Pada suatu masa dahulu di sebuah negeri yang tidaklah seberapa besarnya yang diperintah oleh Raja Kapor. Di dalam negeri tersebut yang dinamakan Negeri Nisan Sebatang itu pula terdapat tujuh buah mukim yang menjadikan tanaman padi sebagai makanan dan pendapatan utama penduduk dan juga sebagai hasil utama negeri itu.
Oleh yang demikian di kesemua tujuh mukim dalam Negeri Nisan Sebatang ini terdapat sawah-sawah padi yang terbentang luas di merata ceruk. Maka, rata-rata rakyat negeri ini bergantung hasil dari sawah padi.
Malahan oleh kerana hasil padi yang teramat banyak, sehinggakan negeri ini memperolehi hasil yang lumayan daripada penjualan padi ke negeri-negeri lain.
Hendak dijadikan cerita, entah apa petaka menimpa negeri ini, kali ini kesemua bendang-bendang padi yang ada di negeri ini diserang oleh serangga yang tidak diketahuan akan jenis spesisnya.
Bermacam ikhtiar dilakukan oleh rakyat jelata untuk menghalau serangga yang memakan anak-anak padi tetapi semuanya gagal. Hanya sedikit sahaja padi yang sempat membesar, yang lainnya semuanya habis dikerjakan oleh serangga-serangga bermata satu itu.
Pada suatu hari seperti biasa pada setiap dua purnama penghulu-penghulu di tujuh mukim yang terdapat dalam negeri itu akan bermesyuarat dengan Raja serta pembesar-pembesar negeri yang lain bagi melaporkan keadaan kawasan masing-masing.
Maka dalam mesyuarat itu, Penghulu Kudin dari Mukim Nisan Dua Batang pun mempersembahkan laporannya mendahului penghulu-penghulu lain. Penghulu Kudin pun persembahkan masalah serangga mata satu yang menyerang bendang-bendang sawah di Mukim Nisan Dua Batang.
Setelah mendengar laporan dari Penghulu Kudin, Raja Kapor amat dukacita dengan apa yang sedang berlaku di Mukim Nisan Dua Batang kerana ia akan mengurangkan hasil Negeri Nisan Sebatang.
Pada hemat Raja kapor, masalah yang berlarutan di Mukim Nisan Dua Batang berpunca daripada kelemahan Penghulu Kudin yang tidak bertindak lebih awal untuk menghalau serangga-serangga tersebut dari menyerang sawah-sawah padi.
Maka, dalam mesyuarat itu, Penghulu Kudin bukan sahaja dimurkai oleh Raja Kapor malahan atas nasihat pembesar-pembesar negeri yang lain, elaunnya dipotong dan diturunkan 'grednya'.
Akhirnya Raja Kapor telah mengarahkan Datuk Bendahara segera memanggil Ahli Saintis Negara, Tok Komat untuk mencari ikhtiar untuk menolong Penghulu Kudin bagi menghapuskan serangga itu di Mukim Nisan Dua Batang.
Apabila melihatkan kemurkaan Raja terhadap Penghulu Kudin dan tidak mahu elaun mereka di potong, maka penghulu-penghulu lain yang ada di situ telah berbohong kepada Raja Kapor dengan memberikan laporan yang enak-enak untuk didengar oleh Raja Kapor.
Raja Kapor yang sedih tadi pun kembali ceria apabila mendengar perkhabaran yang akan keadaan sawah padi dan rakyatnya di mukim-mukim lain yang semuanya baik-baik belaka tidak seperti mana di Mukim Nisan Dua Batang.
Oleh itu, keenam-enam penghulu-penghulu tadi telah menerima sepersalinan yang indah-indah setiap seorang, dinaikkan pangkat, dijamu dengan hidangan yang lazat-lazat dan diberikan pula elaun tambahan oleh Raja kapor.
Setelah dimurkai oleh Raja Kapor, Penghulu Kudin pula dengan rasa sedih terus pulang ke mukimnya malam itu juga dengan perut yang kelaparan dan perasaan yang hampa.
Setelah dua purnama berlalu, dengan bantuan Tok Komat yang menemui jalan untuk mengatasi masalah itu akhirnya serangga-serangga mata satu tersebut telah berjaya dihapuskan.
Adapun, kerana bimbang formulanya 'dipaternkan' oleh orang lain maka tidaklah mahu diceritakan oleh Tok Komat akan rahsia ramuan untuk membuat air yang disiramkan setiap malam di bendang-bendang padi hingga akhirnya kesemua serangga bermata satu itu tidak lagi berselera mengerjakan tanaman-tanaman padi dan akhirnya mati kelaparan.
Tidak lama selepas itu, penduduk-penduduk Mukim Nisan Dua Batang amat bersyukur akhirnya padi-padi mereka telah menguning dan akan mengeluarkan hasil yang banyak sama seperti sebelumnya. Mereka amat berterima kasih kepada Penghulu Kudin dan Tok Komat kerana telah berjaya menghalau dan membunuh serangga bermata satu itu.
Pada masa yang sama, di enam buah mukim yang lain, hampir kesemua tanaman-tanaman padi yang diusahakan oleh orang kampung tidak menjadi kerana dirosakkan oleh serangga bermata satu.
Penduduk di enam buah mukim tersebut amat marah dengan penghulu-penghulu mereka yang asyik bersenang-lenang menikmati elaun yang tinggi dan tidak berusaha untuk mencari ikhtiar bagi menyelesaikan masalah serangan serangga bermata satu terhadap bendang padi mereka.
Oleh kerana pada tahun itu padi yang mereka usahakan itu tidak menjadi, maka penduduk mukim-mukim tersebut terpaksa mencatukan makanan mereka bagi mengelakkan kehabisan bekalan beras.
Penduduk mukim itu akhirnya menjadi mangsa terhadap pemimpin-pemimpin mereka yang sibuk menjaga kedudukan mereka dan sikap raja mereka yang enggan menerima hakikat keadaan sebenar sebaliknya hanya mahu mendengar berita yang enak-enak sahaja.
Selain itu, sikap Raja Kapor yang gemar percaya mentah-mentah nasihat penghulu dan pembesar-pembesar diselilingnya yang gemar membodek juga telah mengakibatkan bencana yang besar kepada mukim-mukin di negerinya kecuali Mukim Nisan Dua Batang.
1 ulasan:
1 penghinaan kepada RAJA...harap kau masuk ISA
Catat Ulasan