Bagi persaingan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), permulaan baik Badrul Hisham Shaharin dalam dua pusingan awal mula diburukkan dengan keputusan di Cabang Batu Sapi dan Kota Raja apabila ketinggalan 708 undi oleh Shamsul Iskandar Md Akin.
Sehingga kini Badrul Hisham berjaya memungut 3,273 undian berbanding Shamsul yang memperolehi 3,981 undi.
Berbanding keputusan di Selangor yang agak seimbang, keputusan di Sabah yang telah mencetuskan beberapa kontroversi dilihat lebih berpihak kepada Shamsul.
Selain daripada Batu Sapi dan Kota Raja, beberapa keputusan cabang lain turut menimbulkan pertikaian yang membabitkan kredibiliti Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dipandang serong.
Sebelum ini kertas undian yang dikeluarkan dari peti undi di Batu Sapi mencatatkan kejutan luar biasa apabila sejumlah 595 ahli AMK dikatakan telah keluar mengundi di sana.
Jika pola pusingan terakhir sama dengan pusingan sebelumnya, Shamsul, seorang lagi orang Azmin dengan kelebihan 708 undi, dijangka tidak berdepan masalah untuk mempertahankan jawatan Ketua AMK yang disandangnya.
Timbalan Ketua AMK
Bagi jawatan Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Zainuddin turut hampir pasti memenangi persaingan apabila sedang mendahalui dengan majoriti 688 undian.
Sehingga kini Khairul Anuar telah memungut sebanyak 3,825 undian berbanding pesaing tunggalnya YB Chang Lih Kang yang mengutip 3,137 undian.
Seperti persaingan ketuanya, persaingan untuk kerusi nombor dua AMK juga tidak sunyi dari dilanda kontroversi semenjak di awal saingan lagi.
Kempen dengan menggunakan isu perkauman oleh pihak yang tidak bertanggung jawab dalam pemilihan sedikit sebanyak telah mempengaruhi corak undian sekaligus memberi kesan terhadap undian YB Chang.
Sebelum ini, FMT pernah melaporkan kempen undi Melayu untuk Melayu digerakan bagi memenangkan Khairul Anuar sebagai Timbalan Ketua AMK Pusat.
Seperti mana Shamsul, Khairul turut dijangka akan memenangi jawatan Timbalan Ketua AMK.
Ketua Wanita PKR
Penyandang jawatan Ketua Wanita, YB Zuraida Kamaruddin yang ketika ini selesa mendahului pesaingnya, Suraya Sudin dan Animah Ferrar juga dianggap hampir pasti memenangi persaingan ini.
Jumlah undi yang diperolehi Zuraida sehingga kini 4,510 undi meninggalkan pesaing terdekatnya dengan majoriti 3,329 undi, meninggalkan jauh pesaing lain.
Hingga kini, Suraya telah memungut sejumlah 1,181 undi dan Animah hanya mampu meraih 967 undian.
Timbalan Ketua Wanita PKR
Manakala YB Rodziah Ismail turut dijangka memperolehi kemenangan selesa apabila sedang mendahului pesaingnya Asmah Abd Kadir dengan perbezaan 4,041 undian.
Keputusan semasa sehingga pusingan ketiga dilangsungkan, Rodziah telah memungut 5,167 undi berbanding pesaingnya Asmah yang hanya mengutip 1,126 undian.
'Dinasti Azmin' bakal dominasi PKR
Daripada barisan bayangan berdasarkan keputusan semasa yang ada setakat ini, boleh dirumuskan 'dinasti Azmin' bakal mendominasi PKR pada masa hadapan.
Di peringkat Naib Presiden, hanya Nurul Izzah dilihat terkecuali daripada label orang Azmin berbanding tiga 'Naib Presiden bayangan' lain.
Nurul Izzah juga diharapkan oleh sesetengah pihak dalam PKR untuk membantu Presiden untuk cuba mengimbangi kuasa 'dinasti Azmin' dalam PKR itu nanti.
Bagaimanapun, hubungan kekeluargaan antara tiga individu penting dalam PKR, Anwar, Wan Azizah dan Nurul Izzah boleh dianggap sebagai faktor penyelamat kepada 'dinasti Azmin' daripada menghadapi kritikan kuasa pengimbang ini.
Begitu juga dengan jawatan-jawatan utama di peringkat sayap parti turut didominasi oleh orang-orang kepercayaan Azmin.
Bagaimanapun, bagi perebutan Ketua AMK, Chegu Bard masih mampu melakukan kejutan di pusingan terakhir ini. Ia bergantung kepada kecekapan jentera beliau membawa keluar ahli-ahli AMK untuk keluar mengundi.
Hanya dengan kehadiran calon Ketua AMK, Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegu Bard dilihat mampu memainkan peranan penting memperkukuhkan kuasa pengimbang untuk berhadapanan 'dinasti Azmin'.
Faktor ini disokong dengan pendirian Chegu Bard sendiri yang dilihat neutral, berani menegur dan tokoh anak muda yang berani membawa pembaharuan dalam parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan