Ada yang berpendapat, Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini adalah bajet pilihan raya yang bermotifkan untuk memancing undi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti.
Tidak kurang juga bagi penyokong Pakatan Rakyat (PR) pula menganggapnya sebagai bajet cedok kerana mencedok dari Bajet Bayangan PR yang dibentangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelumnya.
Bagi pemimpin-pemimpin kerajaan pula, sudah semestinya dengan senang hati menamakan bajet ini sebagai bajet rakyat.
Tiada yang salahnya bagi mana-mana pihak yang beranggapan sedemikian apatah lagi memandangkan mereka mempunyai fakta tersendiri untuk mengaitkan bajet tersebut dengan apa yang mereka tafsirkan.
Walau apa pun tafsiran umum terhadap bajet ini, hakikatnya ianya adalah ‘bajet kuasa rakyat’ atas dasar percaya bajet ini dibentangkan atas dasar ketakutan pihak pemerintah kepada kuasa rakyat di negara ini.
Apapun yang menariknya, bajet kuasa rakyat yang julung-julung kali dibentangkan ini memberi faedah kepada banyak lapisan masyarakat dalam menghadapi beban peningkatan kos sara hidup yang kian meningkat, lebih-lebih lagi bagi golongan berpendapatan rendah.
Walaupun dalam pembentangan tersebut Najib menyatakan kerajaan tidak janjikan bulan, bintang dan cakerawala namun bajet pemurah itu sendiri merupakan sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana warganegara negara ini yang waras akalnya.
Apatah lagi datangnya dari kerajaan BN yang pernah menaikan harga petrol sehingga RM2.90 seliter, harga makanan asasi melambung tinggi, bercita-cita untuk menguatkuasakan GST (Cukai Barangan dan perkhidmatan), merasionalisasikan (baca: mansuhkan) subsidi dan lain-lain.
Sungguh! Semacam sukar hendak percaya Bajet 2012 atau bajet kuasa rakyat lalu datangnya dari kerajaan Barisan Nasional!
Tidak kiralah walaupun ada yang berpendapat bajet kali ini lebih dipengaruhi pertimbangan kepentingan politik berbanding pertimbangan ekonomi negara, ia tetap disambut baik oleh rakyat.
Masakan tidak dianggap sedemikian, tatkala ekonomi dunia dilihat semakin tidak menentu, negara lain termasuklah negara maju terus berhati-hati berbelanja bagi mengawal defisit.
Sebaliknya pula secara tiba-tiba kerajaan negara ini yang sedang menanggung beban hutang yang tinggi ini pula menghamburkan perbelanjaan yang besar dalam bajet kali ini.
Ironinya dengan ungkapan Najib, bagi golongan yang sebelum ini tidak pernah tersentuh dalam bajet-bajet tahun sebelumnya, menganggap bajet kali ini umpama bulan, bintang dan cakeralawala jatuh ke riba.
Kesan tsunami politik
Masyarakat negara ini harus sedar, inilah nikmatnya apabila kerajaan mula celik mata dan tidak lagi memandang rendah terhadap kuasa yang dimiliki rakyat terbanyak.
Kalaulah rakyat negara ini masih lagi berterusan memberikan sokongan membuta tuli kepada kerajaan seperti yang sudah-sudah, belum tentu lagi kita dapat menikmati bajet seumpama ini.
Kalaulah kerajaan hari ini berjaya meraih kemenangan dalam PRU-12 lalu secemerlang kemenangan besar dalam PRU 11 pada 2004 lalu, tidak usahkan bulan, bintang dan cakerawala, bahkan durian sekalipun takan gugur-gugur.
Juga kalaulah ketika ini BN masih menguasai dua pertiga kerusi di parlimen, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Kedah selain Kelantan tidak jatuh ke tangan PR dalam PRU-12 lalu tidak usahlah bermimpi untuk mendapat habuan dalam bajet ini.
Jelas, inilah bajet kuasa rakyat apabila mula wujud perasaan takut parti peneraju kerajaan hari ini dari dikucilkan dari tampuk kuasa oleh rakyat dalam pilihan raya nanti.
Ini semua gara-gara kesan kebangkitan kuasa rakyat yang tercetus dalam tsunami politik dalam PRU-12 lalu yang dianggap oleh kebanyakan pemimpin kerajaan umpama mimpi buruk.
Jesteru itu sebagai masyarakat yang mula celik dan makin bijak menilai, janganlah mudah dimanipulasikan dengan bulan, bintang dan cakerawala yang turunnya lima tahun sekali ini.
Pastikan ahli-ahli politik yang sebenarnya tidaklah sebijak mana ini tahu akan keampuhan kuasa rakyat dan sedar bahawa mereka hanyalah sekadar macai-macai kepada tuan di negara ini iaitu rakyatnya, tidak lebih dari itu. Hidup rakyat!
Free Malaysia Today
Tiada ulasan:
Catat Ulasan