Khamis, 30 Disember 2010

Tirai 2010 dilabuhkan: Akhirnya ada yang boleh diraikan bersama (bhg 2)

Pemilihan Pimpinan PKR antara isu yang mendapat liputan meluas dari media perdana dan juga alternatif. Pemilihan tersebut pada awalnya menjadi kebanggaan parti itu kerana merupakan satu-satu parti politik yang memberikan hak memilih pemimpin kepada ahli akar umbi.

Bagaimanapun kebanggaan tersebut bertukar menjadi bencana kepada PKR apabila didakwa banyak penyelewengan telah berlaku bermula daripada proses pencalonan lagi.

Akibat merasa tertipu, calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim telah bertindak keluar parti dan kini menyertai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) sebelum ditukar menjadi Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dengan jawatan Presiden parti itu.

Walaupun musim pemilihan PKR telah lama berakhir, namun kemelut berhubung aduan-aduan yang diterima parti sehingga kini masih gagal diselesaikan oleh pemimpin-peminpin PKR.

Turut menerima sasaran kritikan sepanjang 2010 ialah isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berikutan penglibatan aktifnya yang dianggap membazirkan wang negara dan menganggu urusan pentadbiran kerajaan.

Bekas Menteri Besar Selangor pula, antara personaliti yang boleh dianggap sudah jatuh ditimpa tangga apabila ditahan atas dakwaan rasuah yang melibatkan kediamannya yang bernilai jutaan ringgit.

Pada 16 Disember, empat wakil rakyat pembangkang digantung enam bulan daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan gara-gara mengaitkan APCO, 1Israel dan 1Malaysia.

Mereka yang dikenakan tindakan penggantungan itu ialah, Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim(PKR), Karpal Singh (DAP), S.Sivarasa (PKR) dan Azmin Ali (PKR).

Pendedahan WikiLeaks menghangatkan lagi suhu politik hujung tahun dalam negara ini apabila beberapa komunikasi sulit pemimpin dunia terdedah untuk tatapan umum.

Antara isu yang terjebak ialah kes liwat Anwar Ibrahim, kes pembunuhan Altantuya dan yang paling mengejutkan ialah dakwaan terhadap seorang menteri yang merogol pembantu rumahnya pada tahun 2007 tetapi tiada tindakan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Badawi.

Walaupun sehingga hari ini belum ada mana-mana media menyebut dengan jelas nama menteri terbabit, umum telah mengetahui indentiti menteri berkenaan melalui klu yang banyak di paparkan di media-media alternatif.

Ketika 2010 hampir melabuhkan tirainya, PR telah sempat menembak peluru terakhirnya apabila mengumumkan rancangan 100 hari pemerintahan PR dalam buku jingga yang dilancarkannya.

Sedikit sebanyak tindakkan PR ini dianggap mampu membuatkan pemimpin BN berada di dalam keadaan yang merimaskan dan memeningkan kepala.

Pertikaian antara kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir oleh PR dengan kerajaan pusat juga masih tidak berpenghujung apabila kerajaan pusat didakwa tidak menghormati semangat federalisme.

Terbaru, kontroversi perlantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang telah mendapat bantahan Kerajaan Negeri Selangor mula berlegar-legar di penghujung 2010.

Isu sepanjang 2010 yang tentunya mendapat perhatian rakyat negara ini ialah siri kenaikan harga barangan keperluan sepanjang 2010 yang semakin meningkatkan kos sara hidup rakyat negara ini dan menyebabkan tekanan hidup yang semakin memuncak.

Akhirnya dalam tekanan keperluan hidup dan pertarungan politik yang tiada kesudahan antara BN dan PR, tiba-tiba anak-anak buah K Rajagopal telah menghadiahkan sesuatu yang wajar diraikan bersama oleh semua rakyat negara ini.

Kelmarin, skuad bola sepak negara membolehkan rakyat negara ini menutup tirai 2010 dengan perasaan bangga dan tersenyum apabila anak-anak muda ini berjaya membawa pulang kejuaraan Piala AFF Suzuki setelah menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2.

Malahan pertubuhan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyarankan dua pemimpin utama parti bertelagah BN, Najib Razak dan PR, Anwar Ibrahim bersatu untuk menyambut kepulangan wira-wira muda negara itu petang semalam.

Menurut pemimpin pertubuhan itu, Badrul Hisham Shaharin, SAMM sendiri akan menggerakkan anggotanya untuk menyertai sambutan kepulangan skuad bola sepak negara itu.

Memetik blog Anwar Ibrahim pula, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada skuad bola sepak negara itu sambil berkata kejayaan tersebut semuga membuahkan sesuatu yang lebih positif untuk tahun 2011.

Berita gembira ini turut disusuli oleh pengumumkan PM Najib Razak yang mengisytiharkan 31 Disember sebagai cuti umum sempena menyambut kegemilangan sukan bola sepak negara.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman