Selasa, 19 April 2011

Setelah tirai PRN Sarawak dilabuh...

Oleh Nazli Ibrahim

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak telahpun melabuhkan tirainya dengan seribu satu fakta angka yang diterjemahkan oleh pengundi- pengundi negeri itu di atas kertas undi.

Pelbagai spekulasi dan ramalan sebelum ini ada yang menjadi kenyataan dan tidak kurang juga tersasar jauh dari realiti keputusan PRN yang ke 10 bagi negeri yang sinonim dengan gelaran negeri bumi kenyalang itu.

Keputusan rasminya juga telah diketahui dengan Barisan Nasional (BN) yang memenangi 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), DAP (12) , PKR (3) dan Bebas (1).

Perdana Menteri dan juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak yang teruja dengan kejayaan BN memperolehi kemenangan dua pertiga tentunya dapat menangkap isyarat bahaya dalam PRU-13 kelak khususnya di beberapa kerusi parlimen Sarawak.

Selain Sarawak, Sabah juga dianggap mampu mencetuskan mood yang sama di kalangan pengundi khususnya di kawasan-kawasan bandar.

Bagi sesetengah penyokong Pakatan Rakyat (PR) menganggap keputusan PRN Sarawak baru-baru ini tidaklah seperti mana yang diharapkan dan memperlihatkan ulangan corak keputusan Pilihan Raya Umum tahun 1999 yang telah dimenangi oleh BN ketika itu dengan mengekalkan majoriti dua pertiga di parlimen.

Dalam PRU ketika itu gelombang reformasi yang melanda politik negara dianggap sebagai gambaran kemampuan Barisan Alternatif (BA) untuk sekurang-kurangnya menafikan majoriti dua pertiga BN di parlimen.

Bagaimanapun dalam PRU ke 10 itu, BA bukan sahaja masih jauh untuk menggapai kemenangan di peringkat pusat malah turut gagal untuk menafikan dua pertiga penguasaan BN dalam parlimen.

Cuma agak melegakan pemimpin BA ketika itu, selain berjaya menambah kerusi pembangkang di parlimen dan kejayaan menawan Terengganu, majoriti kemenangan BN di kebanyakan tempat turut mengalami penyusutan yang banyak
.
Undi popular yang diraih BN dalam PRN Sarawak kali ini ialah 372,379 atau 54.53 peratus, mengalami kemerosotan sebanyak lapan peratus berbanding 63 peratus pada PRN 2006 sebelumnya.

Kerusi Dun ‘bertukar servis’

Sebelas kerusi Dun ‘bertukar servis’ dalam PRN kali ini dengan lapan daripadanya membabitkan kerusi dimenangi BN dalam PRN 2006 namun berjaya dirampas oleh PR kali ini.

Dua Dun membabitkan pertukaran ‘suka sama suka’ ialah kerusi Padungan dan Batu Lintang antara dua buah parti di bawah PR, DAP dan PKR di mana kedua-dua kerusi berjaya dimenangi oleh calon masing-masing.

Manakala satu lagi kerusi Dun pula membabitkan Dun Ngemah yang dimenangi oleh Parti Cinta Malaysia (PCM) pada 2006 namun berjaya dimenangi oleh calon Parti Rakyat Sarawak (PRS), Alexander Vincent.

Calon DAP di kerusi Bukit Assek, Wong Ho Leng berjaya mencatatkan kemenangan dengan majoriti tertinggi iaitu sejumlah 8,827 undi majoriti berbanding pencabarnya dari BN dan Bebas.

Manakala keputusan di kerusi Senadin pula dianggap kontroversi apabila permintaan PKR untuk membuat pengiraan semula ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Keputusan yang dimenangi oleh Datuk Lee Khim Shin dari BN di Dun terbabit dengan majoriti 58 undi merupakan majoriti paling tipis dalam PRN kali ini.

Turut menarik perhatian, seramai 71 calon telah kehilangan wang deposit mereka dengan jumlah keseluruhan RM355,000 apabila gagal meraih sekurang-kurangnya satu perlapan dari jumlah undi.

Hampir kesemua 26 calon Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) pula hilang wang pertaruhan dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10, kecuali Toh Heng San yang bertanding bagi kerusi Dun Katibas.

Kekalahan teruk Snap itu telah mengundang saranan Presiden PRS Datuk Seri James Masing agar parti itu ‘menutup kedai’ dan bekerjasama dengan BN dalam memperjuangkan nasib penduduk di luar bandar.

Walaupun kenyataan James itu dianggap mempunyai asas yang kukuh berdasarkan prestasi buruk parti itu, bagaimanapun James lupa untuk memberitahu bahawa selain BN, Snap juga mempunyai pilihan lain iaitu menjadikan PR sebagai landasan perjuangan mereka.

Selain Snap, turut kehilangan wang deposit ialah seramai 36 calon bebas, enam dari PKR dan empat calon dari PCM.

Sementara itu, PAS yang bersaing di lima Dun turut tewas di semua kerusi termasuk calon ‘favourite’ mereka bagi kerusi Beting Maro, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

Bagaimanapun PAS lebih bernasib baik berbanding Snap apabila bukan sahaja tiada calon parti itu yang kehilangan wang depositnya malah turut menyaksikan pertambahan undi di beberapa kerusi yang ditandinginya.

Sementara itu, calon yang mengutip undi terendah ialah calon bebas bagi kerusi Belaga, Matthew ak Munan yang memperolehi 27 undian manakala Violet Yong Wui Wui dari DAP pula memperolehi undi tertinggi dalam PRN kali ini menerusi kemenangan beliau di kerusi Pending dengan jumlah 14,375 undi.

PRN kali ini turut mencatatkan sebanyak 8,224 undi rosak keseluruhan dengan jumlah tertinggi dicatatkan di Dun Muara Tuang sebanyak 299 undi manakala terendah di kerusi Ba’kelalan dengan 37 undi yang ditolak.

* Free Malaysia Today

Tiada ulasan:

Paparan Halaman