Selasa, 13 Julai 2010

Rasuah: Makin sebati dalam masyarakat kita?

Benarkah barah rasuah di kalangan masyarakat kita hari ini semakin kronik? Baik bagi penjawat awam mahupun yang bukan penjawat awam. Persoalan sejauh manakah masyarakat negara kita menentang rasuah juga boleh disangsikan. Ini dapat dilihat apabila secara tidak kita sedari sistem yang bernanah ini semakin hari semakin diterima oleh masyarakat. Komen seorang rakan, kita ditewaskan oleh sistem.

Kubur lain-lain

Bagaimana yang dikatakan tanpa kita sedari kita sendiri telah merestui rasuah? Terdapat pendapat beberapa golongan dalam masyarakat bahawa sesiapa yang melakukan rasuah, nanti mereka sendiri yang akan menanggung dosanya. Dalam erti kata lain, kubur lain-lain. “Engkau buat, engkau tanggunglah sendiri nanti. Kalau tidak pun di dunia, di akhirat nanti. Aku tidak terlibat dengan rasuah. Jadi, tidak kena mengena dengan aku.” Begitulah tanggapan sesetengah orang. Tetapi bagaimana pula jika kita merestui rasuah atau sengaja memilih pemimpin yang diketahui rasuah?

GST diperkenalkan, subsidi bakal dimansuhkan

Masyarakat kita lupa, kesan rasuah dalam negara kita memberi kesan kepada keseluruh rakyat negara ini. Ketirisan dana negara akibat rasuah inilah meyebabkan kerajaan terpaksa mencari alternatif lain untuk menampung perbelanjaan negara. Antaranya ialah memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan mengambil langkah untuk menghapuskan subsidi secara berperingkat-peringkat.

Sudah tentu dengan merealisasikan dua langkah berkenaan itu nanti, bakal menyebabkan harga barangan keperluan di pasaran melambung tinggi sekaligus memberi tekanan hidup masyarakat khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana. Malahan pada ketika ini pun kesannya sudah mula dirasakan.

'Makan sikit-sikit' boleh diterima?

Ada pula pendapat lain mengatakan, mereka memahami dan boleh menerima andainya pemimpin-peminpin negara yang ‘makan sikit-sikit’ setakat satu atau dua juta tetapi mereka tidak dapat menerima sekiranya pemimpin ini bersikap tamak, makan sampai berpuluh-puluh juta malah berbilion. Pendapat seperti ini juga adalah satu petanda jelas bahawa masyarakat kita sudah mula merestui perbuatan rasuah asalkan ‘berpada-pada.’

Adakah hari ini menerima rasuah dalam nilai yang kecil itu sudah tidak menjadi kesalahan lagi? Ini bermakna wang seratus dua yang dihulurkan kepada anggota polis bagi mengelak dikenakan saman bukanlah satu kesalahan lagi. Ya, hakikatnya ramai di antara kita yang sanggup ‘menyumbang’ beberapa puluh atau seratus dua kepada anggota polis bagi mengelak saman yang nilainya lebih tinggi untuk dibayar. Semakin hari kita semakin menerima keadaan ini.

Rasuah di kalangan anggota keselamatan

Cuba kita bayangkan ketika kita sedang memandu di sebatang lebuhraya, tiba-tiba kita ternampak dua orang anggota polis bersama seorang pemandu lori yang telah melakukan kesalahan lalu lintas di bahu lebuhraya tersebut. Apakah tanggapan pertama yang terlintas di fikiran kita? Saya pasti kebanyakan akan terdetik di dalam hati “ini tak lain nak cari duit kopi.” Mengapakah andaian demikian yang menjadi tanggapan pertama kita? Walhal mungkin juga dua anggota polis tadi benar-benar amanah dalam menjalankan tugas mereka. Itulah persepsi masyarakat dan mereka tidak boleh dipersalahkan dengan persepsi negatif tersebut. Ketua Polis Negara pula, tidak usahlah berusaha menegakkan benang basah.

Rasuah dalam jabatan kerajaan lain

Selain itu, barah rasuah dalam jabatan-jabatan kerajaan juga semakin menjadi-jadi. Antara puncanya ialah apabila masyarakat sendiri telah menerimanya sebagai satu syarat untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan. Bukan sedikit yang sanggup menjolok duit bawah meja untuk mempercepatkan pendaftaran kereta baru di JPJ misalnya. Individu yang memberi habuan itu sendiri pun tidak kisah asalkan dapat segera memandu pulang kereta idamannya. Hari ini, perbuatan seperti ini juga sudah boleh dibincangkan secara terbuka tanpa sebarang ketakutan.

'Kabel' untuk meluluskan permohonan

Begitu juga dengan permohonan pelbagai peruntukan dari jabatan atau agensi kerajaan dan tidak ketinggalan juga untuk memohon kerja. Dalam situsi begini, istilah ‘kabel’ atau ‘orang dalam’ memang popular. Mana-mana pemohon yang mempunyai ‘orang dalam’ atau ‘kabel’ mempunyai peluang lebih cerah berbanding pemohon lain. Tentunya tindakan begini hanya akan merugikan organisasi itu sendiri sekaligus masyaratnya sendiri apabila pemohon yang benar-benar layak diketepikan.

Konsep menggunakan orang dalam atau kabel ini juga telah lama diterima dalam masyarakat kita. Malahan ia menjadi kebanggaan apabila ada di kalangan pemohon ini boleh bercerita pula dengan perasaan bangga bahawa dirinya ada kabel untuk meluluskan permohonannya. Walaupun dalam sesetengah keadaan situasi begini tidak melibatkan wang sogokan, ia tetap merupakan perbuatan rasuah iaitu rasuah salah guna kuasa dan hak seseorang yang lebih layak telah dinafikan. Maka untuk menghalalkannya, dalam sesetengah keadaan cara ini diberikan nama yang lebih enak bunyinya iaitu mendapat sokongan atau pun surat sokongan.

Jesteru itulah, kadang-kala kita dapat mendengar cerita permohonan tanah Felcra oleh individu yang telah memiliki tanah yang berekar-ekar luasnya, malah ada juga yang memiliki stesyen minyak diluluskan. Pada masa yang sama individu yang masih belum memiliki walau sekangkang kera tanah telah dinafikan. Namun demi untuk mendapatkan tenaga kerja untuk berkempen atau sokongan ketika pemilihan cawangan atau bahagian, permohonan tadi kena juga diluluskan.

Kredibiliti SPRM semakin diragui

Begitulah penerimaan masyarakat kita terhadap rasuah hari ini. Jadi tidak hairanlah jika rasuah semakin berleluasa di negara ini. Masyarakat sendiri turut bertanggung jawab untuk mengekang amalan buruk ini ditambah pula dengan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diragui, dilihat lemah, double standard dan dianggap mengikut telunjuk Umno dan BN semata-mata.

Menolak parti rasuah dalam PRU-13

Salah satu cara paling utama untuk menunjukan isyarat jelas penolakan kita terhadap rasuah ini adalah dengan penolakan terhadap parti politik yang terang-terangan mengamalkan rasuah pada PRU-13 nanti yang cuma tinggal beberapa tahun sahaja lagi.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman