Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Begitulah lebih kurang melesetnya sangkaan saya tentang suhu politik negara kita masa kini. Semenjak PRU 12 lalu, cuaca politik negara kita memang sukar untuk diramalkan. PRK Bagan Pinang sudah, EGM MCA sudah dan Perhimpunan Agung Umno juga sudah selesai. Saya jangkakan suhu politik yang membahang akan mulai menjadi suam-suam kuku. Serangan-serangan media-media arus perdana terhadap PR juga akan turut ikut mengendur.
Alih-alih, keluar pula kenyataan Tok Guru Nik Aziz melalui blognya, yang mahukan PAS mengadakan Muktamar Khas bagi membersihkan dua, tiga kerat pemimpin parti itu yang proUmno untuk membentuk kerajaan perpaduan. Apa lagi, suhu politik yang mulai suam-suam kuku hanya bertahan beberapa hari sahaja sebelum membahang semula.
Maka, tersenyum sumbinglah Dato Sri Najib, Tan Sri Muhyiddin dan lain-lain yang sekapal dengannya. Setidak-tidaknya ada juga isu yang boleh diperkatakan oleh media-media arus perdana akan ‘perpecahan’ dalaman PAS dan PR. Laksana orang mengantuk disorongkan bantal.
Dalam isu ini, cukup menunjukan perbezaan yang cukup ketara di antara Umno dan PAS dari segi kematangan berpolitik. Berbeza dengan Umno, di dalam PAS, kenyataan-kenyataan akhbar, perbezaan pendapat, mahupun kritikan terbuka boleh dilontarkan oleh sesiapa sahaja. Lihat sahaja beberapa pemimpin PAS yang sebelum ini pun berani dan bebas mengeluarkan pendapat yang bercanggah dengan pendapat pemimpin parti atau pemimpin-pemimpin PR yang lain. Walaupun arahan tidak rasmi PAS sendiri yang mahukan isu dalaman parti tidak dibincangkan secara terbuka tetapi itu bukanlah arahan rasmi yang boleh diambil tindakan kepada yang engkar. Ini menunjukan sikap terbuka mereka yang lebih telus kepada umum. Sekadar mengambil contoh, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, beliau berani mengeluarkan kenyataan yang bercanggah baik dengan rakan seperjuangan di dalam PAS mahupun terhadap rakan-rakan kongsi di dalam PR. Itulah juga yang dilakukan oleh Tok Guru Nik Aziz dari dahulu hinggalah terhadap isu kerajaan perpaduan ini.
Memang ramai lagi pemimpin-pemimpin di dalam PR khususnya PAS yang turut bila-bila masa berani bersuara. Sebagai contoh sekadar menyebut beberapa nama lagi, YB S. Manikavasagam dari PKR dan Ketua Menteri Pulau Pinang YB Lim Guan Eng dari DAP. Mereka ini, khususnya PAS sememangnya telah ditarbiyah agar berani bersuara demi apa yang mereka fikirkan benar dan tentunya bersedia menghadapi risikonya. Lebih-lebih lagi bagi pemimpin PAS yang mendukung perjuangan atas nama agama (Kebenaran harus ditegakan). Semangat berani kerana benar memang sudah lama membudaya di dalam PAS. Tidak kiralah berhadapan dengan sesiapa pun.
Manakala, Pemuda PAS pula, seharusnya diberi pujian. Mereka bukan sahaja menjadi pendesak yang hebat terhadap kerajaan pusat, bahkan mereka turut menjadi kumpulan pendesak terhadap kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh PR seperti mana yang dilakukan oleh Pemuda PAS Selangor. Meskipun mereka sedar kerajaan negeri yang mereka kritik itu adalah kerajaan yang sama-sama mereka dukung, tetapi mereka tetap menjalankan fungsi mereka sebagai pendesak dengan sebaiknya. Bagi mereka ini, kerana sayanglah, ia harus ditegur bukan dibiarkan. Mereka inilah golongan pemuda bakal mencorakan masa depan politik negara. Mereka ini bukan dari kalangan orang-orang yang menganggukkan kepala apabila disuruh angguk, menggeleng apabila disuruh menggeleng dan berdiam apabila disuruh diam. Sememang tidak dinafikan, dari sudut lain ianya mampu memberi imej buruk terhadap kesepakatan dalam parti dan seterusnya terhadap PR apabila penangguk-penangguk di air keruh memanipulasikan isu.
Sangat berbeza di dalam Umno, perkara-perkara seperti ini tidak terjadi. Dalam Umno pucuk pimpinan tertinggi dan adalah 'dewa yang bersih'. Tidak boleh hatta dicuit sekalipun. Bilangan jari sebelah tangan pun lebih banyak dari yang boleh saya namakan yang mempunyai keberanian, keterbukaan dalam melontarkan vokal berbeza dari pucuk pimpinan Umno. Datuk Shahrir Samad, Dato Sri Dr Rais Yatim dilihat agak berani mengeluar pendapat yang bercanggah dengan pemimpin Umno lain.
Tidak kurang juga apa yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri terhadap Tun Abdullah Badawi ketika Tun masih bergelar PM. Sungguhpun begitu tindakan beliau lebih dilihat kepada startegi meraih keuntungan politik daripada keberanian beliau sendiri. Umum mengetahui, itupun pada ketika populariti, kedudukan dan kekuatan politik Tun Abdullah pada masa itu cukup goyah. Diserang bertubi-tubi dari luar dan dalam BN sendiri. Selain itu, mungkin juga nama Datuk Mukhriz Mahathir juga boleh disebut. Namun, seperti mana Tan Sri Muhyiddin, beliau juga hanya berani bercanggah pendapat ketika Tun Abdullah berada di dalam kedudukan goyah.
Pemimpin Umno yang lain-lain? Sejujurnya saya tidak dapat mencari nama-nama lain. Janganlah kalau ada sesiapa yang menyebut nama Dato Sri Hishamuddin, atau Khairy Jamaluddin. Mereka ini jauh sekali! Sebab itulah setiap kali diadakan Pemilihan Agung Umno, antara perkara utama yang sering ditekankan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi Umno ialah kesetiaan terhadap ketua. Saya masih ingat kenyataan yang diungkap oleh Tan Sri Mohd Muhammad Taib ketika cuba meraih pencalonan daripada bahagian-bahagian bagi bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno. Kata-kata kempen beliau lebih kurang begini. Kesetiaan beliau terhadap presiden tidak perlu diragui. Kesetiaannya sememangnya telah terbukti dan dia bukan kaki melawan bos. Lebih kurang begitulah bunyinya. Dari situ sudah cukup membayangkan di dalam Umno, ketelusan atau keterbukaan Politik Umno masih berada jauh terkebelakang daripada kematangan politik PAS mahupun parti lain dalam PR. Bahkan kematangan politik Umno juga jauh ketinggalan daripada kematangan politik rakan kongsi utama mereka di dalam BN iaitu MCA kecualilah MIC yang masih ditakuk lama seperti mana Umno sendiri.
Akhir sekali, walaupun isu EGM PAS, telah membuatkan politik dalaman parti berkocak kembali, sesungguhnya ianya adalah salah satu tanda kematangan politik di dalam PAS sendiri. PAS perlu memperhalusi keperluan mengadakan EGM untuk kepentingan PR dan PAS khasnya. Para penangguk-penangguk di air keruh sedang bersedia untuk menangguk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan