Khamis, 30 Disember 2010

Tirai 2010 dilabuhkan: Akhirnya ada yang boleh diraikan bersama (bhg 2)

Pemilihan Pimpinan PKR antara isu yang mendapat liputan meluas dari media perdana dan juga alternatif. Pemilihan tersebut pada awalnya menjadi kebanggaan parti itu kerana merupakan satu-satu parti politik yang memberikan hak memilih pemimpin kepada ahli akar umbi.

Bagaimanapun kebanggaan tersebut bertukar menjadi bencana kepada PKR apabila didakwa banyak penyelewengan telah berlaku bermula daripada proses pencalonan lagi.

Akibat merasa tertipu, calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim telah bertindak keluar parti dan kini menyertai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) sebelum ditukar menjadi Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dengan jawatan Presiden parti itu.

Walaupun musim pemilihan PKR telah lama berakhir, namun kemelut berhubung aduan-aduan yang diterima parti sehingga kini masih gagal diselesaikan oleh pemimpin-peminpin PKR.

Turut menerima sasaran kritikan sepanjang 2010 ialah isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berikutan penglibatan aktifnya yang dianggap membazirkan wang negara dan menganggu urusan pentadbiran kerajaan.

Bekas Menteri Besar Selangor pula, antara personaliti yang boleh dianggap sudah jatuh ditimpa tangga apabila ditahan atas dakwaan rasuah yang melibatkan kediamannya yang bernilai jutaan ringgit.

Pada 16 Disember, empat wakil rakyat pembangkang digantung enam bulan daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan gara-gara mengaitkan APCO, 1Israel dan 1Malaysia.

Mereka yang dikenakan tindakan penggantungan itu ialah, Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim(PKR), Karpal Singh (DAP), S.Sivarasa (PKR) dan Azmin Ali (PKR).

Pendedahan WikiLeaks menghangatkan lagi suhu politik hujung tahun dalam negara ini apabila beberapa komunikasi sulit pemimpin dunia terdedah untuk tatapan umum.

Antara isu yang terjebak ialah kes liwat Anwar Ibrahim, kes pembunuhan Altantuya dan yang paling mengejutkan ialah dakwaan terhadap seorang menteri yang merogol pembantu rumahnya pada tahun 2007 tetapi tiada tindakan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Badawi.

Walaupun sehingga hari ini belum ada mana-mana media menyebut dengan jelas nama menteri terbabit, umum telah mengetahui indentiti menteri berkenaan melalui klu yang banyak di paparkan di media-media alternatif.

Ketika 2010 hampir melabuhkan tirainya, PR telah sempat menembak peluru terakhirnya apabila mengumumkan rancangan 100 hari pemerintahan PR dalam buku jingga yang dilancarkannya.

Sedikit sebanyak tindakkan PR ini dianggap mampu membuatkan pemimpin BN berada di dalam keadaan yang merimaskan dan memeningkan kepala.

Pertikaian antara kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir oleh PR dengan kerajaan pusat juga masih tidak berpenghujung apabila kerajaan pusat didakwa tidak menghormati semangat federalisme.

Terbaru, kontroversi perlantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang telah mendapat bantahan Kerajaan Negeri Selangor mula berlegar-legar di penghujung 2010.

Isu sepanjang 2010 yang tentunya mendapat perhatian rakyat negara ini ialah siri kenaikan harga barangan keperluan sepanjang 2010 yang semakin meningkatkan kos sara hidup rakyat negara ini dan menyebabkan tekanan hidup yang semakin memuncak.

Akhirnya dalam tekanan keperluan hidup dan pertarungan politik yang tiada kesudahan antara BN dan PR, tiba-tiba anak-anak buah K Rajagopal telah menghadiahkan sesuatu yang wajar diraikan bersama oleh semua rakyat negara ini.

Kelmarin, skuad bola sepak negara membolehkan rakyat negara ini menutup tirai 2010 dengan perasaan bangga dan tersenyum apabila anak-anak muda ini berjaya membawa pulang kejuaraan Piala AFF Suzuki setelah menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2.

Malahan pertubuhan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyarankan dua pemimpin utama parti bertelagah BN, Najib Razak dan PR, Anwar Ibrahim bersatu untuk menyambut kepulangan wira-wira muda negara itu petang semalam.

Menurut pemimpin pertubuhan itu, Badrul Hisham Shaharin, SAMM sendiri akan menggerakkan anggotanya untuk menyertai sambutan kepulangan skuad bola sepak negara itu.

Memetik blog Anwar Ibrahim pula, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada skuad bola sepak negara itu sambil berkata kejayaan tersebut semuga membuahkan sesuatu yang lebih positif untuk tahun 2011.

Berita gembira ini turut disusuli oleh pengumumkan PM Najib Razak yang mengisytiharkan 31 Disember sebagai cuti umum sempena menyambut kegemilangan sukan bola sepak negara.

Tirai 2010 dilabuh: Akhirnya ada yang boleh diraikan bersama (bhg 1)

Ketika hari-hari terakhir 2010, WikiLeaks, Buku Jingga Pakatan Rakyat (PR) dan perlantikkan Datuk Mohd Khusrin Munawi dilihat seolah-olah sebagai isu penutup 2010 yang hangat diperdebatkan oleh BN dan PR.

Semenjak Pilihan Raya Umum ke 12, politik negara ini tidak pernah berhenti bergelora dengan serangan demi serangan antara kedua-dua belah pihak samada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR). Keadaan ini berlarutan hinggalah tatkala 2009 melabuhkan tirai dan fajar 2010 menjelang tiba.

Bagaimanapun, dalam kekalutan politik, masih ada yang wajar diraikan bersama oleh kedua-dua pihak bertelagah di penghujungnya apabila wira-wirawati sukan menghadiahkan sesuatu yang membanggakan negara.

Antaranya Datuk Lee Chong Wei dalam sukan badminton, Datuk Nicole Ann David (squash), pasukan hoki negara, terkini skuad kebangsaan bola sepak dan banyak lagi.

Ketika 2010 mula menjengah, isu penghujung 2009 kehilangan dua enjin pesawat pemintas TUDM, F-5E masih lagi panas dan mendapat tempat di media-media utama ketika itu.

Disamping itu, kedatangan tahun baru 2010 turut 'diraikan' serentak dengan pengumuman kenaikan harga runcit gula sebanyak 20 sen sekilogram kepada RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak.

Isu yang turut mendapat liputan meluas oleh media-media tahun ini ialah isu penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic dan masyarakat Kristian negara ini.

Isu hangat ini menjadi bertambah burukkan keadaan lagi apabila wujudnya pihak yang tidak bertanggungjawab membakar beberapa rumah ibadat di seluruh negara.

Isu lain menyentuh soal agama yang turut berputar ligat sepanjang tahun 2010 ialah antaranya isu peguam syariah di kalangan bukan muslim, Syiah di Malaysia dan kes mengajar agama tanpa tauliah yang dihadapi bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Selain itu baru-baru ini arahan pejabat perdana menteri supaya membuang elemen keagamaan daripada satu majlis sambutan Krismas yang dihadirinya di kediaman ketua biskop gereja Katolik Kuala Lumpur juga telah menimbulkan bantahan beberapa pihak.

Dalam isu berkaitan keagamaan, ia dihangatkan lagi apabila Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menjadi mangsa permainan politik pihak tertentu setelah menghadiri majlis berbuka puasa di sebuah surau di Kajang.

Sementara itu dalam isu membabitkan sentimen perkauman, sehingga 3 Febuari sekurang-kurangnya 12 laporan polis telah dibuat gara-gara keceluparan pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar berhubung ucapan beliau dalam seminar 1Malaysia di Melaka yang berbau perkauman.

Isu pasir di Selangor antara isu yang mendapat perhatian khususnya media arus perdana. Rentetan isu yang semakin panas ini, pada 20 Januari, SPRM di bawah Ketua Pesuruhjayanya yang baru, Datuk Abu Kassim Mohammed telah menahan sekurang-kurangnya 38 orang termasuk 24 kakitangan kerajaan dan dua pembantu politik di seluruh negara.

Perdebatan isu ketuanan Melayu Umno dan ketuanan rakyat PR juga merupakan isu yang terus menjadi 'buah pukulan' baik dari pihak BN mahupun PR di sepanjang tahun 2010 ini.

Kes liwat 2 yang dihadapi oleh Ketua Pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim turut mendapat liputan meluas dalam dan luar negara. Kes ini turut telah menarik perhatian ahli parlimen dan anggota senat negara luar.

Tuntutan royalti minyak oleh Kerajaan Negeri Kelantan juga mendapat tempat oleh pengamal media sepanjang 2010. Dalam isu tersebut, pemimpin senior Umno, Tengku Razaleigh Hamzah memilih untuk menyebelahi Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS.

Perjalanan Inkues kematian Teoh Beng Hock yang menambah burukkan lagi wibawa SPRM dan Kerajaan Malaysia juga mendapat menjadi tumpuan masyarakat pada tahun ini.

Turut mencuri perhatian, apabila fenomena lompat parti oleh ahli parlimen dan ADUN PKR masih gagal dibendung oleh pemimpin parti itu sekaligus mencemarkan imej parti itu dan secara tidak langsung memberi kredit kepada BN.

Selain Zulkifli Noordin yang dipecat oleh PKR, Ahli Parlimen dan ADUN PKR lain ialah Datuk Salehuddin Hashim, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim, Mohsin Fadzli Samsuri, Mohammad Fairus Khairuddin, Tan Tee Beng, Wee Choo Keong.

Menteri Besar yang disingkirkan pula, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Febuari yang mengesahkan penyingkiran beliau mungkin akan mengakibatkan situasi monarki mutlak di Malaysia.

Menambahkan kehangatan tahun 2010, apabila Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dilihat telah mencapai penghujung karier politiknya berjaya membuat 'come back' dengan bergaya apabila memenangi jawatan presiden MCA.

Chua telah berjaya menewaskan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting dan penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat dengan majoriti 68 undi pada pemilihan MCA pada 28 Mac lalu.

Umum melihat senario politik 2010 kembali memihak kepada BN apabila pada 25 April, calon Barisan Nasional P Kamalanathan berjaya menewaskan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim pada pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan majoriti 1,725 undi.

BN yang mula tampak selesa setelah memenangi PRK Hulu Selangor, menerima tamparan apabila kerusi Parlimen Sibu berjaya dirampas oleh calon DAP, Wong Ho Leng yang menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew dan calon bebas Narawi Haron dalam PRK parlimen itu pada 16 Mei lalu.

Bagaimanapun BN menemui semula sentuhan untuk menyekat kemaraan PR apabila memenangi dua kerusi dalam dua PRK yang diadakan serentak 4 Oktober lalu di DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi.

Di Galas, calon BN Abdul Aziz Yusoff mengalahkan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad dengan majoriti 1,190 manakala Datin Linda Tsen bagi kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah mengalahkan Presiden Parti Maju Sabah Datuk Yong Teck Lee dan calon PKR Ansari Abdullah dengan majoriti 6,359 undi.

Sepertimana kelaziman dalam pilihan raya yang di adakan dalam negara ini, kotroversi yang melibatkan dakwaan rasuah politik, ketelusan dan undi pos masih bermain-main dalam setiap PRK yang dijalankan ini.

Rabu, 29 Disember 2010

Sekolah bermula, ibu bapa pening kepala

PETALING JAYA: Perbelanjaan persekolahan untuk tahun 2011 yang dikatakan terdapat peningkatan berbanding tahun sebelumnya dan sekaligus keadaan ini menggusarkan para ibu bapa khususnya bagi berpendapatan rendah sederhana.

Rata-rata ibu bapa di dua buah sekolah rendah dan menengah di Damansara Damai yang ditemui di perkarangan sekolah ketika membeli buku sekolah mengeluh apabila ditanya tentang perbelanjaan untuk memulakan persekolahan penggal 2011 berikutan peningkatan perbelanjaan persekolahan berbanding tahun sudah.

Menurut seorang bapa yang hanya mahu dikenali sebagai Salam, 38 tahun, berkata perbelanjaan buku sekolah untuk dua anak beliau yang bersekolah rendah dan seorang yang bersekolah menengah dianggarkan kira-kira RM700.

"Belanja untuk buku sekolah sahaja lebih kurang RM600 hingga RM700 tidak termasuk pakaian sekolah dan peralatan lain. Mungkin saya terpaksa membeli dua kali sebab gaji saya kecil tak boleh nak beli semua sekaligus," kata beliau.

Beliau turut menunjukan senarai buku-buku untuk murid darjah lima dan memberitahu terdapat pertambahan jumlah buku yang perlu dibeli yang terdapat di ruang senarai buku wajib dibeli yang dikeluarkan oleh pihak sekolah itu.

"Contohnya dalam senarai buku untuk murid darjah lima ini, tahun 2010 anak saya yang di darjah lima, jumlah keseluruhannya lebih kurang RM150 tetapi untuk tahun 2011 adiknya pula yang masuk darjah lima dah dekat-dekat RM170.

Buku diwajibkan beli tidak digunakan sekolah

"Itu semua jumlah buku yang diwajibkan beli. Tetapi bila saya periksa buku-buku anak saya sewaktu penggal persekolahan berjalan tidak pula semua buku digunakan oleh guru yang mengajar.

"Sepatutnya buku-buku yang tidak digunakan oleh pihak sekolah diletakkan di bahagian 'buku pilihan' supaya ibu bapa boleh menggunakan budi bicara mereka sendiri untuk beri latihan di rumah atau mengikut kemampuan mereka," katanya yang mengaku memperolehi pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.

Mansuh yuran RM5 tidak beri apa-apa makna

Sementara itu seorang lagi penjaga, Siti Mariam Ithnin, 40 tahun yang ditemui ketika turut membeli buku persekolahan anaknya di kedai buku sekolah pula memberitahu, pemotongan yuran sekolah yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran tahun lalu tidak memberi banyak kesan kepada perbelanjaan persekolahan anak-anaknya.

"Walaupun Kementerian Pelajaran ada memberikan pemotongan yuran sekolah tapi jumlah potongan itu sangat kecil, kalau tak silap RM5.00 sahaja dan tak beri apa-apa kesan pun.

Sekolah kenakan yuran penyelenggaraan tandas

"Pada masa yang sama pula pihak sekolah mengenakan bermacam-macam yuran lain hinggakan yuran penyelenggaraan tandas pun ada. Mungkin kalau ibu bapa yang berpendapatan tinggi tak terasa tapi bagaimana orang-orang seperti kami?," katanya lagi yang mempunyai anak bersekolah di darjah 3,6 dan tingkatan 3.

Sementara itu, Nik Alimat, 34 tahun, pula mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang enggan menerima buku-buku latihan yang dibeli di luar sekolah hanya disebabkan perbezaan pada kulit buku yang tidak mempunyai logo Jabatan Pelajaran negeri.

Harga barang naik, belanja sekolah pun naik

"Sudahlah harga petrol dan barang-barang lain naik, belanja persekolahan juga bertambah. Apa yang saya hairan ialah adanya buku-buku latihan tidak dibenarkan dibeli di luar yang harganya lebih murah cuma disebabkan sedikit perbezaan tertentu seperti logo kementerian di kulit buku.

"Ada kena-mengenakah atau sebarang kepentingankah pihak pejabat pelajaran dengan pihak pengeluar buku-buku ini sehingga mewajibkan buku-buku syarikat tertentu ini sahaja dibeli?

"Padahal orang seperti saya yang cuma kerja kilang dengan gaji rendah tentulah nak berjimat dengan membeli yang buku yang lebih murahnya tapi isinya masih sama. Lagipun buku-buku latihan memang banyak dijual di luar dengan harga lebih murah," ujar beliau.

Isnin, 27 Disember 2010

Pantun Pilihan Raya

WikiLeaks jelir amat mengusik,
Si BukuQalbu, Si BukuWajah;
diri yang murba damai di tasik
mula terimbas pilihan raya.

Dalam gelita digoogle fakta,
media perdana condong diri;
apa erti SMS nan kaya
jika wang ihsan bukan royalti.

Anak merpati si anak merbuk,
mesra berkicau twitter indah;
pilihan raya jika menjenguk,
kempennya biar kerdip permata.

Nerda jantan netbook di samping,
kerlipan carta tangga berwarna;
di dalam situs setulus kempen,
usah tetiba disimbah harta.

Zuckerberg si biliona muda
bakal ramaikah antara kita?

A. Samad Said
7 Disember 2010

Ahad, 26 Disember 2010

Juarai hati anak muda: Pengaruh SAMM mampu tenggelamkan AMK

Oleh Nazli Ibrahim aka Beduk Canang

Soldariti Anak Muda Malaysia (SAMM), baru-baru ini berjaya menganjurkan Konvoi Perdana Anak Muda Malaysia Rembau ke Permatang Pauh yang disifatkan konvoi yang membabitkan kumpulan anak muda yang terbesar pernah diadakan di Pulau Pinang khususnya di Permatang Pauh.

Konvoi ini yang bermula pada malam Khamis lalu ini turut melibatkan pelbagai program-program selama tiga hari iaitu program kemasyarakatan, sukan, forum, keusahawanan, kesenian, pertunjukkan permotoran dan lain-lain.

Kejayaan SAMM yang pengasasnya Chegu Bard menganjurkan program tersebut boleh dianggap sebagai titik permulaan bagi pertubuhan tersebut merintis program-program lain yang lebih besar dan berkesan bagi memenangi hati anak-anak muda negara ini.

Selain itu program ini yang juga disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai signifikan cabaran kepada AMK agar lebih proaktif mengadakan program yang mampu memenangi hati golongan muda ini turut mendapat pujian daripada Ketua Umum PKR, Dato Sri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Melalui program-programnya, SAMM walaupun dengan sumber kewangan yang terhad ini juga seolah-olah sedikit demi sedikit akan mengambil alih dan mengisi kekosongan yang sepatutnya diisi oleh AMK yang dipimpin oleh Shamsul Iskandar Md Akin.

Bagi Chegu Bard yang kini tidak mempunyai sebarang jawatan di peringkat pusat PKR, kini mempunyai jadual lebih padat berbanding sebelumnya apabila kerap diundang untuk memberikan ceramah dan menghadiri program lain yang dianjurkan oleh cabang-cabang parti itu sendiri mahupun oleh parti-parti lain dalam PR.

Kepadatan jadualnya terjadi apabila didorong oleh minat yang semakin bertambah daripada pihak penganjur program untuk mengundang beliau baik program yang dianjurkan oleh cabang PKR sendiri mahupun parti lain dalam PR.

Secara umumnya pada masa ini, ketika menghadiri jemputan mana-mana program, imej Chegu Bard lebih dilihat sebagai personaliti yang mewakili anak-anak muda akar umbi dalam AMK dan tentunya SAMM sendiri berbanding Shamsul yang berada dalam 'kelasnya tersendiri'.

Shamsul yang kejayaannya mempertahankan jawatan ketua AMK dengan tidak mendapat pengiktirafan dari sesetengah pihak dalam AMK sendiri seharusnya memandang 'kepantasan' SAMM ini sebagai satu cabaran untuk beliau lebih proaktif memenangi hati masyarakat muda di peringkat akar umbi.

Menjadikan ayat 'pemilihan baru sahaja selesai' sebagai alasan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi dengan reputasi yang tercalar dengan aduan-aduan yang masih tiada jawapan ketika sepanjang pemilihan berlangsung.

Apatah lagi, AMK Pusat yang mampu memperolehi sumber kewangan yang lebih besar seharusnya lebih pantas berbanding SAMM untuk mengatur program anak-anak muda sekaligus mampu mengikis label kura-kura yang dibawa beliau sewaktu pemilhan berlangsung sebelum ini.

Malangnya Ketua AMK itu lebih menampilkan lagak seorang Naib Presiden, jawatan yang mahu ditandingi pada awalnya sebelum membuat pusingan 'U' berbanding lenggok yang sepatutnya ada pada anak-anak muda.

Lebih-lebih lagi apabila Shamsul dilihat lebih gemar mendampingi dan 'mengekori' samada Anwar Ibrahim mahupun Azmin Ali di lokasi-lokasi ceramah sehinggakan dilabelkan sebagai 'escort' kepada kedua-dua pemimpin tertinggi PKR itu.

Malahan kehadiran Shamsul di tapak-tapak ceramah yang membariskan pemidato hebat seperti Anwar Ibrahim akhirnya menenggelamkan beliau sendiri apabila rata-rata audien hanya memfokuskan kepada penceramah utama yang jauh lebih hebat pidato mereka.

Keadaan ini boleh disamakan dengan pasukan bola sepak Malaysia yang tentunya tidaklah nampak begitu teruk apabila menentang pasukan negara-negara Asia Tenggara lain berbanding akan dilihat sangat kerdil apabila berhadapan pasukan seperti Brazil atau Sepanyol.

Sebagai Ketua AMK, seharusnya beliau sedar bahawa kejayaan untuk menarik minat anak-anak muda ke arah kesedaran politik dan hak mereka sebagai rakyat tidaklah memadai dengan sekadar pendekatan berceramah semata-mata.

Kelompok anak-anak muda ini seharusnya diberikan tumpuan khusus dengan mendekati mereka melalui program yang mampu menarik minat mereka sekaligus mewujudkan perasaan tidak terasing kelompok ini dengan barisan pemimpin mereka.

Rabu, 22 Disember 2010

Apa kata Kolumnis Rahman Shaari tentang Chegu Bard?

Oleh Nazli Ibrahim aka Beduk Canang

Saya tertarik apabila membaca ruangan Bicara Selasa di akhbar Sinar Harian oleh kolumnis Rahman Shaari pada 14 Disember lalu.

Tulis beliau dalam ruang itu, gelaran cikgu yang ada pada guru yang melibatkan diri dalam politik hari ini tidak lagi menjadi kebanggaan guru-guru ini.

Kebanyakkan guru yang berpolitik ini lebih menunjukkan minat untuk menggunakan gelaran yang datang dari istana.

Keadaannya amat berbeza ketika zaman sebelum merdeka hinggalah ke era 80an dimana guru-guru ketika itu amat berbangga dengan gelaran cikgu yang disandangnya.

Walaupun ada antara guru tersebut yang turut mendapat gelaran lain dari istana tetapi gelaran guru tetap menjadi kebanggaan lantaran status seorang pendidik anak bangsa dan juga pejuang menuntut kemerdekaan.

Tulis beliau lagi, kalaulah ada guru berpolitik hari ini yang dipanggil dan beliau juga merasa selesa dan bangga dengan gelaran cikgu yang ada padanya ianya ialah bekas calon Ketua AMK, Chegu Bard.

Alasan untuk beliau percaya begitu kerana Chegu Bard tentunya tidak akan terkenal dengan gelaran Chegu Bard sekiranya beliau sendiri tidak menggemari gelaran itu.

Beliau turut menulis, seseorang yang sedar akan pentingnya peranan guru dalam kehidupan, akan berasa bangga apabila memikirkan Chegu Bard yang rupa-rupanya ada lagi manusia Melayu yang masih senang hati dengan gelaran 'cikgu'.

Rahman Shaari turut memberikan beberapa contoh personaliti terkenal dikalangan orang-orang terdahulu yang mengekalkan gelaran cikgu walaupun telah menerima gelaran lain.

Antaranya ialah Cikgu Ali Ahmad (MB Perlis) yang menerima gelaran Dato, Cikgu Ishak Arshad (Dato), Cikgu Shahnon Ahmad (Profesor) dan Noordin Hassan dan tidak ketinggalan Allahyarham Ghafar Baba yang entah bagaimana tiba-tiba lebih dikenali dengan gelaran Encik Ghafar Baba.

Biarpun mereka ini tidak lagi bertugas sebagai guru dan menjawat jawatan tinggi dengan gelaran Dato, namun mereka tetap kekal dengan panggilan cikgu dikalangan masyarakat setempat dan mereka amat selesa dengan keadaan itu.

Komennya lagi tentang anak muda yang bernama Chegu Bard ini, beliau melihat Chegu Bard seorang pemimpin muda yang progresif dan tidak mudah mundur dalam mempertahankan pendiriannya.

Rahman turut menyebut jika Chegu Bard dijaga dengan baik oleh pucuk pimpinan parti pasti beliau dapat memberikan jasa terbaik kepada partinya dan rakyat negara ini.

Beliau turut mengulang apa yang disebut oleh Chegu Bard, PKR haruslah membuktikan ketelusannya seperti mana yang dipertikaikan oleh parti itu terhadap ketelusan SPR.

Di akhir tulisannya, beliau titipkan, "Chegu Bard akan terus berkeras, kerana itu ialah sifat pejuang. Kita yakin, dia akan menjadi aset kepada rakyat."

Begitulah antara ringkasan pandangan Rahman Shaari terhadap Chegu Bard dalam artikelnya itu, bukan pandangan saya.

Cikgu Rahman Shaari (Profesor Madya) adalah seorang sasterawan yang juga seorang bekas guru di awal kerjaya beliau. Pernah berkhidmat di IPTA tempatan dan telah melahirkan banyak novel, cerpen, kajian dan lain-lain.

Kini beliau berkhidmat di Fakulti Seni dan Sains Sosial, Universiti Malaya sebagai Senior Research Fellow.

Ahad, 19 Disember 2010

Al-kisah suatu masa dahulu, di Negeri Nisan Sebatang...

Pada suatu masa dahulu di sebuah negeri yang tidaklah seberapa besarnya yang diperintah oleh Raja Kapor. Di dalam negeri tersebut yang dinamakan Negeri Nisan Sebatang itu pula terdapat tujuh buah mukim yang menjadikan tanaman padi sebagai makanan dan pendapatan utama penduduk dan juga sebagai hasil utama negeri itu.

Oleh yang demikian di kesemua tujuh mukim dalam Negeri Nisan Sebatang ini terdapat sawah-sawah padi yang terbentang luas di merata ceruk. Maka, rata-rata rakyat negeri ini bergantung hasil dari sawah padi.

Malahan oleh kerana hasil padi yang teramat banyak, sehinggakan negeri ini memperolehi hasil yang lumayan daripada penjualan padi ke negeri-negeri lain.

Hendak dijadikan cerita, entah apa petaka menimpa negeri ini, kali ini kesemua bendang-bendang padi yang ada di negeri ini diserang oleh serangga yang tidak diketahuan akan jenis spesisnya.

Bermacam ikhtiar dilakukan oleh rakyat jelata untuk menghalau serangga yang memakan anak-anak padi tetapi semuanya gagal. Hanya sedikit sahaja padi yang sempat membesar, yang lainnya semuanya habis dikerjakan oleh serangga-serangga bermata satu itu.

Pada suatu hari seperti biasa pada setiap dua purnama penghulu-penghulu di tujuh mukim yang terdapat dalam negeri itu akan bermesyuarat dengan Raja serta pembesar-pembesar negeri yang lain bagi melaporkan keadaan kawasan masing-masing.

Maka dalam mesyuarat itu, Penghulu Kudin dari Mukim Nisan Dua Batang pun mempersembahkan laporannya mendahului penghulu-penghulu lain. Penghulu Kudin pun persembahkan masalah serangga mata satu yang menyerang bendang-bendang sawah di Mukim Nisan Dua Batang.

Setelah mendengar laporan dari Penghulu Kudin, Raja Kapor amat dukacita dengan apa yang sedang berlaku di Mukim Nisan Dua Batang kerana ia akan mengurangkan hasil Negeri Nisan Sebatang.

Pada hemat Raja kapor, masalah yang berlarutan di Mukim Nisan Dua Batang berpunca daripada kelemahan Penghulu Kudin yang tidak bertindak lebih awal untuk menghalau serangga-serangga tersebut dari menyerang sawah-sawah padi.

Maka, dalam mesyuarat itu, Penghulu Kudin bukan sahaja dimurkai oleh Raja Kapor malahan atas nasihat pembesar-pembesar negeri yang lain, elaunnya dipotong dan diturunkan 'grednya'.

Akhirnya Raja Kapor telah mengarahkan Datuk Bendahara segera memanggil Ahli Saintis Negara, Tok Komat untuk mencari ikhtiar untuk menolong Penghulu Kudin bagi menghapuskan serangga itu di Mukim Nisan Dua Batang.

Apabila melihatkan kemurkaan Raja terhadap Penghulu Kudin dan tidak mahu elaun mereka di potong, maka penghulu-penghulu lain yang ada di situ telah berbohong kepada Raja Kapor dengan memberikan laporan yang enak-enak untuk didengar oleh Raja Kapor.

Raja Kapor yang sedih tadi pun kembali ceria apabila mendengar perkhabaran yang akan keadaan sawah padi dan rakyatnya di mukim-mukim lain yang semuanya baik-baik belaka tidak seperti mana di Mukim Nisan Dua Batang.

Oleh itu, keenam-enam penghulu-penghulu tadi telah menerima sepersalinan yang indah-indah setiap seorang, dinaikkan pangkat, dijamu dengan hidangan yang lazat-lazat dan diberikan pula elaun tambahan oleh Raja kapor.

Setelah dimurkai oleh Raja Kapor, Penghulu Kudin pula dengan rasa sedih terus pulang ke mukimnya malam itu juga dengan perut yang kelaparan dan perasaan yang hampa.

Setelah dua purnama berlalu, dengan bantuan Tok Komat yang menemui jalan untuk mengatasi masalah itu akhirnya serangga-serangga mata satu tersebut telah berjaya dihapuskan.

Adapun, kerana bimbang formulanya 'dipaternkan' oleh orang lain maka tidaklah mahu diceritakan oleh Tok Komat akan rahsia ramuan untuk membuat air yang disiramkan setiap malam di bendang-bendang padi hingga akhirnya kesemua serangga bermata satu itu tidak lagi berselera mengerjakan tanaman-tanaman padi dan akhirnya mati kelaparan.

Tidak lama selepas itu, penduduk-penduduk Mukim Nisan Dua Batang amat bersyukur akhirnya padi-padi mereka telah menguning dan akan mengeluarkan hasil yang banyak sama seperti sebelumnya. Mereka amat berterima kasih kepada Penghulu Kudin dan Tok Komat kerana telah berjaya menghalau dan membunuh serangga bermata satu itu.

Pada masa yang sama, di enam buah mukim yang lain, hampir kesemua tanaman-tanaman padi yang diusahakan oleh orang kampung tidak menjadi kerana dirosakkan oleh serangga bermata satu.

Penduduk di enam buah mukim tersebut amat marah dengan penghulu-penghulu mereka yang asyik bersenang-lenang menikmati elaun yang tinggi dan tidak berusaha untuk mencari ikhtiar bagi menyelesaikan masalah serangan serangga bermata satu terhadap bendang padi mereka.

Oleh kerana pada tahun itu padi yang mereka usahakan itu tidak menjadi, maka penduduk mukim-mukim tersebut terpaksa mencatukan makanan mereka bagi mengelakkan kehabisan bekalan beras.

Penduduk mukim itu akhirnya menjadi mangsa terhadap pemimpin-pemimpin mereka yang sibuk menjaga kedudukan mereka dan sikap raja mereka yang enggan menerima hakikat keadaan sebenar sebaliknya hanya mahu mendengar berita yang enak-enak sahaja.

Selain itu, sikap Raja Kapor yang gemar percaya mentah-mentah nasihat penghulu dan pembesar-pembesar diselilingnya yang gemar membodek juga telah mengakibatkan bencana yang besar kepada mukim-mukin di negerinya kecuali Mukim Nisan Dua Batang.

Khamis, 16 Disember 2010

Matlamat perjuangan: Demi keadilan atau untuk berkuasa semata-mata?

Mana satu matlamat perjuangan PKR sebenarnya? Adakah untuk menumbangkan kezaliman sekaligus menegakkan keadilan atau hanya kerana ingin berkuasa semata-mata?

Ekoran kenyataan sokongan reformis terhadap tindakan Chegu Bard yang menuntut agar JPP membuat siasatan telus dan memberikan jawapan terhadap aduan-aduan sepanjang pemilihan parti telah mencetuskan pelbagai pandangan pro dan kontra di blog ini.

Apa pun di atas prinsip kebebasan memberikan pandangan, ia merupakan satu perbahasan yang bagus dan amat tidak wajar bagi mana-mana pihak yang beremosi ketika membahaskan isu ini.

Dalam isu yang dilihat semakin berlarutan ini dan pada masa yang sama pilihan raya DUN Sarawak dan PRU 13 yang semakin hampir, persoalan asas mengapa Umno dan BN harus dinyahkan dari tampuk kuasa patut ditanyakan kepada diri sendiri.

Adakah penolakan terhadap UBN adalah semata-mata disebabkan perasaan benci dan meluat yang meruap-ruap terhadap parti itu semata-mata? Adakah semata-mata bagi memenuhi tuntutan nafsu yang mahu merasai nikmat memegang kuasa? Adakah disebabkan UBN harus ditolak kerana kegagalan parti itu memberikan keadilan kepada rakyatnya?

Penulis percaya tentunya ramai di antara kita yang memilih sebab ketiga iaitu faktor kegagalan UBN menegakkan keadilan untuk semua rakyatnya sebagai penyebab utama yang mendorong kepada kesungguhan untuk menolak UBN dalam PRU kelak.
Bagaimanapun, benarkah kita menolak UBN disebabkan keinginan melihat keadilan dapat ditegakkan untuk semua lapisan masyarakat negara ini? Benarkah prinsip untuk menegakkan keadilan itu adalah paksi utama dalam perjuangan kita?

Jika prinsip menegakkan keadilan merupakan paksi utama perjuangan, maka seharusnya keadilan wajar ditegakkan tanpa mengira siapa mangsa dan siapa pemangsanya.

Keadilan hakiki tidak tertegak seandainya perjuangan hanya digerakkan tatkala pemangsanya adalah UBN sahaja, manakala apabila keadilan dituntut di kalangan sesama sendiri ia hanya dilihat sepi dengan alasan menjejaskan persiapan untuk Putra Jaya.

Sekiranya kita hanya mentertawakan sambil berkata 'padan muka' kepada seorang penyokong UBN yang dizalimi oleh parti yang disokongnya itu sendiri tanpa berbuat apa-apa, maka jelas perjuangan kita hanyalah keinginan untuk berkuasa semata-mata. Apatah jika ia berlaku dikalangan kita sendiri.

Jika menegakkan keadilan merupakan misi utama dalam penglibatan seseorang dalam politik, maka seharusnya keadilan harus ditegakkan tanpa mengira masa dan siapa mangsa dan pemangsanya.

Sedangkan asas utama untuk ke Putra Jaya itu sendiri kononnya untuk menumbangkan kezaliman dan memberikan keadilan kepada semua pihak atau rakyat negara ini. Prinsip keadilan juga tidak boleh dilihat secara berpilih-pilih.

Kelompok yang mahukan agar isu penyelewengan dalam pemilihan PKR disenyapkan bagi memberi laluan kepada persiapan menghadapi pilihan raya bolehlah ditafsirkan sebagai kelompok yang meletakkan keutamaan untuk menumbangkan UBN sebagai keutamaan mereka.

Bagaimanapun, amat malang apabila kelompok ini sanggup membelakangkan keadilan yang dituntut oleh kelompok lain apabila melihat tuntutan ini boleh menjejaskan peluang ke Putra Jaya.

Dalam erti kata lain, ianya adalah sama dengan konsep yang diaplikasikan oleh UBN sendiri untuk mempertahankan tampuk kekuasaan mereka iaitu dengan 'matlamat menghalalkan cara'.

Maka perjuangan seperti ini boleh disimpulkan sebagai perjuangan yang berasaskan untuk menolak UBN dari terus berkuasa semata-mata dan prinsip menegakkan keadilan adalah perkara sampingan yang dijadikan penyedap telinga massa bagi meraih sokongan.

Lantaran itu, sekiranya kelompok ini berjaya menakluki Putra Jaya kelak, lambat laun ia semakin menyerlahkan wajah sebenar yang kelihatan semakin lama makin menyerupai wajah UBN ketika berkuasa sebelumnya. Ini adalah akibat daripada perjuangan yang didasari keinginan untuk berkuasa semata-mata.

Ianya sama keadaannya kita menukarkan Perdana Menteri dari Mahathir kepada Abdullah Badawi dan Abdullah kepada Najib. Perdana Menteri bertukar, tetapi dari sudut keadilan untuk rakyatnya, ia tidak memberikan apa-apa makna.

Sama juga keadaannya dalam isu penyelewengan dalam PKR ini. Keadilan harus ditegakkan atau sekurang-kurangnya memberi peluang kepada pihak-pihak yang merasakan tidak memperolehi keadilan perjuangkan apa yang mereka percayai.

Kesan kemelut dalaman PKR terhadap prestasi dalam PRU

Sejauh mana kesannya terhadap prestasi PKR dalam PRU-13 nanti, ia bergantung kepada kecekapan JPP mentangani isu ini. Makin cepat JPP menyelesaikan aduan-aduan di atas meja, makin minimalah kesan terhadap prestasi PKR dalam PRU nanti dan begitu juga sebaliknya.

Walau apa pun, kesan penyelewengan dalam PKR sedikit sebanyak tetap akan memberi kesan. Cuma beban kini tergalas kepada bagaimana JPP dan kepimpinan parti menyelesaikan masalah ini sekaligus meminimakan kesannya.

Jika PKR menghadapi PRU dalam keadaan kemelut dalaman yang masih tidak diselesaikan lagi, bakal memberikan kesan terburuk sekali terhadap prestasi parti itu sendiri.

Tindakkan cuba menutup mulut para pengkritik atau mengarahkan Chegu Bard jangan buat yang 'bukan-bukan' adalah satu tindakkan yang tidak kemana-mana dan jauh sekali menyelesaikan masalah.

Melabelkan kelompok ahli parti yang berani mengkritik parti sendiri sebagai pengkhianat parti adalah sama keadaannya dengan pemimpin UBN melabelkan pengkhianat negara kepada pemimpin-pemimpin PR yang mengkritik pemerintahan UBN. Adakah kualiti pemimpin PKR adalah sama dengan UBN.

Ketika penulis menemubual Profesor Mohd Agus Yusoff ketika Pemilihan PKR telah berada di penghujungnya, beliau berkata, antara sebab utama kemelut yang berlaku dalam PKR disebabkan ketidakcekapan pemimpin parti itu dan JPP menguruskan masalah dalaman parti dalam mentangani aduan-aduan ketika pemilihan.

Katanya, pemimpin PKR dan JPP telah mengambil masa yang terlalu lama atau tidak kelihatan sebarang tindak balas hingga memberi persepsi aduan-aduan tersebut hanya disapu di bawah karpet menyebabkan dari luka kecil menjadi parah.

Malah, beliau juga percaya jika JPP mengambil langkah tegas semenjak mula pemilhan berlangsung bermula dengan aduan pertama yang diterimanya, kemungkinan besar belum tentu Zaid Ibrahim meninggalkan PKR.

Jadi, satu-satunya jalan yang ada buat PKR pada masa ini hanyalah segera menyelesaikan aduan-aduan yang diterima dengan telus dan adil serta mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang terlibat dengan isu penyelewengan dalam pemilihan.

Kalau kita mengandaikan Zaid Ibrahim sebagai trojan horse walaupun ia hanya persepsi, sekurang-kurangnya kini beliau sudah menjadi orang luar parti. Apa yang patut PKR bimbangkan sekarang apabila trojan horse yang hanya berjuang untuk kuasa berbanding keadilan, mengaplikasikan kaedah matlamat menghalalkan cara yang seacuan dengan Umno dan masih berada di dalam PKR.

Selasa, 7 Disember 2010

Ada apa di sebalik nama Kavita Kaur?

Apakah sangkut paut pelakon Kavita Kaur dengan dunia politik tanah air mahupun kepada golongan istana di negara ini?

Persoalan ini tentunya kerap bermain-main di minda para pembaca blog terkenal, Tukar Tiub (TT) apabila pengendali blog tersebut dilihat kerap menimbulkan nama pelakon jelita yang juga bekas ratu cantik itu tatkala melaporkan sesuatu isu politik yang melibatkan golongan diraja atau kerabat-kerabatnya.

Blog yang terkenal dengan penyampaian berita dengan gaya bersahaja ini juga kerap menyampaikan berita-berita denga cara tersirat yang memerlukan pembacanya menganalisa atau mencari kebenaran terhadap apa yang cuba disampaikan.

Menurut seorang pengikut setia blog tersebut yang enggan disebutkan namanya, beliau percaya ada sesuatu yang mahu disampaikan oleh TT apabila sering menimbulkan nama Kavita Kaur disamping entri yang membabitkan seseorang raja.

Bagaimanapun sehingga kini, beliau masih belum mendapat jawapan yang jelas berhubung perkara ini kecuali beberapa andaian rakan-rakan lain yang tidak dapat dipastikan kebenarannya.

"Saya masih kabur apa yang cuba disampaikan tetapi saya yakin memang ada sesuatu yang mengejutkan. Lebih-lebih lagi TT tidak akan memasukan nama Kavita Kaur tanpa bersebab.

"Mungkin sengaja ia disampaikan dalam bentuk tersirat begini bertujuan mengelak daripada serangan pihak-pihak tertentu atau pun berhadapan kekangan tertentu yang mungkin berkaitan kebebasan bermaklumat.

"Oleh itu, jika perkara ini menyentuh soal keadilan, kenteraman mahupun moral pemimpin, sebagai rakyat sebuah negara yang cintakan kebenaran, maka menjadi tanggungjawab kita untuk mencari jawapannya kerana kita tentunya tidak mahukan pemimpin yang hipokrit," katanya.

Sebelum ini blog ini beberapa kali berjaya memecah berita baik secara langsung atau tidak langsung berhubung salah laku beberapa pemimpin-pemimpin dalam negara ini.

Paparan Halaman