Oleh Nazli Ibrahim 
PETALING JAYA: Parlimen dijangka tidak dibubarkan bagi memberi laluan   Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) diadakan sekurang- kurangnya sehingga   ke penghujung November tahun ini.
Sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan   Parlimen dalam jangka masa terdekat bakal mengakibatkan Bajet 2012 yang   dijadualkan pada 7 Oktober ini tidak dapat dibentangkan, demikian   menurut Pensyarah Fakulti Undang-Undang di Universiti Islam   Antarabangsa, Profesor Dr Aziz Bari hari ini.
“Macamana nak bentangkan bajet kalau Parlimen dah dibubarkan, pada  masa  tu sidang parlimen dianggap tak wujud,” menurut beliau ketika  dihubungi.
Beliau memberitahu bajet itu perlu dibentangkan, dibahas dan  diluluskan  terlebih dahulu dalam persidangan yang sama sebelum  membolehkan parlimen  dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya.
“Bila bajet dah dibentangkan, ia harus diselesaikan sehinggalah diluluskan dalam sidang parlimen.
“Kalau bajet yang dibentangkan itu belum diluluskan, tetapi PM dah   bubarkan parlimen, bajet tersebut boleh dianggap tidak sah dan bajet   baru perlu dibentangkan semula dalam persidangan parlimen selepas   pilihan raya dijalankan,” kata Dr Aziz yang juga dianggap sebagai pakar   perlembagaan.
Pembentangan Bajet yang dijadualkan pada 7 Oktober ini perlu  dibahaskan  oleh Ahli-ahli Parlimen terlebih dahulu sebelum undian untuk  meluluskan  bajet dibuat dalam mesyuarat ketiga, penggal keempat bagi  Parlimen ke-12  yang hanya berakhir pada 1 Disember ini.
Lazimnya undian untuk meluluskan bajet tahunan itu hanya dapat dibuat   setelah lebih sebulan dari tarikh pembentangan bajet oleh Menteri   Kewangan.
Sebelum ini, beberapa pemerhati politik menjangkakan PRU 13 bakal   diadakan pada Oktober ini atau beberapa hari selepas Bajet 2012   dibentangkan.
Rata-rata pemerhati politik turut menganggap bajet kali ini merupakan   bajet pilihan raya bagi memenangi hati rakyat dalam PRU 13 yang  pertama  kali diterajui oleh Najib.
* Free Malaysia Today 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan