Sabtu, 22 Mei 2010

Seksyen 29(4) Akta SPRM: Kickdefella wajar di dakwa

Setelah empat bulan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohammed mengambil alih jawatan nombor satu dalam badan suruhanjaya tersebut, SPRM masih tidak menampakan berjaya keluar dari cengkaman pengaruh kepentingan politik Umno-BN dengan melakukan sebarang perubahan drastik terhadap suruhanjaya tersebut. Tindakan-tindakan SPRM hingga ke hari ini masih berterusan menampakan tindakan yang double standard.

Terbaru, penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz atau lebih dikenali dengan nama Kickdefella telah membuat beberapa kenyataan terbuka kepada media mengenai laporan dan kenyataan beliau kepada SPRM berhubung peruntukan sebanyak RM4 juta untuk operasi gerak saraf bagi memburukan pentadbiran kerajaan pusat ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi masih memerintah.

Walaupun hakikatnya BN sendiri telah turut membazirkan berbilion ringgit dana kerajaan dari hasil cukai yang dikutip daripada rakyat untuk membiayai kos perang saraf terhadap Pakatan Rakyat (PR) termasuklah mengupah askar upahan agen Yahudi-APCO, namun perbuatan BN ini dihalalkan pula oleh SPRM.

Sedangkan tuduhan yang dibuat oleh Kickdefella pula tidak menunjukan kepada sebarang penyalahangunaan dana Kerajaan Negeri Kelantan tetapi sebaliknya lebih merupakan sumbangan dari individu atau pun dana parti. Tuduhan Kickdefella yang masih diragui kebenarannya itu juga dipercayai didalangi oleh Umno-BN dengan motif yang mudah dibaca.

Kenyataan berterusan beliau kepada media yang sepatutnya membolehkan beliau didakwa di bawah Seksyen 29(4) Akta SPRM kerana mendedahkan laporan atau butiran kenyataan beliau kepada SPRM kepada umum tidak menampakan sebarang tanda beliau akan didakwa.

Tindakan memilih bulu SPRM ini sekaligus membuktikan pengumuman SPRM beberapa bulan lalu untuk mengambil tindakan tegas dengan mendakwa sesiapa yang membocorkan rahsia laporan kepada umum hanyalah terpakai terhadap laporan rasuah yang berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin Umno dan BN sahaja.

Tindakan tidak mendakwa Kickdefella di bawah seksyen tersebut hanya menyebabkan masyarakat membuat andaian beliau memperolehi imuniti dari sebarang dakwaan kerana isu tersebut memberi kredit kepada Umno dan BN. Selain itu, tindakan tidak mendakwa Kickdefella juga menyebabkan imej SPRM di mata rakyat semakin merudum. Dalam isu ini, Abu Kassim terpaksa menelan kata-kata beliau sendiri yang kononnya akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang melanggar akta ini.

Malahan sebelum ini, tiada sebarang langkah-langkah konkrit yang dilakukan oleh SPRM bagi memulihkan imej negara setelah kedudukan negara dalam Laporan Indeks Persepsi Rasuah saban tahun semakin menjunam dari tangga ke 47 pada tahun 2008, ke tangga 56 pada tahun 2009.

Terdahulu, dalam satu program bual bicara terbitan sebuah stesen televisyen swasta tempatan pada awal tahun ini, Abu Kassim Mohammed ada menegaskan akan kepentingan elemen kerahsian dan surprise (kejutan) dalam sesuatu siasatan SPRM. Beliau turut membidas sesetengah pihak yang tidak dinamakan apabila mengadakan sidang media setelah membuat laporan rasuah kepada SPRM sepertimana yang dilakukan oleh Kickdefella.

Rentetan dari temubual tersebut akhirnya membawa kepada pengumuman oleh SPRM, bahawa SPRM akan mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 29(4) Akta SPRM kepada sesiapa mahupun pengadu sendiri yang membocorkan aduan mereka kepada media dan seterusnya masyarakat umum.

Namun ketegasan SPRM tersebut hanya mengundang kesangsian masyarakat umum apabila pada 21 Januari lalu, Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shukri Abdull sendiri turut bertindak tidak senada dengan amaran ketuanya apabila membuat kenyataan akhbar tentang penahanan 34 individu untuk siasatan kes rasuah wang dan seks berhubungan kesalahan mencuri dan seludup pasir di lima negeri. Tambah mencurigakan dari seramai 34 individu tersebut, hanya individu yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri yang diperintah oleh PR sahaja yang didedahkan manakala yang lainnya dirahsiakan.

SPRM harus lebih peka dan bertindak adil dengan mendakwa Kickdefella yang begitu jelas melanggar Seksyen 29(4) Akta SPRM ini. Sekurang-kurangnya dengan pendakwaan terhadap Kickdefella ini sedikit sebanyak mampu memulihkan sedikit imej SPRM dari berterusan dilabel sebagai budak suruhan Umno-BN di mata rakyat dalam memerangi rasuah yang semakin membarah di negara ini.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman