Isnin, 31 Januari 2011

PAS hanyut dalam banjir PRK DUN Tenang

Keputusan Rasmi PRK DUN Tenang 2011      
Mohd Azahar Ibrahim (BN)    : 6699 (+332) 
Normala Sudirman (PAS)       : 2992 (-883)     
Undi Rosak                            : 142                   
Majoriti                                  : 3707 (+1215)    
Jumlah Keluar Mengundi        : 9833 (-379)                           
Peratusan keluar mengundi     : 67% (-2.21%)               


Oleh Nazli Ibrahim

LABIS: Banjir yang melanda Johor ketika ini, bukan sahaja menengelamkan kediaman penduduk di beberapa daerah negeri ini, malah turut menghanyutkan sokongan terhadap PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.05 Tenang yang berlangsung semalam.

Keputusan rasmi yang diumumkan kira-kira jam 10.15 di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis, malam tadi, calon BN, Mohd Azahar Ibrahim berjaya mengekalkan kerusi BN di DUN tersebut apabila menewaskan calon PAS, Normala Sudirman dengan majoriti 3,707 undi.

Bagaimanapun BN gagal mencapai sasaran yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen sebelum ini yang mahukan majoriti sebanyak 5,000 undi.

Menurut keputusan rasmi yang lewat diumumkan gara-gara banjir itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),  Md Asri Amir, Azahar berjaya memperolehi 6699 undi berbanding Normala yang memperolehi 2,992 undi dan sejumlah 142 undi rosak turut dikesan.

Jumlah pengundi dalam prk kali ini juga telah mencatatkan peratusan keluar mengundi yang rendah, hanya 67 peratus iaitu 9,833 pengundi daripada 14,753 pengundi berdaftar berbanding sebelumnya 69.21 peratus ketika Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.

Peratusan jumlah pengundi yang rendah ini dikatakan berpunca daripada hujan lebat dan paras air banjir yang meningkat dengan cepat telah memutuskan hubungan beberapa batang jalan utama di sekitar Labis termasuk jalan raya menuju ke beberapa pusat pengundian.

Antara kawasan yang terjejas teruk hingga menyebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah adalah pusat pembuangan undi yang membabitkan majoriti pengundi Cina.

Menurut beberapa laporan media sebelum ini, beberapa pemimpin PR telah melahirkan rasa kurang senang terhadap pihak berkuasa tempatan apabila lebih banyak menumpukan kawasan Felda ketika memberi bantuan pengangkutan air bagi membawa pengundi ke tempat pembuangan undi berbanding kawasan majoriti Cina.

Majoriti BN bertambah

Keputusan prk kali ini dianggap sebagai satu lagi pedoman untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membubarkan Parlimen ke-12 apabila BN bukan sahaja berjaya menambah jumlah undi malah turut melebarkan majoriti sebelum ini.

Undi BN yang diterima BN menokok 332 undi daripada 6,367 undi yang diterima dalam PRU sebelumnya dan perbandingan majoriti juga didapati semakin melebar sebanyak 1,215 kepada 3,707 berbanding majoriti dalam PRU-12 sebanyak 2,492 undi majoriti.

Kejayaan BN memperolehi majoriti besar ini bukan sahaja dibantu dengan pertambahan jumlah undi yang diterimanya, malahan penguncupan jumlah undi calon PAS dalam jumlah yang lebih besar menambahkan lagi jurang antara keduanya.

Keputusan semalam turut membayangkan BN masih mampu mempertahankan kubu kuatnya di kawasan Felda apabila memperolehi sokongan padu daripada peneroka kawasan terbabit, sama seperti PRK Parlimen Kuala Selangor dan DUN Bagan Pinang.

Ulangi paten PRU 11 - Peratus mengundi rendah, majoriti besar

Keputusan kali ini, dilihat telah mengulangi paten yang sama ketika BN berjaya memperolehi kemenangan dengan majoriti besar di DUN sama ketika PRU-11 tahun 2004 dengan peratusan keluar yang rendah ketika itu.

Dalam PRU-11, BN cemerlang memenangi kerusi yang sama dengan majoriti lebih tinggi iaitu 5,517, apabila meraih 7,655 undi berbanding lawannya juga dari PAS, 2,138 undi dan ketika itu turut mencatatkan jumlah pengundi keluar mengundi yang rendah hanya 9,793 atau 66.37 peratus lebih rendah berbanding prk kali ini.

Undi PAS merudum

Berbanding BN yang berjaya melonjakkan jumlah sokongan, sebaliknya undi yang diraih PAS telah merudum sebanyak 883 undi berbanding PRU-12, mewajarkan parti itu melakukan 'bedah siasat' selain menyalahkan faktor bencana alam semata-mata.

Bagaimanapun, PAS berjaya memperolehi sokongan tinggi daripada kalangan pengundi kaum Cina apabila berjaya meraih jumlah undi tinggi berbanding BN di tiga daerah mengundi majoriti kaum itu di Bandar Labis Timor, Bandar Labis Tengah dan Labis.

Namun jumlah undian yang diterima daripada pengundi Cina masih gagal memberikan kemenangan kepada calon PAS itu mahupun sekadar mengecilkan majoriti BN dan keadaan ini ditambah lagi peratusan keluar mengundi yang rendah di daerah mengundi terbabit.

Keadaan ini juga dianggap oleh sesetengah pihak sebagai isyarat agar 'lebih berhati-hati' buat Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di mana Labis merupakan lubuk baginya.

Selain mencatatkan sokongan kuat di kawasan Melayu , BN turut menerima sokongan dari pengundi di daerah mengundi majoriti kaum India apabila menang di Ladang Labis Utara dan Ladang Bukit Dato.

BN juga hampir menyapu bersih undi pos apabila daripada 119 kertas undi yang dikeluarkan oleh SPR, Mohd Azahar memperoleh 115 manakala Normala cuma memperoleh tiga undi dan satu undi ditolak.


Sumber Free Malaysia Today

Sabtu, 29 Januari 2011

PRU-13: Najib perlu majoriti besar elak kedudukan terancam


Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Menang dengan bergaya satu-satunya jalan yang ada buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan agar tidak dinyahkan dari kerusi Presiden Umno dan PM yang disandangnya kini sekaligus mencipta rekod PM paling pendek perkhidmatnya.

Sekadar kemenangan BN yang tidak lebih baik dari apa yang ada sekarang bukan sahaja bermakna kedudukan BN tidak selesa di parlimen, malahan kedudukan beliau sendiri sebagai Presiden Umno dan PM turut terancam seperti mana yang telah menimpa mantan PM, Tun Abdullah Badawi sebelum ini.

Berbanding ancaman dari luar, ancaman penolakkan dari dalam Umno sendiri lebih berpotensi, lebih-lebih lagi pemilihan Umno yang ditangguhkan sebelum ini lambat laun pasti diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Najib sendiri tentunya menyedari bahawa timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara pemimpin Umno yang mempunyai potensi paling besar untuk memberikan ancaman terhadap kedudukannya sebagai Presiden Umno sekaligus sebagai PM.

Tambahan pula, keberanian Muhyiddin menjolok sarang tebuan ketika era Tun Abdullah sebagai PM tentunya sentiasa segar diingatan Najib.

Ungkapan Muhyiddin yang mengakui bahawa beliau lebih mementingkan kesetiaan kepada parti berbanding batang tubuh seseorang pemimpin sedikit sebanyak menambahkan cemas Najib.

Bagi sesetengah pemerhati menjangkakan, Muhyiddin dengan bantuan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tun Dr Mahathir sebagai orang di belakangnya tidak akan teragak-agak untuk mengambil peluang menurunkan Najib dari 'tahkta' sekiranya Najib gagal membawa majoriti yang lebih baik bagi BN dalam PRU-13 nanti.

Ketika Muhyiddin cuba mara untuk mendekati kerusi Presiden Umno, Zahid mula akan mengambil tempat sebagai Timbalan Presiden sambil dicabar oleh regu Najib, Datuk Seri Tun Hishammuddin.

Bagaimanapun Najib dijangkakan tidak akan mudah mengalah seperti mana Abdullah, sebaliknya samada cuba meyakinkan pihak penentangnya agar berundur atau pertahankan kedudukkannya habis-habisan dalam pemilihan Umno nanti.

Muhyiddin-Zahid regu serasi

Bagi sesetengah pihak, sebelum ini lagi telah menyedari Muhyiddin dan Zahid sebagai sebuah regu serasi yang telah mula berkompromi semenjak awal lagi ketika Zahid memberi laluan kepada Muhyiddin dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden yang lalu.

Keserasian gandingan mereka ini sebenarnya bukanlah satu perkara baru apabila kedua-duanya sebelum ini merupakan pihak di dalam kem yang sama-sama mendukung Dato Sri Anwar Ibrahim ketika masih di dalam Umno dahulu.

Selain itu, seperti juga Anwar, Muhyiddin dan Zahid turut memiliki persamaan apabila dianggap sebagai politikus yang mempunyai keberanian menongkah arus dalam Umno berbanding pemimpin Umno lain.

Jika Muhyiddin Yassin dengan keberaniannya mengkritik PM Abdullah secara terbuka hingga membawa pengunduran beliau, Zahid pula ketika sebagai Ketua Pemuda Umno satu ketika dahulu juga membuat kritikan terbuka terhadap dasar kerajaan era Tun Dr Mahathir Mohamad yang dianggap mengamalkan kronisma dan nepostima.

Kritikan Zahid dalam ucapannya dalam persidangan Pemuda Umno itu telah menimbulkan kemarahan Mahathir dan diikuti pendedahan besar-besaran senarai penerima projek-projek kerajaan di mana turut mengandungi nama Zahid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif BSN Commercial Bank.

Serangan terhadap imej Najib

Semenjak dari itu, spekulasi di dalam Umno terus bertiup bahawa kerjasama antara kedua mereka ini terus berjalan dengan beberapa kali melakukan tindakkan membaling batu sembunyikan tangan terhadap imej Najib.

Antara yang diperkatakan ialah apabila misteri silap mata kehilangan dua buah enjin pesawat pemintas F-5E TUDM ketika Najib sebagai Menteri Pertahanan terbongkar kepada media setelah selama lebih dua tahun berjaya 'diselamatkan' dari pengetahuan media.

Namun kejadian yang berlaku ketika era Najib sebagai Menteri Pertahanannya itu secara tiba-tiba bocor kepada pengetahuan akhbar berbahasa Inggeris The Star setelah jawatan tersebut disandang oleh Zahid.

Kejadian yang berjaya disimpan rapi oleh dua orang Menteri Pertahanan sebelumnya, Najib dan Abdullah ini akhirnya telah mencalarkan imej Najib sebagai Menteri Pertahanan ketika kejadian itu.

Tidak berapa lama selepas itu, Zahid sekali lagi membuat pendedahan lain apabila mendakwa terdapat pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan yang mendedahkan rahsia pertahanan negara kepada duta-duta asing yang juga dikatakan berlaku sebelum Abdullah menduduki Kementerian Pertahanan.

Selain itu, Zahid turut membuat keputusan 'turning over' apabila membatalkan keputusan Najib ketika sebagai Menteri Pertahanan yang mahukan pesawat tempur MIG-29 ditamatkan tauliahnya dan digantikan dengan pesawat baru.

Walaupun menurut Zahid, ianya disebabkan keadaan ekonomi yang meleset, namun keputusan Zahid itu turut memberi persepsi keputusan serampang dua mata untuk mencalarkan imej Najib dengan seolah-olah memberi tanggapan Najib gemar berbelanja boros.

Jika diteliti paten serangan terhadap Najib ini menyerupai keadaan ketika Abdullah diasak agar turun dari kerusi PM dan Presiden Umno di mana serangan ketika itu datangnya daripada salah seorang Naib Presiden Umno iaitu Muhyiddin bagi membuka jalan kepada Najib. Sementara Najib ketika itu lebih banyak mendiamkan diri.

Ketika ini paten serangan yang sama dipraktikan dan startegi yang sama juga bakal dipraktikkan apabila serangan terbuka dilancarkan nanti.

Najib, Hishammuddin lwn Muhyiddin, Zahid?

Bagaimanapun Najib yang dikatakan telah menyedari situasi ini juga telah mula mengatur perancangan dengan menyediakan sepupu beliau, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk dinobatkan sebagai timbalannya sekaligus melangkaui Muhyiddin.

Dari segi rekod karier poitik Hishammuddin sebelum ini, beliau tidak menunjukkan sebarang potensi untuk memberikan ancaman terhadap kedudukkan Najib.

Sepertimana Muhyiddin dan Zahid yang mempunyai persamaan, Najib dan Hishammuddin juga turut mempunyai beberapa persamaan bagi membolehkan mereka berada di dalam kem yang sama.

Selain hubungan pertalian kekeluargaan, Najib dan Hishammuddin sama-sama merupakan anak kepada PM kedua dan ketiga negara ini.

Mereka juga dianggap mempunyai pendekatan politik yang sama iaitu dengan sentiasa memilih jalan selamat (play safe) dengan mengelakkan konfrantasi dengan mana-mana pihak dalam Umno khususnya pemimpin lebih tinggi kedudukannya.

Ketika ini, bagi kedudukkan menteri penuh, Hishamuddin juga diberikan peluang untuk menduduki kementerian lebih kanan, Kementerian Dalam Negeri berbanding timbalannya, Muhyiddin di Kementerian Pelajaran.

Malahan, Hishamuddin turut mendapat kelebihan apabila tidak berapa lama dahulu Najib mengumumkan menambah peruntukan kepada Kementerian Dalam Negeri termasuk kenaikan gaji dan elaun pegawai-pegawai dan anggota PDRM.

Pada masa yang sama, peruntukan bagi Kementerian Pelajaran di bawah Muhyiddin dan Kementerian Pertahanan di bawah Zahid telah dipotong atas alasan kemelesetan ekonomi satu tindakan Najib yang mendatangkan perasaan kurang senang kedua-dua mereka.

Bagaimanapun penentangan terhadap Najib dijangkakan tidak akan berlaku sekiranya Najib berjaya membawa kemenangan besar kepada BN dalam pilihan raya akan datang.

* Sumber Free Malaysia Today

Jumaat, 28 Januari 2011

Apa khabar penduduk Sungai Buaya?

Masih ingatkah lagi janji Najib Razak untuk melunaskan pampasan pendahuluan sebanyak RM50,000 kepada bekas warga Felda Sungai Buaya ketika pilihan raya kecil Parlimen Kuala Selangor?

Sejumlah RM1,000 telah pun dibayar secara tunai ketika kempen PRK tersebut berlangsung dan Najib telah berjanji untuk menjelaskan bakinya yang sebanyak RM49,000 itu melalui bank draft.

Soalnya, adakah bekas warga Felda Sungai Buaya telah menerima bank draft yang dijanjikan tersebut. Menurut maklumat yang diterima dari satu sumber baru-baru ini, bank draft yang dijanjikan tersebut masih belum diterima oleh mereka.

Kepada pengundi-pengundi di DUN Tenang, diingatkan agar berhati-hati dengan janji manis yang ditaburkan oleh BN. Memang dari segi kemampuan kewangan, BN sebagai parti yang menerajui kerajaan mampu melunaskan janji-janji mereka.

Bagaimanapun sikap kurang mempedulikan rakyat kebanyakkan kecuali apabila ada pilihan raya, sikap yang sukakan pembaziran ke atas projek-projek yang kurang memberi manfaat kepada rakyat, rasuah dan masih yakin rakyat mudah diperbodohkan telah menyebabkan BN kurang mengambil berat untuk menunaikan janji yang telah dibuat.

Pastikan anda tidak tersilap memilih calon! Pilihlah calon yang sedia berkhidmat kepada masyarakatnya dengan jujur dan amanah berbanding calon yang lebih berminat untuk menjadi juru lelong!

Rabu, 26 Januari 2011

PRU, PR Sarawak serentak-Apa pilihan Najib?

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Pengaruh semasa Barisan Nasional (BN) Sarawak dianggap sebagai salah satu faktor penentu bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkaji samada membubarkan Dewan Parlimen serentak dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Jika kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Haji Mohd Naroden Majais baru-baru ini diambil kira, gambaran dapat dibuat bahawa BN Sarawak ketika ini tidak berada di kedudukan terbaiknya di mata masyarakat Sarawak hari ini dan memaksa Najib mengadakan pilihan raya serentak.

Keadaan ini dapat dilihat apabila beliau memberitahu antara manfaat mengadakan pilihan raya umum (PRU) dan Negeri Sarawak serentak dapat mengurangkan asakan pemimpin pembangkang ke atas BN Sarawak.

“Bererti (kalau serentak), tumpuan parti pembangkang ke Sarawak dapat dikurangkan kerana sibuk berkempen untuk kawasan Parlimen dan Dun di negeri masing-masing,” katanya baru-baru ini.

Sarawak sebuah negeri yang dianggap sebagai 'simpanan tetap' BN, sebelum ini pilihan raya negerinya diadakan lebih awal berbanding pilihan raya umum sekaligus dianggap sebagai permulaan momentum sokongan kepada BN di Sarawak dan seterusnya membadai ke pilihan raya umum di negeri lain-satu kelebihan buat BN.

Berbanding Najib ketika ini, PM terdahulu dengan berbekalkan keyakinan tinggi, tidak pernah gusar akan kekuatan BN Sarawak bagi memberikan laluan kepada pilihan raya negeri Sarawak diadakan terlebih dahulu.

Bagi PM terdahulu mencari 'ilham' untuk menetapkan tarikh pembubaran parlimen, bukanlah suatu perkara merumitkan seperti yang dialami oleh Najib kini.

Keputusan pilihan raya Sarawak yang sentiasa memihak kepada BN dengan majoriti tinggi menjadi pemangkin kepada PM terdahulu dan BN untuk terus meraih sokongan daripada pengundi dalam pilihan raya umum di Semenanjung dan Sabah kemudiannya.

Namun sebaliknya, Najib kini kelihatan teragak-agak untuk memberikan laluan kepada pilihan raya negeri Sarawak diadakan dahulu sebelum pilihan raya umum menyusul selewat-lewatnya pada 2013.

Najib hidu masalah di Sarawak?

Keadaan ini seolah membawa petanda Najib telah terhidu masalah di Sarawak sehingga memaksa beliau mengambil langkah mengadakan pilihan raya umum dan negeri Sarawak serentak bagi mengurangkan risiko terhadap negeri 'simpanan tetapnya' itu.

Jika perkiraan mudah dengan keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun 2006 dijadikan ukuran, BN dengan kemenangan 62 daripada 71 kerusi DUN adalah sesutu yang hampir mustahil bagi PR menawan DUN Negeri Sarawak.

Meskipun imej Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud pada ketika ini dikatakan merudum akibat dikaitkan dengan pelbagai skandal, namun perkembangan teknologi maklumat khususnya di kawasan pendalaman yang ketinggalan berbanding Semenanjung memberi kelebihan kepada BN.

Pada masa ini, masyarakat luar bandar di Sarawak masih kekurangan akses kepada maklumat alternatif lain kecuali maklumat yang disalurkan oleh media-media arus perdana pro kerajaan.

Berdasarkan perkiraan di atas, logiknya ia tidak mengusarkan Najib untuk memberi laluan kepada pilihan raya Sarawak diadakan terlebih dahulu dan jauh sekali mengambil risiko awal dengan mengadakan PRU seawal dua tahun sebelum tamat penggal.

Jangka hayat karier politik dan pentadbiran Najib

Tambahan pula, Najib dengan langkah mempercepatkan pilihan raya umum dua tahun lebih awal sebelum tamat penggal, perkiraan ke atas risiko jangka hayat karier politiknya dan pentadbirannya di Putra Jaya tentunya menjadi perkiraan yang lebih utama.

Satu-satunya pilihan yang ada buat Najib bagi memastikan jangka hayat politik dan kedudukan BN di Putra Jaya berpanjangan bukanlah sekadar perlu menang dalam pilihan raya tetapi harus menang dengan majoriti lebih selesa berbanding sekarang.

Kegagalan BN memperolehi mandat lebih selesa daripada yang ada ketika ini bakal membuka ruang bukan sahaja ancaman daripada pihak pembangkang di luar Umno, malahan turut membuka ruang ancaman dari dalam Umno sendiri seperti mana yang dialami oleh mantan PM, Tun Abdullah Badawi.

Sekiranya Najib masih mahu mengadakan pilihan raya Umum serta DUN Sarawak serentak dan kemudiannya BN gagal memperolehi majoriti lebih baik, sudah tentu banyak tangan akan menundingkan kesalahan ke arah Najib selaku pihak yang mengilhamkan tarikh pilihan raya serentak ini.

Unjuran penganalisis politik

Menurut seorang penganalisa politik terkenal, Nobisha dalam blognya telah mengunjurkan pertambahan kerusi bagi PR dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak paling tinggi tidak lebih daripada 13 kerusi berbanding sekarang, sembilan kerusi yang mampu dimenangi oleh PR.

Bagaimanapun seorang penganalisis politik dari Sarawak mempertikaikan unjuran beliau itu apabila mengatakan unjuran tersebut terlalu tinggi.

Bagi kerusi parlimen pula, unjuran yang beliau berikan hanyalah pertambahan satu kerusi daripada dua kerusi termasuk Parlimen Sibu yang dimenangi DAP dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Jika unjuran ini dijadikan ukuran dan Najib memutuskan untuk mengadakan pilihan umum dan DUN Sarawak secara berasingan, pertambahan walaupun satu kerusi pembangkang di negeri 'simpanan tetap' BN itu sudah cukup untuk dianggap sebagai isyarat yang tidak memihak kepada BN dalam PRU-13 nanti.

Tambahan pula, kedudukan kerusi parti-parti politik di DUN mampu mempengaruhi corak undian pengundi ketika mengundi bagi kerusi parlimen untuk menentukan kerajaan pusat.

Kesemua risiko ini tentunya telah dinilai sedalam-dalamnya oleh Najib berbanding semata-mata kemahuan yang meluap bagi mendapatkan mandat baru yang pertama miliknya sebagai PM.

Jelas senario politik negara ketika ini tidak memberikan sebarang jaminan untuk Najib meneruskan tradisi PM sebelumnya yang menerima mandat yang cemerlang tatkala mengadakan pilihan raya pertama dalam era pentadbiran masing-masing.

PM sebelum ini, termasuk Abdullah sebelum PRU-12 pada 2008 lalu, ketika mendapat 'ilham' tarikh pilihan raya mereka tidak berada dalam keadaan sesukar Najib hari ini.

Mengadakan pilihan raya umum dan Negeri Sarawak serentak antara pilihan yang mampu memberi kelebihan kepada BN Sarawak, tetapi secara keseluruhannya ianya tidak menjamin apa-apa kelebihan kepada Najib dan BN di peringkat pusat.

* Sumber Free Malaysia Today

Isnin, 24 Januari 2011

SAMM, Anak dekati pengundi muda Tenang

Oleh Nazli Ibrahim

LABIS: Kehadiran NGO Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dan Soladariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang sedang rancak berlansung telah memberi satu lagi platform sokongan daripada golongan tersebut.

Anak yang merupakan sebuah pertubuhan yang mewakili generasi kedua dan ketiga anak peneroka Felda, dalam PRK Tenang ini bukanlah penglibatan yang pertama dalam kempen pilihan raya.

Pertubuhan yang dipimpin oleh Presidennya, Mazlan Aliman ini mula meniti di bibir masyarakat felda seluruh negara apabilF giat membongkar apa yang didakwa penipuan oleh Felda terhadap peneroka termasuk kejayaan tuntutan ganti rugi peneroka terhadap Felda di mahkamah.

Jesteru itu, kelibat Anak di Tenang sedikit sebanyak dianggap mampu memberi impak dalam mempengaruhi pengundi-pegundi muda di kalangan masyarakat muda warga Felda.

Golongan pengundi muda di DUN Tenang dianggarkan sekitar 40 peratus daripada 14,753 pengundi.

Selain itu, dianggarkan hampir separuh golongan itu kebanyakkan kini berhijrah ke bandar-bandar utama dalam negara yang secara persepsinya dianggap memberi kelebihan kepada parti pembangkang.

Sementara bagi SAMM yang merupakan kali pertama menyatakan secara rasmi pendirian mereka yang menyokong calon PAS dalam PRK itu, juga dianggap sebagai satu lagi daya penarik sokongan dan minat anak muda agar lebih mendekati perkembangan politik tanah air.

SAMM merupakan pertubuhan yang dianggotai anak-anak muda dari pelbagai latar belakang parti politik itu dianggap sebagai pertubuhan yang membawa aspirasi anak muda yang mahukan perubahan dalam negara ini.

Menjadi pengetahuan umum, terdapat ramai dari kalangan golongan anak-anak muda ini yang dingin terhadap program-program yang dianjurkan parti-parti politik lebih-lebih lagi dalam program yang melibatkan ceramah politik.

Keadaan ini menyebabkan golongan pinggiran dari kelompok anak muda ini hanya menerima maklumat melalui media-media arus perdana.

Bagaimanapun melalui program yang lebih santai dan mesra anak muda yang dianjurkan oleh SAMM dan Anak ini dilihat sesuatu pendekatan yang bijak dalam memainkan peranan bagi mengisi kekosongan ini.

Antara program yang dianjurkan termasuklah mengadakan program Sembang Santai ‘bbq’, Dialog Anak Muda, Sembang Minum Petang Anak Muda, Malam Keseniaan dan Pentas Anak Muda, Futsal Anak Muda, Sepetang bersama juara cub Prix Asia, Yaser Said dan beberapa program lain.

Walaupun program tersebut tidak mencatatkan jumlah kehadiran yang tinggi berbanding ceramah-ceramah politik, program ini tetap mempunyai tarikan tersendiri serta mudah didekati oleh anak-anak muda khususnya golongan di antara 21 hingga 35 tahun.

Pedekatan program yang mengutamakan pengisisan yang dekat di hati anak muda ini juga lebih mampu memberikan kesan yang mendalam dan berpanjangan terhadap generasi muda ini berbanding ceramah politk yang lazim diadakan.

Selain itu, pendekatan proaktif SAMM yang diketuai oleh Badrul Hisham Shaharin bagi menggerakkan jenteranya ini juga dilihat oleh sesetengah pihak sebagai mengisi kekosongan yang ditinggalkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dikatakan tidak menggerakkan jenteranya secara effektif.

Sehingga kini AMK masih belum menganjurkan sebarang program khusus bagi mendekatkan diri dengan anak muda melainkan mengiringi pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dan calon ketika bertemu pengundi dan menyampaikan ceramah-ceramah politik di atas platform yang disediakan oleh penganjur lain.

Berdasarkan situasi ini, maka tidak hairanlah kelincahan SAMM dalam menggerakkan jenteranya telah mengundang konflik dan rasa kurang senang oleh pihak tertentu yang menganggapnya sebagai percubaan untuk menenggelamkan AMK.

* Sumber Free Malaysia Today

Ahad, 23 Januari 2011

PRK Tenang: BN makan diri main isu agama


SEGAMAT: Kesilapan memilih isu ketika berkempen dalam sesuatu pilihan raya mampu memberi padah apabila isu yang dimainkan mampu membias sekaligus menjejaskan sokongan pengundi-pengundi kepada calon sendiri.

Lazimnya, pengundi-pengundi atas pagar adalah antara golongan yang prihatin atau lebih peka ketika menganalisa isu yang diketengahkan oleh jentera parti berbanding penyokong tegar sesuatu parti.

Bagi penyokong tegar, mereka umpama 'aset tetap' yang bersedia memberikan undinya kepada parti yang sokongannya waima kepada calon 'tunggul kayu' sekalipun, pasti tidak menjadi soal.

Ketika hari berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nageri (DUN) Tenang masuk hari ke tiga hari ini, kempen BN yang mula menyentuh isu-isu berkaitan kepercayaan penganut agama Islam dianggap satu kesilapan yang mampu mengurangkan undi BN.

Dalam satu ceramah di hadapan pengundi-pengundi berbangsa Cina di sini baru-baru ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah membangkitkan pendirian calon lawan dari PAS, Normala Sudirman yang enggan bersentuhan ketika bersalaman dengan pengundi-pengundi lelaki.

Menurut Chua, pendirian Normala yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mala itu dianggap menimbulkan kebimbangan sebagai pemimpin yang tidak mesra rakyat.

Keadaan ini diburukan lagi apabila Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Tan Lian Hoe juga terus menyelar pendirian muslimat PAS itu.

Isu ini tentunya tidak terus berlarutan sekiranya Umno pantas bertindak dengan memberi pemahaman isu berkaitan hukum agama Islam ini kepada rakan-rakan mereka dalam MCA.

Akhirnya, isu ini memberi kelebihan kepada PAS apabila berjaya memberi 'counter attack' yang berkesan dalam isu yang sama sekaligus memaksa BN berada di kedudukan bertahan.

Fakta jelas menunjukkan bahawa bersentuhan antara bukan mahram dalam hukum Islam ternyata mustahil ditepis oleh kalangan pemimpin mahupun ulama dalam Umno.

Ketika menangkis serangan lawan, Cikgu Mala menjelaskan hukum dalam Islam yang melarang bersentuhan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram.

"Kami sebagai individu Muslim, kami (wanita) memang tidak bersalam dengan lelaki. Begitu juga dengan kaum Tiong Hua, kami bersalaman dengan perempuan Tiong Hua tidak ada masalah, sebab mereka perempuan.

"Hatta kami saudara seIslam pun, kami tidak bersalaman dengan lelaki," jelas calon PAS itu dalam satu sidang media yang seperti mana lazimnya penjelasannya itu tidak diberikan tempat dalam media-media arus perdana.

Selain penjelasan dari Cikgu Mala dan pemimpin-pemimpin PAS lain, rakan PAS dari DAP dan PKR juga dilihat telah memainkan peranan yang baik dengan mengambil tempat bagi menjelaskan keadaan ini kepada pengundi-pengundi berbangsa Cina.

Ketika melancarkan serangan balas dalam isu yang sama, Chua telah dianggap sebagai pemimpin BN yang tidak menghormati kepercayaan ugama lain, keadaan yang sama dihadapi oleh seorang pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) berbangsa Sikh yang dipotong rambutnya.

Malah, Umno sebagai parti utama dalam komponen BN turut menerima kesan paling mendalam apabila dikatakan gagal menjelaskan rakan pakatannya dalam BN itu dalam isu berkaitan hukum Islam.

Ia diburukan lagi apabila Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberikan 'komen positif' terhadap kenyataan Chua tersebut sekaligus menghiris perasaan yang tidak sedikit bagi kelompok Melayu di kalangan pengundi atas pagar.

Rabu, 19 Januari 2011

PAS hadapi laluan sukar tetapi mampu beri kejutan di Tenang

Jika kenyataan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas lawatan kerja sehari beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang semalam, umumnya menampakkan keyakinan beliau bahawa BN berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil itu.

Jika bacaan mudah berdasarkan fakta prestasi BN dalam pilihan raya lalu di DUN ini dan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) yang membabitkan kawasan felda semenjak PRU-12 lalu diambil kira, memang wajar Najib mempunyai keyakinan yang tinggi untuk memenangi PRK kali ini.

Malah kemenangan BN di DUN Tenang nanti bukanlah sesuatu yang menghairankan memandangkan sejarah DUN tersebut tidak pernah dikuasai oleh parti lain selain BN.

Apatah lagi, dalam keadaan BN memerlukan kemenangan moral sebelum menghadapi PRU-13 yang tentunya tidak teragak-agak menggunakan 'kuasa tawar-menawar' yang ada padanya kepada pengundi-pengundi di DUN terbabit.

Malahan perkembangan terkini dalam PRK ini, semalam Najib telah mula memberikan beberapa tawaran kepada pengundi-pengundi DUN Tenang, startegi yang sama dilakukan dalam kebanyakkan PRK sebelum ini dan tampak berkesan di kawasan felda dan majoritinya Melayu.

Berdasarkan situasi di DUN Tenang, perbandingan boleh dibuat dengan beberapa PRK yang pernah diadakan semenjak PRU-12 Mac 2008 lalu yang melibatkan kawasan-kawasan felda dalam beberapa PRK sebelum ini.

Ketika pertembungan PKR dan BN bagi Parlimen Kuala Selangor tahun lalu, jentera PR ketika itu pada awalnya menampakkan keyakinan tinggi untuk menang dengan menaikkan isu yang berkait rapat dengan peneroka felda secara langsung.

Apatah lagi faktor Selangor yang kini dikuasai oleh PR, kedudukan mempertahankan kemenangan di kerusi yang sama dan kewibawaan calonnya Datuk Zaid Ibrahim telah memberi banyak kelebihan PR ketika itu.

Bagaimanapun faktor kelebihan tersebut dan isu yang dimainkan oleh PR ketika itu gagal memberi impak yang berkesan kepada pengundi-pengundi kawasan felda di parlimen itu apabila hampir semua saluran undian di felda-felda dikuasai oleh BN.

Mood kemenangan yang mula terasa di kalangan penyokong PR dari semenjak awal kempen bermula akhirnya dinoktahkan dengan kekecewaan apabila tewas di hari pembuangan undi.

Dalam PRK tersebut calon BN, P Kamalanathan telah berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Selangor dengan majoriti 1,725 undi berbanding sebelumnya hanya 198 undi majoriti yang dimenangi oleh Allahyarham Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR.

Dalam pada itu, menurut beberapa sumber ketika itu, antara faktor lain yang turut meyumbang kepada kekalahan Zaid apabila wujudnya perbuatan sabotaj dari kalangan pemimpin PKR sendiri.

Sebelum itu, ketika PRK DUN Bagan Pinang yang turut melibatkan jumlah pengundi di kalangan peneroka felda yang agak tinggi, sekali lagi kemenangan berpihak kepada calon BN.

Ketika itu Tan Sri Isa Samad berjaya mempertahankan kerusi DUN terbabit dengan pertambahan majoriti sebanyak 5,435 setelah memperolehi 8,013 undi berbanding pencabarnya daripada PAS, Zulkefly Mohd Omar dengan 2,578 undi.

Seperti mana di PRK Kuala Selangor, undi-undi dari peneroka di beberapa tanah rancangan felda dalam DUN Bagan Pinang juga telah memihak kepada BN.

Walaupun kemenangan BN di Bagan Pinang ini dianggap dengan adanya bantuan bilangan pengundi pos yang tinggi, namun jika jumlah pengundi pos ini tidak diambil kira, kemenangan masih berpihak kepada BN dengan kelebihan lebih 2,000 undi.

Walaupun begitu, BN tentunya tidak mampu untuk terus bersentimental dengan rekod kemenangan BN di negeri Johor dan DUN Tenang dalam pilihan raya lalu apatah lagi hakikatnya negeri kubu kuat Umno ini masih belum teruji semenjak PRU-12 lalu.

Dianggarkan, sekitar 4,000 lebih pengundi berdaftar dagi DUN Tenang merupakan peneroka di felda-felda sekitar Tenang sekaligus memberi kelebihan kepada BN.

Dalam pilihan raya umum 2008, Datuk Sulaiman Taha mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS, dengan kelebihan 2,492 undi.

Bagaimanapun, kemampuan PAS tidak boleh dipandang ringan kerana masih memberikan kejutan kepada BN atau sekurang-kurangnya mengecilkan majoriti yang dimenangi oleh BN dalam PRU-12 lalu dengan isu yang mempunyai kaitan secara langsung dengan pengundi di situ.

Isu utama ketika ini yang sudah pasti digunakan dalam kempen-kempen PAS nanti adalah peningkatan harga barangan keperluan utama sekaligus meningkatkan kos sara hidup masyarakat umum.

Isu yang memberi kelebihan kepada PAS ini dijangka mampu mempengaruhi pengundi-pengundi dalam PRK itu nanti.

Selain itu, isu pembangunan di kawasan terbabit yang dianggap berkembang dengan tidak sekata dengan meninggalkan kawasan-kawasan felda dan pendalaman berbanding kawasan-kawasan di Pekan Labis juga memberi sedikit kelebihan kepada PAS.

Keadaan yang telah berlarutan semenjak 53 tahun ini telah memaksa penduduk-penduduk di beberapa felda terpaksa menunggang motorsikal sejauh 20km semata-mata untuk membeli petrol dan beberapa barangan keperluan lain yang tidak terdapat di kedai-kedai runcit di felda terbabit.

PAS juga boleh mengharapkan bantuan daripada DAP dan PKR untuk mendapatkan sokongan daripada 38.24 peratus pengundi-pengundi Cina, soal kebajikan peneroka felda, isu penipuan Felda, soal generasi ke dua felda dijangka turut mendapat perhatian pengundi di sana nanti.

Walaupun PRK kali ini tidak melibatkan parlimen, selain isu-isu tempatan, isu nasional seperti ketirisan, skandal rasuah dan sebagainya masih boleh digunakan untuk serangan terhadap BN.

Bagaimanapun isu yang melibatkan kes peribadi seperti yang dihadapi oleh Dato Seri Anwar Ibrahim dijangka tidak mendapat tempat di kalangan penduduk tempatan.

Sementara itu, bagi beberapa penganalisa politik tanah air pula, percaya keputusan PRK DUN Tenang ini bakal memberikan pedoman kepada PM bagi menentukan tarikh sebenar PRU-13.

Selasa, 18 Januari 2011

Mohon campur tangan istana untuk tegur Rosmah

Nazli Ibrahim | January 18, 2011

PETALING JAYA: Dua memorandum akan diserahkan kepada Yang Dipertuan Agung dan Perdana Menteri berhubung tindakan Datin Seri Rosmah Mansor yang dianggap biadap serta derhaka ekoran menggunakan gelaran wanita pertama dan mencampuri urusan rasmi kerajaan.

Seorang jurucakap memberitahu FMT bahawa kumpulan dari pelbagai latar belakang akan dianggotai oleh pertubuhan politik dan pertubuhan bukan kerajaan dalam isu yang melibatkan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini.

Menurut jurucakap kumpulan yang bakal menggerakkan penyerahan memorandum ini menjelaskan dua memo berasingan dengan isu yang hampir sama akan diserahkan kepada Seri Paduka dan Najib setiap satu.

Menurut sumber itu, antara isi kandungan memorandum kepada Seri Paduka ialah memohon agar pihak istana campur tangan atau menyatakan pendirian berkenaan penggunaan gelaran Wanita Pertama oleh Rosmah.

“Sebagai rakyat yang kasihkan Rajanya, kami hanya memohon pihak istana menyatakan pendirian dan membuat teguran tegas kepada sesiapa sahaja yang menggunakan gelaran Wanita Pertama selain Permaisuri Agung.

Katanya lagi, lebih malang lagi apabila Rosmah turut menunjukkan sikap angkuhnya apabila dengan beraninya menggunakan gelaran Wanita Pertama walaupun telah dikritik hebat sebelum ini.

‘Rosmah semakin angkuh’

“Rosmah semakin angkuh dan keterlaluan nampaknya. Ini bukan kali pertama. Dahulu pun masa lawatannya ke Amerika Syarikat dan menganjurkan Persidangan Wanita Pertama pun telah dikritik hebat tetapi mungkin tidak ditegur oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional menyebabkan dia semakin berani. Ini adalah biadap dan derhaka kepada Agong dan Permaisurinya.

“Tindak-tanduk Rosmah semacam mahu cuba menjadikan gelaran wanita pertama sebagai gelaran yang sah dan gelaran rasmi untuk isteri PM, iaitu dia sendiri,” menurutnya lagi.

Beliau juga memberitahu, keputusan untuk menghantar memorandum kepada Istana Negara tersebut dibuat apabila melihat Najib dan pemimpin Umno lain gagal menasihati Rosmah apatah lagi untuk mengambil tindakan yang wajar.

“Memandangkan situasi sekarang seolah-olah menggambarkan tiada apa yang dapat dibuat oleh Najib dan pemimpin Umno lain, maka kerana itulah kami berharap pihak istana campur tangan dalam hal ini.

Lebih-lebih lagi isu wanita pertama ini memang melibatkan pihak istana secara langsung,” ujar beliau.

Perkasa tidak bersuara

Menurut salah seorang dari kumpulan tersebut yang mengaku sebagai ahli Perkasa berkata, beliau kecewa apabila pemimpin tertinggi Perkasa tidak bersuara berhubung isu yang melibatkan pihak istana ini.

“Selalunya Perkasa tegas dengan sebarang isu yang membabitkan institusi raja-raja Melayu. Tetapi dalam isu ini, yang jelas nampak ada pihak yang sewenang-wenangnya guna gelaran yang sepatutnya untuk Permaisuri Agung, Perkasa tak keluar apa-apa kenyataan pun.

“Itu yang saya kecewa. Sebab itulah saya sertai kumpulan ini tetapi bukannya kapasiti sebagai ahli Perkasa, ini adalah secara peribadi saya dan dua rakan saya yang lain juga dari Perkasa.

Menurutnya lagi, selain individu dari Perkasa, beberapa pemimpin dan ahli beberapa parti politik yang berlainan idealogi daripada Pakatan Rakyat dan BN turut terlibat dalam rancangan itu.

“Selain saya dan dua rakan dari Perkasa, rakan kami yang lain ialah dari Umno, PKR dan PAS. Mereka sama juga seperti saya, bertindak bukan atas kapasiti parti politik masing-masing.

“Lagipun tiada sesiapa di antara kami yang memegang sebarang jawatan di peringkat pusat dalam parti atau pertubuhan masing-masing. Paling tinggi pun hanya dua, tiga orang peringkat daerah dan mungkin akan disertai oleh seseorang di peringkat negeri nanti,” katanya lagi.

Menyeru parti politik dan NGO turut bertindak

Jurucakap kumpulan ini juga menyeru agar mana-mana pihak tanpa mengira parti politik yang mampu mengatur gerakan penyerahan memorandum ini turut berbuat demikian.

“Saya menyeru kepada mana-mana pemimpin tak kira parti politik atau NGO, agar turut mengatur satu rancangan untuk menyerahkan memorandum ini kepada Seri Paduka seperti yang telah dibuat dalam isu air negeri Selangor.

Mungkin jika mereka yang mengaturnya ia lebih mendapat sambutan rakyat, ada pengalaman untuk menyusun dan merancang strategi berbanding kami dan boleh beri kesan yang lebih baik,” ujar beliau.

Manakala, memorandum yang dirancang untuk diserahkan kepada PM pula akan menyentuh penglibatan Rosmah dalam urusan rasmi kerajaan termasuk membantah kewujudan Pejabat Wanita Pertama Malaysia (FLOM) di Putrajaya.

Menurut mereka penglibatan Rosmah dianggap semakin serius sehingga membelakangkan menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam sesuatu kementerian seperti Kementeriaan Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Rosmah mencampuri urusan negara

“Nampaknya semakin lama, Rosmah semakin galak mencampuri urusan kerajaan hinggakan kadang-kala lagaknya seperti seorang Menteri Pelajaran, Menteri Hal Ehwal Wanita pun ada dan sebagai duta pun ada,” menurut sumber itu lagi.

Beliau turut mempersoalkan dan melahirkan kekesalan apabila Najib bukan sahaja dilihat gagal untuk menegur isterinya itu, malahan turut pada masa tertentu menyerlahkan pendirian beliau yang menggalakkan tindakan isterinya itu.

“Mengapa Najib tidak menegur atau mungkin juga PM sendiri yang memberikan galakan kepada Rosmah?” soal beliau.

“Yang hairannya, takkanlah Najib tidak nampak apa-apa yang tak kena tentang ini? Penasihatnya butakah untuk memahami ia memberi impak negatif kepada PM?

“Terus terang saya katakan isu ini bukan sahaja menjadi bahan serangan PR tetapi orang-orang dalam Umno sendiri pun ramai yang mengadu meluat dengan situasi ini,” tambah beliau.

* Sumber Free Malaysia Today


Ahad, 16 Januari 2011

Rosmah, isteri PM paling kontroversial?

PETALING JAYA: Malaysia dengan enam Perdana Menteri (PM) dan tujuh isteri Perdana Menteri semenjak PM pertama, isteri kepada PM terkini dianggap paling kerap diharungi kontroversi yang tidak putus-putus.

Jika era PM kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi diselar oleh seorang lagi bekas PM iaitu PM keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana dikatakan menempatkan menantunya di tingkat empat Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Najib Razak pula didakwa menempatkan pejabat isterinya di bangunan yang sama.

Isteri PM, Datin Seri Rosmah Mansor ketika ini dilihat sedang menikmati kedudukan beliau sebagai isteri PM Malaysia apabila bukan sahaja berjaya mencuri tumpuan malahan menjadi satu-satunya isteri PM yang menerima peruntukan yang tinggi dan pejabat khas di Putrajaya untuk beliau.

Memetik lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), keadilandaily.com, edyesdotcom dan beberapa blog lain, Rosmah bukan sahaja memiliki pejabatnya sendiri malah turut mempunyai bahagian atau jabatan yang dinamakan Bahagian Wanita Pertama Malaysia atau First Lady of Malaysia Division.

Bahagian tersebut yang hanya ditubuhkan ketika era PM terkini itu, diketuai oleh Pegawai Khasnya Datuk Siti Azizah binti Sheikh Abod disamping lima lagi pegawai lain.

Selain dianggap keterlaluan, tindakan tersebut turut dianggap satu pembaziran apabila melibatkan perbelanjaan tambahan dana kerajaan seperti gaji pegawai dan kakitangan, ubah suai pejabat dan pelbagai kos lain yang berkaitan.

Wanita Pertama Negara

Rosmah juga didakwa menderhaka kepada Yang Dipertuan Agung dan Permaisurinya kerana menggunakan gelaran Wanita Pertama Negara yang sepatutnya gelaran bagi Permaisuri Agung seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

Kontroversi gelaran ini yang telah lama ditimbulkan semenjak isu iklan satu muka surat penuh di akhbar New York Times yang memaparkan beliau sebagai Wanita Pertama Malaysia tidak berapa lama dahulu, telah diserang hebat oleh media pro pembangkang.

Bagaimanapun serangan pihak pembangkang yang seakan menyedari bahawa Rosmah sebagai satu lagi ‘titik lemah’ Najib, tidak memberi apa-apa kesan apabila Rosmah dilihat berusaha menjadikan gelaran tersebut sebagai gelaran rasmi terhadapnya apabila menganjurkan Sidang Kemucak Wanita Pertama selama tiga hari yang menelan belanja RM4.5 juta.

Malahan sesetengah pihak menganggap dari hari ke sehari, Rosmah dilihat begitu dominan dalam pentadbiran Najib dan dikatakan sebagai pihak di belakang tabir dalam beberapa keputusan pentadbiran Najib.

Memetik blog bedukcanang.blogspot, dalam satu entri lama di awal tahun 2010, pengendali blog tersebut melihat tingkah laku Rosmah sebagai tidak mustahil sekiranya beliau mempunyai cita-cita untuk terjun ke dunia politik sepenuhnya dan langkah-langkah awal untuk mempromosi dirinya sedang giat dijalankan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Teng cadang Rosmah bertanding pilihan raya


Sementara itu, FMT pula dalam satu temu bual bersama Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim sekitar Oktober tahun lalu, dengan nada sinis Teng turut mencadangkan agar Rosmah bertanding dalam pilihan raya itu nanti.

Selain itu keputusan Najib meletakkan Senator Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil sebagai Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini juga ‘dibaca’ sebagai tindakan bagi membolehkan Rosmah lebih berperanan jauh dalam hal ehwal yang membabitkan kementerian tersebut.

Status Sharizat yang hanya sebagai Senator yang bukanlah dipilih rakyat sebaliknya dilantik PM telah memaksa Sharizat hanya bertindak sebagai timbalan atau penasihat kepada Rosmah.

Malahan Rosmah turut diberikan kuasa untuk mengendalikan program Permata yang sepatutnya lebih relevan diletakkan di bawah kendalian Kementerian Pelajaran yang menterinya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Baru-baru ini, ketika Rosmah di Arab Saudi, beliau juga mengadakan perbincangan dengan Menteri Pelajaran Arab Saudi, Putera Faisal Bin Abdullah Bin Mohamad Al-Saud Royal Suite, Intercontinental Hotel di sana sekaligus seolah membelakangkan Muhyiddin.

Bagi kebanyakan penyokong PR, Rosmah dianggap menghina Islam apabila menjadi penaung Festival Busana Muslim yang diadakan di Monte Carlo, Monaco yang memperagakan ‘busana muslim’ memaparkan nama Nabi Muhammad dalam keadaan terbalik dan mendedahkan aurat wanita.

RM100,000 satu malam bilik hotel

Sementara itu dalam satu ceramah di Taman Bolton, Gombak Isnin lalu, Timbalan PKR, Azmin Ali mendedahkan Rosmah dikatakan telah menginap di Hotel Atlantis, Dubai yang menelan belanja sebanyak 120,000 dirham atau kira-kira RM100,000 untuk satu malam.

Kontroversi tidak putus melibatkan Rosmah juga mungkin menambah rumitkan Najib apabila kos perbelanjaan isterinya itu ke luar negara dikatakan mempunyai signifikan terhadap peningkatan 40 peratus peruntukkan perbelanjaan lawatan JPM ke luar negara seperti yang diumumkan dalam parlimen tahun lalu.

Keputusan Najib dalam belanjawan 2011 yang memperuntukan sejumlah RM111 juta bagi Pusat Anak Permata Negara yang dinaungi isterinya sebelum ini telah mendapat bantahan keras dari ahli-ahli parlimen blok pembangkang.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan samada keputusan-keputusan Najib yang menyentuh isterinya itu dibuat berdasarkan nasihat yang diberikan oleh penasihat-penasihatnya termasuk syarikat penasihat komunikasinya yang penuh kontroversi itu atau pun terpaksa menolak nasihat tersebut bagi memberi laluan kepada isterinya itu

Rabu, 12 Januari 2011

Keyakinan PR ke Putra Jaya: Realistik atau fantasi?


Gembar-gembur Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin hari semakin hangat diperkatakan dengan pelbagai versi dan spekulasi tarikh pembubaran parlimen sekaligus memberi laluan PRU-13 diadakan.

Antara spekulasi yang semakin kencang bertiup pada masa ini ialah jangkaan PRU-13 akan diadakan pada tahun ini khasnya setelah Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak memanggil ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) bermesyuarat baru-baru ini.

Dua parti utama ketika ini melahirkan keyakinan masing-masing untuk meraih kejayaan dalam PRU-13 itu nanti. Masing-masing BN dan Pakatan Rakyat (PR) ketika ini mula mencongak kekuatan dan kelemahan mereka dan juga pihak lawan.

Di pihak PR pada masa ini sedang menjulang harapan dan keyakinan yang cukup tinggi untuk menyingkirkan BN daripada Putra Jaya sekaligus buat pertama kalinya menamatkan dominasi 53 tahun BN.

PRU-13 peluang terbaik PR

Bagaimanapun, benarkah pada masa ini PR sedang berada di atas landasan yang betul untuk menerjah ke Putra Jaya? Apakah faktor yang menyumbang kepada keyakinan mereka itu?

Pada masa ini faktor utama kelebihan PR bukanlah kekuatan PR itu sendiri tetapi ianya lebih merupakan kelemahan BN dengan pelbagai isu rasuah, penyelewengan, skandal dan yang paling utama keputusan-keputusan BN yang memberi kesan secara langsung kepada kehidupan rakyat negara ini.

Walaupun kerajaan berusaha menerangkan kepada rakyat negara ini tentang pemulihan ekonomi negara dengan menghidangkan angka-angka KDNK, indeks saham, unjuran pertumbuhan ekonomi dan sebagainya gagal menarik minat rakyat kebanyakkan.

Pada masa ini, perkara utama yang menjadi pertimbangan umum ialah tekanan terhadap kos sara hidup yang semakin memuncak sekaligus menjadikan ianya isu utama yang mempengaruhi undi dalam PRU kelak.

Tatkala BN di bawah pimpinan Najib masih lagi terus membuat keputusan yang kurang disenangi rakyat terbanyak dengan siri-siri kenaikan harga barangan keperluan, PR pula dilihat bijak memainkan peranan maksima bagi mendapatkan sokongan rakyat.

Malahan bagi sesetengah pihak, imej dan tindakan isteri PM, Datin Seri Paduka Rosmah Mansor sedikit sebanyak turut menambah memberatkan lagi langkah BN untuk terus berkuasa selepas PRU-13.

Bagaimanapun sedikit sebanyak konsep 1 Malaysia Najib mampu memulihkan kembali sokongan pengundi bukan Islam yang beralih kepada pembangkang akibat penolakan konsep 'Islam Hadhari' ketika era Tun Abdullah Badawi sebagai PM.

Sekiranya arus utama tsunami politik dalam PRU-12 lalu adalah manifestasi penolakan terhadap konsep Islam Hadhari Abdullah oleh golongan tersebut, maka sekurang-kurangnya Najib sedikit mampu menarik nafas lega dengan slogan 1 Malaysianya.

Faktor Anwar Ibrahim

Suka atau tidak, Anwar Ibrahim adalah salah satu faktor kelebihan bagi PR. Dalam keadaan kredibiliti beliau yang mulai terhakis disebabkan isu pemilihan PKR mahupun keputusan dan tindakan kontroversinya, beliau masih lagi merupakan salah satu sumber kelebihan PR.

Kejayaan pembangkang pada hari ini banyak dibantu oleh kekuatan pengaruh Anwar semenjak bermulanya penentangan Anwar terhadap BN apabila beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Umno.

Bagaimanapun, imej Anwar pada masa ini, dilihat hampir menyamai imej lima tahun terakhir Tun Mahathir bergelar PM. Walaupun ketika itu Mahathir merupakan ketua yang mempunyai kekuatan tersendiri ketika mengepalai BN tetapi pada masa yang sama, sedikit demi sedikit beliau mula dianggap sebagai liabiliti kepada partinya itu.

Pengundi muda undi penentu
Anggapan PR bahawa majoriti anak-anak muda menyebelahi mereka hanyalah satu tanggapan berdasarkan kepercayaan terhadap mood anak-anak muda yang mahukan perubahan.

Hakikatnya, tiada parti yang boleh mendakwa peratusan sokongan kelompok ini akan memihak kepada mereka. Tambahan pula, kebanyakkan anak-anak muda ini merupakan pengundi baru dalam PRU-13 yang masih tidak dapat dicula undian mereka nanti.

Meskipun ada kajian-kajian yang dijalankan oleh badan-badan tertentu terhadap pendirian politik kelompok anak muda ini, ia masih tidak boleh dijadikan gambaran sepenuhnya mood kelompok ini.

Menurut hasil kajian penganalisis politik terkenal, Profesor Abu Hassan Hasbullah, golongan pengundi berumur 21 hingga 40 tahun ini merupakan kelompok penentu dalam PRU-13 nanti.

PR Pulau Pinang punyai kelebihan perolehi mandat semula

Salah satu faktor yang boleh dianggap sebagai kekuatan PR di peringkat pusat pada masa ini ialah dengan menjadikan contoh Kerajaan PR Pulau Pinang yang dianggap berjaya menguruskan pentadbiran negeri yang dianggap cemerlang berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara dan terbaru Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Malangnya laporan dan kajian ini seboleh-bolehnya tidak dilaporkan oleh akhbar-akhbar arus perdana kawalan Umno dan BN.

Pada masa ini kerajaan PR Pulau Pinang dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk memperolehi mandat semula dalam PRU-13 berbanding Selangor walaupun kerajaan negeri di bawah pimpinan Lim Guan Eng itu turut diserang dari segenap sudut.

Serangan bertali arus Umno terhadap kerajaan negeri dianggap tidak mampu memberi kesan yang maksima terhadap pengundi majoriti berbangsa Cina di Pulau Pinang berbanding serangan yang sepatutnya datang dari Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Umno, dengan berbekalkan isu yang banyak menyentuh kepentingan kaum Melayu sahaja, maka isu yang dibawakan oleh Umno telah gagal menarik perhatian masyarakat bukan Melayu di Pulau Pinang.

Bagaimanapun Parti Gerakan yang sepatutnya memegang peranan sebagai penyerang utama bagi menarik kembali sokongan majoriti bukan Melayu Pulau Pinang bagi pihak BN berbanding Umno, ketika ini hanya mampu melancarkan serangan yang hambar.

Sebenarnya keadaan ini wujud apabila Lim sendiri agak bijak meminimakan kesilapan percaturan tatkala membuat keputusan-keputusan penting, mampu menutup titik-titik kelemahan yang ada dan akhirnya menyempitkan peluang serangan di pihak pembangkang negeri itu.

Secara umumnya, masyarakat Cina di Pulau Pinang dianggap tidak menghadapi sebarang masalah dengan kehadiran Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi masyarakat Melayu dan India pula, pertambahan sokongan terhadap kepimpinan Lim dari golongan ini juga dikatakan meningkat ekoran beberapa pendekatan kerajaan negeri yang dilihat menguntungkan penduduknya.

Faktor kerajaan negeri yang berbelanja dengan berhemah, menaikkan peruntukan kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, sekolah agama dan madrasah, keupayaan memberi bonus tahunan, satu-satunya kerajaan negeri yang memberi bonus tahun baru hijrah dan lain-lain telah berjaya memikat hati pengundi golongan ini.

Kerajaan PR Selangor bermasaalah pertahankan kerajaannya?

Kerajaan PR Selangor pula, walaupun bermula baik pada dua tahun pertamanya namun pada masa ini mulai dihantui dengan pelbagai kontroversi berhubung politik dalaman PKR.

Menjadikan keadaan lebih malang lagi apabila kerajaan PR Selangor bukan sahaja terpaksa menghadapi serangan tanpa henti dari pihak lawan dari luar, malahan kewujudan 'parasit-parasit' di dalam kem lebih banyak menyumbang kepada kerosakkan dalam parti.

Sekiranya PR gagal mempertahankan kerajaan di negeri terkaya negara ini, ianya bukanlah sekadar disebabkan serangan bertali arus atau kebangkitan Umno dan BN Selangor tetapi juga disebabkan pertelagahan sesama mereka sendiri.

Gangguan dalaman terhadap Khalid

Tan Sri Khalid Ibrahim dianggap oleh sesetengah pihak di Selangor gagal menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar dengan baik disebabkan terdapat gangguan daripada pihak dalaman PKR sendiri.

Antara teori yang menjelaskan keadaan tersebut ialah tindakan Khalid yang tidak bertanding dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR walaupun sebelumnya telah menawarkan diri untuk menyertai persaingan itu.

Khalid dikatakan menerima 'wahyu' supaya menyatakan kesediaan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dengan tujuan memancing Datuk Zaid Ibrahim keluar dari pertandingan jawatan nombor dua itu sekaligus memberi laluan mudah kepada Azmin Ali.

Sebelum itu, Zaid berkata dalam satu kenyataan medianya, beliau akan menarik diri sekirannya Khalid turut menyertai persaingan tersebut dan memberi sokongan kepada Khalid.

Bagaimanapun helah tersebut tidak berkesan apabila Zaid masih meneruskan hasratnya untuk bertanding dan memaksa Khalid menolak pencalonan di saat-saat akhir bagi mengelak perpecahan undi di cabang-cabang negeri Selangor dan menjejaskan peluang kemenangan Azmin.

Dari sudut kelebihan yang ada pada kerajaan PR Selangor pula, pada masa ini tertumpu kepada beberapa program yang dijalankan oleh kerajaan negeri khususnya berkaitan isu kembalikan hak air Selangor yang masih belum dapat dimuktamadkan lagi.

Melalui isu air ini, masyarakat di Selangor lebih cenderung untuk memberikan sokongan kepada kerajaan negeri kecuali penyokong tegar dalam BN dan golongan kelas atasan.

Juga merupakan bonus bagi PR apabila bekas Menteri Besarnya, Dato Sri Dr Khir Toyo terjerumus dalam dakwaan kancah rasuah dan bakal didakwa pada bulan Jun nanti.

Harapan PR Selangor untuk kembali berkuasa selepas PRU-13 tetap masih ada walaupun mereka sendiri telah memilih jalan paling sukar dengan membiarkan permainan politik dalaman menguasai pentadbiran kerajaan negeri itu.

Selasa, 11 Januari 2011

Harga barang naik: Kenyataan menteri diselar

PETALING JAYA: Kenyataan menteri-menteri berkaitan kenaikan harga barang-barang pengguna semenjak kebelakangan ini diselar dan diumpamakan seperti menteri yang tidak pernah bersekolah oleh Ketua Penerangan Pas Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

"Ini jawapan dari seorang menteri yang macam tidak bersekolah. Mereka ingat senang-senang ke nak bodohkan rakyat? Macamana harga barang tak naik? Anda meniaga sendirilah, baru tahu macamana.

"Kalau barang yang sampai kepada mereka pun harga dah mahal atau lebih tinggi dari sebelumnya, macamana mereka hendak jual dengan harga yang sama seperti sebelumnya atau lebih murah?

"Kalau nak marah kepada peniaga dan pengedar semata-mata tentulah tak adil kerana ekonomi ini seperti satu rantaian. Pengedar pula tentu akan mengambil kira harga dari kilang yang naik akibat peningkatan kos, kos pengangkutan dan sebagainya," kata beliau ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, walaupun terdapat segelintir peniaga yang mengambil kesempatan namun secara umumnya faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan harga barang pengguna disebabkan kelemahan kerajaan dalam menguruskan ekonominya yang tidak mendahulukan rakyat.

"Memang ada peniaga yang ambil kesempatan menaikkan harga barang tapi kenaikan harga barang sekarang ini melibatkan seluruh negara. Percayakah anda harga barang naik sebab semua peniaga seluruh negara ambil kesemapatan? Sebenarnya segelintir sahaja yang naikkan harga barang secara berlebihan.

" Tetapi media kerajaan sengaja memberi liputan terhadap penyelewengan peniaga yang menyorokkan bekalan dan menaikkan harga di pasaran berlebihan untuk mengaburi kelemahan mereka menguruskan ekonomi yang tidak mendahulukan rakyatnya.

Ustaz Idris turut menemplak kenyataan seorang Timbalan Menteri yang dipercayai merujuk kepada Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe yang baru-baru ini berkata bekalan keperluan pengguna seperti minyak masak mencukupi di pasaran.

"Kemudian ada pula Timbalan Menteri yang cakap bekalan barang keperluan sentiasa cukup di pasaran. Contohnya minyak masak dan bawang, tapi bila kita hendak beli, terpaksa keluar masuk empat, lima kedai baru dapat.

"Itu pun harga yang mahal. Bayangkan harga bawang besar boleh cecah RM5 sekilo dari cuma seringgit lebih, lepas tu tiga ringgit lebih. Dalam masa lebih kurang setahun sahaja, sekarang dah RM5 sekilo atau RM18 seguni berbanding sebelumnya RM5 sahaja seguni," kata Ustaz Idris lagi.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri berkata penyelarasan harga beberapa barangan termasuk harga bahan api yang dibuat oleh kerajaan tidak memberi kesan kepada harga barangan lain

Bagaimanapun baru-baru ini beliau mengubah kenyataannya dengan mengatakan penyelarasan tersebut akan hanya memberi impak yang minima dan tidak melibatkan semua barang.

Dalam isu yang sama, Ustaz Idris menyambut baik pelawaan Pakar Matematik Gunaan, Profesor Madya Hamid Yeop untuk berkongsi formula dengan mana-mana parti politik yang berhasrat memerintah negara ini bagi meringankan bebanan rakyat.

Dalam satu kajian yang dijalankan sebelum ini, Prof Hamid mendapati harga bahan api di negara ini boleh diturunkan memandangkan negara ini merupakan sebuah negara pengeluar minyak.

Dalam kajian yang sama juga mendapati oleh kerana Malaysia sebuah negara pengeluar minyak, harga minyak dalam pasaran tempatan tidak wajar ditentukan mengikut pasaran antarabangsa bagi membolehkan harga yang lebih rendah untuk pasaran tempatan.

Jumaat, 7 Januari 2011

Surat terbuka Tun Mahathir kepada Tunku Abd Rahman

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyampai ucaptamanya pada Seminar Perdana: Perpaduan Asas Pembangunan Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam semalam berkata orang Melayu hari ini perlu bersatu seperti mana ketika menentang Malayan Union dahulu.

“Orang Melayu tanpa mengira fahaman politik, perlu kembali berpegang kepada semangat perpaduan tulen seperti mana berlaku sewaktu menentang gagasan Malayan Union tajaan British pada tahun 1940-an,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut mengulas kerjasama parti pembangkang hari ini dengan berkata mereka akan memberikan keutamaan kepada merit dan sudah pasti kaum lain meninggalkan kaum Melayu dan akhirnya Melayu akan terpinggir dan ditindas seperti yang terjadi di Singapura.

“Bukan mahu mengatakan orang Melayu ini tidak berkeupayaan, tetapi kalau nak lihat orang Melayu kita jadi macam di Singapura, undilah parti lawan,” katanya dengan nada sinis.

Daripada ucapan Dr Mahathir itu, apakah yang tersirat di sebalik seruan beliau yang mahukan Melayu bersatu? Adakah ianya berkisar kepada penyatuan Melayu semata-mata atau memperalatkan Melayu demi mempertahankan kerajaan Umno dan BN yang ada sekarang?

Persoalan yang lebih penting lagi, secara tidak langsung adakah Dr Mahathir cuba memberitahu kaum bukan Melayu dalam negara ini adalah musuh kepada kaum Melayu.

Umum mengetahui pendirian Dr Mahathir yang mempunyai hubungan intim dengan sebuah NGO, Perkasa yang dianggap sebuah pertubuhan yang tegar dengan semangat keMelayuan sekaligus dianggap sebagai pertubuhan rasis.

Pada 1969 dalam satu surat terbuka Dr Mahathir kepada Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman menjelaskan lagi pendirian Mahathir yang tidak berubah semenjak dahulu lagi. Jadi tidak menghairankan apabila beliau turut menyinseng lengan bersama Datuk Ibrahim Ali dalam Perkasa.

Antara sedutan surat terbuka Dr Mahathir kepada Tunku Abdul Rahman bertarikh 17 Jun 1969.

Perenggan 3 dan 4

‘Tunku biasa cherita kepada patek sendiri ia-itu Tunku mengelakan rusohan kaum dengan menahan hukum bunoh yang dijatohkan kepada sabelas orang subversib China. Sabenarnya tindakan Tunku ini-lah yang mengakibatkan rusohan dan kematian yang berpuloh kali banyak yang terjadi semenjak 13 Mei.’

‘Tunku selalu ‘bertolak ansur’ ia-itu memberi kepada orang-orang China apa yang mereka tuntut. Punchak tolak ansur ini ia-lah pembatalan hukum bunoh tadi. Pembatalan ini menimbulkan kemarahan yang besar oleh orang2 Melayu. Orang2 China pula manganggap Tunku dan Kerajaan Perikatan sebagai pengechut dan lemah dan boleh di-tolak ke-sana ke-mari.’

Tuduh Tunku gemar bermain poker dengan rakan Cina

Perenggan 7 dan 8

‘Mereka kata Tunku chuma ingin di-kenalkan sebagai ‘The Happy Prime Minister’ walaupun ra’ayat menderita. Mereka tahu bahawa dalam keadaan dharurat pun Tunku ashek bermain poker dengan kawan2 China Tunku. Budak2 polis mencherita yang Tunku menggunakan kenderaan dan eskot Polis untuk bermain poker’

‘Sa-balek-nya pula orang2 China tidak ada sedikit pun hormat kepada Tunku. Mereka berkata Tunku ‘na├»ve’ dan tidak ada kaliber. Ada lagi yang mereka kata yang ta’ dapat patek sebutkan. Kata2 itu datang dari semua golongan orang China, dari intelek sa-hingga China becha.’

'Dua sudu darah Pakistani dalam tubuh patek'

Perenggan 13

Patek di-beri tahu ia-itu Tunku berkata patek Pakistani. Patek tidak percaya kata2 orang kerana patek tahu Y.T.M Tunku tidak akan berkata begitu. Patek-lah yang selalu mempertahankan Tunku apabila orang2 PAS kata Tunku anak Siam yang ta’ berhak memimpin orang Melayu. Jadi Tunku juga akan mempertahankan patek walau pun maseh ada dua sudu darah Pakistani dalam tuboh badan patek.

Berdasarkan petikan di atas, harus diingatkan bahawa ini adalah surat terbuka yang dapat dibaca oleh masyarakat pada masa itu. Selain tindakan beliau yang membuat tuduhan terbuka gemar bermain poker terhadap bapa kemerdekaan itu yang tentu memalukan Tunku, surat beliau ini turut mengandungi perasaan prejudis terhadap kaum Cina di negara ini.

Dalam surat beliau itu juga, beliau turut mengakui masih mempunyai 'dua sudu' darah Pakistani dalam tubuh badannya.

Ahad, 2 Januari 2011

Isu panas pembuka Tirai 2011: Satu lagi salah laku seks vvip terburai?

PETALING JAYA: Ketika akhbar arus perdana berterusan menyepikan isu berhubung dakwaan skandal seks pemimpin negara, satu lagi skandal seks yang didakwa melibatkan golongan vvip dibongkar.

Skandal yang dikatakan melibatkan hubungan seorang ketua agama dengan peragawati yang juga seorang pelakon terkenal tanah air, Kavita Kaur itu mula dibangkitkan oleh beberapa blog terkenal termasuk Tranungkite.net yang menduduki carta nombor satu dalam Carta Alexa untuk Blog dan Portal Politik Malaysia 2010.

Selain Tranungkite.net, blog Tukar Tiub yang dikendalikan oleh aktivis terkenal Isham Rais, weblog Marhaen, Anak Sungai Derhaka, Pulak Dah, Steadyaku47 dan beberapa blog lain turut memfokuskan isu yang sama.

Sebelum ini, Tukar Tiub, blog yang menduduki carta nombor empat dalam carta yang sama dilihat secara konsisten telah menyelitkan nama Kavita Kaur dalam entri-entri yang melibatkan golongan raja-raja dengan maksud tertentu yang tidak didedahkan.

Rentetan tindakan tersebut, portal berita FMT, blog Beduk Canang dan Ureka Asia telah mempersoalkan kehadiran nama pelakon jelita tersebut dalam entri-entri Tukar Tiub.

Baru-baru ini pula, weblog Marhaen, blog Anak Sungai Derhaka, Pulak Dah, steadyaku47 dan beberapa lagi mula memberikan perhatian mereka dalam isu ini yang dikatakan berlaku sekitar Selangor dan Kuala Lumpur ini.

Malahan ada antara blog ini yang secara berani mendedahkan nama pembesar terbabit sekaligus dikaitkan dengan perlantikkan kontroversi Datuk Khusrin Munawai sebagai setiausaha kerajaan (SUK) negeri Selangor.

Sementara itu, dalam isu kejadian rogol yang melibatkan seorang menteri kabinet terhadap pembantu rumahnya yang terbongkar gara-gara pendedahan WikiLeaks juga semakin rancak diperkatakan di alam siber.

Bermula daripada laporan blog Rocky Bru yang kelihatan samar pada awalnya, isu ini mula menunjukkan perkembangan dengan penemuan-penemuan maklumat terbaru yang diantaranya gambar wanita yang dikatakan sebagai mangsa rogol menteri dan sepucuk surat aduan yang ditulis oleh adik mangsa, Robengah.

Beberapa blog juga didapati mula menyiarkan surat terbabit yang dialamatkan kepada Migrant Care’s dengan menghitamkan pada bahagian nama menteri yang dikatakan melakukan perbuatan rogol itu.

Bagaimanapun nama menteri berkenaan masih boleh dilihat apabila imej surat berkenaan dibesarkan. Antara beberapa blog terkenal yang memfokuskan isu ini dengan menyiarkan surat tersebut Sharpshooter, Tranungkite.net, Tukar Tiub, Anak Sungai Derhaka, weblog Marhaen, edyesdotcom dan banyak lagi.

Pada ketika ini, nama menteri yang terlibat bukanlah lagi menjadi satu rahsia di alam siber sekaligus sedikit sebanyak menjejaskan imej Umno, Barisan Nasional dan individu itu sendiri.

Skandal ini sudah tentu menambahkan lagi senarai bahan kempen Pakatan Rakyat baik dalam Pilihan Raya Kecil DUN Tenang mahupun PRU-13 nanti.

Paparan Halaman