Memaparkan catatan dengan label Kedah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kedah. Papar semua catatan

Jumaat, 25 November 2011

Bekalan air Sabah tidak cukup, tercemar tetapi tarif tinggi

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Sabah, sebuah negeri yang memiliki pertumbuhan populasi tertinggi dalam negara hanya mampu membekal 75 peratus sahaja keperluan air penduduknya, demikian menurut aktivis PKR Sabah, Joseph Wilfred Lakai.

“Sabah mempunyai bekalan air yang kedua terendah, hanya mampu membekal 75 peratus keperluan negeri dan kualiti diragui tetapi mengenakan tarif air yang paling tinggi dalam negara ini sehingga 90 sen setiap satu meter padu manakala pertumbuhan penduduk Sabah adalah paling tinggi iaitu 2.3 peratus.

“Jumlah penduduknya melonjak seramai 530,000 atau lebih 20 peratus dalam jangka masa lima tahun daripada 2.6 juta pada tahun 2000 kepada 3.13 juta pada 2005,” ujar beliau ketika dihubungi hari ini.

Joseph turut mengaitkan pertumbuhan penduduk paling tinggi di negeri itu dengan isu pemberian kerakyatan kepada warga asing yang dinamakan sebagai ‘Projek M’ yang merujuk kepada Projek Mahathir.

“Sabah mempunyai bilangan terbesar pendatang tanpa izin dan mereka yang mempunyai IC tulen di bawah ‘Projek M’ yang dianggarkan hampir satu juta.

“Pertumbuhan luar biasa penduduk Sabah jelas kelihatan pada tahun 1960, penduduk Kadazandusun berjumlah 168,000 orang,  bersamaan dengan jumlah penduduk Bumiputera lain.

“Pada tahun 2000, penduduk Kadazandusun Murut meningkat kepada 560,000 manakala penduduk Bumiputera lain bertambah kepada 1.1 juta,” katanya lagi.

“Keadaan ini menyebabkan kapasiti penggunaan air meningkat berkali ganda tetapi malangnya tidak banyak yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), baik di peringkat negeri mahupun persekutuan melainkan mengenakan tarif air yang tinggi,”  katanya lagi.

Bekalan air paip graviti tercemar

Beberapa penduduk dari beberapa kawasan di negeri itu turut memberikan reaksi sama berkaitan isu bekalan air di negeri itu.

Mereka mendakwa bekalan paip air graviti yang dimulakan ketika Parti Bersatu Sabah (PBS) mentadbir negeri itu pada tahun 70an dahulu masih digunakan sehingga kini dan kemungkinan membekalkan air yang tercemar.

“Tempat saya bekalan air paip memang menyedihkan…. yang ada cuma paip graviti yang dipasang kerajaan PBS pada tahun 70an dan hingga sekarang tidak diselenggarakan pihak yang sepatutnya.

“Orang kampung sahaja yang terpaksa kutip duit beli paip PVC untuk baiki kerosakan, sampai sudah semakin tenat.

“Sekarang punca air sudah ditebas jadi kebun sawit dan menyebabkan air bertambah kotor, keruh, kadang-kadang berpasir atau ada tanah dan mungkin mengandungi baja dan racun rumput,” beritahu Joseph Gasis.

Ben James, 20an, pula memberitahu masalah air yang dihadapi rakyat Sabah sudah terlalu lama berlarutan dan masih gagal diselesaikan oleh kerajaan.

“Sebelum saya lahir lagi sampai sekarang masalah bekalan air bersih tidak ada kesudahan, macam dahulu jugak. Sama dengan Jalan Ulu Kukut, Kudat-Kota Belud, semakin hari semakin meluat sama janji-janji kerajaan persekutuan,” kata beliau.

Awang Sarip pula mengingatkan BN akan berhadapan dengan kemarahan rakyat dalam pilihan raya akan datang memandangkan masalah yang sama terus berlarutan.

“BN akan berhadapan dengan protes rakyat Sabah dalam pilihan raya nanti sebab masih gagal memberi kemudahan paling asas kepada rakyat walaupun dah memerintah negeri ini bukan baru dua tiga tahun tapi dah berpuluh tahun,” ujar beliau.

Adun DAP bangkit isu sama

Sebelum ini, dalam isu yang sama ketika membahaskan Belanjawan Negeri Sabah 2012 Selasa lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjung, Jimmy Wong dari DAP turut membangkitkan isu bekalan air di negeri itu.

Menurut beliau, Audit Air 2008 telah menunjukkan kualiti dan bekalan air di negeri ini tidak diuruskan dengan baik oleh kerajaan negeri.

“Penduduk berhak untuk mendapatkan air bersih. Kualiti air mentah agak buruk. Loji-loji rawatan air Sabah tidak dilengkapi peralatan, makmal dan kakitangan berkelayakan.

“Pemfloridaan tidak mencukupi.  Pembersihan tangki-tangki atau kolam di loji tidak dijalankan dengan sempurna dan terancang.

“Tidak ada stesen percontohan air yang sempurna, program jaminan kualiti air Sabah tidak memuaskan dan semua ini adalah komen dalam Audit Air 2008.

“Tetapi di sebalik semua ini, Sabah merupakan antara negeri yang mengenakan tarif air yang tertinggi dalam negara ini,” ujar beliau.

Beliau turut memberikan contoh Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat yang dianggapnya terbaik dengan berusaha menghalang tarif air dinaikan oleh syarikat konsesi negeri terbabit dan turut membekalkan air percuma 20 meter padu kepada rakyatnya.

* Free Malaysia Today

Selasa, 15 November 2011

Surau lebih luas, selesa ganti Madrasah Solihiah

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Madrasah Solihiah yang terletak di atas sebidang tanah wakaf di Kanchut didapati tidak lagi mempunyai qariah dan ia akan diganti dengan projek yang lebih bermanfaat kepada masyarakat sekitar kawasan terbabit.


Selain itu, penyelidikan kerajaan negeri juga mendapati madrasah tersebut ketika ini hanya digunakan oleh beberapa pekerja di syarikat berdekatan untuk bersembahyang Zohor dan Asar sahaja.

“Dia begini, surau ni kita pun dah kaji, dulu surau ni memanglah kawasan perkampungan, tetapi sekarang dah tak ada orang dah.

Surau itu dia dah tak ada qariahnya, kalau dulu-dulu adalah qariahnya, tetapi sekarang dah tak ada kampung sebab penduduk dah berhijrah.

“Sekarang orang yang bersembahyang di situ cuma pekerja di syarikat takaful yang pejabatnya dekat situ. Yang ada orang bersembahyang jemaah di situ hanyalah waktu Zohor dan Asar sahaja, itu pun dua orang sahaja.

“kita ada datang ambil gambar dan tengok Maghrib tak ada orang, Isyak tak ada, Subuh pun tak ada,” demikian menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd Razak.

Kompleks Aman Central

Beliau turut memberitahu, pembinaan Kompleks Aman Central di atas tapak madrasah berkenaan telah pun mendapat persetujuan daripada Majlis Agama Islam Kedah (Maik) dan Majlis Fatwa negeri itu dan pampasan bernilai RM1.48 juta telah pun dibayar kepada Maik.

“Jawatankuasa Majlis Fatwa sendiri yang meminta supaya surau ini dibina dalam kompleks berkenaan dengan imej surau yang boleh dilihat dari luar.

“Kalau kita salah, takkan Majlis Agama nak terima duit pampasan. Majlis Agama agensi yang bertanggungjawab atas semua tanah masjid, wakaf. Dia dah terima pampasan RM1.48 juta dan maknanya dia dah setuju, Majlis Fatwa kata okey.

“Majlis Fatwa dah bagi dia punya ‘consent’ tetapi tak tahu la pulak fatwa lain mana pula yang baru keluar dari tepi jalan ni,” kata beliau dipercayai menyentuh protes yang dilakukan oleh beberapa pihak dalam isu ini.

Azizan memberitahu wartawan dalam Majlis Pecah Tanah Aman Central di Kanchut, Kedah semalam, surau yang akan dibina itu boleh memuatkan seramai 400 jemaah dalam satu masa dan sembahyang Jumaat boleh diadakan di situ.

“Kita nampak ini akan menolong orang Islam lagi dengan bila datang beli barang, tak payah tergesa-gesa, boleh pergi sembahyang dengan keluarga dia.

“Surau baru ni luasnya 2,600 kaki persegi, boleh isi 400 jemaah, boleh buat sembahyang Jumaat kecuali kalau roboh tak buat apa, tak ada kemudahan apa,” katanya.

Surau yang akan dibina di kompleks membeli belah itu juga akan dibina bagi membolehkan orang ramai memasuki surau itu tanpa perlu memasuki bangunan utama kompleks berkenaan.

“Kalau ikut pelan asal dari pihak pemaju, surau ni dibina di tingkat tiga seperti juga kompleks beli belah yang lain.

“Tetapi atas permintaan Jawatankuasa Fatwa semasa kita buat penerangan, mereka minta supaya dibuat di bangunan yang sama tetapi di tingkat bawah dan dari luar nampak bentuk, imej sebagai surau.

“Jadi maknyanya kita tak perlu masuk membeli-belah untuk pergi sembahyang situ (kerana) sambil-sambil pergi jalan di luar tu, boleh nampak, boleh masuk walaupun daripada luar pun terus boleh masuk,” menurut beliau lagi.

Menurut Azizan, menggunakan tanah wakaf dan menggantikannya kepada sesuatu yang lebih bermanfaat bukanlah suatu perkara yang baru dan ianya dibolehkan.

“Konsep wakaf ni, kalau kita tukar ia kepada yang lebih baik, maka ia dibenarkan, tak tahulah saya kalau ada yang baca kitab yang lain.

“Banyak tempat termasuk di Arab Saudi, berapa jauh di Mekah ada tanah wakaf dibina surau dalam kompleks tetapi di Mekah tak jadi isu dan kalau salah tentu Majlis Fatwa tak benar,” ujar beliau lagi.

* Free Malaysia Today

Paparan Halaman