Memaparkan catatan dengan label PRN Sarawak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRN Sarawak. Papar semua catatan

Selasa, 19 April 2011

Setelah tirai PRN Sarawak dilabuh...

Oleh Nazli Ibrahim

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak telahpun melabuhkan tirainya dengan seribu satu fakta angka yang diterjemahkan oleh pengundi- pengundi negeri itu di atas kertas undi.

Pelbagai spekulasi dan ramalan sebelum ini ada yang menjadi kenyataan dan tidak kurang juga tersasar jauh dari realiti keputusan PRN yang ke 10 bagi negeri yang sinonim dengan gelaran negeri bumi kenyalang itu.

Keputusan rasminya juga telah diketahui dengan Barisan Nasional (BN) yang memenangi 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), DAP (12) , PKR (3) dan Bebas (1).

Perdana Menteri dan juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak yang teruja dengan kejayaan BN memperolehi kemenangan dua pertiga tentunya dapat menangkap isyarat bahaya dalam PRU-13 kelak khususnya di beberapa kerusi parlimen Sarawak.

Selain Sarawak, Sabah juga dianggap mampu mencetuskan mood yang sama di kalangan pengundi khususnya di kawasan-kawasan bandar.

Bagi sesetengah penyokong Pakatan Rakyat (PR) menganggap keputusan PRN Sarawak baru-baru ini tidaklah seperti mana yang diharapkan dan memperlihatkan ulangan corak keputusan Pilihan Raya Umum tahun 1999 yang telah dimenangi oleh BN ketika itu dengan mengekalkan majoriti dua pertiga di parlimen.

Dalam PRU ketika itu gelombang reformasi yang melanda politik negara dianggap sebagai gambaran kemampuan Barisan Alternatif (BA) untuk sekurang-kurangnya menafikan majoriti dua pertiga BN di parlimen.

Bagaimanapun dalam PRU ke 10 itu, BA bukan sahaja masih jauh untuk menggapai kemenangan di peringkat pusat malah turut gagal untuk menafikan dua pertiga penguasaan BN dalam parlimen.

Cuma agak melegakan pemimpin BA ketika itu, selain berjaya menambah kerusi pembangkang di parlimen dan kejayaan menawan Terengganu, majoriti kemenangan BN di kebanyakan tempat turut mengalami penyusutan yang banyak
.
Undi popular yang diraih BN dalam PRN Sarawak kali ini ialah 372,379 atau 54.53 peratus, mengalami kemerosotan sebanyak lapan peratus berbanding 63 peratus pada PRN 2006 sebelumnya.

Kerusi Dun ‘bertukar servis’

Sebelas kerusi Dun ‘bertukar servis’ dalam PRN kali ini dengan lapan daripadanya membabitkan kerusi dimenangi BN dalam PRN 2006 namun berjaya dirampas oleh PR kali ini.

Dua Dun membabitkan pertukaran ‘suka sama suka’ ialah kerusi Padungan dan Batu Lintang antara dua buah parti di bawah PR, DAP dan PKR di mana kedua-dua kerusi berjaya dimenangi oleh calon masing-masing.

Manakala satu lagi kerusi Dun pula membabitkan Dun Ngemah yang dimenangi oleh Parti Cinta Malaysia (PCM) pada 2006 namun berjaya dimenangi oleh calon Parti Rakyat Sarawak (PRS), Alexander Vincent.

Calon DAP di kerusi Bukit Assek, Wong Ho Leng berjaya mencatatkan kemenangan dengan majoriti tertinggi iaitu sejumlah 8,827 undi majoriti berbanding pencabarnya dari BN dan Bebas.

Manakala keputusan di kerusi Senadin pula dianggap kontroversi apabila permintaan PKR untuk membuat pengiraan semula ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Keputusan yang dimenangi oleh Datuk Lee Khim Shin dari BN di Dun terbabit dengan majoriti 58 undi merupakan majoriti paling tipis dalam PRN kali ini.

Turut menarik perhatian, seramai 71 calon telah kehilangan wang deposit mereka dengan jumlah keseluruhan RM355,000 apabila gagal meraih sekurang-kurangnya satu perlapan dari jumlah undi.

Hampir kesemua 26 calon Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) pula hilang wang pertaruhan dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10, kecuali Toh Heng San yang bertanding bagi kerusi Dun Katibas.

Kekalahan teruk Snap itu telah mengundang saranan Presiden PRS Datuk Seri James Masing agar parti itu ‘menutup kedai’ dan bekerjasama dengan BN dalam memperjuangkan nasib penduduk di luar bandar.

Walaupun kenyataan James itu dianggap mempunyai asas yang kukuh berdasarkan prestasi buruk parti itu, bagaimanapun James lupa untuk memberitahu bahawa selain BN, Snap juga mempunyai pilihan lain iaitu menjadikan PR sebagai landasan perjuangan mereka.

Selain Snap, turut kehilangan wang deposit ialah seramai 36 calon bebas, enam dari PKR dan empat calon dari PCM.

Sementara itu, PAS yang bersaing di lima Dun turut tewas di semua kerusi termasuk calon ‘favourite’ mereka bagi kerusi Beting Maro, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

Bagaimanapun PAS lebih bernasib baik berbanding Snap apabila bukan sahaja tiada calon parti itu yang kehilangan wang depositnya malah turut menyaksikan pertambahan undi di beberapa kerusi yang ditandinginya.

Sementara itu, calon yang mengutip undi terendah ialah calon bebas bagi kerusi Belaga, Matthew ak Munan yang memperolehi 27 undian manakala Violet Yong Wui Wui dari DAP pula memperolehi undi tertinggi dalam PRN kali ini menerusi kemenangan beliau di kerusi Pending dengan jumlah 14,375 undi.

PRN kali ini turut mencatatkan sebanyak 8,224 undi rosak keseluruhan dengan jumlah tertinggi dicatatkan di Dun Muara Tuang sebanyak 299 undi manakala terendah di kerusi Ba’kelalan dengan 37 undi yang ditolak.

* Free Malaysia Today

Khamis, 14 April 2011

Analisa Zentrum: BN, Taib tumbang

Oleh  Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) diramal kalah apabila hanya memenangi 21 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak  pada Ahad ini, menurut satu kaji selidik.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud juga diramalkan tumbang di DUN N51 Balingian, yang telah disandangnya selama tiga penggal itu.
Kaji selidik dikeluarkan oleh Zentrum PRN Sarawak dan diselia oleh Zentrum Future Studies Malaysia yang diasaskan oleh Dr Hassan Hayastani.
Dalam pertandingan tiga penjuru, calon bebas yang juga sepupu kepada Ketua Menteri itu, Datuk Salleh Jafaruddin menerima sokongan tertinggi apabila memperolehi 38 peratus sokongan dan Taib dengan 36 peratus.
Dalam perebutan kerusi yang sama juga menyaksikan calon PKR, Suriati Abdullah pula menerima 28 peratus.
Menurut kajian tersebut, Pakatan Rakyat yang membariskan calon PKR, DAP dan PAS mendapat  31 kerusi.
Keputusan daripada persepsi sokongan pengundi Sarawak itu juga menunjukkan sebuah lagi parti yang menentang BN, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) menerima sokongan tertinggi di 15 kerusi dan empat DUN pula didominasi oleh calon bebas.
Bagaimanapun keputusan kaji selidik yang dinamakan ‘PRN Sarawak prediksi period 1′ tersebut merupakan keputusan bagi kajian persepsi semasa dan tidak mustahil berlaku perubahan data dalam jangka masa terdekat.
Persepsi kepercayaan politik mengikut kaum
Bagi persepsi untuk perbandingan persepsi kepercayaan politik mengikut kaum pula, BN mendahului parti-parti lain dalam meraih sokongan dari kaum Melayu dan Melanau dengan meraih 48 peratus sokongan.
Manakala PR pula mengekori BN di tempat kedua apabila meraih sokongan sebanyak 40 peratus, SNAP dengan 10 peratus dan masing-masing Parti Cinta Malaysia (PCM) dan bebas satu peratus.
Bagaimanapun data dari statistik itu juga menunjukkan BN ditinggalkan jauh di tempat kedua oleh PR yang memperolehi 46 peratus sokongan masyarakat cina dan
BN dengan 34 peratus.

Turut meraih sokongan dari masyarakat Cina yang umumnya mendiami di kawasan bandar ialah parti SNAP dengan 18 peratus diikuti PCM dan bebas dengan masing-masing juga satu peratus.
SNAP sebuah parti kaum Dayak di Sarawak pula mengungguli sokongan kaum Iban apabila dijangkakan mampu meraih sokongan sebanyak 38 peratus berbanding PR di tempat kedua dengan 32 peratus.
BN yang mengekori di tempat ke tiga bagi persepsi sokongan kaum yang sama  pada ketika ini meraih sebanyak 23 peratus sokongan dan bebas dengan tujuh peratus.
PR sekali lagi meraih populariti tinggi apabila diramalkan menerima sokongan terbanyak di kalangan pengundi kaum Bidayuh dengan 40 peratus manakala SNAP mengekori rapat di tempat ke dua dengan 38 peratus.
Ketika hanya mampu meraih 20 peratus sokongan masyarakat Bidayuh, BN meninggalkan jauh pesaingnya apabila dijangka meraih 51 peratus sokongan di kalangan masyarakat Orang Ulu.
Menurut hasil kajian PRN Sarawak prediksi period 1  itu lagi, PR pula memperolehi 36 peratus dan SNAP pula sebanyak 10 peratus juga bagi masyarakat Orang Ulu.
Bagi lain-lain kaum pula, BN memperolehi 53 peratus, PR dengan 21 peratus dan SNAP pula dengan 17 peratus.
* Free Malaysia Today

Isnin, 4 April 2011

Idris Jala calon Dun Ba'kelalan?

Oleh Nazli Ibrahim
PETALING JAYA: Teka-teki siapakah calon misteri yang mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ba’kelalan dalam pilihan raya negeri  Sarawak terus menjadi tanda tanya di kalangan media dan pemerhati politik tempatan.
Menurut seorang pemerhati poiltik tempatan, dua nama yang disebut-sebut bakal bertanding di kerusi terbabit ialah penyandang kerusi Dun Pelaga, Larry Sng dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala.
Berita itu semakin bertiup kencang apabila sebuah stesen televisyen tempatan turut melaporkan nama yang sama sebagai nama yang kemungkinan dicalonkan di Dun ini.
Bagaimanapun harapan Larry Sng dikatakan tipis apabila sebelum ini berlaku krisis dalaman parti yang dianggotai sebelum ini, Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang membabitkan antara beliau dengan pucuk kepimpinan parti itu dan kemuncaknya beliau telah disingkirkan dari parti itu pada April 2009.
Dalam satu laporan FMT sebelum ini menyebut, bapanya, Sng Chee Hua yang juga dikenali sebagai Larry Sng Senior didakwa  pernah mengadakan pertemuan dengan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekaligus menimbulkan spekulasi Larry Sng akan bertanding menggunakan tiket PKR.
Larry juga merupakan menteri muda di pejabat ketua menteri, menteri muda pembangunan perindustrian dan menteri muda hal ehwal belia dan latihan belia di dalam kabinet Tan Sri Taib Mahmud.
Larry atau nama penuhnya Larry Sng Wei Shien, 32 tahun juga dianggap sebagai Adun dan Menteri termuda yang pernah menganggotai barisan kabinet Taib Mahmud.
Berbanding, Larry merupakan antara nama yang telah mewarnai politik Sarawak, nama Idris  boleh dianggap sebagai kejutan untuk disenarai pendekkan bagi kerusi Bekalalan.
Idris yang berasal dari suku kaum Kelabit dari Bario telah dilantik sebagai pengerusi ketua pegawai eksekutif unit penyampaian dan prestasi pengurusan (Pemandu) dan menyelia pelaksana petunjuk prestasi utama (KPI) di jabatan perdana menteri.
Selain itu beliau pernah dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat penerbangan Malaysia pada Disember 2005 selepas syarikat itu mengalami kerugian terbesar dalam sejarahnya.
Sebelum itu, Idris juga pernah berkhidmat selama 23 tahun di Shell dan antara jawatan yang pernah dijawatnya di dalam Shell ialah pengarah urusan Shell MDS (Malaysia) dan naib presiden Shell Malaysia Gas & Power (Malaysia).
Idris yang pernah berkhidmat dengan Shell International di London dan Shell Sri Lanka merupakan lulusan Universiti Sains Malaysia (USM) dan ijazah sarjana dari Universiti Warwick, United Kingdom.
Terdahulu, Ketua Penerangan BN Sarawak, Datuk Adenan Satem mengumumkan senarai calon parti itu dalam pilihanraya Sarawak yang bakal diadakan pada 16 April ini.
Bagaimanapun, senarai tersebut tidak termasuk calon bagi kerusi  Ba’kelalan yang hanya diumumkan pada hari penamaan calon 6 April ini sekaligus telah menimbulkan pelbagai spekulasi.
* Free Malaysia Today

Jumaat, 1 April 2011

Sokongan PR meningkat di Sarawak

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA, 1 April: Seorang pengkaji media  yang juga Pensyarah di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Profesor Dr Abu Hassan Hasbullah hari ini memberitahu sokongan semasa terhadap Pakatan Rakyat (PR) meningkat antara 40 hingga 42 peratus di Sarawak pada masa ini.

Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) masih menguasai sokongan masyarakat negeri itu dengan sekitar 60 peratus dan angka tersebut boleh berubah sekiranya  isu-isu tempatan dapat diuruskan dengan bijak oleh parti politik bertanding.  

Setakat ini, data menunjukkan kedudukan PR semakin meningkat iaitu antara 40 hinga 42 peratus, manakala BN yang menguasai pengaruh di lingkaran demografi kawasan luar bandar secara keseluruhan menguasai 60 peratus.  

Namun prediksi persepsi kepercayaan politik ini boleh berubah sekira isu-isu lokal dapat diuruskan dengan baik oleh mana-mana pihak khususnya krisis tanah adat dan perkongsian ekonomi," kata Prof Abu Hassan dalam satu emel yang dikirimkan kepada wartawan bebas.

Isu video seks Anwar tidak beri kesan di Sarawak

Menurut Prof Abu Hassan yang turut terkenal sebagai penganalisis politik dalam dan luar negara  menganggap isu video lucah yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim  kurang mendapat tempat di Sarawak berbanding isu-isu tempatan.  

Isu ini (video lucah) tidak akan memberi kesan langsung yang begitu berpengaruh dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kerana isu ini adalah isu nasional yang amat jauh dari pengetahuan masyarakat Sarawak. 

Masyarakat Sarawak juga dijangkakan lebih menumpukan kepada isu tempatan seperti pemilikkan tanah, ketidakadilan sosial masyarakat bumiputera dan isu rasuah serta penyelewengan kuasa politik.

Di Sarawak krisis adalah lebih banyak pada persoalan masalah-masalah lokal atau tempatan seperti pemilikkan tanah, ketidakadilan sosial bagi masyarakat bumiputera di sana khususnya masyarakat yang berpendapatan rendah dan masih miskin serta isu rasuah dan penyelewengan kuasa politik.

Isu Video Lucah mungkin hanya diambil berat oleh masyarakat Melayu dan sebahagian dari pemerhati politik yang terdedah pada krisis nasional. 

Sebaliknya hampir 70 peratus masyarakat di Sarawak masih bertarung untuk mengukuhkan posisi dalam ekonomi dan sosial, maka tentulah isu-isu lokal akan lebih mempengaruhi kepercayaan politik mereka," jelas beliau.

Sementara itu ketika mengulas isu video lucah yang sedang hangat diperkatakan beliau menyifatkan Melayu moden hari ini masih belum keluar dari kemelut krisis peradaban.

Isu Video Lucah bukan soal isu meningkatnya simpati masyarakat terhadap Anwar  sekali gus menderu sokongan kepercayaan politik terhadap Pakatan Rakyat.


Melayu mengalami krisis peradaban

Isu Video Lucah bagi masyarakat adalah krisis peradaban kaum Melayu yang sudah cukup lama terbeban dengan sejarah semacam ini melalui peristiwa-peristiwa sejarah bangsa Melayu yang turut mengheret krisis yang sama," kata beliau. 

Prof Abu Hassan turut menyingkap kembali sejarah Melayu yang menurutnya adalah bukti kepada sikap sesetengah orang Melayu yang menggunakan fitnah sebagai senjata politik mereka semenjak zaman dahulu lagi.

Hang Tuah difitnah berzina dengan gundik raja, sehingga menyebabkan dia terhukum bunuh dan seterusnya mencetuskan kebangkitan revolusi Hang Jebat yang kemudian menyebabkan pertempuran saudara di Melaka.

Begitu juga fitnah ke atas anak perempuan Sang Rajuna Tapa yang dituduh berzina dengan seorang pemuda di Temasik akhirnya menyebabkan pergelutan antara dua kuasa dan menyebabkan penjajahan Majapahit ke atas Singapura.

Kita juga diberitahu dalam sejarah tentang kisah Mahsuri yang dituduh berzina dengan Deramang yang menyebabkan pembunuhan ke atas Mahsuri, jadi isu-isu ini adalah berhubungan dengan politik Melayu.
Dalam keadaan bangsa lain telah berjaya mencipta Google, Facebook, Twitter, iPad, dan sebagainya sedangkan bangsa kita pula tidak habis-habis hidup seperti apa yang dilalui oleh Hang Tuah, Sang Rajuna Tapa dan Mahsuri," jelas beliau.

Bagaimanapun menurutnya lagi, misi untuk menjatuhkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi sia-sia apabila Ketua Umum PKR itu sekali lagi diangkat sebagai simbol perjuangan membela maruah diri, keluarga dan masyarakatnya.

Perspektif dari mediasfera, isu ini akan menempatkan kembali Anwar sebagai simbol perjuangan diri, keluarga dan masyarakat di kalangan masyarakat tanahair kerana bukan mudah untuk seseorang dan sebuah keluarga menanggung penghinaan yang semacam ini, malah secara berterusan.

Tentulah masyarakat mula melihat keperluan untuk bersekutu buat perubahan kerana masyarakat sudah tidak mampu menanggung situasi dan krisis politik yang semakin teruk dan semakin mengerikan," kata Prof Abu Hassan.

Prof Abu Hassan turut mengingatkan masyarakat Melayu negara ini yang umumnya berugama Islam dengan ayat 12, Surah Al-Hujurat akan dosa yang ditanggung daripada  berprasangka, mencari kesalahan orang lain dan perbuatan fitnah.

Pertamanya, Allah mengeluarkan perintah yang jelas di dalam Al Quran, Surat Al Hujurat, ayat 12, yang bermaksud - Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada di antara kamu yang berbuat fitnah dan tuduhan sebahagian yang lain. 

Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang. 

Harakah Daily  

Rabu, 30 Mac 2011

Taib ditentang adik speaker Dun Sarawak di Balingian

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud dijangka akan ditentang oleh adik kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semop, Dato Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dalam pilihan raya negeri (PRN) 16 April ini.
Awang Abdullah Awang Nassar dari Parti Ekonomi Rakyat Sarawak (PERS), mengesahkan perkara itu ketika ditemui secara tidak sengaja oleh beberapa wartawan dari sebuah stesen tv tempatan ketika sedang membeli borang pencalonan di pejabat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di negeri itu semalam.
Pengesahan Awang Abdullah juga sekaligus akan menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru termasuk wakil dari pakatan pembangkang yang akan pasti turut meletakan calonnya di Dun Balingian yang disenaraikan sebagai kawasan panas oleh SPR.
Bagaimanapun, Awang Abdullah dipercayai akan bertanding atas tiket bebas berikutan parti ditubuhkan pada Julai tahun lalu itu masih belum diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Parti itu dikatakan dianggotai oleh bekas ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) yang presidennya adalah Taib sendiri.
Dalam satu kenyataan akhbar ketika parti itu ditubuhkan, Setiausaha penaja PERS, Mohammad Nor Bakri memberitahu, parti itu telah meletakkan sasaran untuk bertanding di semua 71 Dun Sarawak.
Bagaimanapun katanya, beberapa calon yang berpotensi dari parti itu telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan salah seorang turut kehilangan 99 ekar tanah yang diambil bagi tujuan penanaman kelapa sawit.
Sebelum ini, khabar angin bertiup di kalangan pemerhati politik negeri itu, Mohamad Asfia dikatakan akan membantu adiknya itu disegi kewangan untuk bertanding di Dun Jepak.
Pada PRN 2006, Taib Mahmud berjaya menang besar di kerusi Dun Balingian apabila mengalahkan calon dari Pari Keadilan Rakyat (PKR) yang turut kehilangan wang deposit.
Sementara itu dalam satu perkembangan lain, SPR memberitahu kira-kira 318 set borang pencalonan telah dibeli oleh calon-calon yang bakal bertanding dalam PRN yang hari penamaan calon akan diadakan pada 6 April dan hari mengundi pada 16 April.

* Free Malaysia Today

Paparan Halaman