Khamis, 30 Disember 2010

Tirai 2010 dilabuh: Akhirnya ada yang boleh diraikan bersama (bhg 1)

Ketika hari-hari terakhir 2010, WikiLeaks, Buku Jingga Pakatan Rakyat (PR) dan perlantikkan Datuk Mohd Khusrin Munawi dilihat seolah-olah sebagai isu penutup 2010 yang hangat diperdebatkan oleh BN dan PR.

Semenjak Pilihan Raya Umum ke 12, politik negara ini tidak pernah berhenti bergelora dengan serangan demi serangan antara kedua-dua belah pihak samada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR). Keadaan ini berlarutan hinggalah tatkala 2009 melabuhkan tirai dan fajar 2010 menjelang tiba.

Bagaimanapun, dalam kekalutan politik, masih ada yang wajar diraikan bersama oleh kedua-dua pihak bertelagah di penghujungnya apabila wira-wirawati sukan menghadiahkan sesuatu yang membanggakan negara.

Antaranya Datuk Lee Chong Wei dalam sukan badminton, Datuk Nicole Ann David (squash), pasukan hoki negara, terkini skuad kebangsaan bola sepak dan banyak lagi.

Ketika 2010 mula menjengah, isu penghujung 2009 kehilangan dua enjin pesawat pemintas TUDM, F-5E masih lagi panas dan mendapat tempat di media-media utama ketika itu.

Disamping itu, kedatangan tahun baru 2010 turut 'diraikan' serentak dengan pengumuman kenaikan harga runcit gula sebanyak 20 sen sekilogram kepada RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak.

Isu yang turut mendapat liputan meluas oleh media-media tahun ini ialah isu penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic dan masyarakat Kristian negara ini.

Isu hangat ini menjadi bertambah burukkan keadaan lagi apabila wujudnya pihak yang tidak bertanggungjawab membakar beberapa rumah ibadat di seluruh negara.

Isu lain menyentuh soal agama yang turut berputar ligat sepanjang tahun 2010 ialah antaranya isu peguam syariah di kalangan bukan muslim, Syiah di Malaysia dan kes mengajar agama tanpa tauliah yang dihadapi bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Selain itu baru-baru ini arahan pejabat perdana menteri supaya membuang elemen keagamaan daripada satu majlis sambutan Krismas yang dihadirinya di kediaman ketua biskop gereja Katolik Kuala Lumpur juga telah menimbulkan bantahan beberapa pihak.

Dalam isu berkaitan keagamaan, ia dihangatkan lagi apabila Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menjadi mangsa permainan politik pihak tertentu setelah menghadiri majlis berbuka puasa di sebuah surau di Kajang.

Sementara itu dalam isu membabitkan sentimen perkauman, sehingga 3 Febuari sekurang-kurangnya 12 laporan polis telah dibuat gara-gara keceluparan pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar berhubung ucapan beliau dalam seminar 1Malaysia di Melaka yang berbau perkauman.

Isu pasir di Selangor antara isu yang mendapat perhatian khususnya media arus perdana. Rentetan isu yang semakin panas ini, pada 20 Januari, SPRM di bawah Ketua Pesuruhjayanya yang baru, Datuk Abu Kassim Mohammed telah menahan sekurang-kurangnya 38 orang termasuk 24 kakitangan kerajaan dan dua pembantu politik di seluruh negara.

Perdebatan isu ketuanan Melayu Umno dan ketuanan rakyat PR juga merupakan isu yang terus menjadi 'buah pukulan' baik dari pihak BN mahupun PR di sepanjang tahun 2010 ini.

Kes liwat 2 yang dihadapi oleh Ketua Pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim turut mendapat liputan meluas dalam dan luar negara. Kes ini turut telah menarik perhatian ahli parlimen dan anggota senat negara luar.

Tuntutan royalti minyak oleh Kerajaan Negeri Kelantan juga mendapat tempat oleh pengamal media sepanjang 2010. Dalam isu tersebut, pemimpin senior Umno, Tengku Razaleigh Hamzah memilih untuk menyebelahi Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS.

Perjalanan Inkues kematian Teoh Beng Hock yang menambah burukkan lagi wibawa SPRM dan Kerajaan Malaysia juga mendapat menjadi tumpuan masyarakat pada tahun ini.

Turut mencuri perhatian, apabila fenomena lompat parti oleh ahli parlimen dan ADUN PKR masih gagal dibendung oleh pemimpin parti itu sekaligus mencemarkan imej parti itu dan secara tidak langsung memberi kredit kepada BN.

Selain Zulkifli Noordin yang dipecat oleh PKR, Ahli Parlimen dan ADUN PKR lain ialah Datuk Salehuddin Hashim, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim, Mohsin Fadzli Samsuri, Mohammad Fairus Khairuddin, Tan Tee Beng, Wee Choo Keong.

Menteri Besar yang disingkirkan pula, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Febuari yang mengesahkan penyingkiran beliau mungkin akan mengakibatkan situasi monarki mutlak di Malaysia.

Menambahkan kehangatan tahun 2010, apabila Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dilihat telah mencapai penghujung karier politiknya berjaya membuat 'come back' dengan bergaya apabila memenangi jawatan presiden MCA.

Chua telah berjaya menewaskan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting dan penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat dengan majoriti 68 undi pada pemilihan MCA pada 28 Mac lalu.

Umum melihat senario politik 2010 kembali memihak kepada BN apabila pada 25 April, calon Barisan Nasional P Kamalanathan berjaya menewaskan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim pada pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan majoriti 1,725 undi.

BN yang mula tampak selesa setelah memenangi PRK Hulu Selangor, menerima tamparan apabila kerusi Parlimen Sibu berjaya dirampas oleh calon DAP, Wong Ho Leng yang menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew dan calon bebas Narawi Haron dalam PRK parlimen itu pada 16 Mei lalu.

Bagaimanapun BN menemui semula sentuhan untuk menyekat kemaraan PR apabila memenangi dua kerusi dalam dua PRK yang diadakan serentak 4 Oktober lalu di DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi.

Di Galas, calon BN Abdul Aziz Yusoff mengalahkan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad dengan majoriti 1,190 manakala Datin Linda Tsen bagi kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah mengalahkan Presiden Parti Maju Sabah Datuk Yong Teck Lee dan calon PKR Ansari Abdullah dengan majoriti 6,359 undi.

Sepertimana kelaziman dalam pilihan raya yang di adakan dalam negara ini, kotroversi yang melibatkan dakwaan rasuah politik, ketelusan dan undi pos masih bermain-main dalam setiap PRK yang dijalankan ini.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman