Khamis, 21 Julai 2011

Kisah demonstrasi dua kota


Bahagian Akhir
Pada suatu masa lain, di kota sebuah negara lain dianggap bertuah apabila mempunyai sebuah kerajaan yang menganggap diri mereka sebagai kerajaan yang mengamalkan sikap terbuka dalam memberi ruang untuk rakyatnya bersuara.

Pada hari minggu itu, sama seperti hari-hari minggu yang biasa, keadaan sepanjang jalan utama bazar membeli-belah yang cukup terkenal di tengah ibu kota itu tampak sesak dengan kenderaan penghuni kota yang menghabiskan cuti hujung minggu mereka.

Kelihatan di deretan kedai yang menjual beraneka barangan di kiri dan kanan jalan itu juga tidak putus-putus dimasuki warga-warga kota itu tanpa sebarang perasaan bimbang.

Di ketika yang sama berita di tv tempatan masih lagi menayangkan adegan sama yang disunting dari sebuah tragedi yang juga berlaku di bazar itu pada hujung minggu lalu.

Ianya satu klip menyentuh hati penonton yang memaparkan seorang wanita pertengahan umur yang sedang cemas memimpin dua anak kecil sedang berlari menyelamatkan diri daripada satu keadaan huru-hara yang berlaku di situ.

Tidak cukup adengan tersebut ditayangkan saban malam, malahan adegan itu akan muncul setiap jam, berselang seli dengan slot iklan dan rancangan tv lain.

Seminggu lalu, suatu petang juga di hujung minggu, juga di tempat yang sama, senario di sepanjang jalan di bazar membeli belah itu kelihatan cukup berbeza dari biasa.

Walaupun keadaan trafik mengalami kesesakan teruk dan suasana di bazar itu dipenuhi dengan orang ramai namun jelas terpancar keresahan di raut wajah peniaga-peniaga di bazar itu.

Pada hari itu orang ramai yang kebanyakan berpakaian sedondon yang berada di bazar itu kelihatan tidak berminat untuk mengunjungi kedai-kedai di situ.

Sebaliknya kumpulan berbaju sedondon yang dianggotai oleh lelaki dan wanita dari pelbagai lapisan dan bangsa dari kalangan masyarakat kota itu adalah peserta-peserta demonstrasi aman yang akan diadakan di situ.

Sementara itu, warga kota yang lain pula akan berfikir berkali-kali untuk membawa keluarga mereka keluar bersiar-siar di petang minggu apatah lagi mengunjungi kawasan bazar membeli belah di situ.

Manipulasi psikologi masyarakat


Kesan daripada kenyataan dan amaran oleh beberapa pemimpin politik dan pihak polis negara itu yang memberitahu akan berlaku kekacauan di kawasan itu benar-benar memberi kesan psikologi kepada kebanyakan warga kota itu.

Rasa cemas dan gentar akibat dari kesan psikologi tersebut bukanlah timbul di sebabkan perasaan paranoid terhadap penunjuk- penunjuk perasaan yang memenuhi jalan raya itu.

Sebelum ini, belum ada di mana-mana kota, kejadian peserta demonstrasi menyerang orang-orang awam lain yang berada di sekitar kawasan mereka mengadakan demonstrasi itu.

Apatah lagi dengan sengaja menyerang anggota keselamatan yang lengkap bersenjata tentunya boleh dianggap sebagai tindakan bodoh, tolol lagi sia-sia.

Apa yang menakutkan orang ramai, ialah apabila sebaiknya tiba saat bermula dentuman pertama dan diikuti dentuman-dentuman seterusnya bunyi tembakan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh anggota polis anti rusuhan.

Ianya adalah petanda polis mulai bertindak bagi menyekat dan menyuraikan penunjuk-penunjuk perasaan di kota itu dengan apa cara sekalipun.

Di sebalik gegak-gempita tembakan itu, tidak semena-mena mata mula terasa pedih, kemerahan, mula berair dan kulit di muka pula terasa sebal, bertukar kemerahan dan pijar.

Kumpulan besar pendemonstrasi jalanan yang pada awalnya bergerak dengan teratur dan terkawal sambil disaksikan oleh orang ramai yang berada di situ mulai tampak kelam-kabut.

Pada masa itu juga, sesetengah dari mereka mula lari bertempiaran meninggalkan kumpulan mereka, orang ramai yang berada di situ juga turut lari menyelamatkan diri dan keadaan di bazar itu mulai huru-hara.

Lebih meremangkan bulu roma apabila mula kedengaran berderap-derap bunyi belantan di palu serentak pada perisai oleh anggota- anggota polis anti rusuhan sambil melangkah mara menuju ke arah kumpulan pendemo-pendemo.

Ketika yang sama, tidak berapa jauh dari kumpulan demonstrasi itu, lensa kamera sempat juga merakamkan adegan seorang wanita pertengahan umur yang sedang menyelamatkan dirinya dan dua anak kecil yang dipimpinnya itu.

Pada masa itu, pelbagai perkara buruk boleh berlaku dan risiko tertangkap boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira samada peserta demonstrasi itu atau sebaliknya.

Bertambah malang lagi sekiranya terkena penangan libasan belantan polis anti rusuhan yang mampu mengakibatkan kecederaan serius kepada sesiapa sahaja yang terkena.

Adegan kejar mengejar dan beberapa tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis negara itu juga telah menambahkan lagi ketegangan di kawasan bazar itu.

Sekatan jalan raya


Tindakan polis mengadakan begitu banyak sekatan jalan raya berhari-hari lamanya sebelum demonstrasi jalanan itu diadakan di jalan- jalan utama di kota dan pinggir kota itu turut mengundang persoalan bagi sesetengah anggota masyarakat kota itu.

Bagi warga kota yang lebih berfikiran terbuka berpendapat tindakan tersebut sengaja diadakan bertujuan supaya kesesakan lalu lintas yang dahsyat berlaku di kota itu sekaligus mengundang perasaan tidak selesa di kalangan masyarakatnya.

Selain itu mereka juga percaya keadaan tersebut akan menampakkan suasana yang tegang, gelisah dan cemas masyarakat dan akhirnya seolah-olah membuktikan bahawa tindakan mengadakan demonstrasi telah memberi kesan buruk kepada kehidupan masyarakat kota tersebut dan ekonomi negara itu.

Akhirnya, daripada kegelisahan masyarakat itu sedikit sebanyak dapat memutikkan perasaan benci masyarakat terhadap pihak yang mengadakan demonstrasi jalanan itu dan ianya satu helah yang licik!

Penyelinap di kalangan pendemo


Selain itu, kewujudan ‘penyelinap-penyelinap’ di celah-celah ribuan peserta demonstrasi jalanan itu sedikit sebanyak juga merosakkan imej kumpulan demonstrasi jalanan itu.

‘Penyelinap-penyelinap’ ini lazimnya akan bertindak lebih agresif berbanding peserta demonstrasi lain dan ada kalanya sengaja membakar semangat dan mendorong pendemonstrasi muda lain bertindak di luar batasan.

Akhirnya demonstrasi yang pada mulanya berjalan secara aman dan kelihatan lancar itu berakhir dengan huru-hara di kawasan bazar membeli belah itu.

Bermula pada malam itu dan hari-hari berikutnya, stesyen-stesyen tv tempatan mula melaporkan kekacauan yang berlaku dalam kejadian demonstrasi jalanan yang berlaku bazar itu pada hujung lalu.

* Free Malaysia Today

Tiada ulasan:

Paparan Halaman