Rabu, 16 Disember 2009

Shaziman, 'toyol kepala hitam' dan Laporan Bukit Antarabangsa

Melihat reaksi Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor berhubung Laporan Tanah Runtuh di Bukit Antarabangsa yang bocor di internet, menerusi kaca tv baru-baru ini mengundang seribu satu perasaan yang bercampur baur. Mungkin geli hati bercampur hairan agaknya. Cuma yang pasti, dari reaksinya itu menunjukan beliau cukup marah betul nampaknya apabila dokumen itu dibocorkan.


Kenyataan beliau dalam satu sidang akhbar mengenai adanya ‘toyol berkepala hitam’ di MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) yang membocorkan dokumen yang sebelum ini diklasfikasikan sebagai dokumen yang diletakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, memang jelas menampakan rasa ketidak puasan hatinya.


Dalam sidang akhbar itu, rasanya tidak kurang lima kali beliau menyebut ungkapan ‘toyol berkepala hitam.’ Menjadi lebih lawak lagi, apabila diselak akhbar-akhbar arus perdana keesokan harinya tiada langsung ungkapan ‘toyol berkepala hitam’ ditulis. Mungkin fenomena fobia Umno-BN masih lagi menghantui, seperti mana gambar payung BN di akhbar tidak berapa lama dahulu yang sekejap ada, sekejap tak ada setelah disunting. Dengar-dengar ceritanya, polis sedang membuat siasatan berhubung kebocoran ‘rahsia besar’ tersebut yang mungkin boleh menggugat ‘keselamatan negara.’


Menurut beliau, Laporan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa tersebut telah lama siap dan selama berada di dalam simpanan Jabatan Kerja Raya (JKR) laporan itu ‘selamat dari pengetahuan awam.’ Namun apabila sahaja diserahkan kepada MPAJ, laporan tersebut telah dibocorkan oleh ‘toyol berkepala hitam’ yang berada di MPAJ.


Nampaknya, ‘toyol berkepala hitam’ yang mendedahkan Laporan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa yang diriuhkan oleh Shaziman. Manakala ‘toyol berkepala hitam’ yang merompak duit rakyat berjuta, berbillion ringgit di siang hari tidak pula dikecohkan. Atau mungkin juga ia turut diklasfikasikan di bawah OSA untuk ‘keselamatan negara’.


Lazimnya, toyol sering dikaitkan dengan perbuatan mencuri duit apabila diarahkan tuannya. Berbeza pula dengan 'toyol berkepala hitam' yang disebut oleh Shaziman, toyol tersebut mencuri laporan tanah runtuh dan mungkin juga diarahkan oleh tuannya juga. Kalau benarlah begitu, ‘toyol berkepala hitam’ di MPAJ bukanlah toyol sembarangan. 'Toyol berkepala hitam' di MPAJ jauh lebih baik dari toyol berkepala hitam yang merompak wang rakyat di siang hari tetapi tidak diriuhkan oleh Shaziman tadi. Mungkin juga lebih baik dari Shaziman sendiri. Sebabnya, Shaziman marah kepada ‘toyol berkepala hitam’ yang mendedahkan laporan tersebut yang memang sepatutnya didedahkan kepada umum.


Kenapa harus disorok laporan tanah runtuh yang telah mengorbankan nyawa tersebut? Bukankah seperti mana yang dinyatakan oleh Shaziman sendiri, laporan tersebut hanyalah laporan teknikal dan bukanlah untuk mencari salah sesiapa. Kalau kata-kata Shaziman ini diambil kira, membayangkan tiada mana-mana pihak yang akan didakwa. Kesimpulannya, adakah alam semula jadi yang bersalah?


Kalaulah laporan tersebut tidak didedahkan oleh ‘toyol berkepala hitam’ MPAJ, nescaya kerajaan pusat memang tiada berniat langsung untuk mendedahkan laporan tersebut kepada pengetahuan awam dan akan terus kekal menjadi rahsia rasmi kerajaan demi ‘keselamatan negara.’


Kelulusan kabinet untuk mendedahkan Laporan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa tidak lain dan tidak bukan hanyalah terpaksa bagi mengelak mengundang persepsi buruk rakyat terhadap kerajaan pusat. Jadi, mahu tidak mahu, laporan tersebut terpaksa didedahkan juga. Apatah lagi, laporan tersebut telah terlebih dahulu dibocori dan disebarkan melalui internet.


Ketika Laporan Ketua Audit Negara yang bukan rahsia dibentangkan dan menyebut tentang penyelewengan 'toyol-toyol kepala hitam', tidak terdengar pula Datuk Menteri Kerjaraya kita ini melenting. Tidak kiralah samada projek itu dikendalikan oleh kementeriannya atau tidak, pokoknya ia tetap kepunyaan rakyat. Antaranya, mengenai kerajaan akan menanggung kerugian berjumlah RM1.4 bilion dalam Projek Landasan Berkembar Rawang – Ipoh dan tindakan pembekalan alatan kepada badan berkanun Persekutuan pada harga yang tidak masuk akal.


Contoh lain, seperti harga untuk dua unit komputer riba Acer Aspire 5052 yang mencecah harga RM80,000 dan harga komputer meja berharga hampir RM7,600 seunit. ‘Toyol kepala hitam’ seperti ini tidak pula diriuhkan oleh Shaziman dan rakan-rakannya dalam Umno-BN. Nampaknya Laporan Ketua Audit Negara akan terus menjadi sejuk dan dilupakan seperti mana laporan audit di tahun-tahun yang sudah.


Di atas hanyalah beberapa contoh rompakan di siang hari oleh ‘toyol-toyol berkepala hitam’ yang tidak diriuhkan oleh Shaziman. Sebenarnya banyak lagi rompakan oleh ‘toyol berkepala hitam’ samada telah diketahui umum tetapi masih lagi diperapkan atau terselamat dilindungi OSA.


Shaziman harus membuktikan betapa beliau perihatin terhadap masalah ‘toyol kepala hitam’ ini dengan membersihkan kementeriannya dari ‘toyol-toyol berkepala hitam’ yang merompak di siang hari dan seterusnya disumbat ke dalam balang atau botol kaca. Itu lebih baik dari beliau riuh tentang ‘toyol berkepala hitam’ di dalam MPAJ yang cuma mendedahkan Laporan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa kepada umum. Untuk menangkap ‘toyol kepala hitam’ mungkin Shaziman harus menggunakan khidmat bomoh (SPRM). Tetapi kalau bomoh yang ada pun cuma bomoh temberang, hendak buat macam mana? Pening juga kepala memikirkan…

Tiada ulasan:

Paparan Halaman