Tentu kalian pernah diceritakan akan kisah lagenda rakyat, Si Tanggang yang derhaka. Kisah yang sungguh menyayat hati itu, telah kita turunkan dari generasi ke generasi lamanya. Kisah tersebut juga memberi pengajaran kepada semua manusia agar menghormati kedua ibu bapa dan jangan sesekali menderhaka kepada mereka.
Di babak akhir kisah tersebut, diceritakan bagaimana ibu Si Tanggang yang begitu sedih dan kecewa dengan sikap anaknya yang tidak mengaku bahawa beliau adalah ibunya, telah menadahkan tangan dan doa kepada Allah S.W.T agar saudara seagama Islamnya itu, bahkan juga anaknya sendiri diberikan balasan atau bala. Di gambarkan di dalam kisah itu, setelah selesai sahaja doanya itu, tidak semena-mena turunlah hujan berserta ribut petir dan diikuti laut yang bergelora.
Apabila Si Tanggang menyedari ada sesuatu yang tidak kena (musibah) akan berlaku kepada dirinya, dia merasa amat menyesal dan memohon keampunan dari ibunya. Malang sekali, ketika itu telah terlewat untuknya. Diceritakan lagi, doa si ibu akhirnya telah dimakbulkannya dan, Si Tanggang, isterinya, anak-anak kapal dan seluruh kapalnya beransur-ansur bertukar menjadi batu.
Kebanyakan ahli sejarawan bersetuju bahawa cerita Si Tanggang yang derhaka ini adalah sekadar sebuah cerita rakyat untuk memberi pengajaran kepada masyarakat dan ianya tidak pernah berlaku. Walau bagaimana pun kisah yang hampir serupa iaitu kisah Si Malin Kundang yang dikatakan pernah berlaku di Indonesia mempunyai bukti fizikal iaitu sebuah batu menyerupai imej kapal, tali berselerakan, tong-tong kayu serta seorang lelaki yang sedang sujud seolah-olah sedang memohon keampunan dari ibunya.
Samada batu itu benar-benar berasal dari jasad Malin Kundang dan seisi kapal dagangnya atau mungkin sebenarnya diukir oleh seseorang mahir ukir di zaman dahulu kala tidaklah pula diketahui. Cuma yang perlu kita yakini, tiada apa yang dapat menghalang sekiranya Allah S.W.T dengan hanya menyeru “jadilah,” maka terjadilah sesuatu perkara itu seperti yang dikehendakiNya.
Saya tidaklah berhasrat untuk mengkaji samada kisah ini benar-benar berlaku atau sebaliknya. Cuma yang saya tertarik, ialah doa ibu Si Tanggang dan ibu Si Malin Kundang. Setelah kecewa dengan sikap anak yang derhaka, ibu-ibu teraniaya ini telah menadahkan tangan dan berdoa agar Allah S.W.T agar memberikan balasan atau bala kepada si anak.
Yang ibu-ibu ini doakan agar ditimpakan bala ini, bukan sekadar saudara Islam mereka, malah lebih lagi, iaitu anak kandung mereka sendiri. Bukankah doa orang yang dizalimi itu mustajab? Apatah lagi doa yang datang dari seorang ibu. Disebabkan mustajabnya, bukankah lebih baik kalau ketika itu si ibu terlebih dahulu mendoakan agar pintu hati anaknya terbuka dan diberikan hidayahnya dan sekiranya anak-anak ini masih berkeras, barulah didoakan pula agar mereka ditimpa bala. Bagi masyarakat dari dahulu hinggalah kini, Si Tanggang dan Si Malin Kundang memang patut menerima balasan begitu.
Cuma, semenjak akhir-akhir ini lain pula pandangan segelintir dari kita. Tiba-tiba doa orang yang dizalimi dijadikan polemik pula. Orang yang berdoa pula dikecam! Sedangkan isunya sama, iaitu penganiyaan. Persoalan mengapa mereka yang dizalimi tersebut berdoa demikian, tidak pula ditekankan. Walhal doa tersebut juga lebih lunak berbanding doa ibu Si Tanggang dan Ibu Si Malin Kundang dengan masih lagi memohon agar orang yang menzaliminya itu dibukakan pintu hati dan menerima hidayahNya dan jika masih enggan barulah ditimpakan balasan dariNya.
Manakala, doa ibu Si Tanggang dan ibu Si Malin Kundang tiada bertoleren lagi, apabila terus mendoakan bala untuk anaknya sendiri dan tentunya saudara seagama. Ingat, doa mereka adalah doa mustajab seorang ibu yang teraniaya. Dalam doa mereka, peluang terakhir tidak diberikan kepada Si Tanggang dan Si Malin Kundang iaitu dengan mendoakan agar dibukakan pintu hati anaknya terlebih dahulu agar mendapat hidayah.
Seperti mana yang telah saya nyatakan tadi, kisah ini telah kita turunkan dari generasi ke generasi hinggalah sekarang dan telah diterima baik sebagai bahan yang boleh dijadikan sempadan untuk generasi kita. Kita semua juga bersetuju bahawa Si Tanggang dan Malin Kundang memang patut menerima balasan begitu dan selama itu juga tidak pernah pula ada di antara kita yang mengatakan doa ibu-ibu tersebut melampau kerana mendoakan bala untuk saudara seagama bahkan anak sendiri. Kita hanya fokus terhadap sikap derhaka si anak dan betapa wajarnya balasan atau bala yang mereka terima.
Tetapi sebaliknya yang berlaku, apabila Tok Guru yang berdoa. Sepatutnya orang yang didoakan serta anak-anak kapalnya tidaklah perlu gusar kerana bukankah mereka berpendapat mereka tidak pernah menganiaya sesiapa pun? Jadi, mengapa perlu gusar dan gundah gulana?
Tingkah laku mereka yang semacam fobia dengan doa membuatkan saya terfikir, adakah mereka ini berasal dari keturunan Si Tanggang atau Si Malin Kundang yang saya fikir logiknya tentulah keturunan ini fobia dengan doa? Dan kadang-kadang ada juga fikiran nakal saya berkata, jangan-jangan patung tembaga seorang lelaki berpakaian pahlawan Melayu dahulu kala yang berdiri sambil meghunuskan kerisnya di muzium negara, mungkin juga dari keturunan mereka akibat doa orang yang dizaliminya kerana tindakan setia membuta tuli. Dan lagi, patung-patung perwira mat salih ‘mempertahankan’ negara di Tugu Peringatan Negara pun mungkin juga…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan