LABIS: Kehadiran NGO Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dan Soladariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang sedang rancak berlansung telah memberi satu lagi platform sokongan daripada golongan tersebut.
Anak yang merupakan sebuah pertubuhan yang mewakili generasi kedua dan ketiga anak peneroka Felda, dalam PRK Tenang ini bukanlah penglibatan yang pertama dalam kempen pilihan raya.
Pertubuhan yang dipimpin oleh Presidennya, Mazlan Aliman ini mula meniti di bibir masyarakat felda seluruh negara apabilF giat membongkar apa yang didakwa penipuan oleh Felda terhadap peneroka termasuk kejayaan tuntutan ganti rugi peneroka terhadap Felda di mahkamah.
Jesteru itu, kelibat Anak di Tenang sedikit sebanyak dianggap mampu memberi impak dalam mempengaruhi pengundi-pegundi muda di kalangan masyarakat muda warga Felda.
Golongan pengundi muda di DUN Tenang dianggarkan sekitar 40 peratus daripada 14,753 pengundi.
Selain itu, dianggarkan hampir separuh golongan itu kebanyakkan kini berhijrah ke bandar-bandar utama dalam negara yang secara persepsinya dianggap memberi kelebihan kepada parti pembangkang.
Sementara bagi SAMM yang merupakan kali pertama menyatakan secara rasmi pendirian mereka yang menyokong calon PAS dalam PRK itu, juga dianggap sebagai satu lagi daya penarik sokongan dan minat anak muda agar lebih mendekati perkembangan politik tanah air.
SAMM merupakan pertubuhan yang dianggotai anak-anak muda dari pelbagai latar belakang parti politik itu dianggap sebagai pertubuhan yang membawa aspirasi anak muda yang mahukan perubahan dalam negara ini.
Menjadi pengetahuan umum, terdapat ramai dari kalangan golongan anak-anak muda ini yang dingin terhadap program-program yang dianjurkan parti-parti politik lebih-lebih lagi dalam program yang melibatkan ceramah politik.
Keadaan ini menyebabkan golongan pinggiran dari kelompok anak muda ini hanya menerima maklumat melalui media-media arus perdana.
Bagaimanapun melalui program yang lebih santai dan mesra anak muda yang dianjurkan oleh SAMM dan Anak ini dilihat sesuatu pendekatan yang bijak dalam memainkan peranan bagi mengisi kekosongan ini.
Antara program yang dianjurkan termasuklah mengadakan program Sembang Santai ‘bbq’, Dialog Anak Muda, Sembang Minum Petang Anak Muda, Malam Keseniaan dan Pentas Anak Muda, Futsal Anak Muda, Sepetang bersama juara cub Prix Asia, Yaser Said dan beberapa program lain.
Walaupun program tersebut tidak mencatatkan jumlah kehadiran yang tinggi berbanding ceramah-ceramah politik, program ini tetap mempunyai tarikan tersendiri serta mudah didekati oleh anak-anak muda khususnya golongan di antara 21 hingga 35 tahun.
Pedekatan program yang mengutamakan pengisisan yang dekat di hati anak muda ini juga lebih mampu memberikan kesan yang mendalam dan berpanjangan terhadap generasi muda ini berbanding ceramah politk yang lazim diadakan.
Selain itu, pendekatan proaktif SAMM yang diketuai oleh Badrul Hisham Shaharin bagi menggerakkan jenteranya ini juga dilihat oleh sesetengah pihak sebagai mengisi kekosongan yang ditinggalkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dikatakan tidak menggerakkan jenteranya secara effektif.
Sehingga kini AMK masih belum menganjurkan sebarang program khusus bagi mendekatkan diri dengan anak muda melainkan mengiringi pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dan calon ketika bertemu pengundi dan menyampaikan ceramah-ceramah politik di atas platform yang disediakan oleh penganjur lain.
Berdasarkan situasi ini, maka tidak hairanlah kelincahan SAMM dalam menggerakkan jenteranya telah mengundang konflik dan rasa kurang senang oleh pihak tertentu yang menganggapnya sebagai percubaan untuk menenggelamkan AMK.
* Sumber Free Malaysia Today
Tiada ulasan:
Catat Ulasan