Selasa, 26 Oktober 2010

Shamsul nafi team Reformasi 3.0 bergolak

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini menafikan berlaku pergolakan dalam team Reformasi 3.0 seperti mana yang dilaporkan dalam blog sharpshooterblogger.blogspot.com.

Shamsul juga menafikan dakwaan oleh pengendali blog tersebut bahawa ada mengeluarkan kenyataan tidak mustahil untuk beliau memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja Chang Lih Kang sebagai Timbalan Ketua AMK kepada pengendali blog tersebut.

"Ia tidak tepat dan ada juga yang saya tidak tahu-menahu tentang apa yang saudara katakan ini. Khairul juga masih bersama team Reformasi 3.0. Tidak timbul isu menyingkirkan beliau," kata beliau ketika dihubungi FMT hari ini.

Sementara itu, calon Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin semasa dihubungi turut menafikan dakwaan bahawa beliau sebagai beban dalam team Reformasi 3.0.

"Saya bukan beban, malah sebenarnya calon paling ‘ringan’ sekali dalam team Reformasi 3.0 ini. Tidak ada isu sebenarnya. Mungkin inilah adat berkempen agaknya," ulas beliau.

Beliau juga memberitahu kemungkinan isu ini sengaja ditimbulkan berikutan pengendali blog tersebut merupakan ahli dalam pakatan ‘Anak muda penerus momentum reformasi’ yang diterajui oleh Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegu Bard.

sharpshooterblogger.blogspot.com dikendalikan oleh Amizudin Ahmat yang turut bertanding merebut jawatan Pengerusi Tetap AMK.

Selain itu beliau adalah pembantu khas kepada Adun Bukit Tengah, Ong Chin Wen. Sebelum ini, Amizudin mengesahkan kepada FMT tentang dakwaan beliau menerima khidmat pesanan ringkas dari Shamsul untuk meminta pandangan dan disusuli perbualan telefon tersebut adalah benar.

Amizudin juga menegaskan, tujuannya menyiarkan entri tersebut kerana mahukan Khairul mengambil tindakan saman terhadap sebuah blog lain berhubung dakwaan skandal projek di Selangor bagi membersihkan namanya.

- FREE MALAYSIA TODAY


Tiada ulasan:

Paparan Halaman