Isnin, 12 Julai 2010

Lagi isu pasir: Amaran untuk Kerajaan Selangor-Jangan sampai rakyat samakan dengan kerajaan dahulu


Di muka hadapan beberapa akhbar arus perdana hari ini telah melaporkan kejadian kecurian pasir yang semakin meruncing di negeri Selangor. Sebelum ini, isu yang sama juga pernah dibangkitkan oleh YB Kapar dari PKR, S.Manikavasagam yang mendakwa kerajaan negeri kehilangan pendapatan kira-kira RM10 juta akibat perlombongan pasir secara haram yang turut melibatkan tiga pegawai kanan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Adakah kerajaan negeri Selangor akan berterusan menafikannya dengan beranggapan ia sengaja diperbesar-besarkan oleh seteru politik untuk menumbangkan kerajaan negeri yang ada sekarang? Kerajaan negeri perlu bertindak dengan lebih agresif lagi bagi membendung masalah ini.

Kerajaan negeri yang ada kini haruslah membuktikan kesungguhan untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa, ketirisan serta ketelusan mereka dalam bertindak tanpa mengira samada individu dari kem yang sama atau kem berlainan. Rata-rata pengundi yang mengundi PR pada PRU lalu mengharapkannya adanya perbezaan (lebih baik) antara kerajaan terdahulu dengan kerajaan negeri yang ada sekarang.

Mungkin memang benar isu ini telah diperbesarkan oleh pihak pembangkang negeri Selangor (BN) demi kepentingan politik mereka. Namun sebenarnya mereka ini bijak mengambil kesempatan atas kelemahan kerajaan negeri sendiri dalam mengurus dan mentadbir negeri ini. Ruang kesempatan untuk melemahkan kerajaan negeri Selangor ini bukanlah diwujudkan oleh BN tetapi dicipta oleh pemimpin-pemimpin kerajaan negeri sendiri.

Kerajaan negeri haruslah bertindak lebih aktif untuk mengatasi masalah kecurian pasir dan juga isu-isu lain yang melemahkan imej kerajaan negeri dan bukanlah terus dilanda wabak sindrom penafian dan menyalahkan pembawa berita. Jika kerajaan negeri sendiri dengan tidak sengaja berterusan 'membekalkan peluru' kepada BN dengan kelemahan-kelemahan mereka sendiri maka mungkin inilah penggal pertama dan terakhir PR menerajui kerajaan negeri Selangor.

1 ulasan:

Awanama berkata...

bapa lawan emak siapa yang susah??anak juga yang derita

Paparan Halaman