Khamis, 31 Mac 2011

Orang Melayu gagal keluar kemelut krisis peradaban


Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Masyarakat Melayu moden di negara ini dianggap gagal keluar dari kemelut krisis peradaban apabila masih lagi sanggup melakukan perkara sama yang telah dilalui oleh Hang Tuah, anak gadis Sang Rajuna Tapa dan juga Mahsuri pada zaman masing-masing.
Demikian hujah Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Abu Hassan Hasbullah dalam satu wawancara hari ini.
Menuruh Prof Dr Abu Hassan, sejarah orang Melayu menunjukkan kaum itu telah lama dibebani dengan peristiwa yang menyerupai isu video seks yang dikaitkan dengan ketua pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim itu.
“Isu video seks  bukan soal isu meningkatnya simpati masyarakat terhadap Anwar  sekali gus menderu sokongan kepercayaan politik terhadap Pakatan Rakyat.
“Isu video seks  bagi masyarakat adalah krisis peradaban kaum Melayu yang sudah cukup lama terbeban dengan sejarah semacam ini melalui peristiwa-peristiwa sejarah bangsa Melayu yang turut mengheret krisis yang sama,” kata beliau.
Memfitnah zina untuk menjatuhkan musuh?
Menurutnya, isu video seks yang melibatkan individu-individu terkenal Melayu mempunyai signifikan dengan perangai lama orang Melayu yang beberapa kali  menjatuhkan musuh mereka dengan mengaibkan atau mengenakan fitnah zina sesama mereka.
“Hang Tuah difitnah berzina dengan gundik raja, sehingga menyebabkan dia terhukum bunuh dan seterusnya mencetuskan kebangkitan revolusi Hang Jebat yang kemudian menyebabkan pertempuran saudara di Melaka.
“Begitu juga fitnah ke atas anak perempuan Sang Rajuna Tapa yang dituduh berzina dengan seorang pemuda di Temasik akhirnya menyebabkan pergelutan antara dua kuasa dan menyebabkan penjajahan Majapahit ke atas Singapura.
“Kita juga diberitahu dalam sejarah tentang kisah Mahsuri yang dituduh berzina dengan Deramang yang menyebabkan pembunuhan ke atas Mahsuri, jadi isu-isu ini adalah berhubungan dengan politik Melayu.
“Dalam keadaan bangsa lain telah berjaya mencipta Google, Facebook, Twitter, iPad dan sebagainya sedangkan bangsa kita pula tidak habis-habis hidup seperti apa yang dilalui oleh Hang Tuah, Sang Rajuna Tapa dan Mahsuri,” jelas beliau.
Prof Dr Abu Hassan turut menyatakan, masyarakat hari ini yang mulai rasa bimbang dengan permainan politik fitnah yang akhirnya mampu untuk menjatuhkan  kuasa politik Melayu di negara ini.
“Masyarakat mula bimbang apakah politik yang semacam ini akan berterusan dan akhirnya menyebabkan kejatuhan politik Melayu di masa depan.
“Lalu tentulah masyarakat begitu ingin menghentikan politik yang sebegini,” jelas beliau lagi.
Beliau turut menyatakan amalan politik lucah bukan sahaja bertentangan dengan akhlak politik Islam serta tidak memberi manfaat kepada peradaban bangsa Melayu malah ia turut menggambarkan keadaan bangsa itu yang sedang sakit dan dihina oleh bangsanya sendiri.
“Setiap individu dalam masyarakat mempunyai akal rasa dan akal fikir mereka sendiri, tentulah buat yang beriman dan berpercaya pada Tuhan menyedari bahawa politik lucah tidak pernah memberi apa-apa manfaat bagi peradaban bangsa selain menggambarkan bangsa itu sendiri sedang sakit dan dihina oleh bangsa mereka sendiri.
“Tidak kira siapa yang dituduh dan difitnah, atau dicela, maka seluruh bangsa itu dalam mayatilik bangsa lain juga tertuduh dan tercela sama.
“Sebab itulah secara filsafatnya, politik lucah yang sedang berkembang di saat ini dalam amalan politik tanah air telah bukan sedikit mengheret masyarakat terbanyak untuk bersama dalam suatu cara menguruskan politik yang bertentangan dengan akhlak politik Islam,” ujarnya lagi.
Beliau turut menjelaskan peranan media dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat agar menolak politik lucah dari terus berkembang dalam masyarakat negara ini.
“Tentulah isu Video Lucah yang terkait dengan Anwar sedikit sebanyak memberi kesan kepercayaan politik terhadap beliau dan Parti Pakatan Rakyat (PR).
“Bagaimanapun di waktu yang sama sekira media-media terus-terusan menyebarkan kehodohan-kehodohan politik sebegini akan mencetuskan pemikiran semula di kalangan masyarakat,” tegas beliau.
Anwar dianggap simbol
Beliau turut menyifatkan taktik politik lucah yang digunakan untuk menjatuhkan  Anwar sebagai gagal apabila keadaan ini hanya menyebabkan Anwar diangkat sebagai simbol perjuangan membela maruah diri, keluarga dan masyarakatnya.
“Perspektif dari mediasfera, isu ini akan menempatkan kembali Anwar sebagai simbol perjuangan diri, keluarga dan masyarakat di kalangan masyarakat tanahair kerana bukan mudah untuk seseorang dan sebuah keluarga menanggung penghinaan yang semacam ini, malah secara berterusan.
“Tentulah masyarakat mula melihat keperluan untuk bersekutu buat perubahan kerana masyarakat sudah tidak mampu menanggung situasi dan krisis politik yang semakin teruk dan semakin mengerikan,” kata Prof Dr Abu Hassan.
Prof Dr Abu Hassan turut mengingatkan masyarakat Melayu negara ini yang umumnya beragama Islam dengan ayat 12, Surah Al-Hujurat akan dosa yang ditanggung daripada  berprasangka, mencari kesalahan orang lain dan perbuatan fitnah.
“Pertamanya, Allah mengeluarkan perintah yang jelas di dalam Al Quran, Surat Al Hujurat, ayat 12, yang bermaksud – Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada di antara kamu yang berbuat fitnah dan tuduhan sebahagian yang lain.
“Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang”.
* Free Malaysia Today

Rabu, 30 Mac 2011

Taib ditentang adik speaker Dun Sarawak di Balingian

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud dijangka akan ditentang oleh adik kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semop, Dato Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dalam pilihan raya negeri (PRN) 16 April ini.
Awang Abdullah Awang Nassar dari Parti Ekonomi Rakyat Sarawak (PERS), mengesahkan perkara itu ketika ditemui secara tidak sengaja oleh beberapa wartawan dari sebuah stesen tv tempatan ketika sedang membeli borang pencalonan di pejabat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di negeri itu semalam.
Pengesahan Awang Abdullah juga sekaligus akan menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru termasuk wakil dari pakatan pembangkang yang akan pasti turut meletakan calonnya di Dun Balingian yang disenaraikan sebagai kawasan panas oleh SPR.
Bagaimanapun, Awang Abdullah dipercayai akan bertanding atas tiket bebas berikutan parti ditubuhkan pada Julai tahun lalu itu masih belum diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Parti itu dikatakan dianggotai oleh bekas ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) yang presidennya adalah Taib sendiri.
Dalam satu kenyataan akhbar ketika parti itu ditubuhkan, Setiausaha penaja PERS, Mohammad Nor Bakri memberitahu, parti itu telah meletakkan sasaran untuk bertanding di semua 71 Dun Sarawak.
Bagaimanapun katanya, beberapa calon yang berpotensi dari parti itu telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan salah seorang turut kehilangan 99 ekar tanah yang diambil bagi tujuan penanaman kelapa sawit.
Sebelum ini, khabar angin bertiup di kalangan pemerhati politik negeri itu, Mohamad Asfia dikatakan akan membantu adiknya itu disegi kewangan untuk bertanding di Dun Jepak.
Pada PRN 2006, Taib Mahmud berjaya menang besar di kerusi Dun Balingian apabila mengalahkan calon dari Pari Keadilan Rakyat (PKR) yang turut kehilangan wang deposit.
Sementara itu dalam satu perkembangan lain, SPR memberitahu kira-kira 318 set borang pencalonan telah dibeli oleh calon-calon yang bakal bertanding dalam PRN yang hari penamaan calon akan diadakan pada 6 April dan hari mengundi pada 16 April.

* Free Malaysia Today

Selasa, 29 Mac 2011

Sokongan bukan Melayu Sarawak terhadap BN kritikal

Oleh Nazli Ibrahim
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Sarawak dijangka bakal menghadapi laluan sukar untuk mempertahankan kemenangan besar yang diperolehi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini sekiranya gagal memulihkan kembali sokongan pengundi bukan Melayu negeri itu.
Menurut Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Aziz Bari kepada akhbar tempatan semalam, pembangkang mempunyai kelebihan dengan memainkan isu-isu berkaitan tanah, pampasan, Kitab Injil dan pembolotan kuasa sekaligus mampu menggugat kerajaan negeri yang ada sekarang.
“Ini kerana, sekarang ada banyak isu yang boleh dimainkan oleh pembangkang untuk menggugat kerajaan negeri. Ini termasuk isu tanah, pampasan, Injil dan pembolotan kuasa,” kata beliau.
Aziz turut menjelaskan, walaupun sukar untuk pembangkang memenangi PRN itu, mereka mempunyai potensi untuk menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dimenangi dalam PRN 9 lalu sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka di negeri itu.
“Jika pembangkang mampu dapat tiga kali ganda daripada kedudukan sekarang, itu sudah cukup baik. Inilah masanya untuk mereka menguatkan kedudukan dalam Dun,” katanya.
Aziz turut berpendapat kos perbelanjaan besar yang diperlukan oleh parti bertanding berikutan banyak penempatan di Sarawak yang masih dianggap sebagai pedalaman menjadi antara halangan kemaraan pembangkang dalam PRN itu nanti.
“Itupun bukanlah bermakna rakyat Sarawak tidak bermaklumat,” katanya.
Aziz juga memberitahu, kejayaan DAP merampas kerusi Parlimen Sibu dari tangan BN dalam Pilihan Raya Kecil pada Mei tahun lalu boleh dianggap sebagai penanda penerimaan masyarakat Bumi Kenyalang itu terhadap pembangkang yang semakin bertambah.
“Apa yang berlaku di Semenanjung tak boleh dijadikan ukuran kerana di Sarawak, isunya berbeza,” katanya.


Perjalanan politik baru

Dalam isu yang sama, Pensyarah Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff juga turut melahirkan pendapat yang sama.
Beliau berkata, kegagalan BN menarik kembali sokongan pengundi bukan Melayu di Sarawak akan menyebabkan BN berada di dalam kedudukan genting.
“Jika tidak, saya sifatkan mereka akan sukar untuk menang pada PRN kali ini,” katanya, yang juga terkenal dengan teori ‘swing’ pada Pilihan Raya Umum ke 12 lalu
Beliau yang merupakan penganalisis politik terkenal yang telah mengemukakan teori ‘swing’ berikutan keputusan PRU-12 yang banyak memihak kepada parti-parti pembangkang turut mengakui kemampuan parti pembangkang untuk membuka perjalanan politik baru di Sarawak.
“Saya lihat pembangkang mampu buka jalan baru bagi perjalanan politik Sarawak,” kata Mohammad Agus.
Beliau juga memberitahu antara punca kemerosotan undi bukan Melayu kepada BN yang semakin ketara ialah melibatkan isu kepimpinan, pengurusan masyarakat luar bandar, penyalahgunaan kuasa dan tekanan hidup rakyat.

* Free Malaysia Today

Khamis, 24 Mac 2011

Siapakah selebriti terkenal iras anda?!

Oleh Nazli Ibrahim

Bagi umat Islam, mereka percaya, setiap individu di muka bumi ini turut memiliki  enam lagi individu lain yang memiliki wajah seiras sekaligus menjadikan tujuh orang yang memiliki wajah seiras.

Bagi yang dilahirkan kembar seiras pula, masih terdapat lima individu lain yang seiras dengannya dan begitulah seterusnya bagi yang dilahirkan sebagai kembar tiga, empat atau seterusnya.

Logiknya, berbanding individu yang tidak popular, wajah mirip individu popolar lebih mudah untuk ditemui dan dicamkan.

Alasan logiknya ialah gambar individu-individu terkenal ini kita boleh lihat secara kerap dan di merata-rata tempat.

Ianya bukan suatu yang mustahil malahan boleh dianggap bukan terlalu rumit untuk menemui insan lain yang memiliki wajah seiras anda lebih-lebih lagi jika usaha yang dijalankan itu dibuat secara intensif dengan melibatkan sebuah pasukan mencari yang cekap dan diselaraskan dengan baik di seluruh negara.

Malahan ketika Regim Saddam Hussein hampir tumbang di tangan tentera bersekutu beberapa tahun lalu, diberitakan pihak perisikkan rahsia Saddam memiliki beberapa klon bekas presiden itu  yang bertujuan untuk mengelirukan pihak musuh di saat-saat kecemasan.

Juga diberitakan 'Klon-klon' tersebut telah dilatih dalam masa yang amat panjang dari semua aspek termasuk gaya percakapan, berjalan, duduk dan sebagainya untuk menjadi 'Saddam Hussein' dalam waktu memerlukan.

Menerusi perbualan dengan seorang rakan tidak berapa lama dahulu pula, katanya setiap presiden Amerika Syarikat turut mempunyai klon yang dilatih oleh Perkhidmatan Rahsia mereka yang dijaga dengan baik untuk digunakan saat-saat kecemasan besar.

Bagaimanapun tidaklah dapat saya pastikan sejauh mana kebenaran kedua-dua cerita ini samada hanya rekaan semata-mata ataupun memang benar-benar berlaku.

Terutama sekali cerita yang disampaikan oleh rakan saya tadi yang saya amat pasti bukan sahaja tidak pernah berkhidmat di White House, malahan  sepanjang penegetahuan saya, beliau belum pernah menjejakkan kakinya ke AS sekalipun.

Terjumpa 'selebriti terkenal'

Anda sendiri tentu pernah mengalami pengalaman terjumpa seseorang yang pada awalnya bermati-matian disangkakan seorang selebriti terkenal samada artis mahupun 'public figure' dalam lapangan lain.

Isteri saya sendiri pernah mengalami peristiwa yang melucukan sekitar hujung 90an ketika beliau masih di zaman bujangnya.

Peristiwa lucu tersebut berlaku ketika beliau dan beberapa rakan-rakan sekerjanya sedang asyik menjamu selera di Pertama Kompleks, Kuala Lumpur.

Tanpa disedari beliau, ketika itu beliau sedang menjadi tumpuan beberapa gadis yang juga sedang menjamu selera di tempat yang sama.

Apabila isteri saya menyedari beberapa mata sedang memerhatikannya, keadaan tersebut menyebabkan  rasa kurang selesa dihatinya dek bimbangkan kalau ada sesuatu yang tidak kena yang mungkin boleh menyebabkan keadaan memalukan dirinya.

Bagaimanapun untuk menteteramkan dirinya, isteri saya sempat juga melemparkan senyuman kepada gadis-gadis yang tidak dikenalinya itu yang jaraknya hanya selang satu meja sahaja dari meja beliau dan rakan-rakannya.

Selesai sahaja gadis-gadis tersebut menghabiskan hidangan tengahari mereka, dengan tidak semena-mena mereka menghampiri meja isteri saya dan perasaan isteri saya sedikit cemas ketika itu.

Tiba-tiba salah seorang gadis tersebut menyapa isteriku dengan berkata, "Akak ni Kak Maya kan?," sambil tersenyum simpul.

Rupa-rupanya gadis-gadis selang semeja itu menyangkakan isteri saya adalah penyanyi dan pelakon terkenal yang bernama Maya.

Apabila isteri saya menjelaskan bahawa dia bukanlah Maya si artis tersebut, muka mereka bertukar menjadi merah padam akibat perasaan malu dan dengan rasa bersalah mereka meminta maaf kepada isteri saya.

Kini sekarang isteri saya yang telah melahirkan empat cahaya mata kami dan umur yang juga telah meningkat persamaan tersebut tidaklah ketara lagi, namun tetap menawan, baik di mata mahupun di hati saya dan itu sudah memadai buat saya.

"Emak, Hamid Gurkha datang, mak!"

Pengalaman bapa mertua saya yang bertugas sebagai pembaca jangka elektrik seperti yang diceritakan kepada isteri saya yang ketika itu masih di alam remaja juga menarik untuk saya kongsikan.

Ketika sesampai sahaja beliau di sebuah rumah untuk mengambil bacaan jangka eletrik di kediaman terbabit, secara tiba-tiba anak tuan rumah yang mungkin sedang bersekolah rendah dengan tiba-tiba melauang kepada ibunya yang berada di dalam rumah.

"Emak...! Hamid Gurkha datang, mak...!!!," laung kanak-kanak tersebut dengan perasaan sedikit teruja apabila melihatkan 'pelawak terkenal Hamid Gurkha' berada di halaman rumahnya dan bapa mertua saya pula tidak mampu berkata apa-apa melainkan hanya mampu tersenyum. 

Jumpa 'Anwar' pekena teh tarik di warung

Tidak kurang menarik, pengalaman saya sendiri yang kalau tidak silap saya ketika itu kes liwat 1 sedang meletup di dada-dada akhbar bahkan kejadian tersebut turut melibatkan wajah yang seiras dengan individu yang terlibat dalam kes liwat 1, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sedang saya leka menghirup teh tarik di sebuah warung sekitar Jalan Ipoh pada suatu petang, mata saya lekas tertumpu pada susuk seorang lelaki yang wajahnya memang saling tidak tumpah dengan Anwar Ibrahim.

Malah saya berani katakan, wajah lelaki tersebut mempunyai 80-90 peratus iras wajah Anwar ketika itu tetapi saya tidaklah bertindak menyapa lelaki itu kerana  agak pasti bahawa lelaki itu bukanlah Anwar.

Antara sebab utama yang menyebabkan saya yakin lelaki itu bukanlah Anwar, isu liwat pada masa itu cukup panas dan Anwar sendiri juga pada bila-bila masa akan ditahan polis sekaligus tidak memungkinkan untuk beliau 'berkeliaran' dan minum seorang diri di warung tersebut.

lebih-lebih lagi ketika lelaki itu mahu beredar, saya melihat lelaki itu menyarungkan topi keledarnya dan memandu motorsikal kapchai sekaligus mengesahkan lelaki itu bukanlah Anwar.

Pada masa yang sama juga ketika itu diberitakan Anwar sedang menjelajah ke beberapa tempat dalam negara untuk membersihkan namanya yang dakwanya telah dicemari fitnah liwat.

Selain lelaki yang aku temui di warung tersebut, indentiti terkenal lain yang dilihat mempunyai iras Anwar ialah ahli perniagaan, Datuk Eshkay dan juga bekas presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Datuk Suhaimi Ibrahim.

Persamaan Suhaimi dengan wajah Anwar lebih ketara ketika Anwar dalam lingkungan umur 40-50an dan Eskay pula mempunyai perbezaan di rambutnya apabila memiliki 'jambul ala Superman' dan potongan rambut yang lebih panjang berbanding Anwar.

Bagaimanapun, wajah kedua-dua mereka tidak mampu menandingi persamaan yang dimiliki lelaki yang saya temui di gerai yang saya ceritakan tadi.

Selain itu, walaupun tidak mempunyai wajah tidak berapa seiras Anwar, beberapa individu terkenal lain turut mempunyai gaya pidato yang hampir menyerupai Anwar.
Individu seperti ini bolehlah diangap sebagai pengkagum Anwar hingga terbawa-bawa gaya pembawaan Anwar secara tidak disedari atau sebaliknya.

Antara beberapa individu terkenal yang memiliki gaya pidato mirip seperti Anwar ialah bekas ketua Pemuda Keadilan, Ezam Noor dan orang kuat PKR, Mustafa Kamil Ayub.

Lumrah bagi insan seperti Anwar yang sering dijadikan ikon oleh pengkagum-pengkagum beliau dan cuba mengpraktikkan beberapa gaya yang boleh dianggap sinonim dengan individu yang dikaguminya itu.

Anda bagaimana? Tentunya anda juga pernah mengalami sekurang-kurangnya salah satu dari situasi di atas tadi atau mungkin anda  pernah menerima komen dari rakan-rakan yang mengatakan wajah anda seiras dengan seseorang selebriti terkenal.

Atau, bagi kategori 'mainan perasaan sendiri', mungkin secara diam-diam anda sendiri yang mengaku wajah anda seiras Hans Isac, Anuar Zain ataupun Tom Cruise?

Jika anda seorang wanita pula, mungkin ada pernah terlintas di fikiran bahawa wajah anda mirip kepada Nasha Aziz, Lisa Surihani mahupun Ziana Zain tetapi awas jangan kongsikan apa yang anda fikirkan ini dengan rakan-rakan sepejabat anda!

* Free Malaysia Today

Rabu, 23 Mac 2011

RTC: Dendam kesumat yang tak pernah padam...

Tidak sampai 48 jam selepas 'Host tayangan perdana anda..., Dato T' yang indentitinya dirahsiakan sebelumnya, akhirnya  indentiti dalang-dalang utama dalam merencana fitnah jahat ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim terbongkar.

Salah seorang darinya, Pengerusi Risda, Tan Sri Rahim Thamby Chik (RTC) yang juga bekas Ketua Menteri Melaka sebelum beliau meletak jawatan gara-gara dikaitkan dengan kes rogol gadis bawah umur sekitar tahun 1993.

Ini bukanlah kali pertama penglibatan RTC sebagai dalang untuk menjatuhkan Anwar.   Ketika kes liwat 1 yang mengegarkan dunia politik negara pada tahun 1998, RTC juga dikatakan salah seorang dalang utama di sebalik takbir menerbitkan buku '50 dalil kenapa Anwar tidak boleh jadi PM'.

Selain nama beliau yang dikatakan sebagai pemilik lot premis lokasi mencetak buku fitnah tersebut, beliau turut menyertai beberapa 'road show' jelajah negara bersama Umi Hafilda dan beberapa ahli politik BN lain dalam menyebarkan fitnah jahat itu kepada rakyat.

Persoalan yang sama dengan isu penayangan video lucah baru-baru ini, mahukan masyarakat percaya bahawa tindakan RTC tersebut hanya berlandaskan kepentingan moral pemimpin dan masyarakat semata-mata sehingga ketika itu sanggup bersusah payah menjelajah untuk memberi penerangan kepada masyarakat negara ini. 

Adakah masyarakat negara ini terlalu bodoh untuk mempercayai tindakan tersebut tiada kaitan dengan kepentingan politik parti yang disokong oleh RTC?

Secara umumnya, bagi kebanyakkan pemerhati yang mengikuti perkembangan politik era 80an dan 90an percaya tindakan RTC tersebut berdasarkan teori dendam beliau terhadap Anwar dalam isu rogol gadis bawah umur yang sekaligus menamatkan karier politik beliau.

Bagaimanapun, sejauh mana penglibatan Anwar dalam isu rogol gadis bawah umur ini agak kabur.  Namun  umumnya ramai yang percaya, sikap Anwar ketika masih di dalam Umno yang sukar untuk bertolak ansur dengan sebarang unsur salah laku pemimpin Umno samada skandal seks mahupun rasuah telah menyebabkan beliau mempunyai lebih ramai musuh berbanding kawan di dalam Umno.

Bagi mana-mana pihak yang pernah mengikuti rakaman mesyuarat MT Umno terakhir yang disertai Anwar bagi membela dirinya dalam tuduhan salah laku seks-meliwat, pasti akan setuju akan statement bahawa Anwar mempunyai lebih ramai musuh berbanding kawan ketika di dalam Umno lagi.
Ketika mesyuarat itu berlangsung, Anwar yang dianggap telah kehilangan taring di dalam kerajaan setelah dipecat dari jawatan TPM oleh PM beberapa hari sebelum itu telah ditentang hebat oleh beberapa Ahli MT Umno.

Hakikatnya sebelum itu, ketika Anwar masih bergelar TPM, Ahli MT yang rata-rata memegang jawatan  sebagai Menteri itu sama tidak berani mengangkat muka sekalipun, apatah lagi untuk berhujah dengan Anwar.

Rata-rata para penentang atau musuh Anwar ketika itu merupakan pemimpin Umno yang mempunyai fail siasatan BPR (kini SPRM) hasil siasatan badan itu yang dipercayai setelah mendapat arahan dari Anwar. 

Hanya beberapa Ahli MT ketika itu yang tampak lebih neutral ialah individu yang dianggap sebagai pendukung Anwar, termasuk Muhyiddin Yassin dan Zahid Hamidi. 

Kembali semula dengan kes rogol gadis bawah umur yang melibatkan KM Melaka tersebut, Anwar ketika itu juga dipercayai sebagai pemimpin yang paling berkeras mahukan tindakan diambil terhadap RTC.

Akhirnya, RTC memilih jalan terbaik dengan menerima 'nasihat' dari pemimpin tertinggi Umno untuk meletakkan jawatan beliau dalam kerajaan dan parti bagi megelakkan sebarang tindakkan lain yang lebih memalukan.
Antara penglibatan individu lain yang paling diingati dalam isu yang sama ketika itu ialah  seorang lelaki Cina iaitu KM Pulau Pinang sekarang, Lim Guan Eng yang akhirnya merengkok selama enam bulan di penjara hanya disebabkan cuba mendapatkan keadilan untuk seorang cucu dan nenek yang bukan sebangsa dengannya.
 
Setelah hampir dua dekad peristiwa rogol gadis bawah umur dan kes liwat 1 berlalu, dendam kesumat RTC masih tidak pudar malahan ianya semakin membara apabila individu yang disasarkan masih ampuh mendepani satu demi satu gelombang fitnah yang melanda beliau dan keluarga.

Apatah lagi kedudukan RTC yang merupakan orang kaya Melaka yang faktor 'wang bukannya masalah' tentunya dengan kedudukan kewangan beliau itu, banyak perkara mampu direncanakannya.

Kekayaan yang dimilikinya itu menjadikan beliau antara beberapa kerat rakyat Melaka yang mampu memiliki kereta sport ferarri (jika sudah dijual-sekurang-kurangnya pernah memiliki) yang kebanyakkannya tiada  dalam senarai hatta mimpi sekalipun bagi rakyat biasa.  

Selasa, 22 Mac 2011

Malaysia menuju ke era politik lucah!

PETALING JAYA: Percubaan pihak tertentu yang mengaitkan tokoh utama pembangkang dengan individu di dalam rakaman video seks yang ditayangkan kepada wartawan di Hotel Seri Carcosa, Kuala Lumpur semalam dianggap sebagai permulaan bagi menghalalkan kepada percaturan politik lucah bagi mencemar maruah sekaligus menjatuhkan musuh politik.


Ketika sesetengah pihak menganggap ia bukanlah sesuatu yang baru dalam arena politik negara, pihak lain pula berpendapat, walaupun ini bukan pertama kali berlaku tetapi ia merupakan petanda satu permulaan baru yang lebih buruk dan tidak terkawal dalam politik negara.

Penayangan video seks semalam juga dianggap membawa dimensi baru kepada percaturan politik lebih menjengkelkan dengan peningkatan berganda dan terbuka terhadap tindakan berbalas serangan demi menjatuhkan maruah dan moral musuh politik kedua-dua belah pihak, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Sebelum ini, Ahli Parlimen Labis, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dikataka ‘diperangkap’ oleh musuh dalamannya sendiri apabila rakaman video seksnya disebarkan kepada umum dan membawa kepada perletakkan semua jawatannya dalam MCA dan juga kerajaan.

Cuma bezanya, ketika itu tiada media dipanggil untuk ‘tayangan perdana’ dan Soi Lek sendiri membuat pengakuan bahawa lelaki di dalam rakaman video lucah terbabit adalah beliau.

Selain Soi Lek, Elizabeth Wong dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menerima nasib yang sama apabila foto beliau sedang tidur yang diambil tanpa pengetahuannya di kediamannya sendiri tersebar di internet.

Selain isu yang mengaibkan maruah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan itu, ketika itu beliau juga hampir berputus asa dengan niat untuk mengundurkan diri daripada arena politik negara.

Bagi pihak yang mahu percaya dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa tindakan seperti ini merupakan tindakan demi kepentingan moral masyarakat dan bukannya satu tindakan berkepentingan politik merupakan sesuatu yang bodoh pada masa ini.

Lebih-lebih lagi, pada hari yang sama juga Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak baru sahaja dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang ke 10 diadakan.

Pada masa artikel ini ditulis, identiti ‘host tayangan perdana’ terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Datuk T semalam masih belum dikenal pasti dan pemimpin Barisan Nasional (BN) pula tentunya menafikan penglibatan mereka dalam pembikinan dan  penayangan video tersebut.

Jadi bahan kempen PRN Sarawak


Ketika pemimpin BN menafikan penglibatan mereka dan pada masa sama mengaku ‘tidak mempraktikkan’ sebarang tindakan serangan peribadi yang  mengaibkan, juga adalah bodoh untuk mempercayai isu ini tidak akan digunakan sekurang-kurangnya di peringkat jentera mereka dalam kempen PRN Sarawak nanti.

Malahan ketika pilihan raya kecil Dun Tenang, Johor sebelum ini tindakan menyerang peribadi lawan turut dipraktikkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri apabila membuka isu kes liwat yang membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ceramahnya ketika berkempen.

Bagaimanapun, serangan tersebut dibalas kembali secara umum dengan kejadian yang di dalam pengetahuan Anwar ketika masih di dalam kabinet, namun enggan memperincikan lebih mendalam tentang skandal yang dimaksudkannya itu.

Di pihak PR, meskipun turut mengambil kesempatan keuntungan politik terhadap sebarang isu yang membabitkan moral pemimpin BN, namun tindakan mereka seringkali dilapik atas alasan demi mendapatkan keadilan.
Antara kes berprofil tinggi yang pernah mendapat perhatian masyarakat dan pemimpin pembangkang ialah kes kematian model warganegara Mongolia, Altantuya Shariibuu beberapa tahun lalu.

Ketika perbicaraan kes ini telah lama selesai, ia tetap menjadi ingatan apabila dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Polis DiRaja Malaysia yang didakwa oleh peguam bela bahawa mereka merupakan pihak yang tidak menerima sebarang faedah atas kematian mendiang telah dijatuhkan hukuman mati.

Sementara itu, beberapa isu lain yang membabitkan moral pemimpin BN, pada masa ini masih kurang tersebar secara terbuka dan meluas melainkan secara terpencil di alam siber.

Bagaimanapun, ‘tayangan perdana’ rakaman video lucah semalam dikatakan mampu menjadi penyebab kepada pendedahan demi pendedahan isu moral yang membabitkan pemimpin BN walaupun status sesetengah isu tersebut masih diragui kesahihannya.

Tindakkan itu nanti juga akan menimbulkan reaksi berbalas serangan dengan membuka pekung lawan masing-masing sekaligus menjadikan politik Malaysia maju setapak lagi melangkah ke era politik lucah.

Lagi kredibiliti SPR dipertikai pengundi

PETALING JAYA: Ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak yang bakal diadakan tidak berapa lama sahaja lagi, kredibiliti Suruhanjaya PilihanRaya (SPR) dalam mengendalikan perjalanan pilihan raya umum (PRU) di negara ini dipertikai pengundi.


Suruhanjaya tersebut yang teruk dikritik sebelum ini dikatakan bertindak menukar status, memindah serta menghilangkan nama pengundi bagi memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi PRU yang akan datang.

Menurut seorang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia hari ini, Noor Wahab 37, status isterinya yang mendaftar sebagai pengundi awam dengan sewenang-wenangnya telah ditukarkan kepada pengundi pos oleh SPR.

“Isteri saya telah mendaftar sebagai pengundi biasa di kampungnya di Kuantan, tapi dalam PRU yang lalu statusnya telah ditukarkan kepada pengundi pos di Lumut.

“Padahal isteri saya tidak pernah memohon, bahkan tidak pernah mengisi apa-apa borang sekalipun untuk menukarkan statusnya kepada pengundi pos.

“Saya dan isteri terkejut apabila mendapati namanya disenaraikan sebagai pengundi pos di Lumut sebelum PRU tahun 2008 lalu,” kata beliau.

Nama dipindah ke lokasi lain


Sementara itu, Mohd Nizam 45, di Johor Bahru yang telah beberapa kali mengundi mendapati namanya telah dipindahkan ke lokasi lain yang tidak pernah sampai sebelum ini.

“Dahulu, saya mendaftar sebagai pemilih parlimen sini (Johor Bahru) dan sudah beberapa kali mengundi, tak pernah ada masalah.

“Masalah mula timbul ketika PRU pertama selepas peristiwa (Datuk Seri) Anwar Ibrahim di pecat oleh (Tun) Dr Mahathir Mohamad dari kabinet.

“Masa tu, beberapa hari sebelum hari mengundi saya buat semakan, alih-alih nama saya tercampak ke Klang walhal saya tak pernah pun pergi ke sana apatah lagi menetap di sana.

“Persoalannya, adakah kemungkinan SPR bertindak demikian terhadap pengundi tegar pembangkang yang boleh dikesan melalui nombor siri yang tertera pada kertas undi yang kita pangkah dalam pilihan raya-pilihan raya sebelum ini?,” soal beliau yang mengakui seorang penyokong kuat pembangkang.

Nama ‘ghaib’ sebelum hari pengundian


Persoalan yang sama juga dikongsi oleh seorang lagi pengundi berdaftar yang turut mengaku sebagai penyokong pembangkang, Hazli 38, apabila mendakwa namanya didapati ‘ghaib’ beberapa hari dari daftar pemilih SPR sebelum PRU-12 lalu.

“Kira-kira dua hari sebelum PRU lalu diadakan, saya terkejut apabila saya buat semakan di sebuah bilik gerakan BN di Damansara Damai, mendapati nama saya tidak ada langsung dalam senarai daftar pemilih.

“Pertama kali saya mengundi pada tahun 1999 di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sepinang, Segamat. Selepas itu saya ada buat pemindahan ke Segambut, Kuala Lumpur sebelum pilihan raya tahun 2004 lagi.

“Ketika PRU tahun 2004 nama saya sudah pun dipindahkan ke Segambut tetapi tiba-tiba beberapa hari sebelum PRU tahun 2008 pula, nama saya ghaib terus dari senarai pemilih.

“Lebih menghairankan lagi, tak berapa bulan selepas PRU-12 saya semak semula, ada pula nama saya sebagai pengundi bagi Parlimen Segambut,” kata beliau.

Sama seperti Mohd Nizam, Hazli turut melontarkan persoalan adakah SPR sengaja bertindak demikian terhadap pengundi tegar pembangkang yang boleh dikenal pasti melalui nombor siri kertas undi.

“Macam ada yang tak kena.  Masalah ini tak pernah pula saya dengar dari rakan-rakan atau saudara-mara saya yang mengaku pengundi BN.   Rata-rata yang terkena masalah ini terdiri dari mereka yang telah beberapa kali mengundi pembangkang,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, isu pertukaran status isteri anggota tentera telah ditimbulkan oleh PAS negeri Pulau Pinang apabila mendakwa SPR bertindak mendaftar isteri tentera sebagai pengundi pos tanpa pengetahuan penama bagi memberi kelebihan kepada BN dalam menghadapi PRU- 13 nanti.

Rabu, 2 Mac 2011

Taib cuba beri tekanan kepada Najib

Oleh Nazli Ibrahim
KUCHING: Kerana bimbang dan terdesak, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini dikatakan cuba memberikan tekanan secara halus terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mencadangkan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak serentak.

Antara alasan Taib yang dianggap sebagai cubaan memberi tekanan kepada Najib agar tunduk dengan kemahuannya ialah mengadakan pilihan raya berasingan akan menyebabkan Barisan Nasional (BN) Sarawak menerima asakan yang hebat daripada Pakatan Rakyat, sekaligus memberi kesan terhadap prestasi BN Sarawak.

Taib juga mengaitkan kemerosotan prestasi BN Sarawak dalam PRN nanti akan turut mempengaruhi kedudukan BN di Parlimen dalam PRU akan datang.

Demikian menurut satu sumber dalaman dari Pejabat Ketua Menteri Sarawak di sini ketika menghubungi FMT hari ini.

Menurut sumber itu, reaksi yang diberikan Najib dalam isu ini tidak memuaskan hati Taib dalam perbincangan di antara kedua-dua pihak semasa pertemuan mereka selepas majlis resepsi perkahwinan Taib sebelum ini.

“Mereka ada berbincang selepas resepsi perkahwinan ketua menteri itu baru-baru ini tetapi PM tidak memberikan sebarang jaminan untuk menuruti cadangan Taib… jadi Taib tak puas hati dan masih berusaha untuk melobi,” kata sumber itu lagi.

Katanya, tsunami politik yang berlaku ketika PRU-12 pada Mac tahun 2008 menular ke Sarawak dan PRN akan datang merupakan antara kebimbangan utama Taib ketika ini.

Maklumat risikan

“Taib menerima maklumat risikan dari pihak tertentu, tsunami politik dalam PRU-12 lalu sedikit sebanyak akan memberi impak dan menjejaskan kedudukkan BN di Sarawak.

“Walaupun Taib berpendapat, angin perubahan dari Semenanjung bergerak perlahan ke Sabah dan Sarawak tetapi perbezaan masa tiga tahun selepas PRU lalu tidak mustahil ‘mood’ yang sama telah menyusup di Sarawak,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu lagi, bagaimanapun pada masa ini Taib masih positif bahawa BN Sarawak yang diterajuinya masih dapat mengekalkan pemerintahan di negeri itu.

“Walaupun sumber maklumat itu memaklumkan kepada beliau, BN masih mampu mengekalkan kerajaan negerinya namun ia tidak cukup untuk melegakannya.

“Sebabnya Taib juga dimaklumkan selain BN akan mengalami penyusutan majoriti undi, pembangkang juga mungkin dapat menambah beberapa kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak,” katanya lagi.

Kebangkitan rakyat Arab bimbangkan Taib

Selain itu, sumber itu juga memberitahu, perkembangan mutakhir tentang kebangkitan rakyat di beberapa buah negara Afrika Utara dan Timur Tengah, khususnya di Mesir dan pendakwaan beberapa bekas menteri di negara ini atas tuduhan rasuah, juga agak merisaukan Taib.

“Semenjak isu kebangkitan rakyat Mesir meletus, beliau banyak bercakap tentang bekas Presiden Mesir dan Tunisia iaitu Hosni Mubarak dan Zine el-Abidine Ben Ali dan bunyi nadanya semacam risau.

“Saya taklah cakap dia ada salah guna kuasanya atau mengamalkan rasuah sepanjang dia memerintah, tapi mungkin disebabkan ada beberapa persamaan antara mereka seperti tempoh pemerintahan yang amat panjang agaknya.

“Ditambah pula persamaan lain dengan mempunyai ramai ahli keluarga, saudara terdekat dan teman rapat yang terlibat dalam perniagaan yang berskala besar hingga jadi jutawan pun ada,” tambahnya lagi.

“Selain itu pendakwaan terhadap dua bekas Menteri Pengangkutan dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di mahkamah juga membuatkan dia merasakan perlu untuknya terus berkuasa di negeri ini,” ujar sumber itu lagi.

Ketika ditanya pihak yang memberikan maklumat risikan itu, beliau yang mendakwa telah berkhidmat di Pejabat Ketua Menteri Sarawak lebih sepuluh tahun enggan mendedahkannya – samada daripada Kor Risik Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia mahupun risikan yang dibuat oleh jentera parti BN sendiri.

* Free Malaysia Today

Paparan Halaman