Rabu, 15 Jun 2011

Menghimpit politikus terdesak menjelang PRU-13

PETALING JAYA: Tatkala Presiden Umno yang juga Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Abd Razak mengarahkan partinya itu mula mengadakan simulasi pilihan raya untuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13), maka mengelupurlah politikus-politikus politik negara ini.


Bertambah meresahkan mereka, apabila spekulasi tarikh sebenar PRU 13 yang dikatakan akan diadakan tidak lama sahaja lagi iaitu pada Julai ini semakin bertiup kencang.

Tanpa mengira parti politik, bagi segelintir pemain-pemain politik yang sebelum ini yang cuma tenggelam timbul, mulai kelihatan semula di dalam ‘saf’ paling hadapan-cuba meraih perhatian ‘imam’ masing-masing.

Di kawasan-kawasan tertentu, jalan-jalan raya yang berlubang-lubang di sana-sini sebelumnya, juga telah ditampal cantik khususnya bagi kawasan yang Ahli Dewan Undangan Negerinya (Adun) mewakili ahli politik parti memerintah negeri terbabit.

Tidak percaya? cubalah tinjau-tinjau di beberapa daerah di negeri anda, tentu anda akan terserempak dengan projek menaikkan taraf atau menurap semula jalan-jalan raya sedang giat dijalankan mahupun yang telah selesai dijalankan di merata tempat.

Menurut seorang pemerhati politik kedai kopi baru-baru ini, kerja menurap semula jalan ini merupakan kerja ‘kosmetik’ yang paling menonjol sekali bagi memikat hati pengundi kawasan terbabit.

Bila-bila difikir-fikir, cakap beliau itu memang ada logiknya walaupun beliau hanyalah seorang pekerja rencam dan dianggap sebagai pemerhati politik sambilan di kedai-kedai kopi sahaja.

Katanya, kerja-kerja kosmetik begini adalah jalan termudah untuk mempamerkan ‘kerja keras’ Adun terbabit selama sepenggal berkhidmat kepada masyarakat kawasannya walaupun tugasan yang lain-lain  kebanyakkannya hanyalah tong kosong dan berharap akan dipilih semula.

Tidak kiralah spekulasi tarikh PRU 13 itu akan benar-benar menjadi kenyataan atau sebaliknya, satu perkara yang pasti-masyarakat di kawasan Dun-dun terbabit telah beroleh sedikit manfaat daripada politikus yang mulai terdesak itu.

Dalam beberapa keadaan, perkara yang sama juga berlaku apabila Barisan Nasional (BN) tertonggeng dalam PRU 12 pada  8 Mac 2008 lalu.

Menerima sedikit pengajaran dari peristiwa Mac 2008 itu, Kerajaan pusat yang diterajui BN dan kerajaan-kerajaan negeri mula memberi perhatian kepada masalah-masalah yang sekian lama menghantui sesetengah golongan masyarakat.

Bagaimanapun tidaklah semua keutamaan dapat difokuskan kepada masyarakat selagi kapitalis yang sentiasa mengangakan mulut minta disuapkan ini masih menjadi sahabat baik kepada parti-parti politik ini.

Lebih-lebih lagi memang tidak dapat dinafikan, kewujudan golongan ini merupakan antara penyumbang terbesar terhadap sikap tamak politikus dan gejala rasuah di dalam kerajaan.

Lantaran itu, hasil masyhul negara ini sentiasa dipaksa dibahagi-bahagikan antara kumpulan kapitalis yang mewakili tidak sampai sepuluh peratus populasi penduduk negara ini berbanding dengan masyarakat terbanyak.

Golongan kapitalis

Lebih menyedihkan lagi, golongan kapitalis yang kecil ini memperolehi bahagian terbesar berbanding 90 peratus rakyat negara ini yang ‘berterima kasih dan bersyukur’ tatkala menghirup ‘kuahnya’ sahaja dengan alasan ‘streo type’,'rakyat perlu berkorban untuk negara’.

Memang jelas, semua ini tidak lari dari berkisar kepada kemahuan ingin terus berkuasa dan mengawal sumber kekayaan bumi Malaysia ini jauh sekali mendahulukan rakyat.

Kesimpulan jelas yang ada, rakyat negara ini perlu memberikan tekanan yang berterusan kepada parti-parti pemerintah dan PRU 13 adalah kemuncaknya, tidak kiralah bila ia diadakan samada tahun ini mahupun tahun hadapan.

Sekurang-kurangnya, walaupun hampir mustahil untuk memisahkan dua sahabat lama politikus dan kapitalis ini, dengan memberikan tekanan berterusan terhadap politikus terdesak ini, sedikit sebanyak mampu memberi keuntungan tambahan kepada masyarakat terbanyak negara ini.

Masyarakat negara ini harus memberikan kefahaman kepada YB-YB yang menerima gajinya setiap bulan bahawa memberi khidmat kepada masyarakat kawasannya bukanlah sekadar menurap jalan raya lima tahun sekali.

Paparan Halaman