Memaparkan catatan dengan label PRU-13. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRU-13. Papar semua catatan

Khamis, 2 Ogos 2012

Parlimen Bubar Bulan Syawal, Buang Undi September?

Pelbagai ramalan timbul mengenai tarikh sebenar pembubaran parlimen. Dari hujung tahun lepas, awal tahun ini dan pelbagai spekulasi lagi.

Termasuklah penulis sendiri turut terjebak dalam cubaan meramalkan tarikh pilihan raya ini turut meleset dan bulan demi bulan berlalu, tetapi masih tiada tanda parlimen dibubarkan.

Semenjak itu, penulis enggan meramalkan sebarang tarikh sebaliknya lebih berminat menumpukan kepada isu-isu tertentu berkaitan dengan pilihan raya. 

Semenjak akhir-akhir ini, semakin ramai yang meramalkan tarikh PRU-13 tidak akan diadakan pada tahun ini sebaliknya akan diadakan pada awal tahun hadapan.

Bagaimanapun, tiba-tiba muncul pula dari satu sumber hari ini, parlimen akan dibubarkan dalam bulan Syawal nanti dan hari pembuangan undi akan diadakan sebelum menjelang penerbangan pertama haji.

Sumber dalaman dari sebuah kerajaan negeri itu juga menyatakan kemungkinan besar pembubaran dibuat setelah beberapa hari umat Islam merayakan Hari Raya Puasa yang dijangkakan jatuh pada 19 Ogos  akan datang.

Menurut sumber terbabit, perkara tersebut dinyatakan dalam sebuah mesyuarat yang melibatkan pentadbiran kerajaan.  


Sekiranya pembubaran parlimen dibuat pada minggu pertama raya, maka SPR masih mempunyai tempoh lebih sebulan untuk mengadakan pilihan raya sebelum bermulanya keberangkatan penerbangan pertama musim haji tahun ini

Penerbangan pertama haji ke Mekah tahun ini pula bermula pada 29 September sekaligus memberi tempoh yang mencukupi untuk persediaan SPR mengadakan pilihan raya sebelum tibanya musim haji.

Rekod pilihan raya terdahulu pernah mencatatkan tempoh terpendek hari pembubaran sehingga hari pembuangan undi hanya selama 15 hari sahaja.

Menurut sumber itu lagi, sekurang-kurang sebuah kerajaan negeri dipercayai tidak akan menyertai pilihan raya tersebut untuk mengadakan Pilihan Raya Dewan Negeri secara berasingan.

beduk canang

Sabtu, 17 Disember 2011

Perbandingan prestasi BN era Abdullah dan era Najib (bhg 1)

Adakah senario tsunami politik yang tercetus dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 pada 2008 lalu akan sekali lagi melanda politik tanah air dalam PRU-13 yang dijangka akan diadakan tahun hadapan?

Mungkinkah kali ini 'swing' pengundi akan kembali kepada Barisan Nasional (BN), menghayun pembangkang yang pertama kali berjaya menafikan kelebihan majoriti dua pertiga BN di parlimen serta menawan empat buah negeri lain selain mempertahankan Kelantan dalam PRU-12 lalu?

Musim memancing selepas pilihan raya

Cuba bayangkan, bagaimana keadaannya sekiranya keputusan Pilihan Raya ke-13 nanti menunjukkan kemenangan tipis bagi parti  pemenang.   

Saya membayangkan sekiranya berlaku senario seperti di atas sudah tentu pada masa itu akan berlaku musim memancing termahal dalam sejarah, bukanlah ikan yang dipancing tetapi orang!

Rabu, 14 Disember 2011

Musang bulu ayam tawar diri jadi calon PKR

Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika merempuh Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 lalu terpaksa berhadapan masalah mencari calon yang sesuai untuk kawasan yang mereka tandinginya.

Pemimpin-pemimpin pelbagai peringkat ketika itu lebih banyak yang menolak dari yang menerima tawaran untuk dijadikan calon pilihan raya tahun itu.

Najib desak Taib undur?

Meskipun telah berjanji untuk meletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak selepas Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sarawak lalu,  sehingga kini Tan Sri Abdul Taib Mahmud masih enggan berbuat demikian.

Keadaan ini telah membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kurang senang dengan tindak-tanduk beliau itu.

Selasa, 13 Disember 2011

PR menang: Akan hadapi pembangkang 'berkuasa'

Sekiranya Barisan Nasional (BN) memang betul-betul jadi pembangkang lepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti, saya kira mereka akan jadi pasukan pembangkang yang lebih kuat dari pembangkang yang ada sekarang.

Ketika itu, BN masih lagi mengawal kebanyakkan media arus perdana kecuali media yang berada di bawah penguasaan kerajaan seperti RTM contohnya.


Kerajaan pakatan wajar bubar Dun berasingan dengan pusat

Sama dengan Perdana Menteri (PM) terdahulu, PM Datuk Seri Najib Razak juga menetapkan tarikh pembubaran Parlimen berdasarkan keputusan startegik yang menguntungkan Barisan Nasional.

Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mengumumkan tidak akan ikut membubarkan Dun Selangor serentak dengan pembubaran parlimen dibuat sebelum Julai adalah tindakan yang betul.

Isnin, 12 Disember 2011

Rosmah Mansor menafikan beli Birkin ribuan ringgit

Datin Seri Paduka Rosmah Mansor hari ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa beliau gemar berbelanja boros termasuk membeli beg tangan mewah berjenama Birkin yang berharga dari RM28,000 (US$ 9,000) hingga RM472,000 (US$150,000) bagi setiap satu.

Beliau yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang selepas menghadiri upacara keberangkatan pulang Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Baginda Permaisuri ke Terengganu hari ini, berkata dakwaan tersebut sengaja direka oleh pihak tertentu bagi tujuan memburukan imej beliau.

Ahad, 11 Disember 2011

Pakatan yakin di Negeri Sembilan, Kamarul disebut bakal calon MB

December 12, 2011
KUALA LUMPUR, 12 Dis ― Pakatan Rakyat (PR) mempertingkatkan usaha untuk menawan Negeri Sembilan daripada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13, sementara pemimpinnya telah mengenal pasti Ahli Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas sebagai bakal calon jawatan menteri besar.

The Malaysian Insider difahamkan, wakil rakyat PKR itu telah disenarai sebagai antara calon berpotensi untuk mengetuai jawatan tertinggi negeri jika PR dapat mengatasi kerajaan negeri BN.

Khamis, 8 Disember 2011

Ummi Hafilda mungkin bertanding PRU-13

Ummi Hafilda Ali ketika ditemuramah dalam Program Kerusi Panas terbitan Radio24 semalam memberitahu bahawa ada kemungkinan beliau akan dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Kenyataan beliau itu menyebabkan saya terfikir adakah kepimpinan tertinggi Umno yang ada sekarang telah menyedari bahawa Ummi Hafilda memiliki kriteria calon boleh menang seperti mana yang disyaratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.


Menduga lubuk Najib di Pekan

Oleh Nazli Ibrahim

Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal diadakan tidak berapa lama sahaja lagi dijangka menjadi pilihan raya paling sengit dan tidak mustahil bertukar menjadi medan pertempuran paling kotor dalam sejarah.

Dalam pilihan raya kali ini, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja perlu membuktikan dirinya diterima sebagai PM apabila buat pertama kali beliau menerajui BN menghadapi PRU.

Selasa, 6 Disember 2011

TG Nik Aziz tanding di Pekan sebelum bersara (kemaskini)

Antara topik yang paling hangat diperkatakan oleh penyokong-penyokong Pakatan Rakyat khususnya bagi ahli-ahli Pas dan rakyat negeri Kelantan khasnya, wajarkah Menteri Besar negeri itu, Dato' Nik Aziz Nik Mat terus bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang akan datang.

Meskipun, beliau telah pun mengesahkan bahawa beliau akan mempertahankan kerusi Dun Chempaka dan kemungkinan besar turut mengekalkan kedudukan beliau sebagai MB Kelantan yang disandangnya semenjak 1990 lagi, masih terdapat suara yang meraguinya.

Rabu, 30 November 2011

Umno bangsatkan DAP beri kesan undi Cina

Tindakan pemimpin-pemimpin Umno termasuk Timbalan Presiden Umno (TiPU) mengkritik parti DAP dengan penuh emosional dan secara berlebihan dijangka memberi kesan buruk sokongan pengundi Cina terhadap BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangkakan akan diadakan seawal tahun hadapan.

Kritikan yang lebih merupakan sumpah seranah terhadap parti dan pemimpin DAP itu bukan sahaja menyebabkan pengundi Cina yang memberikan undi mereka kepada pembangkang sebelum ini semakin menjauhkan diri, malah turut menyebabkan pengundi atas pagar kaum itu  memilih untuk tidak memberikan undi mereka kepada BN.

Ahad, 27 November 2011

Bubar parlimen: 15 Januari, PRU-13: Febuari 2012

KL Today hari ini melaporkan ramalan terbaru tarikah parlimen dibubarkan sekaligus membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan pada 15 Januari tahun hadapan.

Laporan tersebut merujuk kepada analisis terbaru yang dikemukakan oleh akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily baru-baru ini berdasarkan beberapa 'penemuan' akhbar itu.
Antara alasan yang menyokong ramalan akhbar itu ialah PM, Najib Razak tidak akan mengadakan sebarang lawatan ke luar negera sepanjang bulan Januari nanti.

Malahan, Najib juga dikatakan tidak akan hadir dalam Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland yang juga dijadualkan berlangsung pada bulan yang sama.

Selain itu, Oriental Daily juga memaklumkan mereka telah mendapat maklumat bahawa pada bulan yang sama cuti kesemua pegawai dan anggota polis dibekukan.

Bagaimanapun, alasan tarikh 15 haribulan dipilih sebagai tarikh pembubaran parlimen tidak pula dinyatakan sebabnya..

Sekiranya tarikh yang diramalkan Oriental Daily itu tepat kemungkinan besar, PRU-13 akan diadakan pada awal Febuari.  

Sebelum ini, akhbar harian Bahasa Melayu, Sinar Harian meramalkan tarikh PRU-13 akan diadakan pada 11 Mac 2012.

Khamis, 10 November 2011

Korbankan lembu atau dikorbankan lembu?

Hari ini, Jumaat, 11.11.11, adalah tarikh yang dinanti-nantikan oleh banyak pihak dengan penuh debaran dengan bermacam-macam alasan.

Mungkin ada yang memilih tarikh ini untuk melangsungkan perkahwinan, pertunangan dan bermacam lagi mengambil sempena angka-angka tarikh hari ini yang dianggap unik.

Dalam arena politik tanah air juga tidak ketinggalan apabila perhatian mula terarah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak samada beliau akan membubarkan parlimen pada hari ini atau sebaliknya.

Saya sendiri yang menjangkakan pembubaran hanya akan dibuat pada tahun hadapan pun tidak dapat menahan diri dari mencari-cari sumber terkini mengenai pembubaran parlimen kalau ada.

Walhal kita mengetahui bahawa parlimen masih lagi belum selesai bersidang dan Bajet 2012 juga masih belum diluluskan sekaligus tiada memungkinkan pembubaran parlimen dibuat.

Bagaimanapun, ketika perhatian mula menjurus kepada PM Najib, tanpa disangka-sangka ada pula kumpulan lain yang popularitinya mendadak naik secara tiba-tiba semenjak kebelakangan ini.

Bahkan populariti yang diraih oleh kumpulan terbabit hari ini dipercayai lebih tinggi berbanding PM sendiri, mahupun isterinya atau pun Menteri Penerangan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Sebenarnya fenomena ini mula meletus semenjak beberapa hari sebelum umat Islam menyambut perayaan Aidil Adha baru-baru ini apabila kumpulan ini sering menjadi sebutan dikalangan penganut agama itu.

Projek feedlot atau projek idiot?

Selepas itu, populariti kumpulan ini terus mencanak naik apabila dikaitkan pula dengan apa yang didakwa sebagai skandal satu projek yang namanya saya sedikit keliru, entahkan projek feedlot, entahkan projek idiot.

Tambah beruntung lagi, disebalik populariti yang dikecapi mereka, kumpulan ini juga dikatakan diberikan tempat tinggal bernilai RM9.8juta berupa sebuah kondominium mewah di Bangsar yang mungkin sampai mati pun saya hanya mampu berangan-angan sahaja.

Lainlah kalau ada diantara pemilik kediaman mewah seperti itu yang buang tabiat mewasiatkan harta mereka itu kepada saya walaupun saya bukanlah darah daging mereka.

Atau pun sekurang-kurangnya ada yang sudi mengambil saya berkerja sebagai pembantu rumah dan tinggal bersama, setidak-tidaknya dapat juga merasa bagaimana rasanya tidur di kediaman orang-orang kaya.

Pihak lain berkorban untuk kumpulan terbabit

Namun, tahukah kita bahawa disebalik populariti dan keselesaan  yang dikecapi secara tiba-tiba oleh kumpulan ini ada pihak lain 'tidak berdosa' terpaksa menanggung beban dan akhirnya terkorban demi kumpulan itu.

Ya, setelah banyak di antara anggota kumpulan ini dikorbankan ketika Hari Raya Aidil Adha baru-baru ini, kini sampai masa kumpulan ini pula mengambil giliran untuk mengorbankan pihak lain pula.

Berita terakhir dari 'mangsa korban' kumpulan terbabit yang saya terima, masa depan 'mangsa korban' itu mulai goyah dan kelihatan semakin samar-samar.

Sudahlah lembah ragutnya yang dahulu dikuasai mereka telah jatuh ke tangan orang lain semenjak tiga tahun lalu, malah juga dikhabarkan peluang untuk mendapat tempat dan merebut kembali kuasa di lembah itu juga semakin tipis.

Menurut satu perkhabaran lain pula, telah ada laporan dibuat yang  menyebabkan projek yang saya masih keliru entahkan feedlot atau idiot itu dan juga kediaman RM9.8 juta disiasat oleh satu pihak yang saya masih tidak pasti tahap keberanian mereka untuk menyiasat.

Mungkin inilah takdir yang terpaksa ditanggung 'mangsa korban' kumpulan ini setelah tersalah sangka kumpulan yang lemah dan tidak berakal ini boleh dikorbankan demi mengejar kekayaan, tetapi akhirnya mereka dijadikan korban oleh kumpulan yang semakin glamour ini.

* Free Malaysia Today

Rabu, 9 November 2011

Pihak guna nama Anwar, Azmin dibidas

PETALING JAYA: Pihak yang menggunakan nama pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya dipilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dibidas.

Menurut seorang aktivis politik yang dianggap sebagai orang lama dalam PKR, kegiatan menggunakan nama pemimpin tertentu untuk mendapatkan kedudukan boleh memberi kesan ke atas prestasi parti itu dalam pilihan raya nanti.

"Mereka ni bila bercakap dengan ahli peringkat cabang, balik-balik kaitkan nama Datuk Seri Anwar, Azmin dan nama pemimpin lain di pusat sebab nak tunjukkan kononnya dia rapat dengan pemimpin tinggi peringkat pusat.

"Walhal, rata-rata ahli akar umbi tak kenal pun mereka sebab sebelum ni tak ada pun nak datang sini, tetapi bila dah dekat nak pilihan raya barulah nampak muka.

"Kami di peringkat cabang sebenarnya meluat tengok perangai orang macam ni," kata beliau kepada FMT.

"Kalau orang yang lima tahun sekali turun ke bawah ini dijadikan calon, saya percaya prestasi parti akan terjejas dalam pilihan raya nanti berbanding calon dari cabang itu sendiri yang dah masak dengan orang-orang di bawah.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ijam di kalangan aktivis politik Dun Behrang, Perak turut memberitahu perebutan kerusi calon bagi dun dan parlimen di kawasan itu turut melibatkan persaingan lebih dari tiga penjuru termasuk seorang wanita di peringkat cabang.

"Bukan seorang, dua tetapi lebih, termasuk seorang ahli wanita yang semakin bergiat kempen supaya dicalonkan untuk kerusi parlimen.

"Ada seorang tu pulak, bekas editor sebuah akhbar, datang sini siap dengan makwe dia.

"Bila bercakap, nama Anwar, Azmin memang tak lekang dari bibir sebab nak tunjuk kononnya dia ada pengaruh dengan orang-orang di pusat.

Tiada keyakinan diri

Beliau turut menganggap individu-individu yang menggunakan nama-nama pemimpin peringkat pusat sebagai tiada mempunyai keyakinan diri.

"Biasanya orang macam ini tidak ada keyakinan diri atau biasanya orang anggap dia tiada apa-apa pun.

"Berpengaruh dengan orang bawahan, jauhlah sekali sebab itulah  sampai terpaksa berpaut kepada pengaruh orang-orang tertentu yang ada nama untuk dia bergayut.

"Itu pun kalau betul dia ada pengaruh di peringkat pusat, belum tentu lagi dia berpengaruh di peringkat akar umbi di sini.

"Sebab yang akan bertungkus lumus bekerja dalam  jentera pilihan raya nanti bukannya pemimpin di atas tu, tetapi kami ahli-ahli akar umbi inilah yang akan berkerja keras.

"Yang akan membuang undi pun juga masyarakat akar umbi inilah nanti, bukannya dua tiga kerat pemimpin di atas tu," ujar beliau lagi.

Kesal dengan kenyataan AMK Terengganu

Ijam turut melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu yang menganggap Pas Terengganu belum bersedia untuk menggantikan Barisan Nasional di negeri itu.

"Saya nak tanya AMK Terengganu, masa Pakatan menang di Selangor, adakah PKR sudah cukup bersedia nak mentadbir Selangor?

"Tapi Alhamdullilah, walaupun tak bersedia masa tu, tetapi dengan adanya permuafakatan rakan-rakan dari Pas dan DAP, PR Selangor dapat juga mentadbir, walaupun ada beberapa kelemahan yang boleh dibaiki.

"Adakah AMK Terengganu fikir, PKR dapat menerajui kerajaan Selangor kalau tidak dibantu dengan kerusi-kerusi Dun yang dimenangi PAS?

"Jadi, bila bercakap tu, ingat-ingatlah dalam PR ni bukan ada PKR sahaja tetapi kita ada rakan-rakan dari parti lain juga samada Pas atau pun DAP, bila sampai masa mereka juga yang bekerja dengan kita nanti," ujar beliau lagi. 

Jumaat, 28 Oktober 2011

Bulan Bintang Dan Cakerawala dari Najib

Oleh Nazli Ibrahim

Ada yang berpendapat, Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini adalah bajet pilihan raya yang bermotifkan untuk memancing undi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti.


Tidak kurang juga bagi penyokong Pakatan Rakyat (PR) pula menganggapnya sebagai bajet cedok kerana mencedok dari Bajet Bayangan PR yang dibentangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelumnya.

Bagi pemimpin-pemimpin kerajaan pula, sudah semestinya dengan senang hati menamakan bajet ini sebagai bajet rakyat.

Tiada yang salahnya bagi mana-mana pihak yang beranggapan sedemikian apatah lagi memandangkan mereka mempunyai fakta tersendiri untuk mengaitkan bajet tersebut dengan apa yang mereka tafsirkan.

Walau apa pun tafsiran umum terhadap bajet ini, hakikatnya ianya adalah ‘bajet kuasa rakyat’ atas dasar percaya bajet ini dibentangkan atas dasar ketakutan pihak pemerintah kepada kuasa rakyat di negara ini.

Apapun yang menariknya, bajet kuasa rakyat yang julung-julung kali dibentangkan ini memberi faedah kepada banyak lapisan masyarakat dalam menghadapi beban peningkatan kos sara hidup yang kian meningkat, lebih-lebih lagi bagi golongan berpendapatan rendah.

Walaupun dalam pembentangan tersebut Najib menyatakan kerajaan tidak janjikan bulan, bintang dan cakerawala namun bajet pemurah itu sendiri merupakan sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana warganegara negara ini yang waras akalnya.

Apatah lagi datangnya dari kerajaan BN yang pernah menaikan harga petrol sehingga RM2.90 seliter, harga makanan asasi melambung tinggi, bercita-cita untuk menguatkuasakan GST (Cukai Barangan dan perkhidmatan), merasionalisasikan (baca: mansuhkan) subsidi dan lain-lain.

Sungguh! Semacam sukar hendak percaya Bajet 2012 atau bajet kuasa rakyat lalu datangnya dari kerajaan Barisan Nasional!

Tidak kiralah walaupun ada yang berpendapat bajet kali ini lebih dipengaruhi pertimbangan kepentingan politik berbanding pertimbangan ekonomi negara, ia tetap disambut baik oleh rakyat.

Masakan tidak dianggap sedemikian, tatkala ekonomi dunia dilihat semakin tidak menentu, negara lain termasuklah negara maju terus berhati-hati berbelanja bagi mengawal defisit.

Sebaliknya pula secara tiba-tiba kerajaan negara ini yang sedang menanggung beban hutang yang tinggi ini pula menghamburkan perbelanjaan yang besar dalam bajet kali ini.

Ironinya dengan ungkapan Najib, bagi golongan yang sebelum ini tidak pernah tersentuh dalam bajet-bajet tahun sebelumnya, menganggap bajet kali ini umpama bulan, bintang dan cakeralawala jatuh ke riba.

Kesan tsunami politik


Masyarakat negara ini harus sedar, inilah nikmatnya apabila kerajaan mula celik mata dan tidak lagi memandang rendah terhadap kuasa yang dimiliki rakyat terbanyak.

Kalaulah rakyat negara ini masih lagi berterusan memberikan sokongan membuta tuli kepada kerajaan seperti yang sudah-sudah, belum tentu lagi kita dapat menikmati bajet seumpama ini.

Kalaulah kerajaan hari ini berjaya meraih kemenangan dalam PRU-12 lalu secemerlang kemenangan besar dalam PRU 11 pada 2004 lalu, tidak usahkan bulan, bintang dan cakerawala, bahkan durian sekalipun takan gugur-gugur.

Juga kalaulah ketika ini BN masih menguasai dua pertiga kerusi di parlimen, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Kedah selain Kelantan tidak jatuh ke tangan PR dalam PRU-12 lalu tidak usahlah bermimpi untuk mendapat habuan dalam bajet ini.

Jelas, inilah bajet kuasa rakyat apabila mula wujud perasaan takut parti peneraju kerajaan hari ini dari dikucilkan dari tampuk kuasa oleh rakyat dalam pilihan raya nanti.

Ini semua gara-gara kesan kebangkitan kuasa rakyat yang tercetus dalam tsunami politik dalam PRU-12 lalu yang dianggap oleh kebanyakan pemimpin kerajaan umpama mimpi buruk.

Jesteru itu sebagai masyarakat yang mula celik dan makin bijak menilai, janganlah mudah dimanipulasikan dengan bulan, bintang dan cakerawala yang turunnya lima tahun sekali ini.

Pastikan ahli-ahli politik yang sebenarnya tidaklah sebijak mana ini tahu akan keampuhan kuasa rakyat dan sedar bahawa mereka hanyalah sekadar macai-macai kepada tuan di negara ini iaitu rakyatnya, tidak lebih dari itu. Hidup rakyat!

Free Malaysia Today

Rabu, 15 Jun 2011

Menghimpit politikus terdesak menjelang PRU-13

PETALING JAYA: Tatkala Presiden Umno yang juga Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Abd Razak mengarahkan partinya itu mula mengadakan simulasi pilihan raya untuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13), maka mengelupurlah politikus-politikus politik negara ini.


Bertambah meresahkan mereka, apabila spekulasi tarikh sebenar PRU 13 yang dikatakan akan diadakan tidak lama sahaja lagi iaitu pada Julai ini semakin bertiup kencang.

Tanpa mengira parti politik, bagi segelintir pemain-pemain politik yang sebelum ini yang cuma tenggelam timbul, mulai kelihatan semula di dalam ‘saf’ paling hadapan-cuba meraih perhatian ‘imam’ masing-masing.

Di kawasan-kawasan tertentu, jalan-jalan raya yang berlubang-lubang di sana-sini sebelumnya, juga telah ditampal cantik khususnya bagi kawasan yang Ahli Dewan Undangan Negerinya (Adun) mewakili ahli politik parti memerintah negeri terbabit.

Tidak percaya? cubalah tinjau-tinjau di beberapa daerah di negeri anda, tentu anda akan terserempak dengan projek menaikkan taraf atau menurap semula jalan-jalan raya sedang giat dijalankan mahupun yang telah selesai dijalankan di merata tempat.

Menurut seorang pemerhati politik kedai kopi baru-baru ini, kerja menurap semula jalan ini merupakan kerja ‘kosmetik’ yang paling menonjol sekali bagi memikat hati pengundi kawasan terbabit.

Bila-bila difikir-fikir, cakap beliau itu memang ada logiknya walaupun beliau hanyalah seorang pekerja rencam dan dianggap sebagai pemerhati politik sambilan di kedai-kedai kopi sahaja.

Katanya, kerja-kerja kosmetik begini adalah jalan termudah untuk mempamerkan ‘kerja keras’ Adun terbabit selama sepenggal berkhidmat kepada masyarakat kawasannya walaupun tugasan yang lain-lain  kebanyakkannya hanyalah tong kosong dan berharap akan dipilih semula.

Tidak kiralah spekulasi tarikh PRU 13 itu akan benar-benar menjadi kenyataan atau sebaliknya, satu perkara yang pasti-masyarakat di kawasan Dun-dun terbabit telah beroleh sedikit manfaat daripada politikus yang mulai terdesak itu.

Dalam beberapa keadaan, perkara yang sama juga berlaku apabila Barisan Nasional (BN) tertonggeng dalam PRU 12 pada  8 Mac 2008 lalu.

Menerima sedikit pengajaran dari peristiwa Mac 2008 itu, Kerajaan pusat yang diterajui BN dan kerajaan-kerajaan negeri mula memberi perhatian kepada masalah-masalah yang sekian lama menghantui sesetengah golongan masyarakat.

Bagaimanapun tidaklah semua keutamaan dapat difokuskan kepada masyarakat selagi kapitalis yang sentiasa mengangakan mulut minta disuapkan ini masih menjadi sahabat baik kepada parti-parti politik ini.

Lebih-lebih lagi memang tidak dapat dinafikan, kewujudan golongan ini merupakan antara penyumbang terbesar terhadap sikap tamak politikus dan gejala rasuah di dalam kerajaan.

Lantaran itu, hasil masyhul negara ini sentiasa dipaksa dibahagi-bahagikan antara kumpulan kapitalis yang mewakili tidak sampai sepuluh peratus populasi penduduk negara ini berbanding dengan masyarakat terbanyak.

Golongan kapitalis

Lebih menyedihkan lagi, golongan kapitalis yang kecil ini memperolehi bahagian terbesar berbanding 90 peratus rakyat negara ini yang ‘berterima kasih dan bersyukur’ tatkala menghirup ‘kuahnya’ sahaja dengan alasan ‘streo type’,'rakyat perlu berkorban untuk negara’.

Memang jelas, semua ini tidak lari dari berkisar kepada kemahuan ingin terus berkuasa dan mengawal sumber kekayaan bumi Malaysia ini jauh sekali mendahulukan rakyat.

Kesimpulan jelas yang ada, rakyat negara ini perlu memberikan tekanan yang berterusan kepada parti-parti pemerintah dan PRU 13 adalah kemuncaknya, tidak kiralah bila ia diadakan samada tahun ini mahupun tahun hadapan.

Sekurang-kurangnya, walaupun hampir mustahil untuk memisahkan dua sahabat lama politikus dan kapitalis ini, dengan memberikan tekanan berterusan terhadap politikus terdesak ini, sedikit sebanyak mampu memberi keuntungan tambahan kepada masyarakat terbanyak negara ini.

Masyarakat negara ini harus memberikan kefahaman kepada YB-YB yang menerima gajinya setiap bulan bahawa memberi khidmat kepada masyarakat kawasannya bukanlah sekadar menurap jalan raya lima tahun sekali.

Paparan Halaman