Khamis, 17 Disember 2009

GST: 'Gagau Semua Tempat'

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dikenakan kepada seluruh rakyat dinegara ini didakwa berpunca dari kehabisan sumber pendapatan negara akibat berleluasanya amalan rasuah dan salah guna kuasa. Oleh itu ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar pagi tadi mendakwa GST tersebut lebih sesuai digelar 'Gagau Semua Tempat'.

"Kerajaan kehabisan wang disebabkan ketirisan, rasuah dan pembaziran, jadi fikir macam mana nak cari duit lalu perkenalkan GST, Gagau Semua Tempat," katanya di Lobi Parlimen. Beliau yang juga Naib Presiden PAS berpendapat GST sepatutnya dikenakan dulu kepada syarikat-syarikat telekomunikasi yang sebelum ini mendapat perlepasan cukai.

"Kerajaan masih beri perlepasan cukai pada beberapa syarikat komunikasi tempatan yang sudahpun berjaya sampai boleh tawar perkhidmatan di luar negara dan disenaraikan dalam Bursa Saham Malaysia sedangkan GST ini nak dikenakan pada rakyat." Jelasnya, perlepasan cukai itu menyebabkan beberapa syarikat telekomunikasi terbabit mendapat keuntungan perkhidmatan dan keuntungan hasil tidak membayar cukai.

Beliau turut menggesa kerajaan menyelesaikan masalah rasuah dan ketirisan yang merupakan punca perbelanjaan negara kian membengkak. Beliau turut mendesak kerajaan agar mencegah masalah penyeludupan demi memastikan kerajaan mendapat hasil cukai yang sewajarnya. Katanya, kerajaan dianggarkan kehilangan RM12.92 juta tahun ini disebabkan gagal membendung penyeludupan rokok dan pengenaan duti kastam.

Tambahnya lagi, dengan menangani beberapa masalah tersebut bukan sahaja membuatkan kerajaan tidak perlu gagau semua tempat, malah menyelamatkan rakyat dari terus terbeban. Semalam Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah buat pertama kalinya membacakan rang undang-undang mengenai GST, bagaimanapun mendapat tentangan dan bantahan hebat oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat.


-Berita di petik dari Harakah

Tiada ulasan:

Paparan Halaman