Isnin, 22 November 2010

Pasca pemilihan: PKR catat sejarah

Pemilihan Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2010 telah pun melabuhkan tirainya semalam dengan mencatat pelbagai sejarahnya tersendiri.

Pindaan Perlembagaan yang dibuat oleh parti itu bagi membolehkan ahli akar umbinya terlibat secara langsung untuk memilih barisan kepemimpinan semua peringkat telah mencatatkan satu sejarah baru untuk PKR sendiri.

PKR catat sejarah, penanda aras baru berdemokarasi

Malah, sejarah yang dicipta ini bukan sahaja satu catatan rekod peribadi PKR, bahkan merupakan catatan sejarah politik tanah air yang wajar dikongsi oleh semua masyarakat negara ini.

Langkah berani PKR itu juga disifatkan sebagai meletakkan penanda aras baru dalam menyemarakkan demokrasi dalam negara ini ke tahap yang lebih tinggi.

Di sisi lain, satu lagi sejarah turut dicatatkan di sepanjang pemilihan parti ini yang melibatkan 400,000 ahlinya daripada 206 cabang di seluruh negara.

PKR catat sejarah proses pemilihan terburuk

Dalam sejarah politik moden tanah air, PKR telah mencatatkan nama sebagai satu-satunya parti politik yang menjalankan proses pemilihan pemimpin parti yang paling banyak dicemari isu penyelewengan.

Kelembapan JPP burukkan keadaan

Menambah burukkan keadaan apabila pemimpin-pemimpin dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) didakwa tidak cekap dalam menguruskan masalah-masalah berhubung penyelewengan yang didakwa oleh ahli dan calon bertanding.

Sebaliknya pemimpin parti dan JPP lebih gemar berterusan menafikan penipuan yang berlaku sekaligus lebih membakar kemarahan calon-calon dan ahli-ahli parti yang menganggap diri mereka tertipu.

Menyalahkan media

Selain itu, memang mudah bagi pemimpin-pemimpin ini mengkambing hitamkan sesetengah media khususnya media arus perdana dengan menuduh sebagai sengaja mengambil kesempatan memperbesarkan isu.

Perkara ini memang mudah untuk difahami apabila terdapat beberapa media arus perdana yang dikawal oleh Umno-BN memberikan laporan kepincangan parti ini secara besar-besaran semenjak hari pertama pemilihan berjalan lagi.

Umno-BN sebagai parti seteru PKR tentunya tidak mahu dilihat sebagai parti yang tidak bijak sekiranya tidak mengambil kesempatan ke atas kemelut yang melanda PKR ini.

Bagaimanapun serangan terhadap PKR dalam isu pemilihan ini turut berlaku di kalangan pengamal media alternatif yang lebih neutral termasuk kalangan blogger pro PKR sendiri.

Sekiranya media perdana yang pro Umno-BN memberi laporan negatif dianggap bertujuan untuk meruntuhkan PKR, sebaliknya bagi rata-rata media alternatif ini cuba bersikap adil.

Bagi kebanyakkan bloger-bloger pro PKR pula, hentaman mereka lebih bersifat untuk mendidik parti itu agar tidak dilabelkan sebagai parti yang korup seperti yang dilabelkan terhadap parti seteru mereka.

Malangnya apabila kritikan-kritikan awal yang dilontarkan dengan nada lebih lembut oleh media alternatif ini dibalas dengan kenyataan bongkak dan penuh dengan sindrom penafian oleh JPP mahupun oleh Setiausaha Agung parti.

Kenyataan JPP sendiri pada peringkat awalnya yang lebih gemar menafikan adanya penyelewengan berlaku dalam pemilihan akhirnya memberi padah kepada PKR sendiri.

Akhirnya apabila aduan-aduan ahli dan calon terhadap penipuan yang berlaku tidak mendapat reaksi yang sewajarnya, maka pilihan akhir yang ada hanyalah bertemu media bertujuan memberi tekanan kepada JPP.

PKR yang lantang mempertikaikan kerenah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dianggap sebagai alat BN, disarankan ada baiknya mengkaji sistem pemilihan dalaman partinya sendiri terlebih dahulu.

Bagi kebanyakkan pengkritik dari media alternatif, mereka tentunya dapat memahami sikap menyembunyikan pekung ini didorong oleh pemimpin yang tidak berjiwa besar untuk mengakui kesilapan dan juga demi menjaga imej parti.

Natijahnya, mungkinkah kerana sikap pemimpin yang beginilah, dengan sendirinya PKR terpaksa membayar harga yang mahal dalam PRU 13 nanti.

Kemelut yang memalukan ini tentunya mampu memberi kesan kepada pengundi di atas pagar yang dianggarkan mewakili lebih 40 peratus pengundi berdaftar dalam PRU 13 nanti.

Mahu mengadakan 'parti kesyukuran'? Tunggu dahulu

Kembali kepada isu pemilihan, mungkin ketika artikel ini ditulis, mungkin ada calon yang mula berkira-kira untuk mengadakan 'parti kesyukuran' tatkala berjaya memenangi jawatan yang ditandingi.

Sewajarnya ada baiknya niat tersebut ditangguhkan dahulu kerana tidak mustahil JPP yang bertindak 'telus' itu menangguhkan kemenangan anda.

Meskipun ia satu tindakkan yang terlewat, namun ia jauh lebih baik daripada tidak bertindak apa-apa langsung.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman