Rabu, 7 Mac 2012

Kenyataan Dr M Boleh Bawa Kekufuran-Fathul Bari

Oleh Nazli Ibrahim

SHAH ALAM, 5 MAC: Kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Hukum Hudud yang cuba dilaksanakan oleh Pas di beberapa negeri yang pernah ditadbirnya dianggap sebagai kenyataan dari seorang yang jahil tentang agama.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (ILMU), Ustaz Fathul Bari dalam satu ceramah yang dimuatnaik di laman sosial you tube baru-baru ini berkata sekiranya orang yang mengeluarkan kenyataan tersebut merupakan orang yang mempunyai ilmu, maka ia boleh mengakibatkan kekufuran.

“Kenyataan saya sangat jelas, di mana kalau ia keluar daripada lisan orang-orang yang mengetahui, yang ada ilmu, ia boleh membawa kepada kekufuran.

“Ini adalah kenyataan yang bahaya sebab ia bukan ciptaan ahli fiqah, ia adalah ciptaan Allah,” menurut Fathul Bari.

Kata Fathul Bari, Hudud dalam Al-Quran banyak kali disebut secara umum dan perkataan Hudud itu adalah satu terminilogi bagi hukum Allah.

“Perkataan Hudud ini adalah satu terminilogi yang diguna pakai oleh ulama-ulama fiqh dalam memberikan takrifan, nak berikan perkataan sebab nak bagi mudah.

“Hakikatnya sama saja, hukum zina, hukum atas pencuri dan lain-lain, ianya adalah hudud.

“Mungkin benda-benda ni berlaku, satu, dari sudut kejahilan atau kedua berlaku disebabkan tekanan-tekanan politik yang berlaku,” kata beliau lagi.

Beliau turut menegur pihak yang bertanyakan soalan berkenaan Hudud kepada pihak yang dianggap tidak mengetahui pengetahuan mendalam dalam isu yang disoal.

“Satu lagi, kalau kita nak tanya tanyalah pada orang yang tahu.

“Kalau kita nak tanya orang yang pakar ugama, yang alim ulamak tentang enjin motor, ‘jammedlah’ dia.

“Jangan tanya ustaz dalam carburator motor tu ada berapa skru? Mampuslah dia nak jawab,” menurut kenyataan beliau yang  dimuatnaik oleh pengendali blog agendsai.blogspot.com.

* TV Selangor

Tiada ulasan:

Paparan Halaman