Rabu, 21 Julai 2010

Rasionalisasi subsidi: Rakyat korban kerakusan BN?

Tindakan kerajaan memotong subsidi beberapa barang keperluan baru-baru ini banyak menimbulkan persoalan di kalangan masyarakat. Antaranya, adakah tindakan tersebut merupakan pengorbanan yang perlu diterima rakyat demi negara tercintanya ini atau adakah sebenarnya rakyat dikorbankan angkara sikap kerajaan BN yang boros berbelanja kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya, masalah rasuah, ketirisan dan juga hanya kerana memenuhi nafsu ketamakan dua, tiga kerat manusia?

Bagi merasionalisasikan langkah tersebut, akhbar-akhbar arus perdana kawalan kerajaan pun mulalah menyiarkan tulisan-tulisan yang mengambarkan keburukan mentaliti masyarakat negara ini yang mengharapkan subsidi dari kerajaan. Masyarakat yang menerima subsidi ini digambarkan sebagai sebuah masyarakat yang begitu jelek dalam pelbagai aspek.

Antara subsidi dan ‘bail-out’

Perkataan subsidi itu sendiri lazimnya hanya digunakan untuk bantuan kepada rakyat terbanyak. Lazimnya juga perkataan subsidi ini tidak digunakan apabila kerajaan memberikan bantuan atau menyelamatkan syarikat milik individu tertentu yang mempunyai hubungan dengan individu tertentu dalam kerajaan. Sebaliknya perkataan yang digunakan ialah ‘bail-out’ untuk tujuan kononnya terdapat perbezaan antara keduanya selain mendapatkan bunyi yang berbeza dan lebih lunak didengar walaupun hakikatnya kedua-duanya merupakan perkara yang sama.

Inilah yang sedang berlaku dalam negara ini, subsidi kepada rakyat terbanyak mula dipotong secara berperingkat tetapi pada masa yang sama subsidi kepada syarikat konglomerat dan milik individu tertentu dibayar dalam jumlah yang berlipat kali ganda lebih tinggi daripada subsidi kepada rakyat yang dipotong.

Subsidi untuk Sime Darby

Baru-baru ini kerajaan amat ‘tidak berkira’ apabila dalam memberi subsidi yang disebut pampasan berjumlah RM700 juta kepada sebuah syarikat konglomerat Sime Darby untuk menampung kerugian lebih RM900 juta yang dialami syarikat tersebut sedangkan manfaatnya bukanlah kepada rakyat terbanyak.

Subsidi kepada ‘syarikat-syarikat terpilih’ seperti ini mengingatkan kita ketika era Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia dahulu. Ketika itu Syarikat Dana Negara telah ditubuhkan bagi mengagihkan subsidi kepada ‘syarikat-syarikat nazak terpilih’ tersebut dan dinamakan bail-out.

Komisyen untuk pembelian kapal selam

Selain itu, umumnya msyarakat di negara ini tahu isu kerajaan dikatakan tidak berkira untuk membayar komisyen sehingga 114 juta Euro (lebih RM500 juta) kepada Syarikat Perimekar Sdn Bhd milik rakan PM sendiri ketika beliau masih lagi menjawat jawatan Menteri Pertahanan tidak lama dahulu atas urusan pembelian dua buah kapal selam Scorpene.

Kalau pun bayaran komisyen kepada syarikat tersebut dibuat oleh firma pengeluar kapal selam berkenaan dan bukannya oleh kerajaan Malaysia, namun jumlah komisyen itu tentunya mempengaruhi tanda harga pembelian tersebut menjadikan ia semakin berganda untuk dibayar oleh negara pembeli.

Hak rakyat bukan hak peribadi BN

Malangnya, dalam membuat keputusan ke atas kedua-dua isu tersebut, Najib seakan terlupa wang sebanyak itu yang dikeluarkan bukanlah datang dari sakunya sendiri atau wang peribadinya mahupun hak BN tetapi adalah hak rakyat Malaysia keseluruhan. Tindakan itu tentunya menuntut penjelasan yang rasional kepada rakyat.

Walaupun sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Idris Jala yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU), telah lama menjelaskan akan keperluan untuk menjimatkan perbelanjaan demi mengelakan negara ini dari muflis, namun hingga kini tiada langkah-langkah konkrit yang diambil kerajaan untuk mengekang pembaziran melainkan langkah kerajaan menghimpit rakyat dengan memotong subsidi.

JPM sendiri turut berbelanja terlebih bajet?

Jabatan Perdana Menteri (JPM) sendiri memberi contoh buruk kepada jabatan kerajaan lain apabila di beritahu di Dewan Rakyat bahawa jabatan tersebut telah membelanjakan 3.8 bilion pada tahun lalu. Malah untuk tahun 2010, jabatan ini juga telah dijangka akan belanjakan lebih dari peruntukan RM3.9 bilion yang diperuntukan..

Memandangkan tahun 2010 baru sahaja memasuki bulan ke tujuh (Julai), kemungkinan besar perbelanjaan JPM bakal melebihi dari apa yang telah diperuntukan. Ini menunjukan hingga ke hari ini tiada menunjukan sebarang tanda-tanda perubahan dasar kerajaan agar lebih berhati-hati membelanjakan wang cukai yang dibayar rakyat.

Mendesak kerajaan kaji semula keputusan merugikan negara

Dalam keadaan negara ini cuba mengelak daripada muflis seperti mana negara Grece, selain kecekapan menguruskan dana negara, keperluan negara untuk memperolehi pendapatan yang optimum amatlah diperlukan. Mungkin Najib perlu menilai semula beberapa keputusan yang dibuat kerajaan pimpinan beliau sebelum ini yang membelakangkan kepentingan rakyat terbanyak.

Antaranya pampasan (sebenarnya subsidi) kepada Sime Darby, memberi kelonggaran cukai untuk membeli kereta buggy kepada pemilik resort padang golf yang tentunya manfaatnya bukan kepada rakyat terbanyak dan menilai semula beberapa projek mewah kerajaan. Ini tidaklah termasuk bayaran yang mungkin telah ‘terlajak’ seperti komisyen kepada Syarikat Perimekar Sdn Bhd contohnya.

Dalam keadaan rakyat diminta berkorban untuk negara, kerajaan juga amat wajar lebih telus kepada rakyat berkaitan perbelanjaan yang dibuat kerajaan apatah lagi ia menjadi hak rakyat untuk mengetahuinya. Lebih-lebih lagi apabila ditanyakan di Dewan Rakyat, tentunya wajar dijawab dengan tanpa berdolak-dalih.

Najib tidak telus menjawab soalan kos biayai Rosmah di luar negara.

Bukanlah seperti mana yang dilakukan oleh Najib sendiri apabila enggan menjawab dengan objektif satu soalan berkenaan kos ditanggung kerajaan untuk membiayai isteri beliau, Rosmah Mansor sepanjang mengiringi lawatan beliau ke luar negara, Amerika Syarikat khususnya.

Walaupun menurut jawapan beliau, perbelanjaan untuk menanggung Rosmah Mansor ketika di luar negara itu adalah jumlah yang selayaknya dengan kedudukan isterinya itu sebagai isteri kepada seorang Perdana Menteri namun keengganan beliau mengeluarkan angka sebenar menyebabkan masyarakat membuat tanggapan sendiri.

Secara logiknya juga, jika perbelanjaan tersebut tidak melangkaui batas (angka) yang sewajarnya, tentu ia tidak menjadi keberatan untuk diberikan jawapan secara objektif (angka-angka). Rakyat juga tentunya akan sedia maklum akan kos pembiayaan lawatan ke luar negara sememangnya amat tinggi apatah lagi untuk seorang yang selayaknya dengan kedudukan sebagai seorang isteri Perdana Menteri tetapi selagi haruslah dalam angka-angka yang munasabah. Jesteru itu, Najib tidak harus ragu-ragu untuk memberikan jawapan kepada soalan wakil rakyat yang menanyakan soalan tersebut.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman