Sabtu, 30 Januari 2010

Sekadar Sebuah Karya Fakir Buat Mu (Nukilan Sebuah Senyuman...)

Aku bukanlah si maha pengkarya yang hebat berpujangga. Hanya sekadar karya fakir ini yang mampu aku nukilkan, didikasi buat mu….

Senyumannya itu menceritakan sebuah tragedi yang sarat seribu pengertian. Senyuman itu menceritakan tentang kejerihan, menceritakan pengorbanan insan-insan tersayang yang epilognya menceritakan tentang ketabahan, menceritakan tentang kekuatan semangat, menceritakan tentang kegigihan, menceritakan tentang kebahagiaan, menceritakan tentang kejayaan dan menceritakan kasih dan sayang.

Foto itu aku tatapi agak lama. Seorang gadis kecil yang tersenyum. Sungguhpun parutnya masih berbekas, dalam kejerihan, namun senyuman itu tampak manis dan menawan. Aku yakin, seiringan masa berlalu, seiringan usia yang semakin meremajakannya, senyuman itu akan semakin mekar bagaikan kuntuman mawar yang semakin berkembang. Aku juga amat yakin, lambat laun senyuman itu akan memudarkan parut-parut itu.

Wahai si anak, senyumlah. Sang pelangi, sang suria, sang bulan, sang bintang, malah seluruh alam ini seakan menantikan untuk turut membalas senyuman mu itu. Terangilah alam ini dengan senyuman mu...

Ya, manis sungguh senyuman itu. Percayalah wahai si anak, suatu hari nanti, senyuman mu akan tampak semakin manis, mewarisi senyuman si bonda yang dikasihi. Percayalah, suatu hari nanti wajah mu akan menjadi siulan sang teruna. Percayalah suatu hari nanti senyuman mu nanti bisa mendebarkan jiwa si jejaka tampan teman sekampus.

Teruslah tersenyum. Kerana aku yakin, 11,12 atau 13 tahun nanti, kau akan menghadiahkan senyuman paling bermakna buat ayahda dan bonda di hari graduasi mu dan di tanganmu mengenggam segulung skroll dan jambangan mawar semekar senyuman mu itu.

Aku bukanlah si maha pengkarya yang hebat berpujangga. Hanya sekadar karya fakir ini yang mampu aku nukilkan, didikasi buat mu, NURUL AIN NABILA…

Rabu, 27 Januari 2010

SPRM: Double standard, cakap tak serupa bikin

Dalam satu program bual bicara di sebuah stesen tv swasta, pada awal tahun baru ini yang telah menampilkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru, Datuk Abu Kassim Mohammed, beliau telah menegaskan betapa pentingnya elemen kejutan atau yang disebutkan beliau, suprise element dalam sesuatu siasatan kes rasuah.

Menurut beliau, ini supaya individu-individu yang ditahan untuk siasatan tidak bersedia untuk merangka jawapan terlebih dahulu sebelum ditahan dan disoal-siasat sekaligus tidak merosakan siasatan SPRM. Beliau juga membidas ahli-ahli politik yang membuat sidang media setelah membuat sesuatu laporan rasuah, di mana ianya boleh mengakibatkan sisatan SPRM terganggu berikutan laporan itu telah bocor kepada pengetahuan umum dan individu yang dilaporkan tersebut.

Beliau juga mengambil contoh badan pencegahan rasuah di Hong Kong sebagai model, yang boleh menahan dan mendakwa individu yang membocorkan rahsia siasatan termasuklah terhadap si pengadu sendiri sekiranya membocorkan laporan yang telah dibuat kepada badan itu kepada media.

Beberapa minggu selepas itu, Abu Kassim telah membuat kenyataan media bahawa SPRM akan mengambil tindakan undang-undang dengan menggunakan Seksyen 29 (4) Akta SPRM terhadap pengadu yang membuat kenyataan media selepas membuat sesuatu laporan kepada SPRM.

Ternyata, apa yang ditegaskan oleh Abu Kassim dalam program bual bicara tersebut, elemen kerahsiaan untuk surprise itu tidak berlaku apabila individu yang ditahan membabitkan pemimpin atau pegawai yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Sikap double standard dan cakap tak serupa bikin SPRM ini begitu terserlah dalam kes siasatan rasuah wang dan seks berhubung aktiviti mencuri dan menyeludup pasir ke negara jiran yang hangat dilaporkan di akhbar-akhbar tempatan.

Tambah meyakinkan bahawa SPRM telah tidak bertindak profesional dan pilih bulu apabila diantara 34 individu yang ditahan, hanya individu yang berkaitan Kerajaan Negeri Selangor sahaja yang didedahkan di laporan awal akhbar-akhbar tempatan manakala selebihnya, indentiti mereka masih dirahsiakan. Bahkan, lebih-lebih lagi semasa penahanan dibuat, wartawan-wartawan juga telah bersedia di lokasi penahanan individu terbabit.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shukri Abdull “Operasi masih berjalan dan SPRM menjangka akan ada lagi beberapa tangkapan dan saya berharap orang ramai memberi kerjasama. Saya tidak ada jumlah (akan ditahan) tetapi dijangka ramai lagilah. Ada kemungkinan (pangkat) tinggi lagi, tunggu, sabar dan lihat,” katanya pada sidang media.

Dari kenyataan Datuk Shukri tersebut memang jelas menunjukan bahawa walaupun siasatan tersebut telah lama dijalankan namun ianya masih belum selesai sepenuhnya. Masih terdapat individu yang perlu menjalani proses soal siasat oleh SPRM. Oleh itu, tidakkah nanti kenyataan media yang dibuat oleh beliau sendiri boleh menjejaskan proses siasatan SPRM. Tidakkah beliau sendiri juga terikat di bawah Seksyen 29 (4) Akta SPRM tersebut?

Malahan beberapa akhbar telah melaporkan kenyataan media oleh Datuk Mohd Shukri Abdul, individu-individu yang ditahan berhubung kes ini berlaku di lima buah negeri tetapi beliau enggan pula menyatakan negeri-negeri tersebut. Ironiknya, apabila dinyatakan antara yang ditahan adalah Setiausaha Kerja Exco Kerajaan Negeri Selangor membuatkan sesetengah pembaca mengandaikan lima negeri yang dimaksudkan adalah lima negeri yang ditawan oleh PR pada PRU-12 lalu. Walau bagaimana pun ada sumber yang menyatakan individu-individu yang ditahan tersebut membabitkan negeri Pahang, Johor, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.

Berhubung penahanan Setiausaha Kerja kepada Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Kerajaan Negeri Selangor, Yaakob Sapari berkata, tindakan SPRM itu sengaja diambil. “Yang penting bukan penahanan Setiausaha Kerjanya, tetapi tindakan SPRM itu bertujuan untuk memalukan dan menjatuhkan Kerajaan Negeri.”

Sebelum ini, pengumuman SPRM akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengadu yang membuat kenyataan media selepas membuat laporan kepada SPRM telah mendapat tentangan dari pemimpin-pemimpin PR. Menurut Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md. Akin, sebelum ini pun telah berpuluh-puluh laporan yang lengkap telah dibuat oleh PR kepada SPRM, namun tiada tindakan dibuat. Apatah lagi jika laporan yang dibuat tidak didedahkan kepada umum, tentu akan lebih memudahkan SPRM melenyapkan kes-kes rasuah yang berkaitan pemimpin-pemimpin BN sekaligus menjadikan suruhanjaya tersebut berkeadaan lebih selesa tanpa tekanan dari masyarakat.

Apa yang berlaku di Selangor semenjak negeri ini diperintah oleh PR, jelas menunjukan usaha gigih BN untuk menumbangkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat Selangor dengan cara yang kotor. SPRM juga dengan sendirinya, membenarkan terhadap dakwaan sesetengah pihak bahawa SPRM menjadi kuda tunggangan Umno-BN.

Jumaat, 15 Januari 2010

Jangan nak jadi hero!

Isu kebenaran oleh mahkamah untuk penggunaan Kalimah Allah untuk penerbitan Herald Catholic masih lagi hangat diperdebatkan walaupun telah agak lama berlarutan. Maka dari rentetan penghakiman mahkamah tersebut, beberapa siri perbuatan khianat vandalisma terhadap beberapa gereja dan surau di Malaysia. Berita mukhtahir hari ini, satu lagi perbuatan khianat menyimbah cat merah terhadap sebuah gereja di Kota Tinggi berlaku.

Menurut Ketua Polis Negara dalam satu kenyataannya beberapa hari lalu, siri-siri perbuatan khianat ini tiada kordinasi. Ertinya tindakan tersebut bukanlah dari kumpulan atau individu yang sama dan ianya tidak disusun atau berstartegi. Kita juga patut merasa lega, kerana hingga ke hari ini, secara umumnya masyarakat Kristian di negara ini tidak memberikan tindak balas yang agresif terhadap beberapa percubaan membakar gereja-gereja mereka.

Seandainya perkara ini berlaku (tindak balas agresif dari penganut kristian), kemungkinan tindakan-tindakan susulan yang lebih agresif pasti tercetus lalu menjadikan kenteteraman negara terancam.

Dalam berita berkaitan, seorang pelajar telah disoal siasat polis berhubung gurauannya di sebuah laman sosial, bahawa keterlibatan beliau dalam kegiatan tersebut. Walaupun ianya hanyalah guruauan pelajar tersebut, ia boleh dapat dilihat bahawa anggapan pelajar tersebut seolah-olah perbuatan khianat seperti itu adalah satu tindakan yang membanggakan. adakah pelajar tersebut beranggapan dengan menyerang rumah ibadat ugama lain akan menjadikan mereka dianggap sebagai wira oleh umat Islam negara ini?

Kalau ini yang difikirkan oleh pelajar tersebut mahupun oleh individu sebenar yang melakukannya, ternyata mereka silap perkiraan. Mereka masih tidak dapat memahami sentimen masyarakat Islam negara ini yang cintakan kedamaian. Bahkan tindakan seperti ini mengundang kecaman dan kutukan dari masyarakat Islam negara ini sendiri. Apatah lagi diangkat sebagai hero umat Islam, jauh sekali. Hakikatnya, tindakan khianat terhadap rumah ibadat ugama lain adalah satu tindakan menconteng arang ke muka umat Islam sendiri. Ianya adalah satu tindakan yang memalukan.

Dalam isu yang sama, ada juga yang menganalisa dan mentafsirkan isu ini sengaja diadakan oleh pihak-pihak tertentu dengan maksud-maksud tertentu. Kalau tafsiran ini benar, sekali lagi, alangkah malangnya. Isu yang boleh memecahkan perpaduan diekplotasikan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.

Putrajaya setuju perkataan Allah digunakan di Sabah dan Sarawak - Malaysia Kini

Selepas beberapa bulan tercetusnya isu penggunaan perkataan Allah oleh bukan Islam, kerajaan BN nampaknya bersetuju kalimah Allah digunakan di Sabah dan Sarawak.

Penganut Kristian di dua negeri Malaysia Timur itu boleh terus menggunakan kalimah Allah bagi terjemahan 'God' dalam cetakan bahasa Malaysia, kerana mereka telah menggunakannya sejak 300 tahun yang lalu.

Kerajaan persekutuan bagaimanapun masih tidak bersetuju penganut Kristian di Semenanjung menggunakan perkataan Allah walaupun dalam cetakan bahasa Malaysia.

Dan rakyat Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung mesti menghormati larangan tersebut.

Pengumuman itu datangnya dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz (kiri) dalam satu wawancara ekslusif dengan lima wartawan dari Borneo Post, Utusan Borneo and Oriental Daily.

Katanya, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak tidak perlu bimbang berhubung isu tersebut kerana ianya sudah menjadi tradisi mereka di sana.

Nazri berkata, beliau pernah menyaksikan upacara sembahyang di sebuah gereja kaum Iban dan mendengar perkataan Allah disebut di situ.

Ditanya mengapa perlunya dua peraturan mengenai penggunaan perkataan Allah, beliau berkata ia bukan satu amalan yang unik kerana Malaysia juga mempunyai dua undang-undang bagi perkara yang lain juga, contohnya, mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Menurut Nazri, situasi di Semenanjung berbeza kerana perkataan Allah hanya mula diperkenalkan dalam penerbitan dan upacara sembahyang penganut Kristian beberapa tahun yang lalu.

Katanya, umat Islam di Semenanjung Malaysia tidak dapat menerimanya kerana perkataan Allah tidak pernah digunakan untuk tujuan penyebaran, sehinggalah baru-baru ini.

Oleh itu, katanya, mereka mempersoalkan motif di sebalik penggantian perkataan Tuhan dengan perkataan Allah.

Menurut Nazri lagi, Perlembagaan Persekutuan juga menegaskan bahawa agama lain tidak boleh disebarkan di kalangan masyarakat Melayu-Islam dan ianya telah digubal di semua negeri di Malaysia yang mempunyai sultan.

Oleh itu, katanya, ia tidak termasuk Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah.

Katanya, di negeri-negeri tersebut, bagi melarang penggunaan Allah dilaksanakan, menteri dalam negeri boleh menggunakan Akta Cetak untuk menguatkuasakannya.

Petikan dari Malaysia Kini

Isnin, 11 Januari 2010

Rosmah Mansor, Bakal Bertanding PRU 13?

Tindak-tanduk berterusan Rosmah Mansor dalam memenuhi agenda promosi bagi mendapatkan publisiti untuk dirinya yang semakin ketara semenjak akhir-akhir ini semakin terserlah. Demi menjayakan agendanya itu, agensi-agensi kerajaan, saluran media yang dikuasai kerajaan 1 Malaysia bahkan harta benda dan wang kerajaan telah dipergunakan dengan sewenang-wenangnya untuk merealisasikan tujuan tersebut.

Ini dapat dilihat, penonjolan imej Rosmah yang dilakukan oleh media-media 1 Malaysia hingga ada kalanya menengelamkan individu nombor dua negara. Tindakan-tindakan beliau juga dilihat mengakibatkan berlakunya pertindihan tugas dalam urusan-urusan rasmi kerajaan yang sepatutnya diletakan di bawah sesuatu kementerian. Usaha meningkatkan imej Rosmah ini telah meletakan beliau diberi layanan lebih istimewa berbanding isteri-isteri perdana menteri terdahulu bahkan turut melebihi menteri-menteri kabinet 1 Malaysia yang ada sekarang.

Antara yang terbaru ialah kejadian tujuh sukarelawan termasuk seorang pelajar Perubatan Universiti Bristol United Kingdom dari Malaysia, Ibrahim Mohd Azmi, .yang menyertai konvoi Viva Palestina yang ditahan polis Mesir di Pelabuhan El-Arish pada 5 Januari lalu. Viva Palestina di Malaysia sendiri turut mengadakan demontrasi aman di hadapan kedutaan Mesir di Malaysia dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Duta Mesir di sini.

Pada masa yang sama, Kementerian Luar turut mengarahkan kedutaan Malaysia di Kaherah menyiasat dan membantu pelajar Malaysia tersebut. Selepas 15 jam ditahan, akhirnya beliau dibebaskan dan menyertai semula konvoi tersebut. Pembebasan Ibrahim itu tentunya melegakan banyak pihak khususnya keluarga beliau sendiri yang tentunya bimbangkan keselamatannya sepanjang menyertai konvoi tersebut.

Ironiknya, tiba-tiba pada malam 7 Januari baru-baru ini, berita-berita di media kawalan kerajaan 1 Malaysia menyiarkan laporan dakwaan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor, bahawa sebelum Ibrahim dibebaskan, beliau ada menghubungi wanita nombor satu Mesir, Suzanne Mubarak untuk memohon supaya Ibrahim dibebaskan.

Turut disiarkan ialah pertemuan beliau dengan kedutaan Mesir di Malaysia sambil diiringi beberapa pegawai kanan kerajaan. Suasana perbincangan tersebut, sekali pandang, Rosmah Mansor tidak ubah seperti orang nombor satu negara atau sekurang-kurangnya seorang menteri kabinet!

Walaupun Rosmah tidaklah bercakap secara berterus-terang, namun tidaklah sukar untuk memahami mesej tersirat yang beliau ingin sampaikan. Apa yang ingin beliau sampaikan ialah pembebasan Ibrahim tidak lain tidak bukan adalah kerana usaha yang dimainkan oleh beliau. Selain itu, beliau juga ingin menyampaikan mesej bahawa beliau mempunyai kuasa dan pengaruh di dalam dan di luar negara sehingga akhirnya Kerajaan Mesir membebaskan Ibrahim dari tahanan polis Mesir.

Maka timbul pula persoalan, adakah Menteri Kementerian Luar dan kedutaan Malaysia di Kaherah tidak memainkan peranan dalam isu ini? Sedangkan bagi Rosmah, memadai dengan hanya satu panggilan dan ‘bercakap-cakap’ dengan wanita nombor satu Mesir untuk membebaskan Ibrahim dari tahanan Polis Mesir. Jika begitu, elok benarlah kiranya selepas ini Rosmah membuat beberapa lagi panggilan ke luar negara, Michelle Obama isteri kepada Presiden Amerika misalnya, untuk ‘mengarahkan’ Kem Tahanan Gutanamo ditutup atau pun menghubungi Kerajaan Junta Myanmar untuk membebaskan Aung San Suu Kyi.


Begitu juga dengan publisiti meluas oleh akhbar-akhbar kawalan 1 Malaysia mengenai hadiah RM7 juta dari Putera Saud Al-Saud dari Arab Saudi kepada Rosmah Mansor yang kononnya kerana kejujuran beliau memulangkan sebuah kotak milik putera tersebut yang ditemui di dalam bot semasa beliau bercuti. Pada masa yang sama tidak pula timbul persoalan Rosmah bercuti di Laut Mediteranean semasa mengikuti rombongan lawatan resmi Perdana Menteri ke Perancis ketika itu.

Bukankah lawatan resmi bererti segala kos perbelanjaan ditampung oleh kerajaan? Adakah kos tersebut termasuk untuk menampung perbelanjaan Rosmah yang melencong jauh semasa mengikuti lawatan resmi Perdana Menteri hingga bercuti di Laut Mediteranean? Beberapa persoalan lain seperti siapa pemilik bot, tempat bot ini berlabuh dan beberapa isu lain juga menjadi persoalan yang boleh dipertikaikan.

Begitu juga dengan Projek Permata Negara yang menelan kos sebanyak RM20 juta yang diletakan di bawah kendalian isteri Perdana Menteri tersebut. Apakah kepentingan projek tersebut kepada negara sehingga menelan belanja yang begitu besar? Kalau pun benar projek tersebut memberi manfaat kepada negara, tidakkah RM20 juta tersebut terlalu besar untuk tujuan projek itu? Paling penting sekali, adakah wajar projek yang menelan belanja begitu besar dipertanggung jawabkan kepada seorang yang tidak menjawab di parlimen? Adakah Kementerian Pelajaran atau Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang lebih bersesuaian tidak mempunyai keupayaan untuk menjalankan projek tersebut?

Sebelum ini, Rosmah Mansor pernah dilaporkan menggunakan host internet kerajaan 1 Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi laman web beliau di mana ianya adalah sesuatu yang janggal. Kegilaan beliau terhadap publisiti semakin terserlah, hinggakan menjadi satu trend media-media kawalan kerajaan 1 Malaysia apabila atu demi satu berita tentang beliau disiarkan termasuklah hadiah RM1 juta dari Raja Fahd, nilai kejujuran Rosmah Mansor.

Rosmah Mansor juga pernah dilaporkan telah mengarahkan pemindahan wang ke luar negara secara tidak sah sebanyak RM600,000 ke dalam akaun beliau sewaktu beliau berada di Dubai pada Ogos 2008 yang dipercayai untuk membiayai urusan membeli-belah. Walaupun pengurup wang berkenaan, Salamath Ali telah dikenakan denda oleh Bank Negara, namun Bank Negara telah memejamkan mata terhadap orang yang mengarahkan pemindahan tersebut.

Apabila melihat latar belakang Rosmah Mansor, agak jelas menunjukan karakter beliau adalah seorang yang sentiasa gigih berusaha untuk memperolehi apa yang dihajati, mempunyai keazaman dan bercita-cita tinggi. Malahan menurut satu sumber yang pernah rapat dengan Rosmah Mansor, beliau adalah seorang yang lupa diri dan sanggup membuang saudara demi kepentingan mengejar sesuatu yang dicita-citakannya.

Melihat peranan aktif yang dimainkan oleh Rosmah dalam pentadbiran kerajaan semenjak Najib dilantik sebagai Perdana Menteri, tidak mustahil ada misi yang lebih besar tersirat disebalik usaha berterusan untuk memperolehi publisiti meluas. Melihat kebolehan beliau mempengaruhi corak pemerintahan kerajaan 1 Malaysia hari ini, memang wajar beliau diberikan satu meja khas di sebelah meja Perdana Menteri di dalam pejabat Perdana Menteri. Dengan adanya beliau di samping Perdana Menteri, urusan Kerajaan 1 Malaysia di dalam dan luar negara akan menjadi bertambah ‘lancar’ dengan hanya beberapa panggilan telefon.

Ahli-ahli politik, khususnya barisan kabinet kerajaan 1 Malaysia yang ada sekarang juga diingatkan, agar tidak terkejut sekiranya Rosmah mengumumkan akan turut bertanding dalam PRU 13 nanti! Mungkin ada yang beranggapan kenyataan seperti ini seperti satu lawak di pagi hari. Namun bagi insan yang bernama Rosmah Mansor, tiada yang mustahil.


Jumaat, 8 Januari 2010

Kenyataan Media Anwar Ibrahim

Tarikh: 8 Januari 2010

Saya mengecam tindakan pihak tertentu yang menyerang beberapa gereja di sekitar Lembah Klang. Serangan keji sedemikian merupakan satu tindakan yang dikecam keras Al-Quran. Agama Islam jelas menggesa umatnya untuk menghormati rumah peribadatan penganut agama lain.

Sehingga kini saya difahamkan sebanyak tiga gereja dijadikan sasaran serangan. Manakala itu aras bawah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati telah hangus terbakar akibat dari siri serangan tersebut. Saya menyatakan rasa syukur kerana serangan tersebut tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Saya menyeru semua pihak agar bertenang dan jangan sesekali terjerumus ke dalam api kebencian. Sebarang tindakan tidak boleh sama sekali didasari politik perkauman sempit. Saya mempunyai keyakinan kita rakyat Malaysia akan menyelesaikan isu ini tanpa diiringi sebarang konflik. Insha-Allah usaha kita untuk mengekalkan keamanan diberkati jua.

ANWAR IBRAHIM

Paparan Halaman