Rabu, 6 April 2011
Teka-teki teka tekup politik Malaysia
Selasa, 29 Mac 2011
Sokongan bukan Melayu Sarawak terhadap BN kritikal
* Free Malaysia Today
Rabu, 23 Mac 2011
RTC: Dendam kesumat yang tak pernah padam...
Salah seorang darinya, Pengerusi Risda, Tan Sri Rahim Thamby Chik (RTC) yang juga bekas Ketua Menteri Melaka sebelum beliau meletak jawatan gara-gara dikaitkan dengan kes rogol gadis bawah umur sekitar tahun 1993.Selain nama beliau yang dikatakan sebagai pemilik lot premis lokasi mencetak buku fitnah tersebut, beliau turut menyertai beberapa 'road show' jelajah negara bersama Umi Hafilda dan beberapa ahli politik BN lain dalam menyebarkan fitnah jahat itu kepada rakyat.
Sabtu, 29 Januari 2011
PRU-13: Najib perlu majoriti besar elak kedudukan terancam

Oleh Nazli Ibrahim
Sekadar kemenangan BN yang tidak lebih baik dari apa yang ada sekarang bukan sahaja bermakna kedudukan BN tidak selesa di parlimen, malahan kedudukan beliau sendiri sebagai Presiden Umno dan PM turut terancam seperti mana yang telah menimpa mantan PM, Tun Abdullah Badawi sebelum ini.
Berbanding ancaman dari luar, ancaman penolakkan dari dalam Umno sendiri lebih berpotensi, lebih-lebih lagi pemilihan Umno yang ditangguhkan sebelum ini lambat laun pasti diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Najib sendiri tentunya menyedari bahawa timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara pemimpin Umno yang mempunyai potensi paling besar untuk memberikan ancaman terhadap kedudukannya sebagai Presiden Umno sekaligus sebagai PM.
Tambahan pula, keberanian Muhyiddin menjolok sarang tebuan ketika era Tun Abdullah sebagai PM tentunya sentiasa segar diingatan Najib.
Ungkapan Muhyiddin yang mengakui bahawa beliau lebih mementingkan kesetiaan kepada parti berbanding batang tubuh seseorang pemimpin sedikit sebanyak menambahkan cemas Najib.
Bagi sesetengah pemerhati menjangkakan, Muhyiddin dengan bantuan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tun Dr Mahathir sebagai orang di belakangnya tidak akan teragak-agak untuk mengambil peluang menurunkan Najib dari 'tahkta' sekiranya Najib gagal membawa majoriti yang lebih baik bagi BN dalam PRU-13 nanti.
Ketika Muhyiddin cuba mara untuk mendekati kerusi Presiden Umno, Zahid mula akan mengambil tempat sebagai Timbalan Presiden sambil dicabar oleh regu Najib, Datuk Seri Tun Hishammuddin.
Bagaimanapun Najib dijangkakan tidak akan mudah mengalah seperti mana Abdullah, sebaliknya samada cuba meyakinkan pihak penentangnya agar berundur atau pertahankan kedudukkannya habis-habisan dalam pemilihan Umno nanti.
Muhyiddin-Zahid regu serasi
Bagi sesetengah pihak, sebelum ini lagi telah menyedari Muhyiddin dan Zahid sebagai sebuah regu serasi yang telah mula berkompromi semenjak awal lagi ketika Zahid memberi laluan kepada Muhyiddin dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden yang lalu.
Keserasian gandingan mereka ini sebenarnya bukanlah satu perkara baru apabila kedua-duanya sebelum ini merupakan pihak di dalam kem yang sama-sama mendukung Dato Sri Anwar Ibrahim ketika masih di dalam Umno dahulu.
Selain itu, seperti juga Anwar, Muhyiddin dan Zahid turut memiliki persamaan apabila dianggap sebagai politikus yang mempunyai keberanian menongkah arus dalam Umno berbanding pemimpin Umno lain.
Jika Muhyiddin Yassin dengan keberaniannya mengkritik PM Abdullah secara terbuka hingga membawa pengunduran beliau, Zahid pula ketika sebagai Ketua Pemuda Umno satu ketika dahulu juga membuat kritikan terbuka terhadap dasar kerajaan era Tun Dr Mahathir Mohamad yang dianggap mengamalkan kronisma dan nepostima.
Kritikan Zahid dalam ucapannya dalam persidangan Pemuda Umno itu telah menimbulkan kemarahan Mahathir dan diikuti pendedahan besar-besaran senarai penerima projek-projek kerajaan di mana turut mengandungi nama Zahid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif BSN Commercial Bank.
Serangan terhadap imej Najib
Semenjak dari itu, spekulasi di dalam Umno terus bertiup bahawa kerjasama antara kedua mereka ini terus berjalan dengan beberapa kali melakukan tindakkan membaling batu sembunyikan tangan terhadap imej Najib.
Antara yang diperkatakan ialah apabila misteri silap mata kehilangan dua buah enjin pesawat pemintas F-5E TUDM ketika Najib sebagai Menteri Pertahanan terbongkar kepada media setelah selama lebih dua tahun berjaya 'diselamatkan' dari pengetahuan media.
Namun kejadian yang berlaku ketika era Najib sebagai Menteri Pertahanannya itu secara tiba-tiba bocor kepada pengetahuan akhbar berbahasa Inggeris The Star setelah jawatan tersebut disandang oleh Zahid.
Kejadian yang berjaya disimpan rapi oleh dua orang Menteri Pertahanan sebelumnya, Najib dan Abdullah ini akhirnya telah mencalarkan imej Najib sebagai Menteri Pertahanan ketika kejadian itu.
Tidak berapa lama selepas itu, Zahid sekali lagi membuat pendedahan lain apabila mendakwa terdapat pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan yang mendedahkan rahsia pertahanan negara kepada duta-duta asing yang juga dikatakan berlaku sebelum Abdullah menduduki Kementerian Pertahanan.
Selain itu, Zahid turut membuat keputusan 'turning over' apabila membatalkan keputusan Najib ketika sebagai Menteri Pertahanan yang mahukan pesawat tempur MIG-29 ditamatkan tauliahnya dan digantikan dengan pesawat baru.
Walaupun menurut Zahid, ianya disebabkan keadaan ekonomi yang meleset, namun keputusan Zahid itu turut memberi persepsi keputusan serampang dua mata untuk mencalarkan imej Najib dengan seolah-olah memberi tanggapan Najib gemar berbelanja boros.
Jika diteliti paten serangan terhadap Najib ini menyerupai keadaan ketika Abdullah diasak agar turun dari kerusi PM dan Presiden Umno di mana serangan ketika itu datangnya daripada salah seorang Naib Presiden Umno iaitu Muhyiddin bagi membuka jalan kepada Najib. Sementara Najib ketika itu lebih banyak mendiamkan diri.
Ketika ini paten serangan yang sama dipraktikan dan startegi yang sama juga bakal dipraktikkan apabila serangan terbuka dilancarkan nanti.
Najib, Hishammuddin lwn Muhyiddin, Zahid?
Bagaimanapun Najib yang dikatakan telah menyedari situasi ini juga telah mula mengatur perancangan dengan menyediakan sepupu beliau, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk dinobatkan sebagai timbalannya sekaligus melangkaui Muhyiddin.
Dari segi rekod karier poitik Hishammuddin sebelum ini, beliau tidak menunjukkan sebarang potensi untuk memberikan ancaman terhadap kedudukkan Najib.
Sepertimana Muhyiddin dan Zahid yang mempunyai persamaan, Najib dan Hishammuddin juga turut mempunyai beberapa persamaan bagi membolehkan mereka berada di dalam kem yang sama.
Selain hubungan pertalian kekeluargaan, Najib dan Hishammuddin sama-sama merupakan anak kepada PM kedua dan ketiga negara ini.
Mereka juga dianggap mempunyai pendekatan politik yang sama iaitu dengan sentiasa memilih jalan selamat (play safe) dengan mengelakkan konfrantasi dengan mana-mana pihak dalam Umno khususnya pemimpin lebih tinggi kedudukannya.
Ketika ini, bagi kedudukkan menteri penuh, Hishamuddin juga diberikan peluang untuk menduduki kementerian lebih kanan, Kementerian Dalam Negeri berbanding timbalannya, Muhyiddin di Kementerian Pelajaran.
Malahan, Hishamuddin turut mendapat kelebihan apabila tidak berapa lama dahulu Najib mengumumkan menambah peruntukan kepada Kementerian Dalam Negeri termasuk kenaikan gaji dan elaun pegawai-pegawai dan anggota PDRM.
Pada masa yang sama, peruntukan bagi Kementerian Pelajaran di bawah Muhyiddin dan Kementerian Pertahanan di bawah Zahid telah dipotong atas alasan kemelesetan ekonomi satu tindakan Najib yang mendatangkan perasaan kurang senang kedua-dua mereka.
Bagaimanapun penentangan terhadap Najib dijangkakan tidak akan berlaku sekiranya Najib berjaya membawa kemenangan besar kepada BN dalam pilihan raya akan datang.
* Sumber Free Malaysia Today
Ahad, 23 Januari 2011
PRK Tenang: BN makan diri main isu agama

SEGAMAT: Kesilapan memilih isu ketika berkempen dalam sesuatu pilihan raya mampu memberi padah apabila isu yang dimainkan mampu membias sekaligus menjejaskan sokongan pengundi-pengundi kepada calon sendiri.
Lazimnya, pengundi-pengundi atas pagar adalah antara golongan yang prihatin atau lebih peka ketika menganalisa isu yang diketengahkan oleh jentera parti berbanding penyokong tegar sesuatu parti.
Bagi penyokong tegar, mereka umpama 'aset tetap' yang bersedia memberikan undinya kepada parti yang sokongannya waima kepada calon 'tunggul kayu' sekalipun, pasti tidak menjadi soal.
Ketika hari berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nageri (DUN) Tenang masuk hari ke tiga hari ini, kempen BN yang mula menyentuh isu-isu berkaitan kepercayaan penganut agama Islam dianggap satu kesilapan yang mampu mengurangkan undi BN.
Dalam satu ceramah di hadapan pengundi-pengundi berbangsa Cina di sini baru-baru ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah membangkitkan pendirian calon lawan dari PAS, Normala Sudirman yang enggan bersentuhan ketika bersalaman dengan pengundi-pengundi lelaki.
Menurut Chua, pendirian Normala yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mala itu dianggap menimbulkan kebimbangan sebagai pemimpin yang tidak mesra rakyat.
Keadaan ini diburukan lagi apabila Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Tan Lian Hoe juga terus menyelar pendirian muslimat PAS itu.
Isu ini tentunya tidak terus berlarutan sekiranya Umno pantas bertindak dengan memberi pemahaman isu berkaitan hukum agama Islam ini kepada rakan-rakan mereka dalam MCA.
Akhirnya, isu ini memberi kelebihan kepada PAS apabila berjaya memberi 'counter attack' yang berkesan dalam isu yang sama sekaligus memaksa BN berada di kedudukan bertahan.
Fakta jelas menunjukkan bahawa bersentuhan antara bukan mahram dalam hukum Islam ternyata mustahil ditepis oleh kalangan pemimpin mahupun ulama dalam Umno.
Ketika menangkis serangan lawan, Cikgu Mala menjelaskan hukum dalam Islam yang melarang bersentuhan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram.
"Kami sebagai individu Muslim, kami (wanita) memang tidak bersalam dengan lelaki. Begitu juga dengan kaum Tiong Hua, kami bersalaman dengan perempuan Tiong Hua tidak ada masalah, sebab mereka perempuan.
"Hatta kami saudara seIslam pun, kami tidak bersalaman dengan lelaki," jelas calon PAS itu dalam satu sidang media yang seperti mana lazimnya penjelasannya itu tidak diberikan tempat dalam media-media arus perdana.
Selain penjelasan dari Cikgu Mala dan pemimpin-pemimpin PAS lain, rakan PAS dari DAP dan PKR juga dilihat telah memainkan peranan yang baik dengan mengambil tempat bagi menjelaskan keadaan ini kepada pengundi-pengundi berbangsa Cina.
Ketika melancarkan serangan balas dalam isu yang sama, Chua telah dianggap sebagai pemimpin BN yang tidak menghormati kepercayaan ugama lain, keadaan yang sama dihadapi oleh seorang pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) berbangsa Sikh yang dipotong rambutnya.
Malah, Umno sebagai parti utama dalam komponen BN turut menerima kesan paling mendalam apabila dikatakan gagal menjelaskan rakan pakatannya dalam BN itu dalam isu berkaitan hukum Islam.
Ia diburukan lagi apabila Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberikan 'komen positif' terhadap kenyataan Chua tersebut sekaligus menghiris perasaan yang tidak sedikit bagi kelompok Melayu di kalangan pengundi atas pagar.
Ahad, 26 Disember 2010
Juarai hati anak muda: Pengaruh SAMM mampu tenggelamkan AMK
Soldariti Anak Muda Malaysia (SAMM), baru-baru ini berjaya menganjurkan Konvoi Perdana Anak Muda Malaysia Rembau ke Permatang Pauh yang disifatkan konvoi yang membabitkan kumpulan anak muda yang terbesar pernah diadakan di Pulau Pinang khususnya di Permatang Pauh.
Konvoi ini yang bermula pada malam Khamis lalu ini turut melibatkan pelbagai program-program selama tiga hari iaitu program kemasyarakatan, sukan, forum, keusahawanan, kesenian, pertunjukkan permotoran dan lain-lain.
Kejayaan SAMM yang pengasasnya Chegu Bard menganjurkan program tersebut boleh dianggap sebagai titik permulaan bagi pertubuhan tersebut merintis program-program lain yang lebih besar dan berkesan bagi memenangi hati anak-anak muda negara ini.
Selain itu program ini yang juga disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai signifikan cabaran kepada AMK agar lebih proaktif mengadakan program yang mampu memenangi hati golongan muda ini turut mendapat pujian daripada Ketua Umum PKR, Dato Sri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Melalui program-programnya, SAMM walaupun dengan sumber kewangan yang terhad ini juga seolah-olah sedikit demi sedikit akan mengambil alih dan mengisi kekosongan yang sepatutnya diisi oleh AMK yang dipimpin oleh Shamsul Iskandar Md Akin.
Bagi Chegu Bard yang kini tidak mempunyai sebarang jawatan di peringkat pusat PKR, kini mempunyai jadual lebih padat berbanding sebelumnya apabila kerap diundang untuk memberikan ceramah dan menghadiri program lain yang dianjurkan oleh cabang-cabang parti itu sendiri mahupun oleh parti-parti lain dalam PR.
Kepadatan jadualnya terjadi apabila didorong oleh minat yang semakin bertambah daripada pihak penganjur program untuk mengundang beliau baik program yang dianjurkan oleh cabang PKR sendiri mahupun parti lain dalam PR.
Secara umumnya pada masa ini, ketika menghadiri jemputan mana-mana program, imej Chegu Bard lebih dilihat sebagai personaliti yang mewakili anak-anak muda akar umbi dalam AMK dan tentunya SAMM sendiri berbanding Shamsul yang berada dalam 'kelasnya tersendiri'.
Shamsul yang kejayaannya mempertahankan jawatan ketua AMK dengan tidak mendapat pengiktirafan dari sesetengah pihak dalam AMK sendiri seharusnya memandang 'kepantasan' SAMM ini sebagai satu cabaran untuk beliau lebih proaktif memenangi hati masyarakat muda di peringkat akar umbi.
Menjadikan ayat 'pemilihan baru sahaja selesai' sebagai alasan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi dengan reputasi yang tercalar dengan aduan-aduan yang masih tiada jawapan ketika sepanjang pemilihan berlangsung.
Apatah lagi, AMK Pusat yang mampu memperolehi sumber kewangan yang lebih besar seharusnya lebih pantas berbanding SAMM untuk mengatur program anak-anak muda sekaligus mampu mengikis label kura-kura yang dibawa beliau sewaktu pemilhan berlangsung sebelum ini.
Malangnya Ketua AMK itu lebih menampilkan lagak seorang Naib Presiden, jawatan yang mahu ditandingi pada awalnya sebelum membuat pusingan 'U' berbanding lenggok yang sepatutnya ada pada anak-anak muda.
Lebih-lebih lagi apabila Shamsul dilihat lebih gemar mendampingi dan 'mengekori' samada Anwar Ibrahim mahupun Azmin Ali di lokasi-lokasi ceramah sehinggakan dilabelkan sebagai 'escort' kepada kedua-dua pemimpin tertinggi PKR itu.
Malahan kehadiran Shamsul di tapak-tapak ceramah yang membariskan pemidato hebat seperti Anwar Ibrahim akhirnya menenggelamkan beliau sendiri apabila rata-rata audien hanya memfokuskan kepada penceramah utama yang jauh lebih hebat pidato mereka.
Keadaan ini boleh disamakan dengan pasukan bola sepak Malaysia yang tentunya tidaklah nampak begitu teruk apabila menentang pasukan negara-negara Asia Tenggara lain berbanding akan dilihat sangat kerdil apabila berhadapan pasukan seperti Brazil atau Sepanyol.
Sebagai Ketua AMK, seharusnya beliau sedar bahawa kejayaan untuk menarik minat anak-anak muda ke arah kesedaran politik dan hak mereka sebagai rakyat tidaklah memadai dengan sekadar pendekatan berceramah semata-mata.
Kelompok anak-anak muda ini seharusnya diberikan tumpuan khusus dengan mendekati mereka melalui program yang mampu menarik minat mereka sekaligus mewujudkan perasaan tidak terasing kelompok ini dengan barisan pemimpin mereka.
Khamis, 16 Disember 2010
Matlamat perjuangan: Demi keadilan atau untuk berkuasa semata-mata?
Mana satu matlamat perjuangan PKR sebenarnya? Adakah untuk menumbangkan kezaliman sekaligus menegakkan keadilan atau hanya kerana ingin berkuasa semata-mata?Ekoran kenyataan sokongan reformis terhadap tindakan Chegu Bard yang menuntut agar JPP membuat siasatan telus dan memberikan jawapan terhadap aduan-aduan sepanjang pemilihan parti telah mencetuskan pelbagai pandangan pro dan kontra di blog ini.
Apa pun di atas prinsip kebebasan memberikan pandangan, ia merupakan satu perbahasan yang bagus dan amat tidak wajar bagi mana-mana pihak yang beremosi ketika membahaskan isu ini.
Dalam isu yang dilihat semakin berlarutan ini dan pada masa yang sama pilihan raya DUN Sarawak dan PRU 13 yang semakin hampir, persoalan asas mengapa Umno dan BN harus dinyahkan dari tampuk kuasa patut ditanyakan kepada diri sendiri.
Adakah penolakan terhadap UBN adalah semata-mata disebabkan perasaan benci dan meluat yang meruap-ruap terhadap parti itu semata-mata? Adakah semata-mata bagi memenuhi tuntutan nafsu yang mahu merasai nikmat memegang kuasa? Adakah disebabkan UBN harus ditolak kerana kegagalan parti itu memberikan keadilan kepada rakyatnya?
Penulis percaya tentunya ramai di antara kita yang memilih sebab ketiga iaitu faktor kegagalan UBN menegakkan keadilan untuk semua rakyatnya sebagai penyebab utama yang mendorong kepada kesungguhan untuk menolak UBN dalam PRU kelak.
Bagaimanapun, benarkah kita menolak UBN disebabkan keinginan melihat keadilan dapat ditegakkan untuk semua lapisan masyarakat negara ini? Benarkah prinsip untuk menegakkan keadilan itu adalah paksi utama dalam perjuangan kita?
Jika prinsip menegakkan keadilan merupakan paksi utama perjuangan, maka seharusnya keadilan wajar ditegakkan tanpa mengira siapa mangsa dan siapa pemangsanya.
Keadilan hakiki tidak tertegak seandainya perjuangan hanya digerakkan tatkala pemangsanya adalah UBN sahaja, manakala apabila keadilan dituntut di kalangan sesama sendiri ia hanya dilihat sepi dengan alasan menjejaskan persiapan untuk Putra Jaya.
Sekiranya kita hanya mentertawakan sambil berkata 'padan muka' kepada seorang penyokong UBN yang dizalimi oleh parti yang disokongnya itu sendiri tanpa berbuat apa-apa, maka jelas perjuangan kita hanyalah keinginan untuk berkuasa semata-mata. Apatah jika ia berlaku dikalangan kita sendiri.
Jika menegakkan keadilan merupakan misi utama dalam penglibatan seseorang dalam politik, maka seharusnya keadilan harus ditegakkan tanpa mengira masa dan siapa mangsa dan pemangsanya.
Sedangkan asas utama untuk ke Putra Jaya itu sendiri kononnya untuk menumbangkan kezaliman dan memberikan keadilan kepada semua pihak atau rakyat negara ini. Prinsip keadilan juga tidak boleh dilihat secara berpilih-pilih.
Kelompok yang mahukan agar isu penyelewengan dalam pemilihan PKR disenyapkan bagi memberi laluan kepada persiapan menghadapi pilihan raya bolehlah ditafsirkan sebagai kelompok yang meletakkan keutamaan untuk menumbangkan UBN sebagai keutamaan mereka.
Bagaimanapun, amat malang apabila kelompok ini sanggup membelakangkan keadilan yang dituntut oleh kelompok lain apabila melihat tuntutan ini boleh menjejaskan peluang ke Putra Jaya.
Dalam erti kata lain, ianya adalah sama dengan konsep yang diaplikasikan oleh UBN sendiri untuk mempertahankan tampuk kekuasaan mereka iaitu dengan 'matlamat menghalalkan cara'.
Maka perjuangan seperti ini boleh disimpulkan sebagai perjuangan yang berasaskan untuk menolak UBN dari terus berkuasa semata-mata dan prinsip menegakkan keadilan adalah perkara sampingan yang dijadikan penyedap telinga massa bagi meraih sokongan.
Lantaran itu, sekiranya kelompok ini berjaya menakluki Putra Jaya kelak, lambat laun ia semakin menyerlahkan wajah sebenar yang kelihatan semakin lama makin menyerupai wajah UBN ketika berkuasa sebelumnya. Ini adalah akibat daripada perjuangan yang didasari keinginan untuk berkuasa semata-mata.
Ianya sama keadaannya kita menukarkan Perdana Menteri dari Mahathir kepada Abdullah Badawi dan Abdullah kepada Najib. Perdana Menteri bertukar, tetapi dari sudut keadilan untuk rakyatnya, ia tidak memberikan apa-apa makna.
Sama juga keadaannya dalam isu penyelewengan dalam PKR ini. Keadilan harus ditegakkan atau sekurang-kurangnya memberi peluang kepada pihak-pihak yang merasakan tidak memperolehi keadilan perjuangkan apa yang mereka percayai.
Kesan kemelut dalaman PKR terhadap prestasi dalam PRU
Sejauh mana kesannya terhadap prestasi PKR dalam PRU-13 nanti, ia bergantung kepada kecekapan JPP mentangani isu ini. Makin cepat JPP menyelesaikan aduan-aduan di atas meja, makin minimalah kesan terhadap prestasi PKR dalam PRU nanti dan begitu juga sebaliknya.
Walau apa pun, kesan penyelewengan dalam PKR sedikit sebanyak tetap akan memberi kesan. Cuma beban kini tergalas kepada bagaimana JPP dan kepimpinan parti menyelesaikan masalah ini sekaligus meminimakan kesannya.
Jika PKR menghadapi PRU dalam keadaan kemelut dalaman yang masih tidak diselesaikan lagi, bakal memberikan kesan terburuk sekali terhadap prestasi parti itu sendiri.
Tindakkan cuba menutup mulut para pengkritik atau mengarahkan Chegu Bard jangan buat yang 'bukan-bukan' adalah satu tindakkan yang tidak kemana-mana dan jauh sekali menyelesaikan masalah.
Melabelkan kelompok ahli parti yang berani mengkritik parti sendiri sebagai pengkhianat parti adalah sama keadaannya dengan pemimpin UBN melabelkan pengkhianat negara kepada pemimpin-pemimpin PR yang mengkritik pemerintahan UBN. Adakah kualiti pemimpin PKR adalah sama dengan UBN.
Ketika penulis menemubual Profesor Mohd Agus Yusoff ketika Pemilihan PKR telah berada di penghujungnya, beliau berkata, antara sebab utama kemelut yang berlaku dalam PKR disebabkan ketidakcekapan pemimpin parti itu dan JPP menguruskan masalah dalaman parti dalam mentangani aduan-aduan ketika pemilihan.
Katanya, pemimpin PKR dan JPP telah mengambil masa yang terlalu lama atau tidak kelihatan sebarang tindak balas hingga memberi persepsi aduan-aduan tersebut hanya disapu di bawah karpet menyebabkan dari luka kecil menjadi parah.
Malah, beliau juga percaya jika JPP mengambil langkah tegas semenjak mula pemilhan berlangsung bermula dengan aduan pertama yang diterimanya, kemungkinan besar belum tentu Zaid Ibrahim meninggalkan PKR.
Jadi, satu-satunya jalan yang ada buat PKR pada masa ini hanyalah segera menyelesaikan aduan-aduan yang diterima dengan telus dan adil serta mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang terlibat dengan isu penyelewengan dalam pemilihan.
Kalau kita mengandaikan Zaid Ibrahim sebagai trojan horse walaupun ia hanya persepsi, sekurang-kurangnya kini beliau sudah menjadi orang luar parti. Apa yang patut PKR bimbangkan sekarang apabila trojan horse yang hanya berjuang untuk kuasa berbanding keadilan, mengaplikasikan kaedah matlamat menghalalkan cara yang seacuan dengan Umno dan masih berada di dalam PKR.
Rabu, 24 November 2010
Surat terbuka kepada SPR
Kepada Tan Sri Abd Aziz Yusuf
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya
Malaysia
Perkara: Memohon maaf atas kritikan saya
Sebagai seorang penulis politik yang tidak bertuankan sesiapa dalam politik negara, saya agak bebas mengkritik mana-mana pihak yang saya fikirkan perlu termasuk pihak tuan sendiri.
Oleh kerana saya melihat terlalu banyak kepincangan apabila setiap kali pihak tuan mengendalikan perjalanan pilihan raya, maka pihak tuan sering menjadi sasaran mudah saya.
Kritikan dan kecaman saya terhadap pihak tuan tidak terbatas dari satu sudut sahaja, malah saya sentiasa menyerang dari segenap ruang yang ada.
Ketika itu, pada pendapat saya, SPR tidak ubah kalau bukan budak suruhan Umno-BN pun, sekurang-kurangnya sudah tentu menjadi alat kepada mereka.
Saya juga berpendapat, SPR adalah suruhanjaya yang paling tidak berwibawa dalam menjalankan mana-mana pilihan raya dalam negara ini.
Dalam erti kata lain, saya menganggap prestasi SPR adalah yang terburuk dalam mengendalikan mana-mana pilihan raya di negara ini.
Bagaimanapun baru-baru ini saya mula menyedari akan kesilapan saya meletakkan SPR di kedudukan paling terburuk, setelah menyaksikan satu lagi pilihan raya yang diadakan oleh sebuah parti politik baru-baru ini.
Saya dapati pilihan raya yang dikendalikan oleh parti tersebut mempunyai kepincangan dan penipuan yang berlipat kali ganda lebih buruk dari apa yang pihak tuan pernah lakukan untuk parti pemerintah.
Saya percaya, niat mereka juga sama dengan pihak tuan, iaitu untuk menjaga pihak yang memegang tampuk kuasa dengan apa cara sekalipun. Cuma saya percaya kaedah yang mereka gunakan adalah kaedah penipuan yang lansung tidak pernah terfikir oleh pihak tuan.
Salah satu contoh mudah, saya percaya pihak tuan tentu tidak pernah terfikir untuk melarikan peti undi, apatah lagi membawa peti undi balik ke rumah tuan.
Walaupun ianya kedengaran agak melucukan, tetapi hakikatnya ia memang berlaku dalam pilihan raya parti tersebut yang baru sahaja selesai minggu sudah.
Maka pada masa ini jelaslah, bahawa andaian saya sebelum ini yang menganggap kewibawaan pihak SPR adalah yang terburuk adalah salah kerana pilihan raya yang dijalankan oleh parti politik tersebut didapati jauh lebih buruk.
Bagaimanapun saya tidaklah bermaksud menarik kembali kenyataan yang pernah saya lemparkan kepada pihak tuan kecuali dari segi kedudukan terburuk sahaja yang berubah apabila ada lagi yang lebih buruk.
Saya juga ingin memaklumkan kepada pihak SPR, adalah amat wajar jika pihak SPR meneruskan usaha untuk memenangkan parti pemerintah dalam PRU 13 akan datang dan ia satu usaha yang perlu walau dengan apa cara sekali pun tanpa mengira sekotor mana sekali pun.
Pihak parti yang menjalankan pilihan raya tadi tentunya dengan mudah menerima dengan hati terbuka jika kekalahan mereka disebabkan penipuan yang SPR lakukan nanti.
Saya berpendapat sedemikian berasaskan hakikat mereka sendiri turut telah dapat menerima penipuan sebagai satu cara yang halal untuk mencapai matlamat mereka ketika pilihan raya.
Tambahan pula, saya turut berpendapat seandainya mereka ini memenangi PRU 13 nanti saya percaya kelak jawatan-jawatan tertinggi dalam SPR akan diisi oleh orang-orang yang sama dalam jawatan kuasa pilihan raya parti itu.
Akhir kata, sekali lagi saya memohon maaf kerana meletakkan pihak SPR di kedudukan terburuk sebelum ini walaupun sebenarnya pihak yang menjalankan pilihan raya parti itu lebih buruk.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Khamis, 8 Julai 2010
Keputusan semasa undian PM pilihan anda: PM Bukan Melayu paling tinggi
Apa yang menariknya, walaupun peratusan pengundi dari kalangan pembaca Melayu lebih tinggi berbanding peratusan pengundi dari kalangan pembaca bukan Melayu, calon PM dari kalangan bukan Melayu masih mengatasi peratusan calon PM dari kalangan orang Melayu.
Selain itu, statistik juga menunjukan peratusan pengundi yang menyokong BN ialah 44 peratus lebih tinggi berbanding pengundi dari kalangan penyokong PR yang memperolehi 38 peratus ,manakala pengundi atas pagar sebanyak 16 peratus.
Berikut adalah keputusan semasa soalan undian yang berdasarkan artikel bertarikh 24 Jun 2010 dengan tajuk BC: Anda sedia terima PM bukan Melayu?
Undian soalan pertama - calon pilihan pengundi
Calon PM pertama (Melayu) : 44%
Calon PM kedua (bukan Melayu) : 55%
Undian soalan kedua - pecahan bangsa pengundi
Melayu : 77%
Bukan Melayu : 22%
Undian soalan ketiga - pecahan penyokong parti politik pengundi
Pakatan Rakyat (PR) : 38%
Barisan Nasional (BN) : 44%
Berkecuali/atas pagar : 16%
Jumaat, 2 Julai 2010
Najib enggan dedah kos bawa Rosmah ke New York
"Kos perbelanjaan penginapan dan perjalanan Datin Seri Rosmah adalah termasuk di dalam perbelanjaan yang disediakan untuk perdana menteri, selaras dengan kedudukan beliau sebagai isteri perdana menteri,” kata Najib dalam jawapan satu perenggannya.
Gobalakrishnan yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang kurang tepat itu, cuba menimbulkan perkara berkenaan dengan speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Bagaimanapun, Pandikar menjawap Aturan Dewan tidak memberikannya kuasa untuk menilai 'kualiti' jawapan menteri dan sehubungan itu, beliau tidak boleh bertindak.
Selepas menghadiri Persidangan Keselamatan Nuklear di Washington DC, Najib dan Rosmah menghadiri sebuah majlis gilang-gemilang di hotel lima bintang St Regis di New York pada 16 April.
![]() |
Ketika mahlis itu, Rosmah diberikan anugerah Keamanan dan Keharmonian Antarabangsa daripada US Business Council for International Understanding (BCIU).
Meskipun tidak dapat disahkan, beberapa laporan Internet mendakwa kemuncak majlis itu ialah apabila Rosmah berduet dengan Foxx.
Majlis berkenaan tidak mendapat liputan akhbar tempatan tetapi menjadi perdebatan berikutan penyiaran dua halaman iklan berwarna di New York Times yang mengucapkan tahniah kepada Rosmah daripada “keluarga dan sahabatnya di Amerika dan Malaysia”.
Tidak kurang juga rakyat marah apabila Rosmah dirujuk sebagai 'wanita pertama Malaysia' - gelaran yang sepatutnya dikhaskan untuk Raja Permaisuri agong.
Menurut laporan The Nut Graph, New York Times pada mulanya berkata iklan berkenaan dibiayai oleh kerajaan Malaysia tetapi kemudian menarik semula kenyataan berkenaan.
Berikutan itu, Najib memberitahu Dewan Rakyat bahawa BCIU yang meletakkan iklan berkenaan. Bagaimanapun majlis berkenaan belum mengesahkan perkara tersebut.
"Sebelum ini, mereka dakwa ada NGO yang membiayai lawatan isteri perdana menteri. Tetapi sekarang mereka berkata pejabat PM pula yang membayar,” kata Gobalakrishnan.
"Saya akan terus menulis meminta jawapan. Saya minta perangkaan, tetapi mereka tidak memberikan jumlahnya. Rakyat seharusnya tahu berapa yang dibelanjakan oleh isteri PM.”
* dipetik dari Malaysiakini
Isnin, 28 Jun 2010
Sepintas lalu keputusan semasa undian PM pilihan anda
Pecahan bangsa pengundi
Peratusan pengundi Melayu mengatasi pengundi bukan Melayu iaitu 63 peratus berbanding 36 peratus pengundi bukan Melayu.
Pecahan parti yang disokong
Pecahan mengikut parti yang disokong oleh pengundi pula menunjukan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional memperolehi peratusan undian yang sama iaitu masing-masing 36 peratus dan sebanyak 27 peratus lagi memilih untuk berkecuali.
Walaupun rekod mencatatkan jumlah kira-kira 200 pengunjung yang mengunjungi blog ini semenjak artikel tersebut disiarkan pada 24 Jun 2010 hingga hari ini namun tidaklah semua pengunjung memberi respon dengan turut memberikan undian mereka.
Peratus undian soalan pertama
Calon pertama (Melayu) : 27%
Calon kedua (bukan Melayu) : 72%
Peratus undian soalan kedua
Pengundi Melayu : 63%
Bukan Melayu : 36%
Peratus undian soalan ketiga
Pakatan Rakyat (PR) : 36%
Barisan Nasional (BN) : 36%
Berkecuali/atas pagar : 27%
Ralat sebanyak 1 % bagi setiap kategori soalan.
BC akan memberikan ulasannya kemudian nanti.
Khamis, 24 Jun 2010
BC: Anda sedia terima PM bukan Melayu?
Cuba pula soalan ini. Kalaulah anda harus membuat pilihan untuk memilih salah seorang dari dua calon ini untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Calon Pertama
Calon pertama seorang yang berbangsa Melayu yang telah anda ketahui dan terbukti sebagai seorang yang korup, mementingkan diri, keluarga dan kroni-kroninya, kuku besi dan hanya bertopeng kononnya melindungi hak istimewa orang Melayu padahal hanya melindungi kroni-kroninya.
Calon Kedua
Calon pilihan kedua pula seorang bukan di kalangan bangsa Melayu mungkin beliau seorang yang berbangsa samada India, Cina atau bangsa-bangsa lain yang ada di negara ini tetapi mempunyai rekod terbukti bersih, dijamin melindungi hak-hak bangsa Melayu dan bangsa-bangsa lain di Malaysia dan sentiasa menjunjungi Perlembagaan Negara ini.
Siapa yang anda pilih?
Bagaimana? Siapakah yang anda pilih? Beduk Canang (BC) percaya ia bukan satu masalah kepada seseorang yang bukan Melayu untuk menjawabnya namun jika anda seorang Melayu, adakah anda seorang Melayu yang terkedu untuk menjawab soalan ini?
Untuk itu, BC sediakan ‘pool’ di sebelah ini untuk anda menjawabnya samada anda memilih calon pertama (PM Melayu) atau calon kedua (PM bukan Melayu). Cuma yang perlu anda lakukan ialah fikirkan dan jawab mengikut pendirian anda. Anda juga perlu ingat senario yang saya tuliskan di atas tadi masih belum berlaku di negara ini cuma ‘kalau ia berlaku’ tetapi tidaklah mustahil.
BC juga sedar kemungkinan terdapat pembaca yang akan mengundi lebih dari sekali. Ia bergantung kepada kejujuran anda. Walau apa pun keputusan peratusannya nanti, mungkin ia tidaklah menggambarkan senario penerimaan sebenar keseluruhan masyarakat Malaysia. Apatah lagi ia cuma dari blog yang jumlah pembacanya tidaklah seramai mana. Apa pun BC mengucapkan terima kasih kepada pembaca yang sudi mengundi dan BC akan memberikan ulasan seterusnya kemudian nanti.
Jumaat, 18 Jun 2010
Kenyataan hipokrit Hishammuddin

Kenyataan tersebut juga bercanggah dari kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang menyebut kuasa untuk mengadakan pilihan raya adalah di tangan Perdana Menteri. Sejarah negara ini semenjak merdeka tidak pernah memberikan kuasa kepada rakyatnya untuk menentukan masa pilihan raya diadakan. Sebaliknya ia sering dijadikan senjata oleh PM dan partinya untuk memilih tarikh yang 'bersesuaian' dengan mereka.
Rabu, 16 Jun 2010
Kekuatan PR faktor kesejahteraan rakyat
Lantaran kes-kes ini, banyak pihak telah menyuarakan kekesalan dan bantahan akan tindakan segelintir anggota polis yang dikatakan tidak profesional ketika menjalankan tugas. Antara yang paling vokal mengkritik tentunya dari pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
Kritikan-kritkan keras pemimpin PR akhirnya telah mendapat reaksi dari beberapa pemimpin BN dan pegawai-pegawai tinggi PDRM. Menurut mereka, pemimpin-pemimping PR sengaja mengambil kesempatan dengan mempolitikkan isu ini untuk meraih publisiti dan kepentingan politik.
Hakikatnya, apa yang dikritik oleh pemimpin-pemimpin PR mengenai isu ini bukanlah isu politik tetapi ianya adalah isu kemanusiaan dan keselamatan masyarakat awam negara ini. Ia wajar diperdebatkan oleh sesiapa sahaja termasuklah dari kalangan ahli-ahli politik.
Ini termasuklah pemimpin-pemimpin PR, menjadi tanggungjawab mereka untuk menyuarakan keluh kesah rakyat dengan menggunakan kedudukan dan saluran mereka sebagai ahli politik untuk bercakap mengenainya. Apa yang penting, kritikan-kritikan mereka bukanlah kritikan yang membuta tuli tetapi bedasarkan fakta-fakta yang ada.
Apatah lagi di dalam sebuah negara seperti Malaysia yang ketelusan pemerintahnya amat diragui di dalam kebimbangan mereka melindungi isu-isu yang mampu menampakan kelemahan kerajaan Barisan Nasional (BN). Seperti menjadi kelaziman pihak kerajaan termasuklah media-media kawalannya untuk menyembunyikan isu-isu seperti ini atau yang berkaitan dengan pemimpin-pemimpin mereka. Bahkan dalam usaha untuk menyembunyikan kelemahan mereka, badan-badan seperti PDRM, SPRM, SPR dan banyak lagi malahan lebih menyedihkan apabila mahkamah turut diperalatkan.
Lantaran itu, jalan paling berkesan untuk mendedahkan kebobrokan mereka hanyalah melalui tekanan politik terhadap Kerajaan BN. Keraguan masyarakat negara ini untuk menggunakan saluran rasmi mahupun tindakan undang-undang untuk mengemukakan bantahan juga telah menyebabkan tindakan mengadakan demontrasi menjadi relevan.
Beberapa isu sebelum ini telah membuktikan bahawa pededahan-pendedahan oleh pemimpin-pemimpin PR kepada umum dan tekanan melalui demontrasi telah beberapa kali berjaya membuahkan hasil menundukan keangkuhan Kerajaan BN. Gerakan demontrasi untuk membantah PPSMI dan Gerakan Mansuh ISA (GMI) contohnya telah berjaya menundukan keegoan BN. Walaupun hanya separuh daripada matlamat yang ditetapkan berjaya dicapai tetapi harus diingat untuk melenturkan keegoan BN bukan satu perkara mudah. Jesteru itu kejayaan tersebut boleh dianggap memuaskan daripada tiada apa-apa pencapaian langsung.
Antara contoh-contoh yang jelas ialah skandal PKFZ yang terlebih dahulu didedahkan oleh pemimpin PR samada melalui media-media kiri mahupun di Parlimen. Sikap BN yang cuba menyembunyikan skandal ini begitu terserlah apabila media-media kawalan BN tidak melaporkan isu ini pada awalnya. Sedangkan isu yang sama juga telah lama dipaparkan oleh media-media kiri kepada umum. Siasatan oleh SPRM hanya bermula apabila rahsia skandal yang memakan berbilion ringgit ini tidak dapat dibendung lagi.
Begitu juga dengan isu tuntutan hutang tertunggak oleh 363 peneroka Felda Sungai Buaya yang telah berlanjutan selama 16 tahun. Walaupun Kerajaan BN telah beberapa kali menabur janji untuk menyelesaikan masalah ini pada setiap kali pilihan raya menjelang, namun ianya hanya janji-janji kosong.
Namun, apabila PR mengenakan tekanan terhadap kerajaan BN dengan mendesak agar masalah ini diselesaikan segera pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor baru-baru ini, tiba-tiba sahaja PM Najib Razak menjadi amat pemurah dengan mengumumkan pembayaran tunggakan ini. Itupun tiada jaminan peneroka-peneroka ini akan mendapat bayaran penuh seperti mana yang tertera di dalam kontrak. Umum percaya seandainya PR adalah sebuah pakatan pembangkang yang lemah, khususnya di Parlimen Hulu Selangor, tentunya kemelut yang dihadapi oleh peneroka-peneroka tersebut masih lagi berpanjangan.
Peranan yang sama turut dimainkan oleh pemimpin-pemimpin PR ini untuk mendapatkan keadilan untuk mendiang S. Kugan, Teoh Beng Hock dan Allahyarham Aminul Rashid serta keluarga mereka. Jika pemimpin PR hanya berdiam diri, kebarangkaliannya amat tinggi Kerajaan BN akan memencilkan kes-kes ini seperti mana kes-kes sebelumnya yang tidak mendapat keadilan yang sewajarnya. Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama berlakunya kes kecuaian anggota penguat kuasa hingga menyebabkan kecedaraan mahupun kematian orang awam.
Situasi ini amat berbeza ketika era parti-parti pembangkang dilihat lemah. Begitu banyak kes-kes atau isu yang dipinggirkan. Ada juga beberapa kes yang dilaporkan tetapi diputar belitkan oleh media kawalan BN dengan samada menyeleweng dari fakta-fakta sebenar kejadian mahupun menyembunyikan beberapa fakta penting.
Antaranya isu Operasi Lalang, pemenjaraan Lim Guan Eng, pemecatan Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara, Pemecatan Mufti Ishak Baharum, tragedi Memali yang akhirnya Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Musa Hitam dan PM Mahathir ketika itu saling tunding menunding antara satu sama lain dan banyak lagi. Kebanyakan isu yang dilaporkan ini, tidak memberikan gambaran sebenar kejadian demi melindungi imej Umno dan BN.
Sabtu, 12 Jun 2010
Akhirnya, Beduk Canang menujum senario politik selepas PRU-13 (Bhg 8)
10 tahun politik Malaysia: Era reformasi 1998-Tsunami politik 2008 (bhg akhir)
Walau apa pun yang sedang diusahakan baik oleh BN mahupun Pakatan Rakyat sekarang dalam menghadapi PRU-13 nanti, keputusannya nanti pasti sengit. Tentunya BN tidak akan menemui jalan mudah serta kemenangan selesa dan begitu juga dengan Pakatan Rakyat.
Siapa pun bakal memerintah negara ini selepas PRU-13 nanti, bukanlah kemenangan dengan majoriti dua pertiga dan pastinya terpaksa menghadapi blok pembangkang yang kuat. Malah lebih kuat dari blok pembangkang yang ada sekarang. Pada masa itu, sekali lagi kita akan menyaksikan aksi lompat melompat. Bukan sahaja secara individu malah melompat dengan parti-partinya sekali.
Apa akan jadi jika PR berjaya membentuk kerajaan?
Cabaran utama bagi PR apabila berjaya membentuk kerajaan ialah untuk meneutralkan semula pentadbiran kerajaan daripada berkiblatkan parti politik. Walaupun BN tidak lagi berkuasa masa itu, BN masih meninggalkan pengaruh yang kuat di dalam pentadbiran kerajaan khususnya di kalangan penjawat pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan ke atas.
Lazimnya mereka yang ada sekarang bukan sahaja berkhidmat kepada kerajaan tetapi juga berkhidmat untuk parti BN. Pendirian mereka yang tidak neutral ketika berkhidmat kepada kerajaan di dalam organisasi pentadbiran kerajaan akan menyukarkan urusan pentadbiran. Bahkan mereka ini juga mampu bertindak sebagai pengintip untuk BN dan perosak kepada dasar-dasar baru yang cuba diperkenalkan. Oleh kerana mereka ini terdiri daripada kakitangan awam mereka tidak boleh dipecat dengan sewenang-wenangnya.
Parti politik melompat
Aksi melompat dengan parti-partinya sekali adalah lebih tinggi kemungkinan untuk berlaku seandainya PR berjaya memenangi PRU-13 nanti. Parti-parti yang dilihat tidak mustahil untuk melompat sedemikian datangnya dari seluruh Malaysia samada yang berpusat di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak. Tindakan mereka ini didorong demi survive kaum yang diwakili parti itu dan survive parti itu sendiri serta adanya persamaan idealogi antara parti yang melompat dengan parti naungan PR yang memerintah.
MCA dan Gerakan bakal melompat?
Antara parti-parti yang berpusat di Semenanjung yang tidak mustahil untuk membeloti BN ialah MCA dan lebih-lebih lagi Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Kedua-dua parti ini dilihat lebih berpandangan terbuka demi masa depan mereka berbanding Umno. Walaupun MCA sama seperti Umno sebuah parti berdasarkan kaum, namun demi survival kaum Cina yang diwakilinya menjadikan ia tidak mustahil.
Manakala bagi Parti Gerakan pula, ia bukanlah sebuah parti berasaskan sesuatu kaum walaupun kebanyakan jawatan pentingnya dimonopoli oleh orang-orang Cina. Parti Gerakan juga mempunyai beberapa ciri-ciri persamaan dengan PKR dan DAP terutamanya. Malah, pada masa ini juga telah wujud suara-suara pemimpin yang lebih liberal dari dalam Parti Gerakan sendiri yang mahukan kedudukan parti mereka dalam BN dikaji semula.
MIC hilang pengaruh masyarakat India di bawah BN
Walaupun MIC tidak disebutkan, ia juga tidak mustahil boleh berlaku walaupun kebarangkaliannya agak kecil. Lebih-lebih lagi seandainya Samy Vellu berjaya disingkirkan melalui Gerakan Anti Samy (GAS) yang sedang giat digerakkan sekarang ini. Seandainya parti ini tidak melompat ke PR, dengan kedudukan mereka di luar kerajaan maka ia dilihat tidak mampu membela nasib masyarakat India di negara ini dan parti ini akan terus hanyut daripada sokongan masyarakat India sendiri.
Jika BN berjaya pertahankan kuasa
Berbeza pula dengan senario jika PR menang dalam PRU-13 tadi, sebaliknya jika BN masih berjaya mengekalkan kerajaan yang sedia ada sekarang, berlakunya sesebuah parti dalam PR melompat ke dalam BN adalah amat tipis sekali. Kemungkinan ia memang tidak akan berlaku. Cuma mungkin hanya beberapa Ahli Parlimen PR yang berjaya dipancing melompat secara individu seperti yang berlaku sekarang. Pendek kata, jika BN berjaya memepertahkan kerajaan yang ada sekarang, lanskap politik Malaysia tidak banyak berubah dari yang ada sekarang.
Parti mana sekali pun yang bakal memerintah nanti pastinya tidak memperolehi majoriti dua pertiga di Parlimen. Tidak dapat lama meraikan kemenangan dan tidak mampu duduk senang seperti mana Abdullah Badawi ketika meraikan kemenangan PRU-11 tahun 2004 lalu.
Jumaat, 11 Jun 2010
10 tahun politik Malaysia: Era reformasi 1998-Tsunami politik 2008 (bhg 7)
Malaysia di tangan Najib
Malaysia di tangan Najib Razak seolah-olah membawa Malaysia berundur semula ke belakang atau lebih tepat lagi diundurkan kembali ke zaman negara berperdana menterikan Mahathir Mohammad. Beberapa tindakan beliau juga dikatakan telah mendapat nasihat dari Mahathir.
Malah beberapa tindakan mereka juga dilihat sama, antaranya membebaskan beberapa tahanan ISA ketika baru menjawat kerusi nombor satu kerajaan, mengukuhkan cengkaman terhadap media termasuk menyekat media-media pembangkang atau yang mengkritik kerajaan, mengukuhkan cengkaman terhadap badan-badan yang sepatutnya bebas dari kuasa eksekutif seperti SPRM, SPR, PDRM malah institusi kehakiman turut tidak terlepas, tiada kesungguhan untuk mengekang amalan rasuah dalam kerajaannya, melancarkan serangan kotor secara besar-besaran terhadap musuh politik khasnya Anwar Ibrahim dengan tujuan membunuh karier politiknya dan beberapa perkara lain.
Setakat ini senjata Najib yang paling berkesan untuk mengembalikan sokongan rakyat terhadapnya ialah idea gagasan 1 Malaysia. Walaupun sesetengahnya menganggap slogan tersebut tidak lebih dari retorik politik tetapi ia tetap mampu memberi kesan positif kepada kerajaan yang memerintah sekarang. Namun senjata ini juga kalau disalah gunakan mampu memakan diri sendiri. Terbaru, tembelang yang telah pecah - isu APCO dan 1 Israel contohnya, mampu memberi kesan negatif kepada gagasan 1 Malaysia Najib.
Selain itu, penonjolan yang berlebihan isteri beliau Rosmah Mansor juga boleh memburukan keadaan seperti mana penonjolan Khairy Jamaluddin ketika Abdullah Badawi masih lagi PM. Sikap Rosmah semakin ketara menunjukan kecanduannya terhadap publisiti dan dilihat mampu menundukan Najib sendiri.
Ini dapat dilihat apabila dana kerajaan digunakan sewenang-wenangnya untuk pembiyaan iklan satu muka penuh di akhbar The New York Times dengan harga RM1.5 juta bagi memberi publisiti terhadap lawatan isterinya itu ketika mengikuti rombongan lawatan PM ke Amerika Syarikat baru-baru ini.
Sesetengah pendapat mengatakan Najib juga gagal untuk mengawal Rosmah dari melebihi had batas-batas yang sepatutnya seperti menggunakan gelaran wanita nombor satu negara yang jelas menurut Perlembagaan Negara adalah gelaran kepada DYMM Raja Permaisuri Agong. Rosmah juga kerap melakukan sesuatu dengan membelakangkan menteri-menteri yang bertanggungjawab di dalam sesuatu urusan kerajaan. Antaranya ialah Senator Sharizat Jalil bagi Menteri yang bertanggungjawab terhadap Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.
Apa pun Najib kini dilihat sedang berusaha keras untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap BN dalam menghadapi PRU akan datang melalui pelbagai program-program yang dirangkakan oleh penasihat kerajaan, APCO. Walaupun parti-parti pembangkang yang bersatu di bawah PR kini dianggap di antara pembangkang terkuat pernah wujud di Malaysia, Najib dan BN masih mempunyai kelebihan.
Kelebihan utama yang ada padanya ialah kuasa yang ada di tangan ketika ini. Dengan kuasa yang ada, menjadikan mudah untuk beliau memperkudakan jentera kerajaan dan badan-badan yang sepatutnya bebas seperti kehakiman, PDRM, SPRM, SPR dan lain-lain bagi keuntungan beliau dan BN.
Selain itu, BN juga mempunyai kelebihan dari segi dana, baik dana parti sendiri mahupun dana milik kerajaan. Walaupun menggunakan dana kerajaan untuk kepentingan parti adalah tindakan tidak bermoral dan salah tetapi itu bukanlah menjadi perhitungan utama beliau.
BN juga menguasai sepenuhnya media-media perdana. Bagi pengamal media dalam arus perdana yang cuba memberi laporan di kaca tv secara neutral pasti mendapat padahnya seperti yang dialami oleh Penerbit Kanan stesyen TV NTV7, Joshua Ng Ngee Choong dan Penerbit TV2, Chou Z Lam.
Samada Najib menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula BN atau bebanan kepada tumbangnya kerajaan BN setelah lebih 52 tahun memerintah negara, cuma akan dapat diketahui PRU-13 yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2013 nanti.
Akhirnya, Beduk Canang menujum senario politik selepas PRU-13

