Isnin, 22 November 2010

'Dinasti Azmin' bakal dominasi PKR? (bhg 1)

Pusingan terakhir pengundian Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berbaki 52 cabang bakal dilangsungkan hujung minggu ini dijangka tidak banyak mengubah kedudukan calon bertanding.

Dengan tinggal dua hari pengundian, jika peratusan yang keluar mengundi pusingan sebelumnya diambil kira, keputusan bayangan beberapa jawatan utama parti sudah dapat diduga.

Antara yang menarik perhatian apabila pemimpin yang dianggap sebagai orang Azmin dilihat mendominasi barisan pemimpin bayangan PKR sekaligus menandakan bermula era 'dinasti Azmin' dalam PKR.

Timbalan Presiden

Bagi jawatan Timbalan Presiden, hingga saat ini boleh dianggap 99 peratus Azmin Ali hampir pasti dinobatkan ke jawatan nombor dua parti itu.

Ditambah pula dengan penarikan diri pesaing terdekatnya sebelum ini, Dato Zaid Ibrahim hanya memudahkan lagi laluan beliau untuk menduduki kerusi yang dikosongkan oleh Senator Syed Husin Ali.

Bagi Mustaffa Kamil Ayub yang memungut 3,401 undi ketika ini, sudah agak mustahil untuk memotong Azmin Ali yang memperolehi 14,751 undi.

Naib Presiden

Pola yang sama turut berlaku dalam persaingan merebut empat tempat dalam Naib Presiden yang didahului oleh Nurul Izzah Anwar dengan 11,042 undian, Tian Chua (9,524), Fuziah Salleh (7,878) dan Mansor Othman (7,448).

Kecuali Nurul Izzah, sekurang-kurang tiga dari empat calon teratas tersebut didominasi oleh calon yang dianggap sebagai orang Azmin dalam PKR.

Berada pada kedudukan nombor lima, Gobalakrishnan dengan jumlah undi yang dikutip 5,288 kurang 2,160 daripada undi diperolehi Mansor, boleh dianggap kedudukan yang sukar untuk menempatkan diri dalam kelompok empat teratas.

Undian tinggi diperolehi oleh Nurul Izzah daripada peringkat ahli akar umbi ini sekaligus menolak dakwaan negatif sesetengah pihak bahawa beliau bergantung kepada populariti bapanya semata-mata.

Malah dalam dunia politik PKR, kedua-dua tokoh dalam generasi yang berbeza ini turut menampakan perbezaan segi sokongan dan pendekatan dalam berpolitik.

* Menyusul selepas ini: Barisan bayangan AMK, Wanita 'dinasti Azmin' dan rumusan.

Tiada ulasan:

Paparan Halaman