Rabu, 11 November 2009

Menyerap Idealogi Muda Dalam Perjuangan PAS

Kira-kira lima tahun dahulu, ketika itu Epul masih lagi bersekolah menengah. Seperti kebanyakan remaja-remaja lain, memakai topi dan t-shirt yang mempunyai gambar band thrash pujaan mereka. Saya tidak nampak apa-apa pun perbezaan antara dia dan remaja lain ketika itu.

Namun setelah lama tidak berjumpa, pada suatu petang saya bertemu semula dengan Epul secara tidak sengaja. Rambutnya agak panjang, masih mengenakan baju berwarna hitam, warna kegemarannya. Sekaligus menunjukan minatnya pada band trash masih kekal. Kami berbual agak panjang petang itu. Menurut Epul dia baru sahaja tamat belajar di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan dalam jurusan penulisan dan jikalau tiada apa aral melintang akan menyambung pelajarannya tahun hadapan ke peringkat yang lebih tinggi. Setelah agak lama berbual, saya menyedari perbezaan yang amat ketara antara dia dan kebanyakan anak muda lain.

Mengkagumkan! Ya, itulah perkataan yang tepat yang boleh saya ungkapkan. Sebabnya, memang amat jarang saya berjumpa seorang anak muda seusianya sekitar awal dua puluhan yang mampu berfikiran cukup kritis, banyak membaca, mengkaji dan mampu melontarkan pandangan dari sudut pandangan yang mewakili kebanyakan anak-anak muda khasnya. Di sebalik gayanya yang ranggi, dia mampu berhujah, berserta huraian secara ilmiah dengan baik sekali.

Dalam perbualan kami, banyak berkisar tentang masyarakat kita hari ini. Dari politik hinggalah ke masalah sosial lain. Walaupun menurutnya dia tidak berpartisan, saya dapati dia mampu memerhati dan membaca apa yang tersurat dan tersirat dalam politik negara kita dengan baik. Mungkin disebabkan usia kami yang agak jauh bezanya, maka tidaklah semua pendapat kami sama. Masing-masing melontarkan hujah masing-masing dalam perbualan yang harmoni. Cuma satu, kami mempunyai tujuan dan matlamat yang sama. Untuk menggempur kebobrokan yang melitupi kita.

Ekoran pertemuan semula kami itu, beberapa hari kemudiannya saya diperkenalkan pula dengan beberapa rakannya. Rupa-rupanya rakannya yang lain turut mendukung gaya pemikiran yang sama. Seperti mana Epul, rakan-rakannya yang lain juga petah berhujah dengan berpandukan rujukan ilmiah seperti sejarah dalam dan luar negara dan sebagainya. Mereka ini tidak bergantung kepada sejarah buku teks semata-mata, malahan mereka ini berusaha mengkaji dari sumber-sumber lain yang mereka yakini antaranya, tentunya sumber dari internet dan juga buku-buku tulisan kajian sarjana sains sosial yang memperincikan lebih mendalam tentang politik negara dan luar negara semenjak sebelum merdeka.

Menurut Epul, generasinya yang idealis, mampu berfikiran kritis tidaklah ramai sebenarnya. Namun, mereka ini seperti mempunyai pengikut tersendiri dan semakin bertambah jumlahnya. Kalaulah apa yang dihujahkan oleh pemuda bernama Epul ini dalam perbualan isu politik antara kami dijadikan sandaran, maka benarlah Pas semakin hilang bisa dikalangan anak muda seperti mana yang terkandung di dalam kertas kerja yang dibentangkan oleh Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah. Apatah lagi kertas kerja yang dibentangkan oleh Dr Abu Hassan disertakan dengan statistik tinjauan pendapat. Menurut pandangan Epul, Pas masih lagi bersifat terlalu konservatif, enggan memahami idealogi anak muda dan kurang mendengar pekik mereka tetapi dalam masa yang sama mahukan anak muda ini mendengar mereka.

Seperti mana kenyataan naib presiden Pas, Salahuddin Ayub selepas Seminar Perkasa Parti baru-baru ini, Pas akan menubuhkan kumpulan pemikir. Bagi saya, amat wajar golongan pemuda seperti Epul ini dijemput sama menyertainya. Kumpulan pemikir yang bakal dibentuk itu akan hambar dan tidak tidak akan mencapai objektifnya jika tiada suara mereka. Tiada gunanya juga jika wakil pemuda yang dijemput ke dalam kumpulan tersebut hanyalah pemuda yang menyanyikan lagu senada dan seirama dengan yang menjemput mereka.

Pakatan Rakyat, khasnya dalam konteks ini Pas, tidak boleh lagi terus syok sendiri dengan mendakwa anak-anak muda menyebelahi mereka. Tindakan segera perlu dilaksanakan bagi mencapai objektif memenangi hati rakyat, golongan muda khasnya.


Tiada ulasan:

Paparan Halaman