Dalam satu program bual bicara di sebuah stesen tv swasta, pada awal tahun baru ini yang telah menampilkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru, Datuk Abu Kassim Mohammed, beliau telah menegaskan betapa pentingnya elemen kejutan atau yang disebutkan beliau, suprise element dalam sesuatu siasatan kes rasuah.
Menurut beliau, ini supaya individu-individu yang ditahan untuk siasatan tidak bersedia untuk merangka jawapan terlebih dahulu sebelum ditahan dan disoal-siasat sekaligus tidak merosakan siasatan SPRM. Beliau juga membidas ahli-ahli politik yang membuat sidang media setelah membuat sesuatu laporan rasuah, di mana ianya boleh mengakibatkan sisatan SPRM terganggu berikutan laporan itu telah bocor kepada pengetahuan umum dan individu yang dilaporkan tersebut.
Beliau juga mengambil contoh badan pencegahan rasuah di Hong Kong sebagai model, yang boleh menahan dan mendakwa individu yang membocorkan rahsia siasatan termasuklah terhadap si pengadu sendiri sekiranya membocorkan laporan yang telah dibuat kepada badan itu kepada media.
Beberapa minggu selepas itu, Abu Kassim telah membuat kenyataan media bahawa SPRM akan mengambil tindakan undang-undang dengan menggunakan Seksyen 29 (4) Akta SPRM terhadap pengadu yang membuat kenyataan media selepas membuat sesuatu laporan kepada SPRM.
Ternyata, apa yang ditegaskan oleh Abu Kassim dalam program bual bicara tersebut, elemen kerahsiaan untuk surprise itu tidak berlaku apabila individu yang ditahan membabitkan pemimpin atau pegawai yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Sikap double standard dan cakap tak serupa bikin SPRM ini begitu terserlah dalam kes siasatan rasuah wang dan seks berhubung aktiviti mencuri dan menyeludup pasir ke negara jiran yang hangat dilaporkan di akhbar-akhbar tempatan.
Tambah meyakinkan bahawa SPRM telah tidak bertindak profesional dan pilih bulu apabila diantara 34 individu yang ditahan, hanya individu yang berkaitan Kerajaan Negeri Selangor sahaja yang didedahkan di laporan awal akhbar-akhbar tempatan manakala selebihnya, indentiti mereka masih dirahsiakan. Bahkan, lebih-lebih lagi semasa penahanan dibuat, wartawan-wartawan juga telah bersedia di lokasi penahanan individu terbabit.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shukri Abdull “Operasi masih berjalan dan SPRM menjangka akan ada lagi beberapa tangkapan dan saya berharap orang ramai memberi kerjasama. Saya tidak ada jumlah (akan ditahan) tetapi dijangka ramai lagilah. Ada kemungkinan (pangkat) tinggi lagi, tunggu, sabar dan lihat,” katanya pada sidang media.
Dari kenyataan Datuk Shukri tersebut memang jelas menunjukan bahawa walaupun siasatan tersebut telah lama dijalankan namun ianya masih belum selesai sepenuhnya. Masih terdapat individu yang perlu menjalani proses soal siasat oleh SPRM. Oleh itu, tidakkah nanti kenyataan media yang dibuat oleh beliau sendiri boleh menjejaskan proses siasatan SPRM. Tidakkah beliau sendiri juga terikat di bawah Seksyen 29 (4) Akta SPRM tersebut?
Malahan beberapa akhbar telah melaporkan kenyataan media oleh Datuk Mohd Shukri Abdul, individu-individu yang ditahan berhubung kes ini berlaku di lima buah negeri tetapi beliau enggan pula menyatakan negeri-negeri tersebut. Ironiknya, apabila dinyatakan antara yang ditahan adalah Setiausaha Kerja Exco Kerajaan Negeri Selangor membuatkan sesetengah pembaca mengandaikan lima negeri yang dimaksudkan adalah lima negeri yang ditawan oleh PR pada PRU-12 lalu. Walau bagaimana pun ada sumber yang menyatakan individu-individu yang ditahan tersebut membabitkan negeri Pahang, Johor, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.
Berhubung penahanan Setiausaha Kerja kepada Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Kerajaan Negeri Selangor, Yaakob Sapari berkata, tindakan SPRM itu sengaja diambil. “Yang penting bukan penahanan Setiausaha Kerjanya, tetapi tindakan SPRM itu bertujuan untuk memalukan dan menjatuhkan Kerajaan Negeri.”
Sebelum ini, pengumuman SPRM akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengadu yang membuat kenyataan media selepas membuat laporan kepada SPRM telah mendapat tentangan dari pemimpin-pemimpin PR. Menurut Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md. Akin, sebelum ini pun telah berpuluh-puluh laporan yang lengkap telah dibuat oleh PR kepada SPRM, namun tiada tindakan dibuat. Apatah lagi jika laporan yang dibuat tidak didedahkan kepada umum, tentu akan lebih memudahkan SPRM melenyapkan kes-kes rasuah yang berkaitan pemimpin-pemimpin BN sekaligus menjadikan suruhanjaya tersebut berkeadaan lebih selesa tanpa tekanan dari masyarakat.
Apa yang berlaku di Selangor semenjak negeri ini diperintah oleh PR, jelas menunjukan usaha gigih BN untuk menumbangkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat Selangor dengan cara yang kotor. SPRM juga dengan sendirinya, membenarkan terhadap dakwaan sesetengah pihak bahawa SPRM menjadi kuda tunggangan Umno-BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan