Jumaat, 21 Oktober 2011

PRU 13: Apabila Ahli-ahli Nujum Negara Menilik

Oleh Nazli Ibrahim

Ketika arena politik negara semakin dilanda wabak demam pilihan raya yang tidak berapa lama sahaja lagi, bermacam ramalan yang dapat kita dengar dan baca di sana sini.

Ramalan-ramalan politik ini tentunya datang dari ahli-ahli nujum politik negara yang datangnya dari pelbagai medium termasuklah medium internet, media cetak, cofee house hotel yang berbintang-bintang hinggalah ke kedai kopi di bawah pokok.

Walaupun ada juga ahli-ahli nujum politik negara ini hanya menjampi mangkuk ajaib atau bebola kristal mereka di kedai-kedai kopi, tetapi bacaan politik sesetengah mereka ini tidak boleh diperlekeh begitu sahaja kerana bacaan politik mereka ini juga tidak kurang menariknya.

Biar pun ada sesetengah ramalan sedikit merapu, nakal dan bersifat propaganda, tetapi banyak juga yang mampu memberi hujah-hujah dengan baik bersandarkan fakta-fakta yang menarik untuk difikirkan.

Dari mangkuk ajaib dan bebola kristal ahli-ahli nujum yang datang dari pelbagai medium ini, bermacam ramalan dapat dilihat, seperti siapakah calon parti tertentu, siapa tikam belakang siapa, siapa bakal menang 
dan yang paling popular ketika ini ialah bilakah Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) akan diadakan.

Dalam banyak-banyak tilikan yang meramalkan tarikh sebenar PRU 13 akan diadakan, terdapat beberapa tarikh yang begitu hangat disebut-sebut oleh ahli-ahli nujum politik negara ini.

11 Februari 2012

Minggu lalu, sebuah akhbar harian turut tidak ketinggalan meramalkan tarikh PRU 13 dengan tajuk utama muka hadapannya yang meramal PRU 13 akan diadakan pada 11 Februari 2012.

Dalam liputan khas PRU 13 dengan empat muka penuh itu, ianya bolehlah dianggap satu analisa yang menarik dengan pembentangan faktanya yang begitu teliti.

Cuma yang tidak dikaitkan dalam analisa tersebut ialah perbicaraan kes liwat 2 yang sedang dihadapi oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap oleh sesetengah ahli nujum lain sebagai salah satu faktor yang mungkin berada dalam perhitungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Persoalan yang mungkin sesuai untuk diperhitungkan tentunya seperti bilakah perbicaraan kes liwat 2 itu selesai, adakah Anwar akan didapati bersalah, jika mahkamah mendapati beliau bersalah apa pula hukumannya nanti yang sudah tentulah bukan denda ketuk ketampi.

Silap-silap hari bulan, jawapan-jawapan dari persoalan-persoalan itu tadi boleh menyebabkan Anwar hilang kelayakkan untuk bertanding dalam PRU 13 nanti.

Apa pun yang pastinya, kes liwat 2 itu memang banyak memberikan kelebihan kepada Najib dalam usaha untuk memadamkan impian Anwar untuk bergelar PM Malaysia.

Malah bukan itu sahaja, sekiranya Anwar hilang kelayakan bertanding gara-gara keputusan mahkamah nanti, kubu kuat Anwar di Permatang Pauh dengan sendirinya menjadi kucar-kacir untuk memilih calon sesuai dalam PRU 13 kelak.

Harus diingat, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika ini masih jauh untuk menghabiskan tempoh ‘edah’ setelah hilang kelayakan untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya di negara ini ekoran tindakan meletakkan jawatan sebagai YB di parlimen yang sama pada 2008.

PAS ramal 11 November 2011

Selain akhbar harian tersebut yang menjangkakan 11 Februari 2012, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut juga memberitahu PAS telah menyasarkan tarikh 11 November 2011 sebagai tarikh pilihan raya diadakan.

Kata beliau, bajet yang bakal dibentangkan pada 7 Oktober nanti merupakan bajet pilihan raya untuk mengambil hati rakyat agar memberikan undi mereka kepada Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, tarikh lain yang juga sedang hangat diperkatakan ialah pada 11 Oktober tahun ini iaitu empat hari selepas pembentangan Bajet 2012.

Namun ramalan 11 Oktober nampaknya hampir tidak menjadi kenyataan apabila hanya tinggal seminggu lebih sahaja lagi dari sekarang sebelum menjelangnya tarikh yang diramalkan itu sedangkan hingga hari ini Parlimen masih belum dibubarkan.

Ditambah pula dengan faktor pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober nanti dan perbahasan sebelum bajet boleh diluluskan yang pastinya memakan masa yang panjang.

Membubarkan parlimen sebelum undian meluluskan bajet di parlimen dijalankan dan persidangan yang hanya selesai pada awal Disember nanti akan banyak mencetuskan kontroversi dari segi perlembagaan.

Seperti kata Profesor Dr Aziz Bari, silap-silap hari bulan Bajet 2012 jadi bajet tidak sah dan terpaksa dibentangkan semula.

Kalau Najib masih bernasib baik, dapatlah sekali lagi beliau membentangkan bajet dan kalau tidak bernasib baik, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau pun pihak yang sekarang ini berada di blok yang bertentangan pula membentangkan Bajet 2012.

Najib sendiri tentulah tidak mahu dilihat sebagai PM paling kurang cerdik apabila membuat keputusan tidak bijak dalam memilih masa paling sesuai untuk membubarkan parlimen untuk mengadakan pilihan raya.

Angka 11

Ramalan-ramalan ahli-ahli nujum politik negara menjadi semakin menarik apabila masing-masing cuba mengaitkan ramalan mereka dengan angka 11 apabila Najib memberitahu DJ sebuah stesyen radio bahawa angka itu begitu dekat dengan dirinya.

Sekiranya Najib sememangnya mempunyai tahap obses yang begitu tinggi dengan angka tersebut, maka bacaan mudah boleh dibuat dengan mengandaikan tarikh 11 November 2011 (11/11/11) sebagai pertaruhannya.

Namun ianya tidaklah semudah itu untuk membaca perhitungan politik dalam fikiran Najib hinggalah ke saat ini.

Sudah tentunya Najib tidak akan meletakkan angka tersebut sebagai antara kriteria utama dalam mencaturkan masa depan politik beliau dan parti yang diterajuinya.

Kalaupun betul Najib memilih tarikh 11 haribulan untuk mengadakan PRU 13, sudah semestinya ada perhitungan lain yang menjadi keutamaan Najib ketika memilih tarikh itu berbanding faktor angka 11 itu sendiri.

Sekali lagi, Najib tentulah tidak mahu dilihat sebagai PM paling kurang cerdik untuk memilih tarikh sesuai untuk membubarkan parlimen bagi mengadakan pilihan raya.

Mac 2012 – Tony Pua

Bagi Ketua Publisiti DAP, Tony Pua pula meramalkan PRU 13 bakal diadakan dalam tempoh kurang enam bulan dengan menyasarkan sekitar Mac 2012.

Manakala dalam sembang kedai kopi sedikit masa dahulu, seorang ahli nujum politik negara yang pernah berkhidmat sebagai pengiring khas kepada seorang kenamaan politik di Sarawak pernah memberitahu PRU 13 akan diadakan pada 15 November tahun ini.

Bagaimanapun gambaran dalam mangkuk ajaibnya tidaklah begitu jelas dek riak-riak air di dalamnya dan kerana itu beliau tidak dapat memberi hujah bagi menyokong kenyataannya melainkan memberitahu tarikh itu diperolehi daripada ahli politik yang beliau sendiri iringi itu.

Pada Jun lalu pula, politik negara tiba-tiba menjadi riuh apabila ada ahli nujum politik negara yang meramalkan PRU 13 bakal diadakan pada bulan berikutnya iaitu Julai lalu apabila Umno sibuk mengadakan simulasi pilihan raya.

Namun ramalan tersebut turut tidak menjadi kenyataan apabila tiada apa-apa yang berlaku sehinggalah ke penghujung bulan itu.

Ramalan nakal

Ada juga ramalan yang tampak nakal tetapi mencuit hati apabila ‘menyedarkan hakikat sebenarnya,’ Najib sendiri juga sama seperti ahli-ahli nujum politik negara yang lain, masih terteka-teka bila agaknya isterinya mahukan parlimen dibubarkan.

Ramalan lain yang tidak kurang juga nakalnya apabila meramalkan Datin Seri Rosmah Mansor bakal diturunkan sebagai calon ‘heavy weight’ bagi BN walaupun tidaklah mustahil, untuk melanggar dan melenyek-lenyek Pakatan Rakyat.

Begitulah ‘istimewanya’ negara kita berbanding negara lain apabila rakyatnya khusus bagi pemain-pemain politiknya, berseronok merasai debaran dengan penuh suspen untuk mendapatkan ramalan terbaik daripada ahli-ahli nujum politik negara.

Berbanding di kebanyakkan negara-negara lain, tarikh pilihan raya telah pun diumumkan berbulan-bulan lebih awal sekaligus menghilangkan unsur suspen dan ‘thrill’ seperti mana kita di sini.

* Free Malaysia Today

Bajet 2012 perlu lulus sebelum bubar parlimen-Aziz Bari

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Parlimen dijangka tidak dibubarkan bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) diadakan sekurang- kurangnya sehingga ke penghujung November tahun ini.

Sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan Parlimen dalam jangka masa terdekat bakal mengakibatkan Bajet 2012 yang dijadualkan pada 7 Oktober ini tidak dapat dibentangkan, demikian menurut Pensyarah Fakulti Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Aziz Bari hari ini.

“Macamana nak bentangkan bajet kalau Parlimen dah dibubarkan, pada masa tu sidang parlimen dianggap tak wujud,” menurut beliau ketika dihubungi.

Beliau memberitahu bajet itu perlu dibentangkan, dibahas dan diluluskan terlebih dahulu dalam persidangan yang sama sebelum membolehkan parlimen dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya.

“Bila bajet dah dibentangkan, ia harus diselesaikan sehinggalah diluluskan dalam sidang parlimen.
“Kalau bajet yang dibentangkan itu belum diluluskan, tetapi PM dah bubarkan parlimen, bajet tersebut boleh dianggap tidak sah dan bajet baru perlu dibentangkan semula dalam persidangan parlimen selepas pilihan raya dijalankan,” kata Dr Aziz yang juga dianggap sebagai pakar perlembagaan.

Pembentangan Bajet yang dijadualkan pada 7 Oktober ini perlu dibahaskan oleh Ahli-ahli Parlimen terlebih dahulu sebelum undian untuk meluluskan bajet dibuat dalam mesyuarat ketiga, penggal keempat bagi Parlimen ke-12 yang hanya berakhir pada 1 Disember ini.

Lazimnya undian untuk meluluskan bajet tahunan itu hanya dapat dibuat setelah lebih sebulan dari tarikh pembentangan bajet oleh Menteri Kewangan.

Sebelum ini, beberapa pemerhati politik menjangkakan PRU 13 bakal diadakan pada Oktober ini atau beberapa hari selepas Bajet 2012 dibentangkan.

Rata-rata pemerhati politik turut menganggap bajet kali ini merupakan bajet pilihan raya bagi memenangi hati rakyat dalam PRU 13 yang pertama kali diterajui oleh Najib.

* Free Malaysia Today

Rabu, 19 Oktober 2011

Kempen Bersihkan Najib Dalam Umno?

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Satu gerakan tersusun yang dinamakan ‘Bersihkan Najib’ di dalam Umno untuk menolak Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan mula dijalankan oleh pihak tertentu di dalam parti itu.


Selain serangan terus terhadap Najib sendiri, gerakan tersebut juga dikatakan banyak menumpukan serangan ke atas isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor bagi melemahkan kredibiliti Najib sebagai pemimpin nombor satu negara itu.

 Demikian menurut sebuah blog pro Umno terkenal, www.umno-reform2.com yang dikendalikan oleh Anuar Mohd Nor yang juga merupakan Ketua Eksekutif Institut Kajian Asas Kemasyarakatan.

“Paling ketara usaha ini menjalankan serangan ke atas Rosmah untuk memperkecil kredibiliti Najib dan mendesak beliau supaya berundur,” menurut petikan entri dari blog terbabit.

Penulis blog terbabit juga percaya pihak-pihak di dalam Umno akan membuat penafian sekaligus menyatakan ikrar taat setia terhadap presiden Umno itu.

“Setakat ini realiti program untuk menjatuhkan dan mendesak Najib untuk melepaskan jawatan adalah benar dan wujud walaupun mungkin penafian akan timbul tetapi Najib harus tahu realiti yang ada ini,” tulis beliau lagi.

Bagaimanapun, beliau yang mendakwa mengetahui beberapa nama terlibat dengan gerakan ini masih belum mahu mendedahkan pihak -pihak yang memainkan peranan menjalankan agenda ‘Bersihkan Najib’ dari Umno ini.

“Suara yang menamakan mereka yang terbabit sudah ada sungguhpun www.umno-reform2.com belum berhajat untuk memaklumkannya,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan seorang pemimpin Umno di peringkat bahagian dari negeri Selangor turut percaya kewujudan gerakan ‘Bersihkan Najib’ tersebut.

Beliau yang enggan mendedahkan identitinya itu mendakwa, gerakan untuk menjatuhkan Najib itu diketahuinya apabila diberitahu oleh seorang pemimpin peringkat negeri kira-kira tiga bulan lalu.

“Benda ni agak dah lama saya tahu, lebih kurang tiga bulan lepas bila seorang pemimpin peringkat negeri memaklumkan kepada saya,” ujar beliau ketika ditemui di sini.

Najib gagal kawal tindak-tanduk isteri?


Menurutnya antara sebab utama berlakunya penolakan kepimpinan Najib dari dalam Umno sendiri berpunca daripada Najib yang dikatakan gagal mengawal tindak-tanduk isterinya.

“Najib bukan sahaja nampak lemah dalam beberapa aspek kepimpinannya, imejnya, tapi lebih teruk lagi tindak-tanduk isterinya semakin memberatkan agenda Umno dan Barisan Nasional untuk meraih keputusan yang baik dalam pilihan raya akan datang.

“Walaupun Najib dan pemimpin Umno yang lain memang berusaha memberikan persepsi positif di mata rakyat terhadap penglibatan Rosmah dalam urusan kerajaan, orang ramai tetap menganggap sebaliknya.

“Dalam isu isteri PM ini, apa yang dilihat oleh ahli-ahli Umno khususnya golongan akar umbi tidak menunjukan apa yang dikatakan oleh Najib mahupun pemimpin-pemimpin Umno sendiri.

“Lebih menghairankan, saya dan kebanyakan rakan-rakan lain dalam Umno percaya Najib sendiri sedar kesan negatif dari tindak-tanduk isterinya itu, tetapi malangnya Najib seolah-olah tidak dapat berbuat apa-apa tentangnya,” ujarnya.

* Free Malaysia Today

Selasa, 18 Oktober 2011

Gerakan kiri kemerdekaan: Sejarah yang dikaburkan (bhg akhir)

Sejarah tidak semestinya manis
Oleh Nazli Ibrahim

Ingatkah anda dengan watak seorang lelaki anak tempatan bernama Buang yang menjadi Kempeitai Jepun dalam filem Sarjan Hassan arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan diterbitkan pada 1958?

Dalam filem tersebut yang turut dijayakan oleh P. Ramlee sendiri sebagai Sarjan Hassan, watak Buang yang dibawakan oleh Salleh

Kamil itu telah berjaya menonjolkan wajah sebenar seorang pengkhianat agama, bangsa dan negaranya demi kepentingan dirinya.

Dalam filem atau kes seumpama ini, semua pihak mudah untuk menerima bahawa Buang dalam filem ini adalah seorang pengkhianat dan sememangnya wajar untuk beliau dilabelkan sedemikian.

Sebaliknya, jika Buang dianggap pengkhianat kerana makan gaji sebagai Kempeitai kepada penjajah Jepun, bagaimana pula dengan anak-anak tempatan yang juga menerima gaji dari kerajaan British khususnya dalam pasukan bersenjata penjajah itu ketika menduduki Malaya?

Jika Buang dianggap sebagai pengkhianat, wajarkah mereka yang turut mengangkat senjata bersama penjajah British untuk menentang pemberontak dilabel sebagai hero bangsa dan negara?

Gerakan memburu pejuang kemerdekaan

Apabila darurat diisytiharkan pada 19 Jun 1948 oleh kerajaan penjajah British di Malaya, tokoh-tokoh penggerak kemerdekaan ketika itu telah menjadi buruan pihak polis.

Tokoh-tokoh penentang penjajah dari PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya), API (Angkatan Pemuda Insaf), AWAS (Angkatan Wanita Sedar), BATAS (Barisan Tani Malaya), Hizbul Muslimin, KMM (Kesatuan Melayu Muda) dan lain-lain merupakan antara yang menjadi sasaran utama pihak berkuasa ketika itu.

Selain itu, pengarang-pengarang akhbar, wartawan dan penulis yang menulis rencana yang dianggap meniupkan api semangat kemerdekaan terhadap rakyat negara ini turut ditahan.

Dalam operasi membenteras gerakan anti penjajahan itu, dianggarkan lebih 1,000 orang Melayu yang berjaya ditangkap termasuklah Ahmad Boestamam, Ishak Hj Muhammad, Mahmud Baginda, Rashid Maidin dan ramai lagi sehingga melumpuhkan gerakan kebanyakan parti yang menentang penjajahan British di negara ini.

Penahanan tanpa bicara terhadap tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan tersebut yang dikeluarkan oleh pegawai atasan British itu akhirnya dilaksanakan oleh anggota polis British berpangkat rendah yang rata-ratanya dari kalangan anak-anak tempatan.

Maka ketika itu berlakulah senario di mana seorang anggota polis anak tempatan yang berkhidmat untuk penjajah British memasungkan tangan bahkan mengacukan senjata apinya terhadap seorang lagi anak tempatan yang mendambakan kemerdekaan bukan sahaja buat dirinya bahkan tanah airnya.

Selepas peristiwa penangkapan tersebut itulah telah menyebabkan sesetengah dari tokoh-tokoh yang berjaya meloloskan diri berpendapat  jalan untuk mencapai kemerdekaan menerusi saluran politik telah tertutup melainkan dengan kaedah penentangan bersenjata.

Bagaimanapun, kaedah ‘memperjuangkan kemerdekaan dengan darah’ tersebut kurang mendapat sambutan apabila masyarakat umumnya tidak dapat menerima ideologi komunis yang dibawa oleh PKM.

Apatah lagi dengan propaganda besar-besaran yang dijalankan oleh pihak British ketika itu telah memberi kesan yang mendalam terhadap masyarakat tempatan.

Selain itu, faktor sesetengah golongan masyarakat di negara ini yang semakin selesa berada di bawah naungan jajahan British dan tidak mempunyai keyakinan terhadap kebolehan rakyat tempatan mentadbir negara ini selepas merdeka turut memainkan peranan penolakan perjuangan bersenjata ini.

Bagi sesetengah golongan lain pula, mereka beranggapan bahawa perjuangan bersenjata untuk memperolehi kemerdekaan merupakan cara kekerasan lagi ganas yang tidak boleh diterima oleh masyarakat negara ini.

‘Meraikan’ pengeboman di Hiroshima, Nagasaki

Namun ketika pihak tersebut menolak cara kekerasan yang tentunya bakal menuntut korban nyawa bagi menuntut kemerdekaan Malaya, ada antara mereka yang ‘bersyukur’ apabila bom atom digugurkan di dua bandaraya di Jepun, Hiroshima dan Nagasaki yang mengorbankan ratusan ribu nyawa orang-orang awam.

Peristiwa pengeboman pada tanggal 6 dan 9 Ogos 1945 itu akhirnya telah membawa kepada kekalahan tentera nippon dalam Perang Dunia Kedua dan seterusnya berundur meninggalkan Malaya.

Di bumi Malaya ketika itu, kemusnahan dan kematian ratusan ribu nyawa manusia di Jepun tidaklah ditangisi, sebaliknya diraikan dengan ‘kemenangan’ British di negara ini serta menyambut kembalinya orang-orang putih yang dianggap sebagai ‘tuan’ oleh sesetengah golongan masyarakat negara ini.

Kesan radiasi dari pengeboman tersebut bukan sahaja telah meragut ratusan ribuan nyawa orang-orang awam yang tidak berdosa ketika itu malahan turut membunuh ribuan nyawa lagi walaupun setelah beberapa lama peristiwa tersebut berlaku.

Pengguguran bom atom tersebut telah meninggalkan kesan yang amat mendalam dan berpanjangan berdekad-dekad lamanya baik dari segi fizikal mahupun mental masyarakat di sana.

Adakah nilai nyawa anak-anak kecil, ibu, bapa, warga tua, wanita dan orang awam yang lain di dua bandaraya tersebut ‘lebih rendah nilainya’ berbanding nyawa manusia di sini?

Ketika pihak yang mendakwa diri mereka sebagai pencinta keamanan menolak perjuangan bersenjata bagi memerdekakan tanah air, hakikatnya pada masa yang sama mereka turut meraikan kemusnahan maha dahsyat dan kematian beribu penduduk awam di negara matahari terbit itu.

Sistem demokrasi berparlimen

Setelah 54 tahun negara mencapai kemerdekaan, umumnya masyarakat negara ini menolak ideologi komunis dan kita juga percaya sistem demokrasi berparlimen yang ada hari ini merupakan sistem terbaik untuk dipraktikkan.

Sekurang-kurangnya hingga ke hari ini walaupun sistem yang dipraktikan ini masih mempunyai kelemahan dan kerosakan di sana sini yang patut dibaiki.

Sekaligus, percubaan mana-mana pihak untuk mengembalikan ideologi komunis untuk bertapak semula di negara ini sekiranya ada, boleh dianggap sebagai tindakan yang tidak wajar dan sama sekali harus ditolak.

Walaupun begitu, peranan dan pengorbanan yang tidak sedikit para pejuang berhaluan kiri tidak mengira siapa mereka dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air sama sekali tidak boleh dinafikan dalam sejarah tanah air.

Mengakui hakikat tersebut langsung tidak membawa makna sebagai percubaan mengembalikan ideologi komunisme di negara ini yang tentunya akan ditolak mentah-mentah oleh rakyat negara ini.

Biarpun mereka ini bukanlah di kalangan golongan bangsawan yang mampu duduk semeja dengan orang Inggeris sambil menghisap paip atau cerut import dan mereka menganuti ideologi yang berbeza, tetapi mereka telah menumpahkan darah mereka demi tanah airnya.

Kalau pun mengangkat mereka sebagai wira boleh dianggap sesuatu yang melampau, tetapi peranan mereka dalam memperjuangkan kemerdekaan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Sejarah haruslah bersifat jujur kepada generasi terkemudiannya dan generasi ini akan menuntutnya kemudian hari.

Sejarah yang jujur terhadap generasi bangsanya mampu membentuk generasi baru lebih cekal menerima hakikat yang bukanlah semuanya manis-manis untuk ditelan.

Kredit/Rujukan

Sumber artikel enam bahagian ‘Gerakan Kiri Kemerdekaan: Sejarah yang dikaburkan’ ini dirujuk daripada:
  • Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan oleh Dr Mohamed Salleh Lamry (mantan Profesor Madya dan Sarjana Tamu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM), terbitan Penerbit UKM.
  • Communist Party of Malaya: The Inside Story, oleh Aloysius Chin (bekas Senior Assistant Commissioner 1 Cawangan Khas PDRM yang terlibat memerangi komunis), terbitan Vinpress.
  • Memoir Ibrahim Chik: Dari API ke Rejimen ke-10, oleh Ibrahim Chik (bekas anggota Rejimen ke-10), terbitan Penerbit UKM.
  • Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik, oleh Said Zahari (bekas wartawan veteran sebelum merdeka), terbitan Utusan Publications and Distributors.
* Free Malaysia Today

Isnin, 10 Oktober 2011

Rejimen ke 10 selepas pengunduran

Gerakan kiri kemerdekaan: Sejarah yang dikaburkan (bhg 5)
Oleh Nazli Ibrahim

Setelah Rejimen ke-10 berjaya melaksanakan pengunduran strategik ke Selatan Thailand pada akhir 1954, pada peringkat awalnya pasukan itu menghadapi kesukaran untuk membangunkan basis pasukan di kawasan itu.

Demikian menurut mantan Profesor Madya dan Pensyarah Tamu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohamed Salleh Lamry dalam kajiannya berjodol ‘Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan’ yang diterbitkan oleh Penerbitan UKM pada 2006.

Dalam kajian ilmiah itu, beliau telah menggariskan tiga faktor utama yang telah menyumbang kepada kesukaran untuk melakukan kerja -kerja membangunkan basis pasukan itu.

Pertama, para perisik yang dihantar oleh penjajah British terlebih dahulu telah menyebarkan propaganda di kalangan massa di situ dengan meluas kononnya anggota Rejimen ke-10 adalah ganas, kejam, anti-agama dan lain-lain.

Kesan daripada propaganda tersebut benar-benar telah memberi kesan terhadap penerimaan masyarakat kampung di kawasan sempadan ketika itu sehingga ada di antaranya yang mengangkat parang apabila diberi salam, kaum wanita dan kanak-kanak pula lari serta menyembunyikan diri.

Kedua, perisik yang diseludup dikalangan orang ramai juga menyamar sebagai orang baik-baik dengan membantu pasukan itu untuk membelikan barangan keperluan mereka.

Sebaliknya, barang-barang keperluan termasuk barangan makanan itu telah dicampur racun hingga menyebabkan ada di antara anggota pasukan itu yang mengalami keracunan.

Kerana masalah tersebut, ada di antara anggota yang ditugaskan dalam pasukan penyusun massa bertindak keterlaluan dengan meminta orang ramai mencuba terlebih dahulu sesuatu barangan makanan sebelum menerimanya.

Tindakan anggota penyusun massa tersebut akhirnya telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan orang ramai yang membantu mereka mendapatkan bekalan keperluan.

Ketiga, di sesetengah kampung memang wujud samseng atau penjahat sebenar yang merompak dan melakukan pelbagai kejahatan ke batas orang-orang kampung di sekitar basis mereka.

Bagi mengatasi masalah itu, anggota Rejimen Ke-10 telah diarahkan untuk membangunkan basis sempadan dengan tekun serta sabar dengan bersandar kepada prinsip mentaati disiplin, bertata tertib, menghormati massa dan adat istiadat mereka.

“Dalam menjalankan kerja massa, kami melaksanakan prinsip bersandar pada massa, membangkitkan massa dan berkhidmat kepada massa,” menurut catatan Abdullah C D dalam buku yang diterbitkan pada 1998, ‘Perang Anti-British dan Perdamaian’.

Memetik petikan dari ‘Rejimen ke-10 dan Kemerdekaan’, yang diterbitkan pada 1999 buku yang ditulis oleh seorang lagi bekas pemimpin

PKM, Suriani Abdullah pula menyatakan mereka telah menjalankan kerja-kerja mendekati massa dengan memberi perkhidmatan kepada massa.

Berkhidmat kepada massa


Antaranya ialah, membawa barangan sumber hutan yang diperlukan orang ramai seperti akar kayu, rotan, buah-buahan setiap kali masuk ke kampung-kampung untuk diberikan kepada orang-orang kampung.

Anggota pasukan itu melancarkan gerakan membersihkan kampung dan rumah-rumah orang kampung daripada najis haiwan, sampah sarap, semak-samun dan lain-lain.

Anggota-anggota wanita pula membantu kaum wanita di kampung itu membersihkan pinggan mangkuk, kain baju dan mengajar orang ramai menjaga kebersihan dapur serta makan minum penduduk.

Di sesetengah kampung anggota pasukan itu bersama orang ramai mendirikan masjid dan surau, mendorong orang ramai bersatu padu, bekerjasama, beramal ibadat dan lain-lain.

Di beberapa kampung pula, orang ramai telah meminta bantuan mereka untuk membasmi orang jahat seperti perompak, penyamun,  samseng dan hantu musuh yang banyak menyusahkan orang kampung.

Anggota pasukan itu telah berjaya mengatasi masalah tersebut sekaligus memulihkan ketenteraman kampung yang sebelumnya diganggu oleh penjahat-penjahat terbabit.

Anggota pasukan itu juga menganjurkan kepada orang ramai agar mengadakan pakatan sekampung, pakatan pemuda, pakatan wanita dan lain-lain bagi tujuan memupuk perpaduan di kalangan penduduk kampung.

Mereka turut menganjurkan orang ramai membuat kebun-kebun kecil dan memelihara binatang ternakan di belakang rumah mereka bagi tujuan membaiki kehidupan orang ramai.

Menurut Suriani lagi, yang paling mengharu dan mengkagumkan ialah kemujaraban ubat-ubatan yang diberikan oleh anggota pasukan itu kepada orang ramai.

Memberi rawatan kepada massa


Mungkin kerana terlalu mempercayai kemujaraban ubat-ubatan tersebut, maka beberapa cerita-cerita tentang kemujaraban ubat yang diberi itu dengan cepat tersebar dari mulut ke mulut, dari sebuah kampung ke sebuah kampung.

Abu Samah yang mencatatkan pengalaman beliau dalam ‘Sejarah dan Perjuangan Kemerdekaan’ terbitan 1996 turut menulis tiga peristiwa menarik yang pernah dialaminya.

Pertama, mungkin terlalu yakin, empat orang dari Kampung Sekor yang pulih dari demam kuat yang hanya tidak berapa lama diberikan sebiji kapsul minyak ikan dibelah empat bagi menggantikan ubat demam yang ketika itu tiada dalam stok simpanan mereka.

Kedua, setelah dua hari menderita kerana sakit mata, akhirnya penyakitnya sembuh apabila Abu Samah yang tidak memiliki ubat sakit mata menghembuskan matanya dengan perlahan-lahan.

Kira-kira jam 6.00 pagi keesokannya, tok bomoh peteri itu telah mengunjungi Abu Samah dan anggotanya di tempat rehat mereka dengan membawa satu kandaran buah durian untuk dihadiahkan kepada Abu Samah.

Ketiga, tahap kesihatan kanak-kanak di kampung yang mereka kunjungi juga menjadi semakin baik berbanding sebelumnya apabila para ibu bapa mereka mengikut nasihat, panduan dan tunjuk ajar penjagaan kesihatan yang diajarkan oleh anggota pasukan Rejimen ke-10.

Bagaimanapun, disebabkan kepercayaan orang ramai yang kuat berpegang teguh kepada cara tradisi lama, maka mereka telah meminta agar Abu Samah mengikat benang yang dianggap tangkal di pergelangan tangan kanak-kanak itu.

Setelah itu, ibu bapa kanak-kanak terbabit telah menganggap atau mengambil Abu Samah sebagai bapa angkat kepada seramai 37 orang kanak-kanak di sekitar kampung tersebut.

Ketika itu, basis mereka semakin kerap dikunjungi orang ramai bagi mendapatkan rawatan atau menjemput anggota pasukan itu untuk merawat kaum keluarga atau sahabat handai mereka di rumah mereka.

Selain itu, bekas pegawai tinggi Polis Cawangan Khas PDRM, Aloysius Chin dalam bukunya yang bertajuk ‘The Communist Party of Malaya’ yang diterbitkan pada 1995 turut merakamkan sebuah kisah lain.

Peristiwa merawat budak patah kaki

Beliau yang menulis dengan merujuk dokumen-dokumen PDRM menghuraikan satu peristiwa seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun yang mengalami kecederaan patah kaki telah berjaya dipulihkan oleh salah seorang anggota pasukan itu yang mempunyai kebolehan merawat kecederaan patah tulang.

Ketika kejadian itu berlaku, secara kebetulan anggota pasukan Rejimen ke-10 sedang mengunjungi kampung tersebut dan telah terserempak dengan kanak-kanak itu yang tidak henti-henti menangis kerana kesakitan.

Ibu bapanya pula terlalu miskin dan tidak mampu menghantar anaknya ke hospital yang terletak jauh dari kampung itu.

Setelah itu, kanak-kanak terbabit telah dibawa ke khemah Rejimen ke-10 selama kira-kira sebulan untuk diberikan rawatan sehinggalah kakinya yang patah itu pulih seperti sediakala.

Cerita tersebut dengan cepat tersebar di kampung-kampung di kawasan sempadan dan menambahkan lagi faktor penerimaan masyarakat kampung terhadap kehadiran anggota Rejimen ke-10 itu.

Akhirnya Rejimen ke-10 telah diterima baik oleh orang ramai dan menganggap mereka sebagai sahabat kepada orang-orang kampung di sekitar kawasan sempadan Malaysia-Thailand itu.

Dalam masa yang singkat, terbentuklah satu kawasan basis di sektor timur kawasan sempadan, dari Weng, Sungai Padi, Dusun Nyor dan lain-lain.

Menurut Abdullah C D, seawal 1955 kekuatan pengaruh Rejimen ke-10 bukan sahaja di kawasan basis mereka malahan turut menjalar hingga ke Yala dan Pattani.

Ramai tokoh-tokoh masyarakat yang berpengaruh dan pegawai kerajaan di Selatan Thailand ketika itu mengadakan hubungan dengan Rejimen ke-10 itu, mengunjungi basis mereka dan mengadakan perbincangan.

Menghadapi serangan tentera kerajaan


Setelah pengunduran Rejimen ke-10 ke kawasan sempadan, pasukan tersebut  tidak terlepas dari serangan tentera kerajaan British di Malaya, Thailand mahupun kerjasama kedua-dua pasukan tentera kerajaan itu.

Musa Ahmad ketika itu telah mengambil pendirian bertahan secara pasif iaitu tidak membalas tembakan mempertahankan diri dan tidak melarikan diri dengan hanya menyembunyikan diri apabila diserang.

Akibatnya, beberapa anggota Rejimen ke-10 telah ditembak mati pasukan tentera kerajaan ketika bersembunyi apabila diserang tentera kerajaan.

Tindakan Musa Ahmad tersebut tidak dipersetujui Abdullah C D dan beliau telah membawa anggotanya berundur dari tempat itu.

Menyedari kesilapan mengambil polisi bertahan secara pasif, Abdullah C D telah mempraktikkan polisi bertahan secara aktif dengan membalas semula tembakan untuk mempertahankan diri dari terbunuh apabila diserang.

Mereka turut melakukan serangan apabila berjaya mengesan kemaraan tentera musuh sedang dalam perjalanan menyerang kedudukan mereka di basis.

Malahan untuk melindungi kedudukan Rejimen ke-10 itu dari serangan musuh, mereka turut memasang jerangkap samar dan periuk api di sekitar kawasan basis.

Akan datang: Bahagian akhir

* Free Malaysia Today

Khamis, 29 September 2011

Semantan ke Kg Hala: 'The Long March' yang diingati

Gerakan Kiri Kemerdekaan: Sejarah Yang Dikaburkan (Bhg 4)Oleh Nazli Ibrahim

“Akhirnya atas arahan pucuk pimpinan Parti Komunis Malaya (PKM) keputusan dicapai untuk meninggalkan Tanah Melayu dan lari berundur untuk mendapatkan perlindungan ‘santuary’ di Selatan Thailand.

“Maka tercatatlah satu peristiwa bersejarah dalam perjuangan komunis Melayu yang lebih dikenali sebagai ‘Perjalanan Jauh’ atau ‘The Long March’ pada 1953,” demikian menurut kajian Mahmud Embong yang dibentang dalam Prosiding Persidangan Sains Sosial danKemanusiaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 27-28 Ogos 2001.

‘The Long March’ yang dimaksudkan itu tidak lain tidak bukan adalah pengunduran startegik Rejimen ke 10 PKM dari Semantan ke Kampung Hala yang memakan masa satu tahun, empat bulan dan menjelajah hampir separuh Semenanjung Malaysia.

Pasukan yang dianggotai oleh orang-orang Melayu dari Rejimen ke 10 itu dan dinamakan Pasukan Hang Jebat tersebut telah membuat perngunduran tersebut dalam empat peringkat perjalanan yang sangat mencabar dari segi mental dan fizikal.

Peringkat pertama: Semantan ke Jerkoh


Menurut Prof Madya Dr Salleh Lamry dalam kajian yang ditulis beliau ‘Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan’, terbitanPenerbitan UKM pada 2006, dalam peringkat pertama pasukan ini telah melalui Bentong, Teras dan Raub, Pahang sebelum sampai ke Jerkoh dan memakan masa selama dua bulan 18 hari.

Perjalanan mereka telah terhenti apabila terpaksa menunggu lama di Kampung Peruang kerana menunggu utusan dari utara tiba dan kehabisan bekalan makanan.

Ketika itu, mereka gagal mendapatkan bantuan makanan dari penduduk-penduduk kampung di pinggir hutan seperti lazimnya akibat penduduknya telah dipindahkan ke Kampung Lamai, Pekan, Pahang.

Oleh yang demikian menurut kajian tersebut yang turut memetik tulisan yang dihasilkan oleh Abu Samah Mohd Kassim pada 1996,‘Sejarah dan Perjuangan Kemerdekaan’, mereka terpaksa bergantung kepada sayur-sayuran liar dan sagu kabung untuk hidup.

Selain itu, oleh kerana mereka telah mengambil pendekatan mengelak daripada membuat pertempuran dengan pihak berkuasa, mereka terpaksa menunggu masa sesuai bagi melintasi jalan raya Raub-Benta dan menyeberangi Sungai Lipis yang berarus deras di mana terdapat pos-pos keselamatan di seberangnya.

Misi melepasi dua halangan tersebut akhirnya berjaya apabila mereka berjaya melintasi jalan raya tersebut dan menyeberangi SungaiLipis dengan menggunakan rakit tanpa dapat dikesan oleh anggota keselamatan di situ.

Mereka telah memulakan misi merbahaya tersebut bermula dari jam 4.30 petang dan berakhir pada jam 6.30 petang pada hari yang sama.

Selepas itu mereka juga terpaksa melalui kebun pisang seluas ribuan ekar dan mengelilingi banyak pos-pos pasukan keselamatan yang jaraknya hanya sekitar 100 meter dari kawasan yang akan mereka lalui.

Dalam misi melepasi kebun pisang tersebut pada waktu malam, satu regu tempur yang bersenjatakan brengan turut disediakan bagi menghadapi kemungkinan kehadiran mereka berjaya dikesan dan terpaksa menghadapi serangan pihak  keselamatan.

Ketika itu mereka terpaksa meniarap tanpa bergerak setiap kali lampu besar pasukan keselamatan menyuluh ke arah mereka dan bangun semula apabila lampu itu menyuluh ke arah lain.

Begitulah berulang-ulang hinggalah misi melalui kebun pisang itu berakhir dengan selamat dan berakhir pada Jam 3.00 pagi seperti dicatatkan dalam tulisan Abu Samah yang mengetuai perjalanan jauh Pasukan Hang Jebat itu.

Pasukan Hang Jebat berjaya menghabiskan perjalanan peringkat pertama itu pada 6 September 1953 setelah mereka tiba di MarkasRejimen ke-11 PKM dan disambut oleh Musa Ahmad dan beberapa orang lain yang telah bertolak terlebih dahulu pada 1952.

Tahap kedua: Jerkoh ke Cameron Highland

Perjalanan peringkat kedua ini telah bermula dari Jerkoh pada 13 September 1953 dan selamat sampai ke Cameron Highland pada 12 Okotober 1953.

Menurut tulisan Abu Samah itu yang dipetik oleh Dr Salleh Lamry, perjalanan yang jauh ini bermula dengan melalui kawasan-kawasan hutan tropika yang tiada penempatan manusia.

Sekali lagi mereka telah kekurangan bekalan makanan dan terpaksa bergantung kepada kacang kuning, pisang kering yang dibawa selain sayur-sayuran liar dan umbut yang ditemui dalam perjalanan serta binatang dan ikan yang berjaya ditangkap.

Bagaimanapun masalah bekalan makanan berjaya diatasi setelah dua minggu perjalanan apabila setibanya di tebing Sungai Jelai (di Ulu Sungai Pahang) regu pemburu berjaya menangkap seekor seladang besar.

Mereka telah berhenti di situ beberapa hari untuk berehat dan menguruskan daging seladang besar itu bagi dijadikan bekalan makanan dalam perjalanan seterusnya nanti.

Hubungan dengan Orang Asli

PKM, khususnya bagi Rejimen ke 10 parti itu mempunyai hubungan baik dan mendapat sokongan dari kebanyakan perkampungan masyarakat Orang Asli yang mereka singgah sepanjang perjalanan.

Ini dapat dilihat apabila setiap kali kehadiran mereka di perkampungan masyarakat Orang Asli itu mereka telah disambut meriah dengan jamuan sup ubi dan sebagainya.

Orang-orang asli juga sering menghantar bekalan sekoi, jagung dan makanan lain ke kawasan perkhemahan pasukan Hang Jebat.

Pasukan Hang Jebat ketika itu juga telah mengambil kesempatan untuk mempelajari adat istiadat dan keistimewaan Orang Asli di perkampungan yang disinggahi mereka.

Malahan Abdullah C D pernah tinggal di gua batu di Ulu Kinta untuk beberapa ketika bagi menjalankan penyelidikan tentang kehidupan orang-orang asli di Perak dan bersempadan dengannya.

Bagi Abdullah C D penyelidikan itu penting dilakukan memandangkan masyarakat Orang Asli telah terlibat secara langsung menentang penjajah bersama Datuk Bahaman lagi dan mereka merupakan komponen penting dalam masyarakat negara ini.

Perkampungan Orang Asli dibedil tentera kerajaan

Bagaimanapun kedatangan Pasukan Hang Jebat di perkampungan Orang Asli itu telah diketahui oleh pasukan keselamatan kerajaan.

Maka pada 15 Oktober 1953, pasukan keselamatan kerajaan telah melancarkan serangan besar-besaran ke kawasan tersebut dengan mengebom dan menembak menggunakan mesingan dari kapal terbang terhadap perkampungan Orang Asli, ladang-ladang mereka dan kawasan hutan berhampiran.

Untuk mengelakkan kemusnahan lebih teruk dan mengelakkan serangan itu, pasukan terbabit telah berundur dan berlindung di Gunung Berembun di Banjaran Gunung Titiwangsa dengan bantuan Orang Asli.

Kemudian, setiap hari Orang Asli secara beramai-ramai menghantar ubi kayu, sayur-sayuran dan lain-lain keperluan kepada mereka.

Pada ketika itu juga rombongan demi rombongan Orang Asli mula turu dari tanah tinggi untuk menjalankan kerja-kerja menuai ladang jagung dan sekoi mereka yang sudah boleh dituai.

Pasukan Hang Jebat juga turut membantu apabila Abdullah C D telah mengarahkan satu regu yang diketuai oleh Abu Samah dan Rosli untuk membantu dan menjaga keselamatan Orang Asli ketika menuai dari serangan pasukan keselamatan.

Ketika itulah satu peristiwa menyedihkan telah berlaku apabila sekumpulan Orang Asli yang sedang mengetam padi tanpa kawalan Pasukan Hang Jebat telah ditembak oleh pasukan keselamatan.

Pertempuran Sungai Sekam
Selepas kejadian tersebut, Pasukan Hang Jebat telah bertindak balas dengan menghantar satu regu tempur seramai 18 orang untuk melakukan serangan hendap terhadap sebuah pasukan keselamatan di Sungai Sekam pada 28 Januari 1954.

Pasukan keselamatan yang mereka hadapi tersebut dianggarkan seramai 160 orang terdiri daripada Pasukan Golden British yang diagung-agungkan sebagai pasukan yang handal dan berpengalaman dalam Perang Dunia Kedua.

Regu tempur dari Pasukan Hang Jebat ketika itu telah menduduki kawasan tinggi di selekoh sungai yang amat startegik untuk melancarkan serangan terhadap musuh.

Sebaik sahaja tentera musuh memasuki perangkap mereka, tentera musuh yang berjalan dihadapan telah dapat dibunuh manakala di bahagian belakang pula cuba melawan dengan membalas tembakan.

Dianggarkan kira-kira 40 tentera musuh telah terbunuh atau tercedera dalam pertempuran yang telah berlangsung selama kira-kira setengah jam itu.

Setelah berundur dan sekembalinya mereka ke perkhemahan, mereka telah disambut oleh masyarakat Orang Asli dengan bersemangat sambil melaungkan “Langoi” (yang bermaksud tentera pembebasan) menang! orang putih kalah!”

Pada 30 Januari 1954 pasukan keselamatan telah menarik keluar semua tenteranya dari kawasan itu walaupun mungkin untuk sementara.

Manakala Pasukan Hang Jebat pula turut mengambil kesempatan itu untuk meneruskan perjalanan jauh mereka pada 1 Febuari 1954.

Peringkat ketiga: Cameron Highland ke Ulu Kinta

Dalam perjalanan peringkat ketiga ini, pasukan Hang Jebat telah singgah di sebuah perkampungan Orang Asli di Ulu Kinta dan bersempadan dengan negeri Kelantan pada pertengahan April 1954.

Ketika itulah telah berlaku satu peristiwa bersejarah antara Pasukan Hang Jebat dan pihak Orang Asli di situ.
Satu rapat khas telah diadakan dengan dihadiri oleh masyarakat Orang Asli termasuk mereka dari Ulu Kelantan yang diketuai oleh Datuk Angoi.

Rapat khas yang menandakan persahabatan, perpaduan dan setiakawan antara Orang Asli dan Pasukan Hang Jebat itu juga telah diadakan satu upacara khas iaitu Datuk Angoi bagi pihak Orang Asli telah menganugerahkan gelaran Datuk kepada Rashid Maidin.

Selepas itu, kedua-dua Datuk ini telah mengangkat sumpah yang mereka akan seia sekata dalam berjuang menentang penjajah Inggeris sambil disaksikan anggota Pasukan Hang Jebat dan masyarakat Orang Asli di situ.

Sementara itu, tidak berapa lama selepas itu satu regu yang dipimpin oleh Abu Samah yang telah bergabung dengan kompeni perajurit Cina dan India telah diserang hendap di kawasan Sungai Siput.

Dalam pertempuran tersebut, beberapa anggota pasukan tersebut telah  Songsang telah menyerah diri dan kemudiannya membocorkan rahsia  kedudukan Pasukan Hang Jebat kepada pasukan keselamatan.

Menyedari situasi genting tersebut, tanpa berlengah lagi Abu Samah telah memandu regunya kembali ke markas untuk membuat laporan.

Bagaimanapun perjalanan ke markas tersebut telah mengambil masa selama satu minggu untuk mereka sampai iaitu pada 7 Julai 1954.

Keesokkan harinya pada 8 Julai 1954, berduyun-duyun kapal terbang pasukan keselamatan mengebom kawasan gua batu dan kawasan hutan di sekitarnya.

Pihak British telah mengarahkan 55 buah kapal terbang yang berulang-alik 22 kali sehari untuk memunggah bom dan peluru sebelum menggugurkan askar payung terjun.

Menurut Abdullah C D dalam bibliografinya menyatakan, “diberitakan serangan tersebut merupakan serangan udara terbesar dalam sejarah peperangan Malaya selepas Perang Dunia Kedua yang diarahkan oleh Jeneral Bonn sendiri dari udara.”

Bagi mengelakkan serangan besar-besaran tersebut, mereka telah menggunakan taktik mengosongkan hutan tersebut dan meredah belentara menuju ke Ulu Kelantan supaya pasukan keselamatan tidak berjaya memburu dan menyerang mereka.

Peringkat keempat: Ulu Kinta ke kawasan sempadan


Perjalanan peringkat keempat merupakan perjalanan paling jauh dengan melalui Ulu Kelantan dan Kampung Belum sebelum sampai di Kampung Hala di Selatan Thailand.

Setibanya di Ulu Kelantan, masyarakat Orang Asli yang kuat menyokong Pasukan Hang Jebat telah dihalau oleh pasukan keselamatan ke dalam kem kurungan.

Bagaimanapun sebahagian daripada mereka telah berjaya melarikan diri dan membuka ladang-ladang yang luas.

Pasukan Hang Jebat juga berjaya berhubung dengan sekumpulan Orang Asli yang baru sahaja melarikan diri dari kem kurungan tersebut dan merekalah yang memandu Pasukan Hang Jebat beransur meneruskan perjalanan dari satu perkampungan Orang Asli ke satu perkampungan Orang Asli.

Perjalanan seterusnya sebelum sampai ke Kampung Belum, ulu Sungai Perak, mereka telah meredah hutan belantara tanpa manusia dan sekali lagi terpaksa bergantung kepada buah-buahan hutan dan sumber semula jadi hutan sebagai makanan mereka.

Kebetulan pada masa itu adalah musim buah-buahan, maka buah-buahan hutan khasnya petai mudah ditemui di sepanjang perjalanan meredah hutan belantara itu.

Bagi menyelesaikan masalah makanan, setiap pagi, satu seksyen khas diatur berjalan terlebih dahulu untuk memanjat petai, buah- buahan lain dan mengutip sayur-sayuran liar di sepanjang perjalanan mereka.

Akhirnya pada 22 September 1954, Pasukan Hang Jebat tiba di Kampung Belum yang ketika itu telah tidak berpenghuni setelah penduduknya dipindahkan ke kem kurungan di Grik, Perak.

Malahan, pasukan keselamatan juga telah membakar segala simpanan beras dan padi orang-orang kampung, pokok kelapa dan pokok buah-buahan lain ditebang, binatang ternakan seperti lembu dan kambing habis dimakan atau ditembak mati.

Mujur utusan atau penangungjawab tempatan yang lalu lalang di kampung itu dapat menyimpan seekor kerbau jantan yang besar dan padi untuk mereka.

Kampung Hala

Dari Kampung Belum, Pasukan Hang Jebat telah berjalan beberapa hari mendaki dan menuruni bukit yang menjadi sempadan Malaysia- Thailand dan tiba di Kampung Hala, Thailand pada 7 Oktober 1954.

Pada masa itu Kampung Hala juga telah tidak lagi berpenghuni keranapenduduknya telah dihalau ke Batu 36 dan 38, Jalan Yala-Betung.

Bagaimanapun, pihak organisasi yang menunggu di situ telah menyimpan ribuan gantang padi, beberapa ekor kerbau dan keperluan- keperluan lain untuk kegunaan anggota Pasukan Hang Jebat dari Rejimen ke 10 itu.

Tibanya Pasukan Hang Jebat dari Rejimen ke 10 itu di Kampung Hala maka bererti selesailah pengunduran startegik mereka yang telah mengambil masa kira-kira satu tahun, empat bulan dan mereka telah menjelajah hampir separuh Semenanjung Malaysia.

Menurut hasil kajian Dr Salleh Lamry yang turut memetik catatan Abdullah C D itu, selain ketabahan anggota Pasukan Hang Jebat menempuh pelbagai cabaran, bantuan dari masyarakat Orang Asli turut memainkan peranan utama kejayaan ‘Perjalanan Jauh’ atau ‘The Long March’ itu.

“Di samping ketabahan mereka, perjalanan itu dapat mereka laksanakan kerana adanya bantuan daripada Orang Asli,” menurut catatan Abdullah C D dalam penulisan beliau yang bertajuk ‘Perang Anti-British dan Perdamaian’ yang diterbitkan di Hong Kong pada 1998.

Ironiknya, pengunduran startegik yang dilakukan Pasukan Hang Jebat itu turut dilakukan oleh tokoh-tokoh penting yang menentang penjajahan British sebelum merdeka.

Mungkin mereka tidak sedar ketika itu, tetapi mengenang kembali pengalaman pengunduran itu, kader-kader PKM Melayu seperti Abdullah C D dan Abu Samah menyedari tindakan berundur ke sempadan turut dilakukan oleh penentang penjajah khususnya DatukBahaman yang berundur ke sempadan Pahang-Terengganu bagi mengatur kembali serangan ke atas penjajah.

Akan datang (Bhg 5) : Rejimen ke 10 selepas berundur

* Free Malaysia Today

Rabu, 28 September 2011

Gerakan Kiri Kemerdekaan: Sejarah yang dikaburkan (bhg 3)

Oleh Nazli Ibrahim

Bahagian 3

Menyingkap di sebalik tabir kejayaan rundingan perdamaian
 

Menurut pengkaji Sejarah,  antara faktor utama menyumbang kepada termeterainya Perjanjian Perdamaian antara pihak Pari Komunis Malaya (PKM) dan Kerajaan Malaysia disebabkan kemahuan kuat kedua-dua pihak bagi menamatkan peperangan yang telah berlanjutan selama 40 tahun itu.

Beliau merupakan mantan Profesor Madya dan Sarjana Tamu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, (UKM), di dalam buku yang ditulisnya ‘Gerakan kiri Melayu dalam perjuangan kemerdekaan’ (GKMDPK) yang diterbitkan Penerbitan UKM.

Ianya dapat dilihat walaupun rundingan tersebut pernah menghadapi jalan buntu namun usaha berterusan tetap dijalankan untuk membawa pemimpin tertinggi ke meja rundingan dan seterusnya mencapai kejayaan Rundingan Haadyai tersebut.

Bahkan kedua-dua pihak juga saling mengendurkan salah satu dari tuntuan masing-masing bagi memecah kebuntuan yang disifatkan oleh bekas anggota PKM terbabit sebagai adil dan munasabah.

Manakala menurut seorang pengkaji Sejarah lain, Mohd Reduan Hj Asli dalam bukunya ‘Pemberontakan bersenjata Komunis di Malaysia’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, beberapa faktor lain di pihak PK juga menjadi penyebab utama yang mendorong mereka untuk menamatkan peperangan tersebut.

Antaranya ialah, kekuatan PKM semakin lemah, kemampuan pucuk pimpinan yang semakin terhad disebabkan faktor usia, kekurangan sokongan moral dan material dari Parti Komunis China dan Kerajaan China dan keruntuhan sistem komunis di beberapa negara Eropah Timur membuktikan ideologi komunis tidak diterima masyarakat umum.

Antara mereka yang telah memainkan peranan secara langsung untuk membawa mereka ke meja rundingan ialah Haji Mokhtar bin Mahmud Baginda sebagai wakil Timbalan Perdana Menteri (Tun) Ghafar Baba; Timbalan Komander Wilayah 4, Thailand, Mejar JeneralKitti Ratanachaya dan Pengarah Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM), (Tan Sri) Abdul Rahim Mohamed Noor.

Sebelum rundingan peringkat tertinggi dijalankan, beberapa siri rundingan peringkat rendah, hubungan surat menyurat antara Abdullah C D dan Ghafar Baba juga berjalan.

Abdullah C D kepada Ghafar: “Azam mengisi kemerdekaan negara”

Pada 25 Jun 1987 Abdullah C D telah mengutus surat pertamanya melalui Haji Mokhtar kepada Ghafar Baba yang banyak menceritakan perihal Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya (PKMRM).

Setelah itu, Abdullah C D sekali lagi mengutus surat kedua bertarikh 1 Oktober 1987 yang antara lain berbunyi  “Setelah Malaya merdeka, saya dan rakan-rakan saya berkeazaman untuk menyumbangkan jiwa raga kami mengisi kemerdekaan yang baru diperolehi itu bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia dengan menyumbangkan derma bakti kami dalam membangun Malaya yang merdeka dan berdaulat itu.

“Sungguh dikesalkan, hasrat baik saya dan rakan-rakan saya dihampakan oleh penjajah British yang ketika itu masih menguasai urusan dalam negeri Persekutan Tanah Melayu.

“Penjajah British tetap meneruskan perang anti rakyat yang berlangsung hingga ke hari ini.  Oleh yang demikian, saya yakin sebagai seorang patriot dan demokrat seperti saudara tentu sependapat dengan saya bahawa perang yang sudah berlangsung selama 40 tahun ini patut dihentikan segera di bawah syarat-syarat yang munasabah. “Lebih cepat ia dihentikan, lebih baik bagi pembangunan negara, nusa dan agama kita.”

Manakala di pihak Ghafar Baba pula, beliau telah menulis sepucuk surat balas kepada Abdullah C D yang bertarikh 7 November 1987, yang berbunyi “Saya memang bersetuju dengan pendapat Encik yang perang sudah berjalan selama 40 tahun dan kita patutlah berhentikan peperangan ini tetapi hendaklah dengan syarat-syarat munasabah yang boleh diterima oleh kedua-dua belah pihak.

“Saya juga bersetuju dengan Encik iaitu seboleh-bolehnya peperangan ini patutlah ditamatkan dengan segera.

Kemerdekaan

“Negara kita telah merdeka sudah lama dan rakyat mahu mengisi kemerdekaan ini supaya keadaan hidup mereka semasa zaman penjajahan dahulu dapat dibetulkan.

“Saya penuh yakin iaitu inilah masanya untuk kita sama-sama berunding bagaimana hendak menamatkan peperangan ini.”

Ketika hubungan surat menyurat antara Abdullah C D dan Ghafar Baba sedang berjalan, pada masa yang sama rundingan peringkat rendah antara kedua belah pihak terbabit dan disertai oleh pegawai-pegawai Tentera Thailand juga sedang diadakan.
Rundingan peringkat rendah yang membabitkan anggota Rejimen ke-10, PKM telah dijalankan sebanyak tiga kali iaitu 23-24 Mei 1987, 10-11 Ogos 1988 dan 22-23 Oktober 1988.
Dalam rundingan pusingan ketiga itu ketua delegasi PKM telah membacakan naskhah usulan yang disiapkan terlebih dahulu yang kandungannya antara lain berbunyi;
“Di sini kami ingin menyatakan bahawa setelah tamatnya perang kami akan mematuhi perlembagaan Negara dan kami bahu bergerak atas nama PKM.

“Kami menganggap Malaysia yang merdeka patut menerima PKM sebagai pertubuhan yang sah di sisi undang-undang.

“Ini amat memunafaatkan rakyat negara kita dalam membangunkan kemakmuran ekonomi, membaiki kehidupan, mengembangkan demokrasi serta membela perdamaian dan ketenteraman negara.

“Tambahan pula lain-lain parti politik semuanya mempunyai kedudukan yang sah asal saja mereka mematuhi Perlembagaan Negara.

“Oleh itu, kami rasa kami patut menikmati hak yang sama dengan mereka.

Perlembagaan Malaysia

“Setelah PKM menikmati kedudukan yang sah di sisi undang-undang, juga setelah tamatnya perang dan sesuai dengan Perlembagaan

Malaysia, masalah tentera dan senjata kami barulah boleh dirundingkan secara konkrit.
Perlu juga kami sampaikan beberapa masalah lainnya sebagai berikut:
  • Setiap anggota kami berhak menjadi warganegara Malaysia dan menikmati keselamatan serta hak-hak demokratik yang dijamin oleh perlembagaan negara.
  • Kerajaan Kuala Lumpur tidak akan melakukan penyiasatan yang mungkin bersifat penghinaan terhadap anggota kami.
  • Kerajaan Kuala Lumpur tidak akan menangkap atau mendakwa sebarang anggota kami dengan menggunakan kes-kes pada masa perang.
  • Kaum patriot yang berada di luar negara harus diizinkan pulang ke tanah air secara bebas.
  • Bebaskan semua tahanan politik.
Demikian antara isi kandungan naskhah usulan yang dibacakan oleh wakil PKM dalam rundingan tersebut.
Bagaimanapun wakil Ghafar Baba tidak memutuskan sebarang jawapan terhadap usul yang dibawa oleh wakil PKM sebaliknya menganggap ia harus diputuskan dalam persidangan di peringkat lebih tinggi.

Dalam pusingan akhir rundingan peringkat rendah itu telah diwakili oleh anggota Rejimen ke-10, PKM dengan diketuai oleh Yaman (Aziz Said), Napi, Minah dan penterjemah Dome Sa, wakil Ghafar Baba, Husin dan Haji Rahmat serta wakil Thailand Kolonel Wara dan Leftenan Kol. Akenik.

Kerajaan Malaysia akui sumbangan PKM – Suriani

Rundingan peringkat tinggi yang membabitkan wakil rasmi PKM, Chang Ling Yun (diganti oleh Wu Yi Shek setelah Chang meninggal dunia), Rashid Maidin dan Zainun tersebut telah dijalankan sebanyak enam pusingan termasuk rundingan kemuncak yang dihadiri oleh Chin Peng dan Abdullah C D sendiri.

Menurut GKMDPK itu, pada tiga pusingan awal, rundingan tersebut hampir menemui jalan buntu apabila kedua-dua pihak enggan menggugurkan syarat perletakan senjata.

“PKM telah menyatakan kesediaan menamatkan perang, jika kedudukan PKM dihalalkan, ISA dimansuhkan, semua tahanan politik dibebaskan dan peranan PKM serta perjuangan bersenjatanya diberi pengiktirafan.

“Pihak Malaysia menolak tuntutan itu dengan membuat pelbagai penjelasan dengan menyatakan kerajaan Malaysia mengakui sumbangan PKM dalam perjuangan kemerdekaan, tetapi tidak boleh secara terbuka.

“Dalam hal ini, mengikut mereka, biarlah ahli sejarah memberi penilaian masing-masing; kerajaan tidak akan menghalang,” menurut kajian itu memetik sumber dari ‘Rejimen ke-10 dan kemerdekaan’ oleh Suriani Abdullah.

Dalam pusingan ketiga rundingan yang berlangsung pada 11-13 Mei 1989 itu juga akhirnya pihak PKM beralah dan menggugurkan tuntutannya supaya kerajaan mengakui kedudukan sah PKM dan juga beberapa tuntutan lain.

Bagaimanapun rundingan dalam pusingan tersebut telah berlaku perbahasan yang sengit dan menemui jalan buntu seketika apabila kerajaan Malaysia berkeras untuk mengenakan tahanan ISA ke atas anggota PKM yang juga disebut sebagai Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (TPRM) yang pulang ke Malaysia nanti.

Hanya dalam pusingan keempat pada 2-3 Oktober 1989 barulah kerajaan Malaysia menggugurkan tuntutan mereka untuk mengenakan tahanan ISA kepada bekas anggota PKM itu dan seterusnya melancarkan rundingan seterusnya.

Dalam rundingan pusingan kelima pada 2-4 November 1989 yang dianggap sebagai kemuncak rundingan juga telah dihadiri oleh Chin Peng sendiri.

Dalam pusingan ini, dua persetujuan berjaya dicapai iaitu persetujuan antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan PKM dengan kerajaan Thailand.

Antara isi kandungan persetujuan tersebut adalah PKM akan menghentikan perjuangan bersenjatanya, membubarkan pasukan TPRM, memusnahkan semua senjatanya dan mematuhi undang-undang dan perlembagaan Malaysia dan Thailand.

Sementara itu di pihak kerajaan Malaysia pula telah bersetuju untuk menerima kepulangan bekas perajurit tersebut dengan tidak mengenakan apa-apa tindakan undang-undang, memberi kebebasan berpolitik sebagaimana rakyat biasa serta bantuan kewangan.

Manakala kerajaan Thailand bersetuju untuk memberi pelbagai bantuan termasuk membenarkan mana-mana bekas anggota TPRM itu menetap di Thailand dan memberi mereka rumah, tanah, belanja sara hidup, belanja pembangunan kampung dan lain-lain sebagaimana yang diminta oleh pihak PKM.

Menandatangani Perjanjian Haadyai

Akhirnya dalam pusingan akhir, acara menurunkan tanda tangan dalam Perjanjian Damai antara PKM, kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand telah diadakan di Hotel Lee Gardens, Haadyai pada 2 Disember 1989.

Ketua-ketua perwakilan yang menandatangani perjanjian tersebut ialah Pemangku Angkatan Tentera Thailand, Tan Sri Jeneral Chaovaslit Yongchaiyuth, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Malaysia, Datuk Wan Sidik Wan Abdul Rahman dan Setiausaha Agung PKM, Chin Peng.

Selain itu, Abdullah C D dan Rashid Maidin juga turut menurunkan tanda tangan bagi pihak PKM.

Akan datang (Bhg 4) : Semantan ke Kg Hala – ‘The long March’ yang diingati

* Free Malaysia Today

Selasa, 27 September 2011

Gerakan Kiri Kemerdekaan: Sejarah Yang Dikaburkan (Bhg 2)

Oleh Nazli Ibrahim

Artikel ini adalah Bahagian Kedua dari artikel sebelum ini bertajuk “Gerakan kiri kemerdekaan: Sejarah yang dikaburkan” yang disiarkan pada 25 Julai lalu.


No, I am not.  I never wanted it to be a success-Tunku
Persoalan mengapa Parti Komunis Malaya (PKM) masih enggan meletakkan senjata walaupun negara ini telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 sehingga kini masih kabur di mata masyarakat negara ini.

Secara tidak langsung juga, kekaburan ini memberi kelebihan politik kepada kerajaan negara ini dengan menggambarkan kepada masyarakat bahawa PKM telah beralih arah perjuangan menentang penjajah kepada menentang kerajaan negara ini yang sah pula.

Keengganan PKM meletakkan senjata selepas Malaya merdeka amat berkait rapat dengan kegagalan Rundingan Baling yang diadakan pada Disember 1955 antara PKM dan Kerajaan Malaya.

Kajian mantan Profesor Madya dan Sarjana Tamu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM Dr Mohamed Salleh Lamry dalam bukunya, ‘Gerakan kiri Melayu dalam perjuangan kemerdekaan’ (GKMDPK) banyak menghuraikan faktor mengapa PKM enggan meletakkan senjata setelah negara mencapai kemerdekaan.

“Setelah berjuang dengan darah dan nyawa, tentulah tidak adil dan munasabah, jika mereka keluar menyerah diri untuk ditahan dan disoal siasat.

“Ini adalah antara sebab utama mengapa mereka tidak meletakkan senjata apabila Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

“Dalam hal ini, Abdullah C.D menganggap bahawa pencapaian kemerdekaan itu adalah hasil perjuangan semua rakyat selama kira-kira 450 tahun yang bemula dengan perang patriotik oleh pembesar tradisional hinggalah Perang Pembebasan Nasional oleh PKM.

“Akan tetapi perjuangan itu telah dirampas oleh golongan reaksioner yang menjadi pemerintah tempatan, walaupun pemerintah tempatan itu masih belum bebas sepenuhnya dari penguasaan British,” menurut kajian tersebut.

Antara syarat utama perdamaian yang digariskan dalam Rundingan Baling oleh Kerajaan yang ketika itu masih di bawah penguasaan British dalam rundingan itu ialah bekas anggota PKM akan ditahan di bawah Akta ISA untuk disoal siasat.

Sedangkan bagi Chin Peng, jika ditahan dan disoal siasat adalah sama dengan menyerah diri bagi seseorang penjenayah sekaligus menunjukkan perjuangan mereka menentang penjajah sebelumnya tidak diiktiraf.

Setelah mereka berkorban dan berjuang dengan mengangkat senjata untuk menghalau penjajah dari bumi Malaya, maka bagi PKM tentulah syarat yang dikenakan terhadap mereka itu tidak adil.

Malahan di kalangan nasionalis kiri ini juga berpendapat perjuangan dan pengorbanan mereka jauh lebih meletihkan, sengsara dan dahsyat berbanding apa yang dilalui perjuangan aliran perdana.

Tunku tidak mahu rundingan berjaya?

Selain itu, menurut catatan seorang tokoh wartawan di era tersebut, Said Zahari, ‘Meniti lautan gelora: Sebuah memoir politik’ terbitan Utusan Publications, pada 2001, Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memang dari mulanya tidak mengkehendaki Rundingan Baling itu berjaya.

“No, I am not.  I never wanted it to be a success,” demikian ucap Tunku kepada Said Zahari seperti yang dicatatkan di dalam memoir beliau itu.

Menurut pendapat Said Zahari, Tunku sememangnya tiada niat untuk mencapai penyelesaian politik dengan PKM kerana beliau sedar ideologi komunis tidak akan diterima rakyat khususnya di kalangan orang-orang Melayu.

Akan tetapi, Tunku sengaja mahu menggunakan faktor PKM sebagai alat tekanan politik kepada British semasa beliau merundingkan kemerdekaan Malaya dengan kerajaan British.

Sekaligus kenyataan tersebut selari dengan dakwaan bekas pemimpin-pemimpin PKM bahawa akibat perjuangan bersenjata PKM terhadap British, menyebabkan British terpaksa menanggung kerugian dan beban perbelanjaan yang besar.

Oleh demikian ianya merupakan satu tekanan yang besar dan mendorong British memberikan kemerdekaan dengan agak segera kepada bumi Malaya.

Selain itu, dalam rundingan awal sebelum Rundingan Baling diadakan, wakil Tunku  iaitu Timbalan Menteri Pelajaran, Too Joon Hing menyampaikan pesan peribadi beliau kepada Chin Peng melalui wakilnya, Chen Tien bahawa beliau bersedia untuk berunding semula sekiranya Rundingan Baling itu buntu.

“No matter what happens, he hopes Chin Peng will come and talk with him.

“If the first round of the talk fail to settle the problem, when he return from London, the Tunku will continue the discussions,” demikian mesej pesanan peribadi Tunku kepada Chin Peng.

Bagaimanapun setelah beliau pulang dari London, Tunku telah memilih untuk tidak melayani surat Chin Peng yang mahu kembali ke meja rundingan sepertimana yang dijanjikan oleh Tunku sendiri.

“Akan tetapi, Tunku tidak menunaikan janjinya untuk bertemu Chin Peng setelah perundingannya dengan kerajaan British di London mencapai kejayaan, iaitu setelah dia mendapat persetujuan daripada kerajaan British untuk memberikan kemerdekaan pada 31 Ogos,” menurut kajian itu lagi.

Chin Peng turut mengutus surat kepada Tunku pada 12 Oktober 1957 yang menyatakan kesediaan beliau untuk berunding semula bagi mencapai satu persetujuan yang adil dan munasabah bagi menamatkan peperangan.

“Saya bersedia berunding semula dengan Tunku untuk mencapai persetujuan yang adil dan munasabah bagi menamatkan perang,” demikian menurut Chin Peng yang dipetik dari ‘Tunku Abd Rahman and his role in the Baling Talk’ dari hasil kajian Prof Nik Anuar Nik Mahmud dari Jabatan Sejarah UKM pada 1998.

Sekaligus keadaan ini menguatkan lagi hujah Said Zahari bahawa Tunku tiada niat agar Rundingan Baling itu berjaya dengan menjadikan PKM sebagai alat tekanan kepada British untuk memberikan kemerdekaan kepada Malaya.

Ia juga menguatkan hujah para pejuang kiri yang menyatakan penentangan bersenjata terhadap British oleh mereka telah menyebabkan British tertekan untuk memberi kemerdekaan kepada Malaya.

“Folding up the banner and silencing the drums”

Menurut kajian Aloysius Chin dalam ‘The Communist Party of Malaya: The inside Story’  yang diterbitkan pada 1995 menyatakan kegagalan Rundingan Baling tersebut amatlah mengecewakan Chin Peng.

Lantaran itu Chin Peng telah mengumumkan dasar baru PKM iaitu ‘folding up the banner and silencing the drums’ yang membawa maksud tidak meneruskan perjuangan bersenjata.

Dalam bukunya lagi, Aloysius Chin turut menyatakan PKM telah memperkenalkan dasar ‘demobilization’ pada 1958 sekaligus membenarkan anngotanya yang sudah tua atau tidak berminat meneruskan perjuangan untuk meninggalkan pasukan itu.

Istimewanya buku dari hasil kajian Aloysius Chin, oleh sebab beliau merupakan seorang pegawai tinggi Polis Cawangan Khas maka buku yang ditulisnya itu berdasarkan data dan maklumat yang dikumpulkan oleh cawangan khas.

Salleh Lamry dalam GKMDPK ini turut menjelaskan selepas pengunduran PKM ke Selatan Thailand, Pengerusinya, Musa Ahmad mengarahkan pasukan bersenjata parti komunis itu mempraktikkan dasar bertahan secara pasif iaitu tidak membalas serangan baik dari tentera Malaya mahupun Thailand.

Malahan mereka juga tidak berundur dari serangan pihak tentera ke kawasan lain dengan hanya menyorok sehingga serangan pihak penyerang reda dengan sendirinya.

Bagaimanapun konsep bertahan secara pasif yang dibuat itu telah mengakibatkan pihak mereka terpaksa menanggung banyak kemalangan jiwa dan ini telah mendapat bantahan dari Abdullah C.D dan kader-kader PKM lainnya.

Akhirnya untuk mempertahankan diri dari dibunuh, Rejimen ke-10, PKM mula mengambil dasar bertahan secara aktif iaitu tidak menyerang jika tidak diserang dan membalas serangan jika diserang.

Bagaimanapun mereka tidak hanya menunggu diserang sahaja, mereka turut mengambil inisiatif untuk menyerang terlebih dahulu apabila menyedari terdapatnya tentera kerajaan dalam perjalanan untuk menyerang kedudukan mereka.

Selain itu serangan juga dijalankan bagi mematahkan ‘kempen kepung dan basmi’ yang dijalankan tentera kerajaan secara besar- besaran serta memakan satu  tempoh masa yang panjang.

Keadaan-keadaan di atas banyak menjelaskan pendirian dan sikap anti kolonial, bukanlah penentangan terhadap kerajaan tempatan yang diambil PKM setelah pengunduran mereka ke Selatan Thailand dan juga selepas kemerdekaan Malaya.

Cuma sikap keras penentangan mereka terhadap penjajahan British dengan kekerasan dengan bermandi darah dan ideologi komunis yang didukung mereka tidak dapat dikongsi oleh Kerajaan Malaya dan masyarakat negara ini secara umumnya dan khususnya bagi masyarakat Melayu.

Dr Salleh Lamry dalam kesimpulannya turut mencatatkan “meskipun mereka berjuang di luar arus perdana dan kini dianggap sebagai pihak yang kalah, tetapi mereka telah mengambil tempat yang penting dan tidak boleh dinafikan dalam sejarah tanah air…

“Oleh itu samada kita bersetuju atau tidak dengan perjuangan mereka, perjuangan mereka itu tetaplah merupakan satu episod penting dalam sejarah tanah air dan memang telah tercatat dalam buku-buku sejarah.

“Hanya barangkali, yang tidak wajar ialah, perjuangan mereka itu telah diberi gambaran yang sangat negatif, iaitu sebagai perjuangan pengganas, penjahat, pengkhianat dan sebagainya yang dianggap mengancam keselamatan negara dan bukan sebagai perjuangan untuk mencapai kemerdekaan,” menurutnya.

Akan datang (Bahagian 3): Menyingkap sebalik takbir kejayaan Rundingan Haadyai.

* Free Malaysia Today

Ahad, 25 September 2011

Gerakan kiri kemerdekaan: Sejarah yang dikaburkan

Oleh Nazli Ibrahim

Ketika negara kita sedang bersiap sedia untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-54 tidak berapa lama sahaja lagi, generasi muda negara ini masih kurang didedahkan dengan ‘sejarah yang dikaburkan’ di dalam lipatan sejarah.

Tatkala menjelang 31 Ogos saban tahun kita akan diperingatkan akan jasa dan pengorbanan Bapa Kemerdekaan, Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan juga beberapa nama lain yang turut berusaha untuk mencapai kememerdekaan negara.

Lazimnya nama-nama ini merupakan nama-nama yang mempunyai kaitan rapat dengan parti pemerintah yang juga telah 54 tahun mentadbir negara ini.

Mengenang jasa mereka memanglah merupakan sesuatu yang baik tetapi agak malang, hakikatnya negara ini memiliki sejarah perjuangan kemerdekaan yang lebih kaya dan panjang dari yang disangkakan, lebih berwarna, pelbagai plot, lebih berliku,  keringat, air mata dan darah yang telah tertumpah.

Agak sedih apabila sejarah ini dimiskinkan apabila hanya segelintir watak terpilih sahaja yang kerap ditonjolkan sebagai wira negara di dalam lipatan sejarah kemerdekaan negara.

Artikel ini sama sekali tidak memperkecilkan dan jauh sekali menafikan peranan yang dimainkan oleh nama-nama besar yang kerap diulang-ulang di kaca tv dan media-media perdana lain.

Apatah lagi bertujuan menghidupkan kembali gerakan mana-mana golongan kiri yang pernah wujud di negara ini yang memungkinkan penulis dihumban ke dalam tahanan ISA, tentu sekali tidak.

Ianya tidak lebih hanya untuk sama-sama berkongsi sejarah yang dikaburkan untuk manfaat generasi muda supaya lebih menghargai dan menghayati erti kemerdekaan negara ini.

Anggota PKM Melayu tak percaya agama?

Mungkin ramai antara kita yang pernah terbaca artikel-artikel di media arus perdana atau kenyataan oleh pemimpin-pemimpin politik yang sering mengaitkan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai golongan yang tidak percaya kepada agama.

Selepas 22 tahun peristiwa PKM, Kerajaan Malaysia dan Thailand menandatangani perjanjian perletakkan senjata yang juga disebut sebagai Perjanjian Haadyai tindakkan pihak tertentu mengaitkan bekas anggota-anggota komunis tersebut sebagai golongan yang menolak agama boleh dianggap sebagai tindakkan menuduh kafir terhadap pihak berkenaan yang berketurunan Melayu.

Lebih-lebih lagi bagi masyarakat Melayu negara  ini yang umumnya beragama Islam di negara ini yang pernah digembar-gemburkan dengan isu kafir-mengkafir oleh pihak tertentu.

Ketika umumnya para ulama bersependapat berdosa bagi mana-mana pihak yang mengkafirkan sesama Islam, kita masih berterusan cuba ‘diingatkan’ pihak tertentu bahawa golongan komunis tidak percaya kepada agama.

Menurut hasil kajian yang ditulis dalam sebuah buku berjodol ‘Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Sebelum Kemerdekaan’, tulisan Dr Mohamed Salleh Lamry, anggota PKM berbangsa Melayu ketika itu tidak pernah meninggalkan Islam, jauh sekali dari mengatakan mereka tidak lagi beragama Islam.

“Satu perkara yang perlu diingati ialah pemimpin gerakan nasionalisme kiri Melayu yang merupakan kader dan pemimpin PKM ini tidak pernah meninggalkan Islam, jauh sekali dari mengatakan bahawa mereka tidak lagi beragama Islam.

“Pendirian mereka terhadap komunisme dan Islam boleh dikatakan hampir sama dengan Haji Misbach, seorang komunis Islam di Indonesia, yang percaya bahawa terdapat keselarasan faham yang mendasar antara Islam dan komunis,” yang dirujuk penulis buku itu dari hasil kajian ahli akademik di Indonesia, Takashi Shiraishi  pada 1997.

Anggota PKM Jalani ibadat agama

Menurut kajian yang diterbitkan pada 2006 dan dianggap oleh sesetengah ahli sejarah sebagai bacaan wajib dibaca itu turut mendapati, anggota PKM  beragama Islam yang ketika itu masih lagi mengangkat senjata, masih menjalankan ibadat mereka walaupun dalam keadaan yang sukar dan kekurangan.

“Oleh itu, ketika mereka masih lagi terlibat dengan perjuangan bersenjata, apabila keadaan memungkinkan, mereka masih melakukan beberapa ibadat agama, walaupun hanya di paras minimum,” dipetik dari kajian tersebut.

Bina masjid dan sembahyang berjemaah Ibrahim Chik ketika bergiat dalam PKM, pernah diberi tanggungjawab untuk mengimamkan sembahyang berjemaah bersama orang- orang kampung di sebuah masjid yang dibina secara bergotong royong dengan diketuai oleh beliau sendiri.

“Ibrahim Chik khasnya, ketika memimpin kerja massa, pernah mengetuai penduduk kampung membina masjid dan menjadi imam sembahyang secara berjemaah,” menurut kajian itu lagi.

Menurut kajian itu juga, ketika peringkat awal Kampung Perdamaian dibuka setelah perjanjian damai dimenterai, perkara terawal yang dilaksanakan oleh bekas-bekas anggota PKM terbabit ialah membina madarasah yang akhirnya dinaikkan taraf sebagai masjid bagi memudahkan mereka beribadat.

“Selepas mereka memberhentikan perjuangan bersenjata dan tinggal di Kampung Perdamaian pula, mereka dengan segera membina masjid dan seterusnya melaksanakan ibadat sembahyang Jumaat, puasa, menunaikan haji dan juga kelas mengajar al-Quran.

“Dalam hal ini, meskipun mereka mempelajari materialisme dialektik dan materialisme sejarah yang merupakan teras ajaran Marx, tetapi nampaknya mereka hanya menggunakannya sebagai teori untuk menganalisis sejarah dan perkembangan masyarakat sebagai perjuangan dan bukan sebagai akidah yang setaraf dengan agama.

“Perwatakan mereka menunjukkan bahawa label yang tepat diberi kepada mereka tidak lain daripada komunis-Islam atau dengan perkataan lain mereka adalah komunis kerana mereka adalah kader dan pemimpin parti komunis, tetapi mereka tetap beragama Islam.

Kajian tersebut turut menghuraikan anggota-anggota Melayu dari Rejimen Ke-10 PKM tersebut menggunakan fahaman Marxis-Leninis dan ajaran Mao Tze-Dong hanyalah sebagai teori, startegi dan taktik perjuangan politik mereka sekaligus mereka boleh dianggap sebagai komunis, Islam dan juga nasionalis.

“Oleh yang demikian, mungkin lebih secocok dengan kenyataan jika dikatakan antara 1948 hingga 1989 itu mereka berjuang mengangkat senjata dan berada di bawah pimpinan PKM kerana itulah satu-satunya cara mereka anggap paling tepat untuk mencapai matlamat mereka memperjuangkan kemerdekaan tanah air.

“Walaupun mereka berjuang mengikut jalan komunis dan bersama-sama dengan komunis, tetapi pada hakikatnya mereka menggunakan PKM sebagai wadah untuk mencapai matlamat mereka sebagai orang-orang nasionalis.

“Dengan perkataan lain, mereka adalah orang-orang nasionalis yang tetap berpegang pada ajaran Islam tetapi menggunakan fahaman Marxis-Leninis dan ajaran Mao Tze-Dong sebagai teori, startegi dan taktik perjuangan politik.

“Dengan itu pada masa yang sama atau secara serentak, mereka bolehlah dianggap sebagai komunis, Islam dan juga nasionalis,” menurut kesimpulan dari hasil kajian itu.

Kesimpulan oleh mantan Profesor Madya dan Sarjana Tamu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dibuat berdasarkan  fakta-fakta yang diperolehi ketika membuat kajian untuk penulisan buku tersebut yang diterbitkan oleh Penerbitan UKM.

Fakta-fakta tersebut telah beliau perolehi daripada tiga sumber iaitu yang paling utama ialah tokoh pelaku sejarah itu sendiri iaitu Abdullah C.D, Rashid Maidin, Abu Samah Mohamad Kassim dan Ibrahim Chik.

Di samping menemuramah tokoh-tokoh sejarah terbabit di Kampung Perdamaian, Selatan Thailand, beliau juga memperolehi bahan dalam bentuk teks ucapan, risalah, tulisan lama mahupun baru dari keempat-empat tokoh itu.

Selain itu beliau turut menggunakan fakta dari sumber yang diperolehi daripada penulisan ahli akademik dalam dan luar negara dan juga sumber pihak berkuasa, khasnya dokumen dan penulisan bekas pegawai Cawangan Khas PDRM dan tentera.

* Free Malaysia Today

Paparan Halaman