ditembak, barulah dia digari? Wajarkah tindakan polis mengarinya dalam keadaan beliau yang pada masa itu sedang menghadapi saat sakaratul maut atau mungkin juga telah menghembuskan nafas terakhirnya. Perlukah tindakan mengari tersebut? Di manakah nilai kemanusiaan anggota keselamatan kita?

Tidak dapat dinafikan lagi, masyarakat kita hari ini meletakan imej polis sinonim dengan wang kopi ditambah pula dengan kes kematian misteri tahanan lokap dan bermacam-macam lagi yang pernah disiarkan di media. Kini, satu lagi kes yang menghairankan yang menuntut penjelasan telus dari pihak atasan PDRM mahupun pihak Kementerian Dalam Negeri. Pihak kementerian dan PDRM perlu proaktif menangani gegala ini sekali gus mengubah persepsi negatif masyarakat. Hentikan retorik kosong dan sikap membela anggota sendiri.

Rabu, 11 November 2009

Menyerap Idealogi Muda Dalam Perjuangan PAS

Kira-kira lima tahun dahulu, ketika itu Epul masih lagi bersekolah menengah. Seperti kebanyakan remaja-remaja lain, memakai topi dan t-shirt yang mempunyai gambar band thrash pujaan mereka. Saya tidak nampak apa-apa pun perbezaan antara dia dan remaja lain ketika itu.

Namun setelah lama tidak berjumpa, pada suatu petang saya bertemu semula dengan Epul secara tidak sengaja. Rambutnya agak panjang, masih mengenakan baju berwarna hitam, warna kegemarannya. Sekaligus menunjukan minatnya pada band trash masih kekal. Kami berbual agak panjang petang itu. Menurut Epul dia baru sahaja tamat belajar di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan dalam jurusan penulisan dan jikalau tiada apa aral melintang akan menyambung pelajarannya tahun hadapan ke peringkat yang lebih tinggi. Setelah agak lama berbual, saya menyedari perbezaan yang amat ketara antara dia dan kebanyakan anak muda lain.

Mengkagumkan! Ya, itulah perkataan yang tepat yang boleh saya ungkapkan. Sebabnya, memang amat jarang saya berjumpa seorang anak muda seusianya sekitar awal dua puluhan yang mampu berfikiran cukup kritis, banyak membaca, mengkaji dan mampu melontarkan pandangan dari sudut pandangan yang mewakili kebanyakan anak-anak muda khasnya. Di sebalik gayanya yang ranggi, dia mampu berhujah, berserta huraian secara ilmiah dengan baik sekali.

Dalam perbualan kami, banyak berkisar tentang masyarakat kita hari ini. Dari politik hinggalah ke masalah sosial lain. Walaupun menurutnya dia tidak berpartisan, saya dapati dia mampu memerhati dan membaca apa yang tersurat dan tersirat dalam politik negara kita dengan baik. Mungkin disebabkan usia kami yang agak jauh bezanya, maka tidaklah semua pendapat kami sama. Masing-masing melontarkan hujah masing-masing dalam perbualan yang harmoni. Cuma satu, kami mempunyai tujuan dan matlamat yang sama. Untuk menggempur kebobrokan yang melitupi kita.

Ekoran pertemuan semula kami itu, beberapa hari kemudiannya saya diperkenalkan pula dengan beberapa rakannya. Rupa-rupanya rakannya yang lain turut mendukung gaya pemikiran yang sama. Seperti mana Epul, rakan-rakannya yang lain juga petah berhujah dengan berpandukan rujukan ilmiah seperti sejarah dalam dan luar negara dan sebagainya. Mereka ini tidak bergantung kepada sejarah buku teks semata-mata, malahan mereka ini berusaha mengkaji dari sumber-sumber lain yang mereka yakini antaranya, tentunya sumber dari internet dan juga buku-buku tulisan kajian sarjana sains sosial yang memperincikan lebih mendalam tentang politik negara dan luar negara semenjak sebelum merdeka.

Menurut Epul, generasinya yang idealis, mampu berfikiran kritis tidaklah ramai sebenarnya. Namun, mereka ini seperti mempunyai pengikut tersendiri dan semakin bertambah jumlahnya. Kalaulah apa yang dihujahkan oleh pemuda bernama Epul ini dalam perbualan isu politik antara kami dijadikan sandaran, maka benarlah Pas semakin hilang bisa dikalangan anak muda seperti mana yang terkandung di dalam kertas kerja yang dibentangkan oleh Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah. Apatah lagi kertas kerja yang dibentangkan oleh Dr Abu Hassan disertakan dengan statistik tinjauan pendapat. Menurut pandangan Epul, Pas masih lagi bersifat terlalu konservatif, enggan memahami idealogi anak muda dan kurang mendengar pekik mereka tetapi dalam masa yang sama mahukan anak muda ini mendengar mereka.

Seperti mana kenyataan naib presiden Pas, Salahuddin Ayub selepas Seminar Perkasa Parti baru-baru ini, Pas akan menubuhkan kumpulan pemikir. Bagi saya, amat wajar golongan pemuda seperti Epul ini dijemput sama menyertainya. Kumpulan pemikir yang bakal dibentuk itu akan hambar dan tidak tidak akan mencapai objektifnya jika tiada suara mereka. Tiada gunanya juga jika wakil pemuda yang dijemput ke dalam kumpulan tersebut hanyalah pemuda yang menyanyikan lagu senada dan seirama dengan yang menjemput mereka.

Pakatan Rakyat, khasnya dalam konteks ini Pas, tidak boleh lagi terus syok sendiri dengan mendakwa anak-anak muda menyebelahi mereka. Tindakan segera perlu dilaksanakan bagi mencapai objektif memenangi hati rakyat, golongan muda khasnya.


Selasa, 3 November 2009

Stamina Politik Anwar Ibrahim

Dalam saya memerhatikan pergolakan politik tanah air muktahir ini, saya amat tertarik dengan semangat juang yang ditunjukan oleh Dato Sri Anwar Ibrahim. Bukan sahaja semenjak PRU 12 tahun lalu. Malah perjuangan dan semangatnya telah tertonjol semenjak beliau memimpin gerakan pelajar ketika beliau muda lagi. Saya kira ramai yang juga tentu sedar akan kekentalan beliau memperjuangkan setiap apa yang beliau yakini.

Kalaulah ada senarai 50 atau 100 pemimpin politik seluruh dunia yang paling bersemangat kental, ‘berstamina politik’ di era moden ini, saya pasti akan menamakan Anwar Ibrahim di antaranya. Bukan mahu memuja insan bernama Anwar Ibrahim ini. Tetapi inilah hakikatnya. Baik kawan mahupun lawan, akan akur pendapat ini (bagi lawan yang ego, sekurang-kurangnya di dalam hati) Kenapa saya berpendapat demikian?

Semangat juang yang ada padanya tidak ubah seperti sistem antibodi manusia yang sihat. Sebagai contoh, katakanlah apabila seseorang yang normal kesihatannya tadi diserang demam. Semasa dia demam, sistem pertahanan badan akan melawan virus demam tersebut. Setelah demam tersebut kebah, sistem pertahanan badan yang terdapat di dalam tubuh badan manusia yang sihat tadi akan turut meningkat. Begitulah juga dengan manusia yang bernama Anwar Ibrahim ini. Setiap kali dia tersembam, terjatuh, dilontarkan dengan kecaman-kecaman hebat dan pelbagai nista terhadapnya, dia akan melawan dan setelah itu bangun semula dengan lebih gagah dan semangat yang lebih kental dari sebelumnya.

Ambil contoh lain yang mudah, mampukah seseorang ahli politik selain Anwar bangkit kembali setelah menghadapi pelbagai tuduhan di mahkamah termasuk meliwat? Lihat sahaja orang kuat Anwar pada masa itu, Zahid Hamidi. Baru dua bulan diasak di dalam ISA, keluar sahaja terus jadi ‘neutral.’ Saya percaya kebanyakan ahli politik lain kalaulah terpaksa melalui ranjau politik seperti Anwar, pasti selepas itu bagaikan harimau kehilangan taring. Malah bunyi ngauman sang belang akan bertukar menjadi ‘meow,’ lunak dan manja sahaja bunyinya minta nyawa, minta diusap, belai dan disuapkan makanan. Layak dijadikan harimau sarkas. Tetapi ini tidak berlaku terhadap Anwar. Bukan sekali beliau merengkok terpenjara.

Bahkan ramai percaya, Anwar pasti tidak perlu menghadapi semua itu sekiranya dia akur dengan kehendak bosnya ketika itu yang mahukan dia meletak jawatan. Tetapi demi prinsip dan percaya dengan apa yang diperjuangkannya, dia sanggup menghadapi risiko. Walaupun pada akhirnya beliau didapati tidak bersalah oleh mahkamah persekutuan atas tuduhan liwat, tetapi beliau telah merengkok di penjara selama enam tahun atas tuduhan salah guna kuasa. Itu bukanlah kali pertama beliau dipenjarakan. Semasa beliau memimpin pergerakan mahasiswa, beliau turut ditahan di bawah Akta ISA selama dua tahun. Tetapi tiada perkataan serik di dalam kamus insan seperti beliau.

Anwar mempunyai stamina berpolitik yang tinggi. Memang ramai ahli politik lain yang telah menceburi politik dalam jangka masa yang panjang. Namun tidaklah mereka terpaksa mengerah kederat yang banyak seperti Anwar. Tetapi mereka boleh diumpakan berkereta BMW melalui lebuh raya yang panjang tetapi selesa perjalanannya. Berlainan pula bagi Anwar. sudahlah berbasikal, jalan yang dilalui pula tidak ubah seperti trek mountain bike yang berbukit, berbatu tajam, meretasi sungai berarus deras, gaung-gaung curam di kiri kanan dan jauh pula perjalannya. Walaupun ketika melaluinya beberapa kali beliau tersembam, tetapi beliau tetap gagahkan diri untuk bangun semula. Bagi sesiapa yang tidak tertahan oleh ranjau rintangan tersebut, pastinya tidak akan terdaya menjejaki langkah beliau. Mereka inilah yang akhirnya pencen politik. Walaupun masih yakin akan perjuangan Anwar Ibrahim, mereka tidak mampu untuk meneruskan mengikuti jejak langkahnya. Atau ada juga yang akhirnya mengalah, dan memilih untuk melalui lebuh raya yang tentunya lebih mudah dan selesa. Pokoknya cuma sediakan kenderaan, duit petrol dan duit tol.

Selain faktor-faktor lain yang mendorong kemerosotan kerusi BN di parlimen selepas PRU 12, tidak dapat dinafikan ianya juga antara kesan impak pengaruh Anwar. Sememangnya Anwarlah yang berjaya menyatukan PR yang hakikatkannya berlainan ideologi. Walaupun para pemimpin Umno agak sinis dengan kenyataan ini, hakikatnya di dalam kem Umno akan kelam kabut setiap kali Anwar membuat sesuatu tindakan terbaru. Pendek kata apabila Anwar keluar rumah sahaja, mereka sudah mulai resah dan di dalam hati mereka, akan berfikir apa lagi yang akan dibuat oleh Anwar kali ini. Walaupun mungkin pada masa itu Awar sekadar keluar untuk membawa isteri tercintanya bersiar-siar! Begitulah fobia mereka.

Ingat tak, agenda 16 September Anwar? Saya rasa sungguh lucu sekali apabila buat julung-julung kalinya Kelab Penyokong BN mengadakan ‘lawatan sambil belajar’ ke Taiwan untuk ahli-ahli parlimen mereka. Mereka bermati-matian menyangkal dakwaan bahawa tujuan sebenar adalah untuk menjauhkan orang-orang mereka dari bertemu Anwar. Mungkin bagi mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik di kampung-kampung akan percaya (sekurang-kurangnya ada yang percaya!). Mereka ini, yang bahan bacaan mereka ialah akhbar milik Umno dan tontonan mereka juga stesen tv milik Umno tentunya percaya apa sahaja yang dilakukan oleh Umno tiada yang tidak baik melainkan yang baik-baik belaka. Manakala PR pula bagi mereka, tiada yang baik melainkan yang menjahanamkan belaka. Pendek kata apa yang dibuat Umno semuanya betul, apa yang dibuat oleh PR semuanya salah. Kiranya Umno itu semacam maksum!

Sekali lagi, pemimpin-pemimpin Umno akan berlagak seperti kenyataan ini cuma lawak kosong. Sebenarnya tidaklah susah mana untuk mengukur kerisauan hati pemimpin-pemimpin Umno terhadap pemimpin-pemimpin PR. Baca sahaja akhbar-akhbar atau media lain milik Umno terutama pada musim pilihan raya. Baik individu, mahupun parti yang sering diserang mereka, sebenarnya orang itulah yang paling ditakuti Umno. Selain Tok Guru Nik Aziz dan pemimpin-pemimpin PR yang lain, lihat bagaimana Anwar diserang oleh media-media ini. Dari semua arah, peluru-peluru menghujani beliau. Bukan dari media yang mereka kuasai sahaja, malahan jabatan-jabatan kerajaan turut menjadi mangsa. Misinya, melumpuhkan pergerakan lawan mereka.

Antara serangan terbaru terhadap beliau ialah ‘pengkhianat bangsa’ oleh TPM Muhyiddin Yassin. Sebenarnya di negara ini, tuduhan sebegini bukanlah perkara baru. Bukan sahaja bagi Anwar, sesiapa yang pernah menentang Umno atau pemimpin Umno akan merasainya. Tidak terkecuali Tun Musa Hitam. Dalam satu kenyataan beliau ketika Anwar baru dipecat dari jawatan TPM. Pada masa itu Anwar dilabel agen kuasa asing (boneka Amerika) oleh media arus perdana. Beliau berkata, pada masa beliau berada di dalam Team B yang menentang Team A pada tahun 1987, beliau juga dicap seperti itu. Ini menunjukan ayat agen asing atau pengkhianat bangsa memang ada tersenarai di dalam manual bertajuk ‘panduan cara-cara hendak menjatuhkan musuh politik.’ Sayangnya kebanyakan panduan di dalamnya kebanyakan adalah ‘idea basi’ belaka.

Tetapi seperti mana yang sudah-sudah, insan bernama Anwar Ibrahim ini menjadi semakin imun terhadap serangan seperti ini sekaligus menjadikan daya tahan beliau semakin meningkat. Saya yakin, sekiranya ada lagi seorang yang berpengaruh, secekal, setangkas dan berstamina berpolitik laksana harimau bertaring yang mengaum ini, pasti selepas PRU 13 nanti, harimau-harimau sarkas yang bunyinya “meow” akan bertempiaran lari masuk ke sangkar masing-masing!

Ahad, 1 November 2009

Aduhai Nasib Si Mak Janda...

JANDA. Itulah gelaran yang tidak diingini oleh setiap wanita. Tidak kira yang bersuami mahupun yang belum bersuami. Samada kematian suami ataupun bercerai hidup, tiada wanita yang berkahwin kerana kemarukkan title janda seperti mana sesetengah wanita yang kemaruk title mak datin. Kalau sudah memang setakat itu jodoh yang tertulis buat mereka, bak kata pepatah disangkakan hujan hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Apatah lagi bagi para isteri yang kematian suami. Sekelip mata kehilangan tempat bergantung, mengadu, bermanja dan lain-lain. Pendek kata seperti layang-layang yang terputus talinya.

Baru-baru ini, kira-kira dua minggu selepas kita merayakan Hari Raya Aidil Fitri, saya telah dikejutkan dengan berita kematian seorang sahabat akibat stroke. Kalau hendak dikirakan umur, Allahyarham masih muda lagi. Baru 40an dan isteri beliau juga sekitar awal 40an. Tetapi sudah kehendakNya. Ajal tiba tepat pada masanya, tidak kira tua atau muda.

Allahyarham adalah bekas pengawal keselamatan. Disebabkan keadaan kesihatannya yang semakin teruk, menyebabkan beliau berhenti kerja kira-kira setahun lalu. Anak-anak beliau tiga orang, masih bersekolah rendah. Isterinya pula seorang suri rumah sepenuh masa, menyebabkan saya terfikir bagaimana nanti isteri dan anak-anaknya menghadapi hari-hari mendatang tanpa suami dan bapa mereka. Sedih saya memikirkannya.

Mereka yang telah pergi, tetap pergi dan yang tinggal perlu meneruskan kehidupan. Sebelum ini saya sering berfikir tentang pandangan serong segelintir masyarakat terhadap wanita-wanita yang memegang gelaran janda, khususnya janda muda. Samada kita sedar atau tidak, golongan janda sering dijadikan kambing hitam. Kerana status janda, dengan mudah mereka dikaitkan dengan kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral.

Katakan seorang yang diketahui janda melalui di hadapan sekumpulan lelaki berhidung belang. Tidak kiralah bujang, duda atau suami orang. Tahu apa kata mereka? Antara ungkapan yang akan keluar ialah ‘ada chance!, boleh makan!, tu dah lama tak dapat, bergetah dan bermacam lagi yang seolah-olah asalkan janda sahaja, pasti tidak mempunyai pegangan dan mudah diratah. Katakan lagi, seorang janda yang baru berpindah di kawasan rumah kita. Segelintir para isteri akan pakat-pakat memantau pergerakan janda itu ataupun pulaukan janda tersebut kerana kesangsian yang tidak bertempat.

Bukan itu sahaja, ada juga yang mengeksplotsi gelaran janda untuk tujuan komersial. Kalau baik dan kena caranya bolehlah juga diterima (?). Tetapi kalau minuman untuk tenaga batin, kenapa harus dikaitkan dengan janda? Tidak ke pelik? Bukankah lagi bagus kalau minuman untuk tenaga batin dinamakan seperti ‘untuk isteriku’ atau ‘buat suamiku.’ Itukan lagi tepat.
Mungkin ada yang beranggapan pendapat yang saya lontarkan tadi buruk bunyinya. Tetapi begitulah hodohnya persepsi yang menunjukan kehodohan moral dan ‘mind set’ segelintir masyarakat kita sendiri. Bagi para lelaki termasuklah saya sendiri, cubalah renungkan sejenak. Seandainya ditakdirkan kita yang pergi dahulu. Bagaimana nanti isteri kita melalui senario seperti di atas? Atau bagi seorang wanita, jika ditakdirkan si suami pergi dahulu, mahukan anda melalui senario tadi? Ingat, dalam dunia ini, apa yang kita buat pada orang lain boleh jadi terkena pada batang hidung sendiri.

Persepsi-persepsi buruk seperti ini harus diubah. Ramai janda-janda di luar sana, yang meneruskan kehidupannya hanya fokus semata-mata kerana adanya anak-anak yang perlu dibela. Keluar pagi, balik petang demi memberikan kehidupan yang sempurna untuk anak-anak mereka. Bahkan memiliki akhlak yang lebih tinggi dari yang bukan janda. Memang benar terdapat segelintir janda yang tidak kuat pegangan dan yang terjerumus memberikan imej buruk buat gelaran janda. Bukan semua begitu. Hakikatnya, yang bukan janda pun baik suami orang, isteri orang mahupun yang masih bujang pun ramai yang turut bergelumang dengan onar.

Pandangan serong segelintir masyarakat terhadap golongan janda harus dihentikan. Para isteri, janganlah terlalu gusar tidak bertempat jika ada janda yang baru berpindah ke kawasan kejiranan anda. Kalaupun perlu anda awasi, mungkin juga suami anda sendiri. Sekelian yang sekaum Adam dengan saya juga, cuba bayangkan bagaimana pandangan masyarakat terhadap isteri anda setelah ketiadaan anda nanti. Janda harus dipandang sama rata dengan status-status lain. Tidak kiralah samada janda kerana kematian suami atau sebaliknya. Sama-sama kita renungkan…

Sabtu, 31 Oktober 2009

Baguslah Mereka Berambus!

Semalam di dada-dada akhbar terpampang berita adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah mengisytiharkan keluar dari PKR. Berita tersebut telah disambut baik oleh pemimpin-pemimpin BN.

Amin... Itu adalah berita baik buat PKR Selangor. Ini kerana perosak-perosak kapal sememangnya harus dicampak keluar. Mereka tidak boleh dibiarkan berada sama di dalam kapal. Mereka inilah yang mampu membuatkan kapal karam. Kerja-kerja pembersihan dari dalam parti harus diteruskan dari semasa ke semasa.

Tetapi yang malangnya adalah pengundi DUN Pelabuhan Klang yang mengundi beliau semasa PRU 12 lalu. Sudahlah adun mereka itu gagal menjalankan tanggungjawab sebagai adun dengan berkesan, malah kini meninggalkan pula PKR, simbol yang dimenangkan pengundi ketika PRU 12 lalu. Badrul Hisham seharusnya bertindak lebih jantan dengan meletakkan jawatan sebagai adun sekaligus membuka ruang kepada rakyat adun Pelabuhan Klang membuat pilihan dalam satu lagi pilihan raya kecil.

Seperti mana pengkhianat-pengkhianat yang lain di Perak, Badrul Hisham jangan bermimpi untuk bertanding pada PRU 13 nanti. Pemimpin-pemimpin BN yang sedia ada sendiri pun, berasak-asak untuk dapatkan kerusi calon. Apatah lagi dua tiga kerat adun bebas yang kononnya menyokong BN. Lupakanlah sahaja.

Memburu Pengkhianat Dalam PKR

Semenjak tahun 1999, sudah tiga pilihan raya umum (PRU) dilalui. Selepas PRU 12 sahaja, lapan pilihan raya kecil ditempuhi. Gabungan parti-parti pembangkang, daripada asalnya Barisan Alternatif (BA) kini bertukar kepada Pakatan Rakyat (PR). Manakala, parti yang menjadi tulang belakang persefahaman dalam gabungan ini, Parti Keadilan Nasional pula, sebelum didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan politik, terlebih dahulu sebuah NGO dengan nama ADIL ditubuhkan. Beberapa tahun selepas PRU 10, parti tersebut telah bergabung Parti Sosialis Rakyat Malaysia dengan menggunakan nama baru seperti yang ada sekarang iaitu Parti Keadilan Rakyat.

Senario politik yang kita ada hari ini, semuanya berpaksi daripada pemecatan Dato’ Sri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Bermula dari situlah, pementasan politik negara begitu cepat berubah dari satu plot ke satu plot. Kejadian tersebut telah menjadi pemangkin kebangkitan gelombang rakyat atau lebih tepat kalau saya katakan gelombang kebangkitan pembangkang dan akhirnya membawa persefahaman pembangkang untuk berdepan dengan BN satu lawan satu dalam pilihan raya.

Akhirnya, selepas PRK Bagan Pinang baru-baru ini, PR akan didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan politik. Buat masa ini, sekurang-kurangnya ia bakal dianggotai oleh tiga parti utama sebagai parti komponen di dalam PR iaitu PAS, DAP dan PKR. Antara ketiga-tiga parti ini, PKR lah yang termuda sekali.

Saya masih ingat, Datin Sri Wan Azizah pada awalnya telah mendaftarkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan ADIL. Namun setelah perbincangan lebih mendalam dengan penasihat-penasihat beliau, akhirnya sebuah parti politik yang dinamakan Parti Keadilan Nasional ditubuhkan. Terdapat beberapa pandangan pemerhati yang proDato Sri Anwar pada ketika itu kurang bersetuju dengan langkah itu. Mereka berpendapat, perjuangan melalui medan politik hanya memberi ruang untuk dibelasah pihak lawan. Pandangan mereka lagi, melalui NGO akan lebih mudah mendapat sokongan dari mana-mana tanpa mengira idealogi politik.

Mahu tidak mahu akhirnya Datin Sri Wan Azizah terjun juga ke dalam dunia politik yang penuh bergelora. Saya juga masih ingat, setiap kali Datin Sri Wan Azizah memberikan ucapan di atas pentas politik pada masa itu, sifat keibuan beliau lebih terserlah daripada sifat sebagai seorang ahli politik.

Pada ketika itu, keluarlah kenyataan-kenyataan sinis dari pemimpin-pemimpin Umno di dada-dada akhbar, khususnya Dato Sri Dr Mahathir. Ramalan mereka, parti yang baru tidak sampai setahun jagung itu turut akan terkubur seperti mana nasib Parti Semangat 46. Tetapi fakta yang ada menunjukan perbezaan yang ketara antara kedua-dua parti tersebut. Hakikatnya Parti Semangat 46 adalah salinan yang saling tidak tumpah kepada Umno sendiri. Ahli-ahli dan pemimpin Semangat 46 adalah 100% Umno. Walaupun namanya Semangat 46, mereka tetap Umno. Apa yang ada di dalam Umno, sama sahaja dengan apa yang ada dalam Semangat 46. Masing-masing menegaskan bahawa akulah mendukung semangat Umno lama.

Semenjak PKR ditubuhkan, parti itu terus cepat berkembang. Secara rambang, boleh dikatakan pada awalnya, yang menganggotai parti tersebut terdiri dari bekas ahli-ahli Umno, aktivis-aktivis sosial (NGO), ahli-ahli profesional, dan golongan biasa yang mendiami kawasan bandar. Selain bekas ahli-ahli Umno, yang lain-lain kebanyakan terdiri dari mereka yang tidak pernah menganggotai mana-mana parti. Hanya selepas pemecatan Dato Sri Anwar barulah timbul kesedaran politik dikalangan mereka.

Berbanding dengan Umno yang sudah sampai ke tahap statik dan tepu, PKR masih pada peringkat pembesaran atau perkembangan organisasi. Pada peringkat pembesaran organisasi inilah masanya untuk mencorakan bagaimana PKR harus dilihat rakyat. Pada masa inilah ia harus dibentuk menerusi kepemimpinan pemimpinnya dan pengikut-pengikutnya. Seperti membesarkan anak yang sedang remaja, pada peringkat ini juga, adalah waktu-waktu yang mencabar. Bukan jumlah kemenangan kerusi di parlimen atau DUN sahaja yang menjadi ukuran. Tetapi yang lebih penting ialah bagaimana untuk memastikan tiada anasir-anasir musuh menyelinap masuk ke dalam parti. Peristiwa dua Adun PKR di Perak yang asalnya Umno dan akhirnya berpaling tadah harus dijadikan iktibar.

Lazimnya, di dalam mana-mana organisasi yang sedang berkembang, sesiapa pun mudah mendapat kedudukan. Dalam PKR, jika hari ini anda mendaftarkan nama di sebuah ranting baru dan menunjukan komitmen terhadap parti. Anda tidak perlu bermodalkan wang ringgit, cukup dengan menunjukan muka setiap kali mesyuarat, hadir setiap kali aktiviti diadakan, ringan tulang dan ada pula ketokohan serta pandai bercakap. Dalam jangka masa setahun sekurang-kurangnya anda telah terpilih sebagai AJK ranting. Jika anda teruskan usaha lagi, anda akan terus meningkat naik. Bagusnya dalam PKR ini, anda tidak perlu menjadi seorang kontraktor atau saudagar besar untuk mendapat kedudukan. Parti ini tidak dilihat elit kepada golongan tertentu sahaja. Ia mudah didekati. Jika kena caranya, seorang kerani biasa pun boleh mendapat kedudukan yang baik di dalam PKR. Tetapi bagaimana jikalau anda sebenarnya adalah pembawa agenda pihak musuh yang berjaya menyelinap masuk? Keadaan ini tentunya membahayakan parti.

Dalam kenyataan Dato Sri Anwar Ibrahim tidak berapa lama dahulu, beliau turut akui beberapa kesilapan dalam memilih calon-calon ketika PRU 12 lalu. Kesannya yang kita dapat lihat, adun berpaling tadah, bermasaalah, meletakkan jawatan dan bermacam kerenah lain. Walaupun begitu, saya melihat, adun yang meletak jawatan adalah mereka yang lebih gentlement serta bertanggungjawab terhadap parti. Kenyataan Dato Sri Anwar tersebut cukup membayangkan betapa perlunya pemimpin-pemimpin parti memikirkan bagaimana untuk memperhalusi pemilihan kriteria yang ada untuk memilih pemimpin atau calon-calon pilihan raya yang akan datang. Atau mungkinkah perlu mewujudkan mekanisme-mekanisme tertentu bagi memperketatkan saringan. Tentunya pemimpin-pemimpin PKR lebih arif apa yang perlu dibuat.

Seperti yang telah saya nyatakan awal tadi, keadaan Umno telah sampai ke peringkat tepu. Keadaan ini menyebabkan agak sukar untuk unsur-unsur luar menyelinap masuk ke dalam Umno. Mungkin mudah untuk menjadi sebagai ahli biasa dengan hanya mengisi borang pendaftaran. Tetapi untuk memanjat hariki lebih tinggi, terlalu ramai yang perlu dicantas. Hatta bekas ketua Angkatan Pemuda PKR, saudara Ezam seorang yang dilihat mempunyai ketokohan dan sememangnya mempunyai nama dalam arena politik, hingga ke hari ini sekadar ahli biasa di dalam Umno. Cuma yang istimewanya dia menyerahkan borang mendaftar keahlian terus ke tangan presiden Umno ketika itu.

Mungkin lain ceritanya kalau anda seorang kontraktor besar! Walaupun tetap sukar, tetapi tidaklah sesukar bagi seorang kerani. Memang umum tahu, Umno dan duit (projek) tidak dapat dipisahkan. Kalau hendak belanja rakan politik minum pun, sekurang-kurangnya pun mesti di tempat yang ada class yang harga secawan kopinya sahaja hampir mencecah RM10. Walaupun anda mempunyai ketokohan tetapi kalau setakat kerja kerani, lupakanlah. Paling tinggi pun, setakat AJK cawangan. Itupun di kawasan luar bandar. Kalau di bandar-bandar besar, AJK cawangan pun belum tentu dapat. AJK cawangan di bandar lebih besar kedudukan atau nilainya berbanding AJK cawangan di kampung-kampung pendalaman sana. PKR harus mengambil ikhtibar dari Umno yang hampir tumbang angkara tersirna dengan wang, projek dan kedudukan.

PKR harus melihat bagaimana PAS mengembangkan organisasinya sebagai model terbaik. Walaupun PAS adalah sebuah parti yang telah lama ditubuhkan, tetapi belum sampai ke tahap tepu. Organisasinya masih terus berkembang hingga sekarang. Sebelum PRU 10 pada tahun 1999, perkembangan organisasi PAS lebih perlahan berbanding sekarang tetapi agak dinamik. PAS juga tidak lagi dilihat sebuah parti yang konservatif. Semenjak PRU 12 lalu, seperti juga PKR, semakin banyak cawangan-cawangan baru PAS dibuka di seluruh negara. Sungguhpun begitu, dalam proses pembesaran organisasi PAS, parti ini sukar ditembusi anasir-anasir luar yang membawa agenda musuh. Kalaulah ada ahli atau pemimpin PAS sebagai pembawa agenda pihak lawan, ianya lebih mudah dikenal pasti kerana akan tampak ‘janggal’ atau ‘lain dari yang lain’. Untuk ‘menyamar’ dalam PAS memang payah.

Salah satu sebab ialah proses tarbiyah yang berterusan dijalankan di dalam PAS. Walaupun pembesaran organisasinya agak perlahan, tetapi PAS berjaya melahirkan pemimpin yang berkualiti dan kuat pegangan prinsip perjuangannya (walaupun tidak semua – setandan pisang, pasti ada sebiji dua yang busuk!). Sebab itulah semasa kekecohan adun PR berpaling tadah, pemimpin PAS pernah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak meragui kesetiaan adun-adun mahupun ahli parlimen mereka. Sememangnya amat jarang kita dengar pemimpin PAS yang berpaling tadah. Mereka membuktikan kekuatan prinsip (iman) mampu mengalahkan nafsu wang dan kedudukan.

Jesteru itu, dalam keghairahan PKR membesarkan organisinya, tidak dapat tidak, haruslah mengenal pasti siapakah orang di kiri dan kanannya? Bagaimana kejituan pegangannya terhadap prinsip perjuangan parti? Bagaimana pula moralnya? Di manakah dia sebelum ini?

PKR tidak lagi boleh hanya bergantung harap kepada ketokohan, kebijaksanaan dan populariti seorang dua pemimpin sahaja. Pemimpin pelapis haruslah disediakan.

Jumaat, 30 Oktober 2009

Kematangan Politik Dalam PAS

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Begitulah lebih kurang melesetnya sangkaan saya tentang suhu politik negara kita masa kini. Semenjak PRU 12 lalu, cuaca politik negara kita memang sukar untuk diramalkan. PRK Bagan Pinang sudah, EGM MCA sudah dan Perhimpunan Agung Umno juga sudah selesai. Saya jangkakan suhu politik yang membahang akan mulai menjadi suam-suam kuku. Serangan-serangan media-media arus perdana terhadap PR juga akan turut ikut mengendur.

Alih-alih, keluar pula kenyataan Tok Guru Nik Aziz melalui blognya, yang mahukan PAS mengadakan Muktamar Khas bagi membersihkan dua, tiga kerat pemimpin parti itu yang proUmno untuk membentuk kerajaan perpaduan. Apa lagi, suhu politik yang mulai suam-suam kuku hanya bertahan beberapa hari sahaja sebelum membahang semula.

Maka, tersenyum sumbinglah Dato Sri Najib, Tan Sri Muhyiddin dan lain-lain yang sekapal dengannya. Setidak-tidaknya ada juga isu yang boleh diperkatakan oleh media-media arus perdana akan ‘perpecahan’ dalaman PAS dan PR. Laksana orang mengantuk disorongkan bantal.

Dalam isu ini, cukup menunjukan perbezaan yang cukup ketara di antara Umno dan PAS dari segi kematangan berpolitik. Berbeza dengan Umno, di dalam PAS, kenyataan-kenyataan akhbar, perbezaan pendapat, mahupun kritikan terbuka boleh dilontarkan oleh sesiapa sahaja. Lihat sahaja beberapa pemimpin PAS yang sebelum ini pun berani dan bebas mengeluarkan pendapat yang bercanggah dengan pendapat pemimpin parti atau pemimpin-pemimpin PR yang lain. Walaupun arahan tidak rasmi PAS sendiri yang mahukan isu dalaman parti tidak dibincangkan secara terbuka tetapi itu bukanlah arahan rasmi yang boleh diambil tindakan kepada yang engkar. Ini menunjukan sikap terbuka mereka yang lebih telus kepada umum. Sekadar mengambil contoh, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, beliau berani mengeluarkan kenyataan yang bercanggah baik dengan rakan seperjuangan di dalam PAS mahupun terhadap rakan-rakan kongsi di dalam PR. Itulah juga yang dilakukan oleh Tok Guru Nik Aziz dari dahulu hinggalah terhadap isu kerajaan perpaduan ini.

Memang ramai lagi pemimpin-pemimpin di dalam PR khususnya PAS yang turut bila-bila masa berani bersuara. Sebagai contoh sekadar menyebut beberapa nama lagi, YB S. Manikavasagam dari PKR dan Ketua Menteri Pulau Pinang YB Lim Guan Eng dari DAP. Mereka ini, khususnya PAS sememangnya telah ditarbiyah agar berani bersuara demi apa yang mereka fikirkan benar dan tentunya bersedia menghadapi risikonya. Lebih-lebih lagi bagi pemimpin PAS yang mendukung perjuangan atas nama agama (Kebenaran harus ditegakan). Semangat berani kerana benar memang sudah lama membudaya di dalam PAS. Tidak kiralah berhadapan dengan sesiapa pun.

Manakala, Pemuda PAS pula, seharusnya diberi pujian. Mereka bukan sahaja menjadi pendesak yang hebat terhadap kerajaan pusat, bahkan mereka turut menjadi kumpulan pendesak terhadap kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh PR seperti mana yang dilakukan oleh Pemuda PAS Selangor. Meskipun mereka sedar kerajaan negeri yang mereka kritik itu adalah kerajaan yang sama-sama mereka dukung, tetapi mereka tetap menjalankan fungsi mereka sebagai pendesak dengan sebaiknya. Bagi mereka ini, kerana sayanglah, ia harus ditegur bukan dibiarkan. Mereka inilah golongan pemuda bakal mencorakan masa depan politik negara. Mereka ini bukan dari kalangan orang-orang yang menganggukkan kepala apabila disuruh angguk, menggeleng apabila disuruh menggeleng dan berdiam apabila disuruh diam. Sememang tidak dinafikan, dari sudut lain ianya mampu memberi imej buruk terhadap kesepakatan dalam parti dan seterusnya terhadap PR apabila penangguk-penangguk di air keruh memanipulasikan isu.

Sangat berbeza di dalam Umno, perkara-perkara seperti ini tidak terjadi. Dalam Umno pucuk pimpinan tertinggi dan adalah 'dewa yang bersih'. Tidak boleh hatta dicuit sekalipun. Bilangan jari sebelah tangan pun lebih banyak dari yang boleh saya namakan yang mempunyai keberanian, keterbukaan dalam melontarkan vokal berbeza dari pucuk pimpinan Umno. Datuk Shahrir Samad, Dato Sri Dr Rais Yatim dilihat agak berani mengeluar pendapat yang bercanggah dengan pemimpin Umno lain.

Tidak kurang juga apa yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri terhadap Tun Abdullah Badawi ketika Tun masih bergelar PM. Sungguhpun begitu tindakan beliau lebih dilihat kepada startegi meraih keuntungan politik daripada keberanian beliau sendiri. Umum mengetahui, itupun pada ketika populariti, kedudukan dan kekuatan politik Tun Abdullah pada masa itu cukup goyah. Diserang bertubi-tubi dari luar dan dalam BN sendiri. Selain itu, mungkin juga nama Datuk Mukhriz Mahathir juga boleh disebut. Namun, seperti mana Tan Sri Muhyiddin, beliau juga hanya berani bercanggah pendapat ketika Tun Abdullah berada di dalam kedudukan goyah.

Pemimpin Umno yang lain-lain? Sejujurnya saya tidak dapat mencari nama-nama lain. Janganlah kalau ada sesiapa yang menyebut nama Dato Sri Hishamuddin, atau Khairy Jamaluddin. Mereka ini jauh sekali! Sebab itulah setiap kali diadakan Pemilihan Agung Umno, antara perkara utama yang sering ditekankan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi Umno ialah kesetiaan terhadap ketua. Saya masih ingat kenyataan yang diungkap oleh Tan Sri Mohd Muhammad Taib ketika cuba meraih pencalonan daripada bahagian-bahagian bagi bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno. Kata-kata kempen beliau lebih kurang begini. Kesetiaan beliau terhadap presiden tidak perlu diragui. Kesetiaannya sememangnya telah terbukti dan dia bukan kaki melawan bos. Lebih kurang begitulah bunyinya. Dari situ sudah cukup membayangkan di dalam Umno, ketelusan atau keterbukaan Politik Umno masih berada jauh terkebelakang daripada kematangan politik PAS mahupun parti lain dalam PR. Bahkan kematangan politik Umno juga jauh ketinggalan daripada kematangan politik rakan kongsi utama mereka di dalam BN iaitu MCA kecualilah MIC yang masih ditakuk lama seperti mana Umno sendiri.

Akhir sekali, walaupun isu EGM PAS, telah membuatkan politik dalaman parti berkocak kembali, sesungguhnya ianya adalah salah satu tanda kematangan politik di dalam PAS sendiri. PAS perlu memperhalusi keperluan mengadakan EGM untuk kepentingan PR dan PAS khasnya. Para penangguk-penangguk di air keruh sedang bersedia untuk menangguk.

Paparan Halaman