Memaparkan catatan dengan label politik kita / semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label politik kita / semasa. Papar semua catatan

Ahad, 23 Oktober 2011

Amalan Rasuah Semakin Membudaya Dalam Masyarakat Kita

Oleh Nazli Ibrahim

Samada kita sedar atau tidak, gegala rasuah telah menjadi satu budaya yang membentuk satu sistem yang semakin dapat diterima dan telah berfungsi dalam masyarakat negara kita hari ini.


Walaupun kita mungkin menunjukkan sikap penentangan terhadap gejala rasuah pihak lain, tetapi seringkali kita mengambil sikap berbeza apabila menghadapi situasi sama yang melibatkan kepentingan sendiri atau pihak yang mempunyai kaitan dengan kita.

Banyak terdapat tanda rasuah di negara ini telah mula diterima dalam masyarakat sebagai satu sistem dan tanda-tanda ini dapat dilihat di mana-mana sahaja tidak mengira samada di kalangan masyarakat bandar atau pun luar bandar dan tidak mengenal taraf kehidupan.

Sebagai pengguna jalan raya, tentu anda pernah terserempak dengan adegan seorang pesalah trafik sedang ditahan oleh anggota keselamatan di tepi sebatang jalan raya.

Secara spontan apakah perkara yang mula-mula sekali yang mungkin terlintas dalam fikiran anda ketika itu?
Mungkin ramai yang dengan secara spontan akan berkata di dalam hati, “padan muka kau, inilah akibatnya memandu tak ikut peraturan, kan dah kena saman.”

Namun ramai juga di antara kita yang dengan spontan akan terdetik di hatinya, “ini tak lain nak ‘pau’ duit kopilah ni!” iaitu merujuk kepada perbuatan meminta suapan sebagai balasan tidak mengenakan saman.

Walaupun ianya hanyalah merupakan satu tanggapan anda, tetapi ianya semakin diyakini serta dipercayai di kalangan masyarakat kita dan persoalannya pula mengapa persepsi ini boleh wujud.

Sebagai anggota masyarakat yang mengaku ‘anti rasuah’ tentulah anda membenci perlakuan anggota keselamatan dan pesalah trafik tadi yang sama-sama menjalankan urusan rasuah tadi.

Tetapi apakah reaksi anda pula apabila terpaksa berhadapan situasi sama, adakah anda bersedia menolak ‘tawaran lebih menarik’ yang mungkin serendah RM30 bergantung kepada kepandaian tawar menawar anda berbanding kompaun minima RM300.

Saya percaya ramai di antara kita bersedia menimbangkan tawaran menarik yang diberikan itu, lebih-lebih lagi apabila memikirkan tekanan kos sara hidup yang semakin melambung pada hari ini.

Ketika itu anda mungkin akan melupakan seketika prinsip penentangan anda terhadap gejala rasuah yang sudah pun membentuk satu sistem yang diterima di negara ini sekaligus menjerumuskan diri anda dalam sistem yang anda sendiri tentang itu.

‘Kabel’ dalam jabatan kerajaan

Mungkin anda sendiri pernah diberitahu oleh seorang rakan dengan nada bangga beliau mempunyai seorang kenalan yang mempunyai kedudukan di dalam sesebuah jabatan bagi membolehkan anaknya mengisi jawatan kosong di jabatan tersebut.

Walaupun situasi ini mungkin tidak melibatkan pemberian apa-apa hadiah atau wang namun ia tetap merupakan salah satu perbuatan rasuah yang melibatkan penyalahgunaan kuasa.

Apatah lagi jika melibatkan penggunaan kuasa oleh orang dalam yang dianggap ‘kabel kuat’ bagi membolehkan kenalannya memperolehi sesuatu projek di jabatan tadi.

Ketika saya tamat pelajaran di awal 90an dahulu dan berkira-kira untuk mencari pekerjaan di daerah kelahiran saya yang agak kecil, saya pernah diberitahu oleh bapa saudara saya bahawa jangan berharap untuk dapat kerja di pejabat-pejabat kerajaan di daerah itu kalau tidak ada mengenali orang dalam.

Walaupun persepsi beliau ini tidak dapat dipastikan kesahihannya, persepsi yang seperti ini tentulah tidak datang dengan tiba-tiba melainkan datangnya dari pengalaman beliau dan cerita-cerita pengalaman pihak lain yang pernah didengarinya sebelum itu.

Semakin hari penggunaan orang dalam atau yang juga digelarkan sebagai ‘kabel’ ini telah menjadi lumrah dan boleh diceritakan secara terbuka tanpa wujud rasa malu-malu apatah lagi bersalah.

Semakin besar ‘kabel’ semakin cerahlah harapan seseorang itu untuk memperolehi sesuatu projek atau mendapatkan tempat untuk anak kesayangan bekerja di sesebuah jabatan itu.

Demikian juga kita kerap mendengar ‘bayaran tambahan’ yang dikenakan untuk mempercepatkan sesuatu proses atau ‘potong queue’ seperti untuk mendaftarkan kenderaan baru misalannya.

Kerana tidak sabar untuk memandu kenderaan baru, ramai yang tidak keberatan untuk menghulurkan sedikit saguhati melalui jurujual kenderaan untuk pegawai bertanggungjawab memproses pendaftaran kenderaan baru.

Keengganan bakal pembeli untuk bekerjasama kadangkala hanya menyebabkan pembeli tertekan dan diakali dengan terpaksa menanti kenderaan baru dalam satu tempoh panjang yang luar biasa.

Ada sesetengah pihak berpendapat, rasuah yang berlaku di kalangan golongan berpendapatan rendah disebabkan keadaan yang memaksa demi untuk kelangsungan hidup, sebaliknya bagi golongan bertaraf tinggi yang telibat dengan rasuah pula untuk meneruskan kehidupan mewah mereka.

Walaupun mungkin kenyataan tersebut boleh dianggap sebagai satu kenyataan yang cuba menghalalkan perbuatan rasuah dalam masyarakat, tetapi setelah direnung-renungkan memang ada kebenarannya di mana golongan bawahanlah yang akhirnya semakin tertekan dan tertindas.

Ini belum lagi diambil kira rasuah-rasuah di kalangan mereka yang berjawatan tinggi hingga ke taraf pemimpin negara yang melibatkan jumlah wang yang bukan sedikit dan mampu menjejaskan kepentingan negara.

Permainan berskala besar di kalangan penjawat jawatan tinggi bukan sahaja melibatkan rasuah secara sembunyi malahan turut melibatkan rasuah secara terangan-terangan lagi ‘halal’ yang melibatkan pembayaran berpuluh-puluh atau ratusan juta ringgit kononnya atas nama ‘komisyen’.

Rasuah berprofail tinggi

Satu lagi tanda kita mula menerima budaya rasuah sebagai satu sistem kehidupan apabila mula wujud pendapat bahawa bukan sesuatu yang pelik apabila seseorang pemimpin yang mengambil keuntungan sejuta, dua dari puluhan atau ratusan juta ringgit projek prasarana yang diusahakan untuk kemudahan rakyat jelata.

Bagi mereka ini, apalah salahnya mengambil ‘sedikit’ keuntungan berbanding penat lelah setelah pemimpin terbabit bekerja dan berusaha keras menghadapi pelbagai kesukaran yang terpaksa ditempohi untuk menyiapkan projek yang memberi kemudahan untuk rakyat akhirnya.

Selain itu, pendapat lain yang dianggap sebagai tanda rasuah semakin diterima, apabila ada yang boleh menerima perbuatan rasuah seseorang pemimpin sekiranya nilainya berpada-pada asalkan tidaklah berlebihan atau tamak sehingga menjejaskan piawaian struktur binaan projek yang dibina.

Hari ini, bagi individu yang berhadapan dengan dakwaan isu rasuah mungkin tidaklah perlu rasa malu selagi tidak dikaitkan dengan skandal seks walaupun kedua-dua tuduhan itu sama-sama memalukan.

Saya percaya, maka sebab itulah terdapat pihak yang lebih gemar menyerang musuh politik mereka dengan menggunakan isu skandal seks berbanding skandal rasuah yang sudah dianggap merupakan sebagai satu perkara biasa sahaja.

Mungkin juga sebab itulah ada pihak tidak teragak-agak melafazkan sumpah laknat bagi menjerumuskan pihak tertentu dalam skandal seks berbanding isu yang membabitkan skandal rasuah kerana rasuah di negara ini tidak lagi dianggap sesuatu yang begitu memalukan.

Ya benar, rasuah sudah pun menjadi budaya kerja dan diterima sebagai satu sistem di dalam carta organisasi-organisasi di negara ini.

Walau pun realiti ini sedaya upaya dinafikan oleh para datuk-datuk menteri dalam kerajaan mahupun pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri dengan saban tahun mengeluarkan indeks yang sedap didengar, tetapi inilah realiti yang berlaku di dalam masyarakat kita hari ini.

Free Malaysia Today

Selasa, 22 Mac 2011

Malaysia menuju ke era politik lucah!

PETALING JAYA: Percubaan pihak tertentu yang mengaitkan tokoh utama pembangkang dengan individu di dalam rakaman video seks yang ditayangkan kepada wartawan di Hotel Seri Carcosa, Kuala Lumpur semalam dianggap sebagai permulaan bagi menghalalkan kepada percaturan politik lucah bagi mencemar maruah sekaligus menjatuhkan musuh politik.


Ketika sesetengah pihak menganggap ia bukanlah sesuatu yang baru dalam arena politik negara, pihak lain pula berpendapat, walaupun ini bukan pertama kali berlaku tetapi ia merupakan petanda satu permulaan baru yang lebih buruk dan tidak terkawal dalam politik negara.

Penayangan video seks semalam juga dianggap membawa dimensi baru kepada percaturan politik lebih menjengkelkan dengan peningkatan berganda dan terbuka terhadap tindakan berbalas serangan demi menjatuhkan maruah dan moral musuh politik kedua-dua belah pihak, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Sebelum ini, Ahli Parlimen Labis, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dikataka ‘diperangkap’ oleh musuh dalamannya sendiri apabila rakaman video seksnya disebarkan kepada umum dan membawa kepada perletakkan semua jawatannya dalam MCA dan juga kerajaan.

Cuma bezanya, ketika itu tiada media dipanggil untuk ‘tayangan perdana’ dan Soi Lek sendiri membuat pengakuan bahawa lelaki di dalam rakaman video lucah terbabit adalah beliau.

Selain Soi Lek, Elizabeth Wong dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menerima nasib yang sama apabila foto beliau sedang tidur yang diambil tanpa pengetahuannya di kediamannya sendiri tersebar di internet.

Selain isu yang mengaibkan maruah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan itu, ketika itu beliau juga hampir berputus asa dengan niat untuk mengundurkan diri daripada arena politik negara.

Bagi pihak yang mahu percaya dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa tindakan seperti ini merupakan tindakan demi kepentingan moral masyarakat dan bukannya satu tindakan berkepentingan politik merupakan sesuatu yang bodoh pada masa ini.

Lebih-lebih lagi, pada hari yang sama juga Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak baru sahaja dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang ke 10 diadakan.

Pada masa artikel ini ditulis, identiti ‘host tayangan perdana’ terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Datuk T semalam masih belum dikenal pasti dan pemimpin Barisan Nasional (BN) pula tentunya menafikan penglibatan mereka dalam pembikinan dan  penayangan video tersebut.

Jadi bahan kempen PRN Sarawak


Ketika pemimpin BN menafikan penglibatan mereka dan pada masa sama mengaku ‘tidak mempraktikkan’ sebarang tindakan serangan peribadi yang  mengaibkan, juga adalah bodoh untuk mempercayai isu ini tidak akan digunakan sekurang-kurangnya di peringkat jentera mereka dalam kempen PRN Sarawak nanti.

Malahan ketika pilihan raya kecil Dun Tenang, Johor sebelum ini tindakan menyerang peribadi lawan turut dipraktikkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri apabila membuka isu kes liwat yang membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ceramahnya ketika berkempen.

Bagaimanapun, serangan tersebut dibalas kembali secara umum dengan kejadian yang di dalam pengetahuan Anwar ketika masih di dalam kabinet, namun enggan memperincikan lebih mendalam tentang skandal yang dimaksudkannya itu.

Di pihak PR, meskipun turut mengambil kesempatan keuntungan politik terhadap sebarang isu yang membabitkan moral pemimpin BN, namun tindakan mereka seringkali dilapik atas alasan demi mendapatkan keadilan.
Antara kes berprofil tinggi yang pernah mendapat perhatian masyarakat dan pemimpin pembangkang ialah kes kematian model warganegara Mongolia, Altantuya Shariibuu beberapa tahun lalu.

Ketika perbicaraan kes ini telah lama selesai, ia tetap menjadi ingatan apabila dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Polis DiRaja Malaysia yang didakwa oleh peguam bela bahawa mereka merupakan pihak yang tidak menerima sebarang faedah atas kematian mendiang telah dijatuhkan hukuman mati.

Sementara itu, beberapa isu lain yang membabitkan moral pemimpin BN, pada masa ini masih kurang tersebar secara terbuka dan meluas melainkan secara terpencil di alam siber.

Bagaimanapun, ‘tayangan perdana’ rakaman video lucah semalam dikatakan mampu menjadi penyebab kepada pendedahan demi pendedahan isu moral yang membabitkan pemimpin BN walaupun status sesetengah isu tersebut masih diragui kesahihannya.

Tindakkan itu nanti juga akan menimbulkan reaksi berbalas serangan dengan membuka pekung lawan masing-masing sekaligus menjadikan politik Malaysia maju setapak lagi melangkah ke era politik lucah.

Khamis, 3 Februari 2011

PRK DUN Merlimau: PAS atau PKR?

Oleh Nazli Ibrahim

Petaling Jaya: Ketika para pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (PR) yang telah menzahirkan kesepakatan untuk mengekalkan status quo dalam meletakkan calon bertanding dalam pilihan raya, kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin dianggap sebagai membelakangkan keharmonian parti dalam PR.

Shamsul yang berhasrat untuk bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil (prk) DUN Merlimau itu sebelum ini  dilaporkan berkata meskipun secara tradisi pakatan itu mengekalkan status quo, namun terdapat beberapa faktor yang menyokong PKR meletakkan calonnya untuk bertanding.

Kenyataannya itu telah melontarkan persoalan adakah prestasi PKR pada masa ini lebih baik berbanding PAS di DUN ini mahupun kawasan-kawasan lain dalam negara ini selepas PRU-12 lalu.

Rekod PKR dalam prk

Mengikut statistik sepanjang 14 prk yang telah diadakan selepas PRU-12 lalu, PKR telah memenangi tiga daripada enam prk yang membabitkan calon dari parti itu.

Bagaimanapun kemenangan di DUN Penanti dianggap kejayaan mudah apabila lawan PKR dalam prk tersebut hanya membabitkan calon-calon bebas dan tidak disertai oleh calon daripada BN yang dianggap sebagai lawan sebenar.

Kemenangan PKR di Permatang Pauh pula melibatkan pertambahan majoriti yang agak ketara kepada 15,671 undi berbanding majoriti dalam PRU 2008 sebanyak 13,388 undian.  

Enam penyertaan PKR dalam prk dalam tempoh itu juga membabitkan empat misi  bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU sebelumnya dengan tiga kejayaan sementara kerusi parlimen Kuala Selangor telah dirampas BN.

Sementara itu, ketika PKR tewas dalam prk Batang AI, BN turut melebarkan majoriti kepada 1,854  terhadap PKR berbanding majoriti yang dimenangi terhadap Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) sebanyak 806 undi dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada tahun 2006.

Keadaan yang sama turut berlaku dalam PRK Parlimen Batu Sapi apabila BN berjaya melebarkan kemenangan terhadap PKR dengan majoriti 6,359 undi berbanding ketika berhadapan dengan calon bebas dalam PRU-12 lalu yang hanya majoriti 3,708 undi.

Bagaimanapun dalam PRK batu Sapi ini telah membabitkan pertandingan tiga penjuru yang melibatkan di antara BN, PKR dan SAPP sekaligus memecahkan undi kepada tiga bahagian.  

Rekod PAS dalam prk

Manakala bagi PAS pula, telah memenangi empat kali daripada tujuh penyertaan dalam prk dalam tempoh yang sama termasuk kejayaan merampas satu kerusi bagi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi BN dalam PRU-12.

Selain berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu, PAS turut melebarkan majoriti yang diraihnya di parlimen Bukit Gantang daripada 1,566 undi dalam PRU-12 kepada 2,789 undi dalam prk tahun 2009 lalu.

Bagaimanapun kejayaan empat kali kemenangan dalam siri prk dan merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu sedikit tercalar apabila majoriti kemenangan di DUN Manek Urai telah menunjukkan kemerosotan yang banyak, iaitu hanya 65 undi berbanding 1,352 yang dimenangi dalam PRU-12.

Selain itu, dalam PRK DUN Bagan Pinang dan Tenang turut menyaksikan BN telah berjaya melebarkan undi majoriti yang diperolehi pada PRU-12 terhadap PAS.

Berdasarkan perbandingan statistik, PAS dengan empat kemenangan termasuk satu kejayaan merampas kerusi parlimen mungkin mempunyai sedikit kelebihan berbanding PKR.

Reputasi PKR pada ketika ini dilihat tidak setanding PAS apabila tercemar gara-gara isu-isu sepanjang pemilihan parti itu hujung tahun lalu yang masih tidak berpenghujung.

Menambah burukkan lagi reputasi PKR apabila seorang demi seorang pemimpinnya meninggalkan parti termasuk dikalangan pemimpin senior parti itu dan terbaru ahli parlimen Padang Serai, YB Gobalakrishnan yang turut berbuat demikian.

Jika faktor calon diambil kira, Shamsul juga wajar mempertimbangkan semula hajatnya untuk bertanding dalam prk kali ini demi kebaikan PR apabila dianggap sebagai pemimpin yang kurang disenangi oleh ahli-ahli partinya sendiri.

Imej beliau dikatakan terjejas teruk di kalangan ahli-ahli PKR sendiri setelah   dikaitkan dengan apa yang dianggap sebagai penyelewengan ketika pemilihan parti itu berlangsung hujung tahun lalu dan mampu mempengaruhi corak undi masyarakat di sini. 

Faktor beliau sebagai anak Melaka mungkin tidak memberinya kelebihan, malahan ketika ini mungkin BN telah memperolehi banyak isu yang diperlukan sebagai peluru yang bakal dihalakan kepada batang tubuh Shamsul sekiranya beliau diletakkan sebagai calon PR.

Selain itu, kehadiran beliau sebagai calon PR, bukan sahaja boleh mengeruhkan kesepakatan yang telah dicapai di kalangan pemimpin dan penyokong PR sebelum ini bahkan turut mampu menyebabkan kurangnya sokongan jentera kempen pilihan raya di pihak PR termasuk dari PKR sendiri.

Dari segi pecahan kaum bagi DUN Merlimau pula, samada PAS mahupun PKR masing-masing tidak menunjukkan kelebihan antara satu sama lain.

Bagaimanapun, baik PKR mahupun PAS, kedua-duanya bakal berhadapan laluan sukar bukan sahaja untuk memenangi persaingan dengan BN, malah juga perit untuk menafikan majoriti 2,154 undi yang diperolehi BN dalam PRU-12 lalu.

Prk DUN Merlimau yang bakal diadakan pada 6 Mac ini dikatakan penting sebagai pengukur sebenar sokongan terhadap PR mukhtahir ini khususnya bagi mencula sokongan pengundi Melayu berbanding prk DUN Tenang yang melibatkan peratusan tinggi pengundi di kalangan peneroka Felda yang dianggap simpanan tetap BN.

* Sumber Free Malaysia Today

Isnin, 31 Januari 2011

PAS hanyut dalam banjir PRK DUN Tenang

Keputusan Rasmi PRK DUN Tenang 2011      
Mohd Azahar Ibrahim (BN)    : 6699 (+332) 
Normala Sudirman (PAS)       : 2992 (-883)     
Undi Rosak                            : 142                   
Majoriti                                  : 3707 (+1215)    
Jumlah Keluar Mengundi        : 9833 (-379)                           
Peratusan keluar mengundi     : 67% (-2.21%)               


Oleh Nazli Ibrahim

LABIS: Banjir yang melanda Johor ketika ini, bukan sahaja menengelamkan kediaman penduduk di beberapa daerah negeri ini, malah turut menghanyutkan sokongan terhadap PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.05 Tenang yang berlangsung semalam.

Keputusan rasmi yang diumumkan kira-kira jam 10.15 di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis, malam tadi, calon BN, Mohd Azahar Ibrahim berjaya mengekalkan kerusi BN di DUN tersebut apabila menewaskan calon PAS, Normala Sudirman dengan majoriti 3,707 undi.

Bagaimanapun BN gagal mencapai sasaran yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen sebelum ini yang mahukan majoriti sebanyak 5,000 undi.

Menurut keputusan rasmi yang lewat diumumkan gara-gara banjir itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),  Md Asri Amir, Azahar berjaya memperolehi 6699 undi berbanding Normala yang memperolehi 2,992 undi dan sejumlah 142 undi rosak turut dikesan.

Jumlah pengundi dalam prk kali ini juga telah mencatatkan peratusan keluar mengundi yang rendah, hanya 67 peratus iaitu 9,833 pengundi daripada 14,753 pengundi berdaftar berbanding sebelumnya 69.21 peratus ketika Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.

Peratusan jumlah pengundi yang rendah ini dikatakan berpunca daripada hujan lebat dan paras air banjir yang meningkat dengan cepat telah memutuskan hubungan beberapa batang jalan utama di sekitar Labis termasuk jalan raya menuju ke beberapa pusat pengundian.

Antara kawasan yang terjejas teruk hingga menyebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah adalah pusat pembuangan undi yang membabitkan majoriti pengundi Cina.

Menurut beberapa laporan media sebelum ini, beberapa pemimpin PR telah melahirkan rasa kurang senang terhadap pihak berkuasa tempatan apabila lebih banyak menumpukan kawasan Felda ketika memberi bantuan pengangkutan air bagi membawa pengundi ke tempat pembuangan undi berbanding kawasan majoriti Cina.

Majoriti BN bertambah

Keputusan prk kali ini dianggap sebagai satu lagi pedoman untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membubarkan Parlimen ke-12 apabila BN bukan sahaja berjaya menambah jumlah undi malah turut melebarkan majoriti sebelum ini.

Undi BN yang diterima BN menokok 332 undi daripada 6,367 undi yang diterima dalam PRU sebelumnya dan perbandingan majoriti juga didapati semakin melebar sebanyak 1,215 kepada 3,707 berbanding majoriti dalam PRU-12 sebanyak 2,492 undi majoriti.

Kejayaan BN memperolehi majoriti besar ini bukan sahaja dibantu dengan pertambahan jumlah undi yang diterimanya, malahan penguncupan jumlah undi calon PAS dalam jumlah yang lebih besar menambahkan lagi jurang antara keduanya.

Keputusan semalam turut membayangkan BN masih mampu mempertahankan kubu kuatnya di kawasan Felda apabila memperolehi sokongan padu daripada peneroka kawasan terbabit, sama seperti PRK Parlimen Kuala Selangor dan DUN Bagan Pinang.

Ulangi paten PRU 11 - Peratus mengundi rendah, majoriti besar

Keputusan kali ini, dilihat telah mengulangi paten yang sama ketika BN berjaya memperolehi kemenangan dengan majoriti besar di DUN sama ketika PRU-11 tahun 2004 dengan peratusan keluar yang rendah ketika itu.

Dalam PRU-11, BN cemerlang memenangi kerusi yang sama dengan majoriti lebih tinggi iaitu 5,517, apabila meraih 7,655 undi berbanding lawannya juga dari PAS, 2,138 undi dan ketika itu turut mencatatkan jumlah pengundi keluar mengundi yang rendah hanya 9,793 atau 66.37 peratus lebih rendah berbanding prk kali ini.

Undi PAS merudum

Berbanding BN yang berjaya melonjakkan jumlah sokongan, sebaliknya undi yang diraih PAS telah merudum sebanyak 883 undi berbanding PRU-12, mewajarkan parti itu melakukan 'bedah siasat' selain menyalahkan faktor bencana alam semata-mata.

Bagaimanapun, PAS berjaya memperolehi sokongan tinggi daripada kalangan pengundi kaum Cina apabila berjaya meraih jumlah undi tinggi berbanding BN di tiga daerah mengundi majoriti kaum itu di Bandar Labis Timor, Bandar Labis Tengah dan Labis.

Namun jumlah undian yang diterima daripada pengundi Cina masih gagal memberikan kemenangan kepada calon PAS itu mahupun sekadar mengecilkan majoriti BN dan keadaan ini ditambah lagi peratusan keluar mengundi yang rendah di daerah mengundi terbabit.

Keadaan ini juga dianggap oleh sesetengah pihak sebagai isyarat agar 'lebih berhati-hati' buat Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di mana Labis merupakan lubuk baginya.

Selain mencatatkan sokongan kuat di kawasan Melayu , BN turut menerima sokongan dari pengundi di daerah mengundi majoriti kaum India apabila menang di Ladang Labis Utara dan Ladang Bukit Dato.

BN juga hampir menyapu bersih undi pos apabila daripada 119 kertas undi yang dikeluarkan oleh SPR, Mohd Azahar memperoleh 115 manakala Normala cuma memperoleh tiga undi dan satu undi ditolak.


Sumber Free Malaysia Today

Jumaat, 28 Januari 2011

Apa khabar penduduk Sungai Buaya?

Masih ingatkah lagi janji Najib Razak untuk melunaskan pampasan pendahuluan sebanyak RM50,000 kepada bekas warga Felda Sungai Buaya ketika pilihan raya kecil Parlimen Kuala Selangor?

Sejumlah RM1,000 telah pun dibayar secara tunai ketika kempen PRK tersebut berlangsung dan Najib telah berjanji untuk menjelaskan bakinya yang sebanyak RM49,000 itu melalui bank draft.

Soalnya, adakah bekas warga Felda Sungai Buaya telah menerima bank draft yang dijanjikan tersebut. Menurut maklumat yang diterima dari satu sumber baru-baru ini, bank draft yang dijanjikan tersebut masih belum diterima oleh mereka.

Kepada pengundi-pengundi di DUN Tenang, diingatkan agar berhati-hati dengan janji manis yang ditaburkan oleh BN. Memang dari segi kemampuan kewangan, BN sebagai parti yang menerajui kerajaan mampu melunaskan janji-janji mereka.

Bagaimanapun sikap kurang mempedulikan rakyat kebanyakkan kecuali apabila ada pilihan raya, sikap yang sukakan pembaziran ke atas projek-projek yang kurang memberi manfaat kepada rakyat, rasuah dan masih yakin rakyat mudah diperbodohkan telah menyebabkan BN kurang mengambil berat untuk menunaikan janji yang telah dibuat.

Pastikan anda tidak tersilap memilih calon! Pilihlah calon yang sedia berkhidmat kepada masyarakatnya dengan jujur dan amanah berbanding calon yang lebih berminat untuk menjadi juru lelong!

Rabu, 26 Januari 2011

PRU, PR Sarawak serentak-Apa pilihan Najib?

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Pengaruh semasa Barisan Nasional (BN) Sarawak dianggap sebagai salah satu faktor penentu bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkaji samada membubarkan Dewan Parlimen serentak dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Jika kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Haji Mohd Naroden Majais baru-baru ini diambil kira, gambaran dapat dibuat bahawa BN Sarawak ketika ini tidak berada di kedudukan terbaiknya di mata masyarakat Sarawak hari ini dan memaksa Najib mengadakan pilihan raya serentak.

Keadaan ini dapat dilihat apabila beliau memberitahu antara manfaat mengadakan pilihan raya umum (PRU) dan Negeri Sarawak serentak dapat mengurangkan asakan pemimpin pembangkang ke atas BN Sarawak.

“Bererti (kalau serentak), tumpuan parti pembangkang ke Sarawak dapat dikurangkan kerana sibuk berkempen untuk kawasan Parlimen dan Dun di negeri masing-masing,” katanya baru-baru ini.

Sarawak sebuah negeri yang dianggap sebagai 'simpanan tetap' BN, sebelum ini pilihan raya negerinya diadakan lebih awal berbanding pilihan raya umum sekaligus dianggap sebagai permulaan momentum sokongan kepada BN di Sarawak dan seterusnya membadai ke pilihan raya umum di negeri lain-satu kelebihan buat BN.

Berbanding Najib ketika ini, PM terdahulu dengan berbekalkan keyakinan tinggi, tidak pernah gusar akan kekuatan BN Sarawak bagi memberikan laluan kepada pilihan raya negeri Sarawak diadakan terlebih dahulu.

Bagi PM terdahulu mencari 'ilham' untuk menetapkan tarikh pembubaran parlimen, bukanlah suatu perkara merumitkan seperti yang dialami oleh Najib kini.

Keputusan pilihan raya Sarawak yang sentiasa memihak kepada BN dengan majoriti tinggi menjadi pemangkin kepada PM terdahulu dan BN untuk terus meraih sokongan daripada pengundi dalam pilihan raya umum di Semenanjung dan Sabah kemudiannya.

Namun sebaliknya, Najib kini kelihatan teragak-agak untuk memberikan laluan kepada pilihan raya negeri Sarawak diadakan dahulu sebelum pilihan raya umum menyusul selewat-lewatnya pada 2013.

Najib hidu masalah di Sarawak?

Keadaan ini seolah membawa petanda Najib telah terhidu masalah di Sarawak sehingga memaksa beliau mengambil langkah mengadakan pilihan raya umum dan negeri Sarawak serentak bagi mengurangkan risiko terhadap negeri 'simpanan tetapnya' itu.

Jika perkiraan mudah dengan keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun 2006 dijadikan ukuran, BN dengan kemenangan 62 daripada 71 kerusi DUN adalah sesutu yang hampir mustahil bagi PR menawan DUN Negeri Sarawak.

Meskipun imej Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud pada ketika ini dikatakan merudum akibat dikaitkan dengan pelbagai skandal, namun perkembangan teknologi maklumat khususnya di kawasan pendalaman yang ketinggalan berbanding Semenanjung memberi kelebihan kepada BN.

Pada masa ini, masyarakat luar bandar di Sarawak masih kekurangan akses kepada maklumat alternatif lain kecuali maklumat yang disalurkan oleh media-media arus perdana pro kerajaan.

Berdasarkan perkiraan di atas, logiknya ia tidak mengusarkan Najib untuk memberi laluan kepada pilihan raya Sarawak diadakan terlebih dahulu dan jauh sekali mengambil risiko awal dengan mengadakan PRU seawal dua tahun sebelum tamat penggal.

Jangka hayat karier politik dan pentadbiran Najib

Tambahan pula, Najib dengan langkah mempercepatkan pilihan raya umum dua tahun lebih awal sebelum tamat penggal, perkiraan ke atas risiko jangka hayat karier politiknya dan pentadbirannya di Putra Jaya tentunya menjadi perkiraan yang lebih utama.

Satu-satunya pilihan yang ada buat Najib bagi memastikan jangka hayat politik dan kedudukan BN di Putra Jaya berpanjangan bukanlah sekadar perlu menang dalam pilihan raya tetapi harus menang dengan majoriti lebih selesa berbanding sekarang.

Kegagalan BN memperolehi mandat lebih selesa daripada yang ada ketika ini bakal membuka ruang bukan sahaja ancaman daripada pihak pembangkang di luar Umno, malahan turut membuka ruang ancaman dari dalam Umno sendiri seperti mana yang dialami oleh mantan PM, Tun Abdullah Badawi.

Sekiranya Najib masih mahu mengadakan pilihan raya Umum serta DUN Sarawak serentak dan kemudiannya BN gagal memperolehi majoriti lebih baik, sudah tentu banyak tangan akan menundingkan kesalahan ke arah Najib selaku pihak yang mengilhamkan tarikh pilihan raya serentak ini.

Unjuran penganalisis politik

Menurut seorang penganalisa politik terkenal, Nobisha dalam blognya telah mengunjurkan pertambahan kerusi bagi PR dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak paling tinggi tidak lebih daripada 13 kerusi berbanding sekarang, sembilan kerusi yang mampu dimenangi oleh PR.

Bagaimanapun seorang penganalisis politik dari Sarawak mempertikaikan unjuran beliau itu apabila mengatakan unjuran tersebut terlalu tinggi.

Bagi kerusi parlimen pula, unjuran yang beliau berikan hanyalah pertambahan satu kerusi daripada dua kerusi termasuk Parlimen Sibu yang dimenangi DAP dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Jika unjuran ini dijadikan ukuran dan Najib memutuskan untuk mengadakan pilihan umum dan DUN Sarawak secara berasingan, pertambahan walaupun satu kerusi pembangkang di negeri 'simpanan tetap' BN itu sudah cukup untuk dianggap sebagai isyarat yang tidak memihak kepada BN dalam PRU-13 nanti.

Tambahan pula, kedudukan kerusi parti-parti politik di DUN mampu mempengaruhi corak undian pengundi ketika mengundi bagi kerusi parlimen untuk menentukan kerajaan pusat.

Kesemua risiko ini tentunya telah dinilai sedalam-dalamnya oleh Najib berbanding semata-mata kemahuan yang meluap bagi mendapatkan mandat baru yang pertama miliknya sebagai PM.

Jelas senario politik negara ketika ini tidak memberikan sebarang jaminan untuk Najib meneruskan tradisi PM sebelumnya yang menerima mandat yang cemerlang tatkala mengadakan pilihan raya pertama dalam era pentadbiran masing-masing.

PM sebelum ini, termasuk Abdullah sebelum PRU-12 pada 2008 lalu, ketika mendapat 'ilham' tarikh pilihan raya mereka tidak berada dalam keadaan sesukar Najib hari ini.

Mengadakan pilihan raya umum dan Negeri Sarawak serentak antara pilihan yang mampu memberi kelebihan kepada BN Sarawak, tetapi secara keseluruhannya ianya tidak menjamin apa-apa kelebihan kepada Najib dan BN di peringkat pusat.

* Sumber Free Malaysia Today

Rabu, 19 Januari 2011

PAS hadapi laluan sukar tetapi mampu beri kejutan di Tenang

Jika kenyataan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas lawatan kerja sehari beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang semalam, umumnya menampakkan keyakinan beliau bahawa BN berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil itu.

Jika bacaan mudah berdasarkan fakta prestasi BN dalam pilihan raya lalu di DUN ini dan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) yang membabitkan kawasan felda semenjak PRU-12 lalu diambil kira, memang wajar Najib mempunyai keyakinan yang tinggi untuk memenangi PRK kali ini.

Malah kemenangan BN di DUN Tenang nanti bukanlah sesuatu yang menghairankan memandangkan sejarah DUN tersebut tidak pernah dikuasai oleh parti lain selain BN.

Apatah lagi, dalam keadaan BN memerlukan kemenangan moral sebelum menghadapi PRU-13 yang tentunya tidak teragak-agak menggunakan 'kuasa tawar-menawar' yang ada padanya kepada pengundi-pengundi di DUN terbabit.

Malahan perkembangan terkini dalam PRK ini, semalam Najib telah mula memberikan beberapa tawaran kepada pengundi-pengundi DUN Tenang, startegi yang sama dilakukan dalam kebanyakkan PRK sebelum ini dan tampak berkesan di kawasan felda dan majoritinya Melayu.

Berdasarkan situasi di DUN Tenang, perbandingan boleh dibuat dengan beberapa PRK yang pernah diadakan semenjak PRU-12 Mac 2008 lalu yang melibatkan kawasan-kawasan felda dalam beberapa PRK sebelum ini.

Ketika pertembungan PKR dan BN bagi Parlimen Kuala Selangor tahun lalu, jentera PR ketika itu pada awalnya menampakkan keyakinan tinggi untuk menang dengan menaikkan isu yang berkait rapat dengan peneroka felda secara langsung.

Apatah lagi faktor Selangor yang kini dikuasai oleh PR, kedudukan mempertahankan kemenangan di kerusi yang sama dan kewibawaan calonnya Datuk Zaid Ibrahim telah memberi banyak kelebihan PR ketika itu.

Bagaimanapun faktor kelebihan tersebut dan isu yang dimainkan oleh PR ketika itu gagal memberi impak yang berkesan kepada pengundi-pengundi kawasan felda di parlimen itu apabila hampir semua saluran undian di felda-felda dikuasai oleh BN.

Mood kemenangan yang mula terasa di kalangan penyokong PR dari semenjak awal kempen bermula akhirnya dinoktahkan dengan kekecewaan apabila tewas di hari pembuangan undi.

Dalam PRK tersebut calon BN, P Kamalanathan telah berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Selangor dengan majoriti 1,725 undi berbanding sebelumnya hanya 198 undi majoriti yang dimenangi oleh Allahyarham Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR.

Dalam pada itu, menurut beberapa sumber ketika itu, antara faktor lain yang turut meyumbang kepada kekalahan Zaid apabila wujudnya perbuatan sabotaj dari kalangan pemimpin PKR sendiri.

Sebelum itu, ketika PRK DUN Bagan Pinang yang turut melibatkan jumlah pengundi di kalangan peneroka felda yang agak tinggi, sekali lagi kemenangan berpihak kepada calon BN.

Ketika itu Tan Sri Isa Samad berjaya mempertahankan kerusi DUN terbabit dengan pertambahan majoriti sebanyak 5,435 setelah memperolehi 8,013 undi berbanding pencabarnya daripada PAS, Zulkefly Mohd Omar dengan 2,578 undi.

Seperti mana di PRK Kuala Selangor, undi-undi dari peneroka di beberapa tanah rancangan felda dalam DUN Bagan Pinang juga telah memihak kepada BN.

Walaupun kemenangan BN di Bagan Pinang ini dianggap dengan adanya bantuan bilangan pengundi pos yang tinggi, namun jika jumlah pengundi pos ini tidak diambil kira, kemenangan masih berpihak kepada BN dengan kelebihan lebih 2,000 undi.

Walaupun begitu, BN tentunya tidak mampu untuk terus bersentimental dengan rekod kemenangan BN di negeri Johor dan DUN Tenang dalam pilihan raya lalu apatah lagi hakikatnya negeri kubu kuat Umno ini masih belum teruji semenjak PRU-12 lalu.

Dianggarkan, sekitar 4,000 lebih pengundi berdaftar dagi DUN Tenang merupakan peneroka di felda-felda sekitar Tenang sekaligus memberi kelebihan kepada BN.

Dalam pilihan raya umum 2008, Datuk Sulaiman Taha mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS, dengan kelebihan 2,492 undi.

Bagaimanapun, kemampuan PAS tidak boleh dipandang ringan kerana masih memberikan kejutan kepada BN atau sekurang-kurangnya mengecilkan majoriti yang dimenangi oleh BN dalam PRU-12 lalu dengan isu yang mempunyai kaitan secara langsung dengan pengundi di situ.

Isu utama ketika ini yang sudah pasti digunakan dalam kempen-kempen PAS nanti adalah peningkatan harga barangan keperluan utama sekaligus meningkatkan kos sara hidup masyarakat umum.

Isu yang memberi kelebihan kepada PAS ini dijangka mampu mempengaruhi pengundi-pengundi dalam PRK itu nanti.

Selain itu, isu pembangunan di kawasan terbabit yang dianggap berkembang dengan tidak sekata dengan meninggalkan kawasan-kawasan felda dan pendalaman berbanding kawasan-kawasan di Pekan Labis juga memberi sedikit kelebihan kepada PAS.

Keadaan yang telah berlarutan semenjak 53 tahun ini telah memaksa penduduk-penduduk di beberapa felda terpaksa menunggang motorsikal sejauh 20km semata-mata untuk membeli petrol dan beberapa barangan keperluan lain yang tidak terdapat di kedai-kedai runcit di felda terbabit.

PAS juga boleh mengharapkan bantuan daripada DAP dan PKR untuk mendapatkan sokongan daripada 38.24 peratus pengundi-pengundi Cina, soal kebajikan peneroka felda, isu penipuan Felda, soal generasi ke dua felda dijangka turut mendapat perhatian pengundi di sana nanti.

Walaupun PRK kali ini tidak melibatkan parlimen, selain isu-isu tempatan, isu nasional seperti ketirisan, skandal rasuah dan sebagainya masih boleh digunakan untuk serangan terhadap BN.

Bagaimanapun isu yang melibatkan kes peribadi seperti yang dihadapi oleh Dato Seri Anwar Ibrahim dijangka tidak mendapat tempat di kalangan penduduk tempatan.

Sementara itu, bagi beberapa penganalisa politik tanah air pula, percaya keputusan PRK DUN Tenang ini bakal memberikan pedoman kepada PM bagi menentukan tarikh sebenar PRU-13.

Selasa, 18 Januari 2011

Mohon campur tangan istana untuk tegur Rosmah

Nazli Ibrahim | January 18, 2011

PETALING JAYA: Dua memorandum akan diserahkan kepada Yang Dipertuan Agung dan Perdana Menteri berhubung tindakan Datin Seri Rosmah Mansor yang dianggap biadap serta derhaka ekoran menggunakan gelaran wanita pertama dan mencampuri urusan rasmi kerajaan.

Seorang jurucakap memberitahu FMT bahawa kumpulan dari pelbagai latar belakang akan dianggotai oleh pertubuhan politik dan pertubuhan bukan kerajaan dalam isu yang melibatkan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini.

Menurut jurucakap kumpulan yang bakal menggerakkan penyerahan memorandum ini menjelaskan dua memo berasingan dengan isu yang hampir sama akan diserahkan kepada Seri Paduka dan Najib setiap satu.

Menurut sumber itu, antara isi kandungan memorandum kepada Seri Paduka ialah memohon agar pihak istana campur tangan atau menyatakan pendirian berkenaan penggunaan gelaran Wanita Pertama oleh Rosmah.

“Sebagai rakyat yang kasihkan Rajanya, kami hanya memohon pihak istana menyatakan pendirian dan membuat teguran tegas kepada sesiapa sahaja yang menggunakan gelaran Wanita Pertama selain Permaisuri Agung.

Katanya lagi, lebih malang lagi apabila Rosmah turut menunjukkan sikap angkuhnya apabila dengan beraninya menggunakan gelaran Wanita Pertama walaupun telah dikritik hebat sebelum ini.

‘Rosmah semakin angkuh’

“Rosmah semakin angkuh dan keterlaluan nampaknya. Ini bukan kali pertama. Dahulu pun masa lawatannya ke Amerika Syarikat dan menganjurkan Persidangan Wanita Pertama pun telah dikritik hebat tetapi mungkin tidak ditegur oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional menyebabkan dia semakin berani. Ini adalah biadap dan derhaka kepada Agong dan Permaisurinya.

“Tindak-tanduk Rosmah semacam mahu cuba menjadikan gelaran wanita pertama sebagai gelaran yang sah dan gelaran rasmi untuk isteri PM, iaitu dia sendiri,” menurutnya lagi.

Beliau juga memberitahu, keputusan untuk menghantar memorandum kepada Istana Negara tersebut dibuat apabila melihat Najib dan pemimpin Umno lain gagal menasihati Rosmah apatah lagi untuk mengambil tindakan yang wajar.

“Memandangkan situasi sekarang seolah-olah menggambarkan tiada apa yang dapat dibuat oleh Najib dan pemimpin Umno lain, maka kerana itulah kami berharap pihak istana campur tangan dalam hal ini.

Lebih-lebih lagi isu wanita pertama ini memang melibatkan pihak istana secara langsung,” ujar beliau.

Perkasa tidak bersuara

Menurut salah seorang dari kumpulan tersebut yang mengaku sebagai ahli Perkasa berkata, beliau kecewa apabila pemimpin tertinggi Perkasa tidak bersuara berhubung isu yang melibatkan pihak istana ini.

“Selalunya Perkasa tegas dengan sebarang isu yang membabitkan institusi raja-raja Melayu. Tetapi dalam isu ini, yang jelas nampak ada pihak yang sewenang-wenangnya guna gelaran yang sepatutnya untuk Permaisuri Agung, Perkasa tak keluar apa-apa kenyataan pun.

“Itu yang saya kecewa. Sebab itulah saya sertai kumpulan ini tetapi bukannya kapasiti sebagai ahli Perkasa, ini adalah secara peribadi saya dan dua rakan saya yang lain juga dari Perkasa.

Menurutnya lagi, selain individu dari Perkasa, beberapa pemimpin dan ahli beberapa parti politik yang berlainan idealogi daripada Pakatan Rakyat dan BN turut terlibat dalam rancangan itu.

“Selain saya dan dua rakan dari Perkasa, rakan kami yang lain ialah dari Umno, PKR dan PAS. Mereka sama juga seperti saya, bertindak bukan atas kapasiti parti politik masing-masing.

“Lagipun tiada sesiapa di antara kami yang memegang sebarang jawatan di peringkat pusat dalam parti atau pertubuhan masing-masing. Paling tinggi pun hanya dua, tiga orang peringkat daerah dan mungkin akan disertai oleh seseorang di peringkat negeri nanti,” katanya lagi.

Menyeru parti politik dan NGO turut bertindak

Jurucakap kumpulan ini juga menyeru agar mana-mana pihak tanpa mengira parti politik yang mampu mengatur gerakan penyerahan memorandum ini turut berbuat demikian.

“Saya menyeru kepada mana-mana pemimpin tak kira parti politik atau NGO, agar turut mengatur satu rancangan untuk menyerahkan memorandum ini kepada Seri Paduka seperti yang telah dibuat dalam isu air negeri Selangor.

Mungkin jika mereka yang mengaturnya ia lebih mendapat sambutan rakyat, ada pengalaman untuk menyusun dan merancang strategi berbanding kami dan boleh beri kesan yang lebih baik,” ujar beliau.

Manakala, memorandum yang dirancang untuk diserahkan kepada PM pula akan menyentuh penglibatan Rosmah dalam urusan rasmi kerajaan termasuk membantah kewujudan Pejabat Wanita Pertama Malaysia (FLOM) di Putrajaya.

Menurut mereka penglibatan Rosmah dianggap semakin serius sehingga membelakangkan menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam sesuatu kementerian seperti Kementeriaan Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Rosmah mencampuri urusan negara

“Nampaknya semakin lama, Rosmah semakin galak mencampuri urusan kerajaan hinggakan kadang-kala lagaknya seperti seorang Menteri Pelajaran, Menteri Hal Ehwal Wanita pun ada dan sebagai duta pun ada,” menurut sumber itu lagi.

Beliau turut mempersoalkan dan melahirkan kekesalan apabila Najib bukan sahaja dilihat gagal untuk menegur isterinya itu, malahan turut pada masa tertentu menyerlahkan pendirian beliau yang menggalakkan tindakan isterinya itu.

“Mengapa Najib tidak menegur atau mungkin juga PM sendiri yang memberikan galakan kepada Rosmah?” soal beliau.

“Yang hairannya, takkanlah Najib tidak nampak apa-apa yang tak kena tentang ini? Penasihatnya butakah untuk memahami ia memberi impak negatif kepada PM?

“Terus terang saya katakan isu ini bukan sahaja menjadi bahan serangan PR tetapi orang-orang dalam Umno sendiri pun ramai yang mengadu meluat dengan situasi ini,” tambah beliau.

* Sumber Free Malaysia Today


Rabu, 12 Januari 2011

Keyakinan PR ke Putra Jaya: Realistik atau fantasi?


Gembar-gembur Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin hari semakin hangat diperkatakan dengan pelbagai versi dan spekulasi tarikh pembubaran parlimen sekaligus memberi laluan PRU-13 diadakan.

Antara spekulasi yang semakin kencang bertiup pada masa ini ialah jangkaan PRU-13 akan diadakan pada tahun ini khasnya setelah Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak memanggil ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) bermesyuarat baru-baru ini.

Dua parti utama ketika ini melahirkan keyakinan masing-masing untuk meraih kejayaan dalam PRU-13 itu nanti. Masing-masing BN dan Pakatan Rakyat (PR) ketika ini mula mencongak kekuatan dan kelemahan mereka dan juga pihak lawan.

Di pihak PR pada masa ini sedang menjulang harapan dan keyakinan yang cukup tinggi untuk menyingkirkan BN daripada Putra Jaya sekaligus buat pertama kalinya menamatkan dominasi 53 tahun BN.

PRU-13 peluang terbaik PR

Bagaimanapun, benarkah pada masa ini PR sedang berada di atas landasan yang betul untuk menerjah ke Putra Jaya? Apakah faktor yang menyumbang kepada keyakinan mereka itu?

Pada masa ini faktor utama kelebihan PR bukanlah kekuatan PR itu sendiri tetapi ianya lebih merupakan kelemahan BN dengan pelbagai isu rasuah, penyelewengan, skandal dan yang paling utama keputusan-keputusan BN yang memberi kesan secara langsung kepada kehidupan rakyat negara ini.

Walaupun kerajaan berusaha menerangkan kepada rakyat negara ini tentang pemulihan ekonomi negara dengan menghidangkan angka-angka KDNK, indeks saham, unjuran pertumbuhan ekonomi dan sebagainya gagal menarik minat rakyat kebanyakkan.

Pada masa ini, perkara utama yang menjadi pertimbangan umum ialah tekanan terhadap kos sara hidup yang semakin memuncak sekaligus menjadikan ianya isu utama yang mempengaruhi undi dalam PRU kelak.

Tatkala BN di bawah pimpinan Najib masih lagi terus membuat keputusan yang kurang disenangi rakyat terbanyak dengan siri-siri kenaikan harga barangan keperluan, PR pula dilihat bijak memainkan peranan maksima bagi mendapatkan sokongan rakyat.

Malahan bagi sesetengah pihak, imej dan tindakan isteri PM, Datin Seri Paduka Rosmah Mansor sedikit sebanyak turut menambah memberatkan lagi langkah BN untuk terus berkuasa selepas PRU-13.

Bagaimanapun sedikit sebanyak konsep 1 Malaysia Najib mampu memulihkan kembali sokongan pengundi bukan Islam yang beralih kepada pembangkang akibat penolakan konsep 'Islam Hadhari' ketika era Tun Abdullah Badawi sebagai PM.

Sekiranya arus utama tsunami politik dalam PRU-12 lalu adalah manifestasi penolakan terhadap konsep Islam Hadhari Abdullah oleh golongan tersebut, maka sekurang-kurangnya Najib sedikit mampu menarik nafas lega dengan slogan 1 Malaysianya.

Faktor Anwar Ibrahim

Suka atau tidak, Anwar Ibrahim adalah salah satu faktor kelebihan bagi PR. Dalam keadaan kredibiliti beliau yang mulai terhakis disebabkan isu pemilihan PKR mahupun keputusan dan tindakan kontroversinya, beliau masih lagi merupakan salah satu sumber kelebihan PR.

Kejayaan pembangkang pada hari ini banyak dibantu oleh kekuatan pengaruh Anwar semenjak bermulanya penentangan Anwar terhadap BN apabila beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Umno.

Bagaimanapun, imej Anwar pada masa ini, dilihat hampir menyamai imej lima tahun terakhir Tun Mahathir bergelar PM. Walaupun ketika itu Mahathir merupakan ketua yang mempunyai kekuatan tersendiri ketika mengepalai BN tetapi pada masa yang sama, sedikit demi sedikit beliau mula dianggap sebagai liabiliti kepada partinya itu.

Pengundi muda undi penentu
Anggapan PR bahawa majoriti anak-anak muda menyebelahi mereka hanyalah satu tanggapan berdasarkan kepercayaan terhadap mood anak-anak muda yang mahukan perubahan.

Hakikatnya, tiada parti yang boleh mendakwa peratusan sokongan kelompok ini akan memihak kepada mereka. Tambahan pula, kebanyakkan anak-anak muda ini merupakan pengundi baru dalam PRU-13 yang masih tidak dapat dicula undian mereka nanti.

Meskipun ada kajian-kajian yang dijalankan oleh badan-badan tertentu terhadap pendirian politik kelompok anak muda ini, ia masih tidak boleh dijadikan gambaran sepenuhnya mood kelompok ini.

Menurut hasil kajian penganalisis politik terkenal, Profesor Abu Hassan Hasbullah, golongan pengundi berumur 21 hingga 40 tahun ini merupakan kelompok penentu dalam PRU-13 nanti.

PR Pulau Pinang punyai kelebihan perolehi mandat semula

Salah satu faktor yang boleh dianggap sebagai kekuatan PR di peringkat pusat pada masa ini ialah dengan menjadikan contoh Kerajaan PR Pulau Pinang yang dianggap berjaya menguruskan pentadbiran negeri yang dianggap cemerlang berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara dan terbaru Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Malangnya laporan dan kajian ini seboleh-bolehnya tidak dilaporkan oleh akhbar-akhbar arus perdana kawalan Umno dan BN.

Pada masa ini kerajaan PR Pulau Pinang dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk memperolehi mandat semula dalam PRU-13 berbanding Selangor walaupun kerajaan negeri di bawah pimpinan Lim Guan Eng itu turut diserang dari segenap sudut.

Serangan bertali arus Umno terhadap kerajaan negeri dianggap tidak mampu memberi kesan yang maksima terhadap pengundi majoriti berbangsa Cina di Pulau Pinang berbanding serangan yang sepatutnya datang dari Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Umno, dengan berbekalkan isu yang banyak menyentuh kepentingan kaum Melayu sahaja, maka isu yang dibawakan oleh Umno telah gagal menarik perhatian masyarakat bukan Melayu di Pulau Pinang.

Bagaimanapun Parti Gerakan yang sepatutnya memegang peranan sebagai penyerang utama bagi menarik kembali sokongan majoriti bukan Melayu Pulau Pinang bagi pihak BN berbanding Umno, ketika ini hanya mampu melancarkan serangan yang hambar.

Sebenarnya keadaan ini wujud apabila Lim sendiri agak bijak meminimakan kesilapan percaturan tatkala membuat keputusan-keputusan penting, mampu menutup titik-titik kelemahan yang ada dan akhirnya menyempitkan peluang serangan di pihak pembangkang negeri itu.

Secara umumnya, masyarakat Cina di Pulau Pinang dianggap tidak menghadapi sebarang masalah dengan kehadiran Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi masyarakat Melayu dan India pula, pertambahan sokongan terhadap kepimpinan Lim dari golongan ini juga dikatakan meningkat ekoran beberapa pendekatan kerajaan negeri yang dilihat menguntungkan penduduknya.

Faktor kerajaan negeri yang berbelanja dengan berhemah, menaikkan peruntukan kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, sekolah agama dan madrasah, keupayaan memberi bonus tahunan, satu-satunya kerajaan negeri yang memberi bonus tahun baru hijrah dan lain-lain telah berjaya memikat hati pengundi golongan ini.

Kerajaan PR Selangor bermasaalah pertahankan kerajaannya?

Kerajaan PR Selangor pula, walaupun bermula baik pada dua tahun pertamanya namun pada masa ini mulai dihantui dengan pelbagai kontroversi berhubung politik dalaman PKR.

Menjadikan keadaan lebih malang lagi apabila kerajaan PR Selangor bukan sahaja terpaksa menghadapi serangan tanpa henti dari pihak lawan dari luar, malahan kewujudan 'parasit-parasit' di dalam kem lebih banyak menyumbang kepada kerosakkan dalam parti.

Sekiranya PR gagal mempertahankan kerajaan di negeri terkaya negara ini, ianya bukanlah sekadar disebabkan serangan bertali arus atau kebangkitan Umno dan BN Selangor tetapi juga disebabkan pertelagahan sesama mereka sendiri.

Gangguan dalaman terhadap Khalid

Tan Sri Khalid Ibrahim dianggap oleh sesetengah pihak di Selangor gagal menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar dengan baik disebabkan terdapat gangguan daripada pihak dalaman PKR sendiri.

Antara teori yang menjelaskan keadaan tersebut ialah tindakan Khalid yang tidak bertanding dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR walaupun sebelumnya telah menawarkan diri untuk menyertai persaingan itu.

Khalid dikatakan menerima 'wahyu' supaya menyatakan kesediaan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dengan tujuan memancing Datuk Zaid Ibrahim keluar dari pertandingan jawatan nombor dua itu sekaligus memberi laluan mudah kepada Azmin Ali.

Sebelum itu, Zaid berkata dalam satu kenyataan medianya, beliau akan menarik diri sekirannya Khalid turut menyertai persaingan tersebut dan memberi sokongan kepada Khalid.

Bagaimanapun helah tersebut tidak berkesan apabila Zaid masih meneruskan hasratnya untuk bertanding dan memaksa Khalid menolak pencalonan di saat-saat akhir bagi mengelak perpecahan undi di cabang-cabang negeri Selangor dan menjejaskan peluang kemenangan Azmin.

Dari sudut kelebihan yang ada pada kerajaan PR Selangor pula, pada masa ini tertumpu kepada beberapa program yang dijalankan oleh kerajaan negeri khususnya berkaitan isu kembalikan hak air Selangor yang masih belum dapat dimuktamadkan lagi.

Melalui isu air ini, masyarakat di Selangor lebih cenderung untuk memberikan sokongan kepada kerajaan negeri kecuali penyokong tegar dalam BN dan golongan kelas atasan.

Juga merupakan bonus bagi PR apabila bekas Menteri Besarnya, Dato Sri Dr Khir Toyo terjerumus dalam dakwaan kancah rasuah dan bakal didakwa pada bulan Jun nanti.

Harapan PR Selangor untuk kembali berkuasa selepas PRU-13 tetap masih ada walaupun mereka sendiri telah memilih jalan paling sukar dengan membiarkan permainan politik dalaman menguasai pentadbiran kerajaan negeri itu.

Rabu, 22 Disember 2010

Apa kata Kolumnis Rahman Shaari tentang Chegu Bard?

Oleh Nazli Ibrahim aka Beduk Canang

Saya tertarik apabila membaca ruangan Bicara Selasa di akhbar Sinar Harian oleh kolumnis Rahman Shaari pada 14 Disember lalu.

Tulis beliau dalam ruang itu, gelaran cikgu yang ada pada guru yang melibatkan diri dalam politik hari ini tidak lagi menjadi kebanggaan guru-guru ini.

Kebanyakkan guru yang berpolitik ini lebih menunjukkan minat untuk menggunakan gelaran yang datang dari istana.

Keadaannya amat berbeza ketika zaman sebelum merdeka hinggalah ke era 80an dimana guru-guru ketika itu amat berbangga dengan gelaran cikgu yang disandangnya.

Walaupun ada antara guru tersebut yang turut mendapat gelaran lain dari istana tetapi gelaran guru tetap menjadi kebanggaan lantaran status seorang pendidik anak bangsa dan juga pejuang menuntut kemerdekaan.

Tulis beliau lagi, kalaulah ada guru berpolitik hari ini yang dipanggil dan beliau juga merasa selesa dan bangga dengan gelaran cikgu yang ada padanya ianya ialah bekas calon Ketua AMK, Chegu Bard.

Alasan untuk beliau percaya begitu kerana Chegu Bard tentunya tidak akan terkenal dengan gelaran Chegu Bard sekiranya beliau sendiri tidak menggemari gelaran itu.

Beliau turut menulis, seseorang yang sedar akan pentingnya peranan guru dalam kehidupan, akan berasa bangga apabila memikirkan Chegu Bard yang rupa-rupanya ada lagi manusia Melayu yang masih senang hati dengan gelaran 'cikgu'.

Rahman Shaari turut memberikan beberapa contoh personaliti terkenal dikalangan orang-orang terdahulu yang mengekalkan gelaran cikgu walaupun telah menerima gelaran lain.

Antaranya ialah Cikgu Ali Ahmad (MB Perlis) yang menerima gelaran Dato, Cikgu Ishak Arshad (Dato), Cikgu Shahnon Ahmad (Profesor) dan Noordin Hassan dan tidak ketinggalan Allahyarham Ghafar Baba yang entah bagaimana tiba-tiba lebih dikenali dengan gelaran Encik Ghafar Baba.

Biarpun mereka ini tidak lagi bertugas sebagai guru dan menjawat jawatan tinggi dengan gelaran Dato, namun mereka tetap kekal dengan panggilan cikgu dikalangan masyarakat setempat dan mereka amat selesa dengan keadaan itu.

Komennya lagi tentang anak muda yang bernama Chegu Bard ini, beliau melihat Chegu Bard seorang pemimpin muda yang progresif dan tidak mudah mundur dalam mempertahankan pendiriannya.

Rahman turut menyebut jika Chegu Bard dijaga dengan baik oleh pucuk pimpinan parti pasti beliau dapat memberikan jasa terbaik kepada partinya dan rakyat negara ini.

Beliau turut mengulang apa yang disebut oleh Chegu Bard, PKR haruslah membuktikan ketelusannya seperti mana yang dipertikaikan oleh parti itu terhadap ketelusan SPR.

Di akhir tulisannya, beliau titipkan, "Chegu Bard akan terus berkeras, kerana itu ialah sifat pejuang. Kita yakin, dia akan menjadi aset kepada rakyat."

Begitulah antara ringkasan pandangan Rahman Shaari terhadap Chegu Bard dalam artikelnya itu, bukan pandangan saya.

Cikgu Rahman Shaari (Profesor Madya) adalah seorang sasterawan yang juga seorang bekas guru di awal kerjaya beliau. Pernah berkhidmat di IPTA tempatan dan telah melahirkan banyak novel, cerpen, kajian dan lain-lain.

Kini beliau berkhidmat di Fakulti Seni dan Sains Sosial, Universiti Malaya sebagai Senior Research Fellow.

Selasa, 7 Disember 2010

Ada apa di sebalik nama Kavita Kaur?

Apakah sangkut paut pelakon Kavita Kaur dengan dunia politik tanah air mahupun kepada golongan istana di negara ini?

Persoalan ini tentunya kerap bermain-main di minda para pembaca blog terkenal, Tukar Tiub (TT) apabila pengendali blog tersebut dilihat kerap menimbulkan nama pelakon jelita yang juga bekas ratu cantik itu tatkala melaporkan sesuatu isu politik yang melibatkan golongan diraja atau kerabat-kerabatnya.

Blog yang terkenal dengan penyampaian berita dengan gaya bersahaja ini juga kerap menyampaikan berita-berita denga cara tersirat yang memerlukan pembacanya menganalisa atau mencari kebenaran terhadap apa yang cuba disampaikan.

Menurut seorang pengikut setia blog tersebut yang enggan disebutkan namanya, beliau percaya ada sesuatu yang mahu disampaikan oleh TT apabila sering menimbulkan nama Kavita Kaur disamping entri yang membabitkan seseorang raja.

Bagaimanapun sehingga kini, beliau masih belum mendapat jawapan yang jelas berhubung perkara ini kecuali beberapa andaian rakan-rakan lain yang tidak dapat dipastikan kebenarannya.

"Saya masih kabur apa yang cuba disampaikan tetapi saya yakin memang ada sesuatu yang mengejutkan. Lebih-lebih lagi TT tidak akan memasukan nama Kavita Kaur tanpa bersebab.

"Mungkin sengaja ia disampaikan dalam bentuk tersirat begini bertujuan mengelak daripada serangan pihak-pihak tertentu atau pun berhadapan kekangan tertentu yang mungkin berkaitan kebebasan bermaklumat.

"Oleh itu, jika perkara ini menyentuh soal keadilan, kenteraman mahupun moral pemimpin, sebagai rakyat sebuah negara yang cintakan kebenaran, maka menjadi tanggungjawab kita untuk mencari jawapannya kerana kita tentunya tidak mahukan pemimpin yang hipokrit," katanya.

Sebelum ini blog ini beberapa kali berjaya memecah berita baik secara langsung atau tidak langsung berhubung salah laku beberapa pemimpin-pemimpin dalam negara ini.

Isnin, 22 November 2010

Pasca pemilihan: PKR catat sejarah

Pemilihan Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2010 telah pun melabuhkan tirainya semalam dengan mencatat pelbagai sejarahnya tersendiri.

Pindaan Perlembagaan yang dibuat oleh parti itu bagi membolehkan ahli akar umbinya terlibat secara langsung untuk memilih barisan kepemimpinan semua peringkat telah mencatatkan satu sejarah baru untuk PKR sendiri.

PKR catat sejarah, penanda aras baru berdemokarasi

Malah, sejarah yang dicipta ini bukan sahaja satu catatan rekod peribadi PKR, bahkan merupakan catatan sejarah politik tanah air yang wajar dikongsi oleh semua masyarakat negara ini.

Langkah berani PKR itu juga disifatkan sebagai meletakkan penanda aras baru dalam menyemarakkan demokrasi dalam negara ini ke tahap yang lebih tinggi.

Di sisi lain, satu lagi sejarah turut dicatatkan di sepanjang pemilihan parti ini yang melibatkan 400,000 ahlinya daripada 206 cabang di seluruh negara.

PKR catat sejarah proses pemilihan terburuk

Dalam sejarah politik moden tanah air, PKR telah mencatatkan nama sebagai satu-satunya parti politik yang menjalankan proses pemilihan pemimpin parti yang paling banyak dicemari isu penyelewengan.

Kelembapan JPP burukkan keadaan

Menambah burukkan keadaan apabila pemimpin-pemimpin dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) didakwa tidak cekap dalam menguruskan masalah-masalah berhubung penyelewengan yang didakwa oleh ahli dan calon bertanding.

Sebaliknya pemimpin parti dan JPP lebih gemar berterusan menafikan penipuan yang berlaku sekaligus lebih membakar kemarahan calon-calon dan ahli-ahli parti yang menganggap diri mereka tertipu.

Menyalahkan media

Selain itu, memang mudah bagi pemimpin-pemimpin ini mengkambing hitamkan sesetengah media khususnya media arus perdana dengan menuduh sebagai sengaja mengambil kesempatan memperbesarkan isu.

Perkara ini memang mudah untuk difahami apabila terdapat beberapa media arus perdana yang dikawal oleh Umno-BN memberikan laporan kepincangan parti ini secara besar-besaran semenjak hari pertama pemilihan berjalan lagi.

Umno-BN sebagai parti seteru PKR tentunya tidak mahu dilihat sebagai parti yang tidak bijak sekiranya tidak mengambil kesempatan ke atas kemelut yang melanda PKR ini.

Bagaimanapun serangan terhadap PKR dalam isu pemilihan ini turut berlaku di kalangan pengamal media alternatif yang lebih neutral termasuk kalangan blogger pro PKR sendiri.

Sekiranya media perdana yang pro Umno-BN memberi laporan negatif dianggap bertujuan untuk meruntuhkan PKR, sebaliknya bagi rata-rata media alternatif ini cuba bersikap adil.

Bagi kebanyakkan bloger-bloger pro PKR pula, hentaman mereka lebih bersifat untuk mendidik parti itu agar tidak dilabelkan sebagai parti yang korup seperti yang dilabelkan terhadap parti seteru mereka.

Malangnya apabila kritikan-kritikan awal yang dilontarkan dengan nada lebih lembut oleh media alternatif ini dibalas dengan kenyataan bongkak dan penuh dengan sindrom penafian oleh JPP mahupun oleh Setiausaha Agung parti.

Kenyataan JPP sendiri pada peringkat awalnya yang lebih gemar menafikan adanya penyelewengan berlaku dalam pemilihan akhirnya memberi padah kepada PKR sendiri.

Akhirnya apabila aduan-aduan ahli dan calon terhadap penipuan yang berlaku tidak mendapat reaksi yang sewajarnya, maka pilihan akhir yang ada hanyalah bertemu media bertujuan memberi tekanan kepada JPP.

PKR yang lantang mempertikaikan kerenah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dianggap sebagai alat BN, disarankan ada baiknya mengkaji sistem pemilihan dalaman partinya sendiri terlebih dahulu.

Bagi kebanyakkan pengkritik dari media alternatif, mereka tentunya dapat memahami sikap menyembunyikan pekung ini didorong oleh pemimpin yang tidak berjiwa besar untuk mengakui kesilapan dan juga demi menjaga imej parti.

Natijahnya, mungkinkah kerana sikap pemimpin yang beginilah, dengan sendirinya PKR terpaksa membayar harga yang mahal dalam PRU 13 nanti.

Kemelut yang memalukan ini tentunya mampu memberi kesan kepada pengundi di atas pagar yang dianggarkan mewakili lebih 40 peratus pengundi berdaftar dalam PRU 13 nanti.

Mahu mengadakan 'parti kesyukuran'? Tunggu dahulu

Kembali kepada isu pemilihan, mungkin ketika artikel ini ditulis, mungkin ada calon yang mula berkira-kira untuk mengadakan 'parti kesyukuran' tatkala berjaya memenangi jawatan yang ditandingi.

Sewajarnya ada baiknya niat tersebut ditangguhkan dahulu kerana tidak mustahil JPP yang bertindak 'telus' itu menangguhkan kemenangan anda.

Meskipun ia satu tindakkan yang terlewat, namun ia jauh lebih baik daripada tidak bertindak apa-apa langsung.

'Dinasti Azmin' bakal dominasi PKR? (bhg 1)

Pusingan terakhir pengundian Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berbaki 52 cabang bakal dilangsungkan hujung minggu ini dijangka tidak banyak mengubah kedudukan calon bertanding.

Dengan tinggal dua hari pengundian, jika peratusan yang keluar mengundi pusingan sebelumnya diambil kira, keputusan bayangan beberapa jawatan utama parti sudah dapat diduga.

Antara yang menarik perhatian apabila pemimpin yang dianggap sebagai orang Azmin dilihat mendominasi barisan pemimpin bayangan PKR sekaligus menandakan bermula era 'dinasti Azmin' dalam PKR.

Timbalan Presiden

Bagi jawatan Timbalan Presiden, hingga saat ini boleh dianggap 99 peratus Azmin Ali hampir pasti dinobatkan ke jawatan nombor dua parti itu.

Ditambah pula dengan penarikan diri pesaing terdekatnya sebelum ini, Dato Zaid Ibrahim hanya memudahkan lagi laluan beliau untuk menduduki kerusi yang dikosongkan oleh Senator Syed Husin Ali.

Bagi Mustaffa Kamil Ayub yang memungut 3,401 undi ketika ini, sudah agak mustahil untuk memotong Azmin Ali yang memperolehi 14,751 undi.

Naib Presiden

Pola yang sama turut berlaku dalam persaingan merebut empat tempat dalam Naib Presiden yang didahului oleh Nurul Izzah Anwar dengan 11,042 undian, Tian Chua (9,524), Fuziah Salleh (7,878) dan Mansor Othman (7,448).

Kecuali Nurul Izzah, sekurang-kurang tiga dari empat calon teratas tersebut didominasi oleh calon yang dianggap sebagai orang Azmin dalam PKR.

Berada pada kedudukan nombor lima, Gobalakrishnan dengan jumlah undi yang dikutip 5,288 kurang 2,160 daripada undi diperolehi Mansor, boleh dianggap kedudukan yang sukar untuk menempatkan diri dalam kelompok empat teratas.

Undian tinggi diperolehi oleh Nurul Izzah daripada peringkat ahli akar umbi ini sekaligus menolak dakwaan negatif sesetengah pihak bahawa beliau bergantung kepada populariti bapanya semata-mata.

Malah dalam dunia politik PKR, kedua-dua tokoh dalam generasi yang berbeza ini turut menampakan perbezaan segi sokongan dan pendekatan dalam berpolitik.

* Menyusul selepas ini: Barisan bayangan AMK, Wanita 'dinasti Azmin' dan rumusan.

Selasa, 26 Oktober 2010

Shamsul nafi team Reformasi 3.0 bergolak

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini menafikan berlaku pergolakan dalam team Reformasi 3.0 seperti mana yang dilaporkan dalam blog sharpshooterblogger.blogspot.com.

Shamsul juga menafikan dakwaan oleh pengendali blog tersebut bahawa ada mengeluarkan kenyataan tidak mustahil untuk beliau memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja Chang Lih Kang sebagai Timbalan Ketua AMK kepada pengendali blog tersebut.

"Ia tidak tepat dan ada juga yang saya tidak tahu-menahu tentang apa yang saudara katakan ini. Khairul juga masih bersama team Reformasi 3.0. Tidak timbul isu menyingkirkan beliau," kata beliau ketika dihubungi FMT hari ini.

Sementara itu, calon Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin semasa dihubungi turut menafikan dakwaan bahawa beliau sebagai beban dalam team Reformasi 3.0.

"Saya bukan beban, malah sebenarnya calon paling ‘ringan’ sekali dalam team Reformasi 3.0 ini. Tidak ada isu sebenarnya. Mungkin inilah adat berkempen agaknya," ulas beliau.

Beliau juga memberitahu kemungkinan isu ini sengaja ditimbulkan berikutan pengendali blog tersebut merupakan ahli dalam pakatan ‘Anak muda penerus momentum reformasi’ yang diterajui oleh Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegu Bard.

sharpshooterblogger.blogspot.com dikendalikan oleh Amizudin Ahmat yang turut bertanding merebut jawatan Pengerusi Tetap AMK.

Selain itu beliau adalah pembantu khas kepada Adun Bukit Tengah, Ong Chin Wen. Sebelum ini, Amizudin mengesahkan kepada FMT tentang dakwaan beliau menerima khidmat pesanan ringkas dari Shamsul untuk meminta pandangan dan disusuli perbualan telefon tersebut adalah benar.

Amizudin juga menegaskan, tujuannya menyiarkan entri tersebut kerana mahukan Khairul mengambil tindakan saman terhadap sebuah blog lain berhubung dakwaan skandal projek di Selangor bagi membersihkan namanya.

- FREE MALAYSIA TODAY


Ahad, 24 Oktober 2010

Pertandingan AMK bergolak lagi

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Landskap pertandingan dalam perebutan jawatan penting dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK) dijangka bergolak lagi apabila calon Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainudin disebut-sebut bakal disingkirkan daripada kumpulan yang mengelarkan diri mereka Reformasi 3.0.

Kumpulan Reformasi 3.0 merupakan barisan kepimpinan AMK yang dipimpin oleh penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin sepanjang musim pemilihan pemimpin peringkat pusat berjalan.

Berita mengenai kemungkinan penyingkiran Khairul Anuar mula tersebar beberapa hari lalu apabila pengendali blog sharpshooterblogger.blogspot.com, Amizudin Ahmat menyiarkan artikel yang menyentuh perkara ini.

Pengendali blog tersebut yang juga merupakan calon Pengerusi Tetap AMK menulis dalam dua entri bertajuk ‘Jonah beban buat Shamsul Iskandar?’ dan ‘AMK lancar kempen bantah projek ‘Menara Warisan Merdeka’ dengan jelas menggambarkan kemelut yang melanda dalam kumpulan Reformasi 3.0.

Semalam, Ahmat turut memberitahu FMT bahawa Shamsul ada memberitahunya dalam satu perbualan telefon selepas meminta pandangannya melalui khidmat pesanan ringkas dengannya bahawa tidak mustahil untuknya sekali lagi membuat pusingan U.

"Sam ada sms minta pandangan. Dia juga tahu Selangor tak suka Jonah.

Dia telefon. Dia kata tak mustahil dia ‘U turn’ lagi bila jumpa ‘T-junction’. Jonah memang tertekan. Dia kata mengapa nak bunuh politik dia dalam isu ini?," menurut Amizudin.

Beliau juga memberitahu kemungkinan besar Shamsul akan meninggalkan Khairul dan akan isytiharkan calon Timbalan Ketua AMK, Chang Lih Kang sebagai calon pilihannya.

Terdahulu, dalam entri bertajuk ‘AMK lancar kempen bantah projek Menara Warisan Merdeka, pengendali blog tersebut menulis "Shamsul Iskandar juga melalui SMS bertanya kepada Sharpshooter, apakah perlu beliau isytiharkan Chang sebagai Timbalannya?

"Sharpshooter menjawab.. Ya sebab beliau berasal dari Perak dan salah satu agenda utama AMK adalah untuk merampas semula Perak.

"Beliau bersetuju dan adalah tidak adil Ketua dan Timbalan berasal dari Melaka. Shamsul Iskandar dan Jonah adalah orang Melaka".

* Penafian Shamsul dan Khairul Anuar menyusul selepas ini

- FREE MALAYSIA TODAY

Khamis, 21 Oktober 2010

Bajet 2011: Ulasan menarik pengunjung blog

Tanpa Nama telah meninggalkan ulasan baru pada catatan " Rosmah Mansor, Bakal Bertanding PRU 13? " anda:

saya nak isytihar bajet 2011 untuk keluarga saya ni. Dengar semua!

pendapatan bulanan = RM2467.11
pendapatan lain tiada
isteri tidak bekerja sebab xnak bg anak kt pengasuh. Nanti pengasuh pijak2 anak saya.

perbelanjaan bulanan = rumah RM530(apartment sewa kecik je! )
kereta myvi RM450 (kereta kecik je!)
motor lagenda RM150 (utang, bkn cash! )
insurans RM200 (insurans cover anak kecik je!)
bil utiliti RM200 (letrik-air-astro-internet-tepon umah wajib ade!)
brg dapur RM400 (susu anak,lampin anak, brg basah kering)
minyak kereta RM320 (seminggu rm80 isi minyak)
zakat RM80 (ni wajib byr! )
tol + minyak blk kg RM120 (saya tinggal di gombak. sebulan sekali wajib
balik kg kt kedah, nnti mak kata anak durhaka)

cuba tuan2 puan2 kira, BAKI WANG GAJI SAYA RM17.11.
Duit tu la saya simpan untuk bayar ROADTAX + INSURANS KERETA,
SERVIS KERETA, BELANJA MAKAN SAYA KT OFIS, BAYAR SAMAN
EKOR YANG ENTAH POLIS MANA TEMBAK.

Jadi cuba saudara-saudara pikir, rakyat sendiri mcm saya ni pun tak membazir. 1.2 juta kakitangan awam di malaysia ni tak memandu mercedes s320, bmw 520i, honda crv 2.0, toyota fortuner 2.7g, toyota camry 2.4e, nissan murano 3.5.

Cuba saudara lihat para exco.menteri, hatta ADUN daerah sekalipun berbangga dengan kereta mereka. Tanpa kita sedar, kereta milik ADUN dipakejkan dengan pemandu, servis kereta ditaja kerajaan, No.plet kereta cantik pulak tu. WTK 5555, WUD 8989, WUH 7887.

kita hanya memandang saja, nak tegur ADUN, ADUN sombong.
tapi lihat semasa pilihanraya 2011 nanti, ADUN senyum kambing kt kita.
sebabnya mereka telah diajar cara-cara menyuap mulut rakyat dengan wang.
Supaya kita mengundi si ADUN sombong 2.

jadi kenapa nak bangunan TINGGI 100tingkat???????????
SEDANGKAN MISKIN TEGAR YANG DUDUK RUMAH NAK ROBOH MELAMBAK-LAMBAK.

Sebelum PM Najib nak bina bangunan 100tingkat, sila bina dahulu rumah2 untuk MISKIN TEGAR. SILA 0% dahulu MISKIN TEGAR NI. GEMBIRAKAN HATI RAKYAT SEBELUM GEMBIRAKAN HATIKAN HATI KONTRAKTOR KEPARAT.

BERSYUKURLAH wahai pemimpin kerana RAKYAT MALAYSIA masih tidak membakar bendera negara sendiri dan sebelum hati rakyat ni terbakar, JGN MEMBAZIRKAN WANG CUKAI RAKYAT dengan membuat projek bangunan mega movie setinggi 100tingkat.

cuba saudara-saudari lihat, 700,000 kakitangan sokongan bergaji KURANG DARIPADA rm3000 menderita sebenarnya.

Namun kita lihat apa kata PM " Saya tidak boleh membelanjakan lebih daripada pendapatan kerajaan semata-mata untuk bonus sahaja".

Rakyat malaysia sendiri pun sanggup bergolok-gadai untuk memastikan kerajaan stabil.
Rakyat malaysia sendiri pun sanggup bayar subsidi minyak untuk memastikan kerajaan berjimat.
Rakyat malaysia sendiri pun sanggup bayar saman ekor untuk memastikan kerajaan cukup wang.
Rakyat malaysia sendiri pun sanggup bayar tol untuk memastikan kerajaan untung atas jalan
Rakyat malaysia sendiri pun sanggup berjudi nombor ekor supaya kerajaan dapat hasil cukainya

JADI KITA FIKIR, KERAJAAN TIDAK SANGGUP BELANJA SUBSIDI UNTUK RAKYAT
CUKAI RAKYAT UNTUK RAKYAT, JANGAN SESUKA HATI MEMBAZIRKAN WANG RAKYAT
BILA MALAYSIA BANGKRAP, JANGAN SALAHKAN RAKYAT.



Dicatat oleh Tanpa Nama ke BEDUK CANANG! pada 2010 Oktober 21 01:08

Rabu, 29 September 2010

Kertas siasatan BPR sahkan Adun Kulim ditawar RM5 juta benar

Raja Petra Kamarudin melalui blognya Malaysia Today hari ini mendedahkan satu kertas siasatan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR), kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesahkan dakwaan Adun Kulim beliau ditawar RM5 juta untuk lompat parti adalah benar. Dalam postingnya hari ini, Raja Petra menyiarkan 'Laporan Siasatan Awal' BPR (kini SPRM) cawangan Seberang Perai Aduan no 11/2008 yang dibuat oleh YB Lim Soo Nee, Adun Kulim dari PKR yang dinamakan sebagai A1.

Laporan itu mendedahkan sasaran siasatan mereka adalah bekas Menteri Besar Kedah, Mahazir bin Khalid yang dinamakan sebagai B1 dan dan orang tengah Tan Yak Siew yang dinamakan B2.

Di akhir laporan ini, siasatan itu mengesahkan, pada 9.9.2008 satu perjumpaan telah diadakan di Hotel Sunway, Seberang Jaya, Perai.

Bahagian Perisikan Ibu Pejabat telah membuat satu rakaman audio dan video di bilik hotel tersebut.

YB Mahazir Khalid yang datang berjumpa dengan A1 (Lim Soo Nee) dan mengesahkan penawaran wang itu sebanyak RM5 juta dan sekiranya A1 hendak lebih lagi, boleh berbincang dengan Datuk Seri Najib.

A1 juga dimaklumkan, sekiranya beliau lompat parti ke BN, beliau akan mendapat beberapa projek.

Laporan siasatan yang ditandatangani oleh Mahani binti Din, Penolong Kanan Penguasa, Badan Pencegah Rasuah Cawangan Seberang Perai itu melaporkan, Ibu Pejabat BPR (kini SPRM) akan menguruskan kes ini seterusnya.

Dokumen siasatan BPR dalam kes rasuah terhadap bekas MB Kedah, Mahazir Khalid ini turut disiarkan di Malaysia Today.

* Harakahdaily

Isnin, 12 Julai 2010

Lagi isu pasir: Amaran untuk Kerajaan Selangor-Jangan sampai rakyat samakan dengan kerajaan dahulu


Di muka hadapan beberapa akhbar arus perdana hari ini telah melaporkan kejadian kecurian pasir yang semakin meruncing di negeri Selangor. Sebelum ini, isu yang sama juga pernah dibangkitkan oleh YB Kapar dari PKR, S.Manikavasagam yang mendakwa kerajaan negeri kehilangan pendapatan kira-kira RM10 juta akibat perlombongan pasir secara haram yang turut melibatkan tiga pegawai kanan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Adakah kerajaan negeri Selangor akan berterusan menafikannya dengan beranggapan ia sengaja diperbesar-besarkan oleh seteru politik untuk menumbangkan kerajaan negeri yang ada sekarang? Kerajaan negeri perlu bertindak dengan lebih agresif lagi bagi membendung masalah ini.

Kerajaan negeri yang ada kini haruslah membuktikan kesungguhan untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa, ketirisan serta ketelusan mereka dalam bertindak tanpa mengira samada individu dari kem yang sama atau kem berlainan. Rata-rata pengundi yang mengundi PR pada PRU lalu mengharapkannya adanya perbezaan (lebih baik) antara kerajaan terdahulu dengan kerajaan negeri yang ada sekarang.

Mungkin memang benar isu ini telah diperbesarkan oleh pihak pembangkang negeri Selangor (BN) demi kepentingan politik mereka. Namun sebenarnya mereka ini bijak mengambil kesempatan atas kelemahan kerajaan negeri sendiri dalam mengurus dan mentadbir negeri ini. Ruang kesempatan untuk melemahkan kerajaan negeri Selangor ini bukanlah diwujudkan oleh BN tetapi dicipta oleh pemimpin-pemimpin kerajaan negeri sendiri.

Kerajaan negeri haruslah bertindak lebih aktif untuk mengatasi masalah kecurian pasir dan juga isu-isu lain yang melemahkan imej kerajaan negeri dan bukanlah terus dilanda wabak sindrom penafian dan menyalahkan pembawa berita. Jika kerajaan negeri sendiri dengan tidak sengaja berterusan 'membekalkan peluru' kepada BN dengan kelemahan-kelemahan mereka sendiri maka mungkin inilah penggal pertama dan terakhir PR menerajui kerajaan negeri Selangor.

Selasa, 6 Julai 2010

Soalan SPRM tiba dengan teksi London

Senarai soalan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dijawap oleh penyiasat persendirian, P Balasubramaniam kini di tangan peguamnya di London.

Senarai soalan SPRM itu dimuatkan dalam satu sampul dihantar dengan sebuah teksi kepada peguam Balasubramaniam, Americk Sidhu di hotelnya di London.

Soalan berkenan dihantar untuk Balasubramaniam melalui perkhidmatan kurier selepas SPRM menarik balik janji mereka untuk menghantar pegawainya ke London untuk mencatatkan kenyataan penyiasat persendirian itu, yang dijadualkan semalam.

"Kami sahkan bahawa telah menerima soalan berkenaan dan sedang mengkajinya buat masa ini,” kata Americk, yang tidak mahu mengulas lanjut.

Balasubramaniam dijangka menjawap soalan itu dalam bentuk afidavit.

SPRM sedang menyiasat dakwaan bahawa beberapa tokoh mememaksannya menarik balik pengakuan bersumpah yang dibuatnya berhubung pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Antara mereka yang didakwa itu termasuk adik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak – Nazim dan ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Selepas kejadian itu, Balasubramaniam melarikan diri ke luar negara tetapi mengeluarkan lebih banyak kenyataan yang mengejutkan terhadap Najib, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan juga menuduh bekas pegawai khas perdana menteri, Datuk Nasir Safar berada di lokasi kejadian apabila Altantuya diberkas oleh polis.

Meskipun SPRM telah membatalkan wawancara yang dijadualkan itu, Balasubramaniam dan peguamnya menunggu di tempat yang di jadualkan iaitu di Leinster Gardens, Holiday Villa.

Peguamnya yang hadir termasuk Americk dan Manjit Singh Dhillon dan mereka ditemani oleh ahli majlis tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim dan bloger Raja Petra Kamarudin.

"Kami tunggu dari jam 10 pagi dan beredar selepas 1 petang,” kata Americk.

Sementara menunggu, mereka menikmati ais kacang di sebuah restoran Malaysia di hotel berkenaan. Ketika itu, sampul yang membawa senarai soalan SPRM tiba melalui teksi.

Balasubramaniam akan mengadakan sidang media pada tempat yang sama pada 11 pagi Rabu ini (7petang waktu Malaysia) dan dijangka akan membuat lagi pendedahan.

* Dipetik dari Malaysiakini

Polis dah jadi ketua cawangan Umno-Anwar

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Pihak polis sudah menjadi seperti ketua cawangan Umno apabila pantas menyiasat isu tajaan terhadap Raja Petra Kamaruddin berbanding pendedahan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Umum PKR itu berkata, pihak berkuasa sepatutnya menyiasat terlebih dahulu dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kerajaan seperti yang didedahkan Pakatan Rakyat berbanding isu tajaan tersebut.

"Respons polis banyak terhadap kenyataan politik. Pasal politik dia cepat, dia dah jadi macam ketua cawangan Umno,” katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pemimpin Umno bahawa pengendali laman web Malaysia Today itu ke United Kingdom atas tajaan PKR.

Ianya ekoran penyiaran gambar Raja Petra bersama Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim.

"Raja Petra jawab, dia sedang cari dana untuk Pakatan rakyat.

"Polis patut siasat dana negara yang sudah hilang banyak akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa kerajaan mempunyai bukti Raja Petra dibiayai PKR.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semalam pula memberitahu menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk disiasat.

*dipetik dari Harakahdaily

Paparan Halaman