Isnin, 28 Disember 2009

Tok Jib Dengan Telaga Keramatnya

“Parti Umno adalah sebuah parti keramat orang-orang Melayu!” Begitulah laungan bersemangat pemimpin-pemimpin Umno apabila berucap di Persidangan Tahunan Umno. Ungkapan yang sama juga turut sering dipaparkan di media-media arus perdana Pro Umno. Bagi saya sendiri pula, saya juga amat bersetuju apabila pemimpin-pemimpin Umno melabelkan parti mereka parti keramat. Bahkan saya berani berhujah dengan sesiapa yang mempertikaikan dakwaan pemimpin-pemimpin parti Umno tersebut bahawa parti mereka parti keramat.

Saya pernah menulis sebuah cerita mengisahkan sebuah telaga keramat di sebuah kampung. Saya ringkaskan, ceritanya lebih kurang begini, semasa kampung itu mula-mula diterokai oleh beberapa keluarga, salah seorang dari mereka termasuklah seorang tua yang agak berpengaruh di kalangan mereka, Pak Senik yang menyedari bahawa sungai terletak begitu jauh dari perkampungan mereka.

Kerana menyedari sumber air begitu penting untuk meneruskan kehidupan mereka, Pak Senik dan orang-orang kampung telah menggali beberapa telaga di dalam kawasan rumah masing-masing. Tetapi malangnya, semua telaga yang digali tidak mengeluarkan air kecuali satu-satunya telaga yang digali di dalam kawasan rumah Pak Senik oleh Pak Senik sendiri. Oleh kerana hanya itulah satu-satu telaga yang mengeluarkan air di kampung itu, maka orang-orang kampung turut menumpang kongsi air dari telaga Pak Senik untuk kegunaan harian mereka.

Kerana jasa Pak Senik yang telah mengali telaga tersebut dan telaga itu pula terletak di dalam kawasan rumah Pak Senik, maka orang-orang kampung bersepakat untuk melantik beliau sebagai ketua kampung yang pertama. Selepas dilantik menjadi ketua kampung Pak Senik telah mengisytiharkan barang siapa yang mewarisi telaga tersebut maka secara automatik hendaklah dilantik menjadi ketua kampung.

Oleh kerana telaga tersebut terletak di dalam kawasan tanah Pak Senik, apabila Pak Senik meninggal dunia, tentunya tanah Pak Senik diwarisi pula oleh anaknya dan secara automatik juga mewarisi telaga tersebut. Dengan itu, ketua-ketua kampung tersebut semuanya terdiri daripada keturunan Pak Senik belaka. Dari anak ke cucu, dari cucu ke cicit, dari cicit ke piut hinggalah seterusnya ke beberapa generasi lamanya, sehinggalah tiba giliran Tok Jib mewarisi telaga tersebut.

Walaupun pada ketika Tok Jib mewarisi telaga tersebut, penduduk kampung tidak lagi menggunakan air dari telaganya, dia masih lagi mewarisi jawatan ketua kampung daripada bapanya. Sebaliknya pada masa itu rumah orang-orang kampung tersebut telah menerima bekalan air bersih paip hingga ke rumah-rumah. Semenjak itu, telaga tersebut tidak lagi dikunjungi oleh orang-orang kampung menjadikan keadaan sekitar telaga Tok Jib semakin terbiar, menjadi sarang nyamuk dan airnya pula menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Keadaan ini amat mengusarkan hati Tok Jib kerana mengikut firasat penasihat Tok Jib, pengaruhnya akan menjadi semakin pudar dan pengaruh telaganya juga perlu dipulihkan untuk menjamin kedudukan Tok Jib sebagai ketua kampung tidak tergugat.

Sungguhpun begitu, setiap kali kampung tersebut mengalami gangguan bekalan air paip, kawasan telaga tersebut menjadi kembali meriah. Hinggalah pada suatu hari sekali lagi kampung tersebut telah mengalami gangguan bekalan air paip selama beberapa hari. Maka berpusu-pusulah orang kampung kembali ke telaga tersebut untuk mendapatkan air untuk keperluan seharian. Antaranya termasuklah pasangan Atan dan Timah yang masih lagi tidak mempunyai anak walaupun telah hampir 20 tahun berkahwin.

Dengan kuasa Allah S.W.T, selang dua bulan dari kejadian terputus bekalan air paip tadi, Timah didapati mengandung anak sulung mereka. Pasangan Atan dan Timah rasa amat bersyukur. Cerita Timah mengandung begitu cepat tersebar ke serata pelusok kampung. Tok Jib bingkas mendapat akal yang bernas dengan mendakwa Timah mengandung disebabkan kemujaraban air telaganya yang diminum oleh Timah semasa terputusnya bekalan air paip dua bulan bulan lepas.

Semenjak itu, cerita telaga Tok Jib mempunyai keramat tersebar ke serata mukim. Maka, ramailah orang-orang yang mempercayainya datang bernazar atau meminta hajat, mengubati penyakit, minta diterangkan hati, inginkan pelaris perniagaan, meminta nombor ramalan dan bermacam-macam lagi dari telaga yang dikatakan keramat itu. Lantaran itu, Tok Jib merasa amat lega kerana pengaruh telaganya telah dapat dipulihkan sekaligus menyelamatkan kedudukannya sebagai ketua kampung. Malahan Tok Jib juga memperolehi pendapatan lumayan apabila orang-orang yang mengunjungi telaganya sering menghulur sumbangan ikhlas kepadanya berupa beras dan wang. Kadang kala tokey-tokey besar dari bandar turut mengunjungi telaganya untuk memohon hajat supaya dianugerahkan tender atau projek dari keramat yang menunggu telaga itu. Wang yang dihulurkan oleh tokey-tokey ini pula bukanlah kecil-kecil anak, kadang kala mengjangkau ribuan ringgit.

Apabila Tok Imam kampung menyedari perbuatan khurafat Tok Jib dan orang-orang kampung, beliau berusaha menginsafkan orang-orang kampung. Pada masa yang sama juga, salah seorang anak kampung itu, Doktor Nuar kembali menetap di kampung tersebut untuk membuka sebuah klinik kecil di pekan berhampiran.

Semenjak Doktor Nuar membuka klinik di pekan, beliau dapati terdapat banyak kes wabak demam denggi yang semakin menular di kampungnya. Malah, beberapa orang kampung telah mati akibat demam denggi. Setelah disiasat, Doktor Nuar dapati telaga keramat Tok Jib menjadi tempat pembiakan utama nyamuk aedes di kampungnya dan airnya juga tidak lagi selamat untuk diminum. Kawasan sekitar telaga itu juga dipenuhi sampah sarap bertimbun dari pembuangan pengunjung-pengunjung telaga itu. Lalat-lalat turut membiak dengan banyaknya di timbunan sampah sarap itu yang mengakibatkan wabak penyakit taun. Apabila angin bertiup pula, bau hancing yang amat sangat menerjah ke liang rongga hidungnya. Air telaganya yang busuk itu juga telah tercemar dan tidak lagi selamat untuk diminum.

Lantaran itu, Doktor Nuar telah bermesyuarat dengan Tok Imam, jemaah surau dan orang-orang kampung yang telah insaf dari melakukan perbuatan syirik tersebut. Akhirnya mereka telah mencapai kata sepakat bahawa telaga Tok Jib tidaklah lagi berfungsi seperti mana pada awalnya di zaman nenek moyang mereka. Telaga itu tidak lagi membekalkan air keperluan penduduk malah membekalkan penyakit pula. Malahan Tok Jib dan telaganya itu telah merosakan akidah penduduk kampung. Mereka sepakat supaya telaga Tok Jib harus dikambus. Namun seperti yang telah dijangka, mereka mendapat tentangan yang hebat dari Tok Jib, orang-orang kanannya dan juga orang-orang kampung yang masih pekat percayanya kepada keramat yang ada pada telaga Tok Jib.

Begitulah kisahnya kisah Tok Jib yang meneruskan legasi pewaris telaga keramat. Kerana itulah saya amat memahami dan bersetuju apabila mana-mana pemimpin Umno atau akhbar pengampu Umno mengatakan Parti Umno adalah parti keramat orang Melayu. Parti keramat Umno bagi saya tidak ubah seperti mana telaga keramat Tok Jib yang saya ceritakan tadi.

Khamis, 17 Disember 2009

GST: 'Gagau Semua Tempat'

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dikenakan kepada seluruh rakyat dinegara ini didakwa berpunca dari kehabisan sumber pendapatan negara akibat berleluasanya amalan rasuah dan salah guna kuasa. Oleh itu ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar pagi tadi mendakwa GST tersebut lebih sesuai digelar 'Gagau Semua Tempat'.

"Kerajaan kehabisan wang disebabkan ketirisan, rasuah dan pembaziran, jadi fikir macam mana nak cari duit lalu perkenalkan GST, Gagau Semua Tempat," katanya di Lobi Parlimen. Beliau yang juga Naib Presiden PAS berpendapat GST sepatutnya dikenakan dulu kepada syarikat-syarikat telekomunikasi yang sebelum ini mendapat perlepasan cukai.

"Kerajaan masih beri perlepasan cukai pada beberapa syarikat komunikasi tempatan yang sudahpun berjaya sampai boleh tawar perkhidmatan di luar negara dan disenaraikan dalam Bursa Saham Malaysia sedangkan GST ini nak dikenakan pada rakyat." Jelasnya, perlepasan cukai itu menyebabkan beberapa syarikat telekomunikasi terbabit mendapat keuntungan perkhidmatan dan keuntungan hasil tidak membayar cukai.

Beliau turut menggesa kerajaan menyelesaikan masalah rasuah dan ketirisan yang merupakan punca perbelanjaan negara kian membengkak. Beliau turut mendesak kerajaan agar mencegah masalah penyeludupan demi memastikan kerajaan mendapat hasil cukai yang sewajarnya. Katanya, kerajaan dianggarkan kehilangan RM12.92 juta tahun ini disebabkan gagal membendung penyeludupan rokok dan pengenaan duti kastam.

Tambahnya lagi, dengan menangani beberapa masalah tersebut bukan sahaja membuatkan kerajaan tidak perlu gagau semua tempat, malah menyelamatkan rakyat dari terus terbeban. Semalam Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah buat pertama kalinya membacakan rang undang-undang mengenai GST, bagaimanapun mendapat tentangan dan bantahan hebat oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat.


-Berita di petik dari Harakah

Selamat Tahun Baru Hijrah 1431

Selamat menyambut Maal Hijrah 1431. Semuga dengan permulaan tahun baru ini, kita lebih menghayati hijrah Nabi Muhammad S.A.W untuk meneruskan perjuangan demi Agama Allah ini. Seperti yang semua maklum, perjuangan Islam untuk keadilan bukanlah tertumpu kepada umat Islam sahaja, malahan agama Islam memperjuangkan keadilan untuk manusia sejagat tanpa mengira warna kulit.

Di negara ini, walaupun Melayu Islam adalah majoriti, namun bukanlah bererti kita boleh menafikan hak warga negara yang lain. Melayu harus terima hakikat bahawa bumi bertuah ini turut dihuni bersama India, Cina, Kadazan, Iban, Murut, Orang Asli dan lain-lain. Bahkan mereka turut berperanan berjuang untuk menuntut kemerdekaan. Bahkan, andai di kawasan kejiranan kita terdapat 500 Melayu, 250 India dan 300 Cina, adalah munasabah untuk mereka turut berhak untuk mendirikan rumah ibadat mereka. Tiada mana-mana agama yang menganjurkan umatnya zalim, menindas dan sebagainya sesama manusia apatah lagi bagi agama Islam.

Bagi umat Islam sendiri, suatu hari nanti akan disoal apa ugama kamu. Malaikat tidak akan bertanya apa bangsa kamu atau adakah kamu bumiputera atau tidak!


Rabu, 16 Disember 2009

Doa Ibu Tanggang, Ibu Malin Kundang dan Doa Tok Guru

Tentu kalian pernah diceritakan akan kisah lagenda rakyat, Si Tanggang yang derhaka. Kisah yang sungguh menyayat hati itu, telah kita turunkan dari generasi ke generasi lamanya. Kisah tersebut juga memberi pengajaran kepada semua manusia agar menghormati kedua ibu bapa dan jangan sesekali menderhaka kepada mereka.


Di babak akhir kisah tersebut, diceritakan bagaimana ibu Si Tanggang yang begitu sedih dan kecewa dengan sikap anaknya yang tidak mengaku bahawa beliau adalah ibunya, telah menadahkan tangan dan doa kepada Allah S.W.T agar saudara seagama Islamnya itu, bahkan juga anaknya sendiri diberikan balasan atau bala. Di gambarkan di dalam kisah itu, setelah selesai sahaja doanya itu, tidak semena-mena turunlah hujan berserta ribut petir dan diikuti laut yang bergelora.


Apabila Si Tanggang menyedari ada sesuatu yang tidak kena (musibah) akan berlaku kepada dirinya, dia merasa amat menyesal dan memohon keampunan dari ibunya. Malang sekali, ketika itu telah terlewat untuknya. Diceritakan lagi, doa si ibu akhirnya telah dimakbulkannya dan, Si Tanggang, isterinya, anak-anak kapal dan seluruh kapalnya beransur-ansur bertukar menjadi batu.


Kebanyakan ahli sejarawan bersetuju bahawa cerita Si Tanggang yang derhaka ini adalah sekadar sebuah cerita rakyat untuk memberi pengajaran kepada masyarakat dan ianya tidak pernah berlaku. Walau bagaimana pun kisah yang hampir serupa iaitu kisah Si Malin Kundang yang dikatakan pernah berlaku di Indonesia mempunyai bukti fizikal iaitu sebuah batu menyerupai imej kapal, tali berselerakan, tong-tong kayu serta seorang lelaki yang sedang sujud seolah-olah sedang memohon keampunan dari ibunya.


Samada batu itu benar-benar berasal dari jasad Malin Kundang dan seisi kapal dagangnya atau mungkin sebenarnya diukir oleh seseorang mahir ukir di zaman dahulu kala tidaklah pula diketahui. Cuma yang perlu kita yakini, tiada apa yang dapat menghalang sekiranya Allah S.W.T dengan hanya menyeru “jadilah,” maka terjadilah sesuatu perkara itu seperti yang dikehendakiNya.


Saya tidaklah berhasrat untuk mengkaji samada kisah ini benar-benar berlaku atau sebaliknya. Cuma yang saya tertarik, ialah doa ibu Si Tanggang dan ibu Si Malin Kundang. Setelah kecewa dengan sikap anak yang derhaka, ibu-ibu teraniaya ini telah menadahkan tangan dan berdoa agar Allah S.W.T agar memberikan balasan atau bala kepada si anak.


Yang ibu-ibu ini doakan agar ditimpakan bala ini, bukan sekadar saudara Islam mereka, malah lebih lagi, iaitu anak kandung mereka sendiri. Bukankah doa orang yang dizalimi itu mustajab? Apatah lagi doa yang datang dari seorang ibu. Disebabkan mustajabnya, bukankah lebih baik kalau ketika itu si ibu terlebih dahulu mendoakan agar pintu hati anaknya terbuka dan diberikan hidayahnya dan sekiranya anak-anak ini masih berkeras, barulah didoakan pula agar mereka ditimpa bala. Bagi masyarakat dari dahulu hinggalah kini, Si Tanggang dan Si Malin Kundang memang patut menerima balasan begitu.


Cuma, semenjak akhir-akhir ini lain pula pandangan segelintir dari kita. Tiba-tiba doa orang yang dizalimi dijadikan polemik pula. Orang yang berdoa pula dikecam! Sedangkan isunya sama, iaitu penganiyaan. Persoalan mengapa mereka yang dizalimi tersebut berdoa demikian, tidak pula ditekankan. Walhal doa tersebut juga lebih lunak berbanding doa ibu Si Tanggang dan Ibu Si Malin Kundang dengan masih lagi memohon agar orang yang menzaliminya itu dibukakan pintu hati dan menerima hidayahNya dan jika masih enggan barulah ditimpakan balasan dariNya.


Manakala, doa ibu Si Tanggang dan ibu Si Malin Kundang tiada bertoleren lagi, apabila terus mendoakan bala untuk anaknya sendiri dan tentunya saudara seagama. Ingat, doa mereka adalah doa mustajab seorang ibu yang teraniaya. Dalam doa mereka, peluang terakhir tidak diberikan kepada Si Tanggang dan Si Malin Kundang iaitu dengan mendoakan agar dibukakan pintu hati anaknya terlebih dahulu agar mendapat hidayah.

Seperti mana yang telah saya nyatakan tadi, kisah ini telah kita turunkan dari generasi ke generasi hinggalah sekarang dan telah diterima baik sebagai bahan yang boleh dijadikan sempadan untuk generasi kita. Kita semua juga bersetuju bahawa Si Tanggang dan Malin Kundang memang patut menerima balasan begitu dan selama itu juga tidak pernah pula ada di antara kita yang mengatakan doa ibu-ibu tersebut melampau kerana mendoakan bala untuk saudara seagama bahkan anak sendiri. Kita hanya fokus terhadap sikap derhaka si anak dan betapa wajarnya balasan atau bala yang mereka terima.


Tetapi sebaliknya yang berlaku, apabila Tok Guru yang berdoa. Sepatutnya orang yang didoakan serta anak-anak kapalnya tidaklah perlu gusar kerana bukankah mereka berpendapat mereka tidak pernah menganiaya sesiapa pun? Jadi, mengapa perlu gusar dan gundah gulana?


Tingkah laku mereka yang semacam fobia dengan doa membuatkan saya terfikir, adakah mereka ini berasal dari keturunan Si Tanggang atau Si Malin Kundang yang saya fikir logiknya tentulah keturunan ini fobia dengan doa? Dan kadang-kadang ada juga fikiran nakal saya berkata, jangan-jangan patung tembaga seorang lelaki berpakaian pahlawan Melayu dahulu kala yang berdiri sambil meghunuskan kerisnya di muzium negara, mungkin juga dari keturunan mereka akibat doa orang yang dizaliminya kerana tindakan setia membuta tuli. Dan lagi, patung-patung perwira mat salih ‘mempertahankan’ negara di Tugu Peringatan Negara pun mungkin juga…

Shaziman, 'toyol kepala hitam' dan Laporan Bukit Antarabangsa

Melihat reaksi Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor berhubung Laporan Tanah Runtuh di Bukit Antarabangsa yang bocor di internet, menerusi kaca tv baru-baru ini mengundang seribu satu perasaan yang bercampur baur. Mungkin geli hati bercampur hairan agaknya. Cuma yang pasti, dari reaksinya itu menunjukan beliau cukup marah betul nampaknya apabila dokumen itu dibocorkan.


Kenyataan beliau dalam satu sidang akhbar mengenai adanya ‘toyol berkepala hitam’ di MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) yang membocorkan dokumen yang sebelum ini diklasfikasikan sebagai dokumen yang diletakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, memang jelas menampakan rasa ketidak puasan hatinya.


Dalam sidang akhbar itu, rasanya tidak kurang lima kali beliau menyebut ungkapan ‘toyol berkepala hitam.’ Menjadi lebih lawak lagi, apabila diselak akhbar-akhbar arus perdana keesokan harinya tiada langsung ungkapan ‘toyol berkepala hitam’ ditulis. Mungkin fenomena fobia Umno-BN masih lagi menghantui, seperti mana gambar payung BN di akhbar tidak berapa lama dahulu yang sekejap ada, sekejap tak ada setelah disunting. Dengar-dengar ceritanya, polis sedang membuat siasatan berhubung kebocoran ‘rahsia besar’ tersebut yang mungkin boleh menggugat ‘keselamatan negara.’


Menurut beliau, Laporan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa tersebut telah lama siap dan selama berada di dalam simpanan Jabatan Kerja Raya (JKR) laporan itu ‘selamat dari pengetahuan awam.’ Namun apabila sahaja diserahkan kepada MPAJ, laporan tersebut telah dibocorkan oleh ‘toyol berkepala hitam’ yang berada di MPAJ.


Nampaknya, ‘toyol berkepala hitam’ yang mendedahkan Laporan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa yang diriuhkan oleh Shaziman. Manakala ‘toyol berkepala hitam’ yang merompak duit rakyat berjuta, berbillion ringgit di siang hari tidak pula dikecohkan. Atau mungkin juga ia turut diklasfikasikan di bawah OSA untuk ‘keselamatan negara’.


Lazimnya, toyol sering dikaitkan dengan perbuatan mencuri duit apabila diarahkan tuannya. Berbeza pula dengan 'toyol berkepala hitam' yang disebut oleh Shaziman, toyol tersebut mencuri laporan tanah runtuh dan mungkin juga diarahkan oleh tuannya juga. Kalau benarlah begitu, ‘toyol berkepala hitam’ di MPAJ bukanlah toyol sembarangan. 'Toyol berkepala hitam' di MPAJ jauh lebih baik dari toyol berkepala hitam yang merompak wang rakyat di siang hari tetapi tidak diriuhkan oleh Shaziman tadi. Mungkin juga lebih baik dari Shaziman sendiri. Sebabnya, Shaziman marah kepada ‘toyol berkepala hitam’ yang mendedahkan laporan tersebut yang memang sepatutnya didedahkan kepada umum.


Kenapa harus disorok laporan tanah runtuh yang telah mengorbankan nyawa tersebut? Bukankah seperti mana yang dinyatakan oleh Shaziman sendiri, laporan tersebut hanyalah laporan teknikal dan bukanlah untuk mencari salah sesiapa. Kalau kata-kata Shaziman ini diambil kira, membayangkan tiada mana-mana pihak yang akan didakwa. Kesimpulannya, adakah alam semula jadi yang bersalah?


Kalaulah laporan tersebut tidak didedahkan oleh ‘toyol berkepala hitam’ MPAJ, nescaya kerajaan pusat memang tiada berniat langsung untuk mendedahkan laporan tersebut kepada pengetahuan awam dan akan terus kekal menjadi rahsia rasmi kerajaan demi ‘keselamatan negara.’


Kelulusan kabinet untuk mendedahkan Laporan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa tidak lain dan tidak bukan hanyalah terpaksa bagi mengelak mengundang persepsi buruk rakyat terhadap kerajaan pusat. Jadi, mahu tidak mahu, laporan tersebut terpaksa didedahkan juga. Apatah lagi, laporan tersebut telah terlebih dahulu dibocori dan disebarkan melalui internet.


Ketika Laporan Ketua Audit Negara yang bukan rahsia dibentangkan dan menyebut tentang penyelewengan 'toyol-toyol kepala hitam', tidak terdengar pula Datuk Menteri Kerjaraya kita ini melenting. Tidak kiralah samada projek itu dikendalikan oleh kementeriannya atau tidak, pokoknya ia tetap kepunyaan rakyat. Antaranya, mengenai kerajaan akan menanggung kerugian berjumlah RM1.4 bilion dalam Projek Landasan Berkembar Rawang – Ipoh dan tindakan pembekalan alatan kepada badan berkanun Persekutuan pada harga yang tidak masuk akal.


Contoh lain, seperti harga untuk dua unit komputer riba Acer Aspire 5052 yang mencecah harga RM80,000 dan harga komputer meja berharga hampir RM7,600 seunit. ‘Toyol kepala hitam’ seperti ini tidak pula diriuhkan oleh Shaziman dan rakan-rakannya dalam Umno-BN. Nampaknya Laporan Ketua Audit Negara akan terus menjadi sejuk dan dilupakan seperti mana laporan audit di tahun-tahun yang sudah.


Di atas hanyalah beberapa contoh rompakan di siang hari oleh ‘toyol-toyol berkepala hitam’ yang tidak diriuhkan oleh Shaziman. Sebenarnya banyak lagi rompakan oleh ‘toyol berkepala hitam’ samada telah diketahui umum tetapi masih lagi diperapkan atau terselamat dilindungi OSA.


Shaziman harus membuktikan betapa beliau perihatin terhadap masalah ‘toyol kepala hitam’ ini dengan membersihkan kementeriannya dari ‘toyol-toyol berkepala hitam’ yang merompak di siang hari dan seterusnya disumbat ke dalam balang atau botol kaca. Itu lebih baik dari beliau riuh tentang ‘toyol berkepala hitam’ di dalam MPAJ yang cuma mendedahkan Laporan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa kepada umum. Untuk menangkap ‘toyol kepala hitam’ mungkin Shaziman harus menggunakan khidmat bomoh (SPRM). Tetapi kalau bomoh yang ada pun cuma bomoh temberang, hendak buat macam mana? Pening juga kepala memikirkan…

Jumaat, 4 Disember 2009

SPRM, SPR, PDRM Tak Ubah Seperti Gundik-gundik Umno

Antara tiga parti utama komponen BN, Umno, MCA dan MIC, Umno adalah parti yang mewakili Melayu Islam. Sungguhpun begitu antara ketiga mereka ini, Umnolah yang dilihat paling banyak mengamalkan politik tidak bermoral berbanding MCA dan MIC. Ini bukanlah bermakna MCA danMIC bersih, cuma mereka tidaklah dilihat seteruk Umno.

Dari segi rasuah, Umno juga dilihat juara dalam isu ini. Berkokok siang malam, tetapi ekor bergelumang tahi sendiri. Baik politik wang hinggalah menggelapkan wang peruntukan, tiada siapa yang dapat menandingi kecekapan YB-YB Umno.

Umno juga yang merosakan agensi-agensi kerajaan yang lain. Gundik-gundik mereka SPRM, SPR dan PDRM bersedia menjalankan kerja-kerja tidak beretika untuk keuntungan jantan (Umno) mereka. Apabila pendayung (kuasa) berada di tangan, apalagi berdayunglah si jantan dan gundik-gundik ini semahunya. Gundik-gundik ini tidak ubah seperti pelacur. Di masa-masa senggang pula, si gundik-gundik ini akan mengurut-ngurut badan jantannya.

Umnolah yang bertanggungjawab menjadikan mereka begitu. Tanpa rasa sedikit pun perasaan malu, Umno dan gundik-gundiknya berterusan menggunakan kuasa untuk menekan YB-YB dari PR dan menyorokan perbuatan 'zina' mereka. Apabila siasatan yang melibatkan YB mereka, gundik-gundik ini akan terhegeh-hegeh, tergedik-gedik dan malu-malu kucing untuk membuat siasatan. Apbila kes yang berkaitan PR, kepantasan mereka hinggakan ada nyawa yang terkorban.


Kepada gundik-gundik ini, segeralah bertaubat. Jangan apabila sudah sampai masanya nanti taubat kalian tidak diterima lagi. Lambat laun kegiatan 'zina' kalian bersama Umno akan dibalas baik oleh rakyat mahupun akhirat nanti. Jauhkan diri kalian dari Umno. Berkawan dengan Umno akan menjadikan diri kalian sama seperti Umno.



Paparan Halaman