Lantaran kes-kes ini, banyak pihak telah menyuarakan kekesalan dan bantahan akan tindakan segelintir anggota polis yang dikatakan tidak profesional ketika menjalankan tugas. Antara yang paling vokal mengkritik tentunya dari pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
Kritikan-kritkan keras pemimpin PR akhirnya telah mendapat reaksi dari beberapa pemimpin BN dan pegawai-pegawai tinggi PDRM. Menurut mereka, pemimpin-pemimping PR sengaja mengambil kesempatan dengan mempolitikkan isu ini untuk meraih publisiti dan kepentingan politik.
Hakikatnya, apa yang dikritik oleh pemimpin-pemimpin PR mengenai isu ini bukanlah isu politik tetapi ianya adalah isu kemanusiaan dan keselamatan masyarakat awam negara ini. Ia wajar diperdebatkan oleh sesiapa sahaja termasuklah dari kalangan ahli-ahli politik.
Ini termasuklah pemimpin-pemimpin PR, menjadi tanggungjawab mereka untuk menyuarakan keluh kesah rakyat dengan menggunakan kedudukan dan saluran mereka sebagai ahli politik untuk bercakap mengenainya. Apa yang penting, kritikan-kritikan mereka bukanlah kritikan yang membuta tuli tetapi bedasarkan fakta-fakta yang ada.
Apatah lagi di dalam sebuah negara seperti Malaysia yang ketelusan pemerintahnya amat diragui di dalam kebimbangan mereka melindungi isu-isu yang mampu menampakan kelemahan kerajaan Barisan Nasional (BN). Seperti menjadi kelaziman pihak kerajaan termasuklah media-media kawalannya untuk menyembunyikan isu-isu seperti ini atau yang berkaitan dengan pemimpin-pemimpin mereka. Bahkan dalam usaha untuk menyembunyikan kelemahan mereka, badan-badan seperti PDRM, SPRM, SPR dan banyak lagi malahan lebih menyedihkan apabila mahkamah turut diperalatkan.
Lantaran itu, jalan paling berkesan untuk mendedahkan kebobrokan mereka hanyalah melalui tekanan politik terhadap Kerajaan BN. Keraguan masyarakat negara ini untuk menggunakan saluran rasmi mahupun tindakan undang-undang untuk mengemukakan bantahan juga telah menyebabkan tindakan mengadakan demontrasi menjadi relevan.
Beberapa isu sebelum ini telah membuktikan bahawa pededahan-pendedahan oleh pemimpin-pemimpin PR kepada umum dan tekanan melalui demontrasi telah beberapa kali berjaya membuahkan hasil menundukan keangkuhan Kerajaan BN. Gerakan demontrasi untuk membantah PPSMI dan Gerakan Mansuh ISA (GMI) contohnya telah berjaya menundukan keegoan BN. Walaupun hanya separuh daripada matlamat yang ditetapkan berjaya dicapai tetapi harus diingat untuk melenturkan keegoan BN bukan satu perkara mudah. Jesteru itu kejayaan tersebut boleh dianggap memuaskan daripada tiada apa-apa pencapaian langsung.
Antara contoh-contoh yang jelas ialah skandal PKFZ yang terlebih dahulu didedahkan oleh pemimpin PR samada melalui media-media kiri mahupun di Parlimen. Sikap BN yang cuba menyembunyikan skandal ini begitu terserlah apabila media-media kawalan BN tidak melaporkan isu ini pada awalnya. Sedangkan isu yang sama juga telah lama dipaparkan oleh media-media kiri kepada umum. Siasatan oleh SPRM hanya bermula apabila rahsia skandal yang memakan berbilion ringgit ini tidak dapat dibendung lagi.
Begitu juga dengan isu tuntutan hutang tertunggak oleh 363 peneroka Felda Sungai Buaya yang telah berlanjutan selama 16 tahun. Walaupun Kerajaan BN telah beberapa kali menabur janji untuk menyelesaikan masalah ini pada setiap kali pilihan raya menjelang, namun ianya hanya janji-janji kosong.
Namun, apabila PR mengenakan tekanan terhadap kerajaan BN dengan mendesak agar masalah ini diselesaikan segera pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor baru-baru ini, tiba-tiba sahaja PM Najib Razak menjadi amat pemurah dengan mengumumkan pembayaran tunggakan ini. Itupun tiada jaminan peneroka-peneroka ini akan mendapat bayaran penuh seperti mana yang tertera di dalam kontrak. Umum percaya seandainya PR adalah sebuah pakatan pembangkang yang lemah, khususnya di Parlimen Hulu Selangor, tentunya kemelut yang dihadapi oleh peneroka-peneroka tersebut masih lagi berpanjangan.
Peranan yang sama turut dimainkan oleh pemimpin-pemimpin PR ini untuk mendapatkan keadilan untuk mendiang S. Kugan, Teoh Beng Hock dan Allahyarham Aminul Rashid serta keluarga mereka. Jika pemimpin PR hanya berdiam diri, kebarangkaliannya amat tinggi Kerajaan BN akan memencilkan kes-kes ini seperti mana kes-kes sebelumnya yang tidak mendapat keadilan yang sewajarnya. Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama berlakunya kes kecuaian anggota penguat kuasa hingga menyebabkan kecedaraan mahupun kematian orang awam.
Situasi ini amat berbeza ketika era parti-parti pembangkang dilihat lemah. Begitu banyak kes-kes atau isu yang dipinggirkan. Ada juga beberapa kes yang dilaporkan tetapi diputar belitkan oleh media kawalan BN dengan samada menyeleweng dari fakta-fakta sebenar kejadian mahupun menyembunyikan beberapa fakta penting.
Antaranya isu Operasi Lalang, pemenjaraan Lim Guan Eng, pemecatan Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara, Pemecatan Mufti Ishak Baharum, tragedi Memali yang akhirnya Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Musa Hitam dan PM Mahathir ketika itu saling tunding menunding antara satu sama lain dan banyak lagi. Kebanyakan isu yang dilaporkan ini, tidak memberikan gambaran sebenar kejadian demi melindungi imej Umno dan BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan