Samada kita sedar atau tidak, gegala rasuah telah menjadi satu budaya yang membentuk satu sistem yang semakin dapat diterima dan telah berfungsi dalam masyarakat negara kita hari ini.
Walaupun kita mungkin menunjukkan sikap penentangan terhadap gejala rasuah pihak lain, tetapi seringkali kita mengambil sikap berbeza apabila menghadapi situasi sama yang melibatkan kepentingan sendiri atau pihak yang mempunyai kaitan dengan kita.
Banyak terdapat tanda rasuah di negara ini telah mula diterima dalam masyarakat sebagai satu sistem dan tanda-tanda ini dapat dilihat di mana-mana sahaja tidak mengira samada di kalangan masyarakat bandar atau pun luar bandar dan tidak mengenal taraf kehidupan.
Sebagai pengguna jalan raya, tentu anda pernah terserempak dengan adegan seorang pesalah trafik sedang ditahan oleh anggota keselamatan di tepi sebatang jalan raya.
Secara spontan apakah perkara yang mula-mula sekali yang mungkin terlintas dalam fikiran anda ketika itu?
Mungkin ramai yang dengan secara spontan akan berkata di dalam hati, “padan muka kau, inilah akibatnya memandu tak ikut peraturan, kan dah kena saman.”
Namun ramai juga di antara kita yang dengan spontan akan terdetik di hatinya, “ini tak lain nak ‘pau’ duit kopilah ni!” iaitu merujuk kepada perbuatan meminta suapan sebagai balasan tidak mengenakan saman.
Walaupun ianya hanyalah merupakan satu tanggapan anda, tetapi ianya semakin diyakini serta dipercayai di kalangan masyarakat kita dan persoalannya pula mengapa persepsi ini boleh wujud.
Sebagai anggota masyarakat yang mengaku ‘anti rasuah’ tentulah anda membenci perlakuan anggota keselamatan dan pesalah trafik tadi yang sama-sama menjalankan urusan rasuah tadi.
Tetapi apakah reaksi anda pula apabila terpaksa berhadapan situasi sama, adakah anda bersedia menolak ‘tawaran lebih menarik’ yang mungkin serendah RM30 bergantung kepada kepandaian tawar menawar anda berbanding kompaun minima RM300.
Saya percaya ramai di antara kita bersedia menimbangkan tawaran menarik yang diberikan itu, lebih-lebih lagi apabila memikirkan tekanan kos sara hidup yang semakin melambung pada hari ini.
Ketika itu anda mungkin akan melupakan seketika prinsip penentangan anda terhadap gejala rasuah yang sudah pun membentuk satu sistem yang diterima di negara ini sekaligus menjerumuskan diri anda dalam sistem yang anda sendiri tentang itu.
‘Kabel’ dalam jabatan kerajaan
Mungkin anda sendiri pernah diberitahu oleh seorang rakan dengan nada bangga beliau mempunyai seorang kenalan yang mempunyai kedudukan di dalam sesebuah jabatan bagi membolehkan anaknya mengisi jawatan kosong di jabatan tersebut.
Walaupun situasi ini mungkin tidak melibatkan pemberian apa-apa hadiah atau wang namun ia tetap merupakan salah satu perbuatan rasuah yang melibatkan penyalahgunaan kuasa.
Apatah lagi jika melibatkan penggunaan kuasa oleh orang dalam yang dianggap ‘kabel kuat’ bagi membolehkan kenalannya memperolehi sesuatu projek di jabatan tadi.
Ketika saya tamat pelajaran di awal 90an dahulu dan berkira-kira untuk mencari pekerjaan di daerah kelahiran saya yang agak kecil, saya pernah diberitahu oleh bapa saudara saya bahawa jangan berharap untuk dapat kerja di pejabat-pejabat kerajaan di daerah itu kalau tidak ada mengenali orang dalam.
Walaupun persepsi beliau ini tidak dapat dipastikan kesahihannya, persepsi yang seperti ini tentulah tidak datang dengan tiba-tiba melainkan datangnya dari pengalaman beliau dan cerita-cerita pengalaman pihak lain yang pernah didengarinya sebelum itu.
Semakin hari penggunaan orang dalam atau yang juga digelarkan sebagai ‘kabel’ ini telah menjadi lumrah dan boleh diceritakan secara terbuka tanpa wujud rasa malu-malu apatah lagi bersalah.
Semakin besar ‘kabel’ semakin cerahlah harapan seseorang itu untuk memperolehi sesuatu projek atau mendapatkan tempat untuk anak kesayangan bekerja di sesebuah jabatan itu.
Demikian juga kita kerap mendengar ‘bayaran tambahan’ yang dikenakan untuk mempercepatkan sesuatu proses atau ‘potong queue’ seperti untuk mendaftarkan kenderaan baru misalannya.
Kerana tidak sabar untuk memandu kenderaan baru, ramai yang tidak keberatan untuk menghulurkan sedikit saguhati melalui jurujual kenderaan untuk pegawai bertanggungjawab memproses pendaftaran kenderaan baru.
Keengganan bakal pembeli untuk bekerjasama kadangkala hanya menyebabkan pembeli tertekan dan diakali dengan terpaksa menanti kenderaan baru dalam satu tempoh panjang yang luar biasa.
Ada sesetengah pihak berpendapat, rasuah yang berlaku di kalangan golongan berpendapatan rendah disebabkan keadaan yang memaksa demi untuk kelangsungan hidup, sebaliknya bagi golongan bertaraf tinggi yang telibat dengan rasuah pula untuk meneruskan kehidupan mewah mereka.
Walaupun mungkin kenyataan tersebut boleh dianggap sebagai satu kenyataan yang cuba menghalalkan perbuatan rasuah dalam masyarakat, tetapi setelah direnung-renungkan memang ada kebenarannya di mana golongan bawahanlah yang akhirnya semakin tertekan dan tertindas.
Ini belum lagi diambil kira rasuah-rasuah di kalangan mereka yang berjawatan tinggi hingga ke taraf pemimpin negara yang melibatkan jumlah wang yang bukan sedikit dan mampu menjejaskan kepentingan negara.
Permainan berskala besar di kalangan penjawat jawatan tinggi bukan sahaja melibatkan rasuah secara sembunyi malahan turut melibatkan rasuah secara terangan-terangan lagi ‘halal’ yang melibatkan pembayaran berpuluh-puluh atau ratusan juta ringgit kononnya atas nama ‘komisyen’.
Rasuah berprofail tinggi
Satu lagi tanda kita mula menerima budaya rasuah sebagai satu sistem kehidupan apabila mula wujud pendapat bahawa bukan sesuatu yang pelik apabila seseorang pemimpin yang mengambil keuntungan sejuta, dua dari puluhan atau ratusan juta ringgit projek prasarana yang diusahakan untuk kemudahan rakyat jelata.
Bagi mereka ini, apalah salahnya mengambil ‘sedikit’ keuntungan berbanding penat lelah setelah pemimpin terbabit bekerja dan berusaha keras menghadapi pelbagai kesukaran yang terpaksa ditempohi untuk menyiapkan projek yang memberi kemudahan untuk rakyat akhirnya.
Selain itu, pendapat lain yang dianggap sebagai tanda rasuah semakin diterima, apabila ada yang boleh menerima perbuatan rasuah seseorang pemimpin sekiranya nilainya berpada-pada asalkan tidaklah berlebihan atau tamak sehingga menjejaskan piawaian struktur binaan projek yang dibina.
Hari ini, bagi individu yang berhadapan dengan dakwaan isu rasuah mungkin tidaklah perlu rasa malu selagi tidak dikaitkan dengan skandal seks walaupun kedua-dua tuduhan itu sama-sama memalukan.
Saya percaya, maka sebab itulah terdapat pihak yang lebih gemar menyerang musuh politik mereka dengan menggunakan isu skandal seks berbanding skandal rasuah yang sudah dianggap merupakan sebagai satu perkara biasa sahaja.
Mungkin juga sebab itulah ada pihak tidak teragak-agak melafazkan sumpah laknat bagi menjerumuskan pihak tertentu dalam skandal seks berbanding isu yang membabitkan skandal rasuah kerana rasuah di negara ini tidak lagi dianggap sesuatu yang begitu memalukan.
Ya benar, rasuah sudah pun menjadi budaya kerja dan diterima sebagai satu sistem di dalam carta organisasi-organisasi di negara ini.
Walau pun realiti ini sedaya upaya dinafikan oleh para datuk-datuk menteri dalam kerajaan mahupun pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri dengan saban tahun mengeluarkan indeks yang sedap didengar, tetapi inilah realiti yang berlaku di dalam masyarakat kita hari ini.
Free Malaysia Today
Tiada ulasan:
Catat Ulasan