Ahad, 1 Januari 2012

Selamat datang 2012 yang mendebarkan


Oleh Nazli Ibrahim

Akhirnya hari ini kita telah pun menjejakkan kaki kita di hari pertama 2012 yang dianggap tahun yang penuh debaran kepada kebanyakkan pihak.

Bagi bakal pengantin yang telah merencanakan perkahwinan pada tahun ini, debaran tentunya semakin kencang untuk memastikan persiapan perkahwinan dapat disediakan sebelum bermulanya hari bersejarah itu.

Paling membimbangkan tentulah persiapan fizikal termasuk kos perbelanjaan perkahwinan dan mental untuk mengharungi badai di alam rumah tangga.

Bagi adik-adik yang menghadapi peperiksaan besar juga pasti tidak kurang debarannya untuk memastikan otak dapat disumbatkan dengan fakta-fakta atau formula dan bukannya menyumbatkan fakta dan formula dalam nota kecil mahupun di tapak tangan diseludup ke dalam dewan.
Debaran politik
Debaran yang dikongsikan oleh paling banyak lapisan masyarakat di negara ini pula sudah semestinya debaran dalam arena politik negara.
Dalam dunia politik tempatan tentun ramai yang berdebar-debar menantikan bilakah tarikh Pilihan Raya Umum ke 13 yang akan menentukan masa depan negara diumumkan.
Pilihan raya yang dianggap sebagai pilihan raya paling sengit dalam sejarah itu akan menentukan nasib banyak pihak dalam dunia politik negara ini.
Bagi Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak, hanya kemenangan majoriti dua pertiga sahaja yang boleh menyelamatkan beliau dari terkucil dari kerusi nombor satu pentadbiran negara.
Bagi Pakatan Rakyat pula, kegagalan memperolehi keputusan lebih baik dari PRU-12 atau sekurang-kurangnya mempertahankan keputusan yang sama hanya menyebabkan mereka kehilangan momentum dan terpaksa menunggu satu jangka masa lama untuk mengumpul kekuatan semula.
Bukan sahaja politikus-politikus negara yang berdebar-debar menantikan PRU-13 nanti, ahli-ahli koporat yang telah banyak melabur dalam parti-parti politik turut berdebar memikirkan untung tenggelam nasib mereka di pasca PRU-13 nanti.
Tersilap meletakkan pelaburan akan hanya menyebabkan pelaburan hangus dan projek pula entah ke mana.
Berbanding kapitalis dan sesetengah politikus yang berdebar memikirkan untung tenggelam nasib diri, 

sebaliknya bagi masyarakat akar umbi, masa hadapan mereka dan generasi akan datang yang membuatkan jantung mereka berdegup kencang.
Debaran keputusan liwat 2
Jika PRU-13 dianggap sebagai penentu masa depan negara, keputusan perbicaraan kes liwat 2 yang dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari nanti yang dikatakan memberi kesan ke atas landskap politik negara juga ditunggu dengan penuh debaran.

Keputusan tersebut bukan sahaja ditunggu dengan debaran oleh para penyokong beliau, malah musuh politik beliau turut berdebar menantikannya dengan harapan Anwar akan sekali lagi dipenjarakan dan mengharap kali ini untuk tempoh yang lebih lama.
Ada juga yang melihat keputusan memenjarakan Anwar akan menjadikan Barisan Nasional (BN) mampu bernafas lebih lama serta lebih selesa berbanding sekarang.
Bagaimanapun, ada juga yang berpendapat, meskipun memenjarakan Anwar dapat memendekkan karier politik Anwar, tetapi tindakan itu akan menyebabkan BN terpaksa berhadapan dengan bahaya yang lebih besar lagi iaitu satu lagi siri kebangkitan penyokong Pakatan.
Selain itu masih tentang politik negara, ramai juga yang tertunggu-tunggu apakah pengumuman yang akan dibuat oleh Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo pada tarikh yang sama dengan keputusan perbicaraan liwat 2 Anwar.
Pada penghujung 2011 Khir Toyo telah dijatuhkan hukuman penjara selama satu tahun dan dua lot tanah dan banglow milik beliau dilucuthaknya.
Sebalik Khir Toyo memilih 9 Januari tarikh sama keputusan liwat 2 untuk membuat pengumuman langkah beliau seterusnya, ada juga pemerhati politik kedai kopi yang berlawak dengan mendakwa Khir Toyo cuba mengelak menginap di sel sama dengan Anwar.
Tidak kurang juga dengan perkembangan isu National Feedlot Corporation yang dikaitkan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Maysrakat, Datuk Seri Sharizat Jalil ditunggu dengan penuh debaran.
Debaran golongan istimewa
 
Selain debaran pergolakan politik yang dikongsi oleh banyak pihak, debaran perjuangan golongan istimewa juga wajib untuk kita kongsikan bersama.

Ingatkah kita kisah akan seorang anak kecil yang telah meninggalkan kita beberapa tahun lalu sebelum sempat menjalani pembedahan yang memakan kos yang amat tinggi.

Meskipun tabung untuk membantu anak kecil itu telah ditubuhkan, malangnya kurangnya sikap mahu mengambil tanggungjawab sosial dari masyarakat khasnya golongan korporat yang lazimnya lebih berkemampuan menyebabkan pembedahan tersebut tidak dapat dibuat dengan segera.
An-Nur (kanan) bersama Annisa ketika masih ada hayatnya
Bagaimanapun pada masa yang sama, badan-badan korporat ini tidak teragak-agak memenuhkan tabung-tabung parti politik untuk menyediakan jentera yang lengkap dalam menghadapi PRU-13 nanti.
Tidak kurang juga bagi ahli-ahli politik yang mampu membiayai kos operasi media-media bagi memberikan publisiti dengan gambaran positif terhadap diri mereka.
Jadi mengapa tidak untuk kali ini kita sama-sama memberikan sokongan kepada perjuangan adik An-Nur pula meskipun dengan bantuan serendah satu ringgit sekali pun asalkan ikhlas.
Perjuangan golongan istimewa ini perlu diberikan perhatian segera seperti mana perjuangan dua adik beradik Annisa (8 Febuari 2001-22 Disember 2011) dan An-Nur, 8 tahun yang mengalami kecacatan Cerebral Palsy atau lumpuh otak.
Bagaimanapun, kakak kepada An-Nur, Annisa telah pergi dahulu sebelum sempat tabung untuk membiayai rawatannya mencukupi.
Bantuan ikhlas kita semua mampu memberikan sinar harapan buat adiknya An-Nur yang memerlukan pembiayaan kos rawatan enam angka.
Melalui kempen Hope 2 Walk seperti yang disiarkan dalam rancangan Wanita Hari ini yang telah dilancarkan sebelum ini memberikan peluang untuk kita bersama-sama menyertai perjuangan adik An-Nur dan anak-anak kita yang lain yang juga senasib dengannya.
Meskipun dalam banyak isu lain khususnya berkaitan politik kita tidak sehaluan, tetapi dalam isu kemasyarakatan seperti ini wajarlah kita bersatu hati bagi membantu mereka dengan memberikan sedikit sumbangan ikhlas kita walau serendah satu ringgit sekalipun.
Kita boleh membuktikan bahawa kita adalah masyarakat yang prihatin dengan menyumbang di akaun Maybank 1561 1400 1424 (Mohd Affandi Ramli) atau Bank Islam 14-229-02-001975-2 (Annisa Mohd Affandi) atau hubungi Faizal Riduan di 012 2124414.
Di tahun 2012 ini, semua lapisan masyarakat termasuk adik An-Nur wajar memperolehi sesuatu yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman