Khamis, 4 Mac 2010

Muhyiddin, Zahid VS Najib, Hishammuddin

Selepas PRU-12 yang menyaksikan tsunami politik melanda Umno dan BN pada 2008, Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Badawi terpaksa berada di dalam kedudukan bertahan apabila serangan bertali arus dilancarkan terhadapnya baik dari luar kerajaan mahupun di dalam kerajaan sendiri.

Tamparan hebat ketika pasca PRU-12 tersebut telah memberikan rentetan tamparan lain yang tidak mampu beliau tangkis. Selain kehilangan empat buah negeri selain Kelantan, kejadian Menteri Besar Terengganu pilihan beliau, Idris Jusoh yang tidak mendapat perkenan Baginda Pemangku Sultan Terengganu, kritikan hebat dari mantan PM Mahathir Mohamad, malah terdapat desakan kuat dari dalam Umno sendiri supaya beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri. Itu belum lagi diambil kira kritikan keras dari pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Antara tangan-tangan yang memainkan peranan penting hingga membawa pengunduran Abdullah dari tampuk kekuasaan ketika itu, tidak lain dan tidak bukan ialah Timbalan Perdana Menteri kini iaitu Muhyiddin Yassin. Di mana akhirnya Najib telah menerima faedah terbesar apabila ditolak ke atas sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 dengan tanpa perlu berbuat apa-apa.

Muhyiddin juga turut mendapat faedah dari perletakan jawatan Abdullah Badawi apabila beliau menerima pencalonan terbanyak sebagai Timbalan Presiden ketika Pemilihan Agong Umno 2008 dan akhirnya memenangi pertandingan tersebut. Walaupun wujud perasaan kurang selamat dalam diri Najib apabila Muhyiddin menjadi timbalannya, mahu atau tidak, Najib terpaksa akur kehendak perwakilan Umno yang memenangkan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden dan seterusnya melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tambahan pula, keberanian Muhyiddin menjolok sarang tebuan ketika era Tun Abdullah sebagai PM masih segar diingatan Najib.

Seorang lagi yang dilihat berani bermain api politik dalaman Umno ialah Zahid Hamidi. Keberanian ketika beliau memegang jawatan Ketua Pemuda Umno mengkritik dasar kerajaan di era Mahathir juga menjadi igauan Najib. Beliau yang pada awalnya mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden akhirnya berkompromi dengan Muhyiddin dan mengambil keputusan bertanding bagi merebut jawatan Naib Presiden.

Kini, kedua-dua mereka - Muhyiddin dan Zahid yang kebetulan kedua-duanya adalah bekas pengikut Anwar Ibrahim ketika di dalam Umno sekali lagi berkompromi untuk bergabung tenaga menyerang secara diam-diam terhadap kem Najib dan Hishammuddin Tun Hussein. Najib dilihat lebih mempercayai Hishammuddin yang juga sepupu beliau berbanding TPM Muhyiddin sendiri.

Situasi Hishammuddin yang memikul beban dan dikritik hebat berhubung isu PPSMI ketika menjadi Menteri di Kementerian Pelajaran akhirnya diselamatkan oleh Najib dengan memindahkan beliau ke Kementerian Dalam Negeri dan bebanannya digalas pula oleh Muhyiddin Yassin.

Selain itu, Hishammuddin turut mendapat kelebihan apabila kementeriannya beroleh peruntukan yang lebih tinggi termasuk peruntukan untuk kenaikan gaji dan elaun pegawai-pegawai dan anggota PDRM. Dalam masa yang sama, peruntukan bagi Kementerian Pelajaran di bawah Muhyiddin Yassin dan Kementerian Pertahanan di bawah Zahid telah dipotong atas alasan kemelesetan ekonomi. Tindakan Najib tersebut telah mendatangkan perasaan kurang senang kedua-dua mereka.

Dalam beberapa tugasan khas, Najib lebih gemar memberikan kepercayaan beliau kepada Hishammuddin berbanding Muhyiddin yang kelihatan sengaja dipinggirkan. Dengan cara demikian, ia dapat memberikan ‘mileage politik’ dan kredit kepada Hishamuddin. Terbaharu, Hishammuddin telah diberi kepercayaan oleh Najib untuk mempengerusikan jawatankuasa khas untuk meminda perlembagaan BN. Jika pindaan ini berjaya dilaksanakan ia merupakan kejayaan besar kepada Hishammuddin dan bakal melonjakan namanya.

Petanda-petanda Najib cuba menarik naik Hishammuddin ke atas dengan melangkau timbalannya awal-awal lagi telah dapat dihidu oleh Muhyiddin dan Zahid. Jika perkara ini berlaku, maka angan-angan Muhyiddin untuk menduduki jawatan nombor satu negara juga akan terkubur.

Begitu juga dengan nasib Zahid, oleh kerana beliau adalah seorang Naib Presiden yang dilihat sebagai pesaing utama kepada Hishammuddin maka beliau harus disisihkan awal-awal lagi. Manakala seorang lagi Naib Presiden yang ada, Shafie Apdal pula dilihat sebagai seseorang yang tidak mempunyai sebarang kekuatan untuk mendatangkan ancaman bahkan hanya tempelan belaka.

Pertentangan antara dua kem ini semakin jelas dapat dilihat dalam beberapa isu. Isu kehilangan dua buah enjin jet pesawat F-5E yang telah dua tahun berjaya dirahsiakan dari pengetahuan umum ketika Najib memegang jawatan Menteri Pertahanan akhirnya terdedah apabila diambil alih oleh Zahid. Zahid, sekali lagi membuat pendedahan mengemparkan bahawa terdapat pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan yang mendedahkan rahsia pertahanan negara kepada duta-duta asing. Tujuan pendedahan ini dilakukan untuk memberikan imej buruk dan melemahkan kredibiliti Najib yang menguasai Kementerian Pertahanan pada masa itu.

Selain itu, satu keputusan yang telah lama dibuat semasa era Najib, menamatkan tauliah pesawat MIG-29 dan digantikan dengan pesawat baru juga dibatalkan oleh Zahid. Menurut Zahid, disebabkan keadaan ekonomi yang sedang meleset tidak mengizinkan, maka pesawat tersebut akan terus digunakan sehingga sekurang-kurangnya lima tahun lagi.

Bagaimana pun Muhyiddin harus menantikan kesempatan terbaik untuk melancarkan tindakan balas seterusnya. Kesempatan terbaik yang dimaksudkan ialah selepas PRU-13 nanti dan bergantung pula juga kepada keputusannya nanti. Seandainya BN masih lagi kekal memerintah dengan kekurang dua pertiga majoriti kerusi di Parlimen, beliau akan melancarkan serangan terbuka terhadap Najib seperti mana yang dilakukan ke atas Abdullah.

Jika paten serangan terhadap Abdullah diambil kira, kemungkinan ketika itu Zahid yang bakal bersuara mengesa Najib berundur. Jika berjaya, Muhyiddin akan bakal menjawat jawatan nombor satu di samping Timbalannya Zahid. Walau bagaimana pun ianya bukanlah tugas yang mudah selagi penasihat politik Najib, Mahathir dan Rosmah ada bersama beliau.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman