Jumaat, 8 April 2011

SAMM kecam politik selak kain

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini menyeru agar masyarakat menolak ahli politik yang mengamalkan politik lucah sebagai cara untuk menjatuhkan musuh politik mereka.
Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin menulis dalam blog kendalian beliau, ‘Perjuangan Adalah Pelaksanaan Kata-kata’  senario politik negara hari ini dilihat semakin mundur ke belakang.
“Ketika dunia sedang beralih kepada politik baru berasaskan nilai, rekod dan idea, Malaysia seolah-olah mundur ke belakang dengan politik selak kain yang sebenarnya langsung tidak memajukan pemikiran rakyat.
“Rakyat diseru menolak politik sensasi selak kain ini dengan menolak ahli-ahli politik yang kelihatan seronok membodohkan rakyat menggunakan politik lucah seperti apa berlaku sekarang.
Media yang menjurus kepada perkara yang sama juga harus dijauhkan,” menurut Badrul di dalam blog tersebut.
Badrul yang juga lebih dikenali sebagai Chegu Bard turut mengecam ahli politik yang terdesak sehingga sanggup bertindak menghantar buku lucah ke rumah-rumah.
“Sudahlah tayangan video lucah dilakukan secara terbuka dan seolah-olah dilindungi penguasa, malah yang terbaru ‘desperado’nya politik hingga sanggup menghantar buku lucah terus ke rumah orang.
“Buku yang terdapat gambar-gambar bogel dan gambar orang sedang mengadakan hubungan seks cuma bahagian kepalanya diganti dengan gambar musuh politik mereka.
“Bayangkan di kawasan bandar tempat komik ini di edar…….ibu dan bapa bekerja, anak balik sekolah melihat buku lucah yang dipos ke rumah,” tulis beliau lagi.
Video seks ‘KJ’ dalam PRU-12?
Chegu Bard turut mengimbau kembali kejadian seorang yang dipercayai ahli Umno telah menyerahkan video seks yang kononnya melibatkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kepadanya.
Bagaimanapun menurutnya lagi, beliau mengarahkan pasukan kempennya agar membakar video berkenaan bagi mengelakkan video yang tidak dipastikan kesahihannya itu daripada tersebar dengan lebih luas lagi.
“Ketika kempen pilihan raya umum 2008 juga pasukan kempen saya didekati oleh orang tidak dikenali dipercayai orang Umno yang memberikan video lucah yang kononnya Khairy Jamaluddin.
“Tanpa pengetahuan saya ada video ini telah tersebar, namun sebaik sahaja saya mengetahuinya saya telah mengarahkan semua dikutip dan dibakar. Sebanyak lebih 2,000 keping video tersebut telah dibakar,” kata beliau.
Selain itu katanya lagi, ada pihak yang menghubunginya baru-baru ini dan memberitahu wujudnya rakaman video seks yang melibatkan isteri seorang pemimpin tertinggi negara.
Ketika dihubungi FMT untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang dua video seks yang dinyatakan dalam blognya, Chegu Bard memberitahu beliau tidak mengenali lelaki yang menyerahkan video ketika kempen PRU-12 sedang hangat berlangsung ketika itu.
“Saya memang tak kenal pun siapa lelaki tu tetapi setelah berbincang dengan rakan-rakan kami mengesyaki lelaki itu adalah orang- orang Umno juga.
“Setelah berbincang juga, kami sepakat untuk tidak menggunakan video itu sebagai bahan kempen kami sebaliknya politik seperti ini harus dijauhkan dan video ini harus dimusnahkan,” ujar beliau.
Ketika ditanya berkenaan indentiti lelaki yang menghubunginya dan memberitahu kewujudan video aksi seks melibatkan seorang isteri pemimpin, beliau memberitahu tidak dapat memastikan identiti lelaki itu.
“Kami tak berjumpa, cuma dia ada hubungi saya sahaja malahan namanya pun tidak diberitahu.
“Mungkin dia kurang selesa apabila saya asyik tanya namanya, jadi kami tak bercakap lama,” kata Chegu Bard.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Pemuda Umno Rembau yang diwakili setiausahanya, Safariladira Abdullah hari ini telah membuat satu laporan polis terhadap Chegu Bard bagi membersihkan nama Khairy, yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Free Malaysia Today

Tiada ulasan:

Paparan Halaman