Oleh NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM 12 OGOS: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar
disaran menegur kerajaan Umno-BN terlebih dahulu kerana menggunakan hari
kemerdekaan untuk kepentingan politik mereka.
Saranan tersebut dibuat oleh pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia
(SAMM), Badrul Hisham Shaharin dalam satu kenyataan balas terhadap
gesaan Ismail agar tidak mengadakan ‘Himpunan Janji BERSIH’ di malam
ambang merdeka 30 Ogos akan datang.
Beliau yang lebih popular dengan gelaran Chegu Bard mendakwa Umno-BN
telah mengambil kesempatan sempena sambutan hari kemerdekaan di negara
ini bermula pada tahun 1957 lagi, tetapi tidak pernah ditegur oleh
mana-mana KPN.
“Sambutan ulang tahun kemerdekaan sudah lama ditunggang oleh Umno-BN
demi kepentingan politik mereka, tetapi tahun ini terlalu melampau
kerana tema hari kebangsaan itu sendiri terus disalin tampal dari tema
yang digunakan dalam jelajah BN iaitu Janji Ditepati.
“Lagu yang digunakan pula jelas digunakan dalam program BN bagi
menghentam seteru politiknya kemudian diubah sedikit sahaja liriknya.
“lebih parah lagi dengan kemunculan logo kemerdekaan yang ‘buruk’ dan
kemudian ditarik balik oleh menteri dengan mengatakan kita tidak punya
logo rasmi,” kata beliau.
Chegu Bard turut mempertikaikan tindakan kerajaan yang hanya
menonjolkan beberapa tokoh sahaja termasuk bekas-bekas Presiden Umno
sebagai pejuang kemerdekaan.
“Selama ini sambutan kemerdekaan hanya mengenengahkan 5-6 sahaja
tokoh kemerdekaan negara iaitu terdiri dari Presiden Umno sahaja.
“Ya, Tunku Abdul Rahman terlibat dengan ulangtahun kemerdekaan
negara, tetapi apa kena mengena usaha memerdekakan negara dengan baki
Presiden Umno selepas itu? soal beliau.
Chegu Bard juga memberitahu, pengiraan detik 12.00 malam oleh
‘Himpunan Janji BERSIH’ yang dirancang di Dataran Merdeka itu bukanlah
suatu acara berasingan, tetapi ia melibatkan pemimpin dan orang ramai
yang berada di situ.
Terdahulu, Ismail, sambil menganggap tindakan 26 NGO menganjurkan
Himpunan Janji BERSIH di malam ambang merdeka sebagai tindakan
mempolitikkan sambutan Hari Kemerdekaan, beliau juga mahu himpunan itu
dibatalkan.