Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan

Selasa, 11 Januari 2011

Harga barang naik: Kenyataan menteri diselar

PETALING JAYA: Kenyataan menteri-menteri berkaitan kenaikan harga barang-barang pengguna semenjak kebelakangan ini diselar dan diumpamakan seperti menteri yang tidak pernah bersekolah oleh Ketua Penerangan Pas Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

"Ini jawapan dari seorang menteri yang macam tidak bersekolah. Mereka ingat senang-senang ke nak bodohkan rakyat? Macamana harga barang tak naik? Anda meniaga sendirilah, baru tahu macamana.

"Kalau barang yang sampai kepada mereka pun harga dah mahal atau lebih tinggi dari sebelumnya, macamana mereka hendak jual dengan harga yang sama seperti sebelumnya atau lebih murah?

"Kalau nak marah kepada peniaga dan pengedar semata-mata tentulah tak adil kerana ekonomi ini seperti satu rantaian. Pengedar pula tentu akan mengambil kira harga dari kilang yang naik akibat peningkatan kos, kos pengangkutan dan sebagainya," kata beliau ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, walaupun terdapat segelintir peniaga yang mengambil kesempatan namun secara umumnya faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan harga barang pengguna disebabkan kelemahan kerajaan dalam menguruskan ekonominya yang tidak mendahulukan rakyat.

"Memang ada peniaga yang ambil kesempatan menaikkan harga barang tapi kenaikan harga barang sekarang ini melibatkan seluruh negara. Percayakah anda harga barang naik sebab semua peniaga seluruh negara ambil kesemapatan? Sebenarnya segelintir sahaja yang naikkan harga barang secara berlebihan.

" Tetapi media kerajaan sengaja memberi liputan terhadap penyelewengan peniaga yang menyorokkan bekalan dan menaikkan harga di pasaran berlebihan untuk mengaburi kelemahan mereka menguruskan ekonomi yang tidak mendahulukan rakyatnya.

Ustaz Idris turut menemplak kenyataan seorang Timbalan Menteri yang dipercayai merujuk kepada Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe yang baru-baru ini berkata bekalan keperluan pengguna seperti minyak masak mencukupi di pasaran.

"Kemudian ada pula Timbalan Menteri yang cakap bekalan barang keperluan sentiasa cukup di pasaran. Contohnya minyak masak dan bawang, tapi bila kita hendak beli, terpaksa keluar masuk empat, lima kedai baru dapat.

"Itu pun harga yang mahal. Bayangkan harga bawang besar boleh cecah RM5 sekilo dari cuma seringgit lebih, lepas tu tiga ringgit lebih. Dalam masa lebih kurang setahun sahaja, sekarang dah RM5 sekilo atau RM18 seguni berbanding sebelumnya RM5 sahaja seguni," kata Ustaz Idris lagi.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri berkata penyelarasan harga beberapa barangan termasuk harga bahan api yang dibuat oleh kerajaan tidak memberi kesan kepada harga barangan lain

Bagaimanapun baru-baru ini beliau mengubah kenyataannya dengan mengatakan penyelarasan tersebut akan hanya memberi impak yang minima dan tidak melibatkan semua barang.

Dalam isu yang sama, Ustaz Idris menyambut baik pelawaan Pakar Matematik Gunaan, Profesor Madya Hamid Yeop untuk berkongsi formula dengan mana-mana parti politik yang berhasrat memerintah negara ini bagi meringankan bebanan rakyat.

Dalam satu kajian yang dijalankan sebelum ini, Prof Hamid mendapati harga bahan api di negara ini boleh diturunkan memandangkan negara ini merupakan sebuah negara pengeluar minyak.

Dalam kajian yang sama juga mendapati oleh kerana Malaysia sebuah negara pengeluar minyak, harga minyak dalam pasaran tempatan tidak wajar ditentukan mengikut pasaran antarabangsa bagi membolehkan harga yang lebih rendah untuk pasaran tempatan.

Ahad, 2 Januari 2011

Isu panas pembuka Tirai 2011: Satu lagi salah laku seks vvip terburai?

PETALING JAYA: Ketika akhbar arus perdana berterusan menyepikan isu berhubung dakwaan skandal seks pemimpin negara, satu lagi skandal seks yang didakwa melibatkan golongan vvip dibongkar.

Skandal yang dikatakan melibatkan hubungan seorang ketua agama dengan peragawati yang juga seorang pelakon terkenal tanah air, Kavita Kaur itu mula dibangkitkan oleh beberapa blog terkenal termasuk Tranungkite.net yang menduduki carta nombor satu dalam Carta Alexa untuk Blog dan Portal Politik Malaysia 2010.

Selain Tranungkite.net, blog Tukar Tiub yang dikendalikan oleh aktivis terkenal Isham Rais, weblog Marhaen, Anak Sungai Derhaka, Pulak Dah, Steadyaku47 dan beberapa blog lain turut memfokuskan isu yang sama.

Sebelum ini, Tukar Tiub, blog yang menduduki carta nombor empat dalam carta yang sama dilihat secara konsisten telah menyelitkan nama Kavita Kaur dalam entri-entri yang melibatkan golongan raja-raja dengan maksud tertentu yang tidak didedahkan.

Rentetan tindakan tersebut, portal berita FMT, blog Beduk Canang dan Ureka Asia telah mempersoalkan kehadiran nama pelakon jelita tersebut dalam entri-entri Tukar Tiub.

Baru-baru ini pula, weblog Marhaen, blog Anak Sungai Derhaka, Pulak Dah, steadyaku47 dan beberapa lagi mula memberikan perhatian mereka dalam isu ini yang dikatakan berlaku sekitar Selangor dan Kuala Lumpur ini.

Malahan ada antara blog ini yang secara berani mendedahkan nama pembesar terbabit sekaligus dikaitkan dengan perlantikkan kontroversi Datuk Khusrin Munawai sebagai setiausaha kerajaan (SUK) negeri Selangor.

Sementara itu, dalam isu kejadian rogol yang melibatkan seorang menteri kabinet terhadap pembantu rumahnya yang terbongkar gara-gara pendedahan WikiLeaks juga semakin rancak diperkatakan di alam siber.

Bermula daripada laporan blog Rocky Bru yang kelihatan samar pada awalnya, isu ini mula menunjukkan perkembangan dengan penemuan-penemuan maklumat terbaru yang diantaranya gambar wanita yang dikatakan sebagai mangsa rogol menteri dan sepucuk surat aduan yang ditulis oleh adik mangsa, Robengah.

Beberapa blog juga didapati mula menyiarkan surat terbabit yang dialamatkan kepada Migrant Care’s dengan menghitamkan pada bahagian nama menteri yang dikatakan melakukan perbuatan rogol itu.

Bagaimanapun nama menteri berkenaan masih boleh dilihat apabila imej surat berkenaan dibesarkan. Antara beberapa blog terkenal yang memfokuskan isu ini dengan menyiarkan surat tersebut Sharpshooter, Tranungkite.net, Tukar Tiub, Anak Sungai Derhaka, weblog Marhaen, edyesdotcom dan banyak lagi.

Pada ketika ini, nama menteri yang terlibat bukanlah lagi menjadi satu rahsia di alam siber sekaligus sedikit sebanyak menjejaskan imej Umno, Barisan Nasional dan individu itu sendiri.

Skandal ini sudah tentu menambahkan lagi senarai bahan kempen Pakatan Rakyat baik dalam Pilihan Raya Kecil DUN Tenang mahupun PRU-13 nanti.

Isnin, 2 Ogos 2010

'Pendapatan orang kaya dan miskin terus melebar'

Perbezaan antara apa yang diperolehi oleh golongan kaya dan yang miskin (jurang perbezaan pendapatan) terus melebar dan memerlukan perhatian segera daripada kerajaan, kata Persatuan Penggun Pulau Pinang.
Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, dalam masyarakat yang adil dan saksama, pertumbuhan ekonomi seharusnya memberikan manfaat kepada semua.

"Malangnya ini tidak berlaku di Malaysia walaupun sudah bertahun-tahun mengalami pertumbuhan ekonomi. "Kini kita mempunyai kekayaan aristokrat di mana sekumpulan kecil rakyat Malaysia terlampau kaya (22 bilionair) manakala yang lain masih ramai lagi sekadar cukup makan. "Malah lebih malang masih lagi ada yang hidup dalam keadaan 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'. "Di satu pihak kita mempunyai orang yang tinggal di rumah yang mempunyai ruang yang begitu luas dengan nilai berjuta ringgit. "Manakala di satu pihak lagi tinggal bersama dalam keadaan sesak dengan bilangan sehingga 21 orang di flat kos rendah yang sempit," kata Mohamed.

Menurutnya, statistik membuktikan bahawa jurang yang tidak seimbang kini menjadi masalah utama:
  • 40 peratus isirumah di bahagian bawah mempunyai purata pendapatan RM1,222 manakala 20 peratus sirumah di bahagian atas memperolehi pendapatan purata RM8,157.
  • 58 peratus isirumah memperolehi pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan. (Pada 2009, kerajaan memutuskan bahawa mana-mana isirumah bandar dengan kurang daripada RM3,000 akan dianggap sebagai miskin.).
  • Pertumbuhan pendapatan menjadi kuat hanya untuk mereka yang memperolehi pendapatan yang berada 20 peratus di bahagian atas terutama sekali sejak 1990.
  • Perbezaan dalam kalangan kumpulan bandar kekal tinggi dengan tiada perubahan dalam dekad yang lalu.
"Pada 2007, Pekali Gini Malaysia adalah 0.441 pada 2007 ia itu satu perubahan daripada 0.462 pada 2004. Bagaimanapun pada 1990, Pekali Gini adalah 0.442, yang bermakna bahawa tidak banyak kemajuan dalam menangani masalah ketidakseimbangan pendapatan. (Pekali Gini adalah ukuran ketidakseimbangan daripada 0 kepada 1, dengan 0 mewakili persamaan mutlak dan 1 mewakili ketidakseimbangan mutlak).


"Lebih banyak yang perlu dilakukan untuk membolehkan penduduk miskin bandar dan luar bandar bagi mengeluarkan mereka daripada lingkaran ganas kemiskinan," tambahnya.

"Berada dalam kemiskinan menyebabkan mereka berdepan dengan pelbagai masalah yang berkaitan seperti pemakanan, kesihatan dan pendidikan. "Sebahagian besar daripada kanak-kanak Malaysia masih lagi mengalami masalah kekurangan zat makanan dengan kira-kira 15 peratus didapati mempunyai kurang berat badan dan terencat pembesarannya.
"Apabila kanak-kanak ini membesar dengan tanpa kelayakan akademik yang baik, mereka berakhir dengan pekerjaan yang berpendapatan rendah. Mereka terus miskin seperti ibu bapa
dan begitulah seterusnya anak-anak dan cucu mereka melainkan lingkaran kemiskinan ini diatasi," tambahnya. Mohamed berkata, ia bukan hanya persoalan ekuiti bahawa semua rakyat Malaysia perlu mendapat bahagian yang sama daripada pertumbuhan ekonomi negara.

"Jika masalah jurang perbezaan ekonomi ini tidak ditangani dengan serius, ia akan membawa kepada masalah sosial, contohnya peningkatan dalam kadar jenayah. Masyarakat yang adil dan saksama akan berkembang dengan lebih pantas berbanding dengan yang kurang adil.

"Jurang perbezaan pendapatan yang tidak diselesaikan jelas menunjukkan bahawa kita mempunyai masalah struktur.
'Kita perlu berhenti daripada meneruskan model pembangunan ekonomi yang diimport dari Barat tetapi sebagai ganti menggunakan model yang memenuhi keperluan kita sendiri dan memberikan manfaat kepada semua sektor penduduk.

"Oleh itu kerajaan perlu membelanjakan lebih banyak wang untuk pendidikan dan program penjagaan kesihatan terutama sekali khusus untuk membantu golongan miskin. "Ia juga perlu mengurangkan jurang perbezaan antara pelaburan bandar dan luar bandar dengan memastikan peluang pekerjaan boleh diperolehi dengan banyak di kawasan luar bandar," tegasnya.

Menurutnya, lebih banyak dana diperlukan untuk menjalankan program bagi merapatkan jurang ketidakseimbangan pendapatan yang seharusnya datang daripada golongan kaya, yang mempunyai kawajipan moral untuk membantu sesama insan yang tidak bernasib baik. "Kami menyarankan cukai berikut digunakan untuk merapatkan jurang ketidakseimbangan pendapatan: a) Cukai Pewarisan/duti harta: Memperkenalkan sama ada cukai pewarisan (yang akan dibayar oleh orang yang mendapat faedah) atau duti harta (yang dibayar oleh harta si mati).

Banyak negara (contohnya Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman, Belanda dan Kanada) telah melaksanakan cukai pewarisan atau duti harta. Malaysia juga mempunyai duti harta sehinggalah ia dimansuhkan pada 1991. Cadangan cukai pewarisan/duti harta ini perlu mempunyai nilai permulaan yang rendah dan struktur progresif.

Cukai ini akan dapat membantu negara menuju ke arah masyarakat yang lebih adil. b) Cukai Peribadi: Kerajaan perlu menghentikan pengurangan kadar cukai pendapatan persendirian untuk mereka yang berpendapatan tinggi. Sebagai ganti ia seharusnya meningkatkan kadar untuk mengutip lebih banyak dana untuk pembahagian pendapatan.

* Dipetik dari Malaysiakini

Selasa, 27 Julai 2010

Pengguna tertekan kenaikan harga barang fasa ke dua

Pemotongan subsidi baru-baru ini tidak berakhir setakat itu sahaja. Kerana dalam fasa pertama pemotongan ini belum menyentuh minyak masak dan tol seperti yang dirancang. Dalam cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Idris Jala, selepas fasa pertama berakhir, fasa kedua dan seterusnya akan dijalankan secara tahunan. Agenda ini dimasukan ke dalam 'kalendar acara tahunan' barisan kabinet 1 Malaysia Najib. Bermakna kita akan menghadapi kenaikan harga barangan keperluan termasuk petrol sekali lagi pada tahun hadapan dan tahun-tahun berikut.

Jumaat, 23 Julai 2010

Lagi isu komisen: Usahawan Malaysia disoal-siasat

Suhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah menyoal-siasat seorang usahawan negara ini berhubung komisyen RM11.3 juta yang diterimanya daripada dua firma Australia sebagai usahanya membantu mereka memenangi kontrak bagi mencetak dan membekalkan wang negar

Menurut akhbar, The Age di Melbourne, pihak berkuasa Australia telah memohon bantuan SPRM bagi siasatan membabitkan bayaran komisyen RM134 juta (A$47.5 juta) yang dibayar oleh firma mencetak wang Securency and Note Printing Australia - kedua-duanya anak syarikat Bank Negara Australia - Reserve Bank of Australia (RBA) - sepanjang tempoh enam tahun.

"Sumber risikan daripada soal-siasat telah dihantar kepada pasukan polis persekutuan Australia bagi menentukan sama ada eksekutif dua anak syarikat RBA itu untuk melanggar undang-undang anti-rasuah,” kata laporan itu.

"Orang tengah (Malaysia) dibayar wang bagi membantu firma RBA mendapatkan kontrak mencetak dan membekalkan wang daripada Bank Negara Malaysia...”

* dipetik dari Malaysiakini

Beduk Canang: Maka tidak hairanlah kalau negara ini benar-benar muflis pada masa akan datang. Tidak hairan juga kalau negara ini muflis sebelum tibanya tahun 2019 lagi. Walaupun komisen tersebut mungkin dibayar oleh firma asing, tentunya bayaran tersebut bakal mempengaruhi tanda harga yang dibayar oleh negara ini.

Rabu, 21 Julai 2010

Rasionalisasi subsidi: Rakyat korban kerakusan BN?

Tindakan kerajaan memotong subsidi beberapa barang keperluan baru-baru ini banyak menimbulkan persoalan di kalangan masyarakat. Antaranya, adakah tindakan tersebut merupakan pengorbanan yang perlu diterima rakyat demi negara tercintanya ini atau adakah sebenarnya rakyat dikorbankan angkara sikap kerajaan BN yang boros berbelanja kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya, masalah rasuah, ketirisan dan juga hanya kerana memenuhi nafsu ketamakan dua, tiga kerat manusia?

Bagi merasionalisasikan langkah tersebut, akhbar-akhbar arus perdana kawalan kerajaan pun mulalah menyiarkan tulisan-tulisan yang mengambarkan keburukan mentaliti masyarakat negara ini yang mengharapkan subsidi dari kerajaan. Masyarakat yang menerima subsidi ini digambarkan sebagai sebuah masyarakat yang begitu jelek dalam pelbagai aspek.

Antara subsidi dan ‘bail-out’

Perkataan subsidi itu sendiri lazimnya hanya digunakan untuk bantuan kepada rakyat terbanyak. Lazimnya juga perkataan subsidi ini tidak digunakan apabila kerajaan memberikan bantuan atau menyelamatkan syarikat milik individu tertentu yang mempunyai hubungan dengan individu tertentu dalam kerajaan. Sebaliknya perkataan yang digunakan ialah ‘bail-out’ untuk tujuan kononnya terdapat perbezaan antara keduanya selain mendapatkan bunyi yang berbeza dan lebih lunak didengar walaupun hakikatnya kedua-duanya merupakan perkara yang sama.

Inilah yang sedang berlaku dalam negara ini, subsidi kepada rakyat terbanyak mula dipotong secara berperingkat tetapi pada masa yang sama subsidi kepada syarikat konglomerat dan milik individu tertentu dibayar dalam jumlah yang berlipat kali ganda lebih tinggi daripada subsidi kepada rakyat yang dipotong.

Subsidi untuk Sime Darby

Baru-baru ini kerajaan amat ‘tidak berkira’ apabila dalam memberi subsidi yang disebut pampasan berjumlah RM700 juta kepada sebuah syarikat konglomerat Sime Darby untuk menampung kerugian lebih RM900 juta yang dialami syarikat tersebut sedangkan manfaatnya bukanlah kepada rakyat terbanyak.

Subsidi kepada ‘syarikat-syarikat terpilih’ seperti ini mengingatkan kita ketika era Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia dahulu. Ketika itu Syarikat Dana Negara telah ditubuhkan bagi mengagihkan subsidi kepada ‘syarikat-syarikat nazak terpilih’ tersebut dan dinamakan bail-out.

Komisyen untuk pembelian kapal selam

Selain itu, umumnya msyarakat di negara ini tahu isu kerajaan dikatakan tidak berkira untuk membayar komisyen sehingga 114 juta Euro (lebih RM500 juta) kepada Syarikat Perimekar Sdn Bhd milik rakan PM sendiri ketika beliau masih lagi menjawat jawatan Menteri Pertahanan tidak lama dahulu atas urusan pembelian dua buah kapal selam Scorpene.

Kalau pun bayaran komisyen kepada syarikat tersebut dibuat oleh firma pengeluar kapal selam berkenaan dan bukannya oleh kerajaan Malaysia, namun jumlah komisyen itu tentunya mempengaruhi tanda harga pembelian tersebut menjadikan ia semakin berganda untuk dibayar oleh negara pembeli.

Hak rakyat bukan hak peribadi BN

Malangnya, dalam membuat keputusan ke atas kedua-dua isu tersebut, Najib seakan terlupa wang sebanyak itu yang dikeluarkan bukanlah datang dari sakunya sendiri atau wang peribadinya mahupun hak BN tetapi adalah hak rakyat Malaysia keseluruhan. Tindakan itu tentunya menuntut penjelasan yang rasional kepada rakyat.

Walaupun sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Idris Jala yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU), telah lama menjelaskan akan keperluan untuk menjimatkan perbelanjaan demi mengelakan negara ini dari muflis, namun hingga kini tiada langkah-langkah konkrit yang diambil kerajaan untuk mengekang pembaziran melainkan langkah kerajaan menghimpit rakyat dengan memotong subsidi.

JPM sendiri turut berbelanja terlebih bajet?

Jabatan Perdana Menteri (JPM) sendiri memberi contoh buruk kepada jabatan kerajaan lain apabila di beritahu di Dewan Rakyat bahawa jabatan tersebut telah membelanjakan 3.8 bilion pada tahun lalu. Malah untuk tahun 2010, jabatan ini juga telah dijangka akan belanjakan lebih dari peruntukan RM3.9 bilion yang diperuntukan..

Memandangkan tahun 2010 baru sahaja memasuki bulan ke tujuh (Julai), kemungkinan besar perbelanjaan JPM bakal melebihi dari apa yang telah diperuntukan. Ini menunjukan hingga ke hari ini tiada menunjukan sebarang tanda-tanda perubahan dasar kerajaan agar lebih berhati-hati membelanjakan wang cukai yang dibayar rakyat.

Mendesak kerajaan kaji semula keputusan merugikan negara

Dalam keadaan negara ini cuba mengelak daripada muflis seperti mana negara Grece, selain kecekapan menguruskan dana negara, keperluan negara untuk memperolehi pendapatan yang optimum amatlah diperlukan. Mungkin Najib perlu menilai semula beberapa keputusan yang dibuat kerajaan pimpinan beliau sebelum ini yang membelakangkan kepentingan rakyat terbanyak.

Antaranya pampasan (sebenarnya subsidi) kepada Sime Darby, memberi kelonggaran cukai untuk membeli kereta buggy kepada pemilik resort padang golf yang tentunya manfaatnya bukan kepada rakyat terbanyak dan menilai semula beberapa projek mewah kerajaan. Ini tidaklah termasuk bayaran yang mungkin telah ‘terlajak’ seperti komisyen kepada Syarikat Perimekar Sdn Bhd contohnya.

Dalam keadaan rakyat diminta berkorban untuk negara, kerajaan juga amat wajar lebih telus kepada rakyat berkaitan perbelanjaan yang dibuat kerajaan apatah lagi ia menjadi hak rakyat untuk mengetahuinya. Lebih-lebih lagi apabila ditanyakan di Dewan Rakyat, tentunya wajar dijawab dengan tanpa berdolak-dalih.

Najib tidak telus menjawab soalan kos biayai Rosmah di luar negara.

Bukanlah seperti mana yang dilakukan oleh Najib sendiri apabila enggan menjawab dengan objektif satu soalan berkenaan kos ditanggung kerajaan untuk membiayai isteri beliau, Rosmah Mansor sepanjang mengiringi lawatan beliau ke luar negara, Amerika Syarikat khususnya.

Walaupun menurut jawapan beliau, perbelanjaan untuk menanggung Rosmah Mansor ketika di luar negara itu adalah jumlah yang selayaknya dengan kedudukan isterinya itu sebagai isteri kepada seorang Perdana Menteri namun keengganan beliau mengeluarkan angka sebenar menyebabkan masyarakat membuat tanggapan sendiri.

Secara logiknya juga, jika perbelanjaan tersebut tidak melangkaui batas (angka) yang sewajarnya, tentu ia tidak menjadi keberatan untuk diberikan jawapan secara objektif (angka-angka). Rakyat juga tentunya akan sedia maklum akan kos pembiayaan lawatan ke luar negara sememangnya amat tinggi apatah lagi untuk seorang yang selayaknya dengan kedudukan sebagai seorang isteri Perdana Menteri tetapi selagi haruslah dalam angka-angka yang munasabah. Jesteru itu, Najib tidak harus ragu-ragu untuk memberikan jawapan kepada soalan wakil rakyat yang menanyakan soalan tersebut.

Isnin, 19 Julai 2010

Najib amat berkira dengan rakyat tetapi pemurah dengan sekutu rapatnya

Pengumuman kenaikan harga beberapa barangan baru-baru ini bakal menyebabkan kesan berantai terhadap harga barangan pengguna lain sekaligus menekan kehidupan masyarakat khususnya yg berpendapatan di bawah RM2,000. Pada masa yg sama ketirisan, rasuah, pembaziran masih terus berlaku dan menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit setahun.

Bayangkan komisyen pembelian kapal selam untuk syarikat milik rakan Najib, Razak Baginda, Perimekar Sdn Bhd yang tidak pun dinafikan oleh kerajaan sahaja bernilai 114 juta euro (lebih RM500 juta) dan ia cuma dapat dinikmati oleh beberapa kerat yang rapat dengan PM. Lebih malang lagi wang sebanyak itu bukanlah harta peribadi Najib sendiri tetapi adalah dana kerajaan atau lebih tepat lagi wang hak rakyat.

Tetapi Najib amat berkira dengan rakyatnya apabila subsidi untuk kepentingan rakyat terbanyak mula dipotong. Selain itu, ketika kerajaan memulakan program merasionalisasikan subsidi ini dengan memotong subsidi barangan tertentu termasuk petrol dengan alasan mengelakan negara dari muflis kerajaan juga tidak teragak-agak untuk membayar pampasan kepada Sime Darby sebanyak RM700 juta atas kerugian yang ditanggung syarikat tersebut akibat salah urus.

Sebelum ini, Dewan Rakyat dimaklumkan Jabatan Perdana Menteri sendiri telah membelanjakan sebanyak RM3.8 bilion pada tahun 2009 dan dijangka akan melebihi peruntukan sebanyak RM3.9 bilion tahun ini sekaligus JPM sendiri boleh dijadikan contoh pembaziran yang berlaku dalam kerajaan.

Banyak lagi langkah-langkah kerajaan yang mencerminkan keborosan berbelanja, rasuah, ketirisan boleh dipertikaikan yang mampu mengakibatkan negara benar-benar muflis. Jika kerajaan benar-benar jujur, tindakan drastik untuk membendung 'masalah dalaman' kerajaan harus diambil terlebih dahulu untuk mengelakan negara dari muflis dan bukannya mengorbankan rakyat umum.

Rabu, 7 Julai 2010

PI Bala dakwa Razak Baginda tak bersalah

Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam kini mendakwa bahawa penganalisis pertahanan, Abdul Razak Baginda tidak bersalah dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Balasubramaniam (kanan, tengah) membuat kesimpulan tersebut kerana beliau masih berkhidmat untuk Abdul Razak sehingga 26 Oktober 2006 untuk menghalang Altantuya daripada mengganggunya.

Altantuya hilang pada 19 Oktober 2006.

"Dia tidak ada kaitan dengan kes ini ... pada saya, orang ini tidak bersalah," kata Balasubramaniam dalam sidang akhbar di London hari ini.

Abdul Razak dibebaskan dari tuduhan bersubahat dengan dua anggota polis - cif inspektor Azilah Hadri dan koperal Sirul Azhar Umar - dalam pembunuhan Altantuya pada 31 Oktober 2008. Azilah dan Sirul telah dijatuhi hukuman mati atas kesalahan tersebut.

Abdul Razak sebelum ini merupakan teman karib timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.Sidang akhbar hari ini, yang bermula pada jam 11 pagi (7 malam waktu Malaysia), pada awalnya dirancang untuk membincangkan isu-isu yang dibangkitkan dalam wawancara dijadualkan antara Balasubramaniam dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Walaupun wawancara itu dibatalkan secara tiba-tiba oleh SPRM, tetapi Balasubramaniam dan para peguamnya meneruskan dengan sidang akhbar tersebut untuk menyatakan peranannya sebelum dan selepas kehilangan Altantuya.

Balasubramaniam juga mendedahkan bahawa dia akan bertemu dengan pihak berkuasa Perancis pada 12 Julai, yang akan menyoalnya mengenai dakwaan rasuah dalam pembelian dua kapal selam Scorpene dari syarikat Perancis, DCN.

Bulan lalu, pihak berkuasa Perancis mula menyiasat DCN berhubung dakwaan pembayaran komisyen dalam beberapa urusniaga pembelian senjata, yang tidak dibenarkan di bawah undang-undang Perancis.


* Dipetik dari Malaysiakini

Selasa, 29 Jun 2010

Aduan SPRM empayar RM3 bilion Taib Mahmud dibuat

Tiga rakyat Sarawak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa oleh ketua menterinya Tan Sri Taib Mahmud.

Tiga pengadu itu - John Brian Anthony, Ting Cek Ming dan Kung Chin Chin menggesa suruhanjaya itu menyiasat 'empayar' perniagaan Taib dan keluarganya yang didakwa bernilai 'lebih RM3 bilion' berdasarkan apa yang dilaporkan di blog sarawakreport.org.

Aduan dibuat kepada pegawai kanan SPRM, Ranjit Singh.

Ini adalah aduan kedua yang dibuat berhubung perkara yang sama. Aduan pertama dibuat kepada SPRM di Kuching, semalam oleh Ahmad Nazib Johari.

Menurut seorang daripada pengadu itu, Ting Chek Ming, proses membuat aduan berjalan lancar berbanding minggu lalu apabila beliau bersama Ahmad Nazib dan James Wong cuba mengemukakan aduan mereka.

"Kali ini, kami datang dengan salinan laporan yang ditaip dan pegawai SPRM menandatangani mengesahkan penerimaan aduan berkenaan di salinan kami bagi memastikan tiad ada perubahaan dibuat terhadap aduan itu,” katanya.

Minggu lalu, Ting, Wong dan Ahmad Nazib terpaksa menarik balik laporan mereka kerana mendakwa pihak SPRM di Shah Alam enggan memberikan salinan aduan yang ditulis dengan tangan.

Hadir bersama menemani ketiga-tiga mereka membuat aduan hari ini adalah pemimpin wanita PKR, Rozaini Mohd Rosli bagi menzahirkan sokongan Pakatan Rakyat berhubung isu berkenaan.

Ketiga-tiga pengadu berkenaan dinasihatkan bahawa mereka mungkin akan dipanggil kemudian bagi memberikan kenyataan terhadap apa yang diistilahkan oleh suruhanjaya itu sebagai 'kes besar'.

"Kami d
iberi jaminan yang SPRM akan menyiasat kes itu dan dinasihatkan menulis kepada Pengarah Siasatan bagi mendapatkan perkembangannya,” kata Ting.

Sarawakreport.org mendakwa Taib dan keluarganya mempunyai empayar perniagaan antarabangsa, termasuk memiliki hotel mewah di Australia dan hartanah komersial di tapak utama di Kanada melalui cara yang disangsikan.

Blog, yang dikendalikan oleh “rakyat prihatin' itu juga mempersoalkan pembabitan keluarga Taib dalam konglomerate terbesar negeri itu - Cahaya Mata Sarawak.

Ia juga mendakwa 85 peratus saham CMS dimiliki oleh Taib dan keluarganya serta rakan-rakan karib mereka ketika syarikat berkaitan kerajaan itu diswastakan yang menimbulkan dakwaan salah guna kuasa.

Peluru Scorpene 20% lebih mahal: Satu lagi skandal bakal terbongkar di Parlimen

Tian Chua (PKR-Batu) hari ini mengemukakan usul tergempar untuk membincangkan pembelian senjata yang dipercayai terlalu mahal untuk dua kapal selam Scorpene Malaysia.

Ini ekoran pendedahan kerajaan baru-baru ini bahawa perolehan peluru berpandu 40 Exocet SM-39 laut ke udara dan 30 torpedo Black Shark yang berjumlah 219 juta euro.

Menurut usul Chua, Kementerian Pertahanan telah membayar 20 peratus lebih daripada harga pasaran, selepas membandingkan perolehan yang serupa oleh negara-negara lain.

"Menurut rekod perolehan Pakistan, kos SM-39 ialah 3.07 juta euro setiap satu, manakala Portugis membeli Black Sharks pada harga 2 juta setiap satu," kata Chua.

Berdasarkan angka-angka tersebut, maka jumlah kosnya ialah 182.8 juga euro - berbeza 20 peratus (36 juta euro) daripada apa yang telah dibayar oleh Malaysia.

Tian juga memetik sebuah laporan oleh badan pemikir berpengaruh - Foreign Policy in Focus (FPIF), yang menyebut dalam laporan tahun 2005 bahawa banyak pembuat senjata pada umumnya digunakan rakyat Malaysia yang ada berhubung baik, sebagai pelobi mereka untuk mendapatkan kontrak.

"Komisyen dibayar kepada wakil-wakil berkenaan, dianggarkan berkisar antara 10 hingga 20 peratus," kata Tian dalam usulnya yang memetik laporan FPIF.

Dalam usulnya itu, Tian menggesa Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan kepada Dewan Rakyat sama ada orang tengah atau ahli politik terlibat dalam pembelian torpedo dan peluru berpandu itu.

* Dipetik dari Malaysiakini

Rabu, 23 Jun 2010

Kerajaan Malaysia jalin ‘hubungan sulit’ dengan Kerajaan Israel?


Di negara Malaysia yang kerajaannya mendakwa tidak menjalinkan hubungan dengan Rejim Israel, secara diam-diam kapal-kapal dagang Israel Kapal Zim Monaco, Zim USA, Zim Kingstone dan Zim Lovoma dibenarkan bebas berlabuh di Westport Pelabuhan Klang.

Perdana Menteri dan kabinetnya pula, di sebalik melontarkan kecaman terhadap tindakan-tindakan tidak berperikemanusiaan kerajaan Zionis terhadap rakyat Palestine, diam-diam telah lama menaruh kepercayaan, berhubungan dan menganugerahkan kontrak bernilai RM20 juta kepada syarikat antarabangsa APCO, milik Zionis, untuk menasihati beliau dalam menjalankan dasar-dasar kerajaan di negara ini. Adakah ini menandakan secara tidak rasmi telah terjalinnya hubungan dua hala antara kedua-dua kerajaan ini?

Sebaliknya pula berlaku di California baru-baru ini, ratusan penunjuk perasaan mengadakan protes di Pelabuhan Oakland bagi menghalang kapal kargo Israel daripada berlabuh. Demontrasi itu diadakan sebagai memprotes sekatan rejim Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza. Menurut salah seorang penunjuk perasaan tersebut, mereka menetapkan matlamat untuk menahan kapal tersebut selama 24 jam dan mereka berjaya melakukannya. Kerajaan Malaysia patut merasa malu dengan keadaan ini.


Ahad, 20 Jun 2010

Nama kucing PM: Mahfuz Omar beri cadangan

KUALA LUMPUR, 19 Jun: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan kucing parsi yang dibeli Datuk Seri Najib Razak dinamakan dengan mana-mana peristiwa hitam yang berlaku zaman pemerintahan Perdana Menteri itu.

Sebagai cadangan, beliau mahu Najib mempertimbangkan beberapa nama seperti Kucing Persia: PKFZ, Scorpene, F5E, Sime Darby, L dan M, KTM Tanjung Pagar, Ban Judi Bola, Kem Sungai Besi, GST, Ban Subsidi, APCO, PRK Sibu atau Monggolia Altantuya.

"Dengan menjenamakan jenama-jenama di atas maka Najib dan seluruh rakyat Malaysia akan terus mengingati peristiwa-peristiwa hitam sebagai sejarah 1Malaysia," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau turut menyambut baik cadangan Najib yang mahu rakyat memberi cadangan nama kepada kucing yang baru dibelinya tersebut.

Nama-nama yang dicadangkan itu, katanya juga mampu mengingatkan negara tentang peristiwa hitam yang telah berlaku sepanjang Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri.

* dipetik dari Harakah Daily

Beduk Canang: Bagus juga cadangan YB Mahfuz tersebut. Paling menarik sekali kalau kucing tersebut diberi nama Altantuya. Bukannya apa, disebabkan kucing tersebut sangat comel, maka eloklah diberikan nama sempena orang yang cun-cun dan bukanlah ada sebab-sebab lain.

Nama kucing-kucing yang pernah aku bela: Enget, Anggut/Gut-gut, Suhun, Pucuk, Hitler, Tam Sopak, Tam-tam Pok dan Uban!


Jumaat, 18 Jun 2010

Bekas timbalan menteri mahu Felda disiasat

Pemimpin PKR Dr Tan Kee Kwong yang juga timbalan menteri tanah dan pembangunan koperasi sehingga tahun 2004 mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat dakwaan salahurus dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Beliau yang hari ini menemani ahli parlimen Klang, Charles Santiago membuat laporan ke SPRM berhubung kemerosotan rizab tunai Felda yang menjunam daripada RM4.08 bilion pada 2004 kepada hanya RM1.35 bilion pada tahun lalu.

Dalam aduannya, Santiago meminta SPRM menyiasat penjelasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan bahawa jumlah rizab tunai Felda susut sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun.

Ahmad dalam jawapannya di Dewan Rakyat pada 16 Jun berkata, walaupun jumlah rizab berkurangan, nilai aset yang dimiliki oleh Felda tetap meningkat.

Ahmad juga berkata, rizab tunai tersebut digunakan untuk program kebajikan peserta rancangan dan juga untuk membina ibu pejabat Felda yang baru.

Sementara itu, Tan yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri di kementerian yang bertanggungjawab ke atas Felda berkata, bangunan baru berkenaan bertaraf "lima bintang" dan terletak bersebelahan Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura.

Felda, katanya, telah membayar pendahuluan sebanyak RM230 juta kepada Naza TTDI, pemaju yang bertanggungjawab membina bangunan baru dengan kos RM662 juta.

Beliau juga mendedahkan bahawa wujudnya satu rancangan pada 2006 untuk menggantikan ibu pejabat Felda sedia ada di atas tapak yang sama di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Rancangan itu akan hanya membabitkan kos pembinaan RM220 juta kerana tanah itu dimiliki Felda sendiri, kata Tan yang berkhidmat di kementerian tanah dan pembangunan koperasi sehingga tahun 2004.

"Tender untuk meruntuhkan bagunan lama telahpun dibuka," katanya dalam ketika bercakap kepada wartawan di perkarangan pejabat SPRM hari ini.

"Perdana Menteri (pada ketika itu) Tun Abdullah Ahmad Badawi juga telah bersetuju untuk merasmikan majlis pecah tanah itu," katanya lagi.

Beliau seterusnya mempertikaikan apa perlunya bangunan baru itu dibina dengan kos RM662 juta, sedangkan ia boleh dibina dengan satu pertiga daripada kos berkenaan.

* dipetik dari Malaysiakini

Paparan Halaman