Isnin, 2 Januari 2012

Skandal NFC: Polis sahkan 80 peratus kertas siasatan siap

January 03, 2012

KUALA LUMPUR, 3 Jan — Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman hari ini mengesahkan siasatan pasukan berkenaan terhadap skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) sudah “80 peratus selesai”.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan, yang dihubungi The Malaysian Insider berkata,
kertas siasatan tersebut akan diserahkan kepada Peguam Negara terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dan pendakwaan dilakukan.


“Siasatan terhadap skandal NFC sudah 80 peratus siap, beri kami sedikit masa lagi, kami perlu melakukan ‘wrap up’ sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada Ketua Hakim Negara,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Perkembangan terbaru skandal yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat ini adalah pendakwaan terhadap seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk” yang cuba memberi rasuah kepada pegawai kanan JSJK semasa siasatan  skandal Pusat Fidlot nasional (NFC)  atas tuduhan menipu di Mahkamah Tinggi di sini.

Datuk Shamsubahrain Ismail dituduh menipu Pengerusi NFC Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail sebanyak RM1.76 juta sebagai bayaran rundingan untuk mendapatkan perkhidmatan penasihat.

Shamsubahrin didakwa dengan dua tuduhan menipu di bawah seksyen 420 Kanun Jenayah.

Beliau dikatakan melakukan kedua-dua kesalahan itu pada 20 November di sebuah restoran di Bukit Tunku dan antara 25 November dan 6 Disember di Solaris Mont Kiara, juga di Kuala Lumpur.

Jika sabit kesalahan Shamsubahrain boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Beliau mengaku tidak bersalah di atas kedua-dua pertuduhan itu.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Shamsubahrain menyerahkan passportnya.

Kes ini akan disebut semula pada 21 Januari.

Shamsubahrain sebelum ini ditahan reman oleh polis kerana dikatakan cuba memberi rasuah kepada tiga hingga empat pegawai kanan JSJK yang menyiasat skandal NFCorp.

Polis menyiasat NFCorp atas kesalahan pecah amanah berikutan dakwaan PKR bahawa syarikat itu menyalahgunakan dana jutaan ringgit yang diberikan kepada NFC.

Shamsubahrain, yang memiliki syarikat khidmat perunding dan syarikat teksi premium kemudiannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Agensi anti-rasuah itu telah mengumumkan akan menyiasat dakwaan terhadap NFCorp walaupun sebelum ini mengatakan tidak akan berbuat demikian.

SPRM turut merampas sebuah komputer dan beberapa dokumen semasa melakukan serbuan di ibu pejabat NFCorp di Solaris Mont Kiara.

PKR membangkitkan perkara itu selepas projek ternakan lembu bernilai RM250 juta yang dibiayai kerajaan  diuruskan Mohamad Salleh, suami kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil gagal mencapai sasaran pengeluaran dalam Laporan Ketua Audit Negara.

* The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Paparan Halaman